Saturday, March 29, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Malu Bukan Pada Muka



Rasanya pertama kali kita mengalami krisis bertaraf dunia. Selama ini kita majukan banyak idea yang bertaraf dunia. Kita gagaskan bermacam-macam rekabentuk. Ciptaan yang diharap menggamit permintaan dari warga seluruh dunia. Cuma krisis yang kita hadapi tidak pernah dirancang. Tidak juga pernah dijangka. Apabila terkena badinya kita semua seperti kehilangan arah. Mereka yang berada di tempat yang berwibawa teruji kewibawaannya. Ramai yang kecundang. Mereka yang menjadi rakyat biasa ramai yang terpedaya dengan spekulasi. Baru sekarang kita mengerti bahawa untuk menjadi negara hebat banyak lagi yang perlu kita bina. Kita alami. Kita hadapi. Kita pelajari. Banyak yang perlu kita rancang. Kita kena kembali ke drawing board untuk melihat semula diri kita. Semak semula apa yang kita ada. Seorang tokoh akademik pernah berkata dalam suatu seminar peringkat kebangsaan bahawa kita ketandusan kredibiliti dalam menyampaikan maklumat. Baik media. Baik mereka yang ingin berkomunikasi. Dalam bahasa mudah banyak berita yang tidak boleh dipercayai.

Pada hemah penulis krisis MH370 menyerlahkan banyak kepincangan dalam kita mengendalikan diri kita. Dari segi Geografi kita gagal memberitahu dunia di mana kita sebenarnya. Orang tidak kenal Putrajaya. Kuala Lumpur di Brunei. Kuala Lumpur di Indonesia. Aduhai! Kita tanya kedutaan kita di luar negara. Kita tanya Kementerian Pelancongan. Kita tanya Kementerian Luar Negara. Kita tanya media kita sendiri. Selama ini kita dimaklumkan bahawa Malaysia sangat terkenal di luar negara. Seolah-olahnya semua orang tahu Malaysia dan kedudukannya. Malaysia dan keistimewaannya. Seorang lelaki Amerika pernah bertanya dari mana penulis datang sewaktu di USA dahulu. Bila disebut Malaysia dia tidak tahu. Mereka kenal Thailand. Mereka kenal Singapura. Mereka kenal Indonesia dan Sukarno. Mereka kenal Filifina. Mereka tidak kenal Malaysia tetapi mereka kenal Penang dan Sipadan. Kenal Pangkor. Aneh. Pelik. Tetapi itulah hakikatnya. Siapa dan dari mana puncanya. Kita promosikan tempat tanpa memperhitungkan negara dan kepentingannya.

MH370 menjadi mercu tanda terkebelakangnya kita dari segi cerita. Dari segi berita. Dari segi berkomuniukasi. Dari segi membaca arus psikologi antarabangsa. Ada dasar yang selama ini diikut iaitu maklumt mesti datang dari individu yang paling berwibawa dalam organisasi. Dalam krisis sekarang dasar itu hilang serinya. Semua orang ingin memberikan pendapat tanpa maklumat yang sahih. Yang benar. Yang boleh dipecayai. Sedari mula seharusnya wujud command centre. Pusat penyebaran maklumat. Memberikan maklumat yang sudah disahkan. Sudah ditimbangkan implikasinya. Memuaskan hati dan bukan menambahkan persoalan dan isu. Hanya seorang sahaja yang menyampaikannya. The central figure must be the top-most man. Bukan sebarang orang walaupun individu itu mengetahui. The chain of command goes back to the top man. Maklumat yang ditapis terlebih dahulu wajar dirujuk dari segi politik, dari segi teknologi yang kita sendiri miliki dan dirujuk teknologi asing. Seperti yang diingini ramai, maklumat itu perlu jelas, terang dan telus. Prof. Agus Yusof menyatakan bahawa ketelusan dan keberanian berterusterang disanjungi. Walau bagaimanapun masa rupanya menghakis keyakinan awal yang kita terima. Yang kita rasakan memantapkan suasana. Masih banyak kekusutan yang tidak terurai. Seluruh dunia meneropong Malaysia. Negaranya. Rakyatnya. Keupayaannya. Kepimpinannya.

Terlalu banyak maklumat yang bercanggah. Paling ketara ialah makkumat yang dilontar dan ditarik balik. Penulis tidak percaya bahawa hal sebegini berlaku di Malaysia. Sebuah negara yang sedang berlari mengejar Wawasan 2020. Kita belum ada Standard Operation Procedure (SOP) yang mantap dalam menghadapi krisis bertaraf dunia. Sepertinya semua individu terseret sama merasa kekalutannya. Banyak hal yang belum jelas telah diberi rumusan dan kesimpulan. Bila ada maklumat baru diurai semula maklumat yang lalu. Kita jadi pi mai pi mai tang tu juga. Mungkin pencetus idea Wawasan 2020 sangat bimbang yang wawasan itu tidak akan tercapai. Masa enam tahun lagi terlalu dekat untuk memperbaiki keadaan. Untuk belajar dari kesilapan. Untuk berada di atas landasan yang benar-benar lurus, selari, rata dan sampai ke destinasinya yang benar dan hak.

Kehilangan MH370 sudah melepasi jangkawaktu tiga minggu. Minggu-minggu yang mendebarkan. Ada masanya mengujakan. Sekarang seperti melemaskan. Bukan tiada harapan tetapi tiada kepastian bagaimana episod malang ini harus disusun supaya kronologi kejadiannya benar-benar memberikan jawapan yang menyakinkan. Malang lagi jika ada fabrikasi dalam laporannya. Kita harus maklum bahawa di dalam dunia ini terlalu ramai pakar yang akan meneliti semua aspek berkenaan MH370. Tiada satu aspek yang akan terlepas. Kesemuanya akan diteliti (scrutinised) hingga ke perincian yang paling kecil (to the minute detail). Rakyat kita sendiri ramai juga yang maklum akan hal ini. Di IPT kita ramai pakar IT. Pakar dalam bidang komunikasi. Banyak radar di IPT kita. Penulis pasti ramai antara mereka yang maklum akan kedudukan perkara. Maknanya mata mereka tidak boleh ditutup. Ilmu mereka tidak boleh disembunyikan.


Kita harus menilai semula kekurangan kita. Apabila seluruh dunia fokus kepada kita, perlu banyak usaha untuk memperlihatkan yang terbaik. Mungkin tidak lebih baik dari yang ada di negara lain tetapi paling minimum biarlah setanding dengan yang ada di negara lain. Ramai pelajar asing di negara kita. Jumlahnya ratusan ribu. Pengalaman MH370 tenulah pengalaman unik yang akan mereka bawa balik ke negara mereka. Either we make them learn the right thing or they bring back the wrong thing. Kedua-duanya musibah dalam sistem pendidikan tinggi kita. Kerana itu kita perlu membetulkan semula bearing kita. Apa dan ke mana sebenarnya kita hendak pergi. Ke mana hendak dibawa. Kita tidak boleh memakai sarung kepala sewaktu berada di luar negara. Sebenarnya yang malu bukan sekadar muka tetapi seluruh jiwa raga kita. 


Thursday, March 27, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Siapakah Pasanganmu Yang Selalu Memberi Rindu?


Sepasang kekasih yang menjejak persada pelamin. Jelingan manja dengan rasa kasih yang syahdu. Senyum dan tangis silihnya berganti. Saat itu suatu penantian yang tamat dengan lafaz, "Aku terima nikahnya." Ketika saat itu dilalui, akulah suami. Akulah isteri. Apakah sebenarnya detik itu. Kata John Gray, Men are from Mars dan women are from Venus. Jauhnya perbezaan antara keduanya. Susuk tubuhnya berbeza. Kapasiti kehendak dan kemahuannya berbeza. Fokusnya berbeza. Perasaan dan psikologinya berbeza. Namun kuasa Allah menemukan mereka. Menemukan mereka dalam satu ikatan yang sangat suci dan syahdu. Berbahagia dari dunia hingga ke akhirat. Pasangan yang berbahagia bukan kerana adanya harta yang menimbun. Bukan kerana emas dan intan berlian. Bukan kerana cantik dan sepadan. Banyak faktor yang mengikat kasih, sukar diceritakan.  Sukar disenaraikan pun. Sukar dipindahkan kepada orang lain. Setiap pasangan ada rahsia peribadi masing-masing. Ada resepi yang tidak boleh dipelajari oleh orang lain. Unik dan tersendiri.

Kenapa ada bulan madu? Apa hubungannya antara bulan dan madu? Satu  di langit dan satu lagi di bumi. Kedua-duanya ciptaan Allah yang sangat manis untuk manusia. Bulan memaniskan suasana. Redup dan romantik. Sentimental dan sayu. Bulan purnama umpamanya menerangi alam maya. Terang tetapi tidak jelas. Kelihatan tetapi bukan segala-galanya. Dalam cahaya itu pasangan baru mencari antara satu sama lain. Menerima dan memberi apa sahaja yang selama ini terlarang. Yang tidak mungkin tanpa ikatan. Pergaulan yang tiada lagi batas. Senda dan tawa yang tidak siapa melarang. Keintiman yang disantuni semua orang. Yang disenangi semua yang melihat. Yang diiri oleh mereka yang belum berpunya. Ingin seperti pasangan baru yang mengecap nikmat berumahtangga. Kasih sayang rupanya seperti madu. Manis dihirup. Mengenyangkan diteguk, dikunyah, dimamah dan ditelan jiwa raga. Berpandangan menautkan wajah-wajah yang menggelorakan. Di wajahmu ku lihat bulan. Sebuah lagu dari penyanyi Sam Samiun.

Bagi yang mencari, dapatnya didakap sayang. Bagi yang kehilangan jumpanya didakap rindu. Dekat disayang. Jauh dirindu. Jarak selalu menjadikan diri resah. Kebahagian ingin diikat kejap tanpa urai. Didekat tanpa lari menjauh. Selamanya ingin bersama membina indah bahagia yang semakin meninggi. Dulu setiap pasangan mencari cantik yang sepadan. Sesudah bersama yang dicari bukan lagi cantik rupa. Sesungguhnya cantik itu akan pergi berlalu. Masa membawanya pergi. Maka setiap pasangan perlu mencari gantinya. Bukan cantik lagi yang didamba. Allah! Kasih abadi yang tidak pernah susut. Badai dan ombak dilayari bersama. Sakit dan susah digagahi bersama. Akal budi yang baik yang dicari. Tinggalkan beza dan tingkah yang tidak sama. Anak-anak tambatan hati. Semakin ramai semakin mengikat kasih. Cucu dan cicit sebagai tanda-tanda di hujung usia. Tetapi di situlah adanya ikatan silam yang masih kejap untuk diulang. Melihat semula cinta yang dipupuk lama dahulu. Seperti dari azali.

Ramai pasangan yang lupakan senarai semak yang untuk dirujuk. Setiap perancangan masa hadapan ada pelan induknya. Ada program yang perlu dilaksanakan. Maka senarai semak perlu ada. Diperbaiki dan ditambah dari masa ke semasa. Jika ada input baru maka perlu adanya perubahan. Strategi baru. Prosedur baru. Objektif baru. Teknik dan kaedah baru. Pasangan masing-masing adalah orang yang paling dekat. Yang paling disayangi. Paling dikasihi. Belajar untuk menyelami hati masing-masing. Mengerti perbezaan isyarat dan tindakan. Perbezaan menerima akibat dan musibah. Tidak ada siapa yang boleh memahami orang lain hatta pasangan sendiri sekalipun. Setiap orang kadang-kadang merasakan bahawa pasangannya tidak memahaminya. Itu barangkali kesilapan besar yang seperlunya dihindarkan. Renung kembali. Siapa pasangan kita. Semak kembali senarai semak yang kita ada. Dia adalah suami. Dia ayah anak-anak. Dia ketua keluarga. Dia memberi kasih dan sayang. Dialah pelindung. Atau dia adalah isteri. Ibu kepada anak-anak. Pembantu setia. Kasihnya menenangkan hati dan perasaan. Penghibur duka dan lara.

Suami dan isteri jangan pernah hilang kelayakan untuk menyemak kedudukan masing-masing. Jika dahulu selalu rindu, cari semula resepi rindu itu. Antara keduanya perlu selalu berada dalam alam percintaan. Tinggal di bawah satu bumbung tetapi merindui antara satau sama lain. Ganjil? Itulah keganjilan cinta dua manusia yang sama-sama mengerti ertinya. Telah melaluinya bersama. Harta benda hanya pembantu. Syarat untuk hidup. Cantik dan lawar telah tiada. Kasih sayang dalam cinta bersulam itulah yang abadi dingat dan dikitar semula setiap masa. Apabila ingatan, gamitan dan seruan kasih sudah tidak bersahut maka terurailah ikatan dahulu yang jangkanya kejap dan kuat. Terurailah dekat menjadi jauh. Ketika itu memang pedihnya terasa. Tetapi setiap orang harus belajar untuk merasionalkan diri. Bahawa sesuatu itu tidak ada yang kekal abadi. Sampai masanya ia tiada. Ia hilang. Ia bukan lagi milik kita. Kerana ketentuan dan ketidakpastian setiap pasangan perlu berusaha. Perlu mencari yang terbaik untuk menjadikan pasangannya sentiasa rindu. Sentiasa ingat. Sentiasa ingin dekat.

1     Landasan lama jangan dibiarkan bercapah. Selalu berada di atas landasan yang sama atau selari. Semakin berusia semakin dekat dan bukan semakin jauh. Semakin harmoni dan bukan semakin mencari jalan sendiri-sendiri.

2     Luncuran masa yang berpapasan dijadikan beriringan. Banyak perbezaan antara pasangan. Mungkin pendidikan. Mungkin kerjaya. Mungkin kejayaan. Jangan remehkan pasangan. Jangan rendahkan pasangan. Jangan sekalipun sebut kekurangannya jika tidak memberi jalan membawanya keluar dari kekurangan itu. Jika tidak ingin membantu. Menemplak memang senang tetapi membawanya bersama itulah yang paling baik. Tingkatkan martabatnya. Biar seiring jalan fikirangnya. Cipta kimia antara satu sama lain.

3     Tidak ada teori perkahwinan yang jelas seperti carta alir dalam sesuatu proses yang tersusun rapi sekuennya. Banyak teori yang tidak dipelajari secara khusus. Pengalaman diadun dan ditambah nilai. Diaplikasi selalu supaya rimanya menawan. Rentaknya menarik. Bunyinya menggoda.

4     Tiada sekolah untuk belajar semula mengurus rumahtangga. Tetapi ada sesuatu yang asas. Bersih dan kemas menyenangkan. Susun dan teratur membahagiakan. Keceriaan menawan perasaan dan psikologi. Ramai pasangan yang menerima seadanya. Namun jika keduanya embark on something better tentulah kesannya pergi jauh. Akan terbina standard yang lebih tinggi. Arasnya lebih tinggi. Lebih tinggi tentunya lebih baik. Tidak semestinya lebih mahal kosnya. Mungkin perlukan kos pada awalnya. Pada waktu-waktu yang lain hanya penyelenggaraan sahaja yang perlu.

5     Panca indera kita seharusnya bermanfaat kepada kita. Dengar nasihat dan tunjuk ajar. Lihat dan ambil mana-mana yang baik. Hidu maklumat untuk menambahbaik. Banyak bertanya jika ingin mendapat yang lebih baik. Berfikir untuk memperbaiki keadaan. Membuka minda untuk menerima sesuatu yang baru dari masa ke semasa. Jangan rasa pandai sendiri hingga hilang pandainya

6     Anjakan paradigma sangat perlu dalm hidup ini. Perlunya ada kemajuan yang dipelajari. Banyak membaca. Memerhati dan mengamati. Perjalanan jangan dibosankan dengan tidur. Lihat sekeliling untuk diambil faedahnya.

InsyaAllah pasangan yang baru memang rindukan antara satu sama lain. InsyaAllah pasangan yang sudah melampaui usianya tetap rindu merindui. Perlu ada resepi yag telah dikumpul. Telah dihimpun. Apabila hilang rasa rindu di hati maka ketika itu hilanglah peranan kasih dan sayang. Suami hilang tugasnya. Isteri hilang peranannya. Apabila senarai semak kasih dan sayang dibuang ke tepi ketika itu pasangan itu hilang seri. Hilang usaha untuk bahagia. Apabila yang dikejar ialah cantik maka cantik itu akan mengikat sementara. Ingatlah usia yang bertambah adalah untuk menambah kebaikan. Menambah pahala. Menambah kebahagiaan. Sesungguhnya kita tidak hidup sendiri. Roda sentiasa berpusing. Fitrah ciptaan Allah sentiasa berputar. Kita kita inilah yang seharusnya mensyukuriNya kerana diberi nikmat sementar untuk dibawa ke syurga. Untuk diabadikan di sana nanti. Alangkah baiknya juga bersama pasangan yang sama.

Wednesday, March 26, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Yang Sedap Di Hati



Kita selalu bercakap fasal hati. Hati kita yang selalu kita anggap paling penting. Kita menganggap kita adalah segala-galanya. Maka kita bertindak mengikut hati. Bercakap mengikut hati. Berbuat sesuatu mengikut hati kita. Ukurannya diri kita sendiri. Walau bagaimanapun kita dimaklumkan bahawa hati bukan segala-galanya. Aqal kita yang seperlunya lebih penting. Aqal memandu manusia ke arah kebaikan. Apatah lagi apabila aqal itu terdidik dengan ilmu. Terkawal dengan akhlaq yang baik. Selalunya bertembung antara kehendak hati dan pertimbangan aqal. Jika hati kehendaknya tanpa batas, aqal pula cuba membataskan kehendak hati dari berbagai aspek. Ada yang secara lahiriah dan ada pula yang secara tersirat. Yang paling baik tentunya paduan antara hati dan aqal. Mengharmonikan kedua-duanya supaya bergabung dalam satu wadah dan bukan berpencaran ke arah berbagai arah.

Tidak berlaku ikatan tanpa perbezaan hati dan aqal. Andainya yang berbagai itu dihimpunkan dalam satu simpulan yang kejap dan kukuh. Ikatan itu bermanfaat secara jamaah. Sedangkan sewaktu berasingan tiada banyak gunanya. Atau mungkin tidak ada gunanya langsung. Seorang guru tanpa pelajar bukan guru namanya. Dia hanya guru sebagai jawatan. Tanpa manfaat. Sekolah tanpa guru dan pelajar hanya sebuah bangunan sepi. Pelajar tanpa sekolah dan guru tiada arah tuju. Tidak tahu apa makna sekolah yang sebenarnya. Apabila ketiga-tiganya dihadirkan bersama barulah sekolah berfungsi. Guru bermanfaat. Pelajar mendapat input minda dan fizikal untuk bekal masa hadapan mereka. Guru mungkin punya hati tetapi mereka terikat dengan sistem. Sekolah hanya bangunan yang bergantung kepada  kegunaannya. Pelajar punya hati tetapi pelajar tidak tuhu ke mana hati mereka perlu dibawa tanpa guru dan sekolah.

Benarkah hati mainan mata? Mata menjadi pancaindera yang selalu dihubungkan dengan hati. Dari mata turun ke hati. Jika benar mata melihat maka benarlah apa yang sampai ke hati. Jika mata melihat aspek yang silap maka silaplah penerimaan hati. Ketika diperlukan inilah aqal berfungsi sewajarnya. Menganalisis apa yang dilihat oleh mata. Menghantar mesej yang benar untuk hati. Aqal yang baik menjadi kritikal dalam pembentukan seorang individu. Kita dianugerahkan aqal oleh Allah. Ada yang dianggap bestari dan ada yang berada di bawah paras bestari. Namun begitu mereka yang berjaya bukan kesemuanya dari kalangan mereka yang bestari. Pendidikan dan sekolah membantu membangunkan individu yang aqalnya dibangunkan. Berfikir dengan rasional. Bersistem dan sistemik. Berada pula pada aras yang semakin tinggi dari masa ke semasa. Mata, hati dan aqal merupakan tiga demensi yang paradoks. Banyak bertentangan antara satu sama lain.

Cara kita berfikir banyak bergantung kepada norma masyarakat. Kebiasaan, kebudayaan dan akhirnya agama. Agama menjadi penentu terakhir untuk menjawab antara boleh dengan tidak. Banyak perkara yang dinormalisasikan kepada sesuatu kaum atau masyarakat yang besar. Apa sahaja yang hendak kita lakukan dilihat dari kacamata kaum atau masyarakat.  Ada pula norma rakyat terbanyak. Dan akhirnya tiada siapa yang boleh menolak penilaian agama. Yang boleh, dibolehkan. Yang tidak boleh, pasti dilarang. Jika kita keluar dari garis norma tersebut maka keadaan menjadi tidak normal. Ketidakseimbangan berlaku dalam perlakuan ahli masyarakat. Sebelum keadaan menjadi stabil banyak yang perlu dilakukan. Tempat memperbaikinya ialah di sekolah. Tempatnya di bangunan sekolah. Tugas guru. Akhirnya guru juga yang dianugerahkan tugas gemilang mencemerlangkan bakal ahli masyarakat. Bukan yang sudah hilang cemerlangnya.

Kita telah dijajah sejak tahun 1511. Kita merdeka pada tahun 1957. Selama 446 tahun kita dijajah minda, sosial, budaya, ekonomi dan seluruh kehidupan kita. Selepas merdeka kita tidak kembali membina budaya kita sendiri seperti orang Jepun atau Korea. Anak-anak kita terperangkap dalam minda terjajah. Yang mereka tonton dianggap benar. Yang mereka baca dianggap benar. Banyak hal-hal yang haram dan maksiat secara eksplisit dipaparkan dalam media cetak da elektronik. Ibu dan bapa di Malaysia tidak menggunakan standard tertentu untuk mengawal anak. Standard agama tidak disusun supaya menjadi manual. Supaya menjadi prosedur lengkap. Menjadi carta alir mendidi dna mengawal akhlak anak-anak Muslim. Kita tidak membina perisai minda dan pemikiran untuk menentang yang salah. Yang bercanggah. Yang merosakkan dalam jangka panjang. Maka terjadilah apa yang kita lihat. Yang kita baca. Yang kelihatan di hadapan mata kita.

Apabila kita mengabaikan standard agama kita menyangka banyak perkara yang yang salah menjadi halal. Tiada pula orang menjerit mengatakan salah. Malangnya ramai anak-anak muda mengatakan yang kita kata salah itu tidak salah kepada ibu bapa mereka. Mereka tidak melarang anak-anak bergaul bebas. Anak-anak berpacaran secara bebas. Keluar rumah secara bebas. Pulang ke rumah secara bebas. Penulis selalu mengingatkan bahawa segala-galanya bermula dari rumah. Ibu bapa yang bertanggungjawab dari dunia hingga ke akhirat. Kekuatan ibu bapa dari segi agama, sosial, kawalan dan sebagainya menentukan standard anak yang keluar dari rumah kita. Kita inginkan standard pemimpin yang mewarisi kepimpinan agama. Standard ulamak. Standard profesional yang dekat dengan agama. Standard teknorat yang bersandarkan agama. Standard teknologis yang terasnya agama. Itulah standard yang perlu dikawalselia untuk generasi akan datang.

Malang lagi kerana kita dikawal oleh kepimpinan media. Penuh dengan propaganda yang tidak selari dengan agama. Mengketengahkan ideologi yang bertentangan dengan fitrah agama. Menyuburkan hedonism yang akhirnya merosakkan. Membunuh. Mengusutkan pemikiran anak-anak muda. Jalan yang ditunjukkan bukan jalan lurus yang wajar tetapi jalan yang membawa kepada kerosakan. Guru dan ustaz sahaja tidak mampu untuk mendidik seluruh ahli masyarakat. Kita perlukan kepimpinan yang mengutamakan agama. Bercakap tentang agama. Melaksanakan tuntutan agama. Ibu bapa dididik supaya mementingkan agama. Agama diberi nilai yang sewajarnya lebih tinggi dari yang lain. Dalam dunia yang selalu menghina Islam kita yang Muslim masih tetap tidak berganjak dari paradigma lama yang hanya tunggu dan lihat. Tiada siapa yang perlu ditunggu kecuali kita sendiri yang memulakannya. Yang menggerakkannya. Yang mula mengambil inisiatif untuk membetulkan keadaan. Mulakan dari rumah kita sendiri. Dari anak-anak kita sendiri. Dari ahli keluarga kita sendiri.


Banyak produk media yang boleh disandari kebaikannya. Namun kita hendaklah bijak memilih antara yang hak dan yang batil. Yang selalu kita lihat ialah kerabat media yang memaparkan pergaulan yang bertentangan dengan Islam. Pegang, peluk dan cium bukan lagi berselindung. Dalam filem dan drama dianggap keperluan. Lakonan perlukan aksi real. Siapa yang tanggung, maaf, dosanya. Penulis skrip atau pengarah atau penerbit atau pelakon atau pemilik media atau pemimpin atau penonton. Nampaknya tiada satu kelompokpun yang terlepas dari sama-sama bertanggungjawab.  Soalnya apakah jawapan sesuai yang akan kita sediakan apabila ditanya di hadapan Allah nanti. Allahu Akbar.

Tuesday, March 25, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Baiknya Terus Dan Terang



Antara 8 Mac 2014 dengan 24 Mac 2014 adalah hari-hari yang sangat panjang bagi Malaysia. Penantian yang beberapa minit dianggap ribuan tahun selalunya. Betapa panjangnya masa menanti selama 17 hari. Akhirnya dalam ketiakpastian yang mutlak diisytiharkan bahwa MH370 sudah tiada. Diyakini sudah berada di dasar Lautan Hindi. Lautan yang paling sunyi. The lonely sea. Juga lautan paling ganas. Paling tidak diminati untuk direntasi. Bagaimana bangsa Portugis, Belanda dan Inggeris  mengharungi Tanjung Harapan di Selatan Benua Afrika menyusuri pantai timur Afrika untuk mencari sumber rempah ratus yang selama ribuan tahun dikuasai oleh pedagang Arab. Pelayar-pelayar zaman pertengahan pula cuba mencari jalan pintas untuk ke timur. Ke Nusantara. Ke Kepulauan Melayu. Akhirnya mereka menjajah keseluruhan yang namanya Melayu. Dari fizikal, minda, perasaan dan psikologi. Hampir sahaja budaya kita terbalik 180%. Yang tinggal hanyalah beberapa yang namanya Melayu. Baju Melayu sudah jadi pakaian kebangsaan. Bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan.

Lautan Hindi dihindari orang Barat dalam pencarian mereka untuk meruntuhkan Timur. Teknologi mereka yang dikira canggih tidak dapat menyelami gelora lautan yang ganas sifatnya. Ketentuan Allah menjadikannya begitu. Kita yang perlu muasabah diri untuk mencari jawapan-jawapan yang dekat dengan Allah. Bukan menjauhinya. Banyak harapan yang tidak tertunai dalam kes MH370. Dalam pengamatan penulis banyak yang tidak kena sejak dari mula. Teknologi tidak disantuni bersandar kepada pemilik teknologi yang mutlak. Manusia seluruh dunia terlibat sama. Paling ketara Australia berperanan seolah-olah mereka adalah negara yang memiliki MH370. Yang seolah-olahnya penumpangnya adalah rakyat Australia. Parlimennya sangat komited. Tiada percanggahan keperihatinan antara pemerintah dan pembangkang. Seluruh sumber kekuatan teknologi mereka disegerakkan (syncronised). Menjadi penyelaras kepada usaha pencarian hingga ke hari ini.

Kuasa-kuasa besar yang lain sibuk dengan Crimea. Sibuk menghalang Kremlin dari mengganggu Ukraine. USA yang mencipta teknologi MH370 itu bermain tarik tali. Negara-negara Islam tidak ada yang memberi komitmen. Teknologi memang tidak secanggih milik kusa Barat yang sedia ada. Sumbangan pula ditiadakan. Benarlah kata pepatah Melayu, kawan ketawa memang ramai tetapi kawan menangis sangat-sangat tiada. Ketika krisis sebegini kita mengerti siapa kawan kita sebenarnya. Siapa kawan yang mengerti derita kemanusiaan sebenar. Sungguh, berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kita pula keliru dalam menilai kawan. Sejak dari awal kita tidak mengenalpasti kawan yang betul-betul setiakawan. Kita pula cuba mengagahi diri untuk melakukan yang terbaik tanpa bantuan orang lain. Tanda-tanda awal yang dikenalpasti dibiarkan berlalu begitu sahaja. Sekarang kita masih dalam kategori bahawa MH370 telah hilang. Bukti nyata belum ada. Kerana harapan semakin menipis kita anggap sahaja isnya hilang dan sukar dijejak. Masa yang menentukan penemuannya,

Sangat menghairankan, kita seperti terlupa menggunakan sumber yang ada. Sejarah merakamkan bahawa suatu ketika dahulu apabila Israel menawan Semenanjung Sinai di Timur Mesir mereka membina suatu benteng yang dinamakan Bar Lev Line. Kedudukannya sangat mencemaskan Mesir. Ianya terletak benar-benar di tebing Timur Terusan Suez. Benteng tersebut sangat canggih sehingga tidak boleh dihampiri oleh pesawat juang Mesir. Israel sangat berbangga dengan adanya benteng itu. Seorang ulamak Universiti al-Azhar yang warak Allah beri kelebihan padanya. Allah beri ilham kepadanya bahawa Bar Lev Line hanya boleh dilumpuhkan dengan air. Meriam dan pam air mengalahkan keangkuhan Israel. Ada sesuatu yang menjadi iktibar dalam kes Mesir ini. Ulamak dan umarak berganding bahu demi mempertahankan negara. Mempertahankan agama. Mempertahankan bangsa dan harga diri. Ulamak dan umarak berganding bahu dan bukan berpecah belah. Bukan menolak ulamak. Mereka pewaris Anbia. Mereka dekat dengan Allah. Israel menolak Allah. Islam mengimani Allah. Begitulah perlunya kita merujuk kepada Allah selalu. Sentiasa. Selagi kita bernafas.

Dalam krisis yang menimpa negara seluruh kekuatan fizikal perlu digunakan. Seluruh rakyat diajak membantu mengikut kemampuan mereka masing-masing. Paling mudah ialah berdoa, solat dan membaca al-Quran. Ajaklah ulamak tanpa mengira siapa mereka untuk memberi sumbangan moral dan agama. Kita menjadi lupa kesemuanya. Ramai ulamak dunia yang boleh dihubungi. Yang boleh membantu. Teknologi dan agama berpisah tiada. Kita berada di jalan yang sama. Untuk manfaat manusia tanpa melupakan Allah. Bahawa kita sentiasa mendahulukan Allah dari segala-galanya. Ada syarat yang selalu kita abaikan. Kita tidak berapa suka untuk berterus terang. Bentangkan faktanya seperti yang terpapar di depan mata. Seperti yang boleh dilihat. Yang boleh dibaca. Yang boleh dikira. Yang boleh dijangka. Situasi boleh dikurangkan ketidaktentuannya jika maklumat semasa yang relevan dikeluarkan seperti yang dilakukan oleh Australia. No holds barred. Elakkan dari berahsia. Krisin MH370 adalah milik dunia. Bukan milik kita sahaja. Pesawatnya milik kita. Kehilangannya milik dunia. Berterus terang lebih baik. Ramai yang bersedia menerima kenyataan. Apa-apa yang tersembunyi tidak dapat kekal kerahsiaannya. Apabila terbuka banyak masalah untuk mengendalikanya.


Rasanya sejak awal tentera kita telah memberi isyarat bahawa MH370 membelok ke kiri dan menghala ke barat dan bukan ke Timur Laut menuju Beijing.  Walaupn USA mengkagumi keupayaan tentera kita tetapi maklumat itu tidak diterima dengan sungguh hati. Hanya apabila ramai pakar lain, maklumat lain, negara lain memberi maklum balas barulah ada relevannya sistem pengesanan dan pertahanan kita. Sayang, tidak pula pesawat kita menyonsong MH370 yang berada di luar laluan. Kita ada ruang. Kita ada peluang. Krisis seperti ini membangunkan kita dari kealpaan. Ada hemah dari suatu musibah. Kita masih menaruh harap yang tidak seberapa. Namun begitu maklumat dan fakta yang kita ada seharuskan menjadikan kita redha ketentuan Allah. Semuanya milik Allah. Pastinya kembali kepada Allah. 


Walau bagaimanapun kita masih lagi berperang psikologi dan ideologi. Islam tetap dicemburui. Islam sengaja disalahsangka. Barat melakukan apa sahaja untuk menutup kelemahan mereka. Islam yang lemah menjadi bidak-bidak lemah dan lemas. Kecil dan sangat tidak signifikan. Maka akhirnya kita yang salah. Kita yang tidak betul. Kita yang melakukan kesilapan. Selagi kita Islam selagi itulah kesalahan ditimpakan kepada kita. Hanya kita dan kita sahaja yang perlu bangkit membetulkan diri. Membetulkan pendirian. Menambahkan ilmu. Mencari keutamaan arah. Keluar dari dibudak-budakkan oleh kuasa Barat. Bertapak kukuh di atas tapak kaki sendiri. Barangkali kita tidak berapa sedar bahawa kapalterbang bukan sahaja alat pengangkutan. Ianya juga alat keselamatan. Terbangnya di udara berbagai negara kawan dan juga musuh. Berbagai maklumat dihimpun melalui pesawat. Kita kembali bertanya siapa yang membina pesawat itu. Maka kita kembali bertanya tentulah pembuatnya yang memiliki teknologi mengawalnya. Fikir-fikirkan. Kita perlu percaya kepada Barat sekadar percaya. Jangan sokong membawa rebah. Kita terdedah kepada semua ancaman. Kita perlu mengetahui dengan ilmu. Ilmu dunia dan ilmu akhirat. InsyaAllah Allah bersama kita. 

Monday, March 24, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Bukan Kaya Seperti Qarun



Yang miskin dan papa selalu berdoa supaya menjadi kaya. Yang kaya terus berdoa supaya menjadi bertambah kaya. Jika boleh superkaya. Sejarah manusia terlalu panjang untuk memaparkan nilai kaya. Nilai kemewahan. Nilai hidup dalam serba kelebihan. Miskin dan fakir dipandang hina. Yang kaya selalu dipuja. Cerita ini cerita lama. Plotnya sama. Natijahnya sama. Kita menilai dunia dan bukan akhiratnya. Beruntung mereka yang dunianya bernilai akhirat. Tentulah malang bagi mereka yang akbiratnya ditukar menjadi dunia. Kisah Qarun sangat diketahui oleh orang Islam. Ceritanya kekal selagi ada al-Quran. Selagi al-Quran dibaca dan ditadabbur. Difahami maknanya. Diambil iktibarnya. Cerita unik ini hanya terdapat dalam al-Quran. Dikatakan cerita yang sama tidak terdapat dalam Zabur atau Taurah atau Injil. Ada sesuatu yang dikatakan memalukan. Qarun adalah keturunan Bani Israel. Cerita Qarun mungkin tidak baik untuk kaum Bani Israel. Oleh kerana al-Quran dalam Bahasa Arab  kita bebas menikmati ceritanya. Sekiranya ada dalam kitab-kitab yang lain ceritanya mungkin telah dbuang. Orang Yahudi pakar dalam hal mengubah kitab. Mana-mana bahagian yang tidak memihak kepada mereka kesemuanya dibuang dari mana-mana kitab yang mereka pegang. Hanya al-Quran sahaja yang tidak dapat mereka ganggu gugat. Hatta hingga hari kiamat.

Cerita mengenai kaya sangat menggerunkan.  Rasanya hanya orang-orang seperti Abdul Rahman bin Auf sahaja yang kekayaannya untuk dimanfaatkan agama Islam. Orangnya warak. Pemurah. Banyak hartanya diinfaqkan kepada maslahah Islam dan umatnya. Rasulallah menjamin bahawa Abdul Rahman bin Auf antara 10 orang sahabat yang dijamin masuk ke syurga. Qarun pula adalah seorang yang alim. Seorang abid. Sepupu kepada Nabi Musa. Dia memohon supaya Nabi Musa mendoakannya menjadi kaya raya.  Keinginannya tidak boleh dihalang. Sangat berhajat menjadi kaya. Allah makbulkan doa Nabi Musa. Kayalah Qarun. Semakin hari semakin melimah ruah harta bendanya. Pada kemuncaknya dikatakan bahawa anak kunci gedungnya dibawa oleh 600 skor unta. 600 ekor unta. Zaman Nabi Musa. Berapa nilai hartanya sekarang. Nilai semasa Ringgit Malaysia. Tiada manusa lain yang menyaingi kekayaan Qarun pada zamannya.

Kaya membawa kepada tragik komidi. Berakhir dengan kehampaan. Kerugian. Menzalimi diri sendiri. Jalannya tidak lurus. Yang dipilih jalan ke jahanam. Apabila harta semakin banyak semakin lekalah Qarun dengan hartanya. Mungkin lebih banyak membelek-belek. Mengira wang yang tidak pernah habis-habis. Begitulah, semakin bertambah harta semakin kurang masa untuk beribadat. Semakin pula hati menjadi keras membatu. Sampailah ketikanya Allah mewajibkan zakat harta. Kedatangan Nabi Musa ditolak oleh Qarun. Pada anggapannya kesemua hartanya adalah hasil usahanya sendiri. Bukan datang dari Allah. Kerana itu perintah Allah supaya manusia menunaikan zakat dibantah oleh Qarun. Pujukan dan nasihat Nabi Musa tidak dapat melembutkan hati Qarun. Malah ancaman azab juga tidak dapat mencairkan hatinya.

Ada riwayat yang mengatakan bahawa selepas peristiwa itu Qarun merancangkan suatu fitnah besar terhadap Nabi Musa. Dia mengupah seorang pelacur untuk mencemarkan Nabi Musa. (Cerita fitnah yang serupa dengannya masih berlaku hingga ke hari ini). Allah Maha Besar. Pelacur itu menceritakan hal yang sebenar bahawa ia diupah oleh Qarun. Oleh kerana aib yang tersangat-sangat Qarun mencabar Nabi Musa supaya beradu sumpah. Siapa yang sumpahnya menjadi maka dialah yang menang. Qarun menyumpah Nabi Musa supaya mati. Sumpahnya tidak diperkenankan Allah. Sampailah giliran Nabi Musa. Disumpahnya supaya Qarun ditelan bumi bersama kesemua harta benda miliknya. Kun fayakun. Terjadilah apa yang tidak disangka Qarun. Dia dan semua hartanya ditelan bumi. Oleh kerana hartanya melaut luasnya maka terjadilah tasik yang luas meliputi kawasan yang menenggelamkan harta bendanya itu.

Kisah-kisah dalam al-Quran bukan sekadar cerita. Allah tinggalkan bukti nyata supaya kita mengimani cerita-cerita tersebut sebagai menginsafi diri. Tasik Qarun yang luas mungkin tidak dapat dihubungkaitkan oleh generasi sekarang. Tidak dilihat sebagai bukti nyata. Istana Qarun yang masih Allah tinggalkan sedikit boleh menjadi bukti nyata bahawa kisah itu benar berlaku. Begitu juga kisah seperti Firaun, kincir Nabi Yusof, bulan terbelah dan banyak lagi. Peristiwa yang berlaku ribuan tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad diceritakan dalam al-Quran juga ribuan tahun dahulu. Bukti fizikalnya masih ada untuk tatapan orang sekarang. Orang kemudian.  


Sayang. Kaya dan harta membawa kepada kekufuran. Menjadikan seseorang itu angkuh. Lupa kepada Yang Khaliq. Yang mengizinkan harta itu dipinjamkan kepadanya. Hanya landasan agama sahaja menjadikan harta bermanfaat. Kaya iman dengan menginfaqkan hartanya seperti Abu bakar. Tiada satupun yang menjadi kepentingan diri. Semuanya untuk maslahah umum. Untuk orang ramai. Untuk agama. Untuk Islam. Alangkah baiknya jika ramai umat Islam yang kaya harta. Pada masa yang sama kaya iman.  

Jalan kampung menuju tinggalan istana Qarun

Sunyi sedikit jalan ni. Seperti berkabus pula. Seperti cerita seram.

Perkampungan berhampiran tinggalan istana Qarun

Pasu bakar seperti yang banyak dilihat di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh. 

Tinggalan istana Qarun dari arah belakang.

Tidak ada apa-apa yang unik mengenainya


Dari hadapan nampak besar. Dikatakan ini adalah tingkat ke-enam. Lima tingkat lagi ditelan bumi. Laman bahagian bersama dusun dan ladang Qarun tenggelam  menjadi tasik yang besar. Air sebagai makhluk Allah menghapuskan sebuah keangkuhan

Pintu masuk

Dari sisi

Bahagian dalam

Sudut yang sama

Di bahagian atas yang sudah mula rosak

Lagi bahagian dalam

Bingkisan Dari Kaherah: Air Terjun Di Fayoum



Terdapat sebuah air terjun yang paling cantik di dunia yang letaknya di Afrika. Malangnya Afrika bukan benua pilihan rakyat dan pemerintah negara maju. Beria-ia mereka propagandakan bahawa yang tercantik dan terhebat ialah Niagara Falls yang terletak di sempadan USA dan Canada. Masing-masing  ada kelebihannya yang tersendiri. Sayangnya Victotia Falls di Afrika tidak mendapat perhatian wajar. Begitu licik keturunan *Sam di Barat menafikan kelebihan kaum *Ham di Afrika. Jika kita tinjau ke setiap negara pula pasti ada air terjunnya masing-masing. Mungkin sekadar riam. Atau air terjun kecil. Banyak persamaannya antara satu sama lain.

1                 Yang mengalir ialah air.
2                 Lazimnya airnya jernih, sejuk dan menyegarkan.
3                 Tidak pernah kering. Tetap mengalir tanpa mengira musim.
4                 Ramai yang mengatakannya cantik. Belum pernah air terjun dikatakan hodoh.
5                 Tidak pernah jemu memandangnya. Mengambil gambarnya. Datang ziarah mengulanginya.

Begitulah ciptaan Allah. Tiada cacat dan celanya. Kesemuanya untuk manfaat manusia dan makhluk ciptaannya. Dari air terjun itu wujud lopak dan sungai. Jadi sumber kehidupan ikan, haiwan, unggas, pepohon dan manusia. Tanpa air itu matilah segalanya. Sebab itu 70% bumi adalah air. 70% tubuh kita mengandungi air. Terlebih air masalah kesihatan. Kurang air juga masalah kesihatan. Mengekalkan keseimbangan kuantiti dan kualitinya cukup penting. Perlu tahu juga mengekalkan suhunya supaya tubuh badan sentiasa dalam aman sejahtera. Sihat walafiat. Kerana itu barangkali kita sukakan air. Tidak kira bagaimana bentuknya. Asalkan air ada sahaja tarikannya. Paling kurang untuk memandangnya. Mungkin bergambar berlatarbelakangkan air.

Mesir adalah sebuah negara yang agak besar di utara Afrika. Kebanyakan keluasan negara ini adalah padang pasir yang luas. Dinamakan padang pasir Sahara. Kebetulan dalam bahasa Arab padang pasir dipanggil sahara’. Orang lain menamakannya Sahara. Kuasa Allah menentukan bahawa di Fayoum yang subur buminya wujud sebuah air terjun kecil. Rendah. Tidak signifikan berbanding dengan yang ada di negara lain. Walau bagaimanapun ianya tetap menjadi tarikan rakyat Mesir untuk mengunjunginya. Menikmati kewujudannya. Mensyukuri keberadaannya. Menghayati kebesaran Allah. Mengerti hanya Allah sahaja yang berupaya mengadakannya. Di kawasan yang lapang dan berpasir itu keluar mata air yang mengalirkan airnya dengan banyak. Melalui celah-celah tanah dan batu. Lalu deras dan jatuh apabila ada tingkatan ketinggian yang berbeza pada laluannya. Terjadilah dengan kuasa Allah air terjun di Fayoum.

Saiznya kecil secara relatif. Kerana tempatnya lapang ianya disinari secukupnya oleh cahaya matahari siang. Biasan cahaya cukup cantik. Memutihkan juraian air yang terjun. Rintik-rintik kerana seolah-olah untaian mutiara yang tiada putusnya. Dari jauh dilihat seperti sehelai tirai atau langsir yang terbentang. Lama atau sekejap berada di sini bukan lagi faktor penentu. Cantik tetap cantik. Pada hujung minggu ramai pengunjungnya. Al-maklumlah hanya itu sahaja yang ada di Mesir. Bukan kasihan. Tetapi alhamdulillah Allah menganugerahkan sesuatu sebagai penyejuk hati. Penenang perasaan. Mendamaikan sesiapa yang memandang. Di situlah keluarga bersatu. Rakan taulan berhimpun. Makhluk manusia menikmati ciptaan dari Rabbnya.

Kebetulan air terjun ini mengalirkan airnya ke Tasik Qarun. Tasik yang dikatakan tapak hartabenda Qarun yang Allah tenggelamkan menjadi azab kerana keangkuhannya menidakkan nikmat rezeki dari Allah. Allah memerintahkannya supaya membayar zakat tetapi ditolak kerana ia menafikan bahawa rezeki yang ada padanya datannya dari Allah. Begitulah antara cerita mausia yang kufur.  Harta itu diambil kembali oleh Allah kerana segala-galanya milikNya. Jika bersyukur hartanya ditambah. Jika tidak diambil darinya. Diri manusia itu sendiri milik Allah. Akan dikembalikan kepadaNya. Dunia ini hanya pinjaman. Untuk kehidupan sementara. Menunaikan amanah Allah.

Begitulah seharusnya. Bersyukur dengan apa sahaja nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita. Kuantitinya tidak terbilang.  Kualitinya sesuai dengan fitrah kita yang berbagai. Yang lemah pula. Lebih atau kurang sangat menasabah dengan kemampuan kita untuk menikmatinya. Untuk bertanggungjawab ke atasnya. Bukan untuk manfaat kita secara individu tetapi untuk dikongsikan dengan mereka yang berhak ke atasnya. Ingat! Kita hanya pemegang amanah. Amanah dari Allah. Bukan amanah manusia atau makhluk lain. Manfaatkanlah segala yang kita miliki ke jalan Allah. Salah guna membazir tanpa manfaat. Terlebih guna ke arah kebaikan akan diganti dengan sesuatu yang lebih besar dari sisi Allah. Manusia tidak dapat menilainya hanya dengan mata kasar. Ganjaran besar di akhirat. Tempat yang abadi. Kekal selama-lamanya. Dalam tempoh infiniti. InsyaAllah.

Nota: *Sam, *Ham dan Yapith adalah anak-anak Nabi Nuh a.s. yang selamat dalam banjir besar pada zamannya. Yapith ke Timur dinamakan Monggoloid, Sam di Timur Tengah dan ke Barat dinamakan Causasian. Ham di Afrika dan dinamakan Negroid. 


Di mana-mana gambar menjadi kenangan abadi pada masa akan datang. Gadis Arab di sebelah kanan tersesat dalam gambar ini.

Bak langsir yang memisah ruang. Putih dan jernih. Kemilau dioancar cahaya mentari.

Dari jauh tetap cantik

Ruang masa semasa ada

Mengenang kebersamaan kami berdua

Di belakang ialah Tasik Qarun

Mengalir ke Tasik Qarun.

Hanya inilah sahaja air terjun yang ada di Mesir. 

Di padang pasir yang luas terbentang Allah alirkan air dari bumi. Tidak pernah kering dalam cuaca yang sentiasa panas dan terdedah.

Memijak air yang mengalir amat nyaman. Sejuk dan mengujakan.

Bersama anak-anak Johor

Lagi semasa berdua


Seperti hamparan yang jernih

Di bawah menanti terjunan air

Membuak-buak

Di bahagian yang lain

Di tempat ini ramai juga yang santai

Laluian air yang meluncur deras

Seperti bertingkat pula. Jaraknya agak jauh antara kedua-duanya.

Ramai yang bergambar di tebing bahagian atas air terjun ini



Sunday, March 23, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Kembara Tursina



Alhamdulillah penulis dan isteri dapat menyertai rombongan pelajar-pelajar Negeri Johor ke Sinai. Terima kasih Tuan Haji Maulan yang mengizinkan penulis dan isteri untuk turut bersama. Terima kasih juga kepada Tuan Syed Ahmad yang banyak membantu dari segi persiapan mental. Rombongan dua buah bas itu membawa 92 orang peserta. Mengikut itenarinya perjalanan yang bermula pada pukul 12.00 tengah malam hari Rabu itu dijangka sampai di Fox Camp pada pukul 3.00 petang hari Khamis. Banyak tempat berhenti sama ada untuk berehat, makan atau solat. Kami bertolak pada hari Rabu malam Khamis. Pada pagi hari Khamis kami sudah berada di Sinai. Setelah melawat permakaman Nabi Salleh, Nabi Harun dan kesan pengkhianatan Samiriy kami sampai di Fox Camp kira-kira pada pukul 5.00 petang. Anak-anak di tanahair berpesan supaya penulis dan isteri tidak lasak sepanjang hari kerana pada malamnya kami dijangka akan mendaki Bukit Tursina. Ramai juga peserta yang ingat mengingat sesama mereka supaya menyimpan tenaga untuk pendakian pada malam itu.

Cerita pendakian telah lama selesainya. Detik-detik akhir kami di Dahap masih terasa hangatnya. Makan bersama, cerita bersama. Kali pertama bersama anak-anak Johor terasa dekat. Kebetulan ada saudara mara dalam kalangan mereka. Penulis tidak merancang untuk begitu dekat dengan mereka. Tiada dalam agenda sama ada sebelum menjejak kaki di Mesir atau sesudah berada di Mesir. Di rasakan tiada penghubung untuk membawa diri mendekati mereka. Hajat hati hanya untuk cepat pandai berbahasa Arab. Belajar seberapa banyak yang dapat. Allah Maha Mengetahui. Segala-galanya dalam perancangan Allah. Penulis dipertemukan dengan Tuan Syed Ahmad. Menjadi jirannya. Hingga akhirnya penulis dipertemukan semula dengan Tuan Haji Maulan yang telah dikenali lebih 20 tahun yang lalu di Parit Raja.

Berkampung bersama anak-anak Johor selama empat hari lima malam menjadikan semangat penulis sendiri terbina semula. Mengamati mereka mengingatkan kembali zaman menjadi penuntut di Institut pendidikan Guru (dulu dipanggil maktab perguruan). Zaman menjadi mahasiswa di Universiti Malaya dahulu. Zaman indah melepaskan minda untuk dibuka dan diisi dengan ilmu dan maklumat. Ilmu untuk mendewasakan diri. Menjadi profesional secara minda dan psikologinya. Boleh menyelesaikan masalah. Boleh membuat keputusan yang teknikal dan yang profesional. Ilmu menjadikan kita menambah kemahiran berfikir. Jika dahulu fikiran kita hanya sehala, ilmu menjadikan fikiran kita bertimbal balas. Keluar dari kotak. Bukan selari. Bukan hanya vertical tetapi lateral. Berbagai. Mencapah dan bercabang. Bahawa kita dikelilingi dengan hal-hal yang berbagai. Setiap satunya menuntut perhatian. Kita bukan lagi diri kita yang satu. Tetapi sebagai satu unsur yang banyak menyatu.

Namun demikian Ilmu bukan segala-galanya. Manfaatnya berlaku apabila diamalkan. Apabila kita bersama dengan orang lain. Ada usahasama. Ada keperluan yang memerlukan. Ketika berhadapan dengan situasi-situasi tertentu kita terpanggil untuk membuat keputusan. Menyelesaikan masalah. Kadang-kadang situasi tertentu hanya menuntut kita sendiri seorang diri yang menyelesaikannya. Hanya kerana kita memiliki kelayakan akademik yang relevan. Jawatan kita yang relevan. Pengalaman kita yang relevan. Harapan orang di sekeliling kita yang relevan. Semakin banyak masalah yang kita hadapi dan selesaikan maka cepatah kita dewasa dari segi berfikir. Jalan fikir kita semakin menderas. Akhirnya kita bukan lagi menyelesaikan masalah tetapi mencegah masalah. Memikirkan supaya sesuatu yang akan menghalang dan menjadi kekangan terhindar dari sistem kita. Begitu kita memikirkan masa hadapan. Wawasan yang jauh mendahului zaman.

Kerana itu belajarlah. Timba ilmu sebanyak-banyaknya. Terima apa sahaja yang bakal membantu kehidupan kita pada masa hadapan.  Ia pasti bermanfaat. Cuma tidak ada kepastian bila ianya diperlukan. InsyaAllah samai masanya ia berguna. Tidak pernah ilmu itu dianggap sia-sia. Masa yang memerlukan kita berkeupayaan menggunakannya akan datang tiba-tiba tanpa kita rancang. Belajar di IPT banyak mengajar kita tentang mempergunakan sumber yang terhad. Paling besar ialah masa dan kewangan. Andainya kemahiran menggunakan masa dan pengurusan kewangan dapat dilanjutkan hingga sesudah berkerjaya tentulah banyak manfaatnya dalam membina kehidupan berkeluarga. Kehidupan profesional. Kehidupan beribadat.


Semasa muda kesemuanya perlu digarap supaya bekalan yang diperlukan sudah tersedia apabila diperlukan. Jangan lepaskan peluang untuk mengisi masa dengan bermanfaat. Mengisi minda dengan apa sahaja yang bernilai positif. Yang banyak manfaatnya pada masa hadapan. Buat muasabah diri pada hari ini. Jenguk-jenguk masa hadapan yang dijangka datang. Cuma tidak dapat dipastikan bentuk datangnya. Rencanakan masa hadapan sekira-kira termampu untuk melaksanakannya. Asah bakat terpendam yang tidak kita sedari. Buat apa sahaja yang berada di hadapan kita apabila keadaan menuntutnya. Latihan dari yang sekecil-kecilnya hingga yang mencabar besar membantu diri kita menjadi pelaku-pelaku yang hebat pada masa hadapan. Jangan tolak tugas. Jangan abaikan masa. Jangan sia-siakan bakat. Ambil peluang yang datang jika peluang itu menambahkan nilai positif diri. InsyaAllah banyak manfaatnya.