Masa sudah beredar dan berubah. Yang lama berganti baru. Tentu yang patah dijangka tumbuh kembali. Yang hilang sukar dilupa. Tetapi kerana sudah tiada dicari juga gantinya. Adatnya begitu. Tidak mahu statik. Mesti cuba dinamik. Apatah lagi dalam dunia yang sangat volatile (mudah dan cepat berubah) dan sukar diramal. Perubahan pula tidak dapat dihalang. Ia harus dijangka, ditangani dan ubahsuai dari masa ke semasa.
Berbalik kepada cerita kenduri. Nostalgia juga bila ingat masa dulu-dulu. Masih kuat dalam ingatan. Menulisnya kembali tidak pula memenatkan. Alhamdulillah ianya menjadi gambaran masa lalu. Mungkin lain di tempat lain, mukim lain, daerah lain hatta di negeri lain. Rakaman saya hanya sejarah yang telah dilalui di kampung saya. Ingat ya. Kampung Parit Mohamad, Parit Sulong, Batu Pahat. Kampung ini tidak pernah masuk dalam peta sejarah. Mungkin akan ada pembaca yang nanti suatu waktu akan melewati masa untuk menjengah kampung saya ini. Mana tahu ada yang mencari kepastian. Benarkah cerita orang tua seperti saya. Takut ada ditambah di sana sini. Mungkin ada yang kata banyak rencah dan bahan untuk sedap dibaca.
Kampung saya tidak pernah mencipta nama. Seingat saya dari dulu hingga sekarang. Orang tidak akan tahu mengenainya kecuali penduduk kampung berkenaan dan kampung-kampung berdekatan. Jika usia panjang lagi dengan izin Allah dan jika blog saya ini makin ramai pengikutnya, mungkin suatu hari nanti, kampung saya ini akan dikunjungi orang. Saya tidak tinggal di kampung itu lagi. Semua orang yang saya kasihi sudah tiada. Yang tinggal adalah sepupu, anak-anak sepupu saya, malah yang pangkat cucu dan cicit belaka. Mereka juga sudah tidak mengenali saya.
Lama saya merantau, keluar dari kampung sejak tahun 1966 lagi. Saya melihat dunia di luar sana, kembangkan sedikit sayap kekampungan saya, menyeberang lautan dan benua, membelah awan dan udara. Apa yang saya dapat tidak pula dapat dibawa kembali untuk dikongsi oleh orang-orang kampung saya. Pengalaman saya dikongsi pula oleh orang-orang yang tiada kaitan dengan kampung saya itu. Mereka yang membaca blog saya mungkin sedikit sahaja yang mengenali saya secara peribadi, yang lain kenal dari jauh. Ada pula hanya kenal blog saya. Mungkin gambar di sana sini boleh dicam sedikit sebanyak. Untuk blog ini dibaca dan dikongsi rasa, sudah cukup membahagiakan saya. Jika ada yang tidak suka, maafkan saya. Seperti saya kata dahulu, saya hanya pengembara masa. Singgah untuk menjenguk teman dan rakan, bersaudara dan bersemenda.
Masa akan memisahkan kita kerana destinasi akhir kita bukan di sini. Nun jauh dalam dimensi yang lain. Dalam dimensi yang wujud di sisi Allah. Sementara masih berlegar di sini, kebersamaan kita akan cuba saya manfaatkan. Mudah-mudahan perpisahan kita nanti ada yang perlu diingat dan diabadikan dalam ingatan, dalam lipatan sejarah orang lain. Kesinambungan dan kelestarian hidup hanya mengikut liku-liku yang telah dirancangkan Allah. Kita hanya pelaku-pelaku yang cuba berusaha memenuhi tuntutanNya, Allah Rabbul Jalil. Allah Yang Khaliq jua yang megethaui segala. Keampunan jua yang selalu kita pohonkan dariNya. Mudah-mudahan kita tidak dimatikan kecuali dalam Islam.
Tersasau pula saya kali ini. Tidak apa. Imbauan seorang tua. Maaf, jika ada yang sedih. Jika keluar air mata, minta kesat sendiri. Saya tidak dapat menghulur tisu lembut bak sutera untuk mengesatnya.
Kenduri di kampung masa dulu-dulu banyak rencahnya. Selepas khatam al-Quran, selepas acara potong jambul, ada pula acara lain untuk menghidupkan malam. Penilaian orang dulu-dulu begitu. Mereka kerja sendiri. Tidak makan gaji. Tidak ada kilang. Bila ada kenduri seluruh kampung terlibat sama. Ada sahaja peranan masing-masing. Malam yang semakin larut mungkin dihidangkan dengan gambus, ghazal, kemplingan (muzik Jawa) atau pancaragam. Orang kampung yang agak alim sedikit di rumahnya akan diadakan qasidah, berzanji/rawi untuk memuji-muji Rasulullah.
Sepanjang malam semua hadirin akan dihidangkan dengan berbagai juadah. Mungkin nasi, mungkin kuih. Apa sahaja yang boleh mengenyangkan. Calang-calang orang boleh semput kekenyangan. Yang penting tidak boleh malu. Sesiapa yang menunggu dihidang akan kelaparan. Bagi mereka yang ringan tulang, ambil sendiri, makan sendiri. Syaratnya bantu kerja. Kalau makan sahaja tanpa melakukan apa-apa kerja tidak manis pula. Maka semua orang kena ambil bahagian. Baru tidak malu makan-makan dan minum-minum.
Di bangsal memasak, ramai yang menangis. Bukan sedih. Tetapi bahana gas bawang. Mereka terhembus hingus di sana terhembus di sini. Masa itu tidak ada tisu seperti sekarang. Bagi yang membawa sapu tangan, penuhlah sapu tangan itu dengan hingus. Simpan dalam poket, nanti basuh bila sampai di rumah. Tidak boleh disamakan dengan sekarang. Masa itu keadaan kurang tercemar. Sapu tangan yang basah dalam poket tidak berjangkit kepada yang hadir atau kepada ahli keluarga. Ingat semasa H1N1 mengganas. Bersinpun tidak boleh depan publik. Kena tutup rapat-rapat. Kepada orang kampung seperti saya masa dulu-dulu hal-hal seperti itu tidak langsung jadi hal. Perkara dan perintiwa yang sama tetapi sekarang implikasinya berlainan. Mungkin sistem pertahanan diri kita sudah sangat tercemar. Makanannya kurang bersih, kurang suci, kurang halal, racun, baja, prosesnya, kimia, arak dan macam-macam ramuan yang tidak diketahui dan dikenalpasti. Semuanya masuk ke dalam tubuh badan kita. Rapuh fizikal kita. Semua penyakit jadi pembunuh. Fatalistic jadinya.
Bagi yang mengups bawang putih, pedih tangan terkena air getahnya. Pedih. Semua ahli rewang membawa pisau sendiri-sendiri. Tuan rumah tidak sediakan kesemuanya. Ada yang membawa pisau lipat, ada yang membawa pisau kontot. Macam-macam saiz pisau yang dibawa. Semua pisau itu akan digunakan. Ada sahaja yang perlu dipotong, dihiris, dicanai, dibelah atau dicucuk. Gurau senda berselang seli dengan ketawa terbahak-bahak. Tidak kering gusi jika ada yang banyak keletah dan cerita. Hiburan lisan.
Daging dan ayam sudah mula dimasak apabila menjalang tengah malam. Nanas untuk paceri siap berkupas. Timun untuk acar siap berpotong. Semua bawang siap berhiris. Serai, halia, lengkuas kesemuanya siap untuk diolah. Tunggu esok, kesemuanya akan terhidang. Pasti menjilat jari. Makan sedap yang berlaku sekali sekala. Untuk menunggu yang akan datang entah bila. Nikmati dulu apa yang ada. Lain kali bersua lagi. InsyaAllah.
Tuan Hj. suka saya untuk terus membaca kisah hidup Tuan Hj... boleh dijadikan panduan untuk anak2 muda zaman sekarang...
ReplyDeleteMudah-mudahan itulah matlamat saya. Untuk motivasi anak-anak muda yang masih panjang hidup mereka. Tidak ada yang mustahil untuk digapai. InsyaAllah pertolonganNya sentiasa untuk mereka yang berusha. InsyaAllah.
ReplyDelete