Kita selalu bercakap fasal hati. Hati
kita yang selalu kita anggap paling penting. Kita menganggap kita adalah
segala-galanya. Maka kita bertindak mengikut hati. Bercakap mengikut hati.
Berbuat sesuatu mengikut hati kita. Ukurannya diri kita sendiri. Walau
bagaimanapun kita dimaklumkan bahawa hati bukan segala-galanya. Aqal kita yang
seperlunya lebih penting. Aqal memandu manusia ke arah kebaikan. Apatah lagi
apabila aqal itu terdidik dengan ilmu. Terkawal dengan akhlaq yang baik.
Selalunya bertembung antara kehendak hati dan pertimbangan aqal. Jika hati
kehendaknya tanpa batas, aqal pula cuba membataskan kehendak hati dari berbagai
aspek. Ada yang secara lahiriah dan ada pula yang secara tersirat. Yang paling
baik tentunya paduan antara hati dan aqal. Mengharmonikan kedua-duanya supaya
bergabung dalam satu wadah dan bukan berpencaran ke arah berbagai arah.
Tidak berlaku ikatan tanpa perbezaan
hati dan aqal. Andainya yang berbagai itu dihimpunkan dalam satu simpulan yang
kejap dan kukuh. Ikatan itu bermanfaat secara jamaah. Sedangkan sewaktu
berasingan tiada banyak gunanya. Atau mungkin tidak ada gunanya langsung.
Seorang guru tanpa pelajar bukan guru namanya. Dia hanya guru sebagai jawatan.
Tanpa manfaat. Sekolah tanpa guru dan pelajar hanya sebuah bangunan sepi.
Pelajar tanpa sekolah dan guru tiada arah tuju. Tidak tahu apa makna sekolah
yang sebenarnya. Apabila ketiga-tiganya dihadirkan bersama barulah sekolah
berfungsi. Guru bermanfaat. Pelajar mendapat input minda dan fizikal untuk
bekal masa hadapan mereka. Guru mungkin punya hati tetapi mereka terikat dengan
sistem. Sekolah hanya bangunan yang bergantung kepada kegunaannya. Pelajar punya hati tetapi
pelajar tidak tuhu ke mana hati mereka perlu dibawa tanpa guru dan sekolah.
Benarkah hati mainan mata? Mata menjadi
pancaindera yang selalu dihubungkan dengan hati. Dari mata turun ke hati. Jika
benar mata melihat maka benarlah apa yang sampai ke hati. Jika mata melihat
aspek yang silap maka silaplah penerimaan hati. Ketika diperlukan inilah aqal
berfungsi sewajarnya. Menganalisis apa yang dilihat oleh mata. Menghantar mesej
yang benar untuk hati. Aqal yang baik menjadi kritikal dalam pembentukan
seorang individu. Kita dianugerahkan aqal oleh Allah. Ada yang dianggap bestari
dan ada yang berada di bawah paras bestari. Namun begitu mereka yang berjaya
bukan kesemuanya dari kalangan mereka yang bestari. Pendidikan dan sekolah
membantu membangunkan individu yang aqalnya dibangunkan. Berfikir dengan
rasional. Bersistem dan sistemik. Berada pula pada aras yang semakin tinggi
dari masa ke semasa. Mata, hati dan aqal merupakan tiga demensi yang paradoks.
Banyak bertentangan antara satu sama lain.
Cara kita berfikir banyak bergantung
kepada norma masyarakat. Kebiasaan, kebudayaan dan akhirnya agama. Agama
menjadi penentu terakhir untuk menjawab antara boleh dengan tidak. Banyak
perkara yang dinormalisasikan kepada sesuatu kaum atau masyarakat yang besar.
Apa sahaja yang hendak kita lakukan dilihat dari kacamata kaum atau masyarakat. Ada pula norma rakyat terbanyak. Dan akhirnya
tiada siapa yang boleh menolak penilaian agama. Yang boleh, dibolehkan. Yang
tidak boleh, pasti dilarang. Jika kita keluar dari garis norma tersebut maka
keadaan menjadi tidak normal. Ketidakseimbangan berlaku dalam perlakuan ahli
masyarakat. Sebelum keadaan menjadi stabil banyak yang perlu dilakukan. Tempat
memperbaikinya ialah di sekolah. Tempatnya di bangunan sekolah. Tugas guru.
Akhirnya guru juga yang dianugerahkan tugas gemilang mencemerlangkan bakal ahli
masyarakat. Bukan yang sudah hilang cemerlangnya.
Kita telah dijajah sejak tahun 1511.
Kita merdeka pada tahun 1957. Selama 446 tahun kita dijajah minda, sosial,
budaya, ekonomi dan seluruh kehidupan kita. Selepas merdeka kita tidak kembali
membina budaya kita sendiri seperti orang Jepun atau Korea. Anak-anak kita
terperangkap dalam minda terjajah. Yang mereka tonton dianggap benar. Yang
mereka baca dianggap benar. Banyak hal-hal yang haram dan maksiat secara
eksplisit dipaparkan dalam media cetak da elektronik. Ibu dan bapa di Malaysia
tidak menggunakan standard tertentu untuk mengawal anak. Standard agama tidak
disusun supaya menjadi manual. Supaya menjadi prosedur lengkap. Menjadi carta
alir mendidi dna mengawal akhlak anak-anak Muslim. Kita tidak membina perisai
minda dan pemikiran untuk menentang yang salah. Yang bercanggah. Yang
merosakkan dalam jangka panjang. Maka terjadilah apa yang kita lihat. Yang kita
baca. Yang kelihatan di hadapan mata kita.
Apabila kita mengabaikan standard agama
kita menyangka banyak perkara yang yang salah menjadi halal. Tiada pula orang
menjerit mengatakan salah. Malangnya ramai anak-anak muda mengatakan yang kita kata salah itu tidak salah kepada ibu bapa mereka. Mereka tidak melarang anak-anak
bergaul bebas. Anak-anak berpacaran secara bebas. Keluar rumah secara bebas.
Pulang ke rumah secara bebas. Penulis selalu mengingatkan bahawa segala-galanya
bermula dari rumah. Ibu bapa yang bertanggungjawab dari dunia hingga ke
akhirat. Kekuatan ibu bapa dari segi agama, sosial, kawalan dan sebagainya
menentukan standard anak yang keluar dari rumah kita. Kita inginkan standard
pemimpin yang mewarisi kepimpinan agama. Standard ulamak. Standard profesional
yang dekat dengan agama. Standard teknorat yang bersandarkan agama. Standard teknologis
yang terasnya agama. Itulah standard yang perlu dikawalselia untuk generasi
akan datang.
Malang lagi kerana kita dikawal oleh
kepimpinan media. Penuh dengan propaganda yang tidak selari dengan agama.
Mengketengahkan ideologi yang bertentangan dengan fitrah agama. Menyuburkan
hedonism yang akhirnya merosakkan. Membunuh. Mengusutkan pemikiran anak-anak
muda. Jalan yang ditunjukkan bukan jalan lurus yang wajar tetapi jalan yang
membawa kepada kerosakan. Guru dan ustaz sahaja tidak mampu untuk mendidik
seluruh ahli masyarakat. Kita perlukan kepimpinan yang mengutamakan agama.
Bercakap tentang agama. Melaksanakan tuntutan agama. Ibu bapa dididik supaya
mementingkan agama. Agama diberi nilai yang sewajarnya lebih tinggi dari yang
lain. Dalam dunia yang selalu menghina Islam kita yang Muslim masih tetap tidak
berganjak dari paradigma lama yang hanya tunggu dan lihat. Tiada siapa yang
perlu ditunggu kecuali kita sendiri yang memulakannya. Yang menggerakkannya.
Yang mula mengambil inisiatif untuk membetulkan keadaan. Mulakan dari rumah kita
sendiri. Dari anak-anak kita sendiri. Dari ahli keluarga kita sendiri.
Banyak produk media yang boleh disandari
kebaikannya. Namun kita hendaklah bijak memilih antara yang hak dan yang batil.
Yang selalu kita lihat ialah kerabat media yang memaparkan pergaulan yang
bertentangan dengan Islam. Pegang, peluk dan cium bukan lagi berselindung.
Dalam filem dan drama dianggap keperluan. Lakonan perlukan aksi real. Siapa
yang tanggung, maaf, dosanya. Penulis skrip atau pengarah atau penerbit atau
pelakon atau pemilik media atau pemimpin atau penonton. Nampaknya tiada satu
kelompokpun yang terlepas dari sama-sama bertanggungjawab. Soalnya apakah jawapan sesuai yang akan kita
sediakan apabila ditanya di hadapan Allah nanti. Allahu Akbar.
No comments:
Post a Comment