Memang pasti tidak sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Mereka yang berilmu banyak tahunya. Mereka yang kurang berilmu banyak terpanar dengan maklumat. Orang berilmu pandangannya jauh. Akalnya panjang sukar disukat. Wawasannya terkehadapan. Jalan fikirnya melampaui kebiasaan. Yang dilihat bukan yang di hadapan mata. Tetapi fokusnya ialah apa yang tidak kelihatan. Lebih payah dan kabur lebih banyak yang difikirkannya. Biasalah kit ahanya membicarakan perkara-perkara yang remeh. Perkara yang tidak berimpak tinggi. Perkara yang dikategorikan sebagai mengumpat sahaja. Ala kadar yang ridak ke mana. Kerja sia-sia yang langsung tiada manfaatnya. Yang diperolehi pastinya hanya dosa dan ramai musuh. Yang pastinya juga syaitan menjadi sahabatnya yang paling akrab. Mengadu domba memang kerjanya.
Kita ada 24 jam. Ada yang berfikir 24 jam tidak pernah cukup. Namun ramai mengatakan dia tidak ada masa. Mereka yang menggunakan masa masih banyak masa yang terluang. Masih banyak masa yang dimanfaatkan. Masih banyak detik-detik bernilai untuk bermujahadah. Untuk memperhambakan diri kepada Allah. Untuk berbahagia dengan keluarga. Untuk bermesra dengan jiran. Untuk bergaul dengan sanak saudara. Untuk bermanfaat dengan ummah. Mereka yang tahu masa dan gunanya sentiasa ada ruang untuk menggunapakai masa yang ada. Sedikitpun tidak terbuang. Tiada yang ditiriskan. Tiada yang dipinggirkan. Masa yang datang dinanti. Sentiasa dibahagi. Diisi dengan pasti. Malah dalam kebanyakan masa ia tidak sabar menunggu. Lalu masa yang ada dimaksimumkan penggunaaannya. Malah seolah-olah masa yang ada menjadi panjang. Menjadi banyak manfaat. Menjadi suatu ruang bebas untuk bergerak. Untuk berkarya. Untuk beribadat. Untuk menuntrut ilmu.
Lihatlah orang kelling yang dilihat sibuk. Yang selalu mobilitinya sangat tinggi. Yang diamati tiada diamnya. Dirinya terurus. Anak pinaknya terurus. Rumahnya terurus. Kesihatannya terurus. Kerjanya terurus. Malah ia mampu membuat banyak kerja lain yang bagi orang lain hanya metos dan dongeng sahaja. Orang jenis ini fizikalnya berkesihatan tinggi. Tenanganya melimpah-limpah. Tidak pernah statik duduknya. Jalannya penuh dengan fikir. Duduknya penuh dengan perancangan. Tidurnya penuh dengan mimpi yang menerawang jangkaan-jangkaan masa hadapan. Biasalah manusia ada yang banyak cakap tetapi tak serupa bikin. Ada orang yang kurang cakap tetapi banyak bikin. Tetapi antara keduanya kita idamkan orang yang banyak cakap dan banyak bikinnya. Beramal dan mengajar. Membimbing dan memberi nasihat. Mengerjakan yang hak dan mencegah yang bathil. Melebihkan ma’ruf dan menolak fasad. Meninggalkan yang mungkar.
Pada lidah kita ada 18 huruf. Huruf Arab 28 kesemuanya. 18 berada di lidah. Hanya 10 huruf pada anggota yang lain iaitu kerongkong, hidung, rongga dan kedua bibir. Memang lidah anggota yang paling banyak dikaitkan dengan pertuturan. Darinya datang lidah bercabang. Lidah tidak bertulang. Deria rasa ada di situ. Masin, manis, masam, pahit, maung semuanya pada lidah. Keenakan makan dan minum pada lidah yang lembut tidak bertulang. Namun pada kelembutan itu banyak tugas yang wajar disempurnakan. Guru bergantung kepada lidah. Mengajar pastinya dengan kata-kata yang dituturkan. Tukang masak yang mahir juga bergantung pada lidah. Hidangan yang disajikan hendaknya cukup rasa. Lidahnya yang berbicara mengesan rasa. Bibir kita yang merekah merah bak delima pastinya pecah dan kering jika tidak dibantu dengan lidah yang basah. Yang menjelir dan memalit bibir. Sesungguhnya pada lidah banyak kata-kata. Kita hindarkan yang negatif. Yang menyakiti orang lain. Yang tidak menepati syariat. Gunakan lidah untuk segala kebaikan yang mungkin.
Lidah oh lidah! Lidah sebagai lidah manfaatnya terbatas jika tidak dibantu dengan yang lain. Yang perlu. Yang fardhu. Yang wajar. Lidah menjadi cemerlang jika yang lahir dari tuturnya ialah pengajaran, iktibar, nasihat, bimbingan dan berisi padat dengan fakta dan maklumat. Untuk ke situ tentulah kita kena menuntut ilmu. Kita kena belajar. Kita kena mengamati. Kita kena menyelidik. Kita kena membaca. Kita kena mendengar. Kita kena banyak bertanya. Kita kena banyak berhujjah. Kita kena meneroka. Kita kena menjelajah. Kita kena membuka minda. Membuka hati. Membuka perasaan. Membuka psikologi kita. Mengagendakan diri untuk bergelumang dengan ilmu adalah suatu kewajaran yang selalu diabaikan. Apatah lagi dalam kehidupan kita yang selalu banyak dengan hedonism. Agenda hiburan yang tidak sudah-sudah. Semakin ditegur semakin galaknya. Hiburan menjadi nadi yang membunuh. Darah Islam yang menjadi tersekat kerananya. Hiburan tentu sekali menyingkir zikir. Senikata lagu yang meminggir doa. Khusuk dengan hiburan hingga melupakan Yang Khaliq.
Hidup mesti beragendakan ilmu. Kadang-kadang terbit kerisauan di hati kerana terlalu banyak yang tidak diketahui. Kita wajib ambil tahu untuk mengetahui. Untuk menjadi orang yang mengetahui. Untuk menjadi orang yang layak memberitahu. Untuk dapat meneruskan hidup yang penuh berencana. Yang cuba melihat telus jauh menelusuri masa hadapan yang memangnya tidak pasti. Benar esok atau lusa kita tiada lagi. Sebelum sampai masanya beruntunglah bagi mereka yang masih betah mencari ilmu. Menimbanya manfaatnya. Memindahkan kepada orang lain. Mentarbiahkan yang ditinggalkan. Bukankah nanti ia menjadi amal jariah yang berpanjangan. Nasihat yang berguna. Ilmu yang bermanfaat. Ajaran yang tidak menyesatkan. Ilmu banyak sangat gunanya. Tidak pernah ilmu yang bersandarkan kebenaran meyesatkan. Tidak juga merosakkan. Malah tidak menjadikan pemiliknya jadi miskin papa kedana. Yang pastinya mereka yang berilmu dan bermaklumat darjatnya sentiasa tinggi. Martabatnya di atas. Letaknya tidak sama dengan orang lain.
Kuncinya ialah masa. Masa yang nilainya emas. Jadual yang terancang. Waktu yang tidak disenggangkan. Usaha yang selalu padat dengan iltizam. Islam itu hebat dunia dan akhirat. Tentunya ironis melihat orang Islam lemah dalam semua bidang. Ilmunya menjadi terbatas. Maklumatnya selalu terkandas. Hujjahnya dangkal. Fikirnya singkat. Berkata sesedap mulut. Tidak pula sesedap fikir. Rencananya selalu pada yang dekat. Mengatasi masalah yang tidak pernah sudah-sudah. Tidak dapat menghindar kemungkinan-kemungkinan yang datang menerpa. Mana boleh selalu terantuk baru tengadah. Tengadahlah dahulu sebelum terantuk. Ilmulah yang selalu menjadikan kita tengadah. Jangan berdoa untuk selalu terantuk. Orang kita terlalu berserah hingga tidak dapat membezakan qada’. Tidak tahu di mana qadar. Berserah pada nasib bukan agenda kita. Belajarlah selagi umur masih ada. Selagi nafas masih ada turun naiknya. Selagi nadi berdenyut.
Tua bukan isu. Miskin bukan isu. Tidak pandai bukan isu. Tiada peluang bukan isu. Jika kita mengagendakan ilmu kita akan menemui usia yang tidak pernah tua. Usia yang sentiasa menunduk bukan kerana tua. Menunduk kerana sarat berilmu. Tutur kata tidak perlu banyak. Cukup apa yang ada. Penuh berisi. Padat dengan hikmah. Kaya dengan ilmu walaupun tidak kaya dengan harta dan wang ringgit. Sesungguhnya ilmu memberi kekayaan. Akalnya panjang. Fikirnya banyak. Helahnya berselang dan bersilang. Usahanya terbilang. Peluang sentiasa datang menjengah kita walau apapun diri kita sebenarnya. Cari peluang itu. Tidak mungkin ianya datang sendiri. Melayang sendiri. Jatuh sendiri. Yang tidak pandai bukan bermakna harus terus tidak pandai. Kepandaian banyak yang boleh dipelajari. Ditekuni. Disantuni. Menjadi orang yang tidak tahu tidak menambah nilai diri. Tidak tahu menjadikan ia jatuh ke bawah dasar. Orang semua di atas kita di bawah. Yang tua memperkukuh falsafah hidup. Kualiti yang semakin meninggi. Yang muda menambah nilai diri. Memperaga segala kemampuan sebagai manusia. Yang sibuk meninjau ruang dan peluang untuk disisi dengan kewajaran.
Ilmu wajar diagendakan. Semua rumah perlu ada perpustakaan. Ada sumber rujukan. Ikutlah apa bidang sekalipun. Yang penting ada rujukan. Bagi yang baru berumahtangga fasa ini tidak lama. Setahun dua anak akan berderet. Mulut mereka perlu disuap. Yang lebih penting minda mereka perlu diasuh. Akal mereka perlu diperpanjang. Rohani mereka perlu diperhalusi. Al-Quran dan hadith perlu ada. Tafsir perlu ada. Buku dan majalah perlu ada. Kamus perlu ada. Maaf, majalah hiburan tidak perlu dibeli. Tidak perlu ada. Jangan dijadikan simpanan. Ia bukan rujukan. Nilainya terlalu nipis. Cukup ditinjau di kedai buku. Ilmu dan maklumat bila dibaca, kekal di minda. Menjana pemikiran yang progresif. Yang kreatif. Sekurang-kurangnya inovatif. Hiburan hanya dibaca sepintas lalu. Tidak ada yang perlu diingat kembali. Lainlah mereka yang mengambil bidang seni sebagai profesion. Menjadi pensyarah seni. Menjadi pelajar seni. Menjadi penyelidik seni. Itupun mereka memgambil yang hakikat. Yang berat untuk dipedebat. Untuk dijadikan juadah minda supaya sarat berfikir untuk memajukannya tanpa mudarat.
Untuk berilmu banyak yang perlu dilakukan. Masa. Wang ringgit. Kemahuan. Kemampuan. Intelek. Sikap. Falsafah. Ilmu bukan sekadar apa yang mudah. Ada objektif yang berjangka pendek dan panjang. Yang berwawasan. Ramai orang yang ingin jadi orang biasa-biasa sahaja. Yang cukup-cukup sahaja. Percayalah dalam dunia yang penuh mencabar sekarang ini hanya mereka yang memiliki kelebihan dilihat orang. Dipandang orang. Diberi nilai tambah yang melebihi orang lain. Menjadi orang biasa bukan agenda yang perlu diteruskan. Selangkah demi selangkah kita haruis bergerak memperkasa diri. Tidak ada ruginya memperhamba diri untuk mengetahui. Untuk lebih baik dari orang lain asalkan untuk memberi manfaat kepada orang di sekeliling. Cari masa yang sesuai untuk menapak dengan ilmu. Memperbanyak ilmu. Peruntukkan sedikit dari pendapatan untuk dibelanjakan demi ilmu. Saya kira pencarian ilmu tidak pernah meletihkan. Tidak pernah memberi mudarat. Tidak pernah memiskinkan orang yang mencarinya.
Alangkah indahnya mati dalam belajar. Ungkapan seperti itu sukar difahami. Cuba lihat sekeliling. Kita selalu menziarahi saudara mara dan teman-teman yang sakit. Yang uzur. Kebiasaan kita hanya berbual. Banyak bertanya kepada yang sakit. Payah menjawab kerana sakitnya. Kita yang bertandang banyak sangat bertanya. Tidak perlu sebenarnya yang sakit ditanya bual. Yang sebaiknya waktu itu dihidangkan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Membaca kitab-kitab yang sarat dengan nasihat. Yang membicarakan ilmu. Orang kita banyak silapnya. Hanya yang nazak sahaja dibacakan al-Quran. Lebih-lebih lagi surah Yasiin. Kenapa tidak diagendakan supaya ziarah itu dengan bacaan al-Quran. Yang canti bertajwid. Yang tartil. Dengan lantunan suara yang lembut menusuk. Yang mendamaikan yag sakit. Tidak perlu memberi bahagia kepada yang sakit. Ketika itu jika bafasnya berakhir maka matinya dalam belajar. Dia sedang diajar oleh orang-orang yang menziarahinya. Tukarlah wajah kita semasa berhadapan dengan orang sakit. Tukar agenda ilmu hingga ke liang lahad.
Lihatlah sekeliling kita. Orang yang berilmu semuanya beragenda. Hidupnya penuh dengan agenda. Mukanya berseri. Ada kepuasan. Ada kebahagian. Mengetahui adalah seumber kebahagiaan. Jenuh orang mencari bahagaia dengan harta. Yang nyatanya mereka dapati kebahagiaana harta itu ilusif. Selalu menjauh. Ilmu sahaja yang boleh mendamaikan. Banyak persoalan dapat dijawab. Banyak kontroversi yang dapat didamaikan. Banyak diskusi yang boleh dicambah. Tiada topik yang tidak boleh dibicara. Garapan minda orang yang berilmu melaut luasnya. Melangit tingginya. Bercapah cabang-cabangnya. Tidak ada yang mendatar memanjang. Semuanya tinggi dan dalam. Memahami apa yang orang sukar mendapatnya. Mencari ilmu untuk manfaat diri dan orang lain. Untuk manfaat ummah. Untuk manfaat sarwajagat. Semoga ianya disebarkan untuk suatu jihad yang memanjang. Usia selalu terbatas ajal. Ilmu terus kelangsungannya berabad-abad. Carilah ia kerana ilmu memberi barakah. InsyaAllah, kerana Allah.
No comments:
Post a Comment