Dulu sewaktu menerima ‘Aku Terima Nikahnya’ majlis itu sesungguhnya sangat syahdu. Hanya sesaat sahaja seorang lelaki merubah dirinya menjadi seorang suami. Jika dahulunya dia seorang diri saat itu dia bertanggungjawab terhadap seorang wanita yang bernama isteri. Seluruh jiwa raga dan dunia akhirat isteri itu menjadi sesuatu yang diletakkan di bahunya. Berat atau tidak bergantung kepada apa kata hatinya. Beban atau nikmat bergantung kepada psikologinya. Bagi lelaki yang bersedia secara mental dan spiritual, isteri bukan beban. Sebaliknya isteri itu adalah orang yang sangat rapat di sisinya. Sangat dekat. Dampingan yang hangat sepanjang zaman. Suami mendapat kebahagiaan dari penyatuan dirinya dengan isterinya itu.
Begitulah bagi seorang wanita yang menerima nikah lelaki dirinya bertukar menjadi isteri. Dirinya bukan lagi orang dahulu yang lepas bebas. Sekarang ini keterikatannya kepada suami. Dirinya memiliki hak tetapi semuanya bersandarkan kepada suaminya. Bukan dia tidak bebas tetapi dengan pengertian suaminya. Pada saat si suami menerima nikah seorang isteri, suami dengan rela hati menerima tanggungjawab terhadap seorang wanita yang dicintainya. Dengan penuh sedar dia mengambil alih tanggungjawab itu dari bapa mertuanya. Kesemua proses itu terlaksana kerana Allah. Allah yang memberi fitrah untuk manusia menikmati mawaddah antara lelaki dan wanita yang ajnabi. Fasa-fasa selanjutnya dalam hidup bersuami isteri wajiblah berlandaskan ‘kerana Allah’ yang telah dimulakan sebelumnya.
Perkahwinan kerana cinta adalah suatu bonus. Sebenarnya kerana Allah itu lebih abadi. Lebih syahdu. Kerananya kehidupan menjadi lebih jelas. Apapun dikembalikan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Kerana itu jalan yang Allah redhai. Yang Allah perintahkan. Mudah-mudahan kita menjadi orang-orang yang bertaqwa. Kehidupan bersuami isteri bergemerlapan dengan keindahan jika semuanya berada dalam lindungan Allah. Mohonlah semoga kesemuanya Allah redhai. Mohon supaya semuanya berada dalam keadaan yang memudahkan. Fasa-fasa kehidupan berumahtangga berlalu dengan pantas. Sampailah ketikanya isteri berbadan dua. Ingat, jika semuanya diterima kerana Allah, banyak nikmat perasaan senang dan bahagia. Jika tidak kehamilan menjadi sesuatu yang merumitkan.
Janin dalam kandungan tentu sahaja membentuk manusia yang kian hari kian sempurna. Menuju 9 bulan 10 hari tentu lama. Jangan ditunggu. Saat itu akan tiba. Yang penting isteri bersedia dari segi fizikal dan mental. Dari segi rohani dan psikologi. Suami juga wajib bersedia. Berbuatlah apa sahaja untuk kesejahteraan sebuah kelahiran. Zuriat yang dinamakan cahayamata. Bersinar bergemerlapan menerangi sebuah rumahtangga. Tetapi jika dihitung saat, minit dan jamnya tentu 9 bulan dan 10 hari itu terlalu lama. Bertenanglah. Santailah. Damaikanlah hati. Selalulah berbicara dengan janinmu. Berpesan dengan yang muluk-muluk. Berbisik dengan yang indah-indah. Berikanlah kepadanya harapan dan doa. Bimbinglah dia dengan izin Allah. Tunjukkan dia jalan yang lurus yang memenuhi kriteria Allah. Dodoikan dia dengan ayat-ayat suci. Dendangkan dia dengan asma al-husna. Iramakan dia dengan kalimah tauhid. Mudah-mudahan Allah memberi laluan yang terbaik untuknya. Peringatkan dia bahawa dahulunya di alam roh dia berjanji akan beriman kepada Allah. Mudah-mudahan dia beriman bila dilahirkan. Moga-moga matinya adalah dalam Islam dan iman.
Janin yang membesar menuntut suatu pengertian. Secara luarannya isteri wajiblah berpakaian yang menutup aurat. Selalu benar hal ini terabai. Tuntutan wajib menutup aurat itu sudah qat’i. Maksudnya sudah disepakati oleh semua ulamak. Sudah tidak ada perbezaan pendapat. Apa yang Allah perintahkan itu diterima seperti itu. Tidak perlu lagi banyak tafsiran dan interpretasi. Buatlah fesyen apapun asalkan menutup aurat seperti yang diwajibkan. Pilihlah kain yang sesuai dengan kulit dan iklim. Dengan keselesaan dan kelembapan udara yang kita ada. Kualiti ikutlah keupayaan membayarnya. Alah membeli tetap menang memakai. Yang penting tutup aurat. Yang utama penuhi tanggungjawab menutup bahagian-bahagian tubuh yang dinamakan aurat. Ia adalah suatu kewajipan. Telah difardhukan. Perintah Allah. Perintah Yang Maha Mencipta.
Saya bukan pencipta rekaan fesyen tetapi hanya mampu menyampaikan apa yang perlu. Apa yang saya tahu. Tutuplah aurat. Suami pula bantulah isteri ke arah itu. Kita semua ingin mencari redha Allah. Nanti kita dikembalikan kepadaNya dalam keadaan diredhai. Aurat wanita ialah seluruh tubuhnya. Dari rambut hingga ke hujung jari kakinya. Hingga ke tumitnya. Kecuali kedua telapak tangannya. Kecuali mukanya. Wajahnya dari dahi hingga ke dagunya. Tidak boleh memakai pakaian yang jarang menampak telus ke dalam. Tidak boleh yang terbelah atau terbuka di mana-mana bahagian. Tidak ketat sehingga memanifestasikan bentuk tubuh yang memang berbentuk. Maaflah saya katakan bahawa seluruh bahagian tubuh wanita adalah aurat kerana di bahagian manapun apabila terdedah boleh menimbulkan syahwat lelaki yang memandangnya.
Seluruh tubuhnya hanya untuk suaminya. Maka suami-suami wajib mencegah isteri mendedahkan auratnya kepada lelaki lain. Isterinya itu hak mutlaknya. Milik tunggalnya. Maka isteri hatta wanita mana sekalipun wajib menjaga auratnya kerana tubuhnya adalah harta paling berharga bagi suaminya. Aset paling mahal untuk suaminya. Hanya isteri itulah miliknya yang ada. Menjaga hak milik suami itu tersangatlah tanggungjawab yang besar. Pesan saya ialah apabila surat isteri terlihat kepada orang yang bukan berhak terhadapnya maka berdosalah jadinya. Malangnya yang menanggung dosa itu ialah suaminya. Bukan dirinya. Membiarkan isteri terus-terusan tidak menutup aurat tentulah suami dikategorikan dayus.
Pakailah pakaian yang longgar. Lengannya berjerut. Atau jika lengan bajunya longgar, memakai sarung tangan supaya apabila lengan baju tersingsing, lengannya masih terbalut sarung tangan. Tidak terdedah aurat tangan. Pakailah setokin. Jika menunggang motorsikal pakailah seluar. Jangan dan jangan dedahkan betis dan paha. Kasihan! Suami tanggung semuanya. Jangan seksa suami di alam barzah dan di akhirat nanti. Jika memakai baju kurung, longgarkanlah. Buat yang lebih besar dari biasa. Jika berblouse pilihlah yang besar dan labuh. Mohon jangan memakai kemeja-T yang ketat. Yang singkat. Yang tidak cukup saiz. Yang melekap di kulit. Yang menampakkan bentuk tubuh. Jangan biarkan segala statistik tubuh badan diukur oleh orang lain. Jangan biarkan setiap mata menangkap bentuk-bentuk yang diharamkan melihatnya. Semua orang tahu perut itu besar. Jangan burukan keadaan dengan mendedahkan bentuknya yang teramat sangar. Sama ada orang tidak berkenan atau nanti ada yang meluat. Saya kasihan isteri-isteri seperti itu. Dia mungkin tidak menghayati maksud menutup aurat.
Suatu perkahwinan adalah ibadat. Mendirikan sebuah masjid tentu mahal harganya. Tinggi nilainya di sisi Allah. Ada nilai pahala dan syurga. Hamil adalah juga suatu ibadat. Fitrah sebuah rumahtanga. Pahala sepanjang kehamilan itu. Memakai pakaian juga ibadat. Fesyen hanya bonus. Kualiti kain juga bonus. Apabila kesemuanya disandarkan kepada Allah maka berpakaian menjadi sesuatu yang wajib dipelihara. Sebenarnya mereka yang menutup aurat dipandang lebih cantik. Lebih manis. Lebih sensuous. Apa-apapun yang didedahkan berkurangan nilainya. Pada mata atau pada hati. Bagi mereka yang mengetahui. Bagi jauhari. Menutup aurat adalah kewajipan. Rujuklah surah An-Nur 24 :31. (Surah ke-24 ayat ke-31). Mudah-mudahan ada barakahnya. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment