Tuesday, June 14, 2011

Mengubah Pardigma Adat Beradat


Seminggu dua ini hati saya bergejolak kuat. Pagi tadi saya singgah di sebuah kedai. Kicap botol besar yang saya tahu sebelum ini harganya RM5.40 sekarang sudah berharga RM6.70. Gila. Meleleh air mata orang miskin hanya untuk membeli kicap kesukaan anak-anak di rumah. Orang kaya tidak makan kicap sebanyak orang miskin. Orang besar tidak makan kicap selambak seperti orang miskin. Orang atas tidak makan kicap seperti orang-orang papa kedana yang melata di bawah. Dollar Amerika sudah lama turun. Ini bermakna kacang soya dari Amerika sudah murah. Malangnya kicap yang dibuat dari kacang soya dilonjak mahal. Ironiskan? Ayam pula sudah mencecah hampir sangat RM9.00 sekilo. Hampir semua barang telah meningkat harganya melebihi paras kemampuan biasa. Banyak pula barang yang melambung harganya berganda-ganda. Maka kita semakin tidak mampu. Semakin terdesak hidup. Suatu mala petaka kehidupan. Suatu laluan ke hadapan yang sempit. Perit memeritkan. Setiap sen mesti dijimatkan. Lalu apa lagi yang mampu kita buat? Banyak yang perlu dilakukan. Yang mesti diterjemahkan dalam tindakan.

Saya ingin mengajak saudara berfikir sejenak. Sesaat mungkin.  Sudah sampai masanya kita mengubah paradigma kehidupan. Gaya hidup perlu diubah. Kebiasaan perlu diubah. Kebiasaan beradat hendaklah dinilai semula. Amalan-amalan yang dilihat bukan keutamaan mesti ditinggalkan. Kikis sehabisnya. Kita buka lembaran baru. Sikap baru. Pendekatan baru. Pemikiran baru. Semangat baru. Setiap tindakan kita harus melambangkan penjimatan ekonomi. Lihat produktivitinya dahulu. Lihat manfaatnya dahulu. Sentiasa ukur baju berdasarkan kemampuan ekonomi diri dan keluarga. Ada peranan yang perlu dimainkan oleh semua orang. Tidak boleh pilih-pilih. Banyak amalan ini menyangkut kepada kebiasaan. Kepada adat. Pegangannya ialah, “nanti apa kata orang.” Mulai sekarang, mulai hari ini, mulai saat ini kita mesti sama-sama berani mengubah diri. Malakukan perubahan diri yang perlu. Demi kebaikan diri dan keluarga. Demi ekonomi dan kesejahteraan. Demi agama yang kita cintai.

Kata Abraham H. Maslow makanan adalah paling asas dalam kehidupan individu. Bagi mereka yang berpendapatan rendah itulah agenda paling merumitkan. Mencukupkan makanan untuk anak dan isteri. Bila pendapatan agak lumayan, yang dimakan lebih tinggi kualitinya. Bila kuasa beli semakin  menjerut (kerana harga barang meningkat) maka yang dimakan semakin rendah kualitinya. Apakah impaknya? Apakah implikasinya? Apakah kesannya? Apakah padahnya? Apakah musibahnya? Apakah mudaratnya? Anak-anak kecil yang perlukan makanan berkualiti akan menerima kesan paling menakutkan. Anak-anak kecil perlukan segala kualiti yang perlu untuk membesar dari segi fizikal. Membina otot dan saraf yang mampan. Membina kekuatan fizikal untuk mengharungi  hidup yang semakin mencabar ini. Kualiti untuk membina kekuatan rohani dan mental.  Kekuatan mental inilah yang mengganggu pemikiran saya.

Dalam kajian ilmiah Prof DiRaja Ungku Aziz pada tahun-tahun 60an di Pantai Timur dahulu masalah ini telah diperakui menjadi punca kelemahan orang Melayu. Kelemahan yang mencipta kitaran ganas (vicious circle) yang menyukarkan orang Melayu keluar dari kemiskinan. Kedaifan. Kepayahan. Kemunduran. Bila dilihat kembali sejarah itu takut pula ianya akan berulang. Negara kita dikatakan semakin maju. Tetapi orang Melayu menjadi terpaku kaku. Terkedu menghadapi arus kehidupan yang semakin menghantui. Menakutkan. Mengerikan. Kitaran ganas itu dirasa akan kembali melingkari orang Melayu. Ketidakmampuan menyediakan makanan berkhasiat merencatkan kesuburan fiizikal dan kesuburan intelek. Anak-anak Melayu menjadi average and  below average. Kemampuan untuk ke menara gading terhalang. Akibatnya mereka menjawat kerja-kerja peringkat bawahan. Lebih terhimpit lagi pada masa hadapan.

Ketidakmampuan ini melantun kepada keupayaan menyediakan kediaman selesa. Luas dan mendamaikan. Persekitaran mejadi tidak kondusif untuk membesarkan anak-anak. Penyakit akan datang silih berganti. Begitulah rangkaian kedaifan yang datang dan pergi. Maka orang Melayu pernah mengalami sindrom itu. Pernah berada dalam fenomena itu. Berpuluh tahun kita keluarkan mereka dari lembah dalam dan gelap. Mereka dikeluarkan oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Kedua untuk diberi kehidupan yang berlainan. Mengubah segala perspektif kehidupan yang jauh dari kebiasaan. Sekadar contoh nelayan yang diletakkan di FELDA. Paradigma yang diubah. Pemikiran yang tidak lagi dijumudkan. Dibuka dan dibentang luas supaya melihat kehidupan ini boleh diubah. Orang Melayu tidak mati kerana mengubah kebiasaan. Tidak hapus kerana melakukan sesuatu yang lain. Sepatutnya itu adalah suatu pengajaran besar yang diambil iktibar. Berubah untuk lebih baik.

Nah mari kita fikirkan lagi. Orang Melayu banyak mengadakan kenduri kendara. Ada pula musim-musim yang seolah-olah diprogramkan. Bila tiba musim tersebut maka harga barang-barang melambung. Permintaan melebihi penawaran. Itu alasan penjual. Alasan peniaga dan usahawan yang mengambil kesempatan. Opportunistic. Tidak ada social responsibility. Semuanya kerana hendak mengaut untung berlebihan. Semua tindakan mereka menyalahi hukum mencari keuntungan. Dalam ekonomi teorinya lain. Dalam pemasaran teorinya lain. Keuntungan boleh diperolehi dengan volume. Semakin banyak dijual semakin banyak keuntungannya. Menaikkan harga bermakna memeras pengguna. Bayangkan volume sudah berganda. Harga pula dinaikkan. Bukankah peniaga mendapat keuntungan yang melipat-lipat gandanya. Ini namanya rakyat dibeban-bebankan. Kita belajar ekonomi tetapi semua tindakan defeating all economic principles. Malang sungguh teori Hicks yang mengatakan bahawa ekonomi adalah untuk kesejahteraan – wellbeing. Teori Islam lebihlah lagi unggulnya. Keberkecukupan itu sangat-sangat perlu diusahakan supaya menjadi cukup. Ia membina jambatan menghubungkan diri kepada Allah. Damai di hati. Senang di mata. Enak di telinga. Bahagia kerana berkecukupan. Bila hati senang ibadat dapat digandakan. Lenyap kerisauan yang ada.

Boleh tak kita ubah kebiasaan kita berkenduri kendara? Maksud saya buat kenduri ala kadar. Kecil-kecilan. Saya kadang-kadang terpana dengan sesuatu dengan positif. Kita kena bantu diri sendiri. Bantu sama orang lain yang ada di sekeliling kita. Apa salahnya kita ubah kebiasaan. Dari segi agama tidak berdosa. Tidak haram. Tidak juga makruh. Kita buat sekadar kemampuan. Ada matlamat besar yang ingin saya gagaskan. Sabar dulu. Memanglah untuk mengubah kebiasaan itu berat. Payah. Nanti telinga menjadi pedas. Nanti mata menjadi pedih. Nanti dada  berombak kuat. Nanti senak perut. Kenapa? Mendengar caci maki orang. Kutukan orang. Baiklah. Boleh tak belajar bertahan. Menahan perasaan. Menahan sabar. Menahan geram. Menahan gegaran marah. Hanya pada peringkat pertama. Pada mulanya sahaja. Sewaktu pertama mereka menerima kejutan. Selepas beberapa ketika semuanya akan jadi biasa. That is when reality sinks in. Economic reality.

Orang putih tidak ada kenduri kendara. Majlis perkahwinan diserikan dengan menjemput mereka yang rapat dengan keluarga sahaja. Itupun selebriti. Mungkin juga jutawan.  Bukan tidak hendak mengumpulkan segala orang. Tetapi kita harus rasional. Waras. Siuman. Berjimat barangkali lebih baik. Kenapa mesti berbelanja sebanyak RM40,000 hanya untuk suatu majlis perkahwinan? Segala benda dibeli dan disediakan. Selepas majlis semuanya merupakan pembaziran. Tiada siapa yang benar-benar menghargai. Tuan rumah sahaja yanag kehabisan wang simpanannya. Itupun jika tidak berhutang. Pelamin RM10,000 hanya untuk beberapa ketika. Orang Cina tidak ada pelamin. Mereka bergambar di luar rumah. Berlatar belakangkan alam sekitar. Di belakang mereka laut. Mungkin tasik. Boleh juga sungai. Ramai juga yang di taman bunga. Abadi juga rumahtangga mereka. Bahagia juga beranak cucu. Wang tidak dibazirkan.

Ayuh kita rasionalkan diri. Kita cipta satu kewarasan berfikir. Jika kita dapat ubah kebiasaan ini barangkali ia dapat pula ‘mengajar’ peniaga-peniaga. Kita tidak pernah melakukannya. Kita tidak pernah mendidik peniaga. Tidak pernah kita menggunakan kuasa kita sebagai pengguna. Jika kenduri kendara kita ala kadar tentu banyak penjimatan. Jika yang dijemput hanya beberapa orang sahaja tentu elok. Untuk ekonomi. Untuk kesejahteraan. Walaupun begitu untuk yang mampu, silakanlah. Jamulah seberapa ramai orang yang tidak berada. Orang miskin. Orang berkedudukan  daif. Rasanya musim-musim  peniaga mengaut untung akan hilang. Normalise.

Satu lagi tentang hari raya. Sudah sampai masanya juga kita membuat penilaian semula. Jangan ikut rentak komersil. Rentak mereka yang ingin mengaut untung. Hari raya adalah manifestasi agama. Menyempurnakan ibadah. Sambutannya sudah terlalu komersil. Di negara Arab hari raya ‘Idul Fitri hanya dengan bersolat sahaja. Adalah sedikit juadah. Ala kadar. Yang pentingnya hari esoknya. Hingga hari yang ketujuh. Mereka menunaikan tuntutan Allah. Enam hari berpuasa Syawal. Untuk cover semua kesilapan semasa Ramadhan. Complement mana yang kurang. Hari ketujuh mereka mengadakan majlis lagi. Sempurna tuntutan untuk tahun itu. Tahun hadapan berulang lagi. ‘Idul Adha pula dirayakan lebih lama. Empat hari. Hari pertama dan tiga hari tasyrik. Tetapi bukan dengan berhibur. Bukan dengan pembaziran. Sebaliknya itulah masa untuk bertakbir. Bertahmid. Bertahlil. Membesarkan Allah. Yang dilihat ialah akhirat. Destinasi terakhir perjalanan insan. Menemui Allah.

Cuba lihat diri kita. Jauh sangat cara kita. Terlalu banyak hal yang tidak diperlukan untuk menyempurnakan tuntutan agama. Selebihnya adat beradat yang sepatutnya dibuang dan ditinggalkan. Laksanakan yang hak sahaja. Yang dituntut. Yang diberi pahala. Yang dijanjikan ganjaran. Agama itu syumul. Indah. Manis-manis belaka. Tiada yang dilihat cacat atau kurang. Allah telah sempurnakan segala-galanya. Hari raya bukan pakaian. Bukan perhiasan. Bukan perabot. Bukan kueh muih. Bukan juga rumah terbuka. Lagi sekali, ikut kemampuan.  Ala kadar. Allah tidak melihat semua itu. Yang Allah lihat ialah tingkat taqwa kita. Bila berhadapan dengan pilihan. Pilihlah jalan Allah. Jangan pilih jalan yang lain.       

Begitu juga bagi yang menunaikan haji. Adat kita membebankan mereka supaya membawa pulang berbagai hadiah. Kebanyakan jemaah haji menghabiskan wang beribu-ribu ringgit untuk membeli tasbih, sejadah, tudung, minyak wangi, kopiah, serban, kurma, kekacang dan berbagai lagi untuk semua orang yang datang menziarahinya. Yang saya lihat sebenarnya, kebanyakan barang-barang itu dibeli sebelum berangkat ke makkah dahulu. Dibeli di sini. Diangkut dari kedai. Disimpan di rumah. Bukan itu yang penting. Sambut jemaah sebelum mereka kembali ke rumah. Sebelum ditanggalkan pakaiannya yang dipakai dari Makkah. Ambil barakah tentang kehadirannya. Yang sesama gender bolehlah peluk sepuas-puasnya. Dikatakan orang  bahawa jemaah itu apabila dipeluk seperti memeluk kaabah. Terasa bersih sucinya. Wangi tubuh badannya. Masih dibawa balik getaran tawaf di Bait al-Allah. Derapan kaki jemaah yang melaut dari seluruh dunia. Orangnya yang diziarahi.  Bukan hadiah dan oleh-olehnya. Namun begitu bagi yang mampu belilah sebanyak-banyaknya. Infak untuk saudara mara dan sahabat handai.

Itu sekadar beberapa perkara. Maaflah idea saya agak lain sedikit. Bukan apa, kita ingin menyelamatkan umat Melayu dari papa kedana. Supaya mereka keluar dari kepayahan untuk hidup. Barangkali bebanan hidup dapat dihindarkan kerana kita tidak berhutang dengan adat. Tidak berhutang dengan kebiasaan. Tidak berhutang dengan amalan yang tidak berlandaskan syariah. Maaf.

No comments:

Post a Comment