Monday, May 3, 2010

Kuala Terengganu - Ziarahmu Kembali

Hari Isnin 26 April 2010 saya ke Kuala Terengganu. Arahan segera untuk membuat lawatan awal moderator Latihan Mengajar bagi sesi April - Jun 2010. Lapan orang pelajar Diploma dengan pendidikan di SMV Besut dan tiga orang pelajar Sarjana di Kolej Komuniti Kuala Terengganu. Saya, isteri dan anak bongsu saya bertolak agak lewat. Hampir sepanjang perjalanan hujan di sana sini. Saya sampai di Kuala Terengganu pada jam 12.00 tengah malam. Suatu perjalanan yang agak lama juga.

Kuala Terengganu banyak sejarahnya kepada saya, isteri dan dua orang anak saya yang sulong dan yang kedua. Kuala Terengganu adalah sejarah bermulanya profesion saya sebagai guru bertauliah. Hidup berumahtangga saya bermula di situ. Saya mula menimang anak di situ juga. Kuala Terengganu adalah sebuah bandar yang damai pada tahun-tahun 70an. Telah saya ceritakan sebahagiannya tetapi masih ada sebahagian lagi yang belum. Ada suspense sedikit.

Bila kembali ke tempat lama, banyak kenangan silam yang menjelma semula. Menerpa ingatan. Membuai perasaan. Mendodoi lunak imbauan-imbauan di lipatan yang bertahun tidak dijengah. Kuala Terengganu dulu rasanya amat kecil. Minyak belum dicarigali. Banyak kedaifan di negeri Terengganu berbanding dengan negeri lain. Hingga ada yang berseloroh. Jika kita tidur di dalam kenderaan dari Kuantan atau Kelantan, apabila kenderaan mula bergegar, tahulah kita bahawa sekarang sudah berada di negeri Terengganu. Sekarang ini semuanya sudah berubah. Jalan yang paling menggegarkan kenderaan rasanya hanya di Johor sahaja. Entahlah, saya kurang arif.

Kampung Surau di Jalan Pantai Kuala Terengganu sudah membangun. Tapaknya sahaja yang tinggal. Hotel Primula dulu sangat jauh dari bandar tetapi sekarang sebahagian dari bandar. Ladang juga sudah ditelan bandar. Stadium yang dulunya jauh dari pusat bandar, sekarang betul-betul di tengah bandar. Kampung Cina masih di situ. Pasar Kedai Payang masih seperti dulu. Persekitarannya sahaja berubah. Jalan Panji Alam (dulu Mengadang Akar), Bukit Besar, Pasir Panjang, Cabang Tiga, Losong, Seberang Takir sudah berubah kesemuanya.

Ada kesibukan di sana sini. Pencakar langitnya sudah ada. Pulau Wan Man dan Tamadun Seni Islamnya tetap menggamit yang tiba walau dari manapun jua. Banyak imej rakaman yang nostalgik kepada saya kerana suatu waktu dulu saya di sini. 36 tahun dahulu. Suatu jangka masa yang lama juga.
















Saya mulakan perjalanan petang itu dalam keadaan hujan merembas.
















Mercutanda Kota Yong Peng ini rasanya tidak rama yang perasan. Kali pertama saya melihatnya.
















Pekan Labis yang pernah saya huni pada tahun 1967 dahulu.















Menghampiri bandar Segamat. 1967 saya berulang alik ke sini setiap minggu.
















Menjelang maghrib di perjalanan yang berhujan.
















Seberang Takir dari Hotel Seri Malaysia. Nampak seperti dulu juga.
















Pulau yang berbalam di sebalik Seberang Takir. Isteri saya pernah berkursus seni rumahtangga pada tahun 1976.















Seberang Takir hampir senja.















Pagi Selasa 27 Mei 2010. Dalam perjalanan ke Besut.















Jambatan menuju ke Kota Bahru.
















Masjid Besut. Mewarnai pekannya.
















Perjalanan kembali ke Kuala Terengganu.













Di Alor Setar saya kecewa kerana bendang di luar musim. Tiada sawah padi menghijau. Saya temui sawah hijau di Besut. Di Kedah saya temui pohon sebatang. Di sini ada pula kelapa sebatang.














Hijau dan hijau.
















Dan hijau.
















Hijau lagi.
















Ke Kuala Terengganu.

















Sebuah masjid.















Menaranya.














Menghala ke jambatan.
















Di Jambatan.
















Masjid Kristal dari jambatan. Menaranya sahaja kelihatan.














Di tengah jambatan.















Di atas bukit itu 'Allah peliharakanlah Terengganu'.














Di hujung jambatan.
















Di tapak Menara Permint ini dulu adalah tapak Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin yang asal sebelum dipindahkan ke Bukit Kecil. Saya belum berkesempatan untuk menziarahi sekolah ini.
















Pawagam ini berhadapan SM Chung Hwa Wei Sin. Biasa menonton di sini.















Di pusat bandar.
















Menghala ke Hotel Seri Malaysia.















Hotel dari dekat.














Pusat bandar.















SK Sultan Sulaiman.
















Di Jalan Panji Alam. Di tapak redup dan damai ini, dulunya ada sebuah rumah kampung. Rumah kayu yang cukup comel. Rumah dua bilik yang cukup santai. Di tapak ini dua orang puteri saya lahir di sini.
















Yang tinggal hanya tapaknya. Masih dijaga rapi. Damai dalam perkitaran yang sudah hiruk pikuk dengan kesibukan kenderaan dan pembangunan. Sayu juga hati memandangnya. Lama saya di sini. Jiran-jiran lama sudah berpergian semuanya.
















Bangunan kerajaan.
















Mahkamah syariah.














Lagi bangunan kerajaan.














Pasar Bukit Besar.
















Sudah membangun jalan ini.





















Menara masjid Sultan Zainal Abidin.
















Macam Aya Sofia di Istanbul pula.
















Istana Maziah. Istana majlis-majlis diraja.
















Persekkitarannya.
















Dari hadapan.















Masih di Istana Maziah.
















Bas bandar ini seperti rumah bergerak.






















Premis baru perniagaan berhadapan Pasar Besar Kedai Payang.















Nampak seninya.















Menghala ke pantai.





















Terasa damai di sini. Seni.














Pasar Besar ini seperti dulu juga. Sudah 36 tahun ditinggalkan.
















Sebuah bangunan dilihat dari pasar.
















Menyerlah dan agam dilihat dari pasar.

















Pasar yang dulu juga.

















Namanya memang gah.
















Seberang Takir berbalam waktu malam.

















Cahaya yang samar.

















Gelap walaupun siangnya cerah dan sibuk.















Waterfront dalam pembinaan.














Nanti kita boleh santai di sini.














Menikmati angin dan deru ombak.















Yang memutih bekejaran di pantai.















Politeknik Kota, Kuala Terengganu. Betul-betul di tengah bandar.















Balai polis di kejauhan.















Bangunan Hotel seri Hoover. Di sini saya menghadiri jamuan tahun sekolah.
















Dari dekat.
















Kedai bunga juga yang dikunjungi.
















Perpustakaan Awam Kuala Terengganu.















Pinti gerbang ke Taman Seni Islam.















Replika masjid Nabi Sulaiman.
















Antara bangunannya.















Binaan-binaan.





















Replika sebuah masjid dari luar pagar.














Dataran yang luas.
















Posing juga dua beranak ni. Seronok nampak.
















Yang bongsu ni pandai manja juga.















Dari dataran.














Waterfrontnya.















Keindahan.
















Dari tepian sungai.














Jika berminat river cruise.















Jika nak rasa merentas sungai Terengganu.














Jambatan ke Kota Bahru.















Sebahagian dari pencakar langit yang ada.














Masjid Kristal di balik rimbunan pohon palma.














Dari jauh.














4 menara.















Dari dataran.














Dilihat dari Masjid Kristal.














Ada juga yang tidak menjaga pakaian. Kan ini Taman Seni Islam?
















Dari dekat.















Lagi dekat.





















Mihrabnya.














Dindingnya.




















Mimbarnya.















Chandelier besar.















Dari Masjid Kristal.




















Menaranya.




















Satu lagi.



















Sebuah bangunan di tengah bandar.

















Dari penjuru masjid.
















Binaan di luar masjid.















Bergambar juga.















Kampung Cina. Di sini dulu kemeja berjenama Arrow sangat diminati. RM25 sehelai. Tak mampu nak beli.




















Sempit jalannya tetapi masih meriah.















Allah Peliharakanlah Terengganu.





















Sebuah menara arah ke Kuala Berang.
















Ke Kuala Berang.














Jalan yang sama.
















Sebuah kereta. Betul-betul kereta. CAR 2225.














Antara Kuala Berang dan Kuantan.
















Menghampiri Kemaman.















Di kawasan Kemaman.
















Menghampiri Kuantan.
















Kuantan.














Nama ini yng saya temuai dalam perjalanan dengan keretapi ke Bacok dulu.















Muadzam Shah.





















Persimpangan ke Muar di bandar Segamat. Selepas ini perjalanan waktu malam. Hanya diterangi lampu kereta. Manusia hanya pengambara waktu. Paginya di tempat lain. Tengaharinya di tempat lain. Petangnya di tempat lain. Malamnya di tempat lain. Kita tidak pernah statik. Macam mimpi pula. Pagi Isnin di Batu Pahat. Tengah malam di Kuala Terengganu. Selasa di Besut. Rabu di Kuala Terengganu. Malamnya kembali ke Batu Pahat.


Bila kita diam. Selagi ada nuawa di badan kita akan tetap kembara. Berkelana hinggalah kita kembali ke kampung akhir kita nanti. Sementara itu lihatlah keliling. Alamilah seadanya. Buatlah sebaiknya. Kita hanya sementara di sini.

Friday, April 30, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Enam: Bab Ketiga

Mendisiplinkan pelajar adalah antara tugas berat seorang guru. Banyak faktor yang perlu difikirkan. Banyak yang perlu diambilkira. Ia menuntut suatu komitmen yang tinggi tahapnya bagi seorang guru yang hendak berjaya mendisiplinkan pelajarnya. Kaedahnya banyak dan tidak ada suatu formula ajaib dalam menjayakan hal tersebut.


Sewaktu di institusi yang mendidik guru, pelatih diberikan banyak panduan untuk menjadi guru yang berjaya. Semasa mengajar kawalan kelas sangat penting. Tanpa kawalan kelas guru tidak selesa mengajar. Pelajar menjadi liar. Pengajaran dan pembelajaran tidak lancar. Guru tidak boleh menyampaikan pengajarannya. Guru akan mengalami stress, ketegangan emosi yang mungkin fatal hingga menjadikannya sasau. Tanpa rawatan dan pencegahan guru hilang minat mengajar. Pelajar pula akan hilang minat belajar.


Dalam keadaan seperti itu guru boleh menjadi bengis. Memukul pelajar tanpa batasan. Mungkin tega untuk mencederakan pelajar. Implikasi lain mungkin ia akan mohon bertukar sekolah. Pelajar pula hilang hormat terhadap guru. Minat mereka untuk belajar menjadi layu. Guru seolah-olah tidak wujud kepada mereka. Sukar untuk berkomunikasi antara guru dan pelajar. Masing-masing membina tembok yang menyukarkan perdamaian dan mencari titik pertemuan. Mereka berlainan arah. Semakin mereka menjauh kerana arah yang dituju bukan destinasi yang sama.


First impression adalah penting ketika kali pertama seseorang guru memasuki kelas. Sekiranya pelajar jatuh cinta pada pandang pertama, segalanya akan mejadi mudah. Jika pada pandang pertama itu pelajar rasa tertekan hingga timbul rasa benci atau meluat maka sukarlah bagi guru itu untuk menawan semula hati pelajar. Ada guru yang play safe. Mereka bersahaja pada peringkat awal. Mereka membuat beberapa ujian untuk mengesan tabiat pelajarnya. Perlahan-lahan mereka mendekati pelajar. Menenangkan perasaan pelajar. Mendamaikan kesukaran dan kepayahan pelajar. Mendekati mereka untuk menawan seluruh jiwa raga mereka. Menghulurkan bantuan intelek dan emosi. Membina rapport - silatulrahim.


Setiap guru memiliki gaya (style) yang berbeza. Jika boleh bina keperibadian unggul. Mungkin gabungan ciplakan berbagai orang yang kita kenal. Terangkum dalam hal ini ialah jenis pakaian, fesyennya, cara mengenakan pakaian, kombinasi warna, saiznya, termasuk juga seluar, tali leher, jam tangan, tali pinggang, kasut, setokin, kacamata, pen yang digunakan, cara mengenakan tandanama, cara berjalan, duduk, berdiri, berlari, bercakap, suara, mimik muka, lirik mata, pautan bibir, cara menoleh, cara memandang, cara menjawab, cara berhujjah, cara menerima sesuatu pendapat, cara menolak sesuatu pandangan, mengelokkan suara, membina power pada suara, intonasi yang betul, vokal yang terkawal, terdapat kejelasan, kecindan tetapi bukan menjadi badut, lembut tetapi tegas, mudah didekati tetapi banyak berahsia, senang untuk berbicara tetapi menjaga jarak keakrabannya.

Bagi guru wanita, tentulah barang kemas ala kadar. Solekan dan wangian yang menyegarkan. Kacamata dan beg tangan yang sepadan. Lenggang lenggok yang lembut menawan. Kasih sayangmya bak ibu yang sentiasa dilihat merawat dan melabuh kasih. Pelajar adalah anak-anak yang membelai jantungnya. Menyentuh kasihnya. Menyapa kehalusan keibuannya.


Seorang guru sentiasa diperhatikan oleh pelajarnya dari kepala hingga ke tapak kakinya. Maka perawakan seseorang guru hendaklah sentiasa sedap dipandang mata. Pelajar berminat kepadanya. Kehadirannya ditunggu. Kedatangannya disambut suka. Didikannya disambut patuh. Ajarannya diterima rasa. Hilangnya dirindui. Hilangnya dicari-cari. Perginya didoakan sebentar. Harapan mereka guru it segera datang. Sakitnya pula hanya sekejap. Baik dan cerianya kekal.


Pelajar tidak suka guru yang ada angin. Mood selalu bertukar. Ikut angin. Sekejap ke Timur sekejap ke Barat. Pelajar perlukan suasana tenang. Oleh itu guru mestilah mempunyai EQ (Emotional Quotient) - kecerdasan minda yang tinggi. Ia selalu tenang menghadapi apa sahaja keadaan. Sikap cool akan menjadikan pelajar tenang dan damai. Barulah semangat mereka terangsang untuk maju dan cemerlang. Guru boleh marah tatapi marahnya bertempat dan berhemah. Marahnya sangat terkawal. Emosinya dapat dikawal untuk mengawal keadaan. Emosi pelajar adalah sangat rapuh. Mudah retak dan hancur. Perlu dijaga. Guru, itulah tugasmu.

Guru seharusnya menjadi orang yang boleh diharap. Kepada pelajar, guru adalah segala-galanya. Dia bapa dan dia ibu. Pelajar mahukan gurunya berlainan daripada ibu bapanya. Biasalah ibu bapa kepoh dengan anak. Anak ke mana, ibu bapa pula entah ke mana. Maaflah, kadang-kadang ibu bapa sesat barat. Tak tahu apa nak buat. Hasrat besar untuk memandaikan anak. Teknik, strategi dan arahnya tidak dicari. Tidak ada usaha untuk memperkasakan keibubapaan sendiri. Bantuan tidak juga dicari. Ubat penawarpun entah di mana tempatnya.


Maka guru adalah sanjungan pelajar. Guru menjadi penyelamat pelajar. His saviour. Pada gurulah harapan terakhir pelajar. His last hope. Jika guru gagal mengawal fizikal, hati, perasaan dan psikologi pelajar, besar kemungkinan pelajar tidak akan ke mana. Orang-orang dewasa di sekeliling mereka sepatutnya menjadi benteng yang menghalangnya dari jatuh ke lambah dan jurang kegagalan.

Guru menjadi contoh teladan. Sari teladan. Ikutan istimewa. Pelajar berharap sangat gurunya membawa dirinya ke tengah dan ke tepi. Ke gunung dan ke lurah. Penunjuk jalan yang membawanya merentas lautan dan daratan. Negara dan benua. Pembawa kepada kejayaan dan suka gembira. Penglipur segala duka nestapa. Guru adalah penyuluh hidup di dunia dan penyuluh jalan ke syurga.

Pada gurulah segala sandaran cita-cita. Hasrat tangan yang hendak memeluk gunung. Memanjangkan kail yang hendak menduga lautan. Pengukur baju di badan pelajar. Pembentuk peribadi dan sahsiahnya. Pembimbing sopan dan santunnya. Pembatas tamak haloba dan kerakusannya. Pembentuk naluri simpati dan empatinya. Pencetus inovatif dan kreatif pelajar. Penjana nilai-nilai indah dan murni budi baik dirinya. Rasa lembut sentuhan nuraninya.

Besar dan sangat besar harapan kepada guru. Padamu guru ada renungan tajam yang hendak ditancapkan semangat. Disuntik dorongan maju ke hadapan untuk menepis segala rintangan. Menguak luang dan peluang memanjat jaya. Menjenguk rasa bangga kerana jaya. Cemerlang menggapai pelangi indah di hujung usaha. Menikmati kehausan memenuhi dada untuk berilmu.

Lalu guru hendaklah menjadi lilin dan obor menerangi masa hadapan pelajarnya. Merintis jalan-jalan lurus yang menunjuk cahaya. Pencipta masa hadapan pelajar yang jelas realitinya. Membuang halangan dan rintangan. Menyala semangat yang pastinya sentiasa berbahang. Membulat teguh dan memperkasa kilauan cahaya kegemilangan.

Padamu guru, kau bukan sebarangan orang. Kaulah pembina bangsa. Kaulah penghapus kejahilan. Kaulah penunjuk jalan. Jalanmu jalan jaya. Jalan gembira ria. Jalan lurus dan bahagia. Pelajarmu tahu ikhlasmu. Mereka tahu tulusmu. Mereka maklum susah payahmu. Mereka tahu usahamu. Mereka akur keterbatasanmu. Mereka tahu hasratmu untuk memandaikan mereka. Mereka sedar bimbinganmu.

Mereka bangga akan kehadiranmu. Mereka kagum usahamu. Mereka ingat pesanmu. Mereka akur perintahmu. Mereka menjauhi kebencianmu. Mereka taat tunjuk ajarmu. Padamu mereka melihat kejayaan. Sampai tua kau akan diingat. Tidak dilupa semangat suntikanmu. Tidak lupa dalam ingatan. Jauh di mata tetapi tetap dekat di hati. Kaulah yang mampu mengubah mereka.

Sukar mencari manusia yang diingat hidup dan matinya. Diingat jenis kereta, nombor dan warnanya. Rumah tempat tinggalnya. Pasangan hidup dan anak cucunya. Mereka cukup kenal kelibatmu. Malah bayangmu bersama mereka hingga ke akhir hayat. Dalam diri mereka ada rohmu, ada semangatmu. Akhirnya mereka tahu di mana jasadmu disemadi nanti. Kebaikan ajaranmu penerang alam barzahmu. Nama baikmu disebut di bibir mereka. Panjanglah usia kebaikanmu. ka akan tetap dikenang. Seorang guru yang boleh digurui. Seorang guru yang menggurui.

Thursday, April 29, 2010

Selingan Santai

Kita banyak waktu santai sebenarnya walaupun ramai orang mendakwa mereka terlalu sibuk. Masa 24 jam tidak semestinya semua terisi. Ada baiknya semasa ada masa santai yang sedikit itu digunakan untuk berbagai aktiviti sama ada fizikal ataupun mental. Pilihan itu bergantung kepada minat dan peluang yang ada. Ia mungkin brgantung juga dengan apa-apa kemahiran yang kita ada. Waktu santai itulah ruang paling baik untuk menyerlahkan diri dalam bidang yang menjadi sebahagian dari diri kita yang sebenarnya.

Hobi saya agak banyak juga. Saya masih mengumpul dan menyimpan setem. Sewaktu di USA dulu banyaklah saya himpunkan setem dari seluruh dunia. Sesekali saya belek-belek. Banyaklah maklumat melaluinya yang tidak terdapat melalui pembacaan media yang lain. Setem sebenarnya rakaman sesuatu peristiwa sejarah yang besar bagi sesebuah negara dan bangsa. Cubalah jika berminat. Pos Malaysia selalu mengeluarkan setem-setem baru melalui biro filatelinya. Setem simpanan saya barangkali quite a fortune sebagai pesaka nanti.

Minat kedua saya ialah membaca. Bahan yang saya baca pelbagai dari yang ilmiah hinggalah novel. Agak lama juga tidak membaca novel Melayu. Saya suka novel yang berat mesej dan isinya. Ia membantu minda kita bergerak untuk berfikir. Bahan-bahan picisan hanya memberi kepuasan sementara. Selepas beberapa ketika ia hilang begitu sahaja. Bahan yang kita baca tidak layak pula disimpan di perpustakaan keluarga. Apatah lagi jika anak-anak semakin membesar. Saya banyak beralih membaca novel Inggeris hingga sekarang.

Sejak dari sekolah menengah rendah lagi, minat membaca saya agak tinggi. Dulu tiap minggu saya baca buku cerita. Ketika itu Nancy Drew dan The Hardy Boys menjadi kegemaran saya. Di sekolah menengah atas pula novel Melayu yang mengesankan ialah Salina dan Desa Pingitan. Dalam bahasa Inggeris pula saya masih ingat Pride and Prejudice, Jane Eyre dan banyak lagi. Sekarang ini saya tidak pernah gagal membaca setiap novel John Grisham. Tidak ketinggalan juga fiksyen daripada Sidney Sheldon, Dean Koontz dan Dan Brown. Selain refreshing, novel membantu kita menerawang alam yang luas selain dari memperbaiki bahasa kita.

Waktu kecil kegemaran saya memancing. Sekarang ini tidak saya lanjutkan. Saya sudah tidak lagi tahu memancing. Sudah terlalu lama. Ikan sungai atau ikan air tawar sudah sukar melalui tekak saya kecuali dikeringkan atau ikan asin atau jeruk. Saya masih tidak lupa kali terakhir saya mencuba ikan air tawar sewaktu di Ipoh dahulu. Seorang kawan yang kaki pancing memberi saya empat ekor ikan sebarau yang gebu yang saiznya hampir sebesar tapak tangan. Saya terima dua ekor sahaja kerana saya tahu isteri sayapun sudah tidak pandai memakan ikan air tawar.

Hari Sabtu itu saya memasak. Tidak ingat pula gulai sayur apa hari itu. Yang saya ingat gulai lemak. Cukup pekatnya. Saya masak pula sambal rebus saya. Ikan tadi saya goreng. Untuk menghilangkan bau hanyirnya saya lumur dengan kunyit basah. Waktu digoreng baunnya cukup menyelerakan. Bila kesemuanya siap sayapun senduk nasi. Sayur dan sambal memang kecur mulut dibuatnya. Sayapun mulalah makan. Berhati-hati juga menelan ikan. Takut-takut mulut dan tekak tidak boleh menerimanya. Suap pertama alhamdulillah, mudah nampaknya. Diikuti dengan suap kedua, ketiga hinggalah licin pinggan saya.

Saya bangkit dari duduk dan ingin membasuh tangan di sinki sambil untuk membasuh pinggan. Bila saya buka sahaja pili air, ketika itu tanpa sebarang tanda dan amaran, segala isi perut saya terkeluar tanpa boleh ditahan-tahan. Melambak-lambak muntah saya di sinki itu. Meleleh air mata saya menahan sebu perut. Kepala naik pening dan berpusing. Mata naik berpinar. Bila kesemuanya selesai, lepak saya dibuatnya. Barulah saya sedar bahawa untuk makan ada tiga fasa yang perlu disempurnakan kehendaknya. Pertama mulut yang menerima. Keduanya tekak yang menyalurkan ke dalam. Ketiga ialah perut yang menerima. Jika ketiga-tiganya menerima tidak akan ada masalah. Jika tidak pasti keluar juga sudahnya.

Dulu gila juga dengan bola. Semasa di Kuala Terenganu, kadang-kadang ke stadium juga menonton Piala Malaysia. Kerap juga berjaga malam menonton Piala Dunia, Piala Eropah dan sebagainya. Saya meminati sukan walaupun bukan ahli sukan. Sekarang ini masih menonton juga di TV tetapi bukan gila macam dulu. Berhibur sahaja. Ambil tahu. Berkongsi maklumat. Jadi pula modal semasa mengajar.

Menonton wayang di pawagam pernah juga menjadi kegilaan. Entahlah. Bila sudah beranak pinak hilang kesemuanya. Cineplex seperti yang ada sekarang belum pernah saya jejak lagi. Kadang-kadang teringin juga. Tetapi bukan untuk berhibur. Saya ingin menikmati teknologinya. banyak mendengar cerita tentang kehebatan cineplex ini. Belum dapat dialami sendiri.

Banyak lagi hobi saya tetapi mungkin yang paling mengesankan sekarang ini ialah berblog. Terasa ringan mengalirkan pengalaman peribadi. Dalam masa 30 minit hingga sejam boleh dapat satu nukilan. Masa sahaja yang tidak mengizinkan. Masih sibuk dengan hidup bekerja, belajar dan beraktiviti. Bila ada luang waktu saya gunakan untuk memenuhi blog saya. Mudah-mudahan ada manfaatnya. Pertama, generasi sekarang mungkin dapat membayangkan sesuatu yang asing tetapi lumrah pada tahun-tahun 50an dn 60an. Yalah, pokok pinangpun susah dilihat. Inikan pula cerita tentang lantai batang pinang. Mengkawan batang pinang. Dinding rumah kulit kayu. Ada pula pelepah sagu. Atau atap sagu. Semuanya sudah berlalu.

Sesekali saya selangi dengan pendapat dan hakikat. Banyak lagi pengalaman lama yang ingin dinukilkan. Tentulah perlukan masa. Bersabarlah bersama saya. InsayaAllah saya akan bawa saudara ke alam saya. Ke dunia saya. Sesunggunnya kita berbeza. Namun ada persamaan-persamaan yang serupa. Mudah-mudahan ada titik pertemuannya. Yang baik kita kongsikan bersama. Yang tidak baik kita kesampingkan bersama-sama.

Sunday, April 25, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Enam: Bab Kedua

Bagi kebanyakan kita yang menjadi guru (pendidik), mungkin secara kebetulan memilih kerjaya sebagai guru. Niat asal mungkin tidak begitu. Banyak pilihan lain yang sesuai dengan kehendak hati. Walau bagaimanapun pilihan yang dihidangkan kepada kita ialah guru. Maka pilihan itu hendaklah ditatang kerana barangkali kita boleh hidup dan mati dengan kerjaya kita sebagai guru.


Menjadi guru bukanlah semudah A, B dan C. Atau mengira 1, 2 dan 3. Latihan di Universiti atau Institut Perguruan (dulu maktab) tidak mencukupi untuk menjadikan seseorang guru itu benar-benar bersedia. Intelek, mental, fizikal, profesional dan kemahiran insaniah perlu digabungkan untuk memulakan kerjaya sebagai guru profesional. Langkah-langkah awal seorang guru tetap goyah. Sekolah bukan universiti dan bukan Institut Perguruan. Dunia realiti sekolah adalah jauh berbeza. Tuntutan ilmiah dan profesioanlismanya sangat tinggi.


Sekolah bukan lagi agen sosial yang mengeluarkan lulusan UPSR dengan 5A atau sekolah menengah yang PMRnya 8 atau 9 A. Bukan juga yang SPMnya berbelas-belas. Cabaran akademik hanyalah sebahagian daripada tugas urus guru di sekolah. Banyak lagi outcome yang dituntut dari sekolah dan dari guru. Kekangan-kekangan yang dihadapi guru dan masalah remaja yang bertali arus memerlukan komitmen yang tinggi daripada guru-guru. Sekarang ini pula ibu bapa bukan menyerah anak untuk dididik oleh guru di sekolah. Mereka mahukan guru-guru menjadi dayang-dayang kepada anak-anak mereka (babysit). Menjadi inang pengasuh kepada anak mereka.

Pelajar-pelajar di sekolah bukan lagi murid yang patuh kepada ajaran guru. Mereka sudah menjadi anak-anak raja dan sultan di sekolah. Beraja di mata bersultan di hati. Guru sudah hilang kekebalannya, sebagai pendidik yang dihormati kalaupun tidak digeruni. Rasa hebat seorang guru sudah lama musnah apabila status masyarakat terangkat kerana adanya kepesatan proses ilmu dan maklumat serta kemahiran-kemahiran lain yang jauh menenggelamkan guru. Profesion lain semakin mendapat tempat sedangkan profesion guru tetap statik. Dinamika dalam industri pendidikan khususnya di sekolah seolah-olah tidak wujud. Tegak berdirinya guru di sekolah seperti sebelum tahun-tahun 70an dahulu sudah tiada kukuhnya. Martabat guru sudah lama mengelongsor turun dan merudum.

Saya merasakan pendidikan harus dioverhaul. Falsafah Pendidikan yang sedia ada harus diberi nafas baru yang menyuntik hayat baru kepada dunia kependidikan. Harus dilihat semuala setiap aspek yang menghimpunkan kompleksiti sesebuah institusi pendidikan seperti sekolah. Guru harus dilihat sebagai manusia yang lebih berwibwa dari kebanyakan ibu bapa. Lebih tinggi kelayakannya berbanding kebanyakan ibu bapa. Lebih alim dari kebanyakan ibu bapa. Lebih lumayan pendapatannya dari kebanyakan ibu bapa. Menjalani gaya hidup yang lebih baik dari kebanyakan ibu bapa. Pendek kata guru harus dilihat sebagai manusia istimewa di mata ibu bapa dan pelajar-pelajarnya.

Dalam kebanyakan hal sikap, persepsi dan tindakan ibu bapa mempengaruhi anak-anak mereka di sekolah. Jika mereka menghormati ilmu, saya ulang menghormati ilmu dan menghormati guru, tidak mungkin anak-anak mereka ingkar dan tidak taat kepada ibu bapa mereka dan guru-guru mereka. Apabila ibu bapa memandang rendah dan remeh seorang guru, anak-anak mereka akan menggandakan pandangan rendah dan remeh itu terhadap guru-guru mereka. Sangat ironis apabila ibu bapa tidak berkeupayaan mendidik anak mereka secara akhlak dan akademik. Sebaliknya 'memerintah' guru untuk mengambil alih tugas mereka itu. Dalam masa yang sama ibu bapa gagal menghormati atau bersyukur dengan apa yang Allah telah bukakan hati guru untuk mengajar dan mendidik anak-anak mereka.

Aspek penting dalam pendidikan di sekolah selalunya menjurus kepada pembinaan sahsiah pelajar. Malangnya bagi saya ialah isu sahsiah ditenggelamkan oleh isu disiplin. Kita sibuk dengan masalah disiplin sehingga pembinaan sahsiah dikesampingkan. Konotasi disiplin dilihat sebagai negatif sedangkan sahsiah dilihat sebagai positif. Sebenarnya akhlak bermula dari rumah. Sekolah bukan kilang untuk membina atau mengeluarkan pelajar yang berakhlak dan bersahsiah mulia. Asasnya mesti dari rumah. Jika dari rumah atau sewaktu di rumah akhlak itu tidak terbina, maka guru yang hanya memainkan peranan kecil dalam pembinaan akhlak dan sahsiah ini akan semakin kecil peranannya.

Islam menganjurkan bahawa disiplin harus ditanam dan diserap anak-anak sewaktu usia mereka antara 7 hingga 14 tahun. Jika dalam tempoh ini mereka tidak dapat didisiplinkan atau sahsiah mereka tidak terbina, maka ibu bapa dan guru akan berhadapan dengan masalah yang rumit untuk berhadapan dengan remaja yang ketandusan dan kosong jiwanya. Sewaktu saya di Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru pada tahun 1994 dahulu saya berhadapan dengan masalah ibu bapa yang gagal mendisiplinkan ibu bapa. Sebagai Penolog Kanan Hal Ehwal Murid tugas saya adalah mengenai murid. Setiap kali ada masalah mengenai seseorang pelajar pasti ada hubungannya dengan ibu bapa yang bermasalah. Itulah yang saya dapati setiap kali saya mengundang ibu bapa untuk membincangkan masalah anak mereka di sekolah. Oleh itu saya berpendapat setiap permasalahan pelajar hendaklah diselesaikan bersama ibu bapa. Adakan perundingan, kaunseling dan bimbingan bersama ibu bapa dan anak mereka sekaligus. Masa sudah tidak mengizinkan lagi bahawa hanya guru sahaja yang harus bersusah payah mendisiplinkan atau berusaha membina sahsiah pelajar sedangkan penguatkuasaannya di rumah tidak berlaku.

Kita harus maklum bahawa anak-anak di sekolah hanya beberapa jam sahaja. Seseorang guru hanya dapat berinteraksi dengan palajar-pelajarnya sekitar beberapa minit seorang. Bimbingan secara individu sukar dijalankan dengan kerja dan tuntutan kerja guru yang semakin rencam dan bukan semakin tinggi profesionalismanya. banyak tuga rutin sahaja. Dari saat menjejakkan kaki di sekolah hinggalah tidurnya pada waktu malam seroang guru terikat dengan sekolah. Jaganya, tidurnya, makannya, minumnya, santainya, waktu liburnya dan kesemuanya menuntut jiwa dan raga guru di sekolah dan kepada anak-anak didiknya. Guru seolah-olah bukan manusia biasa. Mereka adalah superhuman yang diperlukan seluruh usianya untuk mendidik tanpa mengira waktu dan keadaan.

Di sekolah guru adalah segala-galanya. Mereka mengajar, mendisiplin, membujuk, memarah, merayu, menyayangi, mendidik, merapati, menunjuk ajar, berkomunikasi, berinteraksi, berkawan, melawak, menghibur, tumpang bergembira atas kejayaan pelajar, turut bersediah atas kegagalan pelajar, simpati dan empati terhadap semua yang dinamakan pelajar. Paginya, petangnya bersama pelajar. Ada yang malamnya terus bersama pelajar. Di rumah menyemak kerja pelajar, membetulkan kesilapan kerja pelajar, merancang hari esok yang penuh cabaran. Rumahtangga harus diurus. Anak dan pasangan perlu dibelai. Saudara mara perlu ditandang dan bertandang. Jiran tetangga perlu disembang dan bersembang. Namun hatinya, jiwanya, raganya, perasaannya, semangatnya lekat dan kekal di sekolah. Lekat kepada anak-anak muridnya. Dekat dengan mereka. Semuanya di hati seorang guru.

Hati saya jadi pedih bila guru dikatakan bersalah dalam banyak hal kerana ketidaksempurnaan sesorang pelajar di sekolah. Guru juga ada anak. Pilu rasa di hati. Sedih berbaur dengan rawan. Gundah gelana memikirkan tindakan wajar untuk memperbaiki keadaan. Tangan guru banyak terikat. Dasar, peraturan dan panduan perlu dipatuhi. Guru tidak melampaui batas-batas yang disediakan kepada mereka. Seksa menjadi guru. Ada masanya tekanan perasaan sangat memberat. Jika boss di sekolah jenis insan yang perihatin alhamdulillah. Tetapi jika mereka juga seperti ibu bapa maka guru akan tersepit dengan keadaan yang meruntuhka semangat dan keutuhan dirinya sebagai seorang guru.

Guru tidak boleh menjadi enau yang melepaskan pucuk masing-masing. Mereka harus maju segerak untuk memartabatkan kembali diri mereka masing-masing. Kesatuan Guru harus mengambil inisiatif yang jauh menjangkau masa hadapan yang tidak menentu. Forum, seminar, penyelidikan harus digerakkan supaya ditemuai formula yang boleh menggerakkan guru ke arah itu. Saranan saya barangkali agak ambitious. Pengetua dan Guru Besar hendaklah memiliki PhD atau paling kurang Sarjana Pendidikan. Setanding dengan ibu bapa yang memiliki kelayakan itu. Lalu mereka akan dilihat sangat layak duduk di kerusi mereka. Ibu bapa tidak boleh sebarangan bertindak melebihi kelayakan Pengetua atau Guru Besar. Guru-guru juga harus bergerak ke arah itu. Mereka bukan sahaja memiliki asas akademik dengan Sarjana Muda bahkan paling kurang Sarjana.

Tugas guru harus mengajar dan mendidik sahaja. Soalan periksa harus ditaip oleh orang lain. Dijilid oleh orang lain, disimpan oleh orang lain, markah periksa harus diurus oleh orang lain. Benarkan guru menumpukan sepenuhnya kepada masalah Pengajaran dan Pembelajaran sahaja.

Apa-apa yang berkait denga disiplin disenyapkan. Gantikan dengan pembinaan sahsiah dan akhlak. Guru disiplin yang dahulunya dilihat sebagai orang yang digeruni harus bertukar watak sebagai orang yang dihormati dan disegani, dipatuhi dan diterima sebagai guru yang perlu dicontohi. Agak kontradik apabila kita mahukan guru disiplin yang keras dan mungkin kasar diperlukan untuk mendidik pelajar sepaya bersopan santun, beradab dan mematuhi peraturan dengan paksaan.

Prasarana di sekolah harus bukan seperti sekarang. Yang namanya sekolah tidak lagi boleh stereotype. Bangunan sekolah harus lari dari adat kebiasaan. Bangunannya dan prasarana di dalam kawasannya harus melambangkan suatu komuniti akademik dan sosial yang lebih santai, lapang dan luas. Ia harus melambangkan keluasan minda yang mampu menggapai alam semesta. Pendidikan harus melampaui kawasan sekolah. Ia harus membenarkan pelajar menerobos keluar dari diri mereka, sekolah mereka lalu menerjah alam luas nan terbentang ini. Sekolah yang fizikalnya serupa di mana-mana amat membosankan. Harus dibenarkan dari segi senibinanya, rekabentuknya, lanskapnya. Keutamaan di sekolah harus kepada himpunan ilmu, maklumat dan kemahiran. Perpustakaan, makmal dan bengkel mestilah diberi keutamaan. Amat malang jika pagar sekolah melebihi peruntukan sesebuah perpustakaan. Lanskap melebihi keperluan perpustakaan. Perpustakaan dan pusat sumber mestilah sentiasa kemasa kini (up to date). Tiada kompromi jika kita hendak melihat anak-anak kita menggapai bintang di langit. Jika tidak anak-anak akita hanya berpijak di bumi nyata tetapi gagal menggapai walau awan sekalipun. Mereka gagal mendaki gunung. Mereka gagal menjejak bukit. Mereka gagal merenangi lautan.

Ayuh cikgu. Rancanglah masa depanmu dan masa depan anak-anak bangsamu. Dunia sudah semakin jauh meninggalkan kita. Jangan hanya berdiri terpaku, terpana dengan laluan teknologi dan globalisasi yang jauh didepan kita. Mesti ada gandaan quantum leap untuk menyaingi orang lain dalam profesion yang dianggap jauh lebih baik dari kita yang bernama guru. Mahu ke hadapan atau terus surut ke belakang ditelan asakan orang lain yang peranannya langsung tidak boleh menggantikan pernan kita sebagai guru. Kita harus kembali menyinar, mengembalikan kegemilangan keguruan yang hilang. Guru tetap masih ada masa depan.