Saturday, July 23, 2011

Ertinya Kelahiran Ini

Hari ini genap usia saya 65 tahun mengikut kiraan tahun Syamsiah. Jika mengikut kiraaan Qamariah saya sudah berusia lebih 67 tahun. Bagaimana saya harus menyambut tarikh kelahiran ini. Terima kasih kerana ucapan selamat hari jadi yang bertalu-talu. Sejak hampir tengah malam tadi ucapan itu berjurai-jurai saya baca. Sebenarnya saya tidak pernah menyambut hari jadi. Ia berlalu begitu sahaja.  Sejak ramai sahabat di fb ramai yang memberi ucap selamat. Terima kasih banyak-banyak memberi tanda ingatan. Terima kasih kerana sudi bersahabat dengan saya. Terima kasih kerana  membaca apa-apa yang saya nukilkan untuk dikongsi bersama. Ada kelapangan fikiran kerana bersama dengan santai bermain minda.

Saya tidak  ada apa-apa selain dari diri saya. Selain dari nama saya yang mungkin orang kenal. Keistimewaan tidak ada. Hanya biasa-biasa sahaja. Kebetulan saya menulis pengalaman yang dulu-dulu. Berantai ingatan yang saya luahkan. Yang saya coretkan. Yang saya paparkan. Yang saya bentangkan. Yang saya hamparkan. Di dalamnya ada himpunan diri yang mungkin value added. Mungkin juga longgokan rempah ratus hidup. Perencah-perencah yang menjadikan diri saya. Lipatan-lipatan sejarah yang mungkin asing. Mungkin juga lapuk. Namun di situ diri saya. Berdiri dan tercegat mengimbau masa lalu yang berlalu. Masa hadapan yang semakin singkat. Lubuk saya. Denak saya. Jalan-jalan yang telah saya lalui. Denai yang membiasakan diri saya dengan onak dan duri. Lopak dan becak yang dibawa dari zaman merentas masa.

Saya boleh bercakap. Selama ini hanya pelajar-pelajar dan bekas pelajar yang pernah mendengarnya. Entah mereka faham atau tidak. Entah menyentuh sanubari mereka atau tidak. Entah memberi iktibar sekecil mana sekalipun. Entah memberi manfaat mendatar ruang. Entah memberi nilai kepada minda. Entah memberi tusukan halus yang selalu sukar untuk disampaikan. Telah lama saya ingin menulis. Menjilid pengalaman yang mungkin elok dikongsi. Dibaca dan digarap. Didengar dengan hati yang terbuka. Alhamdulillah blog saya memberikan ruang tidak terbatas untuk saya. Walaupun banyak hal yang terlintas untuk dibaca tetapi saya perlu mengawal diri. Terlalu banyak sensitivity yang perlu dijaga. Perlu diawasi. Namun sebagai manusia banyak kali saya tersentuh dengan berbagai peristiwa yang mendesah di sekeliling saya.

Minat saya banyak. Tiada pilihan khusus. Pilihan saya dari agama merentas politik. Di sampingnya saya selalu menjengah pendidikan. Menerawang sosial. Begitu juga ekonomi, sastera, seni, sukan dan hiburan. Terlalu banyak yang menghidupkan saya. Kurnia Allah itu saya manfaatkan kerana dengan menggarap banyak perkara saya menjadi lebih enriched.  Enhancing apa yang sudah terbina. Kesan-kesan cumulative ini menjalar dalam diri saya untuk memahami setiap situasi. Menangkap apa sahaja yang melintas datang. Yang melayang pipihnya. Yang bermukim dalam hati dan minda. Ia menmbentuk psikologi saya. Saya menjadi saya dan diri saya.

Kesempatan menulis ini membuka ruang yang sangat terbentang luas. Tiada ufuk yang menemukan mata saya dengan kejauhan. Tiada sempadan batas yang perlu difikir. Hari-hari yang berlalu adalah rahmat. Masa-masa yang melintas pergi adalah lambaian bahagia. Ruang-ruang yang saya huni adalah lambang damai yang bersarang di hati. Saya luncurkan kata hati semantara ada waktu. 65 tahun sudah terlalu lama. Terlalu muda pada setengah orang. Usia semakin sedikit berbaki. Yang tinggal diharap barakah. Ada lagi limpahan rahmat Allah. Yang penting masa mesti diguna. Mesti diolah. Mesti dijadual. Banyak yang boleh dilaksnakan. Tiada diam atau bungkam hanya menghitung hari dan masa. Tiada ratapan untuk masa lalu. Mata dan hati ke hadapan menghadapi apa yang mungkin datang. Yang mungkin menerpa. Masa-masa mendatang yang selalu didoakan barakahnya. InsyaAllah.

Bagaimana hari lahir ini harus diperingati. Perlu disambut. Dirayakan dengan riang ria? Atau ditangisi kerana banyak kesempurnaan yang tidak terlaksana. Barangkali muasabah diri yang lebih baik. Bersyukur dengan usia yang Allah kurniakan. Lalu mengingati bahawa pada tarikh ini usia saya berkurang setahun. Yang bakinya saya tidak tahu. Allah menyembunyikan itu dari makluman manusia. Yang digesa ialah memanfaatkan usia yang ada. Memberi erti kepada anugerah Allah ini. Memberi guna kepada sesiapa dan apa sahaja yang ada di sekeliling saya.

Saya bersyukur benar kerana membina kerjaya sebagai pendidik. Benar kerjaya lain juga bermanfaat tetapi setelah saya imbau saya rasa saya bertuah dipilih Allah untuk menjadi guru. Mengajar terlalu simplistic bunyinya. Semua orang boleh melakukannya. But only a few become great teacher. Real educator. Saya sendiri belum ke tahap itu. Namun begitu ada rasa istimewa yang saya bawa dalam diri saya. Rasa puas yang selalu membalut diri. Anak didik saya ada di mana-mana.  Bukan sahaja di tanahair tercinta ini. Ada juga yang di rantauan membina diri. Yang ingat dan yang tidak ingat bukan isunya. Saya ada dalam diri mereka. Membentuk diri mereka. Mungkin hanya cebisan yang terlalu kecil. Tetapi cebisan itu masih mencengkam kuat di tubuh dan sanubari mereka. Mereka bawa hingga ke mana-mana. Merentas zaman dan  masa yang saya tinggalkan di belakang.

Masa saya semakin singkat. Semakin suntuk. Semakin sempit. Semakin dekat dengan destinasi terakhir yang mutlak dan abadi. Tarikh lahir adalah sesuatu yang memberi ingatan. Ajal saya semakin dekat. Lambaian akhirat semakin hampir. Bahawa selamanya saya tidak akan berada di sini. Bahawa semua yang dahulunya indah ini hanya mainan dunia. Sudah terlalu lama alpa dengan semua yang fana ini. Ada yang hakiki di sana. Datangnya entah bila. Yang penting mesti sedia menghadapi datangnya.  Hari lahir yang datang mendekatkan saya ke situ. Ke arah itu. Ke tempat itu. Allah menyediakan tampatnya. Mudah-mudahan Allah memberikan  naungannya kepada saya. Insyaallah.

No comments:

Post a Comment