Monday, March 29, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh

Waktu kanak-kanak saya, masa yang paling gembira ialah menjelang Hari Raya. Tetapi Ramadhan apa kurangnya. Berpuasa pada masa itu sama juga seperti sekarang. Cuma kanak-kanak, berpuasa ada nostalgianya sendiri. Berpuasa setiap hari bukan masalah. Berlapar bagi saya sudah berlatih setiap hari. Tambah beberapa jam sahaja. Jarang ponteng. Bila sakit mungkin.

Waktu berbuka adalah Hari Raya bagi kanak-kanak. Tidak sabar menunggu hidangan. Makan seperti orang sudah berhari-hari kebulur. Kenyang sekenyangnya. Tersandar, sendawa. Lepas itu liat hendak bangun dan solat. Bagi saya dan keluarga saya (datuk, ibu dan adik), berbuka ala kadar saja. Makanan biasa seperti makan tengahari atau makan malam hari-hari lain. Sedikit kelainannya. Mungkin ada sedikit kuih muih dan ais. Menjelang waktu berbuka berbalas-balaslah hidangan dengan jiran tetangga. Masak satu jenis, bila terhidang bermacam-mavcam jadinya.

Sekarang, kuih muih sudah komersil. Beli. Ada di mana-mana. Bazaar Ramadhan muncul entah bila dan entah dari mana. Semua yang berselera dibeli. Bila berbuka jamah satu atau dua. Yang lain entah bila dimakan dan entah siapa yang makan. Payah betul mendidik nafsu. Musuh besar manusia. Bulan Ranadhanpun payah untuk menundukkannya.

Zaman itu elektrik belum ada. Peti ais mana ada. Ada juga orang kaya membeli peti ais, tetapi akhirnya kerana kejahilan, terpaksa dijadikan almari pakaian. Jika elektrik tidak ada, memang peti ais tidak mungkin berfungsi. Itulah susahnya, ada orang kaya tetapi tidak kaya dan tidak peka dengan kehidupan yang sebenarnya. Mereka tidak peka tentang teknologi. Jahil ilmu. Rendah pula pendidikan.

Untuk mendapatkan ais bukan satu kerja yang mudah. Ia menjadi suatu misi yang sukar. Pekedai yang ada di kampung akan memesan ais dari bandar. Ketika itu ais dibekukan dari air paip. Saiznya besar lalu dipotong bertual-tual besar. Ais itu dibalut dan ditimbus dengan abuk papan. Diangkut sengan motorbot selama 3 hingga 4 jam melalui sungai. Seawal pukul 3 petang saya sudah menunggu di kedai. Yang hendak dibeli hanya seketul ais berukuran (15 x 15 x 15) cm. Ais digergaji supaya menjadi ketul-ketul kecil. Ramai yang dapat membeli. Bagi yang lambat tunggulah esok hari. Harganya 10 sen atau 15 sen. Mahal sangat ketika itu. Maka ais itu dibawa balik. Berbuka pada pukul 7.00 petang. Beli ais pukul 3 petang. 4 jam ais itu perlu dijaga supaya tidak cair. Abuk papan, kain dan entah apa lagi digunakan supaya ais itu tidak cair sebelum berbuka. Jika berjaya, nikmat sungguh berbuka pada hari itu. Ais oh ais. Sekarang, tiada siapa peduli ais. Ada di mana-mana. Bersepah. Melambak-lambak. Buka peti ais pasti ada.

Bila dikenang terasa payahnya. Seketul aispun sangat sukar untuk menguruskannya. Tanpa teknologi berat penanggungan hidup masa dulu-dulu. Tanpa kemerdekaan dan pembangunan hidup di kampung sangat-sangat ketinggalan zaman. Ketika itu orang kampung sangat terasa kecil. Dalam perjalanan saya ke sekolah, orang-orang di Bagan dan Peserai sudah berzaman menikmati bekalan elektrik. Itupun yang rumah mereka di tepi jalanraya Muar-Batu Pahat sahaja. Penduduk yang di kampung-kampung hanya boleh iri dan cemburu sahaja. Jakun betul mereka dengan diri mereka.

Malam bulan Ramadhan adalah sangat menyeronokkan. Anak-anak sekarang banyak menghabiskan waktu di hadapan TV atau internet/komputer. Anak-anak dahulu bila malam mereka ke masjid. Ada yang bertarawikh. Tetapi yang lain hanya meramaikan suasana. Selepas tarawikh pasti ada jamuan. Kenyang berbuka tidak bertahan lama bagi kanak-kanak seperti saya. Setakat pukul 9.30 malam lapar datang lagi. Berebut-rebut tangan mencekau kuih muih yang ada. Pada masa ini datuk saya selalu membawa apa sahaja buah yang ada di rumah. Tanpa musim, pisang yang biasa dibawa. Atau ciku yang sentiasa manis.

Hujung minggu menjelang Hari Raya akan menjadi rutin untuk saya. Pagi hari Jumaat dan Sabtu saya akan ditugaskan untuk memukul telur dalam pasu yang sederhana besarnya. Selepas solat Subuh, ibu akan memecahkan kira-kira 30 biji telur. Ditambah pula dengan gula. Pada masa itu yang ada telur itik bukan telur ayam. Dari pukul 7.00 hingga pukul 9.00 saya akan berganti-ganti tangan untuk memukul telur. Sangat meletihkan dan menjadikan saya mengantuk. Siksanya tidak dapat digambarkan. Berjam-jam hingga pukul 9.30 atau 10.00 pagi barulah proses memukul telur selesai. Macam hendak tercabut bahu saya.

Telur itu sebenarnya untuk dibuat kuih. Pada hari Jumaat mungkin kuih bangkit. Pada hari Sabtu mungkin kuih baulu. Minggu hadapan mungkin baulu gulung. Tiga kuih tradisi ini sudah pasti ada sejak saya kecil hinggalah saya dewasa. Arwah ibu saya setia menyediakan untuk anak dan cucunya. Rasanya tetap sama zaman berzaman. Waktu saya kecil, kuih-kuih itulah yang saya makan untuk sarapan pagi berbulan-bulan lamanya. Ibu sayapun bila pulang dari menoreh akan memakan kuih itu juga. Kuih-kuih lain mudah-mudah belaka. Agar-agar dan kerepek pisang juga tidak pernah ketinggalan.

Pada masa itu tidak ada kepastian tentang tarikh Hari Raya. Tugas rakyat berpuasa. Hari raya ditentukan kerajaan. rakyat terima sahaja. Datuk saya imam masjid. Juga amil zakat fitrah. Tarikh hari Raya diumumkan melalui sungai. Polis marin dari bandar Batu Pahat akan memudiki sungai. Mereka menggunakan hailer memaklumkan kepada penduduk yang tinggal di tepi sungai. Mereka yang dengar berjalan ke rumah saya untuk memberitahu datuk saya akan tarikh Hari Raya. Jika esoknya Hari Raya maka kentung (dibuat dari kayu) akan diketuk. Bunyinya sambut bersambut dengan bunyi kentung di kampung bersebelahan. Maka penduduk pasti maklum bahawa esaoknya adalah Hari Raya. Waktu itu mungkin pukul 2.00 atau 3.00 pagi.

Bagi sesetengah keluarga, mereka mulalah merebus ketupat dan lepat. Masak memasak mula kalut. Subuh hanya beberapa jam lagi akan menjelang. Selepasa Subuh, rumah saya akan dipenuhi penduduk kampung yang datang untuk menunaikan fitrah. Penuh bergilir-gilir hinggalah solat Aidul Adha dimulakan. Pada masa itu fitrah dalam bentuk beras. Ikut Mazhab Syafi'i. Satu kepala satu cupak. Penuh rumah saya dengan beras. Berhari-harai selepas itu datuk saya mengagihkan beras itu kepada yang berhak. Seperlapan hak amil. Berbulan juga hendak menghabiskan beras itu. Sekarang senang. Fitrah dalam bentuk duit. Ikut Mazhab Hanafi. Begitulah sesungguhnya, Islam itu mudah.

Siksa sungguh menanti Hari Raya masa dulu-dulu tu. Jalan raya belum ada. Alat komunikasi juga tidak ada. Semuanya lambat dan memayahkan. Alangkah senangnya zaman ini. Semuanya ada disediakan on a silver platter. Anak-anak jadi manja. Pada mereka semuanya tersedia. Everything is taken for granted. Bila mengenang zaman itu terasa benar tuanya diri. Semuanya telah berlalu, tinggal dalam lipatan kenangan. Laluan zaman sukar nan payah mebelah masa, merentaas ketika. Menoleh ke belakang hanya dilihat bayangan pudar masa silam. Jauh di hadapan tentunya ruang pasti yang akan ditemui. PadaMu ya Allah, Rabbul Jalilku. Hanya kepadaMu aku pasti kembali.

No comments:

Post a Comment