Saya selamat mendapat lesen. Bukan tidak tahu memandu tetapi di negara orang peraturan dan undang-undangnya perlu dijaga. Jika tidak kesemuanya akan menyesakkan hidup nanti. Tentu diburu keresahan kerana melakukan kesalahan yang terlarang. Cuma saya teringat soalan-soalan yang dipaparkan untuk dijawab semasa mengambil ujian mendapatkan lesen itu. Bagi orang Amerika dan Canada ada beberapa perkara yang dikira lebih utama dari yang lain. Yang lebih dipentingkan ialah keselamatan diri, keselamatan kenderaan dan keselamatan orang lain. Dalam keadaan normal itulah yang mereka utamakan. Dalam keadaan lain tentu lain pula pertimbangannya.
Undang-undang dalam aspek apapun ada kaitannya dengan tamadun. Ianya berkait rapat dengan kebijakasnaan berfikir. Falsafah yang tinggi walaupun pada kebanyakannya menyimpang dari agama. Logik akal selalunya menyerlah. Masih ingat sewaktu tuan mengambil lessen dahulu? 50 soalan aneka pilihan. Banyaknya. Tetapi cuba lihat di jalanraya. Ramai pemandu yang naik hantu bila memegang stereng. Mereka merasakan jalanraya adalah milik mereka. Mereka persetankan pengguna jalanraya yang lain. Memandu selaju mampu. Memotong ikut suka. Parkir untuk diri sendiri sahaja. Apa sebenarnya yang dipelajari di sekolah memandu? Undang-undang jalanraya untuk siapa jika bukan untuk pemandu. Tetapi kenapa ramai pemandu mengabaikan undang-undang?
Silapnya mungkin tamadun kita. Falsafah kita. Hidup kita. Jalan fikir kita. Jalanraya itu apa sebenarnya? Tempat bunuh diri? Pusara yang memanjang PLUS dari utara hingga ke selatan? Atau ruang untuk dinikmati jauhnya. Mudahnya. Sosialnya. Ketatasusilaannya. Perkongsiannya. Jalanraya bukan milik individu. Ia milik semua pengguna. Kerana itu kita berkongsi. Bertolak ansur. Hormat menghormati. Memberi laluan. Mencari ketenangan. Menahan kesabaran. Menjaga keselamatan diri, keluarga dan pengguna lain. Kembali kepada undang-undang, yang mana satu yang perlu diutamakan. Yang dianggap penting. Yang dikira lebih besar impaknya. Kita jarang fikir mengenainya.
Kita selalu diperingatkan bahawa apabila hujan atau jalan basah kurangkan kelajuan. Mengapa? Entahlah, saya belun dengar penjelasan saintifik mengenainya. Yang dicanang hanya ianya bahaya. Barangkali ini jawapannya. Di USA perkara ini sangat diambil berat. Dalam ujian memandu perkara ini ditekankan. Hydroplaning. Hydro adalah air. Planing adalah luncuran. Di sana hydroplaning berlaku dalam dua keadaan. Pertama semasa hujan dan keduanya semasa salji di musim winter. Apa pentingnya ya? Bila jalanraya dipenuhi air ia membentuk satu lapisan yang memisahkan antara tayar kenderaan dan aspal jalanraya. Jika kenderaan dipandu laju semasa hujan tayar berada di atas air. Bayangkan orang meluncur salji atau meluncur air. Memang kenderaan bergerak laju. Seperti biasa sahaja.
Apa akan berlaku jika kenderaan itu dibrek. Memang tayar berhenti berputar. Tetapi, tetapi tayar itu meluncur di atas air. Hydroplaning. Tidak boleh dikawal sebab kenderaan darat bukannya kapal. Ketika dibrek itu macam-macam boleh jadi. Ada masanya kenderaan terbabas. Ada pula melayang dan menjunam ke tebing. Ke longkang. Ke gaung. Menyeberang jalan. Ada pula tunggang terbalik entah berapa kali. Kenderaan yang dipandu perlahan berada dalam keadaan siuman. Tayarnya berjejak di atas aspal yang keras. Bila dibrek tayar mencengkam aspal. Kenderaan yang laju akan terus meluncur bila dibrek. Tidak ada yang hendak dicengkam. Jika istilah ini sudah ada dalam bahasa Melayu Alhamdulillah. Jika belum ambillah ini sebagai ingatan dan pengajaran.
Kebanyakan jalanraya di negara kita tidak dibina curve. Tembok kecil ditepi jalan. Benteng barangkali. Untuk apa? Cantik? Sempit? Dalam sistem jalanraya di Barat curve itu dipastikan ada. Untuk apa ya? Ianya sangat berguna ketika parkir. Jika kenderaan diparkir menungkah bukit maka arahkan tayar ke kanan (ke kiri di USA dan Canada). Bila parkir menurun bukit maka arahkan tayar ke kiri (ke kanan di sana). Sangat mudah difahami. Andainya brek tangan kurang berfungsi maka tayar bergerak ke arah curve sama ada dalam keadaan maju ke hadapan atau dalam keadaan undur. Kerana gerakan kenderaan itu perlahan sudah tentu dijamin kenderaan itu tidak melepasi curve. Maksudnya dalam keadaan tersebut kenderaan pasti selamat. Kendraan lain selamat. Orang lain selamat. Selamat harta benda yang berhampiran. Sistem ini tidak ada pada kita. Kadang-kadang dibina curve tetapi teralu tinggi hingga merosakkan bahagian hadapan atau belakang kenderaan.
Saya hanya membicarakan dua aspek undang-undang yang sangat praktikal. Ada penjelasan saintifik. Mereka yang tidak berpendidikan tinggi sekalipun dapat memahaminya, bukan sesuatu yag bombastik. Bukan istilah besar hingga sukar difahami. Interpretasi dan terjemahannya sangat down to earth. Untuk diamal oleh semua orang. Bukan digubal sebagai undang-undang yang tidak berfungsi. Saya melihat semua itu sepadan dengan sistem hidup yang mereka bina. Yang mereka jaga. Yang mereka pertaruhkan. Bukan senang memberi kautamaan. Kadang-kadang kita tidak mengetahui yang mana lebih utama. Kepada orang Barat keutmaan tentu berkaitan dengan bahaya yang paling besar. Konsekuen yang paling merumitkan. Keuntungan yang paling tinggi. Kerugian yang paling besar. Kos yang paling tinggi. Kesulitan yang paling besar. Semuanya menjadi kriteria untuk melakukannya atau untuk menghindarinya. Yang penting nikmat dirasa, bala dihindar.
No comments:
Post a Comment