Monday, January 24, 2011

Shopping Tengah Malam

Rumah belum dapat lagi. Masih ligat mencari. Jengah sana jengah sini. Naik tangga sana naik tangga sini. Rumah di kawasan Oakland itu setinggi tiga tingkat. Di luar pagar universiti. Saya tidak ingat, mungkin malam ketiga saya di Pittsburgh itu saya diajak shopping di J.C. Penny. Tempatnya agak jauh kira-kira setengah jam perjalanan. Kira-kira 40 km. Kami pergi tengah malam. Semasa winterpun pasaraya dibuka selama 24 jam sehari. Dalam waktu sebegitupun ramai sungguh orang yang shopping. Bukan kami sahaja yang datang. Ramai lagi pelajar Malaysia yang turut shopping malam-malam yang dingin itu.


Saya dan isteri dibawa shopping sebagai persediaan untuk pindah ke rumah yang saya sewa nanti. Belipun yang perlu dulu. Yang pasti comforter untuk memanjakan diri dalam winter pertama kami di Pittsburgh itu. Biar lemak tubuh badan dalam comforter yang gebu dan hangat. Termasuk juga bantal dan sarungnya. Tuala mandi tidak boleh lupa. Gebu-gebu belaka. Selain daripada itu pinggan mangkuk. Bila sudah sampai di sana gila juga tengok pinggan mangkuk Amerika. Correlle dan Corning melambak-lambak. Berbagai corak dan bentuk. Ada yang untuk empat orang. Ada untuk lapan orang. Cantik-cantik belaka. Hingga sekarang, setelah 27 tahun kesemuanya masih ada. Masih cantik. Masih kami gunakan. Bila ada majlis di rumah, pasti kami gunakan. Menggunakannya mengingatkan saya sewaktu di US dulu. Pengalaman indah selama 18 bulan.

Seorang rakan berbual dengan saya. Ada komen negatif yang dilemparkan terhadap orang putih di sekelilingnya. Tiba-tiba datang seorang wanita. “Are you gentlemen from Malaysia.” Gugup sebentar kami dibuatnya. “Owh! I was in Pahang before. One of those peace corps personnel.” Dia mengenalkan diri. Maaf. Saya sudah terlupa namanya. Terkesima rakan saya dibuatnya. Dengarkah dia komen rakan saya tadi? Entahlah. Jika dengar, fahamkah dia? Selepas itu baru rakan saya tadi bercakap sambil pandang-pandang. Takut juga terkena dua kali. Peribahasa kata cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Waktu itu tengah malam tetapi terang benderang. Kena jugalah gunakan peribahasa itu. Cakap terang pandang-pandang.

Di satu sudut seorang lelaki menegur saya. “Are you Filipino?” “No I’m from Malaysia.” “Malaysia? Where about?” “Is it Thailand?” “No. It’s south of Thailand and north of Singapore.” “Indonesia. You must be Sukarno people.” “No. Indonesia is south of Singapore.” “Gee. I don’t know.” “You know Penang?” Tanya saya. “Owh yes! I had been there. Beautiful place.” “Well, Penang is part of Malaysia.” Tegas saya. “Really.” Terkejut dia. Begitulah selalunya. Orang tidak kenal Malaysia. Yang mereka tahu ialah Penang, Pangkor, Sipadan, Sepilok, Niah Cave. Entahlah silap siapa agaknya. Promosi pelancongan kita di luar negara perlukan pendekatan baru agaknya. Jangan terkejut jika ada antara mereka yang menyangka kita masih hidup di atas ran, pondok atas pokok. Kita merancang memberi informasi. Salah informasi mengakibatkan kita menerima salah response. Kebaikan yang kita maklumkan. Musibah yang kita terima. Imej kita di luar negara seolah-olah negara ini masih penuh dengan hutan rimba. Kita semua duduk di hutan. Ada insiden-insiden lain yang memberi gambaran ketidakmampuan kita di mata orang putih. Tanggapan mereka dan persepsi mereka tidak seperti yang kita harapkan. Jauh menyimpangnya. Terasa hina pula.

Berada di negara orang yang singkat masanya itu, memberikan suatu pengalaman abadi. Bersama isteri dan anak-anak, saya membelai rasa kekeluargaan di rantau orang. Sama menikmati kelainan budayanya. Menjejak kemajuannya. Menumpang kemeriahannya. Menyerikan keghairahannya. Menelusuri ruang-ruang pengalaman peribadi. 18 bulan yang singkat itu kami isi bersama. Bagi anak-anak itu adalah pengalam berharga. Bertemu dan bersama orang putih. Termasuk juga warga lain dari negara-negara yang berlainan. Dari seluruh dunia. Di situ terhimpun kepelbagaian manusia.

Tidak ramai orang kenal kita. Terkedu memikirkannya. Kita pernah menjadi pengeluar getah yang terbesar di dunia. Pengeluar bijih timah terbesar di dunia. Suatu ketika mengeksport nanas, kayu balak, besi, lada hitam dan banyak lagi. Sayang, orang makan dan menggunakan produk kita tetapi orang tidak kenal siapa kita. Sayang, produknya popular tetapi negara pengeluarnya tidak diketahui. Tidak dikenal. Tidak diketahui di mana duduknya. Memangpun sistem pendidikan di USA tidak memungkinkan rakyatnya mengetahui negara-negara lain kecuali yang berkepentingan besar kepada mereka. Kita mengenal mereka tetapi mereka tidak pandang kita dengan sebelah matapun.

No comments:

Post a Comment