Tuesday, March 25, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Baiknya Terus Dan Terang



Antara 8 Mac 2014 dengan 24 Mac 2014 adalah hari-hari yang sangat panjang bagi Malaysia. Penantian yang beberapa minit dianggap ribuan tahun selalunya. Betapa panjangnya masa menanti selama 17 hari. Akhirnya dalam ketiakpastian yang mutlak diisytiharkan bahwa MH370 sudah tiada. Diyakini sudah berada di dasar Lautan Hindi. Lautan yang paling sunyi. The lonely sea. Juga lautan paling ganas. Paling tidak diminati untuk direntasi. Bagaimana bangsa Portugis, Belanda dan Inggeris  mengharungi Tanjung Harapan di Selatan Benua Afrika menyusuri pantai timur Afrika untuk mencari sumber rempah ratus yang selama ribuan tahun dikuasai oleh pedagang Arab. Pelayar-pelayar zaman pertengahan pula cuba mencari jalan pintas untuk ke timur. Ke Nusantara. Ke Kepulauan Melayu. Akhirnya mereka menjajah keseluruhan yang namanya Melayu. Dari fizikal, minda, perasaan dan psikologi. Hampir sahaja budaya kita terbalik 180%. Yang tinggal hanyalah beberapa yang namanya Melayu. Baju Melayu sudah jadi pakaian kebangsaan. Bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan.

Lautan Hindi dihindari orang Barat dalam pencarian mereka untuk meruntuhkan Timur. Teknologi mereka yang dikira canggih tidak dapat menyelami gelora lautan yang ganas sifatnya. Ketentuan Allah menjadikannya begitu. Kita yang perlu muasabah diri untuk mencari jawapan-jawapan yang dekat dengan Allah. Bukan menjauhinya. Banyak harapan yang tidak tertunai dalam kes MH370. Dalam pengamatan penulis banyak yang tidak kena sejak dari mula. Teknologi tidak disantuni bersandar kepada pemilik teknologi yang mutlak. Manusia seluruh dunia terlibat sama. Paling ketara Australia berperanan seolah-olah mereka adalah negara yang memiliki MH370. Yang seolah-olahnya penumpangnya adalah rakyat Australia. Parlimennya sangat komited. Tiada percanggahan keperihatinan antara pemerintah dan pembangkang. Seluruh sumber kekuatan teknologi mereka disegerakkan (syncronised). Menjadi penyelaras kepada usaha pencarian hingga ke hari ini.

Kuasa-kuasa besar yang lain sibuk dengan Crimea. Sibuk menghalang Kremlin dari mengganggu Ukraine. USA yang mencipta teknologi MH370 itu bermain tarik tali. Negara-negara Islam tidak ada yang memberi komitmen. Teknologi memang tidak secanggih milik kusa Barat yang sedia ada. Sumbangan pula ditiadakan. Benarlah kata pepatah Melayu, kawan ketawa memang ramai tetapi kawan menangis sangat-sangat tiada. Ketika krisis sebegini kita mengerti siapa kawan kita sebenarnya. Siapa kawan yang mengerti derita kemanusiaan sebenar. Sungguh, berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kita pula keliru dalam menilai kawan. Sejak dari awal kita tidak mengenalpasti kawan yang betul-betul setiakawan. Kita pula cuba mengagahi diri untuk melakukan yang terbaik tanpa bantuan orang lain. Tanda-tanda awal yang dikenalpasti dibiarkan berlalu begitu sahaja. Sekarang kita masih dalam kategori bahawa MH370 telah hilang. Bukti nyata belum ada. Kerana harapan semakin menipis kita anggap sahaja isnya hilang dan sukar dijejak. Masa yang menentukan penemuannya,

Sangat menghairankan, kita seperti terlupa menggunakan sumber yang ada. Sejarah merakamkan bahawa suatu ketika dahulu apabila Israel menawan Semenanjung Sinai di Timur Mesir mereka membina suatu benteng yang dinamakan Bar Lev Line. Kedudukannya sangat mencemaskan Mesir. Ianya terletak benar-benar di tebing Timur Terusan Suez. Benteng tersebut sangat canggih sehingga tidak boleh dihampiri oleh pesawat juang Mesir. Israel sangat berbangga dengan adanya benteng itu. Seorang ulamak Universiti al-Azhar yang warak Allah beri kelebihan padanya. Allah beri ilham kepadanya bahawa Bar Lev Line hanya boleh dilumpuhkan dengan air. Meriam dan pam air mengalahkan keangkuhan Israel. Ada sesuatu yang menjadi iktibar dalam kes Mesir ini. Ulamak dan umarak berganding bahu demi mempertahankan negara. Mempertahankan agama. Mempertahankan bangsa dan harga diri. Ulamak dan umarak berganding bahu dan bukan berpecah belah. Bukan menolak ulamak. Mereka pewaris Anbia. Mereka dekat dengan Allah. Israel menolak Allah. Islam mengimani Allah. Begitulah perlunya kita merujuk kepada Allah selalu. Sentiasa. Selagi kita bernafas.

Dalam krisis yang menimpa negara seluruh kekuatan fizikal perlu digunakan. Seluruh rakyat diajak membantu mengikut kemampuan mereka masing-masing. Paling mudah ialah berdoa, solat dan membaca al-Quran. Ajaklah ulamak tanpa mengira siapa mereka untuk memberi sumbangan moral dan agama. Kita menjadi lupa kesemuanya. Ramai ulamak dunia yang boleh dihubungi. Yang boleh membantu. Teknologi dan agama berpisah tiada. Kita berada di jalan yang sama. Untuk manfaat manusia tanpa melupakan Allah. Bahawa kita sentiasa mendahulukan Allah dari segala-galanya. Ada syarat yang selalu kita abaikan. Kita tidak berapa suka untuk berterus terang. Bentangkan faktanya seperti yang terpapar di depan mata. Seperti yang boleh dilihat. Yang boleh dibaca. Yang boleh dikira. Yang boleh dijangka. Situasi boleh dikurangkan ketidaktentuannya jika maklumat semasa yang relevan dikeluarkan seperti yang dilakukan oleh Australia. No holds barred. Elakkan dari berahsia. Krisin MH370 adalah milik dunia. Bukan milik kita sahaja. Pesawatnya milik kita. Kehilangannya milik dunia. Berterus terang lebih baik. Ramai yang bersedia menerima kenyataan. Apa-apa yang tersembunyi tidak dapat kekal kerahsiaannya. Apabila terbuka banyak masalah untuk mengendalikanya.


Rasanya sejak awal tentera kita telah memberi isyarat bahawa MH370 membelok ke kiri dan menghala ke barat dan bukan ke Timur Laut menuju Beijing.  Walaupn USA mengkagumi keupayaan tentera kita tetapi maklumat itu tidak diterima dengan sungguh hati. Hanya apabila ramai pakar lain, maklumat lain, negara lain memberi maklum balas barulah ada relevannya sistem pengesanan dan pertahanan kita. Sayang, tidak pula pesawat kita menyonsong MH370 yang berada di luar laluan. Kita ada ruang. Kita ada peluang. Krisis seperti ini membangunkan kita dari kealpaan. Ada hemah dari suatu musibah. Kita masih menaruh harap yang tidak seberapa. Namun begitu maklumat dan fakta yang kita ada seharuskan menjadikan kita redha ketentuan Allah. Semuanya milik Allah. Pastinya kembali kepada Allah. 


Walau bagaimanapun kita masih lagi berperang psikologi dan ideologi. Islam tetap dicemburui. Islam sengaja disalahsangka. Barat melakukan apa sahaja untuk menutup kelemahan mereka. Islam yang lemah menjadi bidak-bidak lemah dan lemas. Kecil dan sangat tidak signifikan. Maka akhirnya kita yang salah. Kita yang tidak betul. Kita yang melakukan kesilapan. Selagi kita Islam selagi itulah kesalahan ditimpakan kepada kita. Hanya kita dan kita sahaja yang perlu bangkit membetulkan diri. Membetulkan pendirian. Menambahkan ilmu. Mencari keutamaan arah. Keluar dari dibudak-budakkan oleh kuasa Barat. Bertapak kukuh di atas tapak kaki sendiri. Barangkali kita tidak berapa sedar bahawa kapalterbang bukan sahaja alat pengangkutan. Ianya juga alat keselamatan. Terbangnya di udara berbagai negara kawan dan juga musuh. Berbagai maklumat dihimpun melalui pesawat. Kita kembali bertanya siapa yang membina pesawat itu. Maka kita kembali bertanya tentulah pembuatnya yang memiliki teknologi mengawalnya. Fikir-fikirkan. Kita perlu percaya kepada Barat sekadar percaya. Jangan sokong membawa rebah. Kita terdedah kepada semua ancaman. Kita perlu mengetahui dengan ilmu. Ilmu dunia dan ilmu akhirat. InsyaAllah Allah bersama kita. 

No comments:

Post a Comment