Sunday, January 23, 2011

Transit Di Rumah Rakan

Di lapanganterbang Pittsburgh sudah menanti tiga orang pelajar Malaysia. Yang pertama mantan Naib Canselor UPSI yang pertama iaitu Datuk Dr. Ashari Che Mat, Virat Dinrat dan yang seorang lagi saya sudah tidak ingat. Sudah 27 tahun yang lalu. Mereka mewakili Persatuan Pelajar-pelajar Malaysia Pittsburgh. Pelajar-pelajar yang ada di berbagai universiti. Bagi pelajar master dan PhD di University of Pittsburgh. Yang bachelor di Carnegie- Melon University, Duquence University dan Point Park College. Ada juga universiti yang dalam jarak 30 hingga sejam perjalanan.

Di US orang mengukur perjalanan bukan dengan batu atau kilometer. Tetapi dengan masa. Sejam perjalanan dalam keadaan normal (tiada kesesakan) adalah sejauh kira-kira 90 km. Setengah jam tentulah kira-kira 45 km. bagi kita di sini jarak itu terasa jauhnya. Di sana perjalanan sejauh itu tidak menjadi masalah. Hidup mereka di pekan kecil atau di suburban lebih tenang. Menjadi warga metropolitan lebih hectic. Sekarang ini sudah lebih tujuh tahun saya berulang alik ke Kuala Lumpur hampir setiap minggu kerana mencari ilmu. Saya mulakan dulu dengan Sijil Pengajian al-Quran di UM. Saya sambung pula dengan Diploma Eksekutif Pengajian Usuluddin. Selepas itu saya mendaftar kursus Bachelor Pengajian Islam di Open University Malaysia. Di samping saya bertalaqi al-Quran di UM. Bertalaqi dengan orang Arab Jordan. Mengikuti pengajian qiraat di UIAM serta bertalaqi dengan Ustaz Mohd Rahim Jusoh, seorang guru al-Quran di UIAM. Baru sahaja khatam Qiraat Nafi’ al-Madani. InsyaAllah hari Ahad 30 Januari nanti diadakan majlis khatamnya di UIA. Hampir setiap minggu saya memandu yang jaraknya kira-kira empat jam. Lebih jauh dari rakan saya di Pittsburgh dahulu yang memandu selama sejam sahaja. Bezanya dia memandu setiap malam. Saya memandu setiap minggu.

Pelajar pasca ijazah yang ada di Pittsburgh rasanya terdiri dari berbagai kumpulan. Sama ada dari Kementerian Pelajaran atau jabatan Perkhidmatan Awam. Ada juga dari berbagai universiti di Malaysia seperti UM, UKM. Selebihnya dari MARA seperti MRSM dan ITM ketika itu. Selebihnya adalah pelajar-pelajar persendirian yang ditaja keluarga masing-masing. Mungkin jika ada kesempatan saya ceritakan tip belajar di US. Antara nama-nama pelajar Malaysia yang dikenal ramai termasuklah Datuk Ashari Che Mat, Datuk Dr. Mansor Mat Isa, Prof Dr. Mahmud Nazar Muhamad dan isterinya Dr Sabitah Merican. Datuk Dr Ashari sudah bersara. Datuk Dr. Mansor sudah bersara juga tetapi sekarang menjadi penasihat kewangan kerajaan Arab Saudi. Dr Mahmud masih ligat dalam berbagai aktiviti awam. Isterinya Sabitah Merican dengan berbagai projek ilmiahnya.

Ada beberapa nama yang masih saya ingat. Virat Dinrat, pelajar keturunan Siam dari Kedah sangat suka menyakat anak saya yang keempat. Menangislah budak itu kena pegang. Kena dukung dan sebagainya. Nanti ada cerita lain mengenai Virat ini. Tidak lama selepas saya sampai datanglah bekas juara RTM 1984, Juliza Adlizan yang membawakan lagi Kuda Hitam. Ramai lagi teman-teman yang menghuni di Pittsburgh. Yang bermukim. Yang menghirup udara nyamannya. Yang sama-sama boleh mengimbau manisnya hidup di rantau orang. Sesekali terserempak di sana sini. Ada yang masih kekal berhubungan dan yang sudah terputus lama. Kadang-kadang terjumpa juga. Malang, banyak kali sudah tidak mengenal antara satu sama lain.

Ramai pelajar sebenarnya anak-anak orang berada. Masakan tidaknya kerana kos pengajian di sana adalah mahal. Walaupun kos hidup rendah, banyak yang terpaksa ditanggung. Bilangan yang ditaja FAMA (Father and Mother) agak ramai bilangannya. Bila melihat mereka sedarlah saya bahawa di kalangan orang Melayu ramai yang berkemampuan. Bidang pengajian yang mereka ceburi juga berbagai. Ada yang muzik. Ada yang psikologi. Ada pengurusan. Ada kejuruteraan. Ada kewangan. Ada sains. Ada pula yang mengkhusus dalam pentadbiran awam. Terutamanya mereka yang dari JPA. Entah di mana mereka sekarang. Hasanah. Dr Rais. Bakar dan yang lain-lain.

Jika hendak dikira ramai sebenarnya pelajar Malaysia di Pittsburgh. Tetapi tidaklah seramai seperti di Ohio. Kononnya di sana mereka seperti membuka kampung Melayu. Terlalu ramai. Hinggalah pada suatu ketika kerajaan melarang mana-mana pelajar yang hendak ke sana. Di Pittsburgh komuniti orang Malaysia dilihat ramai kerana mereka pelajar pasca ijazah. Lazimnya mereka membawa anak isteri. Penuhlah sekolah di sana dengan anak-anak orang Malaysia. Dari headstart hinggalah di sekolah menengah rendah. Ini ada cerita khas untuknya.

Orang lelaki ada aktiviti usrahnya sendiri. Bergilir-gilir dari rumah ke rumah. Tiap-tiap ahli berperanan untuk menyampaikan apa sahaja tajuk yang hendak dibincangkan. Untuk disampaikan. Untuk dikongsi dengan mereka yang hadir. Bersama kami ada juga orang Indonesia yang turut sama. Mereka ramai. Ada antara mereka yanag rapat dengan pelajar Malaysia. Yang wanita pula ada kumpulan mereka sendiri. Pada hujung minggu berkumpullah mereka dengan membawa anak-anak mereka. Penuhlah jalan di Pittsburgh itu dengan orang Malaysia. Menjadi kehairanan yang amat sangat kepada orang Amerika. Mereka tidak biasa dengan keadaan seperti itu.

Begitulah hidup saya dan keluarga dikelilingi oleh rakan dan taulan yang akrab kerana hidup di perantauan. Banyak aktiviti terancang yang dilaksanakan bersama. Menjalin ukhwah sesama sendiri. Malah pelajar Cina yang ada juga rapat dengan pelajar Melayu. Jurang tidak ada. Di tanahair seperti sekarang ini jurang itu sengaja dibina kerana kepentingan politik. Di luar negara semuanya cair. Tiada jurang pemisah. Kesemuanya dari negara yang satu. Alangkah indahnya jika suasana itu dapat dibina. Wujud keharmonian dan persefahaman yang benar-benar ikhlas.

Begitulah akrabnya kami di Pittsburgh. Dengan dua buah kereta saya dan keluarga dibawa ke rumah seorang teman dari Kemeterian Pelajaran. Dia sedang membuat masternya dalam bidang pengukuran dan penilaian. Kebetulan orang Batu Pahat. Namanya Amir. Sekarang Dr Amir. Sudah bersara rasanya. Amir ini bertemu anak sulung saya, Diana sewaktu mereka sama-sama belajar di Michigan. Anak saya mengambil jurusan Computer Engineering dan Amir pula dengan PhDnya. Banyak kenangan di Pittsburgh. InsyaAllah akan saya kongsikan. Doakan saya sihat untuk melaksanakannya.

No comments:

Post a Comment