Monday, June 20, 2011

Pilihan Terbaik Hanya Islam

Sewaktu haji wida’ pada tahun ke-8 hijrah Rasulullah menerima wahyu yang mengisyaratkan bahawa Islam telah Allah sempurnakan syariatnya. Firman Allah itu terkandung dalam surah al-Maidah ayat ketiga (5:3) -
Maksudnya: Pada hari ini Aku telah sempurnakan kepada kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan  nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redha akan Islam itu menjadi agama untuk kamu.

Apabila medengar ayat itu sahabat-sahabat kabir terasa tersentap. Meruntun sedih jiwa mereka. Saat dan ketikanya kekasih Allah akan meninggalkan mereka. Apabila Islam telah sempurna maka peranan Rasulullah akan ditamatkan. Tugasnya telah selesai. Para sahabat yang wajib meneruskannya. Yang Rasulullah tinggalkan ada dua. Al-Quran dan al-hadith. Dalam kedua-duanya terhimpun segala kesempurnaan syariat Islamiyyah. Ilmuan Islam telah meningalkan banyak khazanah ilmu. Ulamak sekarang tetap perlu mengemukakan ilmu yang sesuai dengan peredaran zaman. Tidak boleh berhenti. Dunia beredar. Dinamik. Malah kadang-kadang volatile.

Dalam surah al-Baqarah ayat ke132 (2:132) Allah berfirman:
Maksudnya: Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga Nabi) Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: Wahai Anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam.


Apabila kita berhadapan dengan pilihan maka pilihan yang terbaik ialah Islam. Pilihan yang tiada saingannya ialah Islam. Pilihan yang utama ialah Islam. Tidak ada argument. Full stop. Who says? Allah says so. Al-Quran memaktubkannya begitu. Rasulullah bersabda begitu. Para nabi terdahulu bersabda begitu. Itulah sebahagian dari pengakuan iman kita. Percayakan kitab. Percayakan Rasul. Maka menjadi tanggungjawab semua orang Islam untuk berusaha melaksanakan apa sahaja yang namanya Islamiyyah. Tanggungjawab itu mengikut kemampuan masing-masing. Mengikut bidang masing-masing. Suatu tuntutan wajib. No compromise. Sebab itu dakwah bukan milih orang tertentu. Semua orang yang namanya menganut Islam wajib melaksanakannya. Tanggungjawab kita semua. Tidak mampu? Sebab itu ayat pertama Allah wahyukan kepada Rasulullah ialah:
  اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ
Maksudnya: Bacalah dengan nama Tuhanmu yan telah menjadikan.

Itulah ayat pertama yang wajib didengarkan kepada orang Quraisy penduduk Makkah. Iqra’ bukan sahaja bermaksud membaca. Ulamak telah terlalu ramai yang mentafsirkan bahawa gandingan membaca ialah mengkaji, menyelidik, membuat eksperimen dan melakukan apa sahaja untuk mengetahui. Untuk melaksana. Untuk mengamal. Untuk menjadikannya benar-benar dalam konsep al-din. Agama yang satu. Agama yang unggul. Agama yang terpilih di sisi Allah. Agama yang telah diredhai sebagai agama yang terbaik.

Allah mewahyukan al-Quran dalam bahasa Arab Quraisy yang terindah. Higga sekarang tiada bahasa yang lebih indah dari bahasa al-Quran. Setiap huruf ada maknanya yang tersendiri. Setiap kalimah ada maknanya yang tersendiri. Setiap ayat ada makna yang tersendiri. Dalam satu kalimah kadang-kadang-kadang mengandungi rangkaian makna. Dalam satu ayat banyak makna dan konteks perbicaraan. Namun begitu wahyu Allah tidak memberikan perincian yang selenkap-lengkapnya supaya mudah untuk dilaksanakan. Allah Yang Maha Mengetahui. Sesungguhnya Allah mahukan kita mengkajinya. Mencari faedahnya. Menjadikan kita rajin dan terkehadapan. Beruntunglah bagi mereka yang berusaha. Dirinya terlepas dari tanggungjawab itu. Bila nanti ditanya apa yang kamu gunakan ilmumu, boleh dijawab bahawa ilmu yang kau kurniakan kepadaku ya Allah telah aku dakwahkan kepada saudara-saudaraku seIslam.

Bila ada mereka yang mempropogate Islam sepatutnya kita sokong. Bila ada yang mencuba ke arah Islam wajiblah kita sokong. Memanglah sesuatu yang baru tidak sempurna. Kita mungkin sahaja tidak menerima operasinya. Teorinya. Gagasannya. Tetapi kita wajib menerima ideanya. Pada peringkat awalnya pasti tiada kesempurnaan. Hanya ilmu Allah sahaja yang sempurna. Dalam Islam kita merujuk kepada al-Quran. Jika tiada kita rujuk al-Hadith. Jika tiada juga maka mereka yang mujtahid berijtihad kerana mereka mampu melakukannya. Selepas itu mereka berijtimak (bersidang) dan mengambil keputusan yang namanya ijmak (consensus). Prosesnya tidak berhenti di situ. Seperti kata Kanang “Agi idup agi ngelaban”.

Orang yang pakar dalam bidangnya dipanggil alim. Alim itu pakar. Tidak mengira bidang apa. Itu bahasa Arab. Hanya dalam bahasa Melayu alim dikhususkan kepada mahir dalam bidang agama. Alim untuk seorang yang pakar. Apabila ramai mereka dipanggil ulamak. Dalam sebuah hadith Rasulullah bersabda yang mafhumnya bahawa ulamak adalah pewaris para nabi. Mereka bekerja keras untuk terus melestarikan Islam dan tuntutannya. Tanpa mereka kita mungkin tersalah arah.

Apabila sesuatu idea tentang menambahbaikkan Islam, alim atau ulamak melakukan proses yang panjang untuk bersepakat menerima sesuatu fatwa. Setelah semuanya dirujuk. Setelah semuanya dipastikan kebenarannya. Setelah difikirkan maslahah umum. Setelah difikirkan bahawa itulah adalah lebih baik untuk Islam. Fatwa bukan milik hak seseorang. Bukan main-main. Sebab itu kita wajib membuka minda untuk mengerti Islam dan tuntutannya. Belajar ke arah itu sangatlah perlunya. Islam itu logik. Tetapi berpegang hanya kepada logik akal tidak membantu memahami Islam. Dalam kes membayar zakat umpamanya. Tidak ada bezanya dari segi pengiraan. Formulanya sama. Variabelnya sama. Tetapi perbezaannya sangat besar. Antara bumi dengan langit.

Membayar zakat mengikut tahun Syamsiah berdasarkan 365.25 hari setahun. Berdasarkan tahun Qamariah pula ianya berdsarkan 354 hari setahun. Terdapat perbezaan sebanyak 11.25 hari setahun. Berlaku setiap tahun. Setiap 30 tahun syamsiah bersamaan dengan 31 tahun Qamariah. Dari segi zakat yang dibayar mungkin sama jumlahnya. Tetapi, tetapi mengikut tahun Syamsiah adalah tidak Islamik. Konsep Islamiyyah tidak dilaksanakan.  Asnaf yang berhak menerima zakat sepatutnya menerima bahagian mereka dalam julat waktu selama 354 hari setahun. Bukan melewatkannya selama 11.25 hari kemudiannya. 11.25 hari tertunggak. Berhutang dari segi hak. Dari segi tanggungjawab. Dalam Islam setiap perbuatan ada nilainya. Setiap pemikiran ada nilainya. Setiap tindakan ada nilainya. Setiap penilaian tentu menghasilkan tidakan yang berbeza. Maka cuba kita fikirkan nila pahala dan dosanya jika tidak mengikut tahun Qamariah. Jika tidak bertindak secara Islamiyyah.

Allah Maha Mengetahui bahawa pada akhir zaman kita terlalu cenderung mengutamakan bulan dan tahun Syamsiah. Allah memberi bayangan tentang hal ini seperti dalam firmanNya dalam surah al-Kahfi:

Maksudnya: Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka: tiga ratus tahun (dengan kiraan ahli kitab), dan sembilan lagi (dengan kiraan kamu).

Kiraan ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) menggunakan tahun Syamsiah. Kiraan kita tentu sahaja mengikut tahun Qamariah. Pemuda-pemuda kahfi telah Allah tidurkan selama 300 tahun Syamsiah yang bersamaan dengan 309 tahun Qamariah. Sila lihat entri Hijriyyah Vs Masehi - dihimpunkan semula. Sekarang ini sampai masanya kita kembali kepada Islamiyyah yang dituntut bagi semua umat Islam. Jangan keliru dengan:
Maksudnya: Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).

Bagi mereka yang kufur tidak ada paksaan untuk mereka menganut Islam. Tiada paksaan untuk mereka mengikut syariat Islam. Tetapi bagi orang Islam tiada pilihan. Bertanggungjawab untuk mengikut Islam. Bukan paksaan. Setelah menerima Islam makan wajib menerima segala yang diperaturkan oleh Islam. Tanggungjawab wajib untuk melaksanakannya. Mengerjakannya. Mengamalkannya. Bila ada orang Islam yang mengemukakan idea Islam perlu diterima secara prinsip terlebih dahulu. Bantu untuk menjadikannya lebih istimewa dari sistem yang sedia ada. Sistem konvensional yang terlalu lama mencengkam diri.


Kebaikan islam telah dirasai oleh orang yang bukan Islam. Orang Islam sendiri seperti kebingungan dengan Islam yang mereka anuti. Mereka mengambil kulitnya tetapi tidak mengambil substancenya. Rohnya. Kita telah lama lena dalam lingkungan sekular. Marilah kita mencari Qamariah bukan Syamsiah.

Kerana Allah

Dulu sewaktu menerima ‘Aku Terima Nikahnya’ majlis itu sesungguhnya sangat syahdu. Hanya sesaat sahaja seorang lelaki merubah dirinya menjadi seorang suami. Jika dahulunya dia seorang diri saat itu dia bertanggungjawab terhadap seorang wanita yang bernama isteri. Seluruh jiwa raga dan dunia akhirat  isteri itu menjadi sesuatu yang diletakkan di bahunya. Berat atau tidak bergantung kepada apa kata hatinya. Beban atau nikmat bergantung kepada psikologinya. Bagi lelaki yang bersedia secara mental dan spiritual, isteri bukan beban. Sebaliknya isteri itu adalah orang yang sangat rapat di sisinya. Sangat dekat. Dampingan yang hangat sepanjang zaman. Suami mendapat kebahagiaan dari penyatuan dirinya dengan isterinya itu.

Begitulah bagi seorang wanita yang menerima nikah lelaki dirinya bertukar menjadi isteri.  Dirinya bukan lagi orang dahulu yang lepas bebas. Sekarang ini keterikatannya kepada suami. Dirinya memiliki hak tetapi semuanya bersandarkan kepada suaminya. Bukan dia tidak bebas tetapi dengan pengertian suaminya. Pada saat si suami menerima nikah seorang isteri, suami dengan rela hati menerima tanggungjawab terhadap seorang wanita yang dicintainya. Dengan penuh sedar dia mengambil alih tanggungjawab itu dari bapa mertuanya. Kesemua proses itu terlaksana kerana Allah. Allah yang memberi fitrah untuk manusia menikmati mawaddah antara lelaki dan wanita yang ajnabi. Fasa-fasa selanjutnya dalam hidup bersuami isteri wajiblah berlandaskan ‘kerana Allah’ yang telah dimulakan sebelumnya.

Perkahwinan kerana cinta adalah suatu bonus. Sebenarnya kerana Allah itu lebih abadi. Lebih syahdu. Kerananya kehidupan menjadi lebih jelas. Apapun dikembalikan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Kerana itu jalan yang Allah redhai. Yang Allah perintahkan. Mudah-mudahan kita menjadi orang-orang yang bertaqwa. Kehidupan bersuami isteri bergemerlapan dengan keindahan jika semuanya berada dalam lindungan Allah. Mohonlah semoga kesemuanya Allah redhai. Mohon supaya semuanya berada dalam   keadaan yang memudahkan. Fasa-fasa kehidupan berumahtangga berlalu dengan pantas. Sampailah ketikanya isteri berbadan dua. Ingat, jika semuanya diterima kerana Allah, banyak nikmat perasaan senang dan bahagia. Jika tidak kehamilan menjadi sesuatu yang merumitkan.

Janin dalam kandungan tentu sahaja membentuk manusia yang kian hari kian sempurna. Menuju  9 bulan 10 hari tentu lama. Jangan ditunggu. Saat itu akan tiba. Yang penting isteri bersedia dari segi fizikal dan mental. Dari segi rohani dan psikologi. Suami juga wajib bersedia. Berbuatlah apa sahaja untuk kesejahteraan sebuah kelahiran. Zuriat yang dinamakan cahayamata. Bersinar bergemerlapan menerangi sebuah rumahtangga. Tetapi jika dihitung saat, minit dan jamnya tentu 9 bulan dan 10 hari itu terlalu lama. Bertenanglah. Santailah. Damaikanlah hati. Selalulah berbicara dengan janinmu. Berpesan dengan yang muluk-muluk. Berbisik dengan yang indah-indah. Berikanlah kepadanya harapan dan doa. Bimbinglah dia dengan izin Allah. Tunjukkan dia jalan yang lurus yang memenuhi kriteria Allah. Dodoikan dia dengan ayat-ayat suci. Dendangkan dia dengan asma al-husna. Iramakan dia dengan kalimah tauhid.  Mudah-mudahan Allah memberi laluan yang terbaik untuknya. Peringatkan dia bahawa dahulunya di alam roh dia berjanji akan beriman kepada Allah. Mudah-mudahan dia beriman bila dilahirkan. Moga-moga matinya adalah dalam Islam dan iman.

Janin yang membesar menuntut suatu pengertian. Secara luarannya isteri wajiblah berpakaian yang menutup aurat. Selalu benar hal ini terabai. Tuntutan wajib menutup aurat itu sudah qat’i. Maksudnya sudah disepakati oleh semua ulamak. Sudah tidak ada perbezaan pendapat. Apa yang Allah perintahkan itu diterima seperti itu. Tidak perlu lagi banyak tafsiran dan interpretasi. Buatlah fesyen apapun asalkan menutup aurat seperti yang diwajibkan. Pilihlah kain yang sesuai dengan kulit dan iklim. Dengan keselesaan dan kelembapan udara yang kita ada. Kualiti ikutlah keupayaan membayarnya. Alah membeli tetap menang memakai. Yang penting tutup aurat. Yang utama penuhi tanggungjawab menutup bahagian-bahagian tubuh yang dinamakan aurat. Ia adalah suatu kewajipan. Telah difardhukan. Perintah Allah. Perintah Yang Maha Mencipta.

Saya bukan pencipta rekaan fesyen tetapi hanya mampu menyampaikan apa yang perlu. Apa yang saya tahu. Tutuplah aurat. Suami pula bantulah isteri ke arah itu. Kita semua ingin  mencari redha Allah. Nanti kita dikembalikan kepadaNya dalam keadaan diredhai. Aurat wanita ialah seluruh tubuhnya. Dari rambut hingga ke hujung jari kakinya. Hingga ke tumitnya. Kecuali kedua telapak tangannya. Kecuali mukanya. Wajahnya dari dahi hingga ke dagunya. Tidak boleh memakai pakaian yang jarang menampak telus ke dalam. Tidak boleh yang terbelah atau terbuka di mana-mana bahagian. Tidak ketat sehingga memanifestasikan bentuk tubuh yang memang berbentuk. Maaflah saya katakan bahawa seluruh bahagian tubuh wanita adalah aurat kerana di bahagian manapun apabila terdedah boleh menimbulkan syahwat lelaki yang memandangnya.

Seluruh tubuhnya hanya untuk suaminya. Maka suami-suami wajib mencegah isteri mendedahkan auratnya kepada lelaki lain. Isterinya itu hak mutlaknya. Milik tunggalnya. Maka isteri hatta wanita mana sekalipun wajib menjaga auratnya kerana tubuhnya adalah harta paling berharga bagi suaminya. Aset paling mahal untuk suaminya. Hanya isteri itulah miliknya yang ada. Menjaga hak milik suami itu tersangatlah tanggungjawab yang besar. Pesan saya ialah apabila surat isteri terlihat kepada orang yang bukan berhak terhadapnya maka berdosalah jadinya. Malangnya yang menanggung dosa itu ialah suaminya. Bukan dirinya. Membiarkan isteri terus-terusan tidak menutup aurat tentulah suami dikategorikan dayus.

Pakailah pakaian yang longgar. Lengannya berjerut. Atau jika lengan bajunya longgar, memakai sarung tangan supaya apabila lengan baju tersingsing, lengannya masih terbalut sarung tangan. Tidak terdedah aurat tangan.  Pakailah setokin. Jika menunggang motorsikal pakailah seluar. Jangan dan jangan dedahkan betis dan paha. Kasihan! Suami tanggung semuanya. Jangan seksa suami di alam barzah dan di akhirat nanti. Jika memakai baju kurung, longgarkanlah. Buat yang lebih besar dari biasa. Jika berblouse pilihlah yang besar dan labuh. Mohon jangan memakai kemeja-T yang ketat. Yang singkat. Yang tidak cukup saiz. Yang melekap di kulit. Yang menampakkan bentuk tubuh. Jangan biarkan segala statistik tubuh badan diukur oleh orang lain. Jangan biarkan setiap mata menangkap bentuk-bentuk yang diharamkan melihatnya. Semua orang tahu perut itu besar. Jangan burukan keadaan dengan mendedahkan bentuknya yang teramat sangar. Sama ada orang tidak berkenan atau nanti ada yang meluat. Saya kasihan isteri-isteri seperti itu. Dia mungkin tidak menghayati maksud menutup aurat.

Suatu perkahwinan adalah ibadat. Mendirikan sebuah masjid tentu mahal harganya. Tinggi nilainya di sisi Allah. Ada nilai pahala dan syurga. Hamil adalah juga suatu ibadat. Fitrah sebuah rumahtanga. Pahala sepanjang kehamilan itu. Memakai pakaian juga ibadat. Fesyen hanya bonus. Kualiti kain juga bonus. Apabila kesemuanya disandarkan kepada Allah maka berpakaian menjadi sesuatu yang wajib dipelihara. Sebenarnya mereka yang menutup aurat dipandang lebih cantik. Lebih manis. Lebih sensuous. Apa-apapun yang didedahkan berkurangan nilainya. Pada mata atau pada hati. Bagi mereka yang mengetahui. Bagi jauhari. Menutup aurat adalah kewajipan. Rujuklah surah An-Nur 24 :31. (Surah ke-24 ayat ke-31). Mudah-mudahan ada barakahnya. InsyaAllah.

Al-Quran dan Qiraat

Seminar Qiraat Peringkat Kebangsaan 2011, UIAM

Banyak ilmu al-Quran yang belum lagi kita pelajari. Terlalu luas dan mencakup berbagai-bagai aspek. Begitulah keagungan al-Quran. Untuk lebih mengetahui sila hadirkan diri untuk bersama-sama memartabatkan diri dari aspek al-Quran.

Tarikh:          19-20 November 2011
Tempat:        Auditorium Utama, UIAM, Gombak
Penganjur:     Persatuan Mahasiswa Ilmu Wahyu dan Warisan Islam UIAM
                    Gombak berserta pelajar-pelajar  Kursus Umum Tilawah
                    Al-Quran (Qiraat), UIAM, Gombak

Sila rujuk:      http//:www.ustazrahim.net/qiraat2011

Sebarang pertanyaan sila e-mel ke qiraat2011@gmail.com atau hubungi:
1. Lt. Kolonel Mohd Rahib – 019-286 6622
2. Mahmood Zuhdi – 019-274 1424
3. Hajjah Zainab – 013-906 9185
4. Asrar – 012-363 4658
5. Haji Yusof Jamar – 012-767 7976 (Negeri Johor)
6. Hajjah Maznah Abas – 012-753 9120 (Negeri Johor)

Wednesday, June 15, 2011

Ubah Tabiat Makan Kerana Kenaikan Harga Makanan

Wahai Isteri Yang Hamil

Suatu ketika dahulu kau mendengar suatu lafaz yang syahdu. Kau terima nikahnya seorang lelaki yang bergelar suami. Kata jurunikah, ketika itu menjeritlah segala syaitan dan iblis kerana tamat godaannya terhadapmu dan suami. Segala-galanya menjadi sah.  Bukan itu sahaja, antaramu dan suami menjadi suatu yang hak. Memenuhi tuntutan antara satu sama lain. Semua yang terlarang dahulu menjadi halal belaka. Sudah tidak ada hijab antaramu berdua. Cuma sentiasalah beringat bahawa syaitan dan iblis tidak berhenti helahnya. Duhulu kerjanya membujukmu berdua supaya rapat dalam haram. Dalam terlarang. Sekarang usahanya ialah untuk memisah. Menjauh. Mendatangkan geseran walaupun atas perkara yang kecil. Remeh. Yang kadang-kadang tidak masuk akal. Itu kerja makhluk yang sudah diberi mandat untuk menggoda anak Adam hingga hari kiamat. Akal kita yang mampu menewaskannya. Iman kita yang menjadi benteng dari ganggugugatnya.

Keterikatanmu kepada ibu dan bapa sudah terlerai. Seorang suami menambat jiwa dan ragamu. Mudah-mudahan kau mendapat seorang suami yang sebaik-baiknya. Mafhum sebuah hadith: Sebaik-baik suami ialah yang baik terhadap isterinya. Walau apapun sekarang bukan waktu memilih. Sekarang ialah waktu menghadapi realiti. Impianmu mungkin bukan seperrti realiti yang di hadapanmu. Sekarang waktu menerima seadanya seorang suami. Tempat bergantung segala harapan di hari muka.  Syurgamu di sisinya. Ingatlah, kepada suamimu syurganya ialah kepada ibu dan bapanya. Hubunganmu dengan ibu bapamu tidak terputus. Tetapi fokus kehidupanmu ialah suamimu. Mudah-mudahan ketaatanmu terhadap suami dibalas dengan syurga untukmu. Juga syurga untuk ibu dan bapamu. Besarnya impak taat kepada suami. Ibu bapa boleh masuk syurga. Itu janji Allah. Itu Janji Rasulullah.

Sekarang ini tiba masanya kehamilan yang diredhai mendatangimu. Kasih sayangmu dan suami dianugerahkan bakal pewaris yang didoakan membahagiakan ikatan kecintaan bersuami isteri. Zaman remajamu sudah berakhir. Zamanmu lepas bebas sudah lama berlalu. Zamanmu meneroka alam sekehendak hati sudah tidak ada lagi. Duniamu berlegar di sekeliling suami yang tercinta. Sekarang ini fizikalmu mengalami perubahan yang mungkin secara evolusi. Mungkin juga terlalu drastik. Kau berubah dalam banyak hal. Dari fizikal kepadalah emosi. Suamimu yang kasih tentu mengerti. Tetapi ini pengalaman pertamanya. Pengalaman yang mungkin jauh dari luar jangkanya. Dia tidak pernah melintas fikir bahawa isterinya yang dahulu terlalu comel sudah tidak ada lagi bekas-bekasnya. Senyum dan tawanya isteri sudah jarang dilihatnya. Yang banyak dilihat ialah payahnya. Seri di muka yang lama sudah tidak ada. Mungkin juga dirasa sedikit mengada-ngada. Al-maklumlah dia lelaki yang mustahil merasa apa yang kau rasa. Mungkin ada simpati kerana kasihnya. Tetapi tidak mungkin dia empati.

Bagi suami isteri yang berkerjaya keadaan ini tentulah lebih gawat. Kau dan suamimu letih lesu bila pulang ke rumah. Suamimu masih lagi dalam lingkungan bulan madunya. Percayalah seorang lelaki yan bernama suami sentiasa inginkan bulan madu yang abadi. Seorang isteri sepertimu tidak mampu berada lama dalam suasana itu. Benarlah, bulan madu itu hanya sementara. Kau sedang membawa madu itu bersamamu. Redha itu penting. Ketundukan kepada fitrah berumahtangga itu penting. Ia berlaku kepada semua isteri. Wanita yang dikasihi dan disayangi suaminya. Secara positifnya itulah keindahan yang nanti dimanifestasikan dalam rupa anak yang selalu dirindui. Wujudnya dari fantasi hingga realiti. Mimpi-mimpi yang menjadi kenyataan. Anak itu membesar memberikan seri dan warna dalam sebuah rumahtangga. Membesar mereka. Sampai masanya menghilang dari mata. Jauh entah di mana. Tetapi dihati kecilmu anak itu tetap akan bertahta. Selalu dirindu tiap ketika. Itu darah dagingnya. Air susumu yang membesarkannya. Belaianmu yang memperkasakannya.

Pandanglah kehamilanmu. Renunglah dalam-dalam. Di dalam sana janinmu sedang dibina Allah jisim-jisim yang nanti menjadikannya manusia sempurna. Ditunggu saat kelahirannya. Tangis dan tawanya akan sentiasa menghiburkan. Sunyi tanpa dua bunyi suara itu. Percayalah. Saya telah melaluinya. Kekosongan yang telah diisi tetapi kemudiannya kosong semula. Anak dalam rahimmu itu akan hanya lalu sementara di bawah penjagaanmu. Dia ada tugas besar untuk ummahnya. Untuk agamanya. Untuk Allah yang menciptanya. Berdoalah selalu sesempurnanya. Doa ibu selalunya sangat makbul. Allah sangat mendengar doa ibu. Banyak yang perlu didoakan. Senaraikan sepanjang-panjangnya. Mintalah yang terbaik. Rupa parasnya. Kesihatan fizikalnya. Keselamatannya di dunia dan di akhirat. Kejayaannya di dunia dan akhirat. Keupayaannya. Kekayaannya. Kebaikan hatinya. Adab santunya. Kasih sayangnya kepadamu dan suami. Taatnya kepadamu dan suami. Jasa dan baktinya kepada ummah. Imannya. Akidahnya. Akhlaknya. Ya, semuanya mesti didoakan untuknya.

Bila hendak berdoa? Setiap masa khususnya dalam masa sebelum empat bulan yang pertama. Mungkin dalam 12 minggu yang pertama. Sebelum roh ditiupkan ke jasadnya. Sebelum disempurnakan ajal dan mautnya. Rezekinya. Diari hidupnya. Kesudahan kehidupannya. Sebelum segala-galanya Allah tentukan. Sebelum ia diberi nyawa. Sebelum jantungnya berfungsi. Sebelum ada kesempurnaan kepada tubuh badannya. Ulang dan ulanglah. Dia bakal mewarisi segala yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah. Bila lahirnya nanti insyaAllah menjadi pejuang Islam. Mewarisi sifat Abu Bakar yang mulia hatinya. Mewarisi Umar yang sangat tegas melaksanakan perintah agama. Hingga syaitan tidak berani dekat kepadanya. Mewarisi Uthman yang terkenal dengan waraknya. Mewarisi ‘Ali yang menjadi gedung ilmu. Yang beraninya bukan calang-calang. Jika wanita jadilah seperti Khadijah yang dicintai Rasulullah hingga kewafatannya. Seperti ‘Aisyah yang pintar dan mengerti. Atau seperti Rabi’atul Adawiyyah yang cukup tinggi ilmu agamanya.

Mungkin dan mungkin. Ada perkara-perkara yang menjadikanmu lain dari dahulu. Hanya suamimu yang perasan. Muasabahlah diri. Fikirkan kebajikannya yang sudah mula agak terabai. Kesejahteraannya yang sudah kau biarkan. Banyak amalan baik yang sudah tidak lagi termampu kau lakukan. Kepayahanmu sudah semakin memberat. Namun, namun dari dalam sudut hati kecilmu berilah sedikit pengertian. Banyak hasratnya yang terhalang kerana cintanya kepadamu. Karana kasihnya. Hatinya sebagai seorang lelaki yang bernama suami tentu tidak dapat kau selami semaumu. Banyak yang tidak terungkap olehnya. Yang tidak mungkin terucap secara terancang. Lihat dan pandanglah matanya. Amatilah tutur katanya. Perhatilah bahasa tubuhnya. Kehamilanmu juga mengubah segala-galanya kepada dirinya. Dia kehilangan juga seri wajahnya. Rupanya dia juga menanggung perasaan yang berat. Situasai yang diterima dengan rela tanpa syarat. Tetapi berat.

Dia tentu berusaha memberikan yang terbaik untukmu. Tentu sahaja dia meluangkan masa untukmu. Percayalah dia berusaha bersungguh-sungguh untuk membahagiakanmu.   Tetapi masanya hanya ada 24 jam. Tanganya hanya ada dua. Tugasnya pelbagai. Dia diperlukan oleh ramai orang. Namun, namun begitu hatinya hanya satu. Jantunghatinya hanya satu. Hadirkanlah dirimu untuknya. Belajarlah untuk membuang kebiasaan terlalu meminta. Terlalu mendesak. Terlalu bertanya. Terlalu ingin tahu. Terlalu cemburu lagilah tidak boleh. Berikan perhatian bukan curiga. Sedikit curiga tetapi tidak dibesar-besarkan. Matamu tentu dapat mengesan perubahan. Perasaanmu tentu dapat melihat kelainan. Akalmu tentu dapat melihat kebenaran. Percayalah kepada indermu. Bukan nafsumu.

Solat dan zikirmu tambahkanlah. Perbanyakkanlah. Gandakanlah. Usahalah untuk tahajud bila terjaga malam. Biasalah  ibu yang hamil kerap terjaga malam. Ambil kesempatan untuk sekurang-kurang dua rekaat. Bentangkanlah kesmu kepada Allah Rabbul Jalil. Mintalah semahumu. InsyaAllah doamu makbul. InsyaAllah.

Tuesday, June 14, 2011

Mengubah Pardigma Adat Beradat


Seminggu dua ini hati saya bergejolak kuat. Pagi tadi saya singgah di sebuah kedai. Kicap botol besar yang saya tahu sebelum ini harganya RM5.40 sekarang sudah berharga RM6.70. Gila. Meleleh air mata orang miskin hanya untuk membeli kicap kesukaan anak-anak di rumah. Orang kaya tidak makan kicap sebanyak orang miskin. Orang besar tidak makan kicap selambak seperti orang miskin. Orang atas tidak makan kicap seperti orang-orang papa kedana yang melata di bawah. Dollar Amerika sudah lama turun. Ini bermakna kacang soya dari Amerika sudah murah. Malangnya kicap yang dibuat dari kacang soya dilonjak mahal. Ironiskan? Ayam pula sudah mencecah hampir sangat RM9.00 sekilo. Hampir semua barang telah meningkat harganya melebihi paras kemampuan biasa. Banyak pula barang yang melambung harganya berganda-ganda. Maka kita semakin tidak mampu. Semakin terdesak hidup. Suatu mala petaka kehidupan. Suatu laluan ke hadapan yang sempit. Perit memeritkan. Setiap sen mesti dijimatkan. Lalu apa lagi yang mampu kita buat? Banyak yang perlu dilakukan. Yang mesti diterjemahkan dalam tindakan.

Saya ingin mengajak saudara berfikir sejenak. Sesaat mungkin.  Sudah sampai masanya kita mengubah paradigma kehidupan. Gaya hidup perlu diubah. Kebiasaan perlu diubah. Kebiasaan beradat hendaklah dinilai semula. Amalan-amalan yang dilihat bukan keutamaan mesti ditinggalkan. Kikis sehabisnya. Kita buka lembaran baru. Sikap baru. Pendekatan baru. Pemikiran baru. Semangat baru. Setiap tindakan kita harus melambangkan penjimatan ekonomi. Lihat produktivitinya dahulu. Lihat manfaatnya dahulu. Sentiasa ukur baju berdasarkan kemampuan ekonomi diri dan keluarga. Ada peranan yang perlu dimainkan oleh semua orang. Tidak boleh pilih-pilih. Banyak amalan ini menyangkut kepada kebiasaan. Kepada adat. Pegangannya ialah, “nanti apa kata orang.” Mulai sekarang, mulai hari ini, mulai saat ini kita mesti sama-sama berani mengubah diri. Malakukan perubahan diri yang perlu. Demi kebaikan diri dan keluarga. Demi ekonomi dan kesejahteraan. Demi agama yang kita cintai.

Kata Abraham H. Maslow makanan adalah paling asas dalam kehidupan individu. Bagi mereka yang berpendapatan rendah itulah agenda paling merumitkan. Mencukupkan makanan untuk anak dan isteri. Bila pendapatan agak lumayan, yang dimakan lebih tinggi kualitinya. Bila kuasa beli semakin  menjerut (kerana harga barang meningkat) maka yang dimakan semakin rendah kualitinya. Apakah impaknya? Apakah implikasinya? Apakah kesannya? Apakah padahnya? Apakah musibahnya? Apakah mudaratnya? Anak-anak kecil yang perlukan makanan berkualiti akan menerima kesan paling menakutkan. Anak-anak kecil perlukan segala kualiti yang perlu untuk membesar dari segi fizikal. Membina otot dan saraf yang mampan. Membina kekuatan fizikal untuk mengharungi  hidup yang semakin mencabar ini. Kualiti untuk membina kekuatan rohani dan mental.  Kekuatan mental inilah yang mengganggu pemikiran saya.

Dalam kajian ilmiah Prof DiRaja Ungku Aziz pada tahun-tahun 60an di Pantai Timur dahulu masalah ini telah diperakui menjadi punca kelemahan orang Melayu. Kelemahan yang mencipta kitaran ganas (vicious circle) yang menyukarkan orang Melayu keluar dari kemiskinan. Kedaifan. Kepayahan. Kemunduran. Bila dilihat kembali sejarah itu takut pula ianya akan berulang. Negara kita dikatakan semakin maju. Tetapi orang Melayu menjadi terpaku kaku. Terkedu menghadapi arus kehidupan yang semakin menghantui. Menakutkan. Mengerikan. Kitaran ganas itu dirasa akan kembali melingkari orang Melayu. Ketidakmampuan menyediakan makanan berkhasiat merencatkan kesuburan fiizikal dan kesuburan intelek. Anak-anak Melayu menjadi average and  below average. Kemampuan untuk ke menara gading terhalang. Akibatnya mereka menjawat kerja-kerja peringkat bawahan. Lebih terhimpit lagi pada masa hadapan.

Ketidakmampuan ini melantun kepada keupayaan menyediakan kediaman selesa. Luas dan mendamaikan. Persekitaran mejadi tidak kondusif untuk membesarkan anak-anak. Penyakit akan datang silih berganti. Begitulah rangkaian kedaifan yang datang dan pergi. Maka orang Melayu pernah mengalami sindrom itu. Pernah berada dalam fenomena itu. Berpuluh tahun kita keluarkan mereka dari lembah dalam dan gelap. Mereka dikeluarkan oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Kedua untuk diberi kehidupan yang berlainan. Mengubah segala perspektif kehidupan yang jauh dari kebiasaan. Sekadar contoh nelayan yang diletakkan di FELDA. Paradigma yang diubah. Pemikiran yang tidak lagi dijumudkan. Dibuka dan dibentang luas supaya melihat kehidupan ini boleh diubah. Orang Melayu tidak mati kerana mengubah kebiasaan. Tidak hapus kerana melakukan sesuatu yang lain. Sepatutnya itu adalah suatu pengajaran besar yang diambil iktibar. Berubah untuk lebih baik.

Nah mari kita fikirkan lagi. Orang Melayu banyak mengadakan kenduri kendara. Ada pula musim-musim yang seolah-olah diprogramkan. Bila tiba musim tersebut maka harga barang-barang melambung. Permintaan melebihi penawaran. Itu alasan penjual. Alasan peniaga dan usahawan yang mengambil kesempatan. Opportunistic. Tidak ada social responsibility. Semuanya kerana hendak mengaut untung berlebihan. Semua tindakan mereka menyalahi hukum mencari keuntungan. Dalam ekonomi teorinya lain. Dalam pemasaran teorinya lain. Keuntungan boleh diperolehi dengan volume. Semakin banyak dijual semakin banyak keuntungannya. Menaikkan harga bermakna memeras pengguna. Bayangkan volume sudah berganda. Harga pula dinaikkan. Bukankah peniaga mendapat keuntungan yang melipat-lipat gandanya. Ini namanya rakyat dibeban-bebankan. Kita belajar ekonomi tetapi semua tindakan defeating all economic principles. Malang sungguh teori Hicks yang mengatakan bahawa ekonomi adalah untuk kesejahteraan – wellbeing. Teori Islam lebihlah lagi unggulnya. Keberkecukupan itu sangat-sangat perlu diusahakan supaya menjadi cukup. Ia membina jambatan menghubungkan diri kepada Allah. Damai di hati. Senang di mata. Enak di telinga. Bahagia kerana berkecukupan. Bila hati senang ibadat dapat digandakan. Lenyap kerisauan yang ada.

Boleh tak kita ubah kebiasaan kita berkenduri kendara? Maksud saya buat kenduri ala kadar. Kecil-kecilan. Saya kadang-kadang terpana dengan sesuatu dengan positif. Kita kena bantu diri sendiri. Bantu sama orang lain yang ada di sekeliling kita. Apa salahnya kita ubah kebiasaan. Dari segi agama tidak berdosa. Tidak haram. Tidak juga makruh. Kita buat sekadar kemampuan. Ada matlamat besar yang ingin saya gagaskan. Sabar dulu. Memanglah untuk mengubah kebiasaan itu berat. Payah. Nanti telinga menjadi pedas. Nanti mata menjadi pedih. Nanti dada  berombak kuat. Nanti senak perut. Kenapa? Mendengar caci maki orang. Kutukan orang. Baiklah. Boleh tak belajar bertahan. Menahan perasaan. Menahan sabar. Menahan geram. Menahan gegaran marah. Hanya pada peringkat pertama. Pada mulanya sahaja. Sewaktu pertama mereka menerima kejutan. Selepas beberapa ketika semuanya akan jadi biasa. That is when reality sinks in. Economic reality.

Orang putih tidak ada kenduri kendara. Majlis perkahwinan diserikan dengan menjemput mereka yang rapat dengan keluarga sahaja. Itupun selebriti. Mungkin juga jutawan.  Bukan tidak hendak mengumpulkan segala orang. Tetapi kita harus rasional. Waras. Siuman. Berjimat barangkali lebih baik. Kenapa mesti berbelanja sebanyak RM40,000 hanya untuk suatu majlis perkahwinan? Segala benda dibeli dan disediakan. Selepas majlis semuanya merupakan pembaziran. Tiada siapa yang benar-benar menghargai. Tuan rumah sahaja yanag kehabisan wang simpanannya. Itupun jika tidak berhutang. Pelamin RM10,000 hanya untuk beberapa ketika. Orang Cina tidak ada pelamin. Mereka bergambar di luar rumah. Berlatar belakangkan alam sekitar. Di belakang mereka laut. Mungkin tasik. Boleh juga sungai. Ramai juga yang di taman bunga. Abadi juga rumahtangga mereka. Bahagia juga beranak cucu. Wang tidak dibazirkan.

Ayuh kita rasionalkan diri. Kita cipta satu kewarasan berfikir. Jika kita dapat ubah kebiasaan ini barangkali ia dapat pula ‘mengajar’ peniaga-peniaga. Kita tidak pernah melakukannya. Kita tidak pernah mendidik peniaga. Tidak pernah kita menggunakan kuasa kita sebagai pengguna. Jika kenduri kendara kita ala kadar tentu banyak penjimatan. Jika yang dijemput hanya beberapa orang sahaja tentu elok. Untuk ekonomi. Untuk kesejahteraan. Walaupun begitu untuk yang mampu, silakanlah. Jamulah seberapa ramai orang yang tidak berada. Orang miskin. Orang berkedudukan  daif. Rasanya musim-musim  peniaga mengaut untung akan hilang. Normalise.

Satu lagi tentang hari raya. Sudah sampai masanya juga kita membuat penilaian semula. Jangan ikut rentak komersil. Rentak mereka yang ingin mengaut untung. Hari raya adalah manifestasi agama. Menyempurnakan ibadah. Sambutannya sudah terlalu komersil. Di negara Arab hari raya ‘Idul Fitri hanya dengan bersolat sahaja. Adalah sedikit juadah. Ala kadar. Yang pentingnya hari esoknya. Hingga hari yang ketujuh. Mereka menunaikan tuntutan Allah. Enam hari berpuasa Syawal. Untuk cover semua kesilapan semasa Ramadhan. Complement mana yang kurang. Hari ketujuh mereka mengadakan majlis lagi. Sempurna tuntutan untuk tahun itu. Tahun hadapan berulang lagi. ‘Idul Adha pula dirayakan lebih lama. Empat hari. Hari pertama dan tiga hari tasyrik. Tetapi bukan dengan berhibur. Bukan dengan pembaziran. Sebaliknya itulah masa untuk bertakbir. Bertahmid. Bertahlil. Membesarkan Allah. Yang dilihat ialah akhirat. Destinasi terakhir perjalanan insan. Menemui Allah.

Cuba lihat diri kita. Jauh sangat cara kita. Terlalu banyak hal yang tidak diperlukan untuk menyempurnakan tuntutan agama. Selebihnya adat beradat yang sepatutnya dibuang dan ditinggalkan. Laksanakan yang hak sahaja. Yang dituntut. Yang diberi pahala. Yang dijanjikan ganjaran. Agama itu syumul. Indah. Manis-manis belaka. Tiada yang dilihat cacat atau kurang. Allah telah sempurnakan segala-galanya. Hari raya bukan pakaian. Bukan perhiasan. Bukan perabot. Bukan kueh muih. Bukan juga rumah terbuka. Lagi sekali, ikut kemampuan.  Ala kadar. Allah tidak melihat semua itu. Yang Allah lihat ialah tingkat taqwa kita. Bila berhadapan dengan pilihan. Pilihlah jalan Allah. Jangan pilih jalan yang lain.       

Begitu juga bagi yang menunaikan haji. Adat kita membebankan mereka supaya membawa pulang berbagai hadiah. Kebanyakan jemaah haji menghabiskan wang beribu-ribu ringgit untuk membeli tasbih, sejadah, tudung, minyak wangi, kopiah, serban, kurma, kekacang dan berbagai lagi untuk semua orang yang datang menziarahinya. Yang saya lihat sebenarnya, kebanyakan barang-barang itu dibeli sebelum berangkat ke makkah dahulu. Dibeli di sini. Diangkut dari kedai. Disimpan di rumah. Bukan itu yang penting. Sambut jemaah sebelum mereka kembali ke rumah. Sebelum ditanggalkan pakaiannya yang dipakai dari Makkah. Ambil barakah tentang kehadirannya. Yang sesama gender bolehlah peluk sepuas-puasnya. Dikatakan orang  bahawa jemaah itu apabila dipeluk seperti memeluk kaabah. Terasa bersih sucinya. Wangi tubuh badannya. Masih dibawa balik getaran tawaf di Bait al-Allah. Derapan kaki jemaah yang melaut dari seluruh dunia. Orangnya yang diziarahi.  Bukan hadiah dan oleh-olehnya. Namun begitu bagi yang mampu belilah sebanyak-banyaknya. Infak untuk saudara mara dan sahabat handai.

Itu sekadar beberapa perkara. Maaflah idea saya agak lain sedikit. Bukan apa, kita ingin menyelamatkan umat Melayu dari papa kedana. Supaya mereka keluar dari kepayahan untuk hidup. Barangkali bebanan hidup dapat dihindarkan kerana kita tidak berhutang dengan adat. Tidak berhutang dengan kebiasaan. Tidak berhutang dengan amalan yang tidak berlandaskan syariah. Maaf.

Suatu Kehamilan

Berita kehamilan selalunya disambut dengan penuh keinsafan. Allah mengurniakan anugerahNya. Bagi suami berita itu mungkin hanya  berita yang menggembirakan. Saat ingin menimang cahayamata. Mencium baunya bayi kecil yang wangi. Yang menyegarkan perasaan cinta. Nanti hati akan terawang-awang tinggi. Nikmat berumahtangga. Kasih sayang yang tidak terhingga. Ditatap si kecil yang mungil. Direnung wajahnya yang mungkin mirip ibunya. Terdetik hati bahawa pada wajah itu ada iras-iras wajah sendiri. Maha Suci Allah yang menyatukan dua hati. Mawaddah yang suci dan syahdu. Anak itu tanda ikatan abadi. Yang ingin disemadi. Abadan abada.

Tanyalah perasaan isteri. Minta ceritanya. Apa yang dirasa. Apa yang memberikannya kudrat untuk menghadapi hari-hari muka seorang bakal ibu. Suami harus tahu bahawa sebagai suami banyak nikmat yang belum puas-puas dikecapnya. Minta dan minta lagi. Cari dan cari lagi.  Tidak ada henti-hentinya. Tetapi bila sah isteri itu menghamilkan anaknya, isteri bukan lagi dengan sifatnya dahulu. Bukan lagi dengan sikapnya seperti dahulu. Ia sudah menjadi seorang yang berlainan. Itulah fasa-fasa yang mencabar seorang lelaki. Kesetiaannya tercabar. Kesabarannya tercabar. Ketabahannya tercabar. Kedamaiannya tercabar. Isterinya yang paling dikasihi berubah secara psikologinya. Fizikalnya memang bukan lagi dia. Ada tambahan nyawa pada badannya. Tetapi nyawa itu boleh selamat kedua-duanya. Atau hanya selamat satu daripadanya. Ibu atau anak boleh sahaja bersilih ganti. Antara harapan dan doa. Suami harus menerima kenyataan dan pengertian itu. Ada masanya itu yang Allah berikan. Pilihan Allah itu mesti diterima dengan redha.

Wahai suami buatlah renungan yang dalam. Sedalam-dalamnya. Sedalam yang sehalus murninya. Jika dulu kau bermanja dengan isteri, kini suasana itu ingin diterbalikkan. Isteri menanggung sesuatu yang menjadi idaman bersama. Namun isteri yang menanggung beban beratnya. Payahnya berganda-ganda. Letih lesunya berganda-ganda. Tingkah lakunya berubah 360º. Makannya mungkin yang bukan-bukan menjadi idamannya. Mulutnya selalu loya. Kering. Payau. Seleranya selalu patah. Minta belikan juadah yang tidak pernah dibeli. Malasnya juga menjadi-jadi. Bang, itu realiti. Mungkin tidak berubah kesemuanya. Sebahagiannya benar berlaku. Dan terus berlaku. Begitulah seorang isteri yang mengandungkan anak seorang suami. Si suami yang diuji ketabahannya melayani seorang isteri yang sedang bertarung dengan ketidaktentuan dan ketidakpastian. Apatah lag ini anak sulung. Banyak sangat yang tidak diketahui. Banyak sangat yang perlu diketahui. Banyak sungguh kejahilan tentang hal yang satu ini.

Inilah masanya suami menjaga isteri. Ingatlah selalu pesanan saya. Seorang lelaki yang bernama suami merangkap bapa mesti berkeupayaan ke dapur. Memasak semungkin boleh. Sesedap rasa di lidah. Selera moga tidak patah. Tahu ramuan dan rencah. Tahu mempelbagaikan hidangan. Menu. Ala carte. Jadilah suami yang bukan calang-calang. Bilik air selalu diuji dan dinilai. Bersih dan kemasnya perlu dijaga. Banyak lumut dan licin yang membahayakan isteri. Membahayakan janin yang dikandaungnya. Bakal anakmu. Itu belum dinding dan hiasnya. Perkakas dan perhiasannya. Lekapan dan lanskapnya. Logistik di bilik air perlu juga disediakan secukupnya. Isterimu sedang memohon baktimu. Kasih sayangmu. Perhatianmu. Hanya kau suami yang mampu memberi kesemuanya itu. Suami harapannya. Suami pilihannya. Suami yang dicintainya. Bilik tidur bang! Jangan lupa. Kemas dan rapikan. Itu syurga impian. Jangan diabaikan keindahannya. Isterimu sudah kau isterehatkan. Kaulah suami yang ambil tugasnya.

Isterimu selalu kelesuan. Keletihan. Ia mungkin tabah. Tiada keluhnya. Tiada dengusnya. Tiada bantahnya. Pekalah dengan kepayahan dirinya. Cukup masa rehatkan dia. Urutlah kakinya dengan penuh kasih sayang. Alirkan rasa cintamu melalui sentuhan-sentuhan ajaib di jejarimu. Usap dengan lembut selembutnya. Jangan fikirkan kesibukanmu. Ini saat isterimu. Kau yang perlu korbankan kebiasaanmu. Ia memerlukanmu. Saat-saat dia bergantung harap. Meraih simpati yang selalunya tidak terucap. Ia selalu memohon pengertian dalam senyap. Sumbanglah sedikit pengorbananmu. Isterimu sentiasa menunggu sentuhan tanganmu. Membuang bisa dan lenguh yang bersarang di kaki. Di betis. Di paha. Di pinggang. Damaikan jiwanya. Lenakan matanya. Tenangkan rohaninya. Bukan untuk sahaja dia yang selayaknya. Untuk janin yang di dalam rahimnya.

Ketika kehamilannya inilah suami perlu banyak sabarnya. Banyaklah mendiamkan diri. Bukan tidak mahu berkata-kata. Mendiamkan diri bila dileteri. Bila diomel sesuka hati. Bila mengomelnya payah hendak berhenti. Banyakkan beristighfar. Mohon keampunan kepada Allah. Mohon diberikan kekuatan kepada isteri. Kedamaian kepadanya. Kesejahteraan dalam hatinya. Semoga tenang hatinya. Bang, anak dalam kandungannya itu dipengaruhi oleh psikologi ibunya. Di dalam rahim ibunya dia mendengar. Dia menyerap semua yang dirasakannya. Ibu dan bapanya memberi impak besar kepadanya. Impak yang nanti dimanifestasikan dalam tingkah lakunya. Mewarisi apa sahaja yang ada pada ibu dan ayahnya.

Tolonglah jangan merokok. Selain dari tidak baik untuk diri sendiri, anak dalam kandungan itu akan menjadai silent smoker. Dibunuh perlahan tanpa relanya. Bukan nyawanya yang dibunuh tetapi ada bahagian-bahagian dari kewujudannya yang mati. Mungkin sedikit mati fizikalnya. Mungkin apa sahaja. Islam berat melabelkannya haram. Bukan makruh lagi. Kasihan isteri menjadi second-hand smoker. Kedua-duanya menerima padah kerana kedegilan suami. Bakal bapa. Asap rokok dan baunya meracuni segala kebaikan yang ada pada janin yang ada. Sudah pasti sebahagian keburukan rokok suami sudah dipindahkan kepada anak melalui kasih sayangnya kepada isteri yang bakal menjadi ibu. Ketika kehamilan inilah bapa perlu mengerti keperluan agama. Keperluan persekitaran. Keperluan saintifik. Kepentingan kekeluargaan. Termasuklah juga sapek kesihatan dan sosiobudaya. Memang kita penuh dengan adat. Tetapi pilihlah yang selari dengan agama dan keperluannya. Adat yang tidak boleh diselaraskan dengan agama hendaklah ditinggalkan. Belajar dan tanyalah kepada ustaz dan ustazah yang arif. Jangan main ikut-ikutan kerana tradisi. Kerana biasa. Agama ada syariatnya. Bukan ikut-ikutan. Ada hukum hakamnya. Bukan ikut kebiasaannya. Bertaqlid sahaja tidak boleh. Banyakkanlah belajar.

Makanlah asalkan halalan toyyibah. Elakkan yang mendatangkan mudarat walaupun rasanya sedap. Manis itu sedap tetapi mestilah ditolak kerana bawaan penyakitnya. Garam jangan terlalu banyak. Benar juga kata tukang masak, “bubuh garam secukup rasa.” Terlebih sukatan padah bahaya kepada diri. Banyakkan buah-buahan. Begitu juga sayur-sayuran. Pendek kata piramid makanan untuk ibu mengandung perlu diketahui suami. Jangan biarkan isteri mencari dan menyediakannya sendiri. Kaulah, kaulah suami yang perlu menyediakannya. Jadikan isterimu permaisuri. Sediakan segala keperluanmu. Suatu timbal balas kerana dia sedang membebani keperluanmu. Menanggung hasrat seorang suami. Jangan sampai dia mengidam. Tanya apa mahunya. Tanya apa hendaknya. Tanya apa keperluannya. Banyak bang, banyak yang perlu dilayan. Tolong jangan tunjuk rasa tidak senang. Jangan sekilas memasam muka. Apatah lagi mendengus. Menghentak kaki. Jangan mengurut dada. Senyumlah. Ikhlaskan segalanya. Buktikan keindahan bercinta dahulu bukan hanya bulu roma di kulit sahaja. Perlihatkanlah kedalamannya.

Bagi isteri yang mengandung tentu sahaja tidak bergantung kesemuanya kepada belaian orang yang bernama suami. Ada peranan yang mesti dilaksana. Yang menanggung diri sendiri. Maka ada persiapan yang perlu dipersiap diri. Nantilah saya nukilkan. InsyaAllah.