Sunday, August 7, 2011

Raja Jalan Kaki

Ini bukan juara pertandingan berjalan kaki. Ia adalah realiti dalam kehidupan orang di negara bertamadun seperti di US dan Eropah. Mereka yang berjalan kaki adalah raja segala raja. Seolah-olahnya jalanraya adalah mereka yang ampunya. Tetapi mereka tidak pula mengambil kesempatan melampau hingga menyusahkan orang lain. Mereka tidak pula melambat-lambatkan langkah  bila berjalan. Semuanya pantas dan tangkas. Umur bukan pemisah tentang keupayaan berjalan pantas. Cuma pengguna-pengguna jalanraya yang berkenderaan memberi laluan yang secukup-cukupnya kepada pejalan kaki. Kenapa? Susah hendak dijawab tetapi tetap ada jawapannya. Bangsa yang bertamadun seolah-olah sangat tawaduk. Mereka hormatkan orang-orang yang lebih rendah kedudukannya. Mungkin rendah ekonominya. Mungkin rendah taraf sosialnya. Mungkin rendah kerana kecacatannya. Mungkin rendah berbanding dengan mereka yang berkenderaan.

Dalam sistem kita anak-anak dididik supaya berhati-hati di jalanraya.  Mereka menjadi sangat daif. Sangat kecil. Sangat tidak ada nilai. Yang dilihat bernilai ialah kenderaan yang bersimpang siur di sekeliling mereka. Bila hendak menyeberang jalan anak-anak dinasihatkan supaya memandang ke kanan terlebih dahulu. Kemudian pandang ke kiri. Ke kanan semula. Jika jalan dalam keadaan lapang barulah boleh menyeberang. Itupun kadang-kadang dari jauh sudah terdengar bunyi hon kenderaan. Menggesa pejalan kaki supaya bersegera menyeberang jalan. Kenderaan pula jarang yang diperlahankan. Semua pemandu akan merasakan bahawa jalanraya itu laluan hak mereka. Yang berjalan kaki hendaklah memberi laluan kepada mereka. Begitulah undang-undang kita. Pemandu menjadi zalim. Pejalan kaki sangat dizalimi. Pemandu menjadi ganas. Tidak memberi hak kepasa orang lain. Nafsi nafsi.

Biasa didengar dari mulut pemandu yang kurang bertamadun, “Mau mati ka?” Pedih didengar telinga. Sudahlah miskin. Tidak mampu membeli kenderaan. Berjalan kaki pula. Menyeberang jalanpun kena maki. Kena sergah. Kena marah. Dalam pada itu ramai pula pejalan kaki yang dilanggar kenderaan. Motorsikal yang beroda dua itupun ganasnya melampau-lampau. Ramai pejalan kaki yang dilanggar motorsikal. Yang kena ragut juga pejalan kaki. Di negara kurang maju nampaknya pejalan kaki adalah manusia-manusia yang tidak diambilkira. Selalu dinyahkan dari perkiraan. Tidak dihormati. Tidak dipeduli. Tidak diberi pembelaan. Mereka yang senang mendominan segala segi. Terkesampinglah mereka yang kurang berkeupayaan.

Seorang teman melancong ke Rome sewaktu ia belajar di United Kingdom dahulu. Dia terpaku di tepi jalanraya. Bagaimana hendak menyeberang jalanraya yang sangat sibuk dengan kenderaan itu. Lebarnya 8 lorong. 4 di seberang sana. 4 di seberang sini. Tiada kenderaan yang dipandu perlahan. Pada fikirannya tidak mungkin dia dapat meyeberang jalanraya itu. Dalam pada termangu-mangu itu datanglah seorang nenek tua. Tanpa menoleh kanan atau kiri nenek itu terus memijak aspal sambil menjulurkan payungnya ke hadapan. Seperti diperintah-perintah semua pemandu memberhentikan kenderaannya kerana memberi laluan. Semua kenderaan di 8 lorong itu memberhentikan kenderaan masing-masing. Teringat cerita Nabi Musa yang sampai di tepi Laut Merah. Di hadapannya laut dan air. Di belakangnya Firaun dan bala tenteranya. Ketika itu Allah mendatangkan pertolongannya kepada kekasihnya Musa. Terbelahlah laut untuk memudahkan Nabi Musa dan kaumnya menyeberang laut itu. Terbentuk jalan yang lurus dan menyenangkan perjalanan. Begitulah kota Rome yang sibuk jalanrayanya masih memberi kesempatan kepada pejalan kaki. Rakan saya tadi mengambil kesempatan mengekori nenek tua yang telah membuka matanya tadi. Pengajaran yang mahal. Indahnya berada di negara orang. Banyak benda yang tidak ada di sini. Untuk mengalaminya memang tidak mungkin. Semuanya perlu dilihat sendiri. Dialami sendiri. Barangkali itulah gunanya banyak berjalan. Luas pemandangan. Banyak pengajaran. Mata kita dapat memandang kelainan yang berlaku di dunia luar sana.

Di US lain pula ceritanya. Apabila kita berada di tepi jalanraya dan tempat itu pula bukan tempat menunggu bas, pemandu-pemandu akan memberi laluan. Mereka faham bahawa orang itu adalah pejalan kaki yang hendak menyeberang jalanraya.Semua pemandu memperlahankan kenderaan secara automatik. Mereka memberi laluan kepada pejalan kaki. Malangnya orang Malaysia seperti saya tidak biasa dengan diberi penghormatan di jalanraya. Maka biasanya jadi teragak-agak. Boleh atau tidak menyeberang jalan. Oleh kerana tidak juga menyeberang, pemandu membunyikan hon kenderaan mereka. Tujuannya bukan untuk menakutkan pejalan kaki. Atau untuk tidak membenarkan pejalan kaki itu menyeberang jalan. Hon itu menggesa pejalan kaki supaya segera menyeberang jalan. Pemandu sentiasa berwaspada dan mepastikan bahawa pejalan kaki itu diberi hak menyeberang terlebih dahulu. Jika tidak menyeberang juga, mereka memberhentikan kenderaan. Pemandunya keluar. Mereka mengarahkan supaya pejalan kaki itu menyeberang, “Go, Go.” Di samping arahan lisan mereka menggerakkan tangan memberi arahan.

Untuk 100 tahun lagi saya rasa kita belum lagi ada kemungkinan mencapai tamadun sebegitu. Pejalan kaki di Malaysia sentiasa dalam keadaan gusar untuk menyeberang jalanraya. Banyak yang ditakuti. Undang-undang kita juga tidak menyebelahi pejalan kaki. Tetap juga dicari siapa yang salah. Malang sungguh pejalan kaki yang didapati bersalah. Pembelaan tidak ada kepada mereka. Hakim yang arif lagi bijaksana juga tidak memberi ruang pembelaan. Sangat jauh bezanya. Di negara maju bukan harta benda yang maju. Bukan pembangunan sahaja yang maju. Bukan teknologi sahaja diutamakan. Kemanusiaannya dibangunkan. Falsafah kemanusiaannya diunggulkan. Gaya hidupnya dimurnikan. Memang ada hal-hal yang tidak elok pada pandangan   kita tetapi hal-hal seperti  itu tidak menghakis kemanusiaan yang mereka bina. Yang mereka bangunkan. Yang menjadi lambang tamadun mereka.

Dalam membina tamadun banyak yang perlu difikirkan. Walaupun undang-undang mereka bukan berlandaskan syariat Allah tetapi banyak nilai-nilai kebaikan dalam undang-undang mereka. Keadilan digubal. Difikirkan. Diberi nilai yang adil dan tinggi. Keadilan dilihat. Keadilan diperjuangkan. Kita bercakap dalam konteks maslahah umum. Mereka bercakap dalam konteks public interest. Natijahnya nilai kemanusiaan, nyawa dan kemanusiaannya sangat tinggi. Dipandang tinggi. Dihormati. Menjadi kayu ukur ketinggian hati budi mereka. Mengimbau semua itu kadang-kadang saya hilang fikir. Bagaimana hendak menerapkan kebaikan dalam kehidupan kita. Sistem yang ada banyak membela yang di atas. Yang dibawah selalu terkena. Tidak diberi hak yang sewajarnya.The equation is always wrong. 

No comments:

Post a Comment