Ingatkah waktu mengisi borang permohonan mengikuti kursus ijazah pendidikan dahulu? Ia datang dari hati. Dari dalaman anda sendiri. Mungkin, mungkin bukan pilihan yang terbaik. Bukan pilihan sendiri. Mungkin desakan ibu bapa. Mungkin ada yang menarik dari luar. Yang pasti borang itu telah diisi. Anda telah sampai di IPTA yang mungkin bukan pilihanpun. Entah kenapa dicampak ke selatan. Ke utara. Ke timur. Ke barat. Mungkin ke Sabah atau Sarawak. Yang pastinya anda telah berada di sana. Di IPT itu.
Jangkamasa yang panjang. Jangkamasa yang penuh dengan harapan. Jangkamasa yang penuh dengan cabaran. Penuh dugaan. Penuh dengan olahan. Penuh juga dengan alasan. Fasa demi fasa. Beranjak dari satu tahap ke tahap lain. Hari yang berganti. Minggu yang berlalu. Bulan yang datang dan pergi. Tahun menyusul beriringan. Tamat juga penantian itu. Tibalah majlis gilang gemilang yang terakam sebagai saat paling agung dalam sejarah akademik anda. Tidak mungkin akan terulang lagi saat itu. Saat yang paling lama dinanti. Tetapi saat yang paling pantas berlalu. Perjuangan yang memakan masa bertahun-tahun hanya ditamatkan dengan beberapa langkah. Hanya beberapa saat. Selalunya yang pertama itu panjang kenangannya. Manis ingatannya. Indah jika dilamun.
Nampak seperti ironis sahaja. Tidak mengapalah. Segala-galanya sudah tamat. Penamat yang memang dijangka. Sedikit teruja. Mendebarkan dada. Menyesak nafas. Linangan air mata dari mereka yang sayang. Sebak bagi mereka yang memandang. Itu anakku. Itu menantuku. Itu suamiku. Itu isteriku. Itu kakakku. Itu abangku. Itu saudaraku. Itu tunangku. Kesayanganku. Buah hatiku. Intan payungku. Anda milik semua orang yang ada kepentingan atas diri anda. Tolehlah ke manapun. Itulah anda yang dimiliki dan memiliki.
Hari ini anda diuji lagi. Ke mana agaknya anda akan ditempatkan? Nanti akan terima arahan. Terima baris-baris perintah melapor diri. Tika dan waktu menilai diri. Muasabah diri. Terima atau tolak. Terima bererti nanti jauh dari ibu. Jauh dari bapa. Jauh dari kekasih. Jauh dari tunang. Jauh dari kampung halaman. Jauh dari semua yang dekat di mata dan hati. Terpisahlah nanti dek masa dan jarak. Dek lautan dan belantara. Dek awan dan gunung yang menjulang.
Terima, nanti berada di tempat asing. Tempat yang lain suasananya. Lain kelilingnya. Lain warnanya. Lain tinggi rendahnya. Lain serinya. Lain budaya dan resamnya. Lain cara dan amalannya. Lain harapannya. Lain cabarannya. Anda di mana. Rakan anda di mana. Terpisah antara daerah dan mukim. Antara negeri dan rantau. Antara pekan dan desanya. Antara jauh dan dekatnya. Antara suka dan dukanya.
Saat ini menentukan. Terima atau tolak sama natijahnya. Tidak mungkin anda menolak. Bukankah itu pilihan anda. Anda yang memohon. Anda yang belajar. Anda yang menjadi graduan. Anda yang mahu ditempatkan. Anda tidak mungkin hanya mahukan yang dekat. Itu hanya harapan. Yang selalu dapat pulang ke rumah. Yang selalu biasa dengan yang biasa. Yang sudah alah bisanya. Yang diyakini begitulah selamanya.
Nanti dulu.
Negara memerlukan anda. Di manapun tetap di bumi bertuah ini. Di sini. Nusa kecintaanmu. Khidmatmu suatu dambaan belaka. Ya negaramu memerlukanmu. Khidmatmu. Jasamu. Semuanya akan menyatu dalam dirimu. Mencari akur dengan kehendak negara, kehendak masyarakat yang memilikimu. Anda adalah milik mereka. Kepada mereka anda dikembalikan. Sudah sampai masanya. Inilah masa yang dinantikan itu. Anak kecil dan manja dahulu sudah tiada. Yang ada hanyalah seorang individu yang ditagih khidmatnya.
Apalah salahnya ke Sarawak atau ke Sabah. Kan Malaysia juga. Hanya sejarak melintasi Laut Cina Selatan. Tidak cukup panas kerusi Mas atau Air Asia. Terlalu dekat dari udara. Boleh pulang bila-bila masa. Hujung minggu hanya 5 hari jaraknya. Cuti panjang jangan dikira. Jika bertahan tambang percuma setiap 2 tahun. Boleh angkut isteri atau suami. Anak-anak dan bibiknya. Ditanggung semuanya. Negara yang beri biaya.
Sekarang ini guru banyak manjanya. Memang dimanjakan. Dibelai. Ditunjukkan jalan. Diteman. Diiring ke tempat tugas. Nanti anda semua akan dihimpun di ibu kota. Akan dihimpun ibu bapa dan orang-orang yang tersayang. Yakinlah anda semua diberi perlindungan. Nanti dijamin selamat sampai ke destinasi. Dihimpun untuk diberi belaian kata. Untuk dipujuk supaya redha. Untuk mengesat air mata. Tiket untuk ‘niki belon’ disediakan. Tempat duduk ditempahkan. Akan dihantar ke KLIA. Akan ditemani dengan kenderaan percuma.
Terbanglah anda. Bagi yang kali pertama akan nanti berulang-ulang selagi berada di sana. Bagi yang biasa terbang, angaplah ia suatu kebiasaan. Laut Cina Selatan hanya berbalam di bawah. Tidak dilihatpun kerana lindungan awan. Cuma anda tahu air itu di bawah. Awan itu di bawah. Anda berada di awang-awangan. Anda terbang tinggi. Membelah awan. Merentas laut yang airnya biru. Saya pernah di tempat anda. Saya pernah rentas benua. Rentas awan itu.
Di kota Kinabalu atau di Kucing sama sahaja. Anda ditunggui di sana. Ada orang yang menunggu. Ada kenderaan yang menunggu. Sesungguhnya tibanya dinanti. Sampainya anda disambut. Akan ada wajah-wajah manis menggamit. Akan ada wajah-wajah gembira. Berlengganglah. Bagasi anda akan digalas. Akan dibawa ke kereta. Anda VIP dari semenanjung. Seketika anda jadi orang penting. Orang utama. Orang besar. Bersandarlah di belakang. Sesuatu yang hanya dirasa pembesar Inggeris sewaktu datang menjajah kita dahulu. Bila negara ini bebas andalah tuan. Andalah pembesar itu. Kecuali, kecuali anda bukan penjajah. Tugas anda menjajah minda anak didik anda supaya gemilang dan terbilang. Cemerlang menggapai awan.
Luncuran kenderaan membelah Kota Kinabalu atau Kucing. Imej-imej baru yang menyapa rasa. Menyapa hati. Menyapa rindu jauh kampung yang ditinggalkan. Tinggallah sayang tingallah junjungan. Aku di sini. Dekat di hatimu. Hanya jauh di mata. Rinduku rindumu. Kirimlah salammu. Kirimlah smsmu. Kirimlah e-mailmu. Jenguk-jenguklah facebookku. Jenguklah twitterku. Angin akan selalu berhembus membawa rasa. Membawa rindu ini. Membawa kejauhan ini. Hatiku dan hatimu akan tetap dekat.
Lamunan anda akan terhenti. Lamunan anda akan sampai di situ. Kenderaan anda berhenti di situ. Di bangunan itu. Di rumah itu. Di sini cikgu. Cikgu tinggal di sini. Semuanya sudah dibereskan. Anda hanya membawa diri. Badan yang sehelai sepingang. Rumah itu negara yang membayar sewanya. Anda tidak perlu tahu berapa banyak. Sebuah rumah untuk anda seorang. Rakan yang lain di rumah yang lain. Itulah kebebasan anda. Hasil penat lelah dulu sewaktu di sekolah. Waktu di politeknik. Waktu matrikulasi. Waktu di IPT. Sekarang anda menjadi tuan. Menjadi anda yang tersendiri. Inilah lagu cita-cita yang anda jayakan dulu. Yang konvonya sangat mengujakan. Di sini anda. Di rumah besar yang tidak pernah diimpikan. Tetapi ia realiti yang benar. Benarkah semua ini? Ya benar. Sebahagian dari dunia ini milik anda sekarang.
Apa lagi rumah itu serba lengkapnya. Pergilah ke dapur. Jeranglah air, tungkunya ada. Mungkin gasnya masih ada. Bukalah peti ais, besar tersergam. Berehatlah di sofa, ada di ruang tamu. Tidurlah, katilnya tersedia untuk dibaringi. Apa lagi yang anda mahu. Segalanya sudah tersedia on a silver plattter. Saat yang memanjakan. Aduh. Inilah hidup. Antara bahagia dan terpana. Negara telah sediakannya untuk anda.
Saya menjadi guru selama 41 tahun. Tidak pernah dihimpun. Tidak pernah ditaklimat. Tidak perah dihantar. Tidak pernah dimanja. Arwah ibu saya tidak tahu bagaimana saya sampai di destinasi saya. Tidak tahu sekolah mana saya berada. Tidak tahu rumah mana saya duduki. Dia hanya tahu saya di tempat itu. Tempat yang dia yakin saya selamat. Ada berita yang dihantar. Ada warkah yang boleh dibaca. Ada kiriman seringgit dua untuk belanja. Tanda ingatan penat lelahnya dulu.
Bertugas di manapun serupa juga. Sibuknya mencengkam perasaan. Kalutnya melewati Perdana Mentari. Anak-anak murid menanti. Ketegangan hanya jika memberat perasaan. Ia ringan jika berlapang dada. Biasalah bagi yang menurut perintah seperti anda. Tugas belaka. Mana boleh diingkari. Patuh segala. Seluruh jiwa ragamu sudah diikat. Sudah di situ setiamu. Selamanya akan terikat menjadi guru. Bukankah dulu itu minta dan maumu?
Mudah-mudahan nanti masa yang berlalu akan menajamkan akal budi. Mematangkan pengalaman. Memantapkan wibawa. Menjadi guru yang boleh digurui. Bila sampai waktu itu kenanglah saya. Kenanglah orang seperti saya. Saya sudah tiada untuk sama merayakannya. Dirgahayu semua anak didikku. Sambunglah warisan ini. Untuk negaramu. Untuk bangsamu. Untuk agamamu.
No comments:
Post a Comment