Thursday, June 28, 2012

Menjadi Lelaki Yang Memahami


Benarkah orang tua banyak ragamnya?  Orang muda banyak keletahnya. Orang tua bukan segera tua seperti sekelip mata. Usia memanjat dari anak menjadi remaja sebelum menginjak menjadi jejaka. Lalu masa itu bergerak perlahan membawa usia yang semakin merangkak meninggalkan muda. Meninggalkan dewasa. Tanpa disedari tua itu datang. Tidak diundang. Tidak ditentang. Hanya yang mengetahui sahaja merancang untuk hari tuanya. Barangkali itu cerita mereka yang bersekolah. Yang menjadi bijaksana. Yang pengalamannya mengajar untuk menjadi tua yang bernilai harganya. Yang  pernah memimpin dan dipimpin. Banyak belajar dan mengambil iktibar. Namun begitu di luar sana ramai orang tua yang hanya tua. Sekadar membuang usia kerana tidak sedar tuanya. Apatah lagi lelaki yang sudah terbiasa dengan hal yang biasa-biasa sahaja.  Semuanya dianggap norma. Normal.

Siapa lelaki sebenarnya. Siapa dia semasa kanak-kanak menentukan sifat remajanya. Ciri-ciri dewasanya. Natijah tuanya. Tua bukan terjadi dengan tiba-tiba. Proses panjang usia yang memanjat dari kanak-kanak hingga tua membentuk peribadi, sifat dan watak yang dibawa melekat pada batang tubuhnya. Permulaan yang baik selalunya menjadi baik di akhirnya. Jika kanak-kanaknya sempurna diasuh dengan keperluan masa hadapan maka tuanya lebih peka dengan keadaan. Jika mudanya didalami pengalaman bertanggungjawab maka tuanya menjadi lelaki yang penuh dengan kesedaran untuk memberi tanggungjawab. Pengalaman dan persekitaran banyak membentuk watak luaran. Watak yang menjad norma seorang manusia di kalangan komunitinya. Kendatipun watak dirinya yang sebenarnya datang dari keluarga. Dari nasab keturunan. Datang dari budaya komuniti dan bangsanya.

Suami idaman semua wanita berbagai bentuknya. Tetapi yang lazim dimpikan ialah lelaki yang bertanggungjawab. Yang peka dengan keperluan keluarga. Yang pengasih dan penyayang. Yang banyak memberi dan bukan meminta. Yang hadirnya menyenangkan. Yang jauhnya dirindui. Yang dekatnya mendamaikan. Yang perginya selalu dinanti. Suami yang lawar hanya sewaktu ingin  berpacaran dahulu sahaja. Bila sudah berumahtangga lawar bukan lagi pertimbangan utama. Lawar sudah tidak lagi menjadi keutamaan. Gagahnya juga bukan penentu. Malah kayanya juga bukan yang memberikan sebaik-baiknya. Wanita mencari lelaki yang fitrahnya adalah lelaki. Suami yang terbaik untuk dirinya. Untuk anak-anaknya. Untuk keluarganya. Tempat berlindung dan tempat bergantung. Tempat mencurah rasa. Orang yang boleh berkongsi aspirasi. Cita-cita membina mahligai bahagia. Yang pada akhirnya bahagia itu di hati. Di qalbu. Bukan lagi pada paras rupa.  Bukan lagi pada gagahnya. Bukan lagi pada kayanya.

Lelaki adalah bapa. Ia datang bersama perkahwinan. Hidupnya bersama wanita memberi satu ruang untuk melahirkan zuriat yang bernama anak. Anak itu bergantung hidup pada bapanya. Lelaki yang menjadi bapanya. Suami kepada ibunya. Pada bapa itulah segalanya bermula dan berakhir. Bagi anak lelaki bapanya itulah yang nanti melepaskannya ke dunia luar untuk menjadi lelaki yang melestarikan warisan keluarga. Mewarisi segala kelelakian bapanya. Bagi anak perempuan bapa itulah walinya. Yang menyerahkannya kepada lelaki pilihan keluarga. Padanya tergantung zuriat keturunan mengikut galur mertuanya. Besan bapanya. Dari bapanyalah anak cucunya nanti mewarisi segala kesempurnaan yang telah disemat dan ditanam pada dirinya. Harapannya anak perempuan itu menjadi anugerah kepada menantu lelaki yang bakal menerima segala kebaikan. Keindahan wanita yang dikahwininya.

Lelaki itu banyak wataknya. Banyak wajahnya. Pada suatu ketika ia menjadi abang. Pada ketika yang lain ia menjadi adik. Dalam persemendaan ia menjadi  ipar duai. Begitulah susur galur manusia menentukan lelaki menjadi bapa saudara, anak, menantu  dan mertua. Di luar lingkunan keluarga dan semenda lelaki menjadi ahli masyarakat. Menjadi warga kerja. Menjadi warga negara. Setiap satunya memerlukan lelaki melaksanakan watak-watak dan tuntutan watak-watak itu. Watak yang terbaik mengikut agamanya. Mengikut statusnya. Mengikut norma budaya bangsanya. Statusnya dalam keluarga yang mesti disempurnakan. Banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Tidak banyak dibincangkan orang tentang lelaki sebagai lelaki. Yang selalu  disebut ialah lelaki sebagai suami. Sebagai bapa. Sebagai anak. Saya ingin membicarakan lelaki sebagai suami. Suami yang telah menikahi seorang isteri. Telah hidup lama bersama. Ketikanya sampai juga usia yang menginjak tua. Menjadi warga emas. Berkilau tetapi tiada siapa yang ingin memperdagangkannya. Nilainya telah tinggal sepah.  Tebu dan manisnya telah lama terbuang.

Usia tua yang semakin bersisa sedikit. Yang sedikit itu rupanya banyak masalahnya. Banyak ragamnya. Lelaki tua hanya melakonkan watak yang telah diskripkan keluarga. Banyak sangat watak yang keras. Hatinya kering. Lihatnya tidak ke dalam. Dengarnya tidak pada rintihan qalbu yang lemah antara bunyi dengan tidak. Hati nurani isterinya tidak pernah didengar. Langkahnya selalu ingin jauh. Lagaknya selalu menguasai. Selalu pula meminta haknya ditunaikan. Berkeras menuntut hak lelaki. Menjadi ketua yang sudah tidak boleh diikut. Jalan di hadapan yang selalu tersasar. Jalan di belakang yang selalu tertinggal jauh. Letak di atas menimpa yang bawah. Letak di bawah hanya menyusahkan yang di atas. Di tengah tidak tahu apa olahnya. Di tepi hanya jurang jatuhnya. Sifat lelakinya membanyak ego yang tidak sampai ke mana. Malang bagi isteri yang memilki suami sepertinya. Banyak ragam tetapi pendek perasaan.

Begitulah gambaran lelaki tradisi. Yang dididik untuk menjadi lelaki tanpa perasaan. Sukar memahami hati yang keras membatu. Ia lupa sewaktu mudanya ia dilayan penuh kasih sayang. Segala kemahuannya dituruti. Segala mahunya ditunaikan. Isteri yang cekatan sahaja mampu memberi yang terbaik untuk lelaki jenis yang banyak menuntut. Tenaga isteri semakin merudum. Tuanya menghakis segala cantiknya. Segala kekuatannya. Yang tinggal hanya sisa-sisa tanggungjawabnya kepada suami. Digagahi selagi ada kudrat yang bersisa. Yang pastinya ia merintih tanpa ada yang mendengar. Suami yang sama tuanya sudah hilang rasa. Hilang kepekaan. Yang ditunjukkan hanyalah sifat lelaki yang sukar merendah. Yang sukar menunduk. Yang sukar mengalah. Makan mahu dihidang. Pakaian mahu dibasuh. Rumah mahu dikemas. Malangnya dalam tuanya banyak pula perintah. Kurang pula membantu. Kudrat isteri yang tidak seberapa diperah dan dikerah. Malang menjadi isteri.

Tanggungjawab rumahtangga bercapah banyaknya. Bukan sekadar makan dan minum. Meminta dan menuntut hanya menyusahkan pasangan. Lelaki selalu lupa tuanya juga berpasangan dengan wanita isteri yang juga tua. Apatah lagi jika isteri tidak banyak sihatnya. Ada penyakit yang dihidap setiap masa. Lelaki yang selalu lupa tuanya tetap merasakan bahawa pasangannya tetap wajib melaksanakan keperluannya walaupun terpaksa merangkak. Terpaksa mengesot. Terpaksa menjalar. Terpaksa berpapah. Dapur diserah kepada isteri. Kemas diserah kepada isteri. Kemas diserah kepada isteri. Lupa dan lupa bahawa si isteri mungkin terlalu tidak ada lagi tenaga untuk mengurus semua itu. Digagahi demi lelaki suami yang tidak mengerti. Hanya memendam rasa. Memendam dalam. Menyimpan segala kekesalan yang susah padamnya. Siapalah dirinya hendak membantah. Lelaki selalu dominan tanpa melihat sekeliling bahawa zaman sudah banyak berubahnya. Masing-masing sudah tiada lagi sebaik dahulu. Semuda dahulu. Segagah dahulu. Tua sudah menghakis segala keindahan berumahtangga.

Menjaga hati sebenarnya perlu dilatih dari awal. Dari muda. Dari kanak-kanak. Pendidikan dan asuhan diperlukan untuk belajar mengurus hati. Mengurus perasaan pasangan. Mengurus dua hati yang selalu tidak pernah sama. Dua hati yang selalu ada selisihnya. Mana ada dua orang manusia yang sama dalam segala-galanya. Jika semasa muda sudah akur dengan perbezaan itu maka tuanya akan lebih memahami. Pengalaman dan usia mengajar kita menjadi lebih matangnya. Lebih tuanya. Tua banyak menghilang warna pendidikan. Hilang wajah pengalaman. Masing-masing tenggelam dalam dunianya yang terasing dan tersendiri. Seharusnya lelaki belajar melalui pengalaman positif. Belajar yang tidak ada hentinya. Ujian dan cubaan tetap datang tanpa mengira usia. Sikap siaga penting dalam menghadapi hari-hari terakhir. Harap-harap yang ditinggal nanti hanya rindukan kebaikannya. Tiada ingatan jelek yang perlu diimbau kembali.

Kadang-kadang hidup ini tidak indah semata. Jika kita banyak mengharap maka harapan itu jarang tercapai. Tidak ada siapa yang sudi memberi harap. Namun jika kita yang banyak memberi harap, mudah-mudahan banyak hati yang penuh harapnya. Meminta payah dapatnya. Memberi pada yang ramai banyak terimanya. Mengambil hati orang lain jauh lebih baik dari mengusik emosinya. Jika tua penuh dengan pengalaman dan pembelajaran tentu pasangan masing-masing lebih tenang menghadap hari-hari muka. Keindahan sudah lama hilang. Yang tinggal hanya kebersamaan. Renunglah siapa isterimu. Dia ada di hadapanmu. Itulah wanita yang sewaktu ketika dahulu membuatmu tidak tidur malam. Siangnya hanya bayangannya. Makanmu tak kernah kenyang. Kau dakap ia sepenuh hati. Kau cium dahinya tanda kesyukuran. Syahdu dalam penyatuan. Renung kembali waktu itu. Sekarang wajah itu banyak lainnya. Kendur segala kulitnya. Rabun matanya. Terhalang bunyi dari telinganya. Ingatannya yang selalu kabur. Tenaganya tinggal nyawa-nyawa ikan. Sentuhinya lagi. Pada kulit itu masih ada deria kasih. Masih ada sayang. Masih tebal setia yang dulu juga. Jalannya sahaja yang berbeza. Tetapi cumbuan mesra masih tidak mengubah kepada ingatan lama. Andaikata masa tidak berubah dia tetap yang sama. Yang cantik mulus kulitnya. Yang tajam bak kejora matanya. Yang suaraya bak lagu merdu yang selalu ingin didengar. Bila jauh dihujung telefon sayu mendayu lagu rindu.

Makanmu tidak pernah berubah. Minta yang enak. Minta yang mengenyangkan perut lama yang itu juga. Tolonglah ke dapur kerana isterimu tidak lagi banyak kudratnya. Kupaslah bawang. Tumbuklah cili. Jerangkan air. Tanak nasi. Sapu sampah. Susun pinggan mangkuk. Mop lantai. Bersihkan dapur. Hidangkan makanan. Apa salahnya menjadi pramusaji untuk isteri tersayang. Dulu semasa mudanya ia tidak pernah engkar melayanimu. Giliranmulah sekarang untuk mengembalikan haknya yang telah diberikan kepadamu dahulu. Tiada yang mutlak mengenai layanan bersuami isteri. Tidak semuanya tertanggung di atas bahu isteri. Suami sepertimu juga perlu memberi hak itu kepada isterimu. Sampai masanya dia perlukan layanan. Anak-anak semuanya jauh belaka. Banyak sibuk mereka. Mereka ada kehidupan sendiri yang perlu juga diurus. Menjadi orang tua yang menegrti banyak mendamaikan hati sendiri.

Sabarmu hendaklah digandakan. Sabar orang tua tentu banyak mengesankan. Tidak perlu banyak bercakap. Bila tua banyak kata yang tidak terkota. Indah cerita dari tenaga yang ada. Buatlah seberapa banyak yang boleh. Memberi apa sahaja yang membahagiakan pasangan. Tentu sahaja tidak semua membahagiakan. Tetapi sekurang-kurangnya sudah dilaksanakan apa yang seperlunya. Tututan besar dan wajib terlaksana. Kesabaran menghadapi hari tua kadang-kadang memeritkan. Tetapi itu adalah hakikat. Bahagia tidak pernah datang sendiri. Ianya dicari. Dicungkil. Digali. Usaha besar sahaja yang mungkin merealisasikan kebahagiaan yang selalu elusif itu. Tidak mungkin ia datang menggolek. Tidak juga pipih melayang. Ia perlu direncana sepanjang masa. Jangka pendek dan jangka panjang. Perlu diubah dari masa ke semasa. Hidup selalu dinamik. Volatile. Hindarkanlah dari menjadi hostile.

Santun-menyantun sangat mudah bagi yang mengetahui. Tidak ramai antara kita yang  sentiasa pandai mengendalikan suasana. Ada sahaja perubahan yang perlu dibuat. Kepekaan yang seharusnya tinggi. Ingatlah apabila sama-sama tua banyak yang semakin terserlah bezanya. Nampak kurangnya. Dilihat cacat-celanya. Ia perlukan hati yang kuat untuk melayari hari-hari tua yang tidak ada kepastian apa yang dijangka. Usaha, doa dan tawakal. InsyaAllah akan ada bahagia di hari-hari yang berbaki.  

Thursday, June 21, 2012

Hidup Mengagendakan Ilmu

Memang pasti tidak sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Mereka yang berilmu banyak tahunya. Mereka yang kurang berilmu banyak terpanar dengan maklumat.  Orang berilmu pandangannya jauh. Akalnya panjang sukar disukat. Wawasannya terkehadapan. Jalan fikirnya melampaui kebiasaan. Yang dilihat bukan yang di hadapan mata. Tetapi fokusnya ialah apa yang tidak kelihatan. Lebih payah dan kabur lebih banyak yang difikirkannya. Biasalah kit ahanya membicarakan perkara-perkara yang remeh. Perkara yang tidak berimpak tinggi. Perkara yang dikategorikan sebagai mengumpat sahaja. Ala kadar yang ridak ke mana. Kerja sia-sia yang langsung tiada manfaatnya. Yang diperolehi pastinya hanya dosa dan ramai musuh. Yang pastinya juga syaitan menjadi sahabatnya yang paling akrab. Mengadu domba memang kerjanya.

Kita ada 24 jam. Ada yang berfikir 24 jam tidak pernah cukup. Namun ramai mengatakan dia tidak ada masa. Mereka yang menggunakan masa masih banyak masa yang terluang. Masih banyak masa yang dimanfaatkan. Masih banyak detik-detik bernilai untuk bermujahadah. Untuk memperhambakan diri kepada Allah. Untuk berbahagia dengan keluarga. Untuk bermesra dengan jiran. Untuk bergaul dengan sanak saudara. Untuk bermanfaat dengan ummah. Mereka yang tahu masa dan gunanya sentiasa ada ruang untuk menggunapakai masa yang ada. Sedikitpun tidak terbuang. Tiada yang ditiriskan. Tiada yang dipinggirkan. Masa yang datang dinanti. Sentiasa dibahagi. Diisi dengan pasti. Malah dalam kebanyakan masa ia tidak sabar menunggu. Lalu masa yang ada dimaksimumkan penggunaaannya. Malah seolah-olah masa yang ada menjadi panjang. Menjadi banyak manfaat. Menjadi suatu ruang bebas untuk bergerak. Untuk berkarya. Untuk beribadat. Untuk menuntrut ilmu.

Lihatlah orang kelling yang dilihat sibuk. Yang selalu mobilitinya sangat tinggi. Yang diamati tiada diamnya. Dirinya terurus. Anak pinaknya terurus. Rumahnya terurus. Kesihatannya terurus. Kerjanya terurus. Malah ia mampu membuat banyak kerja lain yang bagi orang lain hanya metos dan dongeng sahaja. Orang jenis ini fizikalnya berkesihatan tinggi. Tenanganya melimpah-limpah. Tidak pernah statik duduknya. Jalannya penuh dengan fikir. Duduknya penuh dengan perancangan. Tidurnya penuh dengan mimpi yang menerawang jangkaan-jangkaan masa hadapan. Biasalah manusia ada yang banyak cakap tetapi tak serupa bikin. Ada orang yang kurang cakap tetapi banyak bikin. Tetapi antara keduanya kita idamkan orang yang banyak cakap dan banyak bikinnya. Beramal dan mengajar. Membimbing dan memberi nasihat. Mengerjakan yang hak dan mencegah yang bathil. Melebihkan ma’ruf dan menolak fasad. Meninggalkan yang mungkar.

Pada lidah kita ada 18 huruf. Huruf Arab 28 kesemuanya. 18 berada di lidah. Hanya 10 huruf pada anggota yang lain iaitu kerongkong, hidung, rongga dan kedua bibir. Memang lidah anggota yang paling banyak dikaitkan dengan pertuturan. Darinya datang lidah bercabang. Lidah tidak bertulang.  Deria rasa ada di situ. Masin, manis, masam, pahit, maung semuanya pada lidah. Keenakan makan dan minum pada lidah yang lembut tidak bertulang. Namun pada kelembutan itu banyak tugas yang wajar disempurnakan. Guru bergantung kepada lidah. Mengajar pastinya dengan kata-kata yang dituturkan. Tukang masak yang mahir juga bergantung pada lidah. Hidangan yang disajikan hendaknya cukup rasa. Lidahnya yang berbicara mengesan rasa. Bibir kita yang merekah merah bak delima pastinya pecah dan kering jika tidak dibantu dengan lidah yang basah. Yang menjelir dan memalit bibir. Sesungguhnya pada lidah banyak kata-kata. Kita hindarkan yang negatif. Yang menyakiti orang lain. Yang tidak menepati syariat. Gunakan lidah untuk segala kebaikan yang mungkin.

Lidah oh lidah! Lidah sebagai lidah manfaatnya terbatas jika tidak dibantu dengan yang lain. Yang perlu. Yang fardhu. Yang wajar. Lidah menjadi cemerlang jika yang lahir dari tuturnya ialah pengajaran, iktibar, nasihat, bimbingan dan berisi padat dengan fakta dan maklumat. Untuk ke situ tentulah kita kena menuntut ilmu. Kita kena belajar. Kita kena mengamati. Kita kena menyelidik. Kita kena membaca. Kita kena mendengar. Kita kena banyak bertanya. Kita kena banyak berhujjah. Kita  kena meneroka. Kita kena menjelajah. Kita kena membuka minda. Membuka hati. Membuka perasaan. Membuka psikologi kita. Mengagendakan diri untuk bergelumang dengan ilmu adalah suatu kewajaran yang selalu diabaikan. Apatah lagi dalam kehidupan kita yang selalu banyak dengan hedonism. Agenda hiburan yang tidak sudah-sudah. Semakin ditegur semakin galaknya. Hiburan menjadi nadi yang membunuh. Darah Islam yang menjadi tersekat kerananya. Hiburan tentu sekali menyingkir zikir. Senikata lagu yang meminggir doa. Khusuk dengan hiburan hingga melupakan Yang Khaliq.

Hidup mesti beragendakan ilmu. Kadang-kadang terbit kerisauan di hati kerana terlalu banyak yang tidak diketahui. Kita wajib ambil tahu untuk mengetahui. Untuk menjadi orang yang mengetahui. Untuk menjadi orang yang layak memberitahu. Untuk dapat meneruskan hidup yang penuh berencana. Yang cuba melihat telus jauh menelusuri masa hadapan yang memangnya tidak pasti. Benar esok atau lusa kita tiada lagi. Sebelum sampai masanya beruntunglah bagi mereka yang masih betah mencari ilmu. Menimbanya manfaatnya. Memindahkan kepada orang lain. Mentarbiahkan yang ditinggalkan. Bukankah nanti ia menjadi amal jariah yang berpanjangan. Nasihat yang berguna. Ilmu yang bermanfaat. Ajaran yang tidak menyesatkan.  Ilmu banyak sangat gunanya. Tidak pernah ilmu yang bersandarkan kebenaran meyesatkan. Tidak juga merosakkan. Malah tidak menjadikan pemiliknya jadi miskin papa kedana. Yang pastinya mereka yang berilmu dan bermaklumat darjatnya sentiasa tinggi. Martabatnya di atas. Letaknya tidak sama dengan orang lain.

Kuncinya ialah masa. Masa yang nilainya emas. Jadual yang terancang. Waktu yang tidak disenggangkan. Usaha yang selalu padat dengan iltizam. Islam itu hebat dunia dan akhirat. Tentunya ironis melihat orang Islam lemah dalam semua bidang. Ilmunya menjadi terbatas. Maklumatnya selalu terkandas. Hujjahnya dangkal. Fikirnya singkat. Berkata sesedap mulut. Tidak pula sesedap fikir. Rencananya selalu pada yang dekat. Mengatasi masalah yang tidak pernah sudah-sudah. Tidak dapat menghindar kemungkinan-kemungkinan yang datang menerpa. Mana boleh selalu terantuk baru tengadah. Tengadahlah dahulu sebelum terantuk. Ilmulah yang selalu menjadikan kita tengadah. Jangan berdoa untuk selalu terantuk. Orang kita terlalu berserah hingga tidak dapat membezakan qada’. Tidak tahu di mana qadar. Berserah pada nasib bukan agenda kita. Belajarlah selagi umur masih ada. Selagi nafas masih ada turun naiknya. Selagi nadi berdenyut.

Tua bukan isu. Miskin bukan isu. Tidak pandai bukan isu. Tiada peluang bukan isu. Jika kita mengagendakan ilmu kita akan menemui usia yang tidak pernah tua. Usia yang sentiasa menunduk bukan kerana tua. Menunduk kerana sarat berilmu. Tutur kata tidak perlu banyak. Cukup apa yang ada. Penuh berisi. Padat dengan hikmah. Kaya dengan ilmu walaupun tidak kaya dengan harta dan wang ringgit. Sesungguhnya ilmu memberi kekayaan. Akalnya panjang. Fikirnya banyak. Helahnya berselang dan bersilang. Usahanya terbilang. Peluang sentiasa datang menjengah kita walau apapun diri kita sebenarnya. Cari peluang itu. Tidak mungkin ianya datang sendiri. Melayang sendiri. Jatuh sendiri. Yang tidak pandai bukan bermakna harus terus tidak pandai. Kepandaian banyak yang boleh dipelajari. Ditekuni. Disantuni. Menjadi orang yang tidak tahu tidak menambah nilai diri. Tidak tahu menjadikan ia jatuh ke bawah dasar. Orang semua di atas kita di bawah. Yang tua memperkukuh falsafah hidup. Kualiti yang semakin meninggi. Yang muda menambah nilai diri. Memperaga segala kemampuan sebagai manusia. Yang sibuk meninjau ruang dan peluang untuk disisi dengan kewajaran.

Ilmu wajar diagendakan. Semua rumah perlu ada perpustakaan. Ada sumber rujukan. Ikutlah apa bidang sekalipun. Yang penting ada rujukan. Bagi yang baru berumahtangga fasa ini tidak lama. Setahun dua anak akan berderet. Mulut mereka perlu disuap. Yang lebih penting minda mereka perlu diasuh. Akal mereka perlu diperpanjang. Rohani mereka perlu diperhalusi. Al-Quran dan hadith perlu ada. Tafsir perlu ada. Buku dan majalah perlu ada. Kamus perlu ada. Maaf, majalah hiburan tidak perlu dibeli. Tidak perlu ada. Jangan dijadikan simpanan. Ia bukan rujukan. Nilainya terlalu nipis. Cukup ditinjau di kedai buku. Ilmu dan maklumat bila dibaca, kekal di minda. Menjana pemikiran yang progresif. Yang kreatif. Sekurang-kurangnya inovatif. Hiburan hanya dibaca sepintas lalu. Tidak ada yang perlu diingat kembali. Lainlah mereka yang mengambil bidang seni sebagai profesion. Menjadi pensyarah seni. Menjadi pelajar seni. Menjadi penyelidik seni. Itupun mereka memgambil yang hakikat. Yang  berat untuk dipedebat. Untuk dijadikan juadah minda supaya sarat berfikir untuk memajukannya tanpa mudarat.

Untuk berilmu banyak yang perlu dilakukan. Masa. Wang ringgit. Kemahuan. Kemampuan. Intelek. Sikap. Falsafah. Ilmu bukan sekadar apa yang mudah. Ada objektif yang berjangka pendek dan panjang. Yang berwawasan. Ramai orang yang ingin jadi orang biasa-biasa sahaja. Yang cukup-cukup sahaja. Percayalah dalam dunia yang penuh mencabar sekarang ini hanya mereka yang memiliki kelebihan dilihat orang. Dipandang orang. Diberi nilai tambah yang melebihi orang lain. Menjadi orang biasa bukan agenda yang perlu diteruskan. Selangkah demi selangkah kita haruis bergerak memperkasa diri. Tidak ada ruginya memperhamba diri untuk mengetahui. Untuk lebih baik dari orang lain asalkan untuk memberi manfaat kepada orang di sekeliling. Cari masa yang sesuai untuk menapak dengan ilmu. Memperbanyak ilmu. Peruntukkan sedikit dari pendapatan untuk dibelanjakan demi ilmu. Saya kira pencarian ilmu tidak pernah meletihkan. Tidak pernah memberi mudarat. Tidak pernah memiskinkan orang yang mencarinya.

Alangkah indahnya mati dalam belajar. Ungkapan seperti itu sukar difahami. Cuba lihat sekeliling. Kita selalu menziarahi saudara mara dan teman-teman yang sakit. Yang uzur. Kebiasaan kita hanya berbual. Banyak bertanya kepada yang sakit. Payah menjawab kerana sakitnya. Kita yang bertandang banyak sangat bertanya. Tidak perlu sebenarnya yang sakit ditanya bual. Yang sebaiknya waktu itu dihidangkan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Membaca kitab-kitab yang sarat dengan nasihat. Yang membicarakan ilmu. Orang kita banyak silapnya. Hanya yang nazak sahaja dibacakan al-Quran. Lebih-lebih lagi surah Yasiin. Kenapa tidak diagendakan supaya ziarah itu dengan bacaan al-Quran. Yang canti bertajwid. Yang tartil. Dengan lantunan suara yang lembut menusuk. Yang mendamaikan yag sakit. Tidak perlu memberi bahagia kepada yang sakit. Ketika itu jika bafasnya berakhir maka matinya dalam belajar. Dia sedang diajar oleh orang-orang yang menziarahinya. Tukarlah wajah kita semasa berhadapan dengan orang sakit. Tukar agenda ilmu hingga ke liang lahad.

Lihatlah sekeliling kita. Orang yang berilmu semuanya beragenda. Hidupnya penuh dengan agenda. Mukanya berseri. Ada kepuasan. Ada kebahagian. Mengetahui adalah seumber kebahagiaan.  Jenuh orang mencari bahagaia dengan harta. Yang nyatanya mereka dapati kebahagiaana harta itu ilusif. Selalu menjauh. Ilmu sahaja yang boleh mendamaikan. Banyak persoalan dapat dijawab. Banyak kontroversi yang dapat didamaikan. Banyak diskusi yang boleh dicambah. Tiada topik yang tidak boleh dibicara. Garapan minda orang yang berilmu melaut luasnya. Melangit tingginya. Bercapah cabang-cabangnya. Tidak ada yang mendatar memanjang. Semuanya tinggi dan dalam. Memahami apa yang orang sukar mendapatnya. Mencari ilmu untuk manfaat diri dan orang lain. Untuk manfaat ummah. Untuk manfaat sarwajagat. Semoga ianya disebarkan untuk suatu jihad yang memanjang. Usia selalu terbatas ajal. Ilmu terus kelangsungannya berabad-abad. Carilah ia kerana ilmu memberi barakah. InsyaAllah, kerana Allah.

Saturday, June 16, 2012

Kebersihan Tanda Iman dan Tanda Negara Maju


Dalam kehidupan seharian kita biasa makan di kedai. Mungkin di gerai. Sesekali di hotel atau restoran besar. Suatu pagi saya sarapan di sebuah gerai. Sementara menunggu hidangan disajikan biasalah mata selalu meneroka banyak segenap ruang gerai dan gerai-gerai yang lain. Kepada kebanyakan orang normanya begitu. Asalkan nampak bersih cukup. Tidak pernah terfikir nilai bersih yang paling murni yang seharusnya. Yang semestinya. Yang sewajarnya. Islam mengajar kebersihan. Tinggi nilai kebersihan. Iman taruhannya. Jangan lupa pula kesihatan dan kesejahteraan. Keceriaan hati. Suasana yang damai. Iklim yang indah. Ekosistem yang terpelihara. Susah benar orang kita memahami isu kebersihan. Ramai yang tidak dapat mengurus kebersihan. Pendidikan kebersihan belum mencapai tahap tertinggi. Kualiti kebersihan belum sampai ke kemuncaknya. Budaya kebersihan belum sampai dalam kategori terbaik. Belum cemerlang.

Gerai-gerai orang kita sangatlah banyaknya. Tidak ramai orang kita yang membuka kedai. Yang menyewa bangunan kedai. Yang terjaga persekitarannya. Yang terjaga kebersihannya. Bayangkan situasi ini. Kita minta roti canai. Penebarnya sedang menghisap rokok. Dia meletakkan rokoknya lalu menebar roti canai itu. Laju dan cepat. Masuk kuali. Dai kembali menghisap rokoknya lagi. Apa masalahnya? Apa isunya? Apa kurangnya? Apa buruknya? Roti canai yang kita makan telah bercampur dengan air liurnya melalui puntung rokok yang dihisapnya. Ramai yang kurang maklum bahawa puntung rokok mengandungi ribuan racun yang mengancam orang yang merokok. Yang terhidu asap rokoknya. Orang yang terdekat yang menghidu bau badannya terutama isteri atau suami dan anak-anaknya. Malang sungguh bagi orang yang terdekat dengan orang yang merokok. Kembali kita kepada roti canani tadi. Malanglah bagi mereka yang makan roti canai yang bersalut dengan air liur penebarnya. Ramai juga penebar roti canai yang bercakap kuat semasa menebar roti. Bersemburan lagi air liurnya. Jika memakai penutup mulut mungkin keadaan itu dapat dihindarkan.

Boleh perhatikan mereka yang terlibat dengan penyediaan dan penyajian makanan yang keluar dan masuk tandas. Pernahkah kita lihat mereka benar-benar membersihkan tangan mereka. Mensucikan tangan mereka. Memberi perhatian kepada kebersihan diri. Allahuakbar. Banyak yang terlepas pandang bila cerita tentang kebersihan. Sebab itu makan di rumah adalah lebih baik. Lebih selamat. Lebih suci. Lebih bersih. Lebih halalan toyyibah. Di negara Arab wanitanya lebih konservatif. Mereka tidak makan di kedai. Aib dari segi amalan. Terdedah kepada pandangan umum. Menyalahi agama. Hukum yang menjauhi zina. Konsep kebersihan ini belum benar-benar terakam dalam budaya beragama kita. Kita selalu terlepas pandang. Standardnya tidak pernah dicartakan. Piagamnya tiada lagi. Pihak yang berwajib yang perlu memperkasa dan menguatkuasakannya.

Pakaian selalu menjadi masalah. Di mana-mana negara sama ada Islam atau bukan pengendali makanan diwajibkan memakai penutup kepala. Bentuknya berubah. Ada topi. Ada kep. Ada tudunng. Mungkin songkok atau kopiah. Jika diberi pilihan makanlah di kedai yang pengendalinya memakai penutup kepala berbanding dengan yang tidak. Kulit kepala sentiasa kering. Sel-selnya sentiasa berguguran. Rambut gugur silih berganti. Kelemumur juga berguguran. Kesemuanya masuk ke dalam periuk, pinggan, mangkuk, gelas dan cawan. Itu belum yang berterbangan. Berlegar di udara. Menanti penggan yang menghidu dan menghirupnya. Dilihat seperti sangat tidak signifikan tetapi besar impaknya.

Mengapa ramai pengendali makanan tidak memakai kasut. Mereka gemar memakai selipar. Apa msalahnya. Apabila ke bilik air, air di lantai dilibas ke bahagian belakang seluar, kain atau baju. Itu yang kelihatan. Pernah kita fikir air yang naik ke meja. Ke kerusi. Ke dalam makanan yang sedang dinikmati. Alangkah eloknya jika mereka memakai kasut. Tumit yang pecah dan comot terlindung. Kuku dan jari yang tidak  cantik dilitupi hingga tidak kelihatan cacat celanya. Jalan menjadi lebih selesa. Ada keyakinan diri yang lebih tinggi. Terhindar kemungkinan-kemungkinan mencemarkan keadaan. Keadaan menjadi lebih suci. Alangkah! Alangkah! Jika kita mengetahui. Setiap sesuatu pasti ada kebaikannya.
 
Tudung selalu menjadi masalah. Saya ke Jepun, wanitanya memakai skaf. Saya temui di US wanita-wanita pengendali makanan yang memakai skaf juga. Di KFC atau McDonald mereka memakai kep atau topi. Di Malaysia terlalu ramai mereka yang tidak memakai tudung. Agama tidak dihayati. Pentadbiran tidak memberi peraturan dan perundangannya. Sosial tidak melabelnya. Industri tidak memberi garis panduan. Akhirnya semua orang berada dalam dilema. Dari segi apapun banyak ketidakbetulnya. Sepatutnya Pendaftar  Perniagaan boleh mengambil inisiatif. Dewan Bandaraya, Majlis Perbandaran, Majlis Bandaran, Majlis Daerah dan majlis tempatan yang lain menggerakkan ke arah industri makanan yang sihat, bersih, suci dan halalan toyyibah. Jika tidak dimulakan sekarang, nanti kita selalu ketinggalan di belakang. Tamadun kita di belakang. Budaya kita di belakang. Lonjakkan ke hadapan itu terlalu perlahan dan banyak sekatan pemikiran yang tidak ke hadapan. Statik di takuk lama.

Debu adalah elemen kotor yang selalu wujud. Terlalu kecil untuk dilihat dengan mata kasar. Tetapi dapat dikesan dengan jari. Dapat dirasa dengan deria rasa. Kedai makan orang kita terletak di tepi jalan. Di tempat yang sibuk dengan kenderaan dan pejalan kaki. Memang debu berterbangan. Jika kedai itu menerima arah angin maka debu yag masuk tidak terkira banyaknya. Singgah dan hinggap di mana-mana. Di atas meja. Kerusi. Pinggan. Sudu dan garpu. Makanan terutamanya. Pengusaha dan peniaga seharusnya mengusahakan supaya dapat berniaga dalam premis yang tertutup. Jadikan budaya untuk menghindar dari segala keburukan kotoran halus yang menimbun banyak dalam bentuk debu dan habuk. Untuk mengelakkan penyakit. Sekurang-kurangnya laplah meja dan kerusi secara berkala supaya debu yang hinggap dapat dinyahkan sebelum ada pelanggan yang duduk.

Kotoran di lantai selalu juga dilihat menjijikkan. Sebelum memulakan perniagaan mungkin tidak disapu. Tidak dimop. Tidak dibasuh. Jika dilakukan mungkin tidak bersabun. Tidak menggunakan pencuci lantai. Sisa makanan, minyak dan kotoran lain menjadikan lantai itu comot, hitam, kuning, perang, berlumut, dan tidak selesa dipandang. Mengapa agaknya pembantu kedai membuang sisa makanan ke lantai. Dipijak. Diinjak. Dilenyek. Memang makanan itu sisa tetapi tidak wajar menganiaya makanan itu. Ada makhluk lain yang boleh menikmatinya. Mungkin kucing, ikan, ayam atau ternakan lain. Termasuk juga semut, lipas, tikus dan sebagainya. Jangan lupa jin yang makan tulang. Sisa pada meja hendaklah ditadah dengan bekas tertentu dan dibuang sewajarnya. Jangan disapu jatuh ke lantai. Ada dosa dan pahala di situ. Pada perbuatan itu ada nilai-nilai berimpak tinggi. Tidak berpelajaran tinggi seharusnya tidak dijadikan alasan untuk tidak peduli. Sifat empati mesti ada dalam hati.
                                                                     
Sukar melihat kedai makanan yang menyediakan tuala pengelap yang bersih. Yang biasa ialah yang sudah bertukar warna. Yang kumal. Yang memualkan. Yang kelihatan buruk, comot, berminyak dan koyak rabak. Apabila dilap meja, bukan membersih tetapi mengakibatkan meja basah berminyak. Tidak selesa dipegang atau meletakkan tangan di meja.  Tuala pengelap sewajarnya yang bersih. Selepas digunakan terus dibasuh dengan sabun pembersih. Bukan setakat dibasahkan sahaja. Maksudnya tuala pengelap mestilah banyak. Gunakan yang pasti bersih sahaja. Jangan pandang ringan tentang perkara ini. Jadikan ia sebagai tarikan. Promosi.  Mudah-mudahan pelanggan menjadi lebih tertarik. Lebih teruja. Jika itu sudah terjadi maka menarik pelanggan menajdi lebih mudah.

Alat penting di kedai makan tentulah perkakas makannya. Pinggan, sudu dan garpu, gelas dan cawan, dulang, mangkuk dan sudu. Malah dapurnya juga mestilah dalam keadaaan yang menasabah bersihnya. Bersih jangan ikut adat. Ia mesti bersih ikut kualiti. Ikut kesihatan. Ikut standard yang terbukti sihat dan selamat digunakan dari segi jangkitan penyakit. Atau yang boleh mengakibatkan berbagai panyakit. Siapa yang tahu orang yang makan dan minum di kedai tidak mengidap penyakit kronik. Tidak ada pelanggan yang menhisytiharkan dirinya berpenyakit. Kadang-kadang ia sendiri tidak tahu ia pembawa penyakit. Apa kita perlu buat dengan sentuhan mereka yang positif HIV. Yang memanag mengidap AIDS. Yang mengidap batuk kering. Yang berpenyakit kulit. Yang membawa penyakit menular. Penyakit-penyakit tersebut fatal sama ada dalam jangka masa pendek atau dalam jangka panjang. Siapa peduli sebenarnya. Kita tidak pernah bincangkan hal seperti itu. Maka demi untuk keselamatan dan kesihatan basuhlah alat makan menggunakan air panas. Saya rasa kita biasa makan dengan pinggan yang bertukar warna. Cawan yang cokelat dengan klorin. Begitu juga sudu dan garpu. Gunakanlah pembersih yang boleh menggilapnya. Jadikannya presentable. Mudah-mudahan makanan menjadi palatable.

Ramai antara kita makan menggunakan tangan. Lebih dekat dengan syariat. Malangnya untuk membasuh tangan selalu bermasalah. Masakan biasanya berminyak. Kerana minyak atau santan. Mungkin susu atau majerin atau mentega. Banyak juga makanan yang memang berminyak. Apabila hendak membasuh tangan selalu kita lihat sinki yang sangat kotor, comot dan tidak sesuai kotornya. Tidak dibasuh tangan terasa pula minyaknya. Mungkin masih banyak pedasnya kerana makan sambal. Untuk membasuh geli memandang sinki. Kepala paip sudah tiada.  Tiada siapa yang bertanggungjawab penuh tentang siapa yang perlu mengurus sinki. Proses terakhir di meja makan. Mana sabunnya. Mana tisunya.  Sinki, sabun dan  membasuh tangan yang menyulitkan mengikutt adat.

Servis adalah nadi kebaikan sesebuah kedai. Kedai layan diri tiada masalah. Jika layan penuh maka pembantu perlu selalu peka dengan pelanggan yang datang dan pergi. Yang duduk dan berdiri. Yang lama dan yang baru. Selalu terjadi pembantu lambat memberi layanan. Lambat mengambil pesanan. Menggilirkan pelanggan yang dahulu dan yang kemudian. Makanan disiapkan juga mengikut giliran. Pelayan di kedai tidak diberi pendidikan untuk mengambil tindakan bijaksana. Ada makanan yang tidak perlu disediakan lama. Boleh didahulukan mana-mana yang perlu. Tidak sesmestinya menunggu hidangan utama. Jenuh menunggu. Dalam banyak hal banyak kedai makan yang tidak berjaya kerana servis yang tidak mencapai standard.

Pakaian kerapkali menjadi bahan penilaian. Pelanggan ingin melihat pakaian yang cantik, bersih dan  menarik. Saiznya cukup. Panjangnya sesuai. Penampilannya wajar. Pakaian memberikan aura yang sesuai kepada pembantu. Sejuk mata memandang. Apron perlu dipakai untuk melindungi kotoran. Untuk melindungi sebarang cacat cela pada pakaian. Namun begitu jangan mengelap tangan yang kotor dan basah ke apron. Nantinya yang bersih akan kelihatan kotor. Comot. Dilihat menjadi tidak menyelerakan. Pakaian bermaksud selengkapnya. Termasuklah tudung, kasut, setokin. Termasuk juga kacamata dan jam tangan. Termasuk juga barang kemas.

Banyak kedai dalam situasi yang tidak kondusif. Sewaktu makan terhidu angin yang kurang enak. Longkang di tepi kedai yang tidak terurus. Segala sisa makanan dibuang dan dialirkan ke longkang. Air basuhan ke longkang. Lebihan makanan juga ke longkang. Sampah mungkin berhampiran tongnya. Pihak berwajib lambat mengutipnya. Sampah dan kotoran itu terlindung dalam gemerlapan cahaya pada waktu malam. Pada waktu siang terserlah wajah kotor yang tidak selesa yang sebenarnya. Bayangkan baunya. Kotornya. Lalat dan langaunya. Lipas dan tikusnya. Segala yang merayap ada di sekeliling kedai itu kerana banyak makanan untuk banyak makhkluk halus. 

Siapa yang membersihkan kedai. Penyapu pastinya digunakan. Aduhai. Menyapu dengan penyapu hanya menaikkan debu berterbangan. Yang menyapu sekolahnya tidak tinggi. Kefahaman tentang kebersihan tidak mencapai kualiti. Pemikiran bersih belum sampai ke dasar pemikiran. Yang dilhat sahaja dikira mencukupi. Mata kasar yang selalu nilainya berbeza. Tidak mampu melihat kualiti pada kewajarannya. Saya pernah melihat penyapu lantai yang juga menyapu meja. Dari bawah, dari lantai penyapu yang sama menyapu meja pula. Saya tidak fikir orang normal boleh menerima keadaan sebegitu. Tidak layak penyapu itu untuk naik taraf. Lantai yang dipijak menaikkan debu ke atas meja makan. Begitu juga dengan pengunaan mop yang kadang-kadang sebarangan sahaja. Tidak membersih. Sekadar mengalihkan kotoran dari satu sudut ke satu sudut yang lain. Jangan terkejut ada yang menggunakan mop lantai untuk mengemop meja.

Budaya kita sangat cantik. Kita meminati kecantikan. Kita inginkan kebersihan. Kita suka yang teratur dan tersusun. Suasana yang kita idamkan ialah kedamaian minda. Sesejuk mata. Melapangkan psikologi. Sikap kita barangkali yang sukar didamaikan. Sukar diharmonikan. Kita membuka mata. Deria kita meluas. Tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memperbaiki diri. Pendidikan pastinya remedi yang terbaik untuk menjana perubahan. Teori kebersihan tidak mencukupi. Tunjuk ajar perlu. Bimbingan mandatori. Peraturan perlu dilaksanakan. Mungkin undang-undang perlu dikuatkuasakan. Tanpa usaha berbagai ini konsep kebersihan menjadi misteri budaya. Masa sudah semakin suntuk. Wawasan 2020 hanya lapan tahun lagi. Tanpa memahami kebersihan, tanpa mengetahui kaitan kebersihan dengan kemajuan maka sukar kita hendak mencapai antara ciri negara maju. Semua negara maju begitu. Kebersihan, keindahan, keteraturan, susunan, lanskap dan kecerian menjadi agenda kehidupan. Membina psikologi damai. Itulah yang saya lihat di US. Begitu juga di Jepun. Barangkal dua negara besar yang selalu dirujuk. Kebersihan menjadi lambang kemajuan. Persekitarannya bersih. Warganya bersih. Sampah diurus sehingga bersih. Sebersih-bersihnya.  

Ada usaha untuk melabel kedai. Malangnya rakyat tidak dimaklumkan signifikannya label itu. Apa kaitannya dengan kesihatan. Dengan standard kebersihan. Dengan nilai hidup yang tinggi. Bagaimana dengan falsafah kebersihan. Di US dan Canada label sangat penting. Kedai yang berlabel A sangat tinggi standardnya. Kadang-kadang melebihi keperluan dan syarat. Mereka yang mengunjungi membayar dengan harga yang lebih tinggi tetapi ada jaminan bahawa dirinya selamat dari berbagai ancaman. Label B ada kecacatan sedikit. Jika C tahapnya agak rendah. Label D diberikan juga tetapi dikatakan sebagai at your own risk. Di Malaysia bagaimana. Usaha melabel itu ada. Rakyat tidak peduli mengenainya. Masyarakat Malaysia mencari yang sedap dan yang murah. Yang lain-lain tidak dipertimbangkan.

Setiap kali hendak makan di kedai atau di gerai, lazimnya saya menghantar isteri saya untuk membuat tinjauan terlebih dahulu. Dia mempunyai standard kebersihan yang tinggi. Jika ibu jarinya ke atas saya akan matikan engin kereta. Jika tidak dia akan segera kembali ke kereta untuk mencari kedai yang lebih baik. Yang dilihatnya ialah persekitarannya dahulu. Kebersihan keutamaan. Susunan juga diberi perhatian. Menu dan sajian serta pilihannya diambilkira. Pada kebanyakan masa kami tidak mendapat pakej yang terbaik. Ada sahaja cacat celanya. Makan hanya sekadar mengisi perut. Di dalam perut tidak mendapat nikmat makan yang sebenarnya. Psikologi tidak teruja. Minda tidak menerima sepenuhnya. Rasanya jika isteri saya menjadi merinyu kesihatan, tentu banyak kedai makan yang diwajibkan tutup atau digantung perkhidmatanya untuk jangkamasa yang tiada penyudahnya. Drastik? Mungkin tetapi itulah penagajaran keras yang perlu. Yang sangat diperlukan.

Tuesday, June 12, 2012

Sungai Thames Nadi England Yang pulih Cemarnya


Jambatan di belakang kami dinamakan The Tower Bridge. Kapal boleh melaluinya. Jambatan itu tinggi. Di tengahnya boleh dipisahkan. Boleh dinaikkan. Sewaktu itu kapal boleh hilir mudik.


Big Ben dibina di tepi Sungai Thames. Begitu juga Parliment House. Banyak bangunan ternama berada di tepi sungai. Lambang pentingnya sungai itu.

Senibina di Barat berbukti nyata. Hebat binaan yang tertegak di bumi mereka. Kota-kota mereka diserikan dengan bangunan-bangunan yang kekal lama. Cantiknya meningkat semakin ianya berumur.



Bila dikenang kembali semuanya menenggelamkan khayalan. Ia benar. Ia realiti. Saya dan keluarga pernah berada di London. Di tebing Sungai Thames. Santai begini tidak mungkin berulang lagi. Kelima-lima anak saya sudah berkerjaya. Sudah berkeluarga. Zaman itu hanya mengembalikan kenangan. Imbauan masa lampau. Suatu perjalanan yang merentas masa. Telah berlalu. Mungkin akan diulang oleh orang lain. 

Dalam dunia ini sungai banyak fungsinya. Ada fungsi positif. Ada juga fungsi negatif. Sungai secara fitrahnya banyak manfaat. Keharusan menggunakannya sangatlah tidak terkira banyaknya. Pada asalnhya sungai adalah sumber air. Ianya  adalah sumber kehidupan. Airnya untuk minuman. Membasuh dan mandi manda. Sungai juga untuk sistem pengairan seperti di Lembah Nil di Mesir dan Lembangan Mississippi di USA. Banyak empangan yang hebat dan besar dibina di sungai-sungai. Dalam sejarah manusia Empangan Maarib di Yamen adalah empangan besar yang pertama seumpamanya dibina manusia. Kesuburan dan kemakmuran di selatan Semenanjung Arab bergantung kepada empangan itu. Kita mengkaji sejarah tentang tamadun yang dibina di sepanjang Sungai Indus di India, Sungai Furat di Iraq dan Sungai Yangtze dan Hwang Ho di Cina. Di Eropah tiada siapa yang dapat menidakkan besarnya sumbangan Sungai Danube yang merentas beberapa negara terutama Germany. Ada sebuah lagu klasik yang diberi nama Blue Danube.

Maka belayarlah manusia di sungai-sungai yang besar seperti Amazon di Brazil. Perahu, sampan, kolek, jalur dan lading mudik dan hilir mengikt arus air. Mereka menghilir bila air surut. Mereka mudik bila air pasang. Alam yang dikuasai Allah digunakan secara maksimum. Ikut alirannya. Dari sungai makanan bertimbun-timbun. Ikan tidak pernah habis dari dahulu hingga sekarang. Cuma kualiti dan kuantitinya sahaja semakin merosot. Sebab musabab kerana kerosakan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia. Begitu juga sungai menjadi jalan pengangkutan yang tiada tandingannya. Kayu balak hanyut melaluinya. Sagu yang bertual-tual dihanyutkan mengikut arusnya. Malah buah kelapa juga diangkut melalui air. Maka kebaikan terlalulah banyaknya melalui air sungai yang ada si mana-mana negara. Sungai menjadi nadi. Menjadi punca kehidupan. Ada masanya sungai menjadi survival sesebuah komuniti. Sesebuah kelompok manusia. Sesebuah negeri atau negara.

Sungai sangat nostalgik kepada banyak bangsa. Tamadun dibina di tebing-tebing sepanjang sungai. Namun dalam apa keadaanpun setiap sesuatu ada kontranya. Ada paradoxnya. Allah menciptakan sesuatu ada lawannya. Sinonim dan antonimnya. Manfaat diringi juga dengan mudaratnya. Sungai menjadi tembok keselamatan. Perisai dari serangan musuh. Kebetulan sungai adalah jalan yang selalu menjadi jalan utama. Serangan dari musuh jarang datang dari darat. Semak, bukit-bukau, paya dan haiwan liar sukar diatasi. Hanya sungai yang memudahkan. Makan minum tiada pencemaran. Ikan dijala dan dipukat. Atau dikail. Mandi manda memang sangat memudahkan. Musuh juga berfikiran yang sama. Jalan mudah menyerang negara orang tentulah melalui sungai. Banyak bandar dibina di tebing sungai yang strategik kedudukannya. Kota yang dibina boleh dipertahankankan dari banyak penjuru. Kedatangan musuh dari sungai mudah dipatahkan. Banyak armada kalah dan berundur kerana kota yang dibina tidak berjaya ditembusi atau dilalui.

Kembara saya telah melalui beberapa sungai yang besar impaknya. Ada antara sungai-sungai itu yang sudah hilang peranannya. Ditukar pula menjadi tarikan pelancong. Ambil sahaja Sungai Melaka. Sudah menjadi terlalu tidak signifikan untuk apa sekalipun. Suatu ketika dahulu tertegak di muaranya sebuah kerajaan yang gah dan besar. Menyeberang Selat Melaka. Ke Selatan meliputi Riau. Sungai Melaka hanya menjadi kenangan. Nostalgik zaman. Malamnya sahaja yang menggamit keindahan. Malacca River Cruise barangkali sedikit menghilangkan kedukaan masa lampau. Ada kilauan cahaya yang beriak di air untuk melegakan kerisauan lalu. Masih ada harapan untuk kembali menegak kekuatan. Sungai-sungai lain di Semenanjung sudah hilang serinya. Sungai Pahang kekal dengan besar dan ganasnya pada musim tengkujuh. Sungai Klang hanya sampah. Mati segala impian. Sungai yang lain cemar dan kotor. Kita seperti tiada lagi perlukan sungai. Lupa dari sungai kita perlukan airnya. Dipam ke rumah untuk melestarikan kehidupan yang masih panjang di hadapan. Sangat mudah membunuh sungai. Sampah sarap menimbun dan menimbusnya. Alirannya terhalang. Kemusnahan kepada ekosistem. Membunuh tebing dengan banjir dan bah. Kemusnahan dari akibat tangan manusia tang tidak panjang. Benarlah kadang-kadang tangan kita hanya panjang sejengkal. Tidak mahu berfikiran jauh. Bahawa yang sedikit-sedikit itu lama-lama menghapuskan manfaat sungai. Tenggelam dalam sampah. Tenggelam dan bau busuknya. Tenggelam dalam hinanya.

Begitulah Sungai Thames di London. Antara kota besar yang juga besar sejarahnya. London jauh dari muara Sungai Thames yang menghala ke Laut Utara. Berliku tetapi di tebing Sungai Thames itu London ditegakkan. Kapal dagang berlabuh di tepiannya. London menjadi mewah sebagai kota dagangan. Rupanya kemewahan ada tabir musibahnya. Manusia tidak banyak mempertimbangkan akibat. Tidak memikirkan konsekuen. Yang difikirkan hanya diri sendiri. Falsafah nakal dari Barat yang menegakkan ekstensialism, materialism dan individualism. Idealism sudah tidak lagi menjadi pegangan. Paradigma berfikir manusia menjadi tumpul. Mereka menganggap bahawa laut adalah tong sampah besar. Mereka percaya sungai mengalirkan sampah ke laut. Mereka lupa bahawa sampah yang tidak sampai ke laut kembali ke hulu dibawa arus air pasang. Sampah itu terdampar di tebing-tebing sungai. Akhirnya sampah-sampah itu menjadikan sungai semuanha sampah-sampah belaka.

Di US umpamanya sungai sangat dimuliakan. Apabila ada sahaja bahan pencemar yang dikesan di sungai maka proses merawat air untuk minuman dan makanan dihentikan sertamerta. Langsung tiada kompromi. Pemerintah dan pihak berwajib tidak perlu menangguh berfikir. Kesejahteraan rakyat tidak pernah diperjudikan. Tidak pernah cuba dianiaya. Air yang sudah ditakung juga dibuang demi menjaga kesihatan rakyat. Produktiviti mereka dijaga. Dipertahankan. Rakyat dan negara adalah gandingan yang memberikan nilai positif. Menjana sinergi. Sebab itu di US rakyat selalu didahulukan. Air dari paip boleh terus diminum. Selamat kerana tiada pencemaran. Tiada bahan yang yang merbahaya. Suatu konsep yang berbeza dengan yang difikirkan di negara membangun. Negara yang belum maju. Yang masih mengejar banyak bayang-bayang elusif. Kita di sini air masih belum bersih dirawat. Klorinnya sangat tinggi. Air paip memang tidak layak diminum terus dari paip. Tidak wajar diminum terus begitu sahaja. Bila dibuat air teh tidak terasa tehnya. Air itu jadi birat dan mengeluarkan bau yang tidak enak.

Pihak berwajib di London mengalami pening kepala yang berpanjangan. Sungai Thames sudah terlalu tercemar. Airnya tidak layak langsung untuk diharungi oleh manusia. Tidak layak untuk direnangi. Kotor dan sampah yang mencengkam. Segala kehidupan air musnah sama sekali. Tiada apa yang boleh hidup. Manusia boleh berfikir. Manusia boleh mencari jalan yang terbaik. Keputusan dibuat. Peraturan digariskan. Perundangan digubal. Rakyat diperlukan menyumbang. Membantu. Memahami. Membari komitmen. Maka air kumbahan dirawat dahulu. Sisa dari kilang dirawat dahulu. Yang dilepaskan ke sungai adalah air yang sudah dirawat. Yang bersih. Yang tiada pollutant langsung. Jika ada hanya yang paling minimum. Tidak menambah untuk menjejaskan kualiti air. Prosesnya perlu kesabaran. Mengambil masa yang panjang. Namun usaha yang disegerakkan menampakkan kejayaan. Memberikan impak baik. Sungai Thames mencerahkan airnya. Pencemaran berkurangan. Akhirnya Sungai Thames menjadi bersih. Hidupan air kembali ceria. Merenangi dalamnya. Menyusup di bawah alirannya. Sesungguhnya alam ini untuk manusia. Jika musnah maka musnahlah manusia yang mengharapkan kesinambungannya. Kelestarian manusia itu sendiri.

Selagi orang Malaysia tidak berfikir untuk menjadi positif maka selagi itu kita berhadapan dengan masalah sungai. Pencemaran yang terus berpanjangan. Pelupusan sampah masih di tahap mencuba jaya. Belum ada sistem yang mantap.  Rakyat masih tumpul berfikir. Sungai bukan tong sampah. Longkang bukan tong sampah. Parit bukan tong sampah. Air bukan tong sampah. Banjir  bukan tong sampah. Laut bukan untuk tong sampah. Jika kita tidak menguba sikap maka sampah-sampah itu akan memusnahkan kiga semua. Sumber air akan tercemar semuanya. Malah air hujan bukan lagi bersih. Udara mencemarkannya. Manusia mencemarkan udara. Ke mana lagi untuk kita hidup. Inilah sahaja planet biru (blue planet) yang mengandungi air. Yang boleh dihuni manusia. Satu-satuna tempat yang boleh hidup. Tiada tempat lain. Tolonglah bantu diri kita sendiri. Kita sendiri yang boleh merubah semua ini. Diri kita sendiri. Hati kita. Jiwa kita. Semuanya kita. Tiada orang lain.

Thursday, June 7, 2012

Greenwich Meridian Time: Fakta Yang Banyak Tidak Benarnya

Abraj Al-Bait Towers juga dikenali sebagai Mecca Royal Clock Hotel Tower. Menara kedua tertinggi selepas saingannya di Dubai. Di puncaknya jam terbesar di dunia. Lebih besar dari saingannya di Turkey. Jauh lebih besar dari Big Ben di London. Inilah tanda pusat dunia. Jam sepatutya bermula di sini. Orientasinya perlu dimulakan oleh negara Islam sendiri.  

 

Semua waktu di dunia diset mengikut standard GMT. Greenwich Meridian Time. Greenwich dibunyikan Grinic. Orang British sangat kuat pada suatu waktu dahulu. Empayar mereka terlalu besar. Asia, Amerika, Afrika dan Australasia adalah tanah jajahan mereka. Amerika Utara dan Canada mereka miliki. Hampir seluruh Afrika di bawah genggaman mereka. India jajahan mereka. Begitu juga dengan Malaysia, Hong Kong dan British Surinam di Amerika Selatan. Malah negara Cina yang besar itu pernah berada di bawah cengkaman mereka. Benarkah Greenwich menjadi pusat dunia? Hakikat itu hanya mereka yang mengatakan benar. Islam tidak mengatakannya begitu. Sejarah Islam bermula sejak azali. Sebelum ada apa-apa Kaabah atau Baitullah sudah ada di tempatnya. Struktur binaannya sahaja tidak seperti sekarang. Sewaktu Siti Hajar dan Nabi Ismail dimukimkan di Makkah, Baitullah suadh ada. Telaga Zam-Zam sudah ada. Makkah atau disebut sebagai Bakkah di dalam al-Quran menjadi nadi dan pusat Islam. Semua hati mengarah hadapnya ke sana. Makkah menjadi pusat segala-galanya bagi umat Islam.

Teknologi dan satelit membuktikan bahawa Makkah adalah pusat dunia. Baitullah itu pusat dunia. Kaabah itu pusat dunia. Kita berkiblat ke pusat dunia. Manusia Islam dari seluruh penjuru alam menghadap ke Kaabah kerana itu adalah pusat dunia. Kelicikan British yang mengubah seluruh persepsi manusia yang dijajahnya. Semua orang mendokong persepsi itu. Asalkan bukan Islam semuanya mereka sokong. Hakikatnya ialah GMT bukan penentu waktu yang benar. Greenwich di London bukan pusat dunia. Apabila dilihat dari angkasa yang kelihatan memancarkan cahaya ialah dua tanah haram iaitu Makkah dan Madinah. Makkah lebih bercahaya antara keduanya. Sesiapa yang pernah mengerjakan umrah dan/atau haji tentu perasaan bahawa Kaabah berada di sebuah lembah. Dikelilingi bukit bukau di gurun pasir yang kering kontang pada asalnya sewaktu pada kali pertama Siti Hajar dan Nabi Ismail dimukimkan di situ oleh Nabi Ibrahim. Air Zam-Zam Allah jadikan sebagai penyubur tanah. Penyubur penghuni Makkah. Penyubur agama Islam. Kaum Jurhum yang berkelana setelah Empangan Maarib pecah di Yamen akhirnya menumpang bergabung dengan Siti Hajar dan Nabi Ismail. Itulah bermulanya manusia Arab Quraisy biak di situ.  Mereka akhirnya menjadi pendokong agama Islam yang kedudukannya tetap agung hingga akhir zaman.

Kota yang menjadi tumpuan seluruh umat Islam itu diberi berbagai kelebihan. Itulah pusat tumpuan. Kiblat orang Islam. Bukan Greenwich. Kerajaan Arab Saudi membina jam besar sebagai simbol bahawa Makkah adalah pusat dunia. Jika orang Barat mengganggap GMT itu garis pusat dunia maka semua orang Islam sewajibnya mempercayai bahawa Makkah adalah pusat segala pusat dunia. Mungkin belum sampai mesejnya untuk hal itu terjadi. Banyak yang perlu dibuat untuk membujuk orang Islam supaya percaya bahawa Islam itu memiliki segala-galanya. Tidak lagi perlu bersandarkan kepada yang cuba disalahalih oleh orang British khususnya. Terlalu banyak yang mereka buat tetapi diperakui oleh sekutu-sekutu mereka. Kita tidak lagi tahu tahap kebenarannya. Mereka palu genderang propaganda kita semua menari mengikut rentaknya. Kita semua mengikut dan terus mengikut. 

Di London dibina sebuah jam besar yang namanya The Big Ben. Jam itulah yang dirujuk sebagai aras penunjuk waktu. Ia bermula dari 0 jam. Semua waktu tempatan dirujuk kepada waktu pada The Big Ben. Jika kita sorot semua yang namanya British atau English banyak kerosakan fakta dan kecelaruan fikiran. Paling banyak ialah fakta sejarah. Bayangkan mereka dikatakan membuka Afrika. Bagaimana kita menjawab adanya Firaun beribu-ribu tahun sebelum kedatangan British. Bagaimana orang Barat menemui Amerika sedangkan di sana sudah ada tamadun Mayan dan Aztec. Begitulah mindset manusia diceroboh secara psilogikal. Pusat pemikiran ditumpukan untuk mengangkat tinggi warisan British. Walhal mereka hanya superimpose diri mereka ke atas orang lain. Mereka menumpang secara fizikal tetapi rohnya masih pada orang yang dijajah. Sebab itu semua orang percaya cakap British. Tiada yang benar kecuali British. Orang kita hingga sekarang masih berkepala British. Hatinya British. Lagaknya British. Mimpinya British. Amalannya British.

Amerika Syarikat sudah lama membuang apa sahaja yang namanya British. Hampir sudah tiada lagi. Sistem menulis sudah diubah. Night menjadi nite. Sistem pendidikan diubah seluruhnya. Makanan berubah. Adat kebiasaan beubah. Di Britain tiada Thanksgiving dan Turkey. Tiada Holloween. Ada usaha untuk mengikis semua tinggalan British. Mereka jadikannya American. Soccer mereka jadikan American Football. Campuran antara soccer dan ragbi. Sistem politik juga berbeza. Di Britain ada parlimen. Ada perdana Menteri. Di USA ada presiden. Politik bermula di negeri-negeri dengan Gabenor. Yang lebih tinggi ialah senator. Mereka bersidang di Capitol. Di Washington. British hanya kenangan. Sekarang Britain dipaksa mengikut telunjuk Amerika Syarikat. Britain bukan lagi kepala. Ia menjadi ekor dan pengikut. Amerika Syarikat berjaya mengangkat dirinya melebihi ketinggian Britain. Melebihi kehebatan Britain. Contoh tanah jajahan yang menunggangterbalikkan negara yang menjajahnya.

Sudah sampai masanya Big Ben di London diabaikan. Jam besar di Makkah akan merealisasikan fakta dan kebenaran itu. Menaranya sudah dibina tersergam gagah. Menaranya tertancap tinggi menungkah awan. Dapat dilihat berkilometer jauhnya. Semua negara Islam perlu akur dengan agamanya. Pusat dunia adalah Makkah. Itulah hak dan kebenaran hakiki. Barat harus kembali menerima kenyataan. Sejarah mereka semakin pudar.



Big Ben di London yang selalu dirujuk sebagai penentu waktu. Kelicikan orang British menipu kebenaran.

Walau apapun saya dan keluarga pernah menatapnya. Big Ben di belakang. Menara besar yang menjana tamadun Barat. Mana tahu suatu waktu nanti ianya bukan lagi signifikan. Mungkin tiada siapa lagi yang akan menjamah sejarahnya.

Sukar juga melupakan saat-saat begini. Pada suatu detik masa ada kenangan yang lama terpahat di qalbu. Waktu-waktu indah bagi anak-anak. Dunia menjadi milik mereka. Sesuatu yang tidak mungkin diulang lagi. Saya badikannya dalam paparan sedikit untuk memberi signifikan kepada diri. Masih nostalgik.






Friday, June 1, 2012

Madame Tussaud: Muzium Patung Lilin London

Kita biasa melihat patung-patung yang mengabadikan wira-wira. Ada juga yang mengabadikan tokoh-tokoh. pun begitu ada juga yang mengabadikan ilmuan-ilmuan. Pendek kata siapa sahaja yang ada nama kebarangkalian untuk dipatungkan dirinnya memang biasa di Barat. Di Timur ianya bukan perkara biasa. ada sekatan agama. Ada sekatan adat. Bukan kebiasaan. Jika ada sekalipun patung hanya untuk orang yang sudah tiada. Lain keadaannya di Barat. Banyak nama hebat yang boleh diabadikan. Tempat yang paling unik ialah di Museum Lilin - Madame Tussaud di London. Selalu disebut Wax Museum. Sebut sahaja nama manusia yang pernah disejarahkan ada di situ. Nama yang besar dalam apa bidang sekalipun ada di situ. Dari pemimpin negara dan politik hinggalah kepada selibriti dalam segala bidang. termasuk juga keluarga diRaja. Orang-orang glamour. Mereka yang terkenal dalam hal yang tidka wajar. Kesemuanya dipatunglilinkan.


Sayangsekali jika tiak singgah. Sememtelah sudah berada di London tinjau juga apa yang ada di dalamnya. Namanya sahaja ada istilah museum. Barangkali ada artifak lama. Cebisan sejarah lama. Tidak. Yang ada adalah patung-patung lilin. Di situlah saya menemui Napoleon (France), Hitler (Germany), Idi Amin (Uganda), Stalin (Russia), Queen Elizabeth II dan keluarganya, tokoh-tokoh filem, sasterawan  dan berbagai lagi orang-orang dijadikan terkenal pada zamannya. Itu yang saya dapati bahawa, jika benar ukuran saiznya, saya lebih tinggi dari Napoleon Bonaparte. Manusia kecil yang menggugat Eropah. Pendek kata saya menemui orang-orang yang pernah saya baca sejarahnya. Malangnya hanya lilin yang saya temui. Bukan tubuh sebenarnya. Tidaklah mereka bersuara. Tidaklah mereka menjabat tangan saya.  Tidak adas enyum tawa yang boleh didengar. Mereka dirakam mati tanpa gerak dan geri. Berdiri atau duduk di situ menunggu setia pengunjung yang menjengah. Pelancong yang datangnya dari mana-mana.




Barangkali pada tahun 80an dan 90an Puteri Diana adalah wanita paling dikenali di seluruh dunia. Lebih gah dari ibu mertuanya Queen Elizabeth II. Keayuan dan kelem butannya memikat dan memukau sesiapa saja. Lirikan matanya menikam-nikam. Senyumnya menusuk qalbu. Tinggi dan lampainya kalah model yang bergelar super model. Pakainya selalu menajdi trendy. Rabutnya diabadikan oleh semua orang yang memiliki miripnya. Patungnya di sebelah Queen. Walaupun Queen pernah muda dan pernah cantik, Diana dilihat lebih lagi cantiknya. Sayangnya hidupnya tidak bahagia. Ada sarang duka dan lara ceritanya. Merana kerana kebahagiaan yang tidak pernah kekal lama. Perceraian yang memeritkan. Hidupnya berakhir dengan tragedi bersama Dodi al-Fayed. Hingga sekarang inquestnya tidak pernah jelas. Apa sebenarnya yang terjadi. Apa motifnya.  

Ini patung seorang pelakon Hollywood yang melakonkan watak Kojek. watak keras dan menggerunkan penjenayah-penjenayah. Biasalah orang putih lebih tinggi dari saya. Namun saya masih boleh menyaingi ketinggiannya. Tidak semua orang putih besar dan tinggi. Cuma pada kebanyakan masa begitu gambaran yang dilihat. Jangan risau mereka ramai juga yang lebih rendah dan lebih kecil dari kita. Akhirnya bukan saiz yang penting. Taqwa lebih penting dari yang lain. Kembali kepada Islam tiada tandingan nikmat dan nyamannya.

Masyarakat mereka suatu ketika dahulu. Tidak Islam tetapi menutup aurat. Tubuhnya di tutup lingkup. jejari kaki atau tumit langsung tidak kelihatan. Sayang, kepala tidak ditudung. Jika tidak gambaran Islam tentu terserlah. Yang dipakai hanya topi hiasan. Bukan juga pelindung panas.

Iron Lady. Itulah gelae]ran Margaret Tacher, perdana menteri Britain suatu ketika dahulu. memimpin sebuah negara besar di Eropah mengujaka ramai orang ketika itu. Tinggi orangnya. penuh yakin dengan dirinya sendiri. Boleh mengawal dunia khususnya Commonwealth. Negara-negara bekas tanah jajahan Britain. Diabadikan juga dalam filem. 

Ini imej keluarga diRaja Englang dahulu kala. Pakaiannya yang lavish dan mahal. Mereka hidup penuh kemewahan. Namun di sebaliknya hidup mereka penuh dengan hasad dengki. Penuh dengan fitnah dan umpat keji. Pengkhianatan berlaku dalam keluarga sendiri. yang penting kuasa. Keluarga diRaja England yang mengimposekan kuasanya ke atas Scotland, Wales dan Ireland.

Anak-anak kecil selalu dihidangkan dengan cerita ini. Berzaman-zaman ianya diulang-ulang. Dari nenek kepada anak. Kepada cucu. Kepada cicit. The Sleeping Beauty. Tidaurnya sangat lama. Seorang putera berkuda datang terjumpa. Jatuh cinta pandang pertama. Kucupan azimat kali pertamanya membuka mata si cantik manis. Terjaga dari tidurny ayang panjang. Sumpahan si tukang sihir yang cair kerana sebuah ciuman. Berkahwinlah mereka dan bahagia ever after. Itu ceritanya. Patungnya di atas katil. Bukan di hutan belantara. Patungnya itu dipasang jantung palsu yang bercahaya seiring dengan degupan jantung. Bila kembang berwarna merah menyala. Bila kecut malap sedikit warnanya. Hiduplah patung itu bak puteri yang beradu. Nafasnya naik turun. Wajahnya sangat ayu. Beradunya sesejuk salju.

Rasanya ramai yang mengenal Agatha Christie. Penulis yang prolifik dengan novel penyaisatannya. Bukuna ada di perpustakaan sekolah. Diterjemahkan dalam banyak bahasa. Orangnya dilihat sangat simple. barangkali dalam jasadnya banyak isi untuk dikongsi.



Itulah cerita dari museum patung lilin Madame Tussaud, London. Banyak mengerti dengan melihat patung-patung lilin yang dipamer. Pakaian paling menonjol. Fizikal mereka dapat dilihat. Gambaran dari sejarah manusia. Kepada mereka semuanya boleh. Tiada sekatan mengabadikan kehidupan manusia dalam bentuk apa sekalipun. Itu baru lilin. Banyak lagi yang dibuat dari gangsa. Dari batu. Arca. Lukisan. Sekarang lagilah banyak. Teknologi menukar medium penyampaian kepada khalayak yang ramai dan pelbagai. Nyawa sahaja yang mereka tidak pandai. Mereka mencuba dengan robot. Tidak mungkin menyamai manusia yang memiliki roh dan perasaan. Replika itulah yang paling hampir dapat mereka lakukan.

Speakers’ Corner Hyde Park London


Mengunjungi Hyde Park seperti suatu mimpi. Lama sebelum itu saya dengar tentangnya. Dari guru yang baru pulang. Artikel dan berita mengenainya. Tidak pernah bahawa suatu saat kaki saya berpijak di situ. Di ruang yang sangat bebas untuk berkata apa sahaja. Tiada sekatan. Tiada intimidasi. Seolah-olah kebebasan menjadi sesuatu yang mutlak. Potret ini saksi kehadiran kami di situ. Suatu pengalaman mahal seorang anak kampung.

Kami santai seketika di sini. Entah apa yang ada di minda anak-anak kecil saya ketika itu. Kebebasan buka apa-apa kepada mereka. Mereka mendapatnya tanpa diminta. Tanpa disekat. Hanya orang dewasa yang inteleknya tinggi selalu menagih kebebasan. Kebebasan untuk berkongsi fikir. Berkongsi kehendak. Berkongsi keadilan. Berkongsi hidup yang saksama.


Suatu ketika dahulu di Universiti Malaya Kuala Lumpur terdapat sebuah ruang di hadapan pintu besar perpustakaannya. Hanya suatu ruang. Di ruang itulah ramai pelajar mengasah bakat dalam pengucapan awam mereka. Mereka berpidato. Berapi-api. Berbagai tajuk yang digarap. Cuba diketengahkan. Cuba mengusik hati. Cuba meggegar psikologi. Anak-anak muda di menara gading selalu ideal. Mereka selalu merasa mereka banyak tahu. Kerana itu mereka cuba menjadi dewasa. Menjadi juara. Membina realiti dari sesuatu yang selalu hanya kebarangkalian. Cerita sedikit yang menjadi besar. Menjadi idealisma. Namun suasana tidak mengizinkan. Iklim tidak membenarkan. Dalam dunia kita, kebebasan bersuara itu belum ada. Di parlimen sekali pun ada yang bersuara, ada pula yang mengganggu. Kebebasan bersuara tidak ada. Ramai pemimpin yang lahir dari speakers’ corner di UM itu. Sayangnya sewaktu saya sampai memulakan pengajian saya pada tahun 1975 sudut pidato itu sudah lengang. Ada larangan menggunakannya. Tidak ada lagi ruang bercakap tanpa had. Tanpa sensitiviti. Without fear. Nampaknya ada juga usaha untuk mewujudkannya di IPT namun terlalu ramai yang teragak-agajk. Kita selalu fobia dengan kritikan. Keterbukaan yang payah luasnya. Payah besarnya. Payah bebasnya.

Sudut pidato yang paling terkenal di dunia rasanya tetap di Speakers’ Corner di Hyde Park, London.  Di situ sesiapa sahaja boleh bercakap. Hanya dalam ruang itu. Ruang lingkup yang sangat kecil. Bebas untuk warga dunia. Bebas untuk siapa sahaja. Jun 1986 saya berada di ruang bebas itu. Saya jejak buminya yang bebas itu. Sesiapa sahaja boleh berada di sana. Tiada sekatan. Tiada halangan. Tiada apapun yang boleh menajdikan saya terasing di ruang yang gah dengan namanya. Kebebasan merpati putih yang selalu terbangnya sangat bebas. Bebas pergi dan bebas pulang. Bebas hinggap di mana kaki tersentuh. Layang dan terbang yang sama menurun dan menerpa angin tinggi. Beburung yang tiada mengenal tepi dan tinggi. Apatah lagi jauh. Semua ruang lapang untuk bebas menerawang segala ruang. Matanya luas menerawang segala yang boleh dipandang. Dalam ruang bebas itu ramai yang melepaskan apa sahaja yang terbuku di hati. Simpulannya dibuka dengan kata-kata. Kegeraman yang dilemparkan dari hati dan perasaan. Mencari kedamaian yang dipindahkan kepada orang lain. Tiada yang disimpan sendiri. Dikongsi untuk yang sama tahu.

Apa yang selalu tidak bebas pada manusia? Hanya fizikalnya. Penjara yang selalu menyekat pergerakan. Tembok tinggi yang sukar dipanjat. Yang mensesiakan usaha. Tembok tebal yang selalu membendung. Tembok keras yang tentu tidak mudah cair. Tembok kaku yang tidak ada belasnya. Tembok sejuk yang selalu tiada panasnya. Namun tembok bukan penghalang. Bukan penyekat mutlak. Bukan pembendung abadi. Allahyarham Hamka dipenjara bertahun-tahun. Dilingkungi tembok batu yang sejuk, keras, kaku dan tiada sayu. Dari tembok itu lahir Tafsir Azhar yang tebal berjilid-jilid. Menjadi rujukan besar pengamal agama. Yang dekat dengan Allah. Begitu juga dengan Ibn Taimiyyah yang usianya tamat di penjara. Tetapi namanya terbang. Tinggi. Semangatnya menerobos pencinta agama. Besar dan gah. Gemilang selalu. Penjara tidak menjerut kehebatan. Setengah orang menjadikan penjara ruang bebas untuk bersuara dari dalam. Melepasi tembok tinggi dan tebal. Sejauk dan kaku.

Begitu juga dengan Imam Hanafi. Imam Malik. Penjara bukan asing kepada pencinta Allah dan RasulNya. Kepada pencinta agama. Kehebatan nama manusia yang dicintai Allah tetap besar dan gah. Tetap besar dan terbilang. Tetap meniti di bibir mulut. Ilmunya menyebar. Ideanya melewati segala dinding. Saran dan cadangnya melebar ke seluruh alam. Saya teringat Nelson Mandela di Afrika Selatan.  20 tahun di penjara tidak melunturkan semangat dan idealismanya. Apabila aparteid terhapus ia bebas menjadi pemimpin negara yang memenjarakannya. Sesungguhynya manusia hanya boleh terpenjara jasad fizikalnya. Yang dipenjara langkahnya ialah kakinya. Yang tersekat untuk menggapai ialah tangannya. Yang dilindung untuk melihat ialah matanya. Yang tersekat untuk menghidu ialah hidungnya. Yang terhalang untuk mendengar ialah telinganya. Yang tiada lagi untuk dijamah ialah deria sentuhnya.

Tidak mungkin seluruh diri manusia itu dipenjara. Mindanya bebas bak alam luas. Mata hatinya pergi jauh ke mana sahaja boleh terbang. Rohnya ke mana sahaja bila ada tidur dan mimpi. Siang atau malam bukan sekatan apa-apa. Bibir dan lidah masih bebas berbicara. Berbicara secara intra-personal. Dengan tembok. Dengan ruang. Dengan angin. Dengan segala anggota tubuhnya. Mindanya masih boleh mengingat segala yang dicerita dari hati. Dari bibir dan lidah. Begitulah ungkapan mereka yang teraniaya. Kau hanya boleh memenjara fizikalku, tetapi kau tidak boleh memenjarakan fikiranku. Ideaku. Idealismaku. Malah kecintaaku tidak pernah boleh dirobek. Penjara bukan penyekat. Peraturan tidak pernah menyekat kebebasan. Undang-undang tidak boleh menyekat kebebasan. Setiap yang hak adalah bebas asalkan tidak melanggar syariat. Tidak melanggar adat yang bersandarkan syariat. Asalkan tidak melanggar norma dan kebiasaan. Asalkan tidak melanggar undang-undang yang adil. Yang saksama. Ada hemah dan sopan.

Semakin manusia melampaui zamannya semakin pula banyak alternatif bersuara. Terlalu banyak media untuk membebaskan suara. Speakers’ Corner seperti di Hyde Park bukan lagi pilihan. Tiada anak muda di situ. Tiada mereka yang terlalu ideal berada di situ. Pengalaman kadang-kadang seperti melucukan. Saya melihat rabi dan paderi dengan jubah hitam mereka. Dengan bible di tangan. Menyeru kepada agamanya. Semua yang disapa hanya berlalu tanpa henti. Tanpa menjeling. Tanpa minat walau sedikit. Agama bukan lagi tarikan manusia. Idealism seperti dokongan Socrettes sudah tiada. Sekularism sudah terlalu seru menjauhkan manusia dari agama. Tiada lagi ikatan kuat. Tiada lagi falsafahnya yang dituntut. Agama di barat sudah terlalu menipis. Terlalu cair. Manusia ramai yang atheis. Tiada tuhan untuk mereka. Di Malaysiapun agama selalu menjadi bahan yang kering. Layu dan sayu. Walaupun ada pihak yang mengimarah dan memartabatkannya, ada juga yang meruntuhnya. Yang mencairkannya. Mereka manganggap agama hanya sesuatu yang dogmatik. Bukan dianggap sebagai realiti. Kita semakin dangkal. Semakin hilang arah. Jalan lurus itu dilihat terlalu bengkoknya. Padahal yang bengkok adalah mata diri yang melihatnya. Demikianlah jika pendidikan agama selalu dipinggirkan. Jalan ke akhirat selalu tidak dilihat. Jalan ke syurga selalu tidak dinampak.

Pun begitu rabi dan paderi di Hyde Park tetap berdiri di situ. Mencuba dakwah yang tiada sambutannya. Kritikan sosial juga bukan lagi menjadi penting. Tiada sesiapa yang terlalu ghairah untuk mengikutinya. Selalunya orang tidak kisah dengan apa yang berlaku kepada orang lain. Masalah orang bukan masalah kita. Selagi tidak kena batang hidung sendiri maka itu bukan masalah diri sendiri. Biarkan orang lain dengan masalah mereka. Hidup nafsi nafsi. Apa yang saya lihat di Hyde Park menjadi lumrah di mana-mana. Topik politik menjadi selalu hangat. Ramai yang berminat. Ramai yang mengikutinya dengan teliti. Di Barat tiada sekatan bercakap. Tiada halangan apa sahaja topik yang hendak diungkapkan. Mereka boleh mencerca Queen dan keluarganya. Mereka boleh mencacai Perdana Menteri mereka. Boleh sahaja menjadi bahan lelucon. Pasti ramai yang ketawa. Di USA, mereka bebas berkata apa sahaja tentang Presiden Obama. Semua presiden mereka maklum akan perkara itu. Menjadi presiden atau perdana menteri bukan keistimewaan. Ianya suatu tanggungjawab. Suatu komitmen. Kesilapan mereka mendapat teguran kanan dan kiri. Hadapan dan belakang. Atas dan bawah. Tidak mengguris mereka. Tidak mencalarkan mereka. Tidak mengusik hati mereka. Sangat terbuka menerima kritikan. Lumrah kepda mereka. Jika diamati sangat Islamik. Dalam Islam makmum boleh menegur imam. Menjadi wajib jika kesalahan imam itu membatalkan solat. Jika imam tidak mahu ditegur, maka makmum perlu mufaraqah. Itu perkara ibadat. Perkara solat yang menjadi tiang agama.

Saya teringat sewaktu Sayidina Umar dilantik menjadi khalifah. Ia menyeru sahabat-sahabat supaya menegurnya jika ia membuat kesilapan. Bukan jawapan lisan yang menjadi reaksi harapan Umar. Sebaliknya seorang sahabat menghunus pedangnya sambil berkata bahawa sekiranya Umar menyeleweng pedangnya itu yang akan memenggal leher Umar. Itu kata rakyat kepada khalifahnya. Kepada pemerintahnya. Kepada imamnya. Kepada ketuanya. Umar bukan calang-calang sahabat. Syaitan takut kepadanya. Semua musuh gentar mendengar namanya. Sahabat masih lagi tidak takut menegakkan kebenaran. Menegakkan hak. Sesungguhnya Islam itu penuh dengan nasihat. Nasihat menasihati adalah kunci kebaikan bermasyarakat supaya semuanya selari dengan tuntutan syariat. Sentiasa menegakkan yang hak. Membuang yang batil. Kerana itu angin lalu seperti yang diungkapkan pujangga lama sudah berubah wajah. Orang dahulu berkirim salam di angin lalu. Manusia meneroka angin itu. Yang ditemui ialah gelombang yang boleh menghantar mesej. Menghantar berita. Menghantar gambar dan imej. Teknologi telah merubah segalanya. Bendungan telah pecah di mana-mana. Manusia tidak lagi terpenjara kecuali fizikalnya. Syu Ki akhirnya bebas juga. Mindanya telah lama bebas. Bicaranya telah lama terlepas keluar dari rumahnya. Nobel Prize menjadi miliknya. Pejuang kebebasan. Suaranya berada di luar rumah tahanannya. Dunia mendengarnya.

Kebebasan itu bak burung merpati yang keluar dari sarangnya. Terbangnya jauh. Hinggapnya tinggi. Tinjaunya meluas laut. Burung yang di dalam sangkar enak mematuk makanan dan menyedut minuman. Segalanya percuma. Ia menyanyi riang. Suaranya tetap keluar juga. Didengar orang. Didengar beberung lain. Pemilik sangkar yag semakin tua. Semakin lupa dan semakin lalai. Sampai masanya ia tidka lagi larat menutup pintu sangkar. Tuanya semakin nyanyok. Kealpaan yang datang menerjah. Keselesaan yang membuai lalainya. Akbhirnya sangkar itu terbiar bebas. Beburung terbang mencari bebasnya. Nyanyinya semakin riang. Ceritanya semakin banyak. Kebebasan ada di mana-mana. Penjara atau sangkar hanya memenjara fizikal. Tidak hati. Tidak minda. Tidak mata hati. Tidak juga semangat dan kehendak yang banyak. Tidak. Sesungguhnya kebebasan itu ada di mana-mana. Kita yang mentafsir dan menterjemahkannya. Terima kasih penjaga sangkar yang sudah tua. Terima kasih kerana akhirnya kau tidak lagi terpenjara aku. Selamat tinggal sangkar. Aku ingin hinggap di kehijauan yang merata di mana-mana. Yang dulunya tidak ku lihat kerana sempit sangkarku. Dunia dan teknologi sudah terbuka. Akan ku nikmati kebebasan ini. Nanti akan ku terjemahkan dalam sinaran cahaya yang lebih terang. Biar tumpah di bumi bertuah ini.

Kebebasan ada di mana-mana. Carilah ruangnya. Perhatikan peluangnya. Amati natijahnya. Membebaskan minda lebih mudah dari membebaskan fizikal yang terpenjara. Buka hati. Buka mata hati. Psikologi diri perlu diperkukuhkan. Hanya itu yang membebaskan diri dari terpenjara dengan segala hal yang bukan sewajarnya. Kesemua deria kita bebas sebebas-bebasnya. Belajarlah untuk menggunakan manfaatnya. Semua yahg Allah ciptakan tiada yang sia-sia.