Monday, January 24, 2011

Di Sini Tidak Ada Budak-Budak

Waktu mula-mula sampai terasa sunyi benar Pittsburgh. Saya tidak melihat kanak-kanak. Saya menjangkakan mungkin mereka tidak ada anak-anak kecil lagi. Seperti di beberapa negara di Eropah tidak ramai yang inginkan anak. Kerajaan memberi hadiah bagi mereka yang melahirkan anak. Berlainan dengan di negara-negara membangun, kadar kelahiran memang tinggi. Kalaulah ada elaun bersalin rasanya hospital kerajaan dan swasta tentu tidak cukup tangan menerima kelahiran. Di Pittsburgh keadaan itu terlalu ketara. Sunyinya lain dari yang lain. Saya sudah biasa dengan kebisingan anak-anak. Di Malaysiapun memanag ramai kanak-kanak. Setiap masa boleh mendengar suara mereka. Bila sampai di Pittsburgh saya terasa benar sunyinya.

Menjelang spring sudah mula kedengaran suara kanak-kanak. Dari mana mereka datang? Saya tercari-cari jawapannya. Semakin medekati summer, keadaan menjadi semakin riuh rendah. Ramainya kanak-kanak rupanya. Di mana mereka semasa winter dahulu? Itulah sebabnya jauh perjalanan banyak pemandangan. Lama hidup banyak dirasa. Di negara-negara beriklim sederhana dan sejuk, ada budaya dan gaya hidup yang jauh tidak sama dengan cara kita. Anak-anak kita tiada sekatan musim. Tiada sekatan iklim. Sehingga mereka tidak kenal malam. Tidak kenal waktu belajar. Lepas bebas seolah-olah tiada apa-apa agenda untuk belajar. Untuk sekolah. Untuk menjadi orang pandai. Untuk mencari bekal membina kerjaya.

Di US umpamanya, dari fall hinggalah spring mereka bekerja. Yang kanak-kanak pula mereka belajar. Semasa winter semua rumah ditutup rapat. Mana-mana ada lubang walaupun sebesar jarum perlu disumbat dengan apa sahaja yang boleh. Oleh itu ada bahan yang boleh digunakan dengan mudah untuk menyumbat sebarang lubang atau rekahan pada dinding rumah. Sekecil-kecil lubang boleh membawa kedinginan yang mengancam. Every small fissure must be sealed. At all cost. Maka apabila rumah kesemuanya bertutup rapat tidaklah kedengaran apa-apa suara kanak-kanak. Di dalam rumah sebenarnya bising dan bingit dengan suara mereka. Hanya ibu bapa sahaja yang mendengarnya. Orang di luar tidak tahu mereka ada atau tidak.

Lagipun kanak-kanak bersekolah dari pukul 9.00 pagi hingga pukul 3.00 petang. Hanya ada satu sesi sahaja. Tidak mengira di mana sekolah itu. Yang ada hanya satu sesi. Baik di kampung. Baik di Bandar besar. Waktu petang mereka di rumah. Terutamanya pada musim winter. Kanak-kanak tidak digalakkan berada di luar rumah. Sejuk boleh mendatangkan selsema, demam atau apa sahaja sakit yang disebabkan sejuk.

Bila musim berganti, kemunculan kanak-kanak juga berubah-ubah. Jika pada musim winter, mereka terkurung di dalam rumah, pada musim summer lain pula ceritanya. Pada pukul 9.00 malam mereka masih berkeliaran. Bermain seperti tidak puas-puas. Kenapan ya? Pukul 9.00 malam masih cerah. Masih belum maghrib lagi. Masih siang terang tang tang. Jika winter pula berlainan keadaannya. Pukul 4.30 petang sudah malam. Waktu summer pukul 9.00 belum malam. Kanak-kanak seperti mengatur kehidupan mereka sendiri. Winter duduk rumah. Summer mainlah sepuas-puasnya. Lagipun sekolah cuti. Santai selama kira-kira tiga bulan. Pada waktu inilah mereka melakukan aktiviti outdoor. Menyatu dengan alam.

Bila diingat kembali, peredaran musim ini tidak habis-habis boleh diceritakan. Terlalu banyak kreativi orang putih. Ada sahaja yang dimanfaatkan pada musim-musim yang berlainan itu. Winter lain agendanya. Spring lain. Summer lagilah lain. Fall juga lain. Pada pengamatan saya summer adalah musim yang paling menggilakan orang barat. Calang-calang orang Asia berpinar mata melilau kerana terlalu silau. Banyak pandangan yang menyilaukan. Tidak dapat dielak. Ada di mana-mana. Nantilah saya ceritakan. Bagi yang belum pernah ke negara maju, ianya info berguna. Tidak dapat dilihat di sini. Sekadar mengambil iktibar. Kita mengambil yang baik dan membuang yang tidak baik.

Setiap kejadian Allah semuanya baik belaka. Tidak ada yang tidak baik. Tetapi manusia memilih yang lain dari yang digariskan kebaikannya. Mereka mencari yang berbeza. Semuanya atas dasar kebebasan. Keterbukaan. Hiburan. Santai melampau. Itulah bahayanya falsafah barat. Arah tujunya menjadi hedonism. Tiada lain fokusnya melainkan keseronokan. Lebih-lebih lagi physical pleasure tanpa batas. Seeking and seeking. Kebobrokan di mana-mana. Tetapi wahai pembaca, nanti dulu. Jangan buat kesimpulan melulu. Ad hal-hal yang masih membatasi mereka.

Pada zahirnya mereka lepas bebas. Itu gambaran melalui filem. Melalui TV. Melalui buku dan majalah. Melalui video dan internet. Realitinya mungkin tidak begitu. Masih ramai ahli masyarakat mereka yang konservatif. Masih merujuk kepada agama mereka sebagai panduan hidup beragama. Menjaga moral. Menjaga kemanusiaan mereka. Kadang-kadang saya melihat orang kita di Malaysia, maaf orang Melayu, lebih barat dari orang barat. Mereka tidak tahu bahawa yang dipaparkan dalam filem, TV dan video itu adalah the world of make belief. The magic of movie world. Bukan realitinya secara hakiki. Malangnya itu yang mempengaruhi orang kita sehingga tidak langsung mengkaji benar atau tidaknya. Ambil tanpa usul periksa. Akibatnya rosak budaya. Rosak agama. Rosak keluarga.

Itulah sebabnya belajar itu penting. Ilmu itu penting. Denganya amal itu dengan ilmu. Budaya ikut-ikutan bukan prinsip Islam.

No comments:

Post a Comment