Kontrak saya dengan UTHM akan berakhir pada 15 Februari 2011. Jika umur saya sampai bermakna saya menjadi pendidik selama 42 tahun. Sepanjang laluan kerjaya itu saya melalui fasa-fasa yang berbagai. Ada suka dan dukanya. Rasanya tidak dapat dinukilkan kesemuanya. Ingatan kuat mengimbau masa-masa lalu yang telah lama itu. Namun mungkin akan ada yang tidak tersingkap dalam lipatan ingatan. Ia akan keluar juga pada waktu-waktu yang lain bila ada keperluannya.
Seperti dalam pos saya Masa Dulu-Dulu, ada urutan tingkatan sejarah kerjaya saya. Tahun 1966 saya menjadi guru sementara di Sekolah Kebangsaan Seri Permatang Rengas, Seri Medan, Batu Pahat. Apalah yang saya ada ketika itu. Lepasan OSC dan MCE. Langsung tidak tahu apa itu Falsafah Pendidikan, Psikologi, Sosiologi, Teknologi Pendidikan, Pedagogi, Kaunseling yang diperlukan seorang guru. Jadinya masuk ke kelas mengajarlah mengikut pengalman seperti semasa menjadi pelajar dulu.
Semasa di Institut Bahasa dulupun saya masih sangat introvert. Dalam praktikum saya di Sekolah Kebangsaan Pinang Seribu di Muar saya hanya layak diberi markah C. Cukup-cukup untuk lulus. Di Institut Bahasa, ketika itu latihan tidak seperti sekarang. Banyak sangat akademik bukan profesionalnya. Pengajaran Mikro yang seperti sekarang memang tidak ada. Semuanya disyarahkan dan dengar sahaja tanpa dapat mempraktiknya. Bila praktikum pandai-pandaiaah sendiri. Ketika dipantau saya mengajar matapelajaran Pendidikan Jasmani. Saya yang tidak pandai main dan bukan ahli sukan, menghadapi kesukaran untuk mengendalikan aktiviti di padang. Alhamdulillah jugalah mendapat C. Lulus dan menjadi guru.
Apabila ditempatkan di SMK Ibrahim Fikri (dulunya SMK Seberang Takir) pada tahun 1969, barulah saya bina profesionalism keguruan yang akhirnya membawa saya merentas beberapa fasa lain dalam kerjaya saya. Dari Ibrahim Fikri, saya ke Chung Hwa Wei Sin, Sekolah Menengah Sains, Kluang, Universiti Malaya, Politeknik Ungku Omar, Politenik Batu Pahat, SMT Johor Bahru, Pusat Latihan Staf Politeknik, ITTHO, KUiTTHO dan akhirnya saya berlabuh di UTHM. Bekerja dalam beberapa kapasiti dari Ketua Bahagian HEP, Pengetua Asrama dan berakhir sebagai pensyarah biasa. There is no regrets and no remorse. Saya adalah profesional dan tugas saya adalah discharging professional duties. Yang berbentuk peribadi datang dan pergi. Ada yang mengesankan, ada yang menarik, ada yang memberi kepuasan, ada yang perit, menyakitkan dan mungkin menjelikkan.
Kita tidak mungkin menjadi hebat dalam sekelip mata. Tidak ramai orang yang dilahirkan hebat. Saya bukan born teacher. Pengalaman, belajar, melihat, memerhati, menerap, mengambil dan menambahkan, semuanya yang boleh dikutip sepanjang berkerjaya memperkaya dan memperluaskan apa yang sudah ada. Itupun saya tidak pernah merasakan sudah sempurna dan menjadi yang terbaik. Proses belajar masih tetap berlaku. Masih banyak imperfections yang belum dapat dibetulkan. Kadang-kadang menjadi guru bukan semuanya berjalan seperti dirancang.
Tahun 2008 adalah tahun yang luarbiasa bagi saya. Pada awal tahun itu saya ditawarkan untuk menjadi pensyarah kontrak di Fakulti Pendidikan Teknikal, UTHM. Lama juga saya bincang dengan isteri saya akan pro dan con jika saya menerima tawaran itu. Akhirnya saya terima juga tawaran itu setelah menimbang-nimbangnya. Semester pertama sesi 2009/2010 pula saya ditugaskan mengendalikan kelas Pengajaran Mikro kepada 19 orang pelajar bacelor. Setelah biasa dengan kelas-kelas sepertinya kepada pelajar-pelajar Sarjana Pendidikan, kelas itu saya anggap biasa sahaja. Tidak ada yang perlu luarbiasa.
Biasalah, kelas Pengajaran Mikro tidak ramai pelajarnya. Daripada 19 orang itu ada dua orang sahaja pelajar lelaki. Saya ingatkan semuanya Melayu. Rupanya seorang bernama Paul. Rata-rata agak pendiam. Maklum belum biasa. Saya kendalikan kelas itu seperti biasa. Tiada bezanya seperti kelas-kelas yang lain. Saya curahkan pengalaman saya apa yang ada. Tunjuk ajar tidak pernah bersyarat. Tidak pernah berbatas. Semuanya diserahkan, dicurahkan. Rasanya dalam menjalankan tugas saya belum pernah menghad apa sahaja. Yang dirancang, yang diingat semuanya disampaikan. Yang ditanya akan dijawab.
Masa berlalu, keadaan berubah. Mereka mula mesra dan tidak lagi kaku seperti mula-mula dahulu. Namun begitu, kebiasaan pelajar seperti kelas-kelas yang lalu tetap berlaku. Masih ada juga yang tidak begitu mesra. Ada juga yang seperti tidak peduli. Ada juga yang sambil lewa. Ada pula yang tunjuk nakal. Yang ada pendiam sepanjang masa. Yang betul-betul berani tidak ramai. Rasa takut-takut tetap ada pada mereka. Waspada mungkin. Saya biasa dengan keadaan begitu.
Tidak ada apa yang perlu dikhuatirkan. Tugas saya menyampai dan tugas mereka menerima atau menolak.
Banyak perkara terungkai bila latihan pengajaran bermula. Saya dapati ada kelainan pada kelas ini. Seorang demi seorang melakukan latihan masing-masing. Ramai yang menunjukkan kemampuan yang luar biasa. Saya masih menganggap itu adalah biasa. Namun selepas latihan kedua, keadaan mengesahkan kelainan mereka. Pada kelas terakhir, barulah saya dimaklumkan bahawa mereka adalah lulusan diploma politeknik. Patutlah kata saya bahawa mereka lebih matang dari yang saya sangka.
Kebetulan mereka bergambar bersama saya pada kelas terakhir itu. Bila ada yang memasukkannya ke facebook, berkeriau ahli kelas yang tidak datang. Ada tiga orang yang ponteng. Pelajar dari kelas yang lain envy semacam. Kelas ini sahaja yang ada gambarnya. Yang akan terakam sepanjang hayat. Yang boleh dilihat dan ditatap untuk mengingatkan bahawa suatu masa dahulu saya pernah mendidik mereka. Pernah saya curahkan apa yang ada. Hasrat hati untuk membina satu pasukan pelapis yang menjadi kesinambungan keguruan saya. Nanti akan panjanglah berkurun-kurun pahala jariah saya apabila ilmu yang dicurahkan diamalkan dan diturunkan kepada orang selepas mereka. Alhamdulillah, banyak baiknya menjadi guru. Ilmu kita tidak hilang.
Biasalah bagi saya, dihubungi dan menghubungi pelajar. Maka terjalinlah persahabatan merentas usia. Entah di mana silapnya, layanan saya ada yang terlebih ada yang terkurang. Ada yang akur dan tentu ada yang berbeza pendapat. Sebagai manusia saya mungkin terlebih-lebih. Banyak juga salah silap mengendali diri. Kadang-kadang yang sudah berpengalamanpun seperti saya, tewas dengan terjahan-terjahan pengalaman baru. Rupanya generation gap perlu dihormati. At some point I did not stop doing what I did. Maka ada yang tidak kena. Walaupun pada wajarnya tiada masalah, tetapi saya amat merasakan kebaikan saya juga teruji jadinya. Tidak semua yang dicurahkan itu diterima. Tidak semua yang berhubungan kekal begitu. Ada yang merasa melebihi.
Biasalah di manapun guru, saya tidak minta dihormati atau disanjung atau dipuji. Tugas saya menyampaikan ilmu dibayar dengan menggunakan wang pembayar cukai. Pelajar tidak perlu berterima kasih. Guru yang sepatutnya berterima kasih kerana ibu bapa pelajar yang membayar gaji saya. Pelajar tidak perlu meminta maaf jika tersalah laku. Guru yang perlu meminta maaf kerana tersalah ajar. Sangatlah saya takuti jika ada bekas pelajar saya yang kurang diajar.
Latihan mengajar dalam semester 2 sesi 2009/2010 menamatkan title pelajar kepada kumpulan 19 orang ini. Mereka berada di mana-mana di seluruh negara. Ada masa mereka menghubungi saya. Saya layan mereka sebagai pelajar. Nasihat dan tunjuk ajar tetap diberi kerana saya takut ada yang tidak selari dengan sekolah. Pada peringkat awal praktikum memang seperti kalut. Ramai yang terkejut dengan budaya Pengajaran dan Pembelajaran di sekolah. Pengajaran Mikro di universiti masih belum cukup membina keyakinan. Tidak mengapa. Proses belajar tetap panjang.
Praktikum sudah hampir benar akan tamat. Pacuan dan pecutan akhir untuk sampai ke garisan penamat. Bila titik noktah itu tiba nanti, pastinya saya akan kehilangan anda semua. Lazimnya saya tidak pernah mengambil pusing akan pelajar-pelajar yang akan meninggalkan universiti. Pelajar sentiasa datang dan pergi. Saya tetap di sini. Setia menunggu kumpulan pelajar lain yang akan datang. Juga silih berganti.
Bila meninggalkan universiti, tentunya pelajar akan kehilangan alma mater mereka yang dihuni antara dua hingga empat tahun. Mungkin jangkamasa yang pendek tetapi di UTHM ini anda didewasakan, ditarbiahkan, dinobatkan sebagai siswazah. Siswazah sebuah menara gading di selatan tanahair. Lalu nantinya anda semua akan keluar menabur jasa ke seluruh pelosok negara, dari Perlis hingga ke Sabah. Duduklah dalam lingkungan itu. Didiklah anak bangsamu. Sesungguhnya di bahu anda semua terletaknya tanggungjawab untuk membina negara bangsa.
Bila tirai berlabuh nanti, bila segulung ijazah sudah digenggam, bila bakti sudah mula ditagih, langkahkanlah kakimu menerpa dan menerjah peluang untuk berbakti. Melaluinya nanti binalah kerjaya dan profesionalisma masing-masing. Negara ibunda menanti dengan penuh harap. Satu demi satu kejayaan mesti dicipta. Satu persatu tangga peningkatan diri dipanjat naik hingga ke mercunya.
Setelah keluar, setelah mula berkhidmat, setelah mula mabuk dengan kejayaan, setelah jauh usia dari muda, setelah lupa UTHMmu, tolehlah ke belakang. Nun jauh di belakang anda semua telah jauh meninggalkan saya kerana saya tetap di sini. Usahlah merasa sudah puas. Usahlah merasa sudah cukup. Usahlah merasa sudah punya segala. Jangan sekali-kali pula merasa bahawa diri sudah hebat dan besar. Jangan, jangan, jangan.
Dari jauh saya tetap melihat bahawa dalam diri anda ada sebahagian dari diri dan ruh saya. Bayangan saya sebagai gurumu tidak mungkin boleh dipadamkan. Pelajar yang fobia, yang trauma, yang benci, yang takut, yang tidak peduli sekalipun tetap membawa bersamanya bayangan itu. Ia akan mendarah daging dalam diri anda semua.
Saya ikhlaskan semua yang telah saya beri, saya sampaikan, saya curahkan, saya didik, saya tarbiahkan, saya kongsikan. Pakailah jika mahu dipakai, buanglah jika mahu dibuang. Tugas saya memberi. Tugas pelajar menerima atau menolak.
Dirgahayu dari saya. Selamat melabuh khidmat.
sungguh tersayat membaca blog ini. sekiranya selepas ini saya akan berkhidmat sebagai guru, saya akan belajar dan terus belajar. Dan bila saya mengajar, saya dapat rasakan bahawa pelajar perlu dihormati.
ReplyDeleteTerima kasih, jika boleh memahami.
ReplyDelete