Tuesday, November 2, 2010

Raudah: Taman-Taman Syurga

Solat sunat 2 rakaat sudah cukup untuk mendapat ganjaran besar dari Allah. Solat 2 rakaat di Raudah. Semua bakal haji dimaklumkan supaya berusaha bersolat di Raudah. Digambarkan tempatnya yang serba menggamit minda dan diri. Ada tiang-tiang hijau. Ada karpet hijau. Ada tanda-tanda dan sempadannya. Antara makam dan mimbar. Ada mihrab. Ada pangkin muazin. Ruangnya kecil. Jemaahnya ramai.

Sebenarnya semasa kursus dahulu saya menghadapi kesukaran untuk mengimejkan semua gambaran itu dalam minda saya. Kedudukan makam itupun digambarkan terlalu sulit untuk menziarahinya. Sedangkan Rasulullah bersabda bahawa sesiapa yang mengerjakan haji dan tidak menziarahinya dikira orang yang sombong. Cuma itulah mungkin dalam kursus haji, ustaz yang membimbing jemaah kenalah guna teknologi. Tayangkan video yang jelas di mana kedudukan semua hal yang perlu diziarahi.

Yang nyatanya semua prosedur dan proses menunaikan haji bukanlah sesusah yang dijangka. Walau bagaimanapun kita kena kembali kepada Iqra’. Bacalah dengan nama Tuhan kamu yang menjadikan. Menunaikan haji bukan sekadar pergi dengan minda kosong dan tanpa ilmu. Sebab itu ilmu itu sangat penting dalam melakukan sesuatu. Menunaikan haji dengan berilmu sangat memudahkan. Bila ada ilmu mudah memahami, mudah merancang, mudah menyelesaikan masalah. Mudah membuat keputusan. Banyak hal yang perlu dipelajari. Perlu dibaca. Mendengar sahaja ceramah mungkin tidak diingat bila diperlukan. Di haramain, membaca itu perlu. Banyak arahan sama ada dalam bahasa Arab atau bahasa Inggeris.

Oleh kerana Raudhah itu menjadi tumpuan, gambarannya seperti medan perang. Perang mencari keredhaan Allah. Maaflah, jemaah haji wanita tidak kerap merasakan semua ini. Mereka ke Raudhah hanya sekali dalam sehari iaitu selepas solat Subuh. Waktu saya dahulu begitulah. Itu tahun 1999. Sekarang mungkin berubah jadualnya. Dulu pukul 10 malam masjid ditutup dan dibuka semula kira-kira pukul 2 pagi esoknya. Sekarang katanya masjid itu dibuka 24 jam. Beruntunglah jemaah sekarang.

Bagi jemaah lelaki menjejakkan kaki ke Raudhah adalah perjuangan yang sentiasa on going. Tidak pernah berhenti. Ada sekumpulan manusia yang berkampung di situ. Maka terkesampinglah jemaah lain dari menikmati Raudhah itu. Maka jemaah seperti saya terpaksalah berhimpit-himpit untuk berada di situ. Sangat menyesakkan. Untuk dapat berjemaah solat waktu di Raudhah adalah suatu perjuangan yang sangat besar. Kadang-kadang sebelah kaki di Raudhah tetapi sebelah kaki yang lain di luar Raudhah. Seolah-olah sebahagian besar jemaah berada di Raudhah dan hanya sebahagian kecil yang berada di luar Raudhah. Sesaknya memang menyesakkan.

Mula-mula sampai di Raudhah saya keliru. Bagaimana saya hendak solat dalam keadaan orang terlalulah ramai. Antara saya dengan orang di depan saya kurang dari sehasta. Begitu juga orang di belakang saya. Hendak mengangkat takbiratulikhram tidak menjadi beberpa kali. Terfikir macam mana hendak ruku’ dan sujud dalam keadaan berhimpit-himpit itu. Maka memerhatilah saya. Belajar dari perbuatan dan pengalaman orang lain. Rupanya semuanya mudah belaka. Teringat rakan saya yang di Subang Jaya. Teorinya mudah sahaja katanya. Kita hendak sama-sama beribadat. Maka berkongsilah ruang. Berkongsi suasana. Berkongsi hati. Bertolak ansur. Memberi dan menerima. Sama-sama mengerti.

Ruang yang sempit bukan isu. Berhimpit-himpit bukan penghalang untuk solat. Yang perlu dilakukan hanyalah terus mengangkat takbiratulikhram ketika menjejak sahaja kaki di Raudhah. Di atas karpet hijau. Antara tiang-tiang hijau yang hiasannya berwarna emas. Kata orang memang emas. Saya tidak pernah mempastikan kesahihannya. Mungkin autentik dakwaan itu. Semasa saya solat orang di depan tidak pernah mengganggu. Bila saya ruku’ dengan sendirinya jemaah di hadapan bergerak ke hadapan kerana tertonjol kepala saya. Sujud menjadi mudah pula kerana ruang sudah terbuka. Jika jemaah di hadapan tidak bergerak maka ruku’lah di belakang mereka. Apa nak buat. Nanti sujud juga di belakang mereka. Ruang sudah tidak ada.

Dalam keadaan seperti itu saya belajar mengecilkan badan. Bila sujud saya bulatkan badan saya supaya tidak terlalu menjulurkan badan ke hadapan. Duduk antara dua sujud atau duduk tasyahud juga dalam keadaan yang sama. Jika tabaruk memakan ruang orang lain. Kadang-kadang terasa lucu juga bila diingat. Banyak kali bila berjemaah solat waktu saya mencari akal. Waktu sujud memang sukar mencari ruang untuk meletakkan dahi dan hidung ke karpet. Biasanya saya masukkan muka saya antara kaki jemaah di hadpan. Dia membuka kakinya memberi ruang. Jika antara kaki dua orang jemaah saya lakukan yang serupa. Masukkan sahaja muka antara kaki mereka. Secara automatik mereka merapatkan kaki mereka. Terbentuklah ruang antara kaji-kaki mereka itu. Dalam Raudhah itu saya bereksperimen. Mencuba dan banyak mencari akal.

Itulah Raudhah. Taman-taman syurga. Sewaktu hayatnya Rasulullah menjejaki seluruh Raudhah itu kerana letaknya antara rumah Baginda dan mimbar. Di situlah Rasulullah membaca khutbah. Di situ berhalaqah. Di situ bermuzakarah. Di situ merencanakan keseluruhan urusan kehidupan umat Islam ketika itu. Seolah-olahnya tapak kaki kita menjejaki tapak-tapak kaki Rasulullah. Lagipun Raudhah itu terlalu dekat dengan makam Baginda. Solat kita berhampiran benar dengan Baginda, Abu Bakar dan Umar. Baginda manusia teragung yang dicipta Allah. Abu Bakar sangat ikhlas dalam perjuangan agama. Jika kebaikan Abu Bakar ditimbang nescaya lebih berat dari kebaikan seluruh umat Islam. Umar pula dengan ketegasannya menjalankan perintah Allah. Ada hadis yang meriwayatkan bahawa syaitan takut kepada Umar.

Saya berada di Raudhah itu. Dulunya Rasulullah di situ. Di situ juga semua sahabat kabir. Di situ juga semua sahabat berhimpun. Raudhah itu penuh sejarahnya. Terhimpun padanya insan-insan yang solihin, siddiqin, syauhada’, muttaqin, mukhlisin dan sebagainya. Menjejakkan kaki di situ merupakan kebersamaan dengan mereka. Mengulang sejarah mereka.

Selain dari solat waktu dan waktu-waktu lain saya suka berlegar di keliling kawasan itu selepas solat Isya’. Ketika itu biasanya Raudhah agak lengang. Saya boleh memilih mana-mana sahaja tempat untuk saya solat sunat. Sepuas hati saya. Sewaktu saya menunaikan umrah pada tahun 2003, Raudhah itu memang puas saya kunjungi. Hampir setiap kali berjemaah solat waktu saya di situ. Malah kadang-kadang tidak jauh dari imam. Tidak dapat di belakang imam kerana dia selalu dilindungi oleh ramai jemaah yang sudah awal-awal ditempatkan di sekeliling sejadah imam. Dapat melihat dari jauh sedikit. Tetapi Raudhah menjadi tempat lalu lalang. Tiada halangan dan kekangan seperti musim haji.

Raudhah yang indah. Bukan ada hada dan halangan manusia yang mengunjunginya. Bukan hiasan yang mencantikkannya. Tetapi Raudhah itu menjadi saksi saya pernah ke sana. Di syurga nanti keindahannya akan dinikmatai secara live. Unplugged. Di sini, alam ini, Raudhah hanya bayanganya sahaja. Gambaran yang tidak langsung menepati piawaian syurga. Pergilah bagi yang belum. Saya ingin mengulang-ulangi. Rindu pada Rasulullah sentiasa dipendam. Tanyalah pada mereka yang pernah berkunjung ke sana. Dalam hati terlonta-lonta. Ingin benar terbang segera. Hajat, hasrat, niat memang ingin mengulanginya. InsyaAllah

Monday, November 1, 2010

Madinah al-Munawarrah - Damainya Bumi Rasulullah.

Kali pertama saja jejakkan kaki di bumi Madinah adalah pada suatu Subuh. Itulah hari pertama saya setelah terbang dari Senai pada hari semalamnya. Turun sahaja dari bas kedengaran laungan azan yang mendayu sayu. Allah, aku di sini ya Rasulullah. Aku di bumimu sekarang. Terlonta-lonta hati untuk berjemaah kali pertama di Masjid Nabawiyyah. Masjid yang dibina oleh manusia teragung yang menjadi kekasih Allah. Nabi akhir zaman. Penghulu segala nabi. Nabi besar segala junjungan.

Jadual Tabung Haji menyenaraikan bahawa solat pertama di Madinah ialah pada waktu Zohor. Waktu sampai kali pertama menjejak kaki di bumi Madinah itu tentulah kalut. Letih dan lesu kerana perjalanan yang jauh. Belum lagi urusan bagasi yang banyak bertimbun di perkarangan apartment. Alhamdulillah hanya beberapa minit dari pintu belakang Masjid Nabawi. Syukur alhamdulillah. Rezeki dari Allah untuk hambanya seperti saya dan rombongan.

Saya kebetulan bersama anak saudara isteri saya. Yusof juga namanya. Kami berdua memutuskan untuk berjemaah kali pertama subuh itu. Terlalu dekat masjid itu. Terasa berdosa jika tidak pergi. Terasa sangat rugi. Datang beribu-ribu kilometer jauhnya, tidak mungkin peluang ini disia-siakan. Terlalu jelas depan mata. Kami sudah sampai. Ayuh kami langkahkan kaki menjengah pagar. Memang dekat. Sekadar terlindung bangunan lain. Allahu Akbar. Ini masjidmu ya Rasulullah. Aku jejak dalamnya. Di mana makammu. Arah entah ke mana. Imej-imej peta tentang kedudukan makam hilang seketika. Sebelum sampai dihafal semuanya. Seperti sangat pasti akan diziarahi. Rupanya dalam kekalutan itu ada yang lebih utama. Nanti dulu hati. Sabarlah. Banyak masa di sini. Di bumi ini. InsyaAllah 8 hari yang akan penuh dengan kesyahduan. Rindu yang telah lama berpanjangan. Akan diubat dan terubat nanti. Sudah terlalu dekat ya Rasulullah. MasyaAllah gejolaknya hati ini. Rontanya sukar dikawal.

Saya teringat kembali, sewatu berkursus haji selama tiga tahun dulu banyak cerita yang berat-berat. Kami diingatkan bahawa mengerjakan haji itu semuanya seperti susah. Banyak masalahnya. Panasnya tidak boleh dicerita. Berkongsi bilik hingga sesak tidak boleh bergerak. Tidur beralaskan tilam setebal tiga sentimeter. Ya tiga sentimeter. Makanan yang bercatu. Kenderaan yang berbagai ragam. Belum drebar yang banyak ragamnya. Muasasah yang banyak cerita. Semuanya digambarkan sebagai payah. Mungkin untuk membiasakan hati supaya bersedia. Entahlah.

Saya bertanya kepada seorang kenalan yang pergi setahun lebih awal. Bila saya tanyakan pengalamannya, lama dia terdiam. Mencari perkataan yang sesuai agaknya. Atau mengumpul semula pengalaman baru yang dilaluinya. Jawapannya cukup santai tetapi menenangkan hati saya. Katanya, pengalamannya tidak sesusah seperti yang digambarkan oleh ustaz-ustaz yang memberi kursus dulu. Kebetulan saya mengunjungi seorang sahabat di Subang Jaya. Saya tidak tahu dia juga baru kembali mengerjakan haji. Saya melihat rambutnya baru tumbuh selepas dicukur waktu bertahlul awal dulu agaknya. Dalam sembang saya tanyakan juga pengalamannya. Jawapannya juga sangat santai. Katanya bersesak-sesak di Raudah (di Masjid Nabawi) adalah perkara biasa. Beginilah, katanya, semua orang ingin melaksanakan ibadat yang sesempurnanya. Maka redhalah berkongsi ruang. Sama-sama mencari yang terbaik. Dua cerita itu melapangkan dada saya. Hilang kegusaran kerana kesukaran yang digambarkan. Begitulah pengalaman-pengalaman yang berbeza bagi mereka yang pernah berada di haramain itu. Nantilah ada rezeki saya ceritakan pengalaman saya sendiri.

Dijangkakan semua tetamu Allah berada di bumi Madinah selama 8 hari. Cukup 40 waktu solat fardhu. Jaminannya syurga. Oleh kerana subuh itu saya mendahului jemaah yang lain maka saya mendapat 41 waktu. Alhamdulillah. Rezeki dari Allah. Kali pertama memasuki Masjid Nabawi, hati berbaur antara gembira dan terpana. Antara realiti dengan impian. Antara percaya dan kagum. Ceritanya, gambarannya dan bayangannya telah lama di mata dan di hati. Subuh itu saya berada di dalamnya. Alllahu Akbar. Tanyalah mereka yang pernah di situ. Akan luluh hatinya. Akan tergenang air matanya.

Masjid indah ini merakamkan seuatu yang sukar diceritakan. Pengalaman dalaman yang meresap. Mengusap bibit kasih. Yang menancap dalam rasa. Saya bersama Rasulullah ketika itu. Subuh itu solat dahulu. Berhimpit bersama jemaah lain. Saudara lain dari seluruh dunia. Mereka datang dengan caranya tersendiri. Membawa bersama mereka berbagai mazhab dan cara. Benar bagi semua yang tergolong sebagai sunnah wal jamaah. Walau bagaimanapun haramain tidak menolak mazhab dan fahaman lain. Mereka yang mendakwa dirinya Islam boleh masuk belaka. Yang bukan Islam memang tidak boleh masuk. Ada halangan teknikal dan spiritual. Payah hendak diterangkan. Haramain sudah diharamkan bagi yang bukan Islam.

Apapun di sekeliling saya adalah saudara-saudara seagama. Saya katakan kepada anak saudara saya bahawa di akhirat nanti insyaAllah kita akan bersama lagi. Kebersamaan itu nanti insyaAllah akan kekal di akhirat sana. Mudah-mudahan kami semuanya mendapat haji yang mabrur. Pagi itu. Subuh itu bermulanya hidup saya di bumi Madinah. Bumi yang penuh barakah. Bumi yang sangat damai. Anas bin Malik tidak pernah beralas kaki bila berjalan di bumi Madinah. Ramai yang hairan. Ada yang ingin tahu. Tenang jawabnya, masakan aku berlapik memijak bumi Madinah. Bukankah jasad Rsululah ada di bumi ini. Aku ingin sentiasa menyentuh kulitnya bila berjalan di bumi ini. Aku ingin dekat dengan Rasulullah. Itulah kasih sayang yang sangat mendalam. Sayang yang tidak terbatas dengan ruang dan waktu. Kekal abadi hingga ke akhir zaman.

Thursday, October 28, 2010

Indahnya Ikatan Itu

Saya telah memilih menjadi guru. Sudah 41 tahun hingga kini. Dari muda hingga bersara. Masih kejap kaki bertapak menyampai rasa. Membelai didik anak-anak yang dahaga. Ilmu, kemahiran dan maklumat yang tidak pernah berhenti mencurah-curah. Profesion yang tidak menjanjikan apa-apa. Hanya kepuasan mendidik anak bangsa. Mereka mendapat pendidikan. Mereka menjadi apa yang mereka inginkan. Yang pastinya mereka lebih pandai selepas sumbangan saya mendidiknya. Mungkin tidak yang terlalu pandai. Cukup mereka boleh berdikari. Bebas dari menyusahkan orang lain. Bebaslah ibu bapa dari menyara mereka. Alhamdulillah membantu mereka pada waktu dan ketikanya. Usia tua yang memerlukan. Sentuhan kasih ana-anak yang pandai. Yang keluar dari kepompong kemiskinan keluarga. Yang menjana hidup lebih lumayan.

Kadang-kadang guru adalah profesion yang selalu disalah erti. Tugasnya dianggap senang. Cutinya panjang. Kerjanya setengah hari sahaja. Boleh bergaya hari-hari. Sentiasa boleh berpakaian cantik. Elegan. Anggun. Ramai orang hormat. Khususnya yang bijak membahagi masa untuk berkhidmat dengan masyarakat. Namun masanya hanya untuk anak-anak didik. Di bahunya tanggungjawab. Ada komitmen yang silih berganti. Berat ringan menyapa rasa. Anak didikku. Anak didikku. Jadilah kamu memandai diri. Berdikari. Mencipta hari-hari muka yang ria. Berzaman nanti diingat sebagai manusia berjasa.

Persepsi itu banyak berubah. Profesion keguruan bukan lagi santai seperti dulu. Tidak lagi banyak cutinya. Malah musim cuti juga musim kursus dan mesyuarat. Kerjanya tidak lagi separuh hari. Yang nyatanya sepanjang hari dari pagi hingga ke malam. Tekanan mendatang mendesah dan mendesak. Guru menjadi personalia yang juga berubah. Ramai yang tertekan. Ramai yang hilang kemurnian diri. Masa dan suasana mengganggu diri dan emosinya. Dinamika guru mengubah paradigma. Pengubah zaman. Budaya membaca dan bercerita. Masanya berlalu merentas rencana bangsa dan negara.

Saya menjadi guru kerana kemuliaannya. Kerana keagungannya. Kerana keindahannya. Gelaran guru yang memanjang dari hidup hingga matinya. Yang sentiasa disebut baiknya. Jasanya. Baktinya. Ingatkah bait-bait puisi Usman Awang? Apabila seorang peguam menang bicara, di belakangnya ada guru. Apabila seorang raja menaiki tahta, di belakangnya ada seorang guru. Sekali sekala ada orang memberi penghargaan. Ada pengiktirafan. Memberi sanjungan. Nama guru dipahat di mana-mana. Disebut di merata tempat yang baik dan mulia. Betapa ramai yang berterima kasih. Betapa ramai ibu bapa yang merasa terhutang budi. Namun yang paling mengujakan ialah apabila seorang muda menyapa. Seorang tua bertanya tidak pasti. Seorang ibu tersipu mengenal diri. Seorang isteri memperkenalkan suami. Seorang lelaki membimbing anak-anaknya. Ini cikgu saya. Ini pendidik saya. Ini guru saya. Panjang dulu ceritanya. Panjang nasihat dan mintanya. Hari ini abah jadi seperti ini. Ini guru abah yamg jadikan abah manusia. Aduh. Terpana sebentar. Masih ada yang ingat. Masih ada yang kenal. Masih ada yang mendekat. Masih ada yang menabur mesra.

Ingatan-ingatan sebegitu bukan datang selalu. Sekali sekala menerpa. Membuai rasa. Membelai warna-warna rona berbunga itu. Begitupun ramai juga anak didik yang lupa entah kenapa. Mereka lari tidak menyapa. Menjauh diri tanpa bicara. Aduh lukanya hati. Semuanya tidak diminta. Menjadi guru adalah pilihan sendiri. Pilihan diri. Pilihan hati. Disapa bekas anak didik adalah bonus. Hanya suatu kebetulan barangkali. Saya selalu beringat. Tiada jasa sebenarnya. Tiada bakti sebenarnya. Tidak ada apa-apa. Anak didik saya berhak mendapat yang terbaik. Itu hak mereka. Tugas saya dibayar. Dibayar oleh ibu bapa mereka yang membayar cukai. Yang membayar saya. Tidak perlu ada hutang dengan siapa-siapa. Bukan percuma hingga perlu diingat. Ingatan hanya kebetulan. Yang tidak;pun terancang.

Ingatlah, dulu ada anak didik yang pandainya melangit. Ada yang biasa-biasa. Ada yang perlukan bantuan setiap tahap, setiap hari, setiap minggu, setiap bulan, setiap tahun. Di mana mereka sekarang? Di mana mereka? Saya pernah menjadi murid. Menjadi pelajar. Menjadi mahasiswa. I know the feeling. Ada guru yang saya kenang hingga sekarang. Ada pensyarah yang selalu diingat. Masih bersarang ingatan tentang kehadirannya di benak saya. Begitulah juga anak-anak didik saya. Mereka menyimpan ingatan itu di minda mereka. Jika ada saya dalam ingatan mereka, tentu membahagiakan. Sekali dua mungkin ada doa dititip. Berpanjang amal jariah. Ilmu untuk amal yang berangkai masa.

Bayangkan apa yang saya buat untuk anak didik saya. Mereka ke sekolah kerana ingin mendapat pendidikan. Menjadi pandai atau tidak bukan mutlak tugas saya. Mereka lulus periksa atau tidak bukan saya menentukan. Mereka menjadi orang baik atau tidak kembali kepada persekitaran di mana dia hidup. Ada orang lain yang menentukannya. Saya hanya menyediakan mereka untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran hidup yang volatile ini. Yang sangat dinamik ini. Peranan saya cukup kecil terhadap mereka. Setiap seorang hanya mendapat beberapa minit sehari dalam alam persekolahan mereka. Masa yang perlu dibahagi kerana jumlah dan kuantiti yang bukan kepalang banyaknya. Maaflah. Hanya itu yang saya mampu. Sedikit dari emas suasa masa yang dapat diberi. Mudah-mudahan yang sedikit itu panjang dalam ingatan dan kepandaian.

Anak-anak ini kehilangan kasih sayang di rumah. Kualiti masa seperti tidak ada bersama keluarga. Ibu dan bapa yang sibuk mengatur hidup payah dihimpun. Payah untuk bersama. Untuk bercerita. Payah bertukar berita. Payah untuk berkongsi suka duka. Payah juga memotivasi. Memberi perangsang dan semangat. Mendorong dan memacu ke hadapan. Merentas harapan dan cita-cita yang tinggi mengawan. Kepada saya mereka bergantung harap. Kepada orang seperti saya mereka mencari harap. Ganti ibu dan bapa yang sarat dengan harapan tetapi kering dengan lebihan. Rezeki payah ditambah. Payah dibangunkan ekonomi. Hari-hari hanya cukup makan. Cukup tidur dan cukup pakai. Sayangnya tidak cukup kasih. Tidak cukup sayang. Tidak cukup membelai rasa. Tidak cukup membangun damai. Banyak rongga dan ruang kosong.

Kasih sayang pupus di rumah. Sukar menemukan ibu dan bapa bila diperlukan. Jiwa mereka kosong meminta diisi. Kosong minta dicurah rasa. Mereka dahagakan sesuatu yang sukar ditemui di rumah. Sayalah yang menjadi harapan terakhir. Orang-orang seperti saya menjadi harapan terakhir. Gurulah harapan terakhir mereka. Maka di bahu saya terletak segala tanggungjawab mendepani mereka. Menarik mereka dari air yang mencecah hidung menenggelamkan mereka. Mereka yang terlonta-lonta tiada arah. Destinasi yang suram tiada cahaya. Lorong gelap yang entah ke mana sudahnya.

Bayangkan jika anak-anak ini saya sapa susahnya. Saya empati masalahnya. Saya jejaki risau dan gundahnya. A little gesture will go a long way. Ia mungkin menjadi titik yang memanjang semangat. Yang menjadi pendorong untuk memaju ke hadapan. Anak-anak didik itu membangun diri. Membina keyakinan menjadi manusia. Yang nanti terbilang. Mewarna zaman mereka. Menyilau kilauan intan permata ibunda. Penuh dunia fana ini dengan lincah mereka. Menari dan menyanyi lagu jaya. Keluar menerpa alam yang luas dan bisa tergapai semua.

Guru seperti saya banyak yang perlu dibuat. Kata sedikit yang menancap. Senyum sedikit yang mengubat payah dan seiksa menimba ilmu. Gaya badan yang memberi kehangatan usaha. Mendakap kuat bahu yang nanti diberati tanggungjawab. Yang nanti disandarkan harapan untuk masa depan. Yang nanti dititipkan pesan untuk maju. Yang nanti dipesan supaya langkahnya dibarisi waja semangat. Yang nanti di belakangnya warisan zaman mereka yang minta titipan didikan untuk kelestarian hidup dan berbudaya.

Menjadi guru bukan lagi santai. Bukan lagi menagih cuti. Bukan lagi bicara gaji. Bukan lagi banyak meminta. Ia profesion yang tidak menjanjikan apa-apa yang muluk-muluk. Tetapi profesion ini menuntut korban titik peluh. Korban air mata. Korban hati dan rasa. Kau anak-anak didikku. Kau ku lepaskan. Pergilah sayang. Duniamu menanti. Duniaku telah kau tinggalkan. Kau tidak akan kembali ke zaman aku dahulu. Duniamu dan duniaku terpisah juga akhirnya. Aku hanya pernah menjadi gurumu. Jauh di hatiku kau didikanku. Dalam dirimu ada diriku. Bawalah ia kerana tidak mungkin kau dapat membuangnya. Jagalah ia warisan dari diriku. Ia terbina di situ. Panjangkanlah nanti pada anak didikmu. Pada isteri dan suami. Pada anak dan kemanakanmu. Pada cucu cicitmu. Pada anak-anak bangsamu. Moga yang sedikit ini membesarkan zaman. Melanjutkan harapan. Membuahkan natijah indah membelah awan. Gapailah yang tinggi bak tempawan. Mudah-mudahan hidupmu tiada susahnya. Harapan seorang guru seperti saya.

Wednesday, October 27, 2010

Pergilah. Jasa dan Baktimu Didambakan

Ingatkah waktu mengisi borang permohonan mengikuti kursus ijazah pendidikan dahulu? Ia datang dari hati. Dari dalaman anda sendiri. Mungkin, mungkin bukan pilihan yang terbaik. Bukan pilihan sendiri. Mungkin desakan ibu bapa. Mungkin ada yang menarik dari luar. Yang pasti borang itu telah diisi. Anda telah sampai di IPTA yang mungkin bukan pilihanpun. Entah kenapa dicampak ke selatan. Ke utara. Ke timur. Ke barat. Mungkin ke Sabah atau Sarawak. Yang pastinya anda telah berada di sana. Di IPT itu.

Jangkamasa yang panjang. Jangkamasa yang penuh dengan harapan. Jangkamasa yang penuh dengan cabaran. Penuh dugaan. Penuh dengan olahan. Penuh juga dengan alasan. Fasa demi fasa. Beranjak dari satu tahap ke tahap lain. Hari yang berganti. Minggu yang berlalu. Bulan yang datang dan pergi. Tahun menyusul beriringan. Tamat juga penantian itu. Tibalah majlis gilang gemilang yang terakam sebagai saat paling agung dalam sejarah akademik anda. Tidak mungkin akan terulang lagi saat itu. Saat yang paling lama dinanti. Tetapi saat yang paling pantas berlalu. Perjuangan yang memakan masa bertahun-tahun hanya ditamatkan dengan beberapa langkah. Hanya beberapa saat. Selalunya yang pertama itu panjang kenangannya. Manis ingatannya. Indah jika dilamun.

Nampak seperti ironis sahaja. Tidak mengapalah. Segala-galanya sudah tamat. Penamat yang memang dijangka. Sedikit teruja. Mendebarkan dada. Menyesak nafas. Linangan air mata dari mereka yang sayang. Sebak bagi mereka yang memandang. Itu anakku. Itu menantuku. Itu suamiku. Itu isteriku. Itu kakakku. Itu abangku. Itu saudaraku. Itu tunangku. Kesayanganku. Buah hatiku. Intan payungku. Anda milik semua orang yang ada kepentingan atas diri anda. Tolehlah ke manapun. Itulah anda yang dimiliki dan memiliki.

Hari ini anda diuji lagi. Ke mana agaknya anda akan ditempatkan? Nanti akan terima arahan. Terima baris-baris perintah melapor diri. Tika dan waktu menilai diri. Muasabah diri. Terima atau tolak. Terima bererti nanti jauh dari ibu. Jauh dari bapa. Jauh dari kekasih. Jauh dari tunang. Jauh dari kampung halaman. Jauh dari semua yang dekat di mata dan hati. Terpisahlah nanti dek masa dan jarak. Dek lautan dan belantara. Dek awan dan gunung yang menjulang.

Terima, nanti berada di tempat asing. Tempat yang lain suasananya. Lain kelilingnya. Lain warnanya. Lain tinggi rendahnya. Lain serinya. Lain budaya dan resamnya. Lain cara dan amalannya. Lain harapannya. Lain cabarannya. Anda di mana. Rakan anda di mana. Terpisah antara daerah dan mukim. Antara negeri dan rantau. Antara pekan dan desanya. Antara jauh dan dekatnya. Antara suka dan dukanya.

Saat ini menentukan. Terima atau tolak sama natijahnya. Tidak mungkin anda menolak. Bukankah itu pilihan anda. Anda yang memohon. Anda yang belajar. Anda yang menjadi graduan. Anda yang mahu ditempatkan. Anda tidak mungkin hanya mahukan yang dekat. Itu hanya harapan. Yang selalu dapat pulang ke rumah. Yang selalu biasa dengan yang biasa. Yang sudah alah bisanya. Yang diyakini begitulah selamanya.

Nanti dulu.

Negara memerlukan anda. Di manapun tetap di bumi bertuah ini. Di sini. Nusa kecintaanmu. Khidmatmu suatu dambaan belaka. Ya negaramu memerlukanmu. Khidmatmu. Jasamu. Semuanya akan menyatu dalam dirimu. Mencari akur dengan kehendak negara, kehendak masyarakat yang memilikimu. Anda adalah milik mereka. Kepada mereka anda dikembalikan. Sudah sampai masanya. Inilah masa yang dinantikan itu. Anak kecil dan manja dahulu sudah tiada. Yang ada hanyalah seorang individu yang ditagih khidmatnya.

Apalah salahnya ke Sarawak atau ke Sabah. Kan Malaysia juga. Hanya sejarak melintasi Laut Cina Selatan. Tidak cukup panas kerusi Mas atau Air Asia. Terlalu dekat dari udara. Boleh pulang bila-bila masa. Hujung minggu hanya 5 hari jaraknya. Cuti panjang jangan dikira. Jika bertahan tambang percuma setiap 2 tahun. Boleh angkut isteri atau suami. Anak-anak dan bibiknya. Ditanggung semuanya. Negara yang beri biaya.

Sekarang ini guru banyak manjanya. Memang dimanjakan. Dibelai. Ditunjukkan jalan. Diteman. Diiring ke tempat tugas. Nanti anda semua akan dihimpun di ibu kota. Akan dihimpun ibu bapa dan orang-orang yang tersayang. Yakinlah anda semua diberi perlindungan. Nanti dijamin selamat sampai ke destinasi. Dihimpun untuk diberi belaian kata. Untuk dipujuk supaya redha. Untuk mengesat air mata. Tiket untuk ‘niki belon’ disediakan. Tempat duduk ditempahkan. Akan dihantar ke KLIA. Akan ditemani dengan kenderaan percuma.

Terbanglah anda. Bagi yang kali pertama akan nanti berulang-ulang selagi berada di sana. Bagi yang biasa terbang, angaplah ia suatu kebiasaan. Laut Cina Selatan hanya berbalam di bawah. Tidak dilihatpun kerana lindungan awan. Cuma anda tahu air itu di bawah. Awan itu di bawah. Anda berada di awang-awangan. Anda terbang tinggi. Membelah awan. Merentas laut yang airnya biru. Saya pernah di tempat anda. Saya pernah rentas benua. Rentas awan itu.

Di kota Kinabalu atau di Kucing sama sahaja. Anda ditunggui di sana. Ada orang yang menunggu. Ada kenderaan yang menunggu. Sesungguhnya tibanya dinanti. Sampainya anda disambut. Akan ada wajah-wajah manis menggamit. Akan ada wajah-wajah gembira. Berlengganglah. Bagasi anda akan digalas. Akan dibawa ke kereta. Anda VIP dari semenanjung. Seketika anda jadi orang penting. Orang utama. Orang besar. Bersandarlah di belakang. Sesuatu yang hanya dirasa pembesar Inggeris sewaktu datang menjajah kita dahulu. Bila negara ini bebas andalah tuan. Andalah pembesar itu. Kecuali, kecuali anda bukan penjajah. Tugas anda menjajah minda anak didik anda supaya gemilang dan terbilang. Cemerlang menggapai awan.

Luncuran kenderaan membelah Kota Kinabalu atau Kucing. Imej-imej baru yang menyapa rasa. Menyapa hati. Menyapa rindu jauh kampung yang ditinggalkan. Tinggallah sayang tingallah junjungan. Aku di sini. Dekat di hatimu. Hanya jauh di mata. Rinduku rindumu. Kirimlah salammu. Kirimlah smsmu. Kirimlah e-mailmu. Jenguk-jenguklah facebookku. Jenguklah twitterku. Angin akan selalu berhembus membawa rasa. Membawa rindu ini. Membawa kejauhan ini. Hatiku dan hatimu akan tetap dekat.

Lamunan anda akan terhenti. Lamunan anda akan sampai di situ. Kenderaan anda berhenti di situ. Di bangunan itu. Di rumah itu. Di sini cikgu. Cikgu tinggal di sini. Semuanya sudah dibereskan. Anda hanya membawa diri. Badan yang sehelai sepingang. Rumah itu negara yang membayar sewanya. Anda tidak perlu tahu berapa banyak. Sebuah rumah untuk anda seorang. Rakan yang lain di rumah yang lain. Itulah kebebasan anda. Hasil penat lelah dulu sewaktu di sekolah. Waktu di politeknik. Waktu matrikulasi. Waktu di IPT. Sekarang anda menjadi tuan. Menjadi anda yang tersendiri. Inilah lagu cita-cita yang anda jayakan dulu. Yang konvonya sangat mengujakan. Di sini anda. Di rumah besar yang tidak pernah diimpikan. Tetapi ia realiti yang benar. Benarkah semua ini? Ya benar. Sebahagian dari dunia ini milik anda sekarang.

Apa lagi rumah itu serba lengkapnya. Pergilah ke dapur. Jeranglah air, tungkunya ada. Mungkin gasnya masih ada. Bukalah peti ais, besar tersergam. Berehatlah di sofa, ada di ruang tamu. Tidurlah, katilnya tersedia untuk dibaringi. Apa lagi yang anda mahu. Segalanya sudah tersedia on a silver plattter. Saat yang memanjakan. Aduh. Inilah hidup. Antara bahagia dan terpana. Negara telah sediakannya untuk anda.

Saya menjadi guru selama 41 tahun. Tidak pernah dihimpun. Tidak pernah ditaklimat. Tidak perah dihantar. Tidak pernah dimanja. Arwah ibu saya tidak tahu bagaimana saya sampai di destinasi saya. Tidak tahu sekolah mana saya berada. Tidak tahu rumah mana saya duduki. Dia hanya tahu saya di tempat itu. Tempat yang dia yakin saya selamat. Ada berita yang dihantar. Ada warkah yang boleh dibaca. Ada kiriman seringgit dua untuk belanja. Tanda ingatan penat lelahnya dulu.

Bertugas di manapun serupa juga. Sibuknya mencengkam perasaan. Kalutnya melewati Perdana Mentari. Anak-anak murid menanti. Ketegangan hanya jika memberat perasaan. Ia ringan jika berlapang dada. Biasalah bagi yang menurut perintah seperti anda. Tugas belaka. Mana boleh diingkari. Patuh segala. Seluruh jiwa ragamu sudah diikat. Sudah di situ setiamu. Selamanya akan terikat menjadi guru. Bukankah dulu itu minta dan maumu?

Mudah-mudahan nanti masa yang berlalu akan menajamkan akal budi. Mematangkan pengalaman. Memantapkan wibawa. Menjadi guru yang boleh digurui. Bila sampai waktu itu kenanglah saya. Kenanglah orang seperti saya. Saya sudah tiada untuk sama merayakannya. Dirgahayu semua anak didikku. Sambunglah warisan ini. Untuk negaramu. Untuk bangsamu. Untuk agamamu.

Tuesday, October 26, 2010

Menunaikan Haji: Niat dan Usahanya

Nabi Ibrahim diperintahkan Allah supaya menyeru manusia mengerjakan haji. Tugasnya menyeru dan Allahlah yang menyampaikan seruannya itu ke dalam hati manusia yang beriman. Namun begitu manusia dengan akal yang telah dianugerahkan Allah dikehendaki membuat penilaian akan hal-hal yang melingkunginya. Memikir dan mena'kul hal-hal yang menjadi manifestasi akan kebesaran Allah. Mencari yang terbaik untuk ibadat sempurna. Mencari redha Allah. UntukNya segala hidup dan mati ini. Terlalu banyak panduan yang Allah berikan supaya kita menggunakan akal.



Selain daripada 4 rukun Islam yang lain, haji dibariskan di bawah sekali. Mungkin ramai orang yang keliru sehingga haji dianggap sebagai yang kelima pentingnya. Tidak perlu disegerakan. Tidak perlu beria-ia benar. Mungkin tidak ramai menyedari bahawa dalam ibadat haji itu terangkum juga 4 rukun yang lain. Pada haji itulah sahadat kita perlu dibuktikan. Solat kita diperkemaskan. Puasa kita diperbanyak dan ditambah kualitinya. Zakat kita dipertingkatkan kuantitinya dan keikhlasanannya. Haji bukan sahaja fizikal dan spiritual bahkan di dalamnya tergarap segala falsafah agama, akidah dan ketuhanan. Akidah yang bersatu dengan ibadah dan menatijahkan akhlak semulia-mulianya insan. Haji merealisasikan insan beriman yang seluruh hidupnya diabadi diabdikan kepada Rabbnya Yang Khaliq.



Pada kebanyakan orang, haji hanyalah rukun Islam. Rankingnya jauh di bawah. Maka ramai yang merasakan bahawa dirinya belum mendapat seru. Belum perlu bersedia. Lazimnya untuk orang tua-tua sahaja. Nantilah dulu. Biar habis dulu masa muda. Biar puas dulu menguliti dunia. Biar lalu segala yang perlu dialami. Nanti bila sampai masanya, datang serunya pergilah haji. Suatu perkiraan yang sangat simple. Kesemua pandangan itu semakin lama semakin meleset. Haji tidak lagi boleh menunggu waktu. Ia sentiasa menggamit. Melambai. Memanggil-manggil. Dengarlah dengan hati. Dengan rasa. Dengan mata hati. Ia dari dalam. Jauh dari dalam lubuk hati.



Jangan tangguhkan jadual untuk menunaikan haji kerana jika mati sebelum melakukannya sedangkan kemampuannya sudah ada maka murka Allah sangatlah besarnya. Jangan banyak beri alasan dalam hal ibadat. Sebagai tetamuNya, Allah menjamin kesejahteraan yang pergi dan kesejahteraan yang ditinggalkan. Anak kecil ada yang jaga. Banyak kerja? Orang lain yang akan buat. Sibuk, tidak mungkin tidak ada masa dan ruang untuk Allah yang mencipta kita. Tidak bersedia? Kenapa? Dari sekolah kita dididik dengan maklumat dan ilmu menunaikan haji. Masakan tidak bersedia lagi. Itulah hakikatnya. Ramai orang yang berdalih. Senario sekarang semakin rumit. Untuk pergi menunaikan haji perlukan giliran yang jangkamasnya sangat panjang. Bayangkan kita mendaftar hari ini, giliran kita adalah kira-kira 30 tahun dari sekarang.



Jika tuan sekarang berusia 50 tahun maka gilirannya akan datang pada usia 80 tahun. Jika sekarang saudara berusia 30 tahun giliran saudara akan datang pada usia 60 tahun. Jika sekarang adik berusia 20 tahu nanti pada usia 50 tahun baru dapat mengerjakan haji. Jika anda melambatkan proses mendaftar, maka semakin lama giliran anda. Mengerjakan haji semakin menjadi elusif. Akan semakin ramai yang tidak bekesempatan untuk menunaikannya. Mungkin tidak tertunai seumur hidup. Barangkali tak apalah. Allah tetap memberi pahala kerana niat sudah ada. usaha telah dibuat. Keadaan tidak mengizinkan. Tapi ralat juga kan?



Walau apapun, oraklah langkah hari ini. Ya hari ini . Daftarlah segera. Sediakan wang secukupnya untuk pendaftarannya. Oleh kerana jangkamasa menunggu itu agak lama, isilah dengan ilmu, dengan segala kemahiran, dengan segala pengetahuan tentang agama dan haji. Tentang solat dan zikir. Tentang sedekah dan puasa. Tentang akidah dan syahadah. Fahamilah falsafah di sebalik haji. Ambillah iktibar dari mereka yang berpengalaman menunaikannya. Belajarlah dari guru dan ustaz. Bacalah buku, artikel yang banyak di mana-mana. Bermuzakarah dengan yang ada pengalaman.



Sesuatu yang perlu ada, adalah dalaman kita. Hati kita. Minda kita. Perasaan kita. Niat kita. Bukalah seluas-luasnya hati kita untuk dekat dengan Rabb kita. Unuik berdamping denganNya. Untuk mendapatkan rahmatNya. Untuk mendapatkan redhaNya. Untuk mendapat syafaatNya. Untuk memperoleh perlindunganNya. Untuk menggandakan amal ibadah. Untuk mendapat naunganNya. Tiada yang lebih baik dari itu.



Labaik Allahumma labaik

Labaikala syarikalaka labaik

Innal hamda wannikmata laka walmulk

Lasyarikalak




Bait-bait itu pernah saya laungkan. Pernah saya pimpinkan jemaah lain di dalam bas menuju Makkah al-Mukarramah. Haji saya pada tahun 1999 dan umrah saya pada tahun 2003. Fahamilah makna bait-bait itu. Nanti ia akan menusuk ke dalam. Dengan kesyahduan yang tiada terkata dek bahasa, saya ulang dan ulang bait-bait itu. Allah, aku datang padaMu. Aku serahkan padaMu. Aku rindu padaMu. Kaulah Rabbku. Allah Akbar. Pastinya hati kita lembut. Hancur luluh kerana rindu yang bersarang di dada. Air mata yang dicucurkan menginsafi diri. Yang membasah pipi mensyukuri kecantikan. Yang membasahi dada untuk menancapkannya di qalbu. Syukurlah mata, kau masih dapat melihat. Syukurlah mulut, kau masih boleh berzikir. Syukurlah telinga kerana kau masih boleh mendengar. Syukurlah kaki, kau masih boleh tawaf dan sai. Syukurlah tangan, kau masih boleh menadah tangan memohon keampunanNya. Syukurlah hati, akidahMu tersimpan kejab di dada ini.


Pasanglah niat. Tidak ada tempat lain yang seistimewa Masjid al-Haram. Yang terpusat awalnya wahyu. Terpancarnya Islam. Yang tersebar darinya al-Quran. Bertebaran panduan hadith. Dakwahnya para sahabat. Jihadnya para tabi'in. Lahirnya tabi' tabiin. Semaraknya ulama' yang mewarisi tugasan untuk memakmurkan dunia dan untuk mengajar yang lain. Lalu berkembanglah Islam dari lembah tandus hingga menyeberang benua dan lautan. Menjadi agama yang paling berpengaruh di dunia. Rasulullah telah dinobatlan oleh orang barat sebagai orang yang paling berpengaruh dalam peradaban manusia.

Cepatlah berangkat ke sana. Menangguh hanya akan menangguh rindu. Takut pula tidak kesampaian.


Sunday, October 24, 2010

Haji dan Keindahannya

Bila cerita haji, ramai yang tertanya-tanya kenapa Madinah al-Munawarrah dan Makkah al-Mukarramah disebut sebagai tanah haram. Haramain kata orang Arab. Sewaktu di Makkah ada dua istilah yang pada awalnya menggusarkan. Bukan sahaja tidak begitu faham tetapi juga kurang biasa. Jika kita hendak mengerjakan umrah kenalah pergi ke miqat. Yang paling hampir ialah Tanaim. Semua kenderaan yang hendak ke Tanaim pemandunya menjerit perkataan “umrah, umrah.” Selepas solat sunat ihram dan memasang niat umrah, kita keluar dari masjid. Ketika itu semua pemandu akan menjerit pula perkataan “haram, haram.”

Jika tidak didalami maksudnya sukar juga jadinya. Rupanya maksud perkataan itu berbeza dengan perkataan yang diungkapkan. Untuk ke Tanaim itu disebut umrah kerana dari sana baru kita ke Masjid al-Haram untuk mengerjakan umrah. Sewaktu hendak kembali ke Masjid al-Haram di sebut haram sebab dari tanah halal (Tanaim) kita kembali ke tanah haram (seluruh bandar Makkah). Ada sempadannya. Tertulis dengan jelas yang menunjukkan sempadan tanah haram dan tanah halal. Bagi yang non-Muslim memang tidak dibenarkan memasuki kedua tanah haram ini. Orang bukan Islam dikeluarkan dari kedua tempat itu sebelum Rasulullah wafat dahulu. Makkah dan Madinnah adalah eksklusif untuk orang Islam sahaja.

Kenapa tanah haram? Pelik bunyinya. Bila dikaji maksudnya berbeza dari kefahaman biasa. Maksudnya yang sebenar ialah mereka yang menjejakkan kaki ke Makkah dan Madinah diharamkan dari dijilat api neraka tubuh badan mereka. Haramain pula adalah perkataan yang bermaksud dua tanah haram. Maksudnya Makkah dan Madinah. Harus difahami pula bahawa Bukit Uhud juga dianggap sebahagian dari tanah haram. Cuma kita ziarah ke sana untuk mengingat kembali peristiwa Perang Uhud yang disejarahkan sebagai perang yang mengorbankan ramai syuhada’. Rasulullah sendiri cedera dalam peperangan itu.

Bukit Uhud yang strategik itu perlu dipertahankan dari banyak penjuru. Firasat Rasulullah. Tetapi kerana orang Islam mabuk kemenangan pada awalnya tertipu dengan helah orang Quraisy yang panglimanya ketika itu Khalid al-Walid. Kealpaan yang sangat signifikan. Mereka melanggar pesan Rasulullah. Mereka lebih berminat denga rampasan perang yang bertimbu-timbun. Nafsu dan ketaatanmereka tewas. Kerananya ramai para sahabat terkorban. Paling dikenang ialah Hamzah, bapa saudara Rasulullah. Dadanya dibelah dan hatinya dikeluarkan kerana dendam seorang wanita Quraisy. Cukup menyayat. Namun pembalasan Allah cukup memberi kesan kepada umat Islam ketika itu. Apabila jenazahnya hendak dipindahkan ke Makam Baqi’, sesuatu yang menakjubkan berlaku. Menjadi saksi semua yang hadir. Sesungguhnya mereka yang syahid itu tempatnya di syurga secara automatik. Darah Hamzah masih mengalir panas walaupun setelah 10 tahun peperangan Uhud berlalu. Subhanallah.

Makam Baqi’ pula tidak pernah penuh sejak zaman Rasulullah lagi. Berpuluh ribu para syuhada’ dikebumikan di situ. Setiap mereka yang meninggal di Madinah pada musim haji ditentukan supaya dikebumikan di Baqi’. Namun hingga sekarang makan itu tidak pernah penuh. Allahu Akbar. Berbahagialah mereka yang disemadikan di situ. Bumi Rasulullah. Di tanah yang sama. Hanya beberapa ratus meter dari makan Rasulullah sendiri. Seolah-olah mereka bersama Rasulullah sehingga hari qiamat nanti. Begitulah ketentuan Allah pada hamba-hambanya.

Saya berkesempatan menunaukan haji pada tahun 1999. Ketika itu usia saya 53 tahun. Dikira tua bagi orang-orang yang menunaikan haji dua atau tiga dekad sebelumnya. Alhamdulillah pada usia 53 tahun kesihatan dan stamina saya masih pada tahap yang baik. Mudah berulang alik ke masjid. Boleh umrah beberapa kali. Tawaf dan sai dipermudahkan Allah. Makan dan minum juga diberi selera. Sakit? Bisalah bagi mereka yang menunaikan haji sakit pening dan batuk agak lumrah. Alhamdulillah. Kata al-Ghazali, bila kita ada sakit pening maknanya Allah masih ingat kita. Lagi berat sakitnya lebih kuat ujian Allah itu. Bagi yang kuat imannya itu hanya cabaran hidup beragama. Semuanya dianggap nikmat belaka.

Ke Makkah dan Madinah perlukan ketahanan fizikal. Ditambah dengan kekuatan emosional dan psikologikal seseorang tetamu Allah mentransformasikan diri mereka menjadi orang baru yang luar biasa. Azam dan harapannya. Kekuatan fizikalnya. Ketahanan mentalnya. Semuanya dilaksanakan dengan mudah. Dengan izin Allah. Walaupun itu kali pertama saya ke sana, banyak sungguh pertolongan Allah. Terasa mudah dalam banyak hal. 45 hari terasa terlalu pendek. Jika boleh hendak lebih lama di sana. Komitmen menjadi penghalang.

Madinah dan Makkah memberikan dua gambaran yang berbeza. Semuanya bergantung kepada individu. Setiap individu mendapat pengalaman yang berbeza. Tidak ada dua orang individu yang pengalamannya serupa. Senang dan susah. Seronok dan tidak. Suka dan tidak. Kesemuanya pengalaman individualistik. Allah menentukan begitu. Sebab itu bila kita tanya mereka yang kembali dari sana, jawapan mereka berlainan antara satu sama lain. Mereka bukan berbohong. Allah Maha Kaya. Anugerah pengalaman kepada hambanya sesuai dengan individu secara berasingan.

Segala amal ibadat digandakan Allah. Doa sangat mujarab jika dihadirkan di hati. Jika ikhlas. Yang positif. InsyaAllah dimakbulkan. Kadang-kadang pengalaman kita kecil sahaja. Mungkin remeh bagi setengah orang. Tetapi bagi yang menerima anugerah Allah, hal itu memberi impak yang besar. Suatu ketika saya hendak minum air zamzam. Waktu pukul 3.30 pagi. Airnya sangat sejuk. Bulan Februari. Winter. Malamnya memang sejuk. Oleh kerana terlalu haus selepas mengerjakan umrah saya teringin sangat hendak meminumnya. Saya tadah sekole air. Saya bawa ke mulut. Dengan bismillah saya berdoa “Ya Allah, Kau sesuaikanlah air ini dengan tekak aku.” Lalu saya minum. Seteguk demi seteguk. Apa jadi? Sekejap lagi. Sat no, kata orang utara.

Saya sedang batuk ketika itu. Terkokol-kokol. Memang ngeri hendak minum air zamzam yang sejuk. Mana mungkin saya minum air yang sejuk seperti ais ketika batuk kuat begitu. Jika di Malaysia tidak mungkin saya melakukannya. Takut lebih melarat batuknya. Menambah mudarat. Keyakinan saya tentang doa sangat tinggi. Pangalaman hari-hari yang lalu mengajar saya untuk banyak berdoa. Sesuatu yang mendamaikan berlaku. Meluluhkan naluri saya. Saya terkedu syahdu. Air zamzam yang saya minum itu hangat di tekak saya. Hangat sehangatnya. Tidak sejuk. Tidak panas. Sangat nyaman. Semuanya bercampur baur. Hangat, dahaga, rasa puas di tekak. Menunaikan rasa ingin meminumnya. Subhanallah. Bagaimana saya dapat menerangkannya. Itulah mustajabnya doa. Sebab itu kita hendaklah banyak berdoa. Ada sesuatu antara kita dengan Allah. Tiada perantaraan langsung. Tiada hijab. Mengingatkan semua itu sebak dada saya dibuatnya.

Bait-bait yang sukar dilupakan: Labaik Allah humma labaik. Labaikala syarikalaka labaik. Innal hamda. Wannikmata lakawalmulk. Laka syarikalak.

Menunaikan haji atau umrah bukan pergi melancong. Banyak falsafah dan adab yang perlu dijaga. Panduannya tidak boleh dipelajari sehari dua. Bacalah, muzakarahlah, bincanglah, dengarlah kursus-kursus yang diadakan, banyak bertanya. Banyak lagi cara untuk mendapatkan maklumat berguna sebelum ke sana. Seingat saya tiga tahun sebelum pergi saya hadiri kursus-kursus haji. Antara penceramahnya ialah Kyai Suhaili, Ustaz Mohd Nor bin Yasuk (sudah uzur sekarang) dan Allahyarhan Ustaz Zakaria. Ramai antara yang berkursus bertanya bila saya akanpergi. Saya hanya senyum sahaja. Selepas tiga tahun tiba pula giliran saya. Ketika itu keyakinan saya sudah agak mantap bahawa segalanya akan dipermudahkan Allah. Pada awal tahun 1999 saya terbang ke Tanah suci bersama isteri saya. Alhamdulillah. 45 hari yang sangat syahdu dan indah. Pengalaman yang sentiasa ingin diulang-ulang. Rindunya hati pada RasulMu ya Allah. Rasulullah. Ya habibullah. Ya sofwatulah. InsyaAllah akan ada kedua dan ketiganya nanti.

Agenda dan Sengketa Yang Selalu Berhambat

Dua negara boleh berperang kerana berbeza ideologi. Kerana berebut sempadan. Kerana mengganggu hal-hal negara yang lain. Kerana hal-hal yang disebabkan public sentiment. Sentimen yang selalu skewed kepada mereka yang berkepentingan diri. Peperangan boleh berlaku kerana ada agenda yang tidak tersurat. Yang tidak dihasratkan dengan nyata. Yang tidak dihebahkan. Yang tidak dimaklumkan. Begitulah dua keluarga boleh bersengketa atas alasan yang sama. Begitulah dua orang manusia boleh bersengketa kerana hal-hal yang sama. Kita selalu berhadapan dengan situasi yang tidak dirancang. Situasi yang tidak kita gemari. Dalam keadaan tertentu kita tidak mahu ada orang lain masuk campur dalam urusan hidup kita. Tetapi itulah yang berlaku selalu. Masuk campur itu sangat senang. Mencampuri urusan orang lain itu sesuatu yang selalu berlaku. Sebab itu berlaku sengketa.

Bayangkan dua buah negara berperang kerana sebab yang remeh temeh. Ada yang berperang kerana negara itu takut diserang. Ada yang melancarkan perang hanya kerana kalah bermain bola sepak. Ada yang berperang kerana syak wasangka. Takut negara jirannya mengancam keselamatannya. Apabila manusia sampai kepada kemuncak tidak waras maka berlakulah hal-hal yang sukar difahami.

Akibatnya terlalu banyak. Terlalu mendukakan. Terlalu sulit untuk dirungkai. Antara dua negara boleh terpisah. Bukan kerana sempadan tetapi kerana belahan hati yang robek kerana tidak serasi. Antara dua buah keluarga boleh dingin. Antara besan, antara kekasih, antara suami isteri, antara adik beradik, antara jiran walhal ia boleh berlaku antara siapa sahaja. Boleh berlaku di pejabat, di pasar, di jalanan dan entah di mana-mana sahaja. Sebabnya sangat mudah. Seperti api dengan minyak yang mudah menyambar terbakar. Ada hal yang seepatutnya dijauhi tetapi dihampiri. Ada yang dengan sengaja menyalakan sengketa. Ada yang tidak sengaja menyebabkannya begitu. Ada pula kerana kejahilan-kejahilan yang sukar diperhalusi.

Ramai orang yang selalu sangat suka menjaga tepi kain orang. Ini yang berat. Memang ada orang yang kena jaga kainnya kerana dia tidak pandai menjaga kain. Tetapi yang lain tidak boleh dijaga kainnya kerana dia tahu menjaga kainnya sendiri. Mengambil sikap mudah bahawa semua kain orang perlu dijaga rasanya terlalu naif. Mengambil jalan mudah. Berapa ramai sebenarnya orang yang tidak mahu kainnya dilihat orangpun. Apatah lagi untuk dijaga kainnya.

Beginilah, setiap orang itu berbeza antara satu sama lain. Fizikalnya berbeza walaupun adik beradik ada iras-irasnya. Tingkah lakunya berbeza. Perasaannya berbeza. Emosinya berbeza. Psikologinya berbeza. Falsafah hidupnya berbeza. Gaya hidupnya berbeza. Kehendaknya berbeza. Keperluannya berbeza. Hatta agenda diri dan peribadinya berbeza. Kadang-kadang dia ingin menyendiri kerana akal perasaannya berbeza dengan orang lain.

Orang Islam hanya boleh masuk campur hal orang lain dari segi dua perkara. Menggalakkan dan memotivasi orang lain ke arah kebaikan. Keduanya mencegah kemungkaran dalam apa bentuk sekalipun. Hal-hal lain yang tidak melanggar syara’ tidak perlu diganggu. Yang bukan maksiat tidak boleh diganggu. Yang tidak mengganggu orang lain tidak boleh diganggu. Yang tidak merosakkan orang lain tidak boleh diganggu.

Sikap kita selalunya menjurus kepada dua perkara. Pertama bersandarkan agama. Keduanya bersandarkan adat. Ada pula yang memilih yang ketiga iatu mengikut kebiasaan. Ini sangat menyulitkan.

Dalam banyak hal mulut kita yang selalu menjadi angkara. Mulut yang kecil ini selalu menggoncang perasaan. Menggoncang keperibadian. Mengguggat kedamaian. Merosakkan hubungan. Membataskan kemesraan. Menyekat silaturrahim. Memusnahkan ikatan. Bentuk mulut bukan ukuran. Perkataan, kata-kata yang keluar dari mulut dinilai baik atau sebaliknya. Malangnya kita selalu terlajak cakap. Terburai kata. Lepas bicara. Terlajak di sana dan di sini. Liar tidak menentu. Laser membelah hati-hati yang terlalu luka. Perasaaan yang tertimpa. Hati yang hiba.

Kita lupa bahawa kata-kata manusia jauh lebih tajam dari mata pedang. Ia menggores bagi yang kebal. Ia menusuk bagi yang lembut hatinya. Ia menikam bagi yang alpa. Datangnya dari hadapan dan belakang. Dari depan ia berupa perli, caci maki, cercaan, sindiran, tempelakan dan sindiran. Dari belakang biasalah umpatan dan kejian, syak wasangka, tohmatan, spekulasi. Kedua-duanya sama menghiris luka yang bisa. Mengalirkan darah kesakitan. Melukakan dalam dan luar. Meleburkan ikatan dan harapan.

Sukar bagi kita ada mata, lihat. Ada telinga, dengar. Ada tangan, belenggu. Ada lidah kelukan. Ada bibir, katup. Ada hidung, hidu. Tidak sesusah manapun. Cuma itulah, mulut kita jarang ditutup. Tidak pernah berfikir. Tidak pernah menyentuh rasa. Tidak pernah menghidu bahaya. Tida pernah mendengar derita. Bak peluru, kata-kata selalu dilepaskan. Sasarannya belum tentu atas atau bawah. Depan atau belakang. Kanan atau kiri. Mulut tidak pernah berunding dnega anggota yang lain. Barangkali adil bila kiamat nanti mulut dikunci. Anggota lain yang melaporkan kepada Allah apa sahaja.

Lidah pula selalu tidak bercabang. Setiap masa lain bicara. Dulu lain sekarang lain. Licin menuturkan kata-kata tanpa ada sekatan. Memanglah penutur tidak mendengar apa yang ditutur. Dia tidak tahu ke mana sampainya kata-katanya itu. Terlajak tidak boleh ditarik balik. Yang mendengar tidak tahu maksud penutur. Telinganya sahaja mendengar. Perasaannya sahaja yang tersentuh. Nuraininya luka. Muka dan telinganya memerah menahan gelora. Amarah juga yang merosak suasana.

Bukankah setiap individu itu berbeza? Bukankah setiap orang ada agenda sendiri. Dia selesa dengan agendanya sendiri. Dia ingin berada dalam dunianya yang disenanginya. Yang mengujakannya. Yang mendamaikannya. Yang membahagiakan dirinya. Individu berhak menentukan tarikh dan waktu. Tempat dan masa. Acara dan prosesnya. Menu dan santapnya. Minum dan pelepas dahaganya. Hiasan dan keraiannya. Tentulah sukar difahami jika ada orang yang mengubah selera kita. Mengubah agenda kita. Mengubah acara kita. Mengubah kehendak kita. Mengubah keperluan kita. Mengubah proses kita. Mengubah prosedur kita. Mengubah hal-hal yang mengganggu dalam kita. Hati kita. Perasaan kita. Minda kita. Psikologi kita. Hati dan nurani kita.

Kita yang berada di luar kotak seseorang seharusnya membantu dengan hadir undangannya. Melihat apa yang dipaparkannya. Mendengar apa yang diungkapkannya. Bertanya pada yang kurang jelas tetapi bukan cuba mengubah apa yang sudah direncanakannya. Memberi cadangan mungkin sebagai keperluan untuk didengar. Minta maaflah, bukan untuk dituruti. Setiap orang ada agendanya sendiri. Semuanya telah difikirkan. Yang penting tentunya hatinya. Damainya. Tenangnya. Bahagianya.

Tidak bolehkah orang lain turut gembira dengan apa yang disukainya? Akur dengan keputusannya? Hormati akan rencananya? Apatah lagi jika kita saudara tua. Atau pangkatnya lebih tinggi. Yang lebih senior. Yang lebih dihormati. Belajarlah menghormati orang lain yang lebih muda. Lebih rendah tarafnya. Lebih kecil kedudukannya. Lebih hina strata kelasnya.

Orang mungkin akur dengan cadangan kita tetapi hatinya di dalam sangat bengkak kerana tidak dapat meluahkan rasa. Memendam hujjah yang tidak terungkap. Membelenggu perasaaan kerana banyak hal yang perlu ditimbang. Ini diri kita. Ini rumahtangga kita. Ini keluarga kita. Ini negara kita. Ini kita punya. Ini bukan untuk siapa-siapa. Ini hal kita. Ya kita.

Kita harus belajar untuk mendengar. Belajar melihat. Belajar mengunci mulut. Belajar menyimpan pendapat. Belajarlah melepaskan orang lain dengan kehendaknya. Kita bukan rugi. Kita bukan untung. Kita tidak ada apa-apa. Dulu dan sekarang setara juga keadaannya. Lapangkan dada. Luaskan fikiran. Senangkan hati. Nikmatilah kehidupan orang lain. Itu hak mereka. Diri mereka adalah hal mereka. Ada mata, pandang. Ada telinga, dengar. Ada mulut, tutup. Agenda orang bukan agenda kita.

Elok kita menjaga tepi kain sendiri. Mungkin ada cacat celanya. Menjaga tepi kain orang lain dengan haknya. Berpeganglah kepada amar ma’ruf nahi mungkar. Namun sentiasalah berhemah. Tidak ramai, malah terlalu sedikit orang yang mahu akur dengan nasihat. Mengganggu agendanya lagilah menjauhkan hatinya. Hanya merenggangkan hubungan yang santai dan damai.

Marilah kita sama-sama belajar untuk menghormati hak orang lain.