Rumah kampung seperti yang ceritakan dulu amat daif. Kembali menyorot ke zaman itu amat memilukan. Ingatan saya akan kembali kepada arwah ibu saya. Rumah kayu, berdinding kulit kayu. Disulam pula dengan pelepah sagu. Berlantai batang pinang. Atapnya daun rembia. Di bahagian hadapannya sahaja berlantaikan papan.
Atap rembia bukannya tahan lama. beberapa bulan mulalah datang reputnya. Oleh kerana rumah kampung tiada bersiling, reputan atap berguguran ke lantai. Hari-hari kena bersihkan. Maka atap yang reput itu juga selalu menjadi sarang cicak. Tahinya merata-rata setiap pagi. bersih sana bersih sini.
Bila hari hujan, mengalirlah air atap itu ke dalam tempayan, guri dan kolah. Faham sahajalah bahawa air hujan yang awal itu pastinya penuh kotoran. Mungkin tahi cicak bersusun meluncur turun. Air itulah untuk makan minum. Tidak ada pilihan lain. Geli? Orang sekarang mungkin berasa begitu. Bagi kami waktu itu, air hujan rahmat belaka. Dengan basmalah kami minum. Dengan basmalah kami makan. Itulah air yang menghidup dan membesarkan saya. Dalam diri saya mengalir air itu. Air hidup. Air yang menyambung umur saya. Air yang merangkaikan keturunan saya.
Menjadi anak kampung memang perlu banyak berdikari. Saya bukan sahaja diharap ibu untuk selalu mengganti atap rembia yang rosak, menampal yang bocor. Atap rembia bila buruk akan merompong. Minipis hingga bila hujan berguguran airnya jatuh ke lantai. Jika di bilik tidur, basahlah tilam, bantal, cadar dan selimut. Aduh, rumitnya mencari tempat berteduh. Sejuknya air hujan. Menggigil dibuatnya. Lebih teruk jika menjelang dinihari.
Bila hujung minggu saya akan memotong pelepah rembia. Dipotong lurut daunnya. Dihimpun di bangsal. Selalunya mengkawan sudah sedia sentiasa. Batang pinang tua dibelah-belah sebesar jali telunjuk. Dijemur. Bila kering disusun dan disimpan. Perlu digunakan bila-bila masa. Untuk mencucuk atap perlukan kulit bemban. Itulah pengikat helaian-helaian daum rembia yang bertulangkan mengkawan tadi. Kemahiran perlu ada untuk mencucuk atap yang kemas dan kuat. Jika tidak mudah terbarai dan tebalnya tidak merata.
Daun rembia bukan sebarang daun. Ada duri-duri halus sepanjang-panjang lidinya. Masa itu bukan ada sarung tangan. Pandai-pandailah memegang dan mengangkutnya. Untuk menyusun atap yang sudah siappun siksa juga mengelakkan duri. Halus dan kecil tetapi bisa bila melukakan. Kalau menggaris kulit bak sembilu bisanya.
Memanjat rumah bukan senang kerjanya. Atap yang buruk dan rosak perlu dibuang dahulu. Bayangkanlah banyaknya reputan berguguran ke lantai rumah. Memang kena basuh. Tak mungkin. Air paip belum ada. Untuk mengangkut air parit 200 meter jauhnya. Hendak tak hendak sapu sahaja sebersih-bersihnya. Berada di atas rumah, gayat juga rasanya. Duduk di atas memegang kasau-kasau juga menakutkan. Mana tahu ada yang reput. Kalau patah, alamat ke bawahlah saya. Bumbung tu tinggi juga. Ramai yang jatuh begitu patah pinggang. Mana tidak, semuanya kayu keras belaka. Kena pinggang memang tiada maaf.
Mustafa Kamil Yassin, seorang pensyarah di Institut Bahasa (dulu maktab Perguruan Bahasa), mengarang drama yang berjudul Atap Genting Atap Rembia. Drama pada akhir tahun 60an itu adalah manifestasi konflik sosial antara orang bandar (kaya) dengan orang kampung (miskin). Genting menjadi lambang kaya dan rembia menjadi lambang miskin. Saya yang bersekolah di bandar, kemudian di Institut Bahasa, kemudian di Universiti Malaya, kemudian di USA dan kemudian di Kanada, sampai sekarang masih fobia dengan orang bandar. Saya sendiri duduk di bandar tetapi nun di sudut hati saya masih orang kampung. Kekampungannya masih ada. Entahlah mungkin ada orang perasaan. Mempamerkan penampilan yang anggun belum menjamin hilangnya stigma kekampungan itu. Rasa yang di dalam itu pasti menyerlahkan wajahnya di luar.
Begitulah anak lelaki kampung. Seluruh masanya di kampung. Jiwanya selalu kembali ke kampung. Sukar dimengerti terpaan-terpaan imbauan masa yang selalu menjengah masa dan rasa. Teringat indahnya, damainya, amannya, naifnya kehidupan. Tiada hiruk pikuk. Yang ada, hidup yang menyambung kelestarian. Warisan zaman yang indah mengenangkan.
Damailah hati. Damailah rasa. Kembaramu masih berlalu. Jauhnya destinasi tiada siapa menentu. Di mana sudahnya. Di manakah akhirnya? Upayakah diungkap? Mampukah ditatap? Bayangan masa lalu yang mengharap. Imbasan masa depan yang tiada tetapnya. Saya tetap pengembara masa. Merentas zaman mencari bahagia. Meninggalkan zaman lalu yang penuh kesukaran.
No comments:
Post a Comment