Monday, March 29, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kesembilan Belas

Bakat kepimpinan bukan terjadi secara spontan. Lazimnya bakat itu sudah dikenalpasti sejak kecil. Dalam pos yang dulu-dulu telah saya nyatakan tentang sifat introvert saya. Namun dalam diam saya, ada juga yang percayakan kepimpinan saya. Dalam keadaan hidup yang daif seperti dalam bahagian pertama dulu, saya terkenang kembali rupanya benar kata pepatah, bila tiada rotan akarpun berguna. Dalam dunia orang buta, yang matanya celik sebelah boleh menjadi ketua.

Waktu di sekolah rendah dulu saya menjadi ketua darjah dari darjah empat hingga darjah enam. Bukan itu sahaja, sewaktu di darjah enam saya menjadi ketua pelajar. Hebat juga bunyinya. Hairan juga saya, sewaktu di tingkatan satu hinggga empat saya juga menjadi ketua darjah. Masih misteri kepada saya kerana saya rasakan tidak ada langsung bakat memimpin itu pada saya. Walaupun tugas ketua darjah itu tidak sebesar mana, tetapi menjadi ketua darjah adalah suatu kedudukan juga. Dalam testimonial disebut juga jawatan itu.

Bukankah saya pendiam? Introvert kan? Badan kurus, kulit gelap dan tidak pandai sosial pula. Tetapi itulah masalahnya, dalam pemilihan ketua darjah, rakan-rakan sekelas sama ada yang Melayu dan yang Cina ramai yang memenangkan saya. Kenalah bertugas walaupun hati di dalam bagai digendang.

Masalah saya satu sahaja. Bahasa Inggeris saya lintang pukang. Hingga tingkatan lima, masih tidak boleh bertutur dengan baik. Sudah saya ceritakan dalam pos yang lain. Banyak sangat tergagap-gagap. Tidak tahu mana vocabulary yang tepat. Mana past tense, mana past participle. Mana present continuous, mana past continuous. Itu belum particle dan banyak lagi. Hanya sesudah bekerja barulah segala-galanya menjadi terang. Banyak membaca dan mempraktikkannya memperkemas Bahasa Inggeris saya.

Selepas tamat tingkatan lima, saya dilantik menjadi pengerusi persatuan belia di kampung saya. Ada juga tentangan dan halangan kerana perbezaan-perbezaan politik di kampung. Sayapun masih terlalu mentah dalam hal itu. Malangnya jawatan itu tidak lama saya sandang. Tidak sempat mengasah bakat. Tidak lama setelah ditubuhkan saya memulakan kursus perguruan saya. Di maktab saya tidak aktif. Di universitipun tidak aktif. Satu-satunya aktiviti di Universiti Malaya ialah jawatankuasa Debat Agung Ekonomi. Aktiviti tahunan anjuran pelajar fakulti Ekonomi Universiti Malaya.

Semasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin Kuala Terengganu saya dikira diberi banyak kepercayaan oleh pihak sekolah. Walaupun secara tidak rasmi, saya selalu mengambil berat tentang disiplin pelajar. Bila waktu rihat, saya lawati semua tandas pelajar lelaki. Mana-mana yang tidak kena ada sahaja nasihat dan marah saya. Semua pelajar hatta pelajar Cinapun ngeri dengan saya. Di samping itu saya menjadi guru rumah. Ini yang pelik. Saya tidak pernah menjadi atlit atau pandai main. Bila jadi guru rumah kena pula melatih pelajar melempar cajera dan peluru, membaling lembing. Teknik ada tetapi power tidak ada. Memang tidak kuatpun. Badan masih kurus melidi.

Beberapa tahun lamanya saya menjadi juruacara setiap kali diadakan sukan tahunan sekolah. Begitu juga ketika ada majlis penyampaian hadiah tahunan. Menjadi juruacara tidak habis di situ sahaja. Bila saya bertugas di Politeknik Ungku Omar saya menjadi juruacara setiap kali majlis konvokesyen sejak dari tahun 1981 hingga tahun 1984. Tahun 1985 berihat kerana sedang melanjutkan pelajaran di USA. Bila kembali pada tahun 1986, tugas pengacaraan itu diserahkan kembali kepada saya. Tahun 1987 dan tahun 1988, saya mencipta sejarah kerana mengacarakan majlis konvokesyen politeknik-politeknik seluruh Malaysia di Putra World Trade Centre (PWTC) Kuala Lumpur. Gerun tetapi seronok. Ketika itu sedang mabuk dengan bahasa baku. Maka berbaku-bakulah saya di PWTC itu.

Politeknik Ungku Omar (PUO) adalah sejarah besar untuk diri saya. 12 tahun saya di sana, dari 19 Februari tahun 1979 hngga 15 Disember 1990. Dalam masa 12 tahun itu banyak sungguh pengalaman yang mematangkan saya. Banyak yang saya pelajari, saya terap. Sangat berguna dalam saya menjalankan tugas di Politeknik Batu Pahat, Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru dan Pusat Latihan Staf Politeknik (yang menjadi ITTHO, menjadi KUiTTHO dan menjadi UTHM sekarang).

Di PUO saya juga menjaga disiplin pelajar, pengendali Minggu Haluan Siswa, pendaftaran pelajar, lembaga disiplin, waden luar, penemuduga pelajar baru dan penyelia Latihan Industri. Dalam hal disiplin, saya tidak berkompromi. Saya rasa kejayaan besar saya dalam hal disiplin ialah menundukkan pelajar Diploma Perkapalan yang selalu menjadi duri dalam daging kepada pihak pengurusan PUO ketika itu. Akhirnya mereka menjadi normal seperti pelajar-pelajar lain. Hilang ego dan kesombongan mereka. Selepas itu barulah aman sedikit hal disiplin pelajar PUO.

Menemuduga bakal pelajar juga banyak karenahnya. Dari utara ke selatan pernah saya laksanakan. Ilmu itu juga yang saya turunkan kepada anak-anak saya apabila mereka hendak menghadiri temuduga. Begitu juga jika ada orang datang meminta nasihat. Saya cuba beri nasihat yang terbaik untuk mereka. Lazimnya jarang yang kecewa. Pernah saya mewakili Kementerian Pendidikan (ketika itu) untuk menemuduga calon-calon guru sekolah teknik dan voksional yang ingin melanjutkan pelajaran. Di UTHM pernah juga menemuduga calon-calon penolong pendaftar pada peringkat awal dahulu, semasa PLSP.

Pada tahun 1990 saya berkursus selama tiga bulan di Seneca College of Applied Technology, Toronto, Canada. Kami seramai lebih 13 orang. Saya pula yang dilantik menjadi ketua walaupun ramai lagi yang berpengalaman. Antaranya ialah Datuk Zakaria, mantan pengarah PUO dan mantan Pengarah Pelajaran Negeri Perak. Bersama saya ketika itu juga ialah pengarah Politeknik Kota Bahru sekarang.

Di Politeknik Batu Pahat (PBP), saya menjadi Ketua Bahagian Perdagangan sebelum menjadi PLSP. Pada bulan Mac 1993, Pengetua PBP telah meninggal dunia. Saya telah memangku jawatannya sehingga 16 September 1993 apabila PLSP dengan rasminya ditubuhkan. Pada 1 November 1993 saya ditukarkan menjadi Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru (SMTJB) . Saya beruntung kerana pertamanya saya sudah memiliki pengalaman mengendalikan pelajar dan keduanya Pengetua saya ketika itu En Rahim Omar banyak mengajar saya mengendalikan hal-hal sekolah.

Saya berada di SMTJB untuk selama 11 bulan sahaja. Saya dipanggil kembali ke PLSP untuk menjadi Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) dari 1 Oktober 1994 hingga 31 Disember 1999. Di MTJB kerja saya memang banyak. Paling banyak tentulah hal disiplin. Di sekolah menengah, tugas HEM paling rumit. HEM menguruskan pekerja peringkat bawah, perpustakaan, pinjaman buku teks, biasiswa, bantuan kewangan, sukan, permainan, asrama, kantin, kebajikan, koperasi, pendaftaran pelajar.

Macam-macam karenah disiplin seperti datang lewat, ponteng sekolah, mencuri, mendera dan sebagainya. Pengajaran besar yang saya dapat ialah apabila pelajar-pelajar terlibat dengan kes disiplin, saya dapati ibu bapa mereka sebenarnyalah yang bermasalah. Oleh itu mereka gagal mendisiplinkan anak-anak mereka. Guru seperti HEM juga yang menghadapi masalah itu. Sungguh, pengalaman saya membantu. Selama 11 bulan hanya dua kali ibu bapa yang berkeras ingin berjumpa dengan Pengetua. Yang lain saya selesaikan sendiri. Laporannya sahaja saya serahkan kepada Pengetua.

Letih bertugas mengendalikan pelajar. Di IPTA seprti UTHM tidak kurang cabarannya. Cuma pendekatan saya mungkin berbeza dengan orang lain. Saya suka menjalankan pendekatan disiplin dan kaunseling. Setiap kes yang disampaikan kepada saya, saya buat siasatan awal dahulu. Hanya bila ada kes barulah saya buat pendakwaan. Sebelum itu saya terangkan dahulu kepada pelajar akan duduk perkara, perlanggaran yang telah mereka buat, prosedur perbicaraan, hukuman yang akan dikenakan dan implikasinya sama ada jangka pendek atau jangka panjang.

Apabila ada kes yang kukuh, pendakwaan dan perbicaraan menjadi sangat mudah. Pada ketika pelajar ditanya sama ada mengaku bersalah atau mengaku tidak bersalah, semuanya mengaku bersalah. Hanya satu kes sahaja pelajar mengaku tidak bersalah. Namun apabila dibicarakan pelajar itu tidak langsung berupaya membela dirinya. Kesemua saksi-saksinya tidak dapat membuat pembelaan.

Dalam hal masyarakat saya masih berusaha memberi sumbangan. Beberapa tahun saya menjadi Setiausaha, Badan Kebajikan Guru-Guru Al-Quran Daerah Batu Pahat, AJK Jawatankusa Guru-Guru Al-Quran Mukim Lima Batu Pahat, Timbalan Yang DiPertrua, Persatuan Kebajikan Guru-Guru Al-Quran Negeri Johor dan sekarang menjadi Yang DiPertuanya.

Menelusuri kembali lintasan waktu, kadang-kadang saya ngeri sendiri. Apa sebenarnya yang telah saya lakukan. Setakat manakah kepimpinan saya untuk ahli-ahli dan impaknya untuk orang awam. Sebagai pemimpin tidak semua aspirasi kita menerima sokongan. Mungkin ramai yang tidak terikut.

Itu tidak penting. Saya berusaha untuk deliver apa yang boleh disumbangkan. Seorang ketua tidak mungkin dapat memenuhi semua kehendak anak buahnya. Yang boleh ialah berusaha untuk melakukan yang terbaik.

No comments:

Post a Comment