Monday, January 24, 2011

Mencari Rumah

Di Oakland kebanyakan rumah dimiliki oleh orang luar. Maksud saya bukan orang putih Amerika tulen. Setengah pemiliknya adalah imigren Korea Selatan, Arab Syria atau Lebnon, Turki dan sebagainya. Ada sesuatu yang menyulitkan pemikiran saya. Pada dasarnya orang di USA sukakan kanak-kanak. Bila bertemu di jalanan, mereka menyapa, sentuh kanak-kanak, tanya namanya, usianya dan bermacam-macam lagi yang ingin diketahui. Tetapi bila kita hendak menyewa rumah mereka, soalan pertama yang ditanyanya ialah, “Do you have kids? How many of them?” Bagi mereka yang anaknya melebihi dua orang sukar menyewa rumah. Saya pula lima orang. Pening pening. Kena cari helah. Cari akal.

Kebanyakan rumah ada tiga bilik. Mereka benarkan dua orang anak sahaja. Kenapa ya? Orang Malaysia mungkin tidak faham. Bukan amalan kita. Bukan budaya kita. Sebenarnya senang sahaja jawapannya. Bilik utama untuk ibu dan ayah. Dua bilik yang lain untuk seorang anak setiap satunya. Dari kecil lagi mereka dididik supaya berdikari. Hidup sendiri. Cari akal sendiri. Cuba selesai masalah sendiri. Nanti besar tidak menyusahkan orang lain. Hatta ibu bapa sendiri sekalipun. Itulah falsafah mereka. Individualism. Existentialism. Lagipun orang putih tidak suka penyewa yang ramai anak kerana ditakuti anak-anak itu menconteng tembok. Menulis itu dan ini di tembok. Merosakkan peralatan yang menjadi kelengkapan dan lekapan rumah. Rumah-rumah di US disewakan dalan keasdaan fully furnished. Semuanya ada. Katil dan tilam ada. Almari pakaian ada. Dapur gas ada. Oven ada. Peti ais ada. Meja makan ada. Settee ada. Lengkap. Pinggan mangkuk, pakaian dan peralatan tidur perlu dibawa sendiri.

Di Malaysia kita biasa rumah tiga bilik tetapi keluarga itu ada 12 orang anaknya. Memang itu hakikat. Malangnya anak-anak itu lemas dalam kesempitan. Tiada ruang sendiri. Tiada privacy. Semuanya perlu dikongsi. Ruang yang kecil perlu berganti-ganti menggunakannya. Secara psikologinya mereka kelemasan. Sesak nafas. Sempit. Terhimpit. Terjepit dengan kekurangan. Akibatnya mereka mencari jalan keluar. Lalu penuhlah pusat-pusat membeli belah. Mana-mana ada ruang ada mereka. Di situ mereka ada gelanggang yang lebih banyak ruang. Ada kebebassan bergerak dan berfikir. Juga bertindak. Faktor-faktor sosio-budaya ini jarang difikirkan. Kita tanggung malangnya secara kolektif. Yang merempit dari situ asalnya. Yang lari dari rumah dari situ datangnya. Yang jadi bohsia dari situ puncanya. Yang meragut pun dari situ. Rumah bukan lagi rumah. Hanya menjadi tempat mandi dan menukar pakaian. Buang airpun malas di rumah. Gilirannya terlalu panjang. Di luar banyak tempat awam yang boleh diguna. Tidur pula boleh di mana-mana asalkan tidak berlaga badan dengan adik beradik.

Di US sana menyewa rumah menjadi mudah. Hanya bawa badan. Pakaian yang seperlunya sahaja. Peralatan makan dan minum seadanya. Banyak beza budaya mereka dengan budaya kita. Lihatlah. Bila mereka berpindah rumah mereka hanya membawa beg pakaian. Yang lain dijual. Itu sebabnya mereka ada garage sale atau boot sale. Bila pindah tidak perlu dibawa sama. Nanti bila sampai di tempat baru, beli yang lain. Begitulah mewahnya mereka. Hidup pula dibudayakan senang. Tidak susah dan tidak menyusahkan. Common understanding. You scratch my back I scratch your back. Yang paling manis hidup di sana ialah banyak sangat barang yang murah tetapi kualitinya money back guarantee. Namun mereka bukan jenis menghimpun harta. Mereka tidak perlukan semua itu. Mereka hanya membeli yang benar-benar diperlukan.

Kita mengumpul harta benda kerana budaya kita. Banyak masa mengadakan kenduri kendara. Konsep extended family sangat kuat pada kita. Mendarah daging. Kenduri arwah atau tahlil sahaja kadang-kadang beratus orang yang dijemput. Konsepnya bukan hendak bertahlil sahaja tetapi untuk menjamu sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai. Untuk berhimpun. Untuk mengukuhkan ukhwah. Cuma itulah, apabila kehidupan semakin hectic, payah hendak melaksanakannya. Tidak semua boleh dihimpunkan. Ibu bapa kadang-kadang masih dalam kepompong lama. Tidak ada anjakan paradigma. Tidak melihat perubahan keadaan. Bahawa kehidupan dulu dan kehidupan sekarang sudah jauh berubah. Masa tidak menyebelahi kita lagi. Banyak urusan yang perlu dilaksanakan. Urusan negara. Urusan peribadi. Urusan keluarga. Urusan negara banyak yang mengatasi segala-galanya. Banyak masa urusan peribadi mengatasi urusan keluarga. Setiap orang ada urusannya. Terutama bagi mereka yang anak-anaknya sudah membesar.

Zaman dulu-dulu kebanyakan orang hidup di kampung. Kerja kampung. Beranak pinak di kampung. Hidup dan mati di kampung. Apa-apa aktiviti keluarga semuanya beres di kampung. Tidak perlu bercuti. Tiada urusan negara. Tiada urusan peribadi. Semuanya urusan keluarga. Sekarang ini zaman mewah. Dalam harga barang melambung-lambungpun orang masih lagi mengadakan kenduri kendara dengan jemputannya mencecah dua hingga tiga ribu orang. Mungkin kita perlu memikirkan semula budaya kita. Membuat perubahan positif yang akhirnya memanfaatkan dari segi sosial, pendidikan, ekonomi dan yang paling penting agama.

Banyak percubaan untuk mengubah paradigma ini. Sudah terlalu banyak paradox yang dibiarkan menguasai budaya dan cara hidup. Contradictions di sana sini. Suatu ketika dahulu, Dato’ Arshad Ayub telah mencubanya. Pada masa makan tengahari semua pelajar ITM ketika itu dihidangkan dengan roti. Mengamuk satu ITM. Ibu bapapun tumpang sama. Perubahan itu rasional. Makan roti tidak membebankan otak dan perut. Tengahari sepatutnya meringankan tubuh badan. Stamina perlu kekal. Jika banyak makan nasi semuanya menjadi berat. Mata tersangatlah beratnya. Payah hendak dibuka. Apatah lagi jika guru/pensyarah gayanya boring. Suaranya senada. Lawaknya tiada.

Presiden Indonesia sekarang, Susilo Bambang Yudiyono, malah mencadangkan supaya rakyatnya berusaha menjauhkan diri dari nasi dari masa ke semasa. Terlalu berat tanggungan negara untuk menjamin bekalan beras yang mencukupi. Sawah padi tidak bertambah mengikut keperluan. Sawah yang ada habis dibangunkan dengan bangunan tinggi dan rumah atau binaan-binaan lain. Mereka yang terlibat tidak pernah memikirkan keperluan makana anak cucu mereka akan datang. Mengimport beras semakin membebankan negara. Wang yang mengalir keluar sebagai tukaran asing semakin banyak. Rakyat pula tidak puas-puas makan. Mulut yang hendak disuap bertambah berganda-berganda. Mungkin benar teori Maltus bahawa suatu hari nanti manusia akan kebulur kerana kekurangan makanan. Bila? Wallahu ‘alam.

Maka dalam pencarian saya, saya temui sebuah rumah Pak Arab. Dari Syria. Sayangnya dia beragama Kristian. Kristian asal. Isterinya memang Kristian Amerika. Yang membuat saya gelisah ialah di dinding rumahnya tergantung surah al-Fatihah. Siap dalam bingkai yang cantik. Dia faham agaknya. Lalu dipandangnya bingkai itu sambil berkata, “You know, I can read that (sambil tangannya menunjuk ke arah bingkai al-fatihah itu). I know the meaning.” Malang, kata hati saya. Tahu tetapi tidak beriman dengan yang mewahyukannya. Dia bersetuju menyewakan rumah itu dengan kadar sewa USD350. Bersamaan dengan RM1,200 ketika itu. Letaknya di tingkat tiga. Di Bates Street.

Lokasinya sangat baik. Sangat strategik. Dari tingkapnya saya ada vista point. Luas mata memandang. itulah Johari Window saya. Darinya saya dibawa arus musim dari winter hingga ke winter dan spring berikutnya. Enam musim di rumah itu. Di tingkat tiga. Di atas sekali. Nikmat dengan anugerah yang Allah beri. Hingga sekarang masih terasa. Mungkin rumah-rumah itu sudah tiada. Kerana dulupun sudah buruk. Mungkin sudah diganti dengan yang baru. Yang lebih teratur dan cantik. Setiap hari saya boleh memandang sebahagian dari Cathedral of Learning. Bangunan tertinggi di University of Pittsburgh. Itulah bangunan universiti yang tertinggi di dunia. Di dasarnya ada ruang besar, gah dengan promosinya, A Place For Reflective Thinking. Nantilah ada entry lain mengenainya. InsyaAllah.





















Bangunan tinggi di tengah-tengah itulah Cathedral of Learning.
Isteri saya belajar di situ. English as a second language for foreign
students spouses. Tidak kira apa musimpun saya boleh melihatnya dari
jendela rumah saya. Gambar ini musim summer. Terang dan jelas.
















Winter pertama. Pengalaman seribu rasa. Beribu-ribu
keindahannya. Memegang salji halus putih melepak di tapak tangan.
Meramas dan menggenggamnya. Membaling rakan dengan snow ball.
Aduhai. Masa yang telah berlalu. Memutih di atas bumbung. Waktu
ini belum banyak turunnya. Nantilah dalam entry yang lain.

















Spring menjelang tiba. Dedaun pokok masih belum menampakkan
diri. Bebunga juga belum tersenyum. Beburung belum datang kicaunya.
Hatipun belum berbunga ketika ini. Nyanyian spring masih tertahan.
















Yes. Summer is here. Lihatlah hijaunya daun. Rimbunnya
merimbun. Kehangatan yang membahagiakan. Dunia menjadi terlalu luas
tanpa sejuk dan halangan-halangan lain. Buatlah apapun sepuasnya.
Hanya tiga bulan sahaja. Sebelum berganti dengan musim yang lain.

















Fall datang juga. Autuman pun ia juga. Lihatlah dedaun mula menguning.
Nanti akan bertukar kemerah-merahan. Suasana warna ini akan
selalu mengasyikkan. Kehangatan suhunya yang semakin menurun.
Banyak lagu mengenainya. Ada masa dengarlah Autumn Leaves.
Kerinduan yang mencekam. Kehilangannya yang sentiasa membayang.
Akan tiba nanti di penghujungnya winter yang menyejukkan.
Yang membekukan. Sampai ketemu musim lain yang pasti datang.
Dari musim ke musim. Kembara saya entah bila selesainya. Destinasinya
belum kelihatan lagi.

No comments:

Post a Comment