Tuesday, March 2, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Keempat Belas

Semasa di sekolah rendah dahulu, Guru Besar saya telah mengesan kecerdasan saya. Kebetulan dia adalah datuk saudara saya. Isterinya adik kepada datuk saya, bapa ibu saya. Alhamdulillah semasa di sekolah rendah saya selalu mendapat tempat pertama dalam semua peperiksaan. Tetapi mendapat tempat pertama di sekolah rendah yang jauh di pedalaman tidaklah sehebat bagi mereka yang bersekolah di bandar.



Orang-orang bandar ada egonya sendiri pada waktu itu. Apabila ada saudara mara saya yang bertandang dari bandar, saya terasa kecil. Melihat gaya mereka, pakaian mereka , buah tangan yang mereka bawa dan gaya mereka bercakap di luar lingkungan kehidupan saya. Tentu sekali pakaian mereka jauh lebih baru, lebih cantik, lebih bergaya, lebih mahal dan digayakan seperti orang bandar. Maaflah bukan mengata tetapi hanya sekadar mengimbau bahawa itu adalah persepsi anak kampung seperti saya. Kepada orang bandar pula itulah gaya hidup mereka. Bayangkan mereka membawa buah anggur bila datang. Terbeliak mata saya melihatnya. Bila makan seperti orang kebulur. Berbiji-biji sekali masuk mulut. Bijinya kira kunyah sekali. Sesudah berusia 63 tahun baru saya tahu khasiat biji buah anggur. Boleh membantu mengurangkan kolestrol. Grapeseed oil banyak dijual sekarang. Sekarang ini tidak ada buah yang menghairankan kita. Di kampumhpun orang menjual buah anggur.



Saya merasa hairan kenapa orang bandar ini bila datang ke kampung, mereka nampak rimas. Guna tangan mengipas-ngipas diri. Benarkah mereka kepanasan? Barangkali hanya psikologi. Mereka sudah biasa dengan kipas angin. (Pendingin hawa belum ada). Di bandar, kipas angin perkara lumrah. Di kampung pula kipas angin tidak diperlukan. Udaranya memang baik, suhu tidak tinggi kerana flora dan fauna masih terpelihara, iklim sentiasa boleh diramal, predictable. Berbezalah gaya dan persepsi. Orang kampung dengan gaya bebas lepas dengan alam, orang bandar terperangkap dengan teknologi.



Saya bersekolah rendah merentas tiga buah kampung. Mesti ingat lagi bagaimana saya melalui akar dan banir pokok getah yang sentiasa licin. Mungkin perlu saya tambah, kelicinannya juga disebabkan embun yang sentiasa banyak kerana paras kelembapan, humidity, yang tinggi masa dulu-dulu itu. Nama sekolah saya ialah Sekolah Kebangsaan Seri Maimun. Yang saya tahu tapak sekolah itu asalnya dimiliki oleh wanita yang bernama Maimun. Nama kampungnya ialah Parit Othman, Parit Sulong , Batu Pahat. Saya sudah lama tidak menziarahi sekolah ini. Sekolah yang penuh dengan suka duka saya. Sekolah yang mendidik saya hingga menjadi seperti sekarang. Sekolah yang mendambakan kejayaan orang-orang seperti saya. Baru minggu lepas seorang teman sekelas saya meninggal dunia. Usianya setahun lebih muda dari saya. Seorang guru juga. Tempat akhir dia bertugas ialah sebagai pensyarah di Institut Perguruan Tun Hussein Onn, Batu Pahat. Saya selalu melalui jalanraya yang dibina bersebelahan sekolah saya ini. Oleh kerana setiap kali saya melaluinya pada waktu-waktu di luar waktu pejabat, maka tidak tergerak hati saya untuk singgah.



Itulah Alma Mater saya yang pertama. Sekolah kampung yang melonjakkan saya ke persada ilmu yang lebih tinggi. Terima kasih Cikgu Esa (sedang bergelut dengan kencing manisnya dan masalah buah pinggang - mungkin sedang dipotong kakinya), Cikgu Ali, Cikgu Jamadi, Cikgu Mohari (Al-Fatihah untuk rohnya), Cikgu Ibrahim (Al-Fatihah untuk rohnya), Cikgu Ismail, Cikgu Ishak dan tidak lupa Cigu Supian (Al-Fatihah untuk rohnya - Guru Besar, datuk saudara saya). Merekalah antara orang-orang yang memanusiakan saya. Mereka rapat dengan saya. Saya selalu juga bila ada kesempatan menziarahi mereka. (Sayu juga saya bila mengenang mereka kerana tanpa mereka sebagai guru, siapalah saya). Dirgahayu untukmu Cikgu. Saya doakan cikgu-cikgu semua sejahtera. Semoga yang sudah tiada, rohmu di sisi Allah jua. Amin.



Guru-guru waktu itu cukup sederhana hidupnya. Gaji mereka bukan besar. Hanya beberapa ratus ringgit sahaja. Duduk di kampung, sewa rumah hanya beberapa ringgit. Makanan murah. Orang kampung banyak yang memberi. Mereka dihormati, disegani, dirujuk, cakapnya didengar, pimpinannya dipatuhi. Zaman itu sangat asing bagi kita sekarang.) Moga-moga yang muda mengambil iktibar dari cerita ini.) Paling baik mereka memiliki basikal. Suatu kemestian kerana jika hendak balik kampung, basikal sahaja yang memudahkan. Pengangkutan lain jadualnya tidak menentu. Pakaian mereka tidak banyak. Seluar putih dan baju putih lengan panjang. Bila dibasuh wajib dikanji dan diseterika keras kejung. Bila dipakai nampaklah saidnya menganjur dari pinggang ke kaki dan dari bahu ke pergelangan tangan. Kainnya diperbuat dari kapas. Belum ada linen, dacron, rayon dan sebagainya. Ketika itu mereka nampak hebat, anggun dan berwibawa.



Dari merekalah saya belajar. Menapak dari a, b, c dan seterusnya. Dari mereka saya belajar 1, 2, 3 dan seterusnya mencampur, menolak, mendarab dan membahagi. Sampailah saya ke darjah enam. Tibalah masanya saya menentukan nasib saya. Sementara itu Guru Besar telah menemui ibu saya , anak saudaranya, untuk membujuk ibu saya supaya meneruskan pembelajaran saya. Alhamdulillah ibu saya memberikan lampu hijau. Ujian pertama saya ialah mengambil peperiksaan masuk ke sekolah menengah.



Peperiksaan itu diadakan di Sekolah Kebangsaan Parit Sulung. Hanya beberapa orang sahaja dari kelas saya yang layak menghadiri peperiksaan itu. Seingat saya Asiah (sekarang di Bandar Penawar), Mohamed (meninggal minggu lalu) dan saya sendiri. Anak kampung seperti saya berhadapan dengan kejutan budaya. Parit Sulong bukanlah bandar besar. Sebuah pekan kecil. Kalau kampung, kampunglah fikiran dan semangatnya. Saya menjadi kagum melihat tingkah laku yang lepas laku anak-anak pekan. Anak kampung seperti saya, berjalan pijak semut tidak mati. Perlahan dan takut. Gerun pun ada.



Periksa bukan calang-calang periksa. Ada Bahasa Melayu, ada Bahasa Inggeris, ada Metematik. Yang menggerunkan ialah menduga akal. Bunyinya gerun. Budak darjah enam hendak diduga akal. Gila kata saya. Dalam keadaan gemuruh, takut, gugup itu saya jawab apa yang patut. Anak kampungpun mesti boleh tunjuk kehebatannya. Menduga akal yang paling mencabar. Mencari beza, menentukan persamaan, mengesan kesalahan. Semuanya dalam bentuk rajah, gambar, lakaran dan sebagainya. Pendek kata jika murid yang buta warna, memang berpinar melihat visual dan soalan-soalannya.



Syukur alhamdulillah. Saya lulus. Di sinilah timbul dilema. Suatu persimpangan keputusan yang perlukan kebijaksanaan. Untuk ke sekolah menengah saya terpaksa ke bandar. Pilihan harus dibuat mengenai sekolah apa, sekolah mana dan hendak tinggal di mana. Bagaimana ibu? Mampu? Aduh banyak sungguh cabarannya. Apa dia? Nanti dulu. Sabar. Bagi suspen. Biar berdebar sedikit.



Guru besar dan anaknya (sepupu ibu saya. Salim namanya. Juga seorang guru) mahukan saya bersekolah Inggeris. Lupa saya, darjah enam saya pada tahun 1959, dua tahun selepas merdeka. InsyaAllah ada cerita bagaimana saya turut terlibat dalam proses kemerdekaan ini). Kata mereka, sekolah Inggeris bagus. Senang dapat kerja. Maka mendaftarlah saya di High School, Batu Pahat, (Sekolah Kebangsaan Tinggi) dalam kelas peralihan Bahasa Inggeris. Berpintal-pintallah lidah saya hendak menyebut dan bercakap dalam Bahasa Inggeris. Akhirnya bercakap Inggeris tetapi bunyinya Melayu. Maaf, bunyi Jawa bercakap Inggeris. Higga tingkatan 5 saya masih tidak fasih berbahasa Inggeris. Ada ceritanya dalam pos yang lain.



Di mana hendak tinggal? Yang ini dilema sungguh. Guru Besar mahukan saya tinggal di rumah isteri tuanya, di Kampung Mampan, Peserai Kecil, Simpang Lima, Batu Pahat. Boleh naik basikal. Tetapi waktu itu ibu saya memilih untuk menumpangkan saya di rumah sepupu arwah ayah saya di Lorong 3, Broleh, Jalan Kluang, Batu Pahat. Keluarlah saya dari kampung. Suatu sejarah yang mengeluarkan saya dari kepompong. Kepompong yang saya selesa selama ini. Berpisahlah saya dari semua persekitaran yang telah menjelmakan saya. Berpisahlah saya dengan ibu tercinta. (Entah kenapa setiap kali saya menulis yang ada kaitan dengan ibu, air mata merembas keluar. Terasa sayunya mengenang orang yang sudah tiada. Saya gagal untuk benar-benar membahagiakannnya). Saya ingin berpesan kepada pembaca yang ibu bapanya masih ada, bahagiakanlah mereka. Usahakanlah. Sementara masih ada masa.



Bapa sepupu saya, menghantar saya dan anak perempuannya pergi dan balik dari sekolah. Pada tahun 1960, kereta Ford miliknya tidak seperti kereta-kereta sekarang. Pintu bahagian hadapan dibuka arah ke hadapan. Bila berhenti, tolak pintu dengan tangan, kaki keluar ke hadapan. Badan tidak payah berpusing. Lampu isyrat akan muncul mendepa di kanan atau di kiri kereta bila dihidupkan. Bila mati enginnya, kenalah putarkan dengan pemutar khas. Tidak dicrank dengan kunci.



Sewaktu keputusan hendak menghantar saya ke sekolah menengah, ibu saya menghadapi cabaran yang cukup dahsyat. Walau bagaimanapun, latihan berdikari semenjak bapa saya meninggal, menguatkan tekad dan semangatnya. Oleh kerana hasrat ibu saya itu belum pernah dibuat oleh orang kampung saya, maka mereka menganggap ibu saya akan berhadapan dengan masalah untuk menyekolahkan saya. Ada yang kata ibu saya akan berak hijau untuk mencari ongkosnya. Ada yang kata berak hitam. Ada yang kata akan muntah biru. Mereka semua bukan orang lain. Bapa saudara saya. Sepupu-sepupu saya. Saudara mara saya sendiri. Barangkali itulah sebabnya semangat ibu saya terbina kerana ia ingin membuktikan bahawa balu muda yang hina itu mampu memberi pendidikan kepada anaknya. Saya tidaklah merasa bahangnya, tetapi tempiasnya ada. Bila saya lebih mengerti erti cabaran, itulah yang membakar semangat anak kampung seperti saya untuk berjaya. Membakar obor yang terus menyala hingga kini. Saya tetap ingin menyongsong dan manggapai awan.



Rupanya suasana bandar tidak begitu sesuai dengan saya. Saya lemas kerana tidak ada kebebasan untuk bermain sampan dan air, meredah belukar dan hutan, mandi dan berenang di parit, memanjat pokoh buah dan memakannya, bermain banjir dan memikat burung. Beberapa bulan kemudian saya merayu kepada ibu supaya membenarkan saya tinggal di rumah Guru Besar, di Kampung Mampan. Hampir setahun setengah saya di kampung itu.



Maka berulang aliklah saya ke sekolah yang jauhnya kira-kira lima kilometer. Kampung Mampan masih kampung tradisi. Mandi di kolam yang masam dan kelat airnya. Belum ada jalan tanah merah apatah lagi jalan bertar. Dari Kampung mampan ke Simpang Lima kira-kira dua kilometer. Jalannya tanah merah. Waktu musim panas tidak ada masalah. Bila musim hujan masalahnya cukup besar. Dari rumah ke jalan tanah merah kira-kira setengah kilometer. Basikal akan diberhentikan beberapa kali. Tanah liat melekat pada tayar hingga menyukarkan kayuhan. Berhenti dan cungkil tanah itu. Begitulah berulang-ulang. Melambatkan perjalanan. Siksa juga jika begitu.



Apabila sampai di jalan tanah merah, keadaan yang serupa berlaku. Tanah merah basah juga melekat pada tayar basikal. Terpaksalah berhenti dan membuangnya dengan kayu. Bertahun-tahun kepayahan menunggang basikal itu saya tanggung. Maafkan saya kerana sekarang saya ingin menikmati hasil kepayahan itu. Deritanya semasa bersekolah dahulu hingga menusuk ke tulang sumsum, bukan ke jantung hati. Pedihnya masih terasa. Letihnya masih terasa. Mimpi ngerinya masih terasa. Cabaran demi cabaran yang terpaksa diterima.



Tahun 1962 satu sejarah baru tercipta di kampung saya. Sebatang jalanraya telah dibina merentas kampung saya dari Simpang Lima ke Parit Sulong. Maka sekali lagi saya merubah strategi. Saya ingin berulang alik dari kampung yang jauhnya 16 kilometer dari sekolah. Masa itu jambatan Batu Pahat belum ada. Saya hanya boleh menyeberang sungai sama ada dengan feri atau sampan. Jika berjalan kaki boleh menaiki bot penambang. Dari jeti ke sekolah kira-ira dua kilometer. Waktu di tingkatan 4 dan 5 saya kerap datang lewat kerana masalah menyeberang sungai yang jadualnya tidak menentu.



Tunggu sambungannya.

Ahlul Bait - Ziarah Ketiga

Hari ini Isnin 1 Mac 2010 bukan rezeki saya. Saya tidak dapat menemui Habib Ali yang saya rindui selama seminggu. Saya sampai kira-kira pukul 6.00 petang. Ramai tetamu beradsa di luar rumah. Sibuk bergambar. Ada beberapa orang Arab. Saya beranikan diri untuk bertanya.

Min aina?

Jiddah. Waanta?

Ana, min Batu Pahat. Huna?

Batu Pahat? Huna?

Naam

MasyaAllah!


Allahu Akbar. Jauhnya mereka datang. Dari Jiddah mereka transit di Singapura. dari Singapura mereka berkereta ke Batu Pahat. Suatu perjalanan penuh barakah. Nilaikan berapa kos penerbangan, penginapan, pengangkutan, makan dan hal-hal yang berkaitan dengan orang-orang yang musafir. Semuanya dilakukan hanya untuk bertemu dengan seorang insan istimewa. Jumpanya beberapa minit. Tidak mungkin melebihi sejam. Habib Ali tidak betah duduk lama. Jika kesihatannya mengizinkan, lamalah ia duduk. Berhalaqahlah jemaah yang datang.
Kedua mereka datang dari Jiddah. Bergambar dan bersantai dengan wajah yang puas. Mereka santai di hadapan rumah. Gambar yang mereka ambil tentu jadi kenangan keluarga dan tatapan ahli keluarga dan rakan taulan yang tidak berkesempatan untuk datang. Tentu mereka iri dan berazam untuk datang juga pada kesempatan yang lain. Yang sudah datang tidak akan puas jika tidak mengulangi lagi untuk hadir bersama Habib Ali.

Yang berkopiah putih itu (mengadap kamera) adalah cucu Habib Ali. Ibrahim namanya. Mudah-mudahan saya tidak silap mendengar. Yang dulu saya temui adalah abangnya bernama Jaafar. Wajah Ibrahim ada iras Habib Ali. Tingginya dan mancung hidungnya. Nampak kelembutan pada tutur katanya. Seronok saudara dari Jiddah menyatakan kegembiraannya dapat bertemu Ibrahim.
Pembaca budiman, bila sampai waktunya Habib Ali tiada nanti, cucu-cucu seperti Ibrahim inilah yang menjadi waris keturunan Rasulullah. Bersyukur saya sudah mengenalinya. Mungkin akan berpanjangan lagi pertemuan saya dengannya.



Rombongan dari Jiddah seramai lima orang. Ada pula rombongan dari Kuala Lumpur dan dari Singapura. Sebelum saya meninggalkan rumah itu, datang lagi serombongan lain.
Lambaian untuk meninggalkan Habib Ali. Pulang mereka dengan barakah yang mereka cari.
Sambil memandu pulang saya terkedu sendirian. Tiba-tiba dada saya sebak. Saya teringat Rasulullah. Di Madinah, saya hanya dapat melintasi makamnya. Begitulah sewaktu menunaikan haji pada tahun 1999. Manusia terlalu ramai untuk bersunyi-sunyi dengan Baginda.
Alhamdulillah semasa umrah pada tahun 2003 puas juga bertandang ke makam Baginda. Untuk merasa kebersamaan yang lebih lama. Jika dengan Rasulullah kita inginkan syafaatnya, mudah-mudahan dengan waris keturunannya kita mendapat barakahnya.
Cuma saya bertanya kepada diri saya. Kenapa orang Batu Pahat sendiri tidak dapat melihat sinaran cahaya sebutir permata yang ada di depan mata? Jika dari seluruh dunia orang lain dapat melihat dan mendapat sinaran cahayanya, mengapakah kita yang dekat hanya melihat kegelapan? Benar juga kata orang, jauhari juga yang mengenal manikam. Bagi mereka yang kenal Rasulnya, tentu kenal waris keturunannya. Syafaatnya, barakahnya. Kemanakah agaknya orang Batu Pahat, orang Johor dan orang Malaysia? Kenapa tidak diziarahi Habib Ali? Dalam usianya sekarang, tentu masanya semakin singkat. Carilah peluang untuk bersamanya sementara dia masih ada.
Hiba saya hingga ke rumah. Perjalanan selama 20 minit mendesah-desah dada saya. Bergenang-genang air mata di kelopaknya. Saya tahan supaya jangan gugur. Bagaimana nanti agaknya untuk dapat bersama manusia paling agung dalam sejarah kemanusiaan dan sejarah penciptaan alam ini. Insan yang menjadi penghulu semua manusia. Nabi yang paling dikasihi Allah.
InsyaAllah kita akan dapat bersamanya dan mendapat syafaatnya. InsyaAllah. Selawat dan salam untuk kekasih Allah. Ya Habibibullah. Ya Sofwatullah. Selawat dan salam kepada sahabat-sahabatmu. Selawat dan salam ke atas isteri-isteri, anak-anak dan seluruh keluargamu. Amin, amin ya Rabbal 'Alamin.

Monday, March 1, 2010

Bertemu Wardina di OUM Serdang Raya

Pada hari Ahad 28 Februari 2010 saya menghadiri kelas di OUM Serdang Raya. Waktu rihat antara kelas saya ke pejabat pentadbiran. Saya terpandang seseorang yang macam biasa saya nampak wajahnya. Saya ulang pandang. Sah Wardina. Ia sedang berbual dengan temannya. Bila saya pandang, dia senyum. Saya balas senyumnya.

Tidak berkesempatan untuk bertegur sapa. Nantilah pada waktu yang lain barangkali. Cuma saya tertanya-tanya, apa dibuatnya di OUM? Mengajar ke belajar? Saya tanya seorang dua teman. Kata mereka Wardina pelajar OUM. Jika tidak silap maklumat, ia mengambil kursus psikologi.

Saya kira Wardina mengambil langkah yang jauh ke hadapan. Ia sudah ada nama. Sudah bersuami dan anak. Berlakon dan mungkin terlibat dengan production house. Namun dalam kesibukannya itu, ia masih ada ruang masa untuk memperbaiki dirinya. Sesungguhnya IPT adalah institusi bagi mereka yang dahagakan ilmu. Apabila proses graduasi berlaku nanti, setiap graduannya akan memiliki minda bertahap tinggi jika tidakpun minda kelas pertama atau kelas antarabangsa.

Di IPT, graduannya dilatih untuk berfikir secara sistematik. Menyelesaikan masalah mengikut prosedur yang saintifik. Di sinilah mereka diasuh menggunakan berfikir secara lateral dan bukan sekadar vertical. Memikirkan alternatif adalah sesuatu yang lumrah bagi mereka yang melangkah keluar dari menara gading. Ya. Langkah mereka yang bergelar bestari.

Tidak ramai selibriti yang memiliki pendidkan IPT. Hanya beberapa orang sahaja. Sekadar yang saya ingat Zizan Nin dan Azhar Sulaiman. Alangkah indahnya jika ramai lagi selibriti yang mengikut jejak langkah Wardina dan mereka yang sebelumnya. Jika sudah memiliki minda yang teruji bolehlah mereka berdiri sama taraf dengan watak-watak yang selalu mereka mainkan. Bukan berlakon semata-mata. Realitinya patut begitu.

Malu rasanya dengan pelakon-pelakon Hollywood yang rata-rata berpendidikan IPT. Sebab itu watak mereka sangat bersesuaian dengan realiti kehidupan. Mereka nampak bersahaja. Mereka kelihatan bukan seperti berlakon tetapi sebenarnya sedang melakonkan watak-watak mereka sendiri.

Indahnya jika pelakon-pelakon melakonkan watak-watak mereka sendiri. Lalu mereka jadi teladan kepada anak-anak muda yang alang-alang tahap pelajarannya. Jika selibriti boleh diharap begitu dengan ilmu, tentu mereka dapat menarik lebih banyak peminat. Perlahan-lahan mereka boleh membimbing remaja supaya dapat membetulkan arah diri masing-masing. Mudah-mudahan ada selibriti lain yang mengikut jejak Wardina.

Sunday, February 28, 2010

Ziarah ke Kampung Halaman.


Hari ini Ahad 28 Februari 2010 saya kembali ke kampung. Lama juga tidak menjenguk. Kira-kira enam bulan tidak pulang ke kampung. Hari ini ada undangan anak saudara saya. Cucu saya berkhwin. Cucu sepupu saya. Agak lewat. Hampir pukul 7.00 petang. Langsung dari Kuala Lumpur. Sudah lengang majlis. Pengantin sedang membasuh periuk. Adat kampung. Selesaikan dulu hal kenduri. Baru uruskan hal diri.


Dalam kesempatan yang ringkas ini saya ziarah kembali tapak rumah saya, kebun buah-buahan dahulu, parit tempat berenang, titi kecil penghubung dunia luar, jalan kampung yang bertar dan mengubah lanskap, masjid dan kubur yang banyak rahsianya.



Nun di balik rimbunan daun kelapa sawit, saya melihat sayu tinggalan dapur rumah yang sudah tidak berpenghuni. Rumah ini yang dulunya tempat tumpah darah saya, tempat saya jatuh bangun dan bermain, tempat saya membesar dan mengenal dunia, tempat saya berumahtangga. Dari celah-celah rimbunan daun, rerumput hijau, guguran dedaun, jatuhan ranting dan dedahan, saya menyelak alam nan luas terbentang.


Dari sebalik kepompong kehidupan di celah-celah kepayahan yang selalu membelenggu, saya redah keluar, menapak semata untuk mengadu nasib yang Allah tentukan. Darinya saya ke Lembah Pantai (Institut Bahasa dan UM), bertugas di merata tempat di Semenanjung. Lalu saya belah awan, menjulang langit yang tinggi. Saya lintasi dan seberangi benua dan negara ke destinasi asing yang bernama Amerika Syarikat dan Kanada. Transitnya Hong Kong, Taiwan, Tokyo, Honolulu, Cicago dan Pittsburgh. Saya kelilingi bumi lalu singgah di London, Frankfurt, Dubai dan Kuala Lumpur.


Anak kampung yang dulunya sangat dalam kepayahan, Allah beri saya laluan untuk menerima anugerah dan ganjaran kebahagian melihat kebesarannya. Anak kampung yang hanya kenal panas dan hujan tetiba teruja melihat indahnya salju yang putih melepak bak kapas. Meranduk salju sejuk di musim dingin yang mencengkam. Ya Allah, aku syukuri nikmatMu ke atasku. Melihat bebunga pada musimnya yang sangat menawan. Dengan kicauan burung tanpa henti menikmati madu dari syurga. Berpanas bersama masaknya buah pada musim panas yang digilai warganya. Saya susuri dedaun merah dan kuning di musim luruh. Melihat dedaun rontok yang meninggalkan dahan dan ranting kosong untuk menerima sejuk dan guguran salju musim berikutnya. Allahu Akbar. Alhamdulillah, syukur padaMu ya Allah, Kau berikan aku kesempatan untuk menikmati tanda-tanda kebesaranMu yang tiada tandingannya.








Titi ini dulunya meriah dengan lalu lalang saya. Sekarang ia terdiam dengan keusangannya. Sesekali kaki saya menyeberanginya dalam langkah berjaga-jaga kerana bimbang akan keutuhannya dan kerana sudah tidak biasa dengan sifat goyangnya. Ia terhenjut-henjut dipijak kaki lama yang dulu amat biasa. Tetapi tidak mungkin saya lupakan asal usul saya. Di sini segalanya bermula.








Pilunya hati merenung baki sebuah tapak kehidupan yang lama ditinggalkan. Bukan tidak
berguna tetapi kerana mencari tapak yang lebih baik. Bukan lari dari lingkungannya tetapi


membina tapak yang lebih sarwajagat. Saya milik alam. Kepada alam saya serahkan bakti. Kesunyian rumah lama ini sesuatu yang pasti tidak dapat dielakkan. Fitrah manusia mencari yang lebih baik. Namun kedamaian tempat ini masih terasa. Andainya, andainya masih boleh saya ulangi. Teringat lagu Salam Terakhir nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad.








Hanya tapak rumah yang kaku dan lesu. Padanya dihamparkan segara kenangan lama yang mengimbau-ngimbau. Datang dan pergi kerana kelam dan suramnya gambaran-gambaran dan
imej lama sewaktu berkejaran, bermain dengan masa lampau yang kekadang masih mengasyikkan.












Pepohon ciku ini masih setia menanti. Buahnya masih lebat dan banyak. Tetapi ada rajuknya kerana lama ditinggalkan. Buahnya meragam. Ada busuk dan ada ulat. Kalau dulu saya panjat pokok ini, saya petik buahnya, saya peram dan tunggu masaknya, saya makan dengan nikmat, sekarang pokok ini hanya gagah berdiri. Hanya setia pada tuannya yang lupa dan alpa. Alangkah eloknya jika manusia setia begini. Setia pada alam yang menghidupinya. Beryukur dan berzikir pada Yang Khaliq.












Titi kecil ini dulunya gagah. Yang melaluinya berbagai ragam manusia. Yang bertandang dan berurut. Yang bertanya khabar. Yang merisik dan bersemenda. Yang hidup dan pergi buat selamanya. Yang datang untuk menikmati rezeki buah-buah masak, manis dan nikmat di rasa.
Sekarang tinggal kesepian menanti tapak-tapak kaki yang dia kenal dulunya. Menanti langkah-langkah yang datang dan meninggalkannya. Kau tetap berguna wahai titi yang setia. Kau telah beri harapan. Kau telah lepaskan aku untuk meneroka kehidupan yang melupakan kepayahan. Kau mengajar aku untuk melepasi halangan mencipta kebahagian. Aku tetap menjengukmu bila ada kesempatan. Lamamu tetap ku kenang.






Parit ini dulunya penuh dengan air gambut. Warnanya kehitam-hitaman. Dalam airnya saya berenang. Menyelam, mandi, membasuh dan menikmati kesejukan waktu paginya.


Parit ini dulunya laluan sampan, kayu bergergaji, buah kelapa dan tualan batang-batang sagu. Di sani saya memancing, menahan tajur, menyauk udang dan ikan. Nafsu dan keghairahan manusia menjadikannya tercemar, kering, masam dan kelat. Musnah semua yang hidup di dalamnya. Anak-anak kampung tidak lagi boleh berenang sesuka hati. Hilang nikmat hidup di kampung. Warisan yang hilang. Kos yang terlalu tinggi telah dikorbankan atas nama pembangunan dan kemajuan.











Sewaktu ketika dulu, tanah ini dipenuhi pepohon manggis, rambutan, durian, nangka, duku, pokok kopi, pinang, pisang, rambai, pulasan dan ciku.

Sekarang masa mengubahnya dengan pokok kelapa sawit. Ketiadaan penghuni mengubah senarionya. Kegirangan pada musim buah sudah berlalu. Sudah tiada musimnya. Yang tinggal hanya durian dan manggis.









Di tanah perkuburan in ramai ahli keluarga saya disemadikan. Datuk dan nenek. Pak Long, Pak Ngah dan Pak Uda.




Makcik-makcik yang meninggal sewaktu saya belum dilahirkan. Begitu juga dengan sepupu-sepupu saya. Hanya kesayuan yang tinggal.










Semadilah wahai keluargaku. Mudah-mudahan Allah memperluaskan nikmatNya di alam barzahmu.

















Masjid ini masjid baru yang menggantikan masjid lama yang gagah tetapi serene. Masjid kayu yang bercat hitam sudah lama diganti dengan masjid ini. Sayang tiada pula gambarnya.

Tidak lagi unik. Sudah standard seperti di mana-mana. Inilah rumah kedua datuk saya dulu. Di belakang masjid ini tanah perkuburan orang kampung. Di sini ayah saya disemadikan. Menziarahi kampung halaman sebegini hanya mengimbau kembali ingatan. Lipatan sejarah yang tidak kunjung padam.







Masjid bertiang seri empat sudah lama digantikan dengan masjid yang standard ini. Hilang sudah tiang yang mengikat jin. Hilang sudah kemeriahan pelajar mengaji al-Quran. Hilang sudah kegirangan dalam bulan Ramadhan.

Masjid tanpa nama khusus diabadikan dengan nama Kampung saya. Jika pembaca singgah di sini suatu waktu nanti, carilah tapak rumah saya di seberang masjid ini.















Kuala jalan ke kampung Parit Mohamad, Parit Sulong ini dilanskapkan dengan binaan menara kembar. Suatu kegilaan sewaktu KLCC sedang dibina.





Dulu hanya ada sebuah pondok kecil untuk menunggu bas dan kereta. Sukar untuk melihat kereta sepanjang kampung. Nah sekarang kereta menjalar-jalar datang dan pergi.






Jalan kampung ini dulunya becak, licin, berlopak di sana sini. Melaluinya adalah suatu kepayahan. Tetapi tiada alternatif untuk dipilih. Inilah kampung halaman tercinta. Sekarang jalan yang sama sudah berturap tar, lebar dan memudahkan. Terlindung kepayahan yang dulunya dideritai.


Lekuk dan bonggol yang mewarnai jalan ini sudah lama hilangnya. Basikal tua tidak lagi melaluinya. Paling kecil motorsikal yang banyak melaluinya. Kereta menderu setiap waktu.




Penghujung jalan ini sejauh kira-kira lima kilometer. Masa dulu-dulu, tahun 60an, masih banyak kawasan hutan di hujung kampung. Sekarang kampung saya ini sudah bercantum dengan kampung-kampung lain yang bersimpang siur di hujunghnya.

Di jalan inilah saya ke darat dan ke baruh menikmati udara dan suasana kampung yang sangat nyaman dan aman damai. Semuanya bagai diatur waktu. Perubahan demi perubahan berlaku. Setengah abad lamanya warna dan lanskapnya berubah.



Jalan ke baruh ini, jalan ke Sungai Simpang Kiri. Kira-kira sekilometer jauhnya. Jalan ini saya lalui untuk mandi di sungai, untuk bermain sampan kalau air pasang, untuk mengail udang galah

dan ikan lais. Semuanya bagai mimpi. Jaganya fana dengan perubahan fizikal yang dulunya merangkak tiba.
















Saya tinggalkan kampung ini dalam damai. Saya masih berkesempatan untuk menziarahinya. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain, membesar dan membina kehidupan. Maaflah kerana rasa dan watak tidak lagi mengizinkan untuk kembali menghuni di sini. Saya masih tetap berkelana, mengembara ke ruang waktu yang berbeza. Saya sudah berbeza. Hakikat dan realiti. Hanya kenangan yang abadi. Selamat tinggal kampungku. Selamat jalan kenanganku. Mudah-mudahan kita dapat menyatu kembali. InsyaAllah.

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Ketiga Belas

Orang kampung bila ada kenduri kendara, mereka sumbang menyumbang. Gotong royong. Bukan sahaja dari segi tenaga dan masa bahkan juga wang ringgit. Saudara dekat kenalah bagi lebih. Begitu juga kawan rapat. Tanam modal. Melabur. Simpanan. Nanti bila sampai giliran akan terima pula sumbangan dari saudara mara dan rakan-rakan.

Hingga tahun-tahun 70an, sumbang menyumbang ini (kadang-kadang ada yang namakan salam kaut. Bila bersalam kaut apa yang ada di tangan tetamu. Kalau tidak dikaut jatuh pula ke tanah. Malu tetamu. Maruah dia.) Yang masih saya ingat ialah apabila ada saudara mara yang akan mengadakan majlis kenduri kahwin, masing-masing yang datang akan membawa dua atau tiga ekor ayam. Kira tuan rumah tidak perlu membeli ayam. Selepas kenduri, masih banyak lagi ayam yang tidak perlu disembelih. Ayam kampung. Segar, enak, lemak dan menyelerakan. Langsung tidak bimbang keracunan, penyakit dan masalah hormon seperti sekarang. Ayam kampung natural. Ori kata orang sekarang.

Selain daripada itu, ada yang membawa gula, beras, bawang, ubi kentang dan sebagainya. Nanas berguni-guni. Kelapa berpuluh-puluh dilonggok. Kadang-kadang tuan rumah perlu beli rempah atau sedikit rempah ratus. Itu Sahaja. Lepas kenduri, makanan banyak, beras berguni, bawang berbakul, ayam berekor-ekor. Seminggu dua tidak perlu berbelanja. Kalau rezeki melimpah boleh beli kebun seekar atau dua ekar. Masa itu seekar baru RM300 sahaja. Kira boleh kenduri selalu.

Cara berfikir orang kampung berbeza. Tetamu yang diundang untuk makan pada hari kenduri sahaja, tidak menyumbang banyak. Masa dulu-dulu mungkin RM2 hingga RM3 sahaja. Tetapi mereka yang dijemput rewang akan menyumbang lebih. Logiknya kerana mereka diberi penghormatan untuk rewang. Duitnya sahaja tidak kurang RM20. Itu tidak termasuk ayam, gula dan beras. Adik beradik mungkin RM100. Kita kena ingat orang dulu-dula adik beradik berbelas orang. Kalau 12 orang, seorang RM100, maka sekali kenduri boleh beli empat ekar kebun getah.
Pada pagi hari kenduri, masing-masing ada tugas khas. Ada yang membantu memasak. Ada yang membancuh air minuman. Ada yang membasuh pinggan. Ada yang mengangkat hidangan. (Masa itu tidak ada buffet. Makan berhidang dengan dulang.) Bila tamat petang itu semunya akan lepak selepaknya. Semua kira tidak cukup tangan. Saya kira yang paling letih ialah mereka yang berulang alik dari bangsal memasak, mengangkat hidangan ke balai tetamu. Dari bangsal membawa hidangan dan dari balai membawa dulang kosong. Berkilometer perjalanan mereka berulang alik. Tidak boleh mengular. Jika ada, maka yang lain akan pengsan. Tidak terlayan. Jika orang kaya lagi teruk. Jemputannya beribu-ribu. Selepas Zohor adalah masa yang paling kalut.

Bab yang lain-lain saya tidak banyak masalah. Membasuh pinggan pada saya masalah yang paling besar. Sekarang kita semua senang. Air paip buka sahaja 24 jam. Menyembur-nyembur air keluar. Tadah air, bubuh sabun, basuhlah apa sahaja yang hendak dibasuh. Masa dulu-dulu tidak mungkin air diangkut dari parit atau kolam, jika ada. Tentulah akan terlalu meletihkan. Satu alternatif sahaja yang pada perkiraan orang kampung sangat mudah dan memudahkan. Beli beberapa guni abuk papan. Sental pinggan, mangkul, dulang, dudu dan gelas. Selesai bersih. Boleh pembaca bayangkan?

Masa dulu-dulu kilang papan banyak. Abuk papan memang dibuang-buang. Tetapi oleh kerana ada kegunaan baru, maka abuk papan dijual dan mendatangkan hasil. Setiap ada kenduri kahwin, abuk papan menjadi pencuci pinggan mangkuk. Masa dulu-dulu konsep kebersihan dan kesihatan taken for granted. Nampak bersih, cukup. Tidak ada cerita bakteria, kuman, virus, kulat. Apapun tidak pernah difikirkan. Dengan basmalah, makanan disuap, minuman diteguk. Alhamdulillah penyakit terhindar. Mungkin mereka ikhlas, yakin dan berserah kepada Allah. Allah beri perlindungan.

Biasanya orang kampung, bila kenduri kendara tidak lupa menyediakan berkat untuk tetamu dan untuk orang rewang. Untuk tetamu ukurannya kecil. Lauk pauknya ala kadar. Lazimnya (sebungkus makanan yang dibekalkan kepada tetamu untuk dibawa pulang) ada lauk khas seperti ayam masak kicap dan sambal goreng. Untuk anak-anak yang ditinggalkan di rumah. Orang kampung bila bertandang ke rumah pengantin, tidak membawa anak. Hanya yang dijemput secara spesifik sahaja membawa anak.

Orang yang rewang, bungkusannya besar. Ayamnya seperempat ekor. Lauk-pauk yang lain juga banyak. Untuk tetamu hanya oleh-oleh untuk anak-anak yang ditinggalkan. Untuk orang rewang, saguhati kerana berpenat berhari-hari. Sementara memulihkan dan merawat tenaga, makanan banyak dan boleh diulang-ulang makan.

Adat ini semakin berkurangan nampaknya. Makanan sekarang sangat mewah. Hari-hari boleh makan sedap. Masa dulu-dulu hanya waktu kenduri kahwin sahaja berpeluang makan nasi minyak. Sekarang nasi beriani boleh dibeli di mana-mana. Datanglah ke Batu Pahat, hari-hari ada nasi beriani gam atau beriani power. Jika hendak mengetahui rasanya datanglah. Silakan. Maaf. Kena bayar sendiri. Lauknya ada ayam, ada kambing dan ada pula daging rusa dan arnab.

Majlis kenduri macam tidak sah jika tidak ada hiburan. Ketika itu pastinya ada pancaragam. Live. berkumandanglah lagu-lagu keroncong, asli, samba, rumba, caca, masri, langgam, zapin, ghazal. Mungkin lagu Arab, Hindi. Ada juga Mat Saleh sesat di kampung. Kira meriahlah. Saya seperti teringat orang menyanyikan lagu A Rahman yang bernama Tidurku Di Rumput Yang Basah. Seingat saya lagu itu suatu ketika ditujukan kepada arwah ibu saya. Mungkin ada lelaki yang perasaan kot. Cerita lama. Masa dulu-dulu. Cubalah berjinak-jinak dengan Klasik Nasional. Nanti boleh dengar lagu tersebut. Penyanyinya A Rahman bapa kepada R Ismail. Rasanya bait keduanya ialah Berselimut Embun Yang Tinggi. Sayu suara A Rahman. Klasik Nasional banyak mengingatkan saya masa dulu-dulu yang masih segar dalam ingatan.

Tradisi hiburan ini kekal sampai sekarang. Bezanya sekarang ada DJ profesional. Ada karaoke lagi. Masa dulu-dulu jika tidak ada pancaragam, maka dihidangkan lagu-lagu piring hitam. Banyaklah lagu P Ramlee, R Azmi, Jasmi, Momok Latif, Saloma, Aziz Jaafar, Ahmad Daud, Normadiah, Zaharah Agus, Syed Hamid dan ramai lagi. Panjang senarainya. Rujuklah lagi Klasik Nasional.

Maaflah, saya mohon untuk komen bab hiburan. Islam tidak melarang tetapi hendaklah dijaga batas-batasnya. Pertama senikata lagu biarlah yang sopan dan Islamik. Keduanya jika live atau unplugged, pakaian penyanyi dan tingkah lakunya hendaklah dipelihara. Kita hendak berhibur di samping mendapat barakah majlis. Jangan pula terlalu kuat. Cukup sekadar didengar dalam balai. Tetamu hendak bersembang dengan saudara mara dan sahabat handai yang sudah lama tidak ditemui. Jika bingit telinga, bukan sahaja selera hendak berbual terbantut, selera makanpun boleh jadi terbantut. Jiwa jadi tidak tenteram. Usah ikutkan sangat orang muda. Didik mereka supaya berhibur ala kadar. Sekadar hiburkan diri. Tidak pula mengganggu orang lain yang tidak perlukan hiburan. Sama-samalah kita hormat menghormati.

Malam selepas hari kenduri, masih ramai lagi orang berkumpul. Melek-melekan, kata orang Jawa. Berjaga malam maksudnya. Meramaikan dan meraikan pengantin. Akan diadakan majlis membaca berzanji/rawi untuk mengingati Rasulullah. Pengantin memang belum boleh bersama walaupun hati terlonta-lonta. Belum masa. Esok bila saudara mara sudah pulang. Bila periuk belanga yang hitam legam sudah disental, bila rumah sudah hampir selesai dikemas, barulah boleh bersama. Kesian pengantin. Seksa dibuatnya. Pengantin perempuan tidur sendiri dalam bilik. Pengantin lelaki ada sahaja halangannya supaya tidak tidur dengan isterinya.

Malam sebelum hari kenduri selalu juga diadakan majlis berinai. Betul-betul macam dalam cerita Hindi. Pengantin akan diinai oleh sahabat atau saudara mara. Nantinya akan merah semua jari jemari. Bila jarinya merah kita tahulah bahawa dia sudah dimiliki. Sudah menjadi isteri orang. Meranalah yang melambat-lambatkan hasrat. Putih mata sambil menjilat jari. Melepas jadinya. Sebab itu perkara yang baik jangan dilambat-lambatkan. Rezeki akan ke tangan orang lain.

Malam selepas hari majlis diadakan majlis berdamai. Orang dulu emak yang carikan jodoh. Kira percaya sahajalah pilihan ibu. Masa nikah pun tidak dapat melihat wajah isteri. Masa bersanding hendak menjelingpun tidak berani. Nama sahaja makan berdamai. Kenalpun tidak. Berhari-hari lamanya baru kenal. Yang ada tiga bulan belum kenal lagi. Suatu permulaan tanpa cinta tetapi mereka berkasih sayang, anak berbelas-belas, kekal abadi ke akhir hayat. Syahdukan? Allahu Akbar. Bilangan mereka yang bercerai berai sangat sedikit berbanding orang sekarang. Majlis kahwin mereka sederhana sahaja. Untuk saudara mara dan sahabat handai. Peminat memang tidak ada. Mungkin pilihan ibu bapa ada barakahnya. Restu mereka adalah doa mereka. Restu ibu bapa adalah juga restu Allah. Sentuhan hati ibu penting diberi perhatian. Nalurinya halus.

Kawan saya orang Perak. Mengamuk keluarganya kerana malam pertama tidak dibenarkan tidur bersama isterinya. Ini satu lagi hal yang harus dibincangkan sebelum majlis kahwin diadakan. Semua jenis adat di tempat pengantin perempuan hendaklah diterangkan kepada pihak lelaki. Begitu juga pihak lelaki hendaklah menyatakan adatnya bila datang. Berkompromilah. Jika adat itu ada kaitannya dengan agama, patuhlah pada hukum hakamnya. Jika adat hanya adat, ketepikanlah. Ambil yang lebih baik kepada kedua mempelai yang sudah lama kerinduan. Mereka sudah sah bersuami isteri. Sudah ada lesen antarabangsa. Kenapa masa ini mereka dihalang-halangi sedangkan semasa bercinta dan bertunang bebas berdua. Maaf, emosi sedikit. Kita kena kembali kepada yang hak. Seperti saya kata pada pos yang lain, bertunang jangan lama-lama. Tiga bulan mungkin memadai. Atau yang lebih baik, bertunang terus nikah. Lepas itu apa jadipun tidak ada yang dirisaukan. Masa dikendurikan jika pengantin perempuan sudah mengandung, lagi baik. Sambut bayi sekali. Bukan sambut pengantin sahaja. Yang penting menjaga agama itu lebih tinggi haknya. Jaga adat hendaklah bersendikan agama. Bukan sebaliknya.

Begitulah. Masa dulu-dulu di kampung. Harmoninya adat, murninya niat, bahagianya hasrat. Berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing. Tidak perlu banyak bicara. Tidak perlu banyak karenah. Biasa sahaja. Tidak ada kerisauan yang mengganggu fikiran. Semuanya berjalan lancar. Kenduri sempurna, dapat menantu, makanan banyak pula yang berbaki. Tingginya semangat gotong royong mereka.

Sesekali ada orang kampung yang masih mengundang saya menghadiri majlis kenduri kendara di kampung saya. Kebetulan besan saya yang pertama orang kampung saya sendiri. Kawan saya masa muda-muda dahulu. Saya di Ipoh, besan saya di kampung. Anak saya bertemu suaminya di Michigan USA. Jodoh mereka. Ikan di laut, asam di darat. Dalam periuk bertemu juga.

Masa dulu-dulu dikampung. Hanya ingatan kerana walaupun saki bakinya masih ada, saya sudah menjadi orang asing. Sudah lama keluar dari lingkungannya. Sudah tidak mengikutinya lagi. Masih ada amalan lama yang diteruskan. Biarkan orang kampung dengan kebahagian mereka. Mudah-mudahan semuanya berjalan dengan baik. Diberkati Allah jua. InsyaAllah.

Friday, February 26, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Belas

Masa sudah beredar dan berubah. Yang lama berganti baru. Tentu yang patah dijangka tumbuh kembali. Yang hilang sukar dilupa. Tetapi kerana sudah tiada dicari juga gantinya. Adatnya begitu. Tidak mahu statik. Mesti cuba dinamik. Apatah lagi dalam dunia yang sangat volatile (mudah dan cepat berubah) dan sukar diramal. Perubahan pula tidak dapat dihalang. Ia harus dijangka, ditangani dan ubahsuai dari masa ke semasa.

Berbalik kepada cerita kenduri. Nostalgia juga bila ingat masa dulu-dulu. Masih kuat dalam ingatan. Menulisnya kembali tidak pula memenatkan. Alhamdulillah ianya menjadi gambaran masa lalu. Mungkin lain di tempat lain, mukim lain, daerah lain hatta di negeri lain. Rakaman saya hanya sejarah yang telah dilalui di kampung saya. Ingat ya. Kampung Parit Mohamad, Parit Sulong, Batu Pahat. Kampung ini tidak pernah masuk dalam peta sejarah. Mungkin akan ada pembaca yang nanti suatu waktu akan melewati masa untuk menjengah kampung saya ini. Mana tahu ada yang mencari kepastian. Benarkah cerita orang tua seperti saya. Takut ada ditambah di sana sini. Mungkin ada yang kata banyak rencah dan bahan untuk sedap dibaca.

Kampung saya tidak pernah mencipta nama. Seingat saya dari dulu hingga sekarang. Orang tidak akan tahu mengenainya kecuali penduduk kampung berkenaan dan kampung-kampung berdekatan. Jika usia panjang lagi dengan izin Allah dan jika blog saya ini makin ramai pengikutnya, mungkin suatu hari nanti, kampung saya ini akan dikunjungi orang. Saya tidak tinggal di kampung itu lagi. Semua orang yang saya kasihi sudah tiada. Yang tinggal adalah sepupu, anak-anak sepupu saya, malah yang pangkat cucu dan cicit belaka. Mereka juga sudah tidak mengenali saya.

Lama saya merantau, keluar dari kampung sejak tahun 1966 lagi. Saya melihat dunia di luar sana, kembangkan sedikit sayap kekampungan saya, menyeberang lautan dan benua, membelah awan dan udara. Apa yang saya dapat tidak pula dapat dibawa kembali untuk dikongsi oleh orang-orang kampung saya. Pengalaman saya dikongsi pula oleh orang-orang yang tiada kaitan dengan kampung saya itu. Mereka yang membaca blog saya mungkin sedikit sahaja yang mengenali saya secara peribadi, yang lain kenal dari jauh. Ada pula hanya kenal blog saya. Mungkin gambar di sana sini boleh dicam sedikit sebanyak. Untuk blog ini dibaca dan dikongsi rasa, sudah cukup membahagiakan saya. Jika ada yang tidak suka, maafkan saya. Seperti saya kata dahulu, saya hanya pengembara masa. Singgah untuk menjenguk teman dan rakan, bersaudara dan bersemenda.

Masa akan memisahkan kita kerana destinasi akhir kita bukan di sini. Nun jauh dalam dimensi yang lain. Dalam dimensi yang wujud di sisi Allah. Sementara masih berlegar di sini, kebersamaan kita akan cuba saya manfaatkan. Mudah-mudahan perpisahan kita nanti ada yang perlu diingat dan diabadikan dalam ingatan, dalam lipatan sejarah orang lain. Kesinambungan dan kelestarian hidup hanya mengikut liku-liku yang telah dirancangkan Allah. Kita hanya pelaku-pelaku yang cuba berusaha memenuhi tuntutanNya, Allah Rabbul Jalil. Allah Yang Khaliq jua yang megethaui segala. Keampunan jua yang selalu kita pohonkan dariNya. Mudah-mudahan kita tidak dimatikan kecuali dalam Islam.

Tersasau pula saya kali ini. Tidak apa. Imbauan seorang tua. Maaf, jika ada yang sedih. Jika keluar air mata, minta kesat sendiri. Saya tidak dapat menghulur tisu lembut bak sutera untuk mengesatnya.

Kenduri di kampung masa dulu-dulu banyak rencahnya. Selepas khatam al-Quran, selepas acara potong jambul, ada pula acara lain untuk menghidupkan malam. Penilaian orang dulu-dulu begitu. Mereka kerja sendiri. Tidak makan gaji. Tidak ada kilang. Bila ada kenduri seluruh kampung terlibat sama. Ada sahaja peranan masing-masing. Malam yang semakin larut mungkin dihidangkan dengan gambus, ghazal, kemplingan (muzik Jawa) atau pancaragam. Orang kampung yang agak alim sedikit di rumahnya akan diadakan qasidah, berzanji/rawi untuk memuji-muji Rasulullah.

Sepanjang malam semua hadirin akan dihidangkan dengan berbagai juadah. Mungkin nasi, mungkin kuih. Apa sahaja yang boleh mengenyangkan. Calang-calang orang boleh semput kekenyangan. Yang penting tidak boleh malu. Sesiapa yang menunggu dihidang akan kelaparan. Bagi mereka yang ringan tulang, ambil sendiri, makan sendiri. Syaratnya bantu kerja. Kalau makan sahaja tanpa melakukan apa-apa kerja tidak manis pula. Maka semua orang kena ambil bahagian. Baru tidak malu makan-makan dan minum-minum.

Di bangsal memasak, ramai yang menangis. Bukan sedih. Tetapi bahana gas bawang. Mereka terhembus hingus di sana terhembus di sini. Masa itu tidak ada tisu seperti sekarang. Bagi yang membawa sapu tangan, penuhlah sapu tangan itu dengan hingus. Simpan dalam poket, nanti basuh bila sampai di rumah. Tidak boleh disamakan dengan sekarang. Masa itu keadaan kurang tercemar. Sapu tangan yang basah dalam poket tidak berjangkit kepada yang hadir atau kepada ahli keluarga. Ingat semasa H1N1 mengganas. Bersinpun tidak boleh depan publik. Kena tutup rapat-rapat. Kepada orang kampung seperti saya masa dulu-dulu hal-hal seperti itu tidak langsung jadi hal. Perkara dan perintiwa yang sama tetapi sekarang implikasinya berlainan. Mungkin sistem pertahanan diri kita sudah sangat tercemar. Makanannya kurang bersih, kurang suci, kurang halal, racun, baja, prosesnya, kimia, arak dan macam-macam ramuan yang tidak diketahui dan dikenalpasti. Semuanya masuk ke dalam tubuh badan kita. Rapuh fizikal kita. Semua penyakit jadi pembunuh. Fatalistic jadinya.

Bagi yang mengups bawang putih, pedih tangan terkena air getahnya. Pedih. Semua ahli rewang membawa pisau sendiri-sendiri. Tuan rumah tidak sediakan kesemuanya. Ada yang membawa pisau lipat, ada yang membawa pisau kontot. Macam-macam saiz pisau yang dibawa. Semua pisau itu akan digunakan. Ada sahaja yang perlu dipotong, dihiris, dicanai, dibelah atau dicucuk. Gurau senda berselang seli dengan ketawa terbahak-bahak. Tidak kering gusi jika ada yang banyak keletah dan cerita. Hiburan lisan.

Daging dan ayam sudah mula dimasak apabila menjalang tengah malam. Nanas untuk paceri siap berkupas. Timun untuk acar siap berpotong. Semua bawang siap berhiris. Serai, halia, lengkuas kesemuanya siap untuk diolah. Tunggu esok, kesemuanya akan terhidang. Pasti menjilat jari. Makan sedap yang berlaku sekali sekala. Untuk menunggu yang akan datang entah bila. Nikmati dulu apa yang ada. Lain kali bersua lagi. InsyaAllah.

Wednesday, February 24, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kesebelas

Bila ada kenduri kendara di kampung, biasalah ada kumpulan rewang. (kadang-kadang dipanggil kendarat atau penanggah). Mereka bertungkus lumus untuk membantu tuan rumah dari mula hendak memulakan kenduri hinggalah kenduri selesai. Di kampung, rentetan peristiwa mungkin bermula sebulan sebelum majlis yang sebenar. Akan selesai mungkin seminggu selepas kenduri tamat. Itu cerita dulu-dulu. Sekarang keadaan sudah banyak berubah. Jiran-jiran dan saudara mara akan datang menolong mungkin seminggu sebelum. Selepasnya tuan rumah sahaja yang perlu selesaikan. Seperti kita juga, orang lain sibuk dengan dunia mereka yang tidak ada sudahnya.


Masa dulu-dulu, makan kenduri gunakan dulang. Nasi dan lauk pauknya dilonggok dalam dulang. Kami makan di mana sahaja ada ruang. Mungkin di balai yang disediakan. Atau di bawah pokok di keliling rumah pengantin. Tidak ada masalah. Tidak ada protokol. Semuanya orang kampung seperti saya. Semua senang dengan apa sahaja keadaan. Makan sedulang empat orang seronok sekali sekala. Bagi yang lelaki, dulang pertama mungkin tidak cukup. Perlu tambah nasi dan lauk. Maklumlah, seperti saya katakan dulu, anak kampung kuat kerja. Tentu kuat makan. Tetapi yang perempuan, makan beradat. Makan sedikit dianggap baik.

(Di Batu Pahat, makan menggunakan dulang masih diamalkan terutama bila diadakan majlis di masjid dan surau. Di sesetengah kampung, tradisi nasi ambang juga masih seperti dulu-dulu. Time stood still.)


Orang dulu jika hendak masuk meminang anak gadis orang, lama prosesnya. Si ibu kepada lelaki akan datang bertandang tanpa diundang. Saja berbual kosong. Tetapi mesti lama. Sempat minum, makan kuih, makan tengahari. Malah ada yang bermalam. Masa itulah tengok keliling rumah. Jika bersih dan teratur, anak dara tuan rumah boleh dijadikan menantu. Jahitan bajunya halus atau kasar. Jika halus tidak perlu diupah orang lain. Bakal menantu boleh diharap menjahit pakaian keluarga. Masakannya cukup masin, masam, manis, rampah dan sebagainya. Jika kena dengan selera, alamat emak mertua bahagia kekenyangan. Gerak lakunya, lembut atau kasar. Jika lembut, sejuk mata hati bila sudah menjadi mertua nanti. Adik beradik ramai atau tidak. Jika ramai seronok nanti. Berdozen-dozen cucu. Paling kurang satu pasukan bolasepak. Sihat atau tidak. Jika sihat, alhamdulillah.


Ini cerita makan. Anak dara perlu dilihat bukan sahaja sedikit makannya. Lebih istimewa suapannya kecil. Kalau suapannya besar, nanti dikatakan pelahap. Mulut tidak boleh dibuka lebar-lebar. Makan dengan empat jari. Jari telunjuk jangan gunakan. Kunyahnya lambat dan lama. Semasa mengunyah jangan buka mulut. Satu lagi, masa makan jangan berbunyi seperti itik makan. Jangan pula laju menyuap. Gelojoh kata orang.


Selepas basuh tangan, jangan kemas pinggan. Nanti tetamu terkilan. Baru hendak menambah lauk, sudah mula dikemas pula. Biarkan. Bila semua sudah selesai barulah dikemas pinggan mangkuk dan lauk pauk yang baki. Itulah prosedur orang kampung. Bukan seperti di restoran.


Berbalik kepada kenduri tadi, semua hidangan menggunakan dulang. Pengamatan saya menunjukkan, pembaziran banyak berlaku. Untuk makluman, semua hidangan diambil menggunakan tangan dan jari. Maka hidangan itu kesemuanya disentuh sana dan disentuh sini. Jari tangan baik untuk penghadhaman. Enzim di hujung jari memudahkan penghadhaman tersebut. Malangnya tidak semua hidangan yang tersentuh tangan tadi habis dimakan. Lalu tidak sesuai untuk dihidangkan kepada orang lain. Maka dituang ke dalam bekas yang nanti akan ada peminatnya yang akan membawa pulang. Pagi esoknya dimakan dengan roti. Terangkat juga dibuatnya. Kadang-kadang jadi rebutan. Jadi punca bermasam muka.


Dalam masa kenduri begini, kuih muih mesti disediakan oleh tuan rumah. Akan dihidangkan nanti kuih kasui, abuk-abuk, seri muka, belebat ubi, naga sari, belebat pisang, koci, keria, ondeh-ondeh, epok-epok, kuih lapis, apam dulang yang ditabur kelapa parut, bingka, kuih talam dan ada pula tapai pulut atau tapai ubi. Aduh banyaknya. Panjang senarainya. Waktu kecil, saya suka mengikut ibu saya. Kebetulan di rumahpun tiada sesiapa kecuali datuk saya. Kekenyangan perut dibuatnya. Semuanya terhidang. Capai sahaja dengan tangan. Bila kenyang bermain. Penat bermain, makan lagi. Lepas itu tidur. Tengah malam nanti, ibu akan kejutkan. Ada pula hidangan sup. Sup kepala dan kaki ayam. Bukan ada perencah Adabi ke, Mak Siti ke, Allagapa ke. Mana ada. Sup kosong. Bubuh air dan garam. Itupun sedapnya susah hendak diceritakan. Dalam keadaan mengantuk, mulut boleh dibuka, makanan dikunyah hingga kenyang. Sambung tidur lagi. Senang sungguh jadi anak. Ibu dan ayah berperang untuk hidup. Anak tahu ada sahaja.


Lazimnya di kampung pengantin perempuan akan membaca al-Quran dan rawi. Majlis khatam al-Quran sebegini diadakan pada malam sebelum majlis kenduri diadakan. Ramailah anak dara kampung yang datang meramaikan. Yang dari kampung sebelahpun diundang sama. Sambut menyambut dan bersahut-sahutan suara mereka. Anak-anak muda tertinjau-tinjau. Mana tahu ada yang berkenan di hati. Sampailah giliran pula. Saya kecil lagi. Bila saya di akhir remaja, kebiasaan itu mulai berkurangan. Sekarang semuanya sudah tiada. Mudah-mudahan blog ini menjadi rakaman sejarah masa dulu-dulu. Melihat adat yang sudah berganti dan ditiadakan kerana fungsinya dikesampingkan. Pelaku-pelaku masyarakat banyak pilihan lain yang lebih relevan dengan diri mereka masing-masing.


Ada pula yang menambah dengan acara potong jambul. Tetamu lelaki akan membaca rawi dan bermarhaban. Bayi didukung ahli keluarga untuk dipotong rambutnya di sana dan di sini ikut suka orang yang memotong. Biasanya orang tua-tuan atau mereka yang dihormati dalam kampung. Penghulu atau Tok Ketua tidak ketinggalan. Selepas itu hadirin dihadiahkan dengan bunga rampai. Ada pula bunga telur sebiji seorang. Bunga rampai diperbuat dari berbagai bunga yang dihiris-hiris nipis. Dicampur dengan daun pandan wangi. Direnjis pula dengan minyak wangi. Bunga rampai wangi di poket. Tetapi tidak tahan lama. Bila kering di poket, kenalah buang. Jika tidak berserabut bila dibasuh nanti.


Di kampung waktu itu bila ada kenduri kahwin, bunga telur adalah satu kemestian. Semua orang akan dipastikan mendapat sebiji seorang. Bagi keluarga terdekat akan mendapat lebih dari sebiji. Periuk besar akan digunakan untuk merebus telur. Untuk mengelakkan telur pecah kulitnya semasa direbus, ada yang mencampurkannya dengan kulit bawang. Pengalaman mereka begitu. Mungkin tidak saintifik.

Masa dulu-dulu, bunga telur buat sendiri. Berhari-hari dan ramai yang terlibat. Masa itulah bergurau senda, giat menggiat. Konsepnya gotong royong. Telur rebus bukan ada rasa apa-apa selain rasa telur. Rakan-rakan sebaya saya berebut-rebut hendakkan banyak. Sekarang di Batu Pahat telur direbus sebagai telur pindang yang berbagai-bagai ramuannya. Isinya menjadi cokelat kehitam-hitaman. Rasa herba, rempah dan masin kerana garam. Selepas banyak makan telur, majlis akan berbau "wangi" apabila ada yang meniupkan angin sepoi-sepoi bahasa. Semerbak. Tetapi tiada siapa yang akan mengaku. Lucu juga bila ingat.

Seminggu sebelum majlis, ramai orang lelaki yang sibuk membuat bangsal memasak dan balai untuk para jemputan makan. Pinggan mangkuk akan diangkut dari rumah yang menyimpannya. Lazimnya di rumah ketua Jawatankuasa Pinggan Mangkuk. Ahli sahaja yang boleh meminjam dengan percuma. Mereka yang bukan ahli, perlu membayar sewa. Pengangkutan hanya dengan basikal. Jalanraya belum wujud. Kereta atau lori belum boleh sampai di kampung.

Waktu yang paling sibuk ialah petang dan malam menjelang majlis kenduri itu. Hari itu mungkin lembu disembelih. Maaf di Johor tidak ada kerbau sebab tidak ada sawah. Begitu juga ayam. Kumpulan-kumpulan penanggah (ahli rewang/kendarat) akan melapah lembu, menyiang ayam, mengupas kentang, bawang merah-kecil-putih, halia, nanas, terung, timun dan keperluan-keperluan yang lain. Jika kita lihat senerionya ketika itu, memang ramai yang terlibat. Kadang-kadang hingga 40 atau 50 orang. Sebab itu di Kelantan dipanggil "bikwah" atau big work - kenduri besar, kata orang putih.

Semua yang bertugas amat seronok dan bangga. Jika tidak dijemput, sangat terkilan. Seolah-olah tuan rumah tidak ingatkan mereka. Tidak sayang lagi. Di kampung yang lelaki akan disediakan rokok sekotak seorang dan tuala muka good morning sehelai seorang. Rokok dihisap sebagai simbol kelelakian mereka, tuala pula untuk mengelap peluh. Rokok tidak terhad kepada orang dewasa. Kanak-kanakpun diberi juga. Tidak hairan anak-anak kampung merokok. Ada yang mengajar. Orang-orang dewasa yang tidak memikir atau tidak mengetahui risiko dan implikasinya. Rokok terselit di celah bibir, mulut bercakap, tangan rancak bekerja.

Saya dapati masih ada lagi senario tersebut di kampung. Ada kelainannya. Beberapa aspek telah diubahsuai mengikut peredaran zaman. Suasananya berubah sebab yang terlibat hanya orang tua-tua. Yang muda sibuk dengan alam mereka sendiri. Kasihan yang sudah beruban, yang sudah agak rabun, yang sudah mengheret kaki, yang tangannya sudah tidak sempurna psikomotornya, yang semput kerana gendut perutnya, yang sudah jongang atau rompong. Ke mana pergi anak-anak muda ya? Soalan cepu emas.

Orang yang sama akan bertugas hingga majlis selesaai petang esoknya. Mereka semua jiran tetangga, kawan sekampung, saudara mara yang jauh dan yang dekat. Masa inilah bertemu sanak saudara. Tetapi mereka tidak berbual begitu sahaja. Mereka membuat berbagai kerja mengikut kumpulan. Pada masa bekerja itulah mereka bersembang. Maklum lama tidak berjumpa. Sekarang sudah tidak perlu lagi. Perhubungan mudah. Telefon ada. Sms bila-bila masa sahaja. Yang pandai komputer lagilah. Macam-macam cara boleh dijadikan alat perhubungan.

Waktu rewang petang-petang begini, orang perempuan akan menyediakan hidangan. Sebelum Maghrib semua orang yang hadir akan diberi makan. Makanan paling sedap akan dinikmati pada petang ini. Petang rewang. Petang sehari sebelum majlis kenduri diadakan. Lauk pauknya cukup mudah. Nasi putih, ikan masin kering, sambal tumis dan sayur. Mungkin gulai nangka atau gulai umbut atau gulai meranti atau gulai rebung atau gulai pisang kapas muda atau gulai labu dan pucuknya atau gulai pucuk manis dan labu atau gulai daun ubi atau gulai kacang panjang dan labu atau batang keladi masak asam. Kadang-kadang disediakan juga sambal goreng. (ada ceritanya dalam pos yang lalu). Makan ketika itu memang sedap. Badan penat, kawan makan ramai pula. Memang berselera. Tambahlah berapa pingganpun. Lauk tidak pernah habis.

Esoknya, hari majlis yang sebenar. Paling meriah. Jika tidak hujan, bertambahlah meriahnya.



........ Tunggu sambunganya ......