24 Disember 1984 saya menjejakkan kaki di Pittsburgh. 12 jam jarak masa dari Malaysia. Pukul 12 tengahari di Malaysia sama dengan pukul 12 tengah malam di Pittsburgh. Waktu siang memang saya longlai. Begitu juga anak-anak saya. Jet lag. Letih terbang. Time lag. Lesu kerana perbezaan masa. Beberapa hari kami banyak tidur siang. Waktu itu memang waktu tidur di Malaysia. Bayangkan makan tengahri pukul 12.00 tengahari di Pittsburgh. Ketika itu pukul 12.00 tengah malam di Malaysia. Selepas sahaja makan alamat mengantuk yang amat sangat. Sudahlah perut kenyang. Waktu pula memang sudah larut malam di Malaysia.
Begitulah pengalaman bagi sesiapa sahaja yang menjadi pengembara dunia. Kadang-kadang saya tersenyum apabila ada pertandingan di luar Negara, pemain atau atlit kita terbang hanya dua atau tiga hari sebelum pertandingan itu. Masa tidak cukup untuk membiasakan diri dengan local time. Jet lagnya masih ada. Time lagnya masih banyak. Lesu mereka jadinya. Pihak pengurusannya perlu tahu impak kedua-duanya.
24 Disember 1984 itu adalah Christmas Eve. Orang putih sedang berkumpul menjelang Christmas mereka pada hari esoknya. Yang pasti petang itu (orang putih makan pada waktu petang, bukan malam) mereka yang berhimpun pasti menyediakan hidangan yang selazat mungkin. Yang pastinya turkey mesti ada. Bukan masa thanksgiving sahaja ada turkey. Di Malaysia kita namakan Ayam Belanda. Entah, namanya berubah-ubah. Nanti ada ceritanya sendiri. Bandar sudah lengang. Yang dalam penerbangan bersama saya dari O’Hare Airport adalah antara mereka yang mengejar Christmas Eve ini. Apabila saya sampai di Pittsburgh hari sudah malam. Maka malam itu saya tidurlah dengan nyenyaknya kerana keletihan. Suhu sudah rendah. Waktu hendak ke kereta di lapanganterbang Pittsburgh, itulah kali pertama saya mendapat the first taste of winter yang sebenar. Menggigil anak-anak saya kedinginan.
Di rumah rakan itu tidur kami kesemuana nyenyak. Sejuk dan dibalut comforter tebal yang meghangatkan. Di dalam rumah ada alat pemanas. Nyaman sungguh. Masih cuti dan santai. Pendaftaran kelas tentulah selepas Christmas. Tentu juga selepas Tahun Baru. Malam-malam sebegitu saya mimpi yang indah-indah belaka. Berada di atas kayangan. Tempat yang dulu tiada dalam pemikiran. Tiada dalam minda. Tiada dalam mimpi. Tidak ada lintasan dalam hati. Tiada dalam kamus hidup. Sewaktu tidur di atas lantai batang pinang dulu, sajli itu tidak pernah didengar. Entah bila agaknya saya mula mendengar winter, spring, summer dan autumn/fall. Tidak langsung diingat lagi. Hakikatnya saya berada juga di sana. Menonton filem-filem Hollywood seolah-olah banyangan yang tidak wujud. Teringat saya filem Grease. Latar belakangnya di Carnegie Melon University. Bersebelahan University of Pittsburgh. Saya jejak tangga tempat pertemuan hero dan heroinenya. Sayang tidak terakam dalam kamera.
Esoknya, kerana tiada apa yang hendak dibuat, saya banyak memandang keluar tingkap. Melihat lanskap yang kosong. Pokok-pokok tidak ada lagi daunnya yang tinggal. Kesemuanya sudah fall pada musim sebelumnya. Semua daun rontok dan berguguran. Hanya terlihat ranting, dahan dan pokoknya yang gondol. Nanti akan diselaputi sajli yang putih melepak. Subhanallah. Maha Suci Allah. Maha Besar Allah. Musim berubah dengan hikmah dan keindahannya yang tersendiri. Manusianya sentiasa ternanti-nanti akan musim yang berganti musim. Tiada yang menjemukan. Every season is fun. Bukan untuk ditangisi tetapi untuk dinanti datangnya musim itu mengikut turutannya. Mengikut gilirannya. Selalu dimanfaatkan sesempurnanya.
Kita tidak sepatutnya hanya menyesali masa yang sudah berlau. Ia memang pasti tidak mungkin kembali menjengah. Yang seeloknya ialah menanti saat yang datang. pergunakan sebaiknya. Isi dengan manfaat yang tinggi. Pergunakan untuk memberikan khidmat manfaat yang universal. Yang diterima umum sebagai baik. rancang masa untuk memanfaatkannya. membiarkan masa berlalau adalah kerugian yang amat sangat. Lepaskanlah masa yang berlaku pergi. Hadapi masa yang datang. tidak semestinya yang sudah berlalu itu membawa segala-galanya. Masih banyak yang berbaki. Bentuknya sahaja mungkin berbeza. Tetapi masih banyak manfaatnya. Sama bila pun masa itu emas. Musim tetap berganti. Meninggalkan yang lama. Ganti dengan yang baru.
Kebesaran Allah. Orang Christian merayakan Christmas pada setiap 25 Disember. Pasti dalam musim winter. Bagi yang di hemispiar utara. Bagi yang di selatan hemispiar Christmas mereka hanya pada musim summer sahaja. Tetapi bagi yang di utara, tidak ada kepastian sama ada white Christmas atau tidak. Berlainan dengan orang Islam. Hari Rayanya boleh disambut dalam musim yang berlainan. Mungkin apa sahaja musim yang datangnya hari-hari itu. Ada masanya semasa winter. Ada masa yang lain pada musim summer. Begitulah kebesaran Allah yang menetapkan takwim mengikut kiraan bulan (qamariah) dan bukan matahari (syamsiah). Banyak bezanya. Banyak signifikannya. Banyak impaknya. Jika kita menyambut harijadi mengikut kiraan matahari (Masehi) maka kita menyamnbutnya 11 hari lebih lewat. Usia yang kita nyatakan sebenarnya lebih muda dari yang sebenarnya mengikut kiraan qamariah.
Ada sesuatu yang mengusik perasaan saya ketika asyik memandang keluar tingkap itu. Mula-mula saya melihat seseorang melintas. Kelihatannya seperti orang Cina. Mungkin juga Vietnam. Tetapi orang Siam, Laos, Kampuchea atau Korea dan Jepun juga hamper sama wajahnya. Tidak mengapalah. Kemudian lalu pula orang India. Tidak semestinya dari Malaysia. Orang India boleh datang dari mana-mana sahaja. Afrika Selatan, India, Malaysia, Singapura, Sri Lanka, Myanmar dan dari negara-negara yang lain. Yang saya jadi sasau, lalu pula orang Melayu. Mereka bercakap Melayu. Allah Akbar! Di mana aku ni? Di Malaysia ke? Bukankah aku di Amerika? Takkan yang aku lihat hanya orang-orang yang sama seperti di Malaysia. Dalam pada itu lalulah seorang wanita Amerika. Tup tup dia bagi salam. Terkejut beruk saya. Dia ketawa terbahak-bahak. “You ingat I orang putih ya. I Melayulah. Sharifah Fatmah.” Dia mengenalkan diri. Sah. Memang tidak ada orang putih. Cuma Sharifah Fatmah ni kearabannya menyerlah. Persis orang putih jika dia tidka bercakap Melayu.
Lama baru menyerap dalam benak saya. Di kawasan yang berhampiran dengan University of Pitsburgh itu dihuni oleh ramai pelajar antarabangsa. Pemilik rumah-rumah yang ada di situ juga antarabangsa. Ada Arab. Ada Itali. Ada Korea dan sebagainya. Sebab itu payah hendak melihat orang putih pada peringkat awalnya. Hendak venture keluar rumah terasa dinginnya yang mencengkam. Salji belum ada. Belum Nampak bayangnya. Suhu sahaja rendah. Sesekali terasa hembusan bayu. Terasa berambah dingin kerana ada chill factor. Sejuk kerana ditambah dengan tiupan angin. Mulalah sapu losyen badan atau kulit. Untuk melembabkannya. Jika tidak kulit jadi kering. Gatal. Pedih bila mandi. Setiap kali selepas mandi mesti sapu losyen satu badan. Bila terasa kering sapu lagi. Bila terasa gatal sapu lagi. Begitulah sukarnya hidup pada musim winter. Di sana udaranya kering. Walaupun sejuk udaranya tetap kering. Malah kadang-kadang semasa winter itu hutan-hutan mereka boleh terbakar. Semuanya kerana udaranya kering.
Saya beranikan diri juga untuk venture di sekeliling rumah. Untuk merasakan winter itu di kulit saya. Di pipi saya. Di tubuh saya. Di belakang rumah rakan saya itu saya temui pokok yang agak familiar. Saya amati. Saya pegang daunnya. Sah saya kenal benar pokok ini. Pokok apa ya? Pada mulanya saya hairan juga. Hidup pula pokok ini di US. Di negara sejuk. Suspen. Alah pokok biasa. Sedap menjadi ulam perencah laksa Johor. Atau laksam kepada orang Terengganu. Kesian. Pokok selasih. Ya pokok selasih hidup subur di USA. Banyak melata. Wanginya, rasanya dan bentuknya sama seperti di sini. Di Malaysia. Tiada langsung perbezaan. Makin sasau saya. Masih di Malaysia atau sudah benar-benar di US?
No comments:
Post a Comment