Thursday, February 11, 2016

Masihkah Kau Ingat



Masihkah kau ingat sewaktu kecil dahulu. Sewaktu kau sangat kecil. Sewaktu kau belum tahu apa-apa. Sewaktu kau hanya mahu semua yang kau nampak. Sewaktu kau tamak hendakkan semua yang ada di hadapan mata. Kau kedekut pada kakak dan abang. Kedekut pada adik-adik. Malah kau kedekut pada ibu dan ayah kau. Masa kau ketka itu tahunya hanya banyak menangis. Masa kau tahunya banyak menjerit. Dunia ini kau mahu segala-galanya. Tidak boleh untuk orang lain. Malah untuk ibu dan ayah juga tidak boleh. Segala-galanya untuk kau seorang sahaja. Matamu jadi gelap. Telingamu jadi tertutup. Perasaanmu jadi terhijab. Orang lain di sekeliling kesemuanya tidak ada dalam perkiraan. Yang penting diri kamu sendiri. Jarak masa hanya sementara. Rupanya apabila kamu tua sifat sewaktu menjadi kanak-kanak kembali kepada dirimu. Semua yang ada ingin kau miliki. Tidak ada yang ingin dikongsi. 

Masihkah kau ingat sewaktu kau meraung meminta mainan di kedai dahulu. Kau meminta dengan tangis mainan pistol dan pedang. Kau minta patung dan periuk masak-masak. Itu belum baju gaun warna merah berenda-renda. Masihkah kau ingat sate yang tidak mampu dibeli. Anggur yang hanya mengecurkan air liur. Rojak yang hanya mampu dihirup baunya. Roti canai yang hanya wangi rangupnya. Baju raya yang sangat kau idamkan. Kau tangisi. Kau jerit sekuat hati. Kesemuanya untuk kepentingan diri. Masa itu kau kuasai suasana. Bentak kakimu sangatlah kuat. Tidak peduli rasa sakit. Nanti bila tidurmu ibu dan ayahlah yang mengelus dan mengurut. Tidurpun rengekmu sangat kuat. Kasih sayang ibu dan ayah kekal dalam ragam dan tangismu. Kamulah anak mereka. Malah kasih sayang ibu dan ayah tumpah kepadamu. Tidak ada pilih kasih. Siapalah kamu jika bukan cahayamata ibu dan ayahmu.

Ingatkah sewaktu air besarmu merata-rata di ruang tamu. Air kecilmu meresap di karpet tebal baru dibeli. Ingatkah makanmu bersepah di meja makan. Minummu tumpah di lantai. Bajumu basah dan comot. Mulutmu penuh kotor nasi dan lauk-pauk. Kerusimu tiada ruang yang tidak kotor. Ketika itu ada tangan-tangan sabar yang mendamaikan ragammu. Sabar menyuap makanan ke mulutmu. Menghapus sepah dan sampah. Minyak dan lekit gula yang memualkan kepada mereka yang tidak mempunyai anak. Tetapi tidak bagi ibu dan ayahmu. Kamulah anak mereka. Tidak ada yang lain. Sepahmu menghiburkan. Tangismu mendamaikan. Ragammu bertingkah dengan kasih sayang mereka. Mana ada pilih kasih yang datangnya dari hati mereka? Yang terpamer hanya kasih dan sayang. Hanya kasih dan sayang. Hanya kasih dan sayang. Kamu menjadi harapan sehingga usia lanjut mereka. Harapan mereka. Tiada anak yang berkemampuan memenuhi harapan itu. Mungkin sebahagian kecil sahaja. Terlalu sedikit bilangannya. Anak-anak yang mendapat hidayah Yang Maha Mengetahui.

Ingatkah sewaktu sakitmu diusap sayang oleh ibu dan ayahmu. Demammu dituam dengan kasih. Kembungmu diurut dengan tanggungjawab. Penatmu diriba mesra. Rajukmu disapa ramah. Siangnya kamulah cahaya. Malamnya kamulah bulan. tertumpah segalanya kepada kamu. Anak yang memang diharap untuk berjasa kepada orang tua. Kepada ibu dan ayah yang menyayangimu. Rupanya masa menjarakkan dua hati. Hati anak tidak sama dengan hati dan perasaan ibu dan ayah. Sebagai orang lama, ibu dan ayahmu ada tradisi yang mereka pelihara. Anak-anak yang selalunya mencipta standard yang bercanggah dengan tradisi amalan ibu dan ayahmu. Maka terciptalah kelainan dan perbezaan. Itu yang akhirnya kamu besar-besarkan dan kamu jadikan sumber keresahan. Bahawa ibu dan ayahmau pilih kasih. Hanya setelah kamu tua nanti barulah datang perasaan itu kembali menghantui jiwa tua. Kitarannya pasti datang dalam bentuknya yang tersendiri. Ingatlah bahawa ibu dan ayah adalah dua sosok yang tidak boleh dilukai hati dan perasaannya. Allah tidak redha kerananya! Allahu akbar!

Ingatkah sewaktu makanan tidak cukup, kaulah yang diutamakan. Ketika ibu dan ayahmu menahan lapar, kaulah yang dikenyangkan. Ketika ayahmu ketiadaan wang, apa yang ada diserahkan kepadamu untuk sekolahmu. Keupayaan menanggung anak-anak bukan kepalang sukar dan susahnya. Kebetulan zaman kau kecil bukan zaman mewah. Bukan zaman wang datang melimpah. Zaman itu kesemuanya dicatu. Disukat mengikut kemampuan. Yang penting kau dan keluargamu terus hidup. Kesinambungan sebuah keluarga yang hidupnya penuh dengan kesukaran. Kais pagi makan petang dan kais petang malan pagi. Meminjam bukan perkara asing. Terlalu banyak kali dilakukan demi sesuap nasi. Demi kehidupan anak-anak. Tidak ada anak yang memahami peritnya menjadi orang tua. Hanya apabila masing-masing menjadi tua barulah Allah berikan sedikit pengalaman menjadi ayah dan ibu. Tetapi hidupmu dalam zaman yang jauh sangat mewah berbanding ketika kau kecil dahulu.

Itulah sewaktu kecilmu. Itulah semasa kanak-kanakmu. Itulah sewaktu semuanya tidak cukup. Semasa semuanya tidak ada yang lebih. Semasa hidup serba susah. Sewaktu kehidupan mencengkam kemiskinan. Masa yang berlalu mendewasakan. Lalu menuakan. Lalu ibu dan ayahmu menjadi sangat tua. Ketika inilah mirror image sewaktu kecilmu kembali menemuimu. Dahulu ragammu menggeramkan. Kadang-kadang memeningkan. Kadang-kadang memalukan. Malah kadang-kadang mengaibkan. Tidak kurang pukul dan cubit. Tidak kurang marah dan tengking. Tidak kurang tinggi suara kerana ragammu yang dahulu. Ragam anak-anak. Ragam kanak-kanak. Sekarang ragam itu terjadi kepada ibu dan ayahmu. Mereka kembali ke zaman kanak-kanak mereka. Zaman seperti yang kau lalui dahulu. Gerakanya perlu dibantu. Hidupnya banyak perlukan bantuan. Apakah air kecilnya redha kau hidu? Apakah air besarnya redha kau bersihkan? Hingusnya redha kau lap. Leleh minumnya redha kau kesat. Ragamnya. Ragamnya. Ragamnya yang banyak dan luar biasa.  


Apakah kau boleh menerima perubahan itu. Apakah kau boleh menerima tingkah mereka. Menerima ragam mereka. Karenah mereka. Apakah kau kembali kepada anak-anakmu. Mengadu tingkah-laku kedua ibu dan ayahmu. Bercerita tentang kedua ibu dan ayahmu. Bercerita tentang nada negatif bahwa kedua ibu dan ayahmu tidak seperti dahulu. Tidak nampak siuman seperti mudanya dahulu. Banyak yang anak-anak merasakan ibu dan ayahnya tidak memuaskan hati. Bisingnya melebihi biasa. Kehendaknya yang bukan-bukan. Baru beberapa ketika sudah datang bosanmu kepada mereka. Kitaran itu akan kembali kepada kita. Kepada kita semua. Tanpa kecuali apabila kita panjang usia. Sakit dan pening tidak tahu bila datangnya dari Allah. Ajal pasti tiba. Mudah-mudahan kita terhindar dari azab dunia hanya kerana kita tidak redha dengan ibu dan ayah yang menjadi tua dan banyak ragamnya. Itu ibu kita. Itu ayah kita. Bukalah dada sebentar. Masih adakah sedikit kasih menyelinap di hati?

Sunday, February 7, 2016

Pesaka Bukan Untuk Yang Tiada Sahaja



Ramai antara kita pernah mengunjungi museum. Jika tidak pernah pergi sekalipun kita mengetahui apa itu museum. Bukan bangunannya yang penting tetapi khazanah yang tersimpan dan terpamer di dalamnya. Ianya merupakan warisan bangsa dan negara. Warisan yang  dibina berzaman-zaman. Bak kata Hang Tuah, “Tidakkan Melayu hilang di dunia.” Warisan keluarga begitu juga. Warisan peribadi apatah lagi. Suatu ketika nanti warisan itu untuk tatapan anak cucu. Mendidik mereka menghargai apa yang di sebalik warisan itu. Ianya mungkin momento kecil yang tiada erti kepada orang lain. Mungkin tiada nilai kepada sesiapapun. Tetapi ia kekal untuk menjadi pengajaran bahawa nenek moyang kita pernah berjaya dalam kategori selayaknya untuk diri mereka. Tercatat kejayaan-kejayaan walaupun tidak begitu gah seperti kejayaan mereka yang laluan kejayaannya lebih mudah. Kejayaan tetap kejayaan. Itulah warisan keturunan yang tidak seberapa.

Dalam kehidupan semua manusia ada hal-hal yang sangat diberi nilai tinggi. Disayangi.  Diletak di tempat tinggi. Terpahat di sudut hati. Menggembira dan membahagiakan. Dalam aspek ini kita jarang meraikan kegembiraan dan kebahagiaan orang lain. Khususnya orang tua kita sendiri. Ibu dan ayah kita sendiri. Lazimnya, lazimnya kita memandang rendah warisan keluarga. Kita tidak memberi apa-apa nilai terhadapnya. Kita tidak pula memanjangkan nilai warisan itu kepada anak cucu kita. Kita putuskan dari kitaran kebanggaan keluarga. Bahawa warisan itu besar ertinya dalam kesinambungan keluarga.

Kita selalu melihat  melalui kacamata kita. Melalui mata zahir kita. Persekitaran semasa kita. Kita lupa bahawa jarak waktu membezakan penilaian. Harga yang berubah kerana jangka waktu. Apatah lagi jika jangka waktu itu tersangat panjang. Masa bukan sahaja menjarakkan penilaian tetapi juga menghakis nilai-nilai peradaban keluarga. Malangnya keadaan sebegitu berlaku ketika datuk dan nenek kita masih hidup. Sewaktu ibu dan ayah kita masih segar bugar menikmati kehidupan alam maya ini. Lihat dan imbau kembali:
Sebuah rumah usang
Beberapa pohon buah yang sudah menjulang tinggi
Peralatan rumah yang vintage dan antik 
BantaL, tilam dan cadar yang kusam

Yang kita lihat kesemuanya lama. Buruk. Menjemukan. Menyakitkan mata semata-mata. Kita tidak ingin melihatnya. Malah pada kebanyakan masa kita ingin membuangnya. Membakarnya. Menjualnya. Memberikannya kepada sesiapa sahaja yang  sudi menerimanya. Bukan kita dan bukan anak cucu kita. Warisan itu ingin kita campak sejauh-jauhnya. Kita nyahkan dari pandangan mata zahir kita. Nanti dulu! Bolehkah ianya kita buang dari mata hati kita? Dari kenangan dan ingatan kita? Rasanya sangat sukar untuk kita berbuat begitu. Bagaimana jika kita berada di tempat datuk dan nenek kita. Tidakkah parah hati mereka dengan sikap apathy (tidak peduli) kita? Kesemua yang disayanginya tiada anak cucu yang mengambil tahu. Mata tua itu hanya berkaca. Pedih melihat kesayangannya terabai begitu sahaja.

Lihat kembali rumah buruk yang tidak ada nilai kepada kita. Di rumah itulah kita dilahirkan. Atau dibesarkan. Atau dikahwinkan. Atau anak  kita lahir di rumah itu. Ingat kembali meriahnaya rumah itu dengan kehadiran anak cucu. Tawa dan tangis yang bersulam. Tingkah bual yang memanjang hingga larut malam. Pertemuan kerana lama berpisah. Pertemuan pada waktu-waktu yang mengujakan. Bertanya khabar dan berita. Ketika itulah saat membahagiakan datuk dan nenek. Anak dan cucunya berhimpun kembali memeriahkan rumah tua yang banyak duka dan dukanya. Tidak gah dan agam. Tidak cantik dan penuh dengan seni. Tetapi itulah rumah untuk anak dan cucu. Rumah yang telah mendewasakan anak-anaknya.

Benarlah ibu dan ayah kita berjaya dalam bidangnya. Berjaya membina rumah yang lebih besar. Tetapi ibu dan ayah datang dari datuk dan nenek yang kita lihat buruk. Yang kita lihat tua. Yang kita lihat tidak ada serinya lagi. Yang kita lihat berkedut beribu. Yang kita lihat tidak sewangi ibu dan ayah kita.  Yang kita lihat ragamnya berbeza dari orang zaman ini. Yang kita lihat uzur dan lemah. Tetapi dari merekalah datangnya ibu dan ayah kita. Dari merekalah besar dan dewasa ibu dan ayah kita. Dari kemiskinan merekalah ibu dan ayah kita dijadikan manusia. Dari kedaifan merekalah ibu dan ayah kita menjadi insan yang kita tatap sekarang.

Malang dan malang apabila warisan keluarga menjadi terbiar. Seorang tua yang kembali menatap rumah buruknya hanya mampu diam. Tidakkah hatinya merintih. Rumahnya bertambah buruk. Dia kehilangan semangat yang pernah ditanamnya di rumah itu. Museum masih dikunjungi ramai. Masih dipandang dan dinilai. Masih dekat di hati setiap warga. Tetapi bukan harta kesayangan datuk dan nenek. Mereka masih hidup tetapi tiada anak cucu yang ingin menghargai apa yang pernah mereka sayangi. Rumah tinggal rumah. Banyak cicak dan lipas. Tiada kaki yang ingin lagi memijaknya. Kosong dan kosong. Sekosong hati datuk dan nenek. Tempayan lama yang dahulu setia menakung air tinggal berlumut hitam. Halaman rumah yang dahulu bersih tinggal pasir dan batu kecil yang bertabur. Sepi tanpa tuan.

Begitulah bezanya antara yang lama dan yang baru. Yang tua dan yang muda. Yang muda memandang rendah apa sahaja yang dahulunya untuk orang tua mereka. Yang lama hanya mampu melihat gelagat yang muda. Melihat tari dan rentak yang muda. Yang muda pula tidak pernah terfikir bahawa kitaran yang sama akan menimpa dirinya. Mungkin lebih hina berbanding dengan layanannya terhadap ibu dan ayahnya. Terhadap datuk dan nenek. Tunggulah kitaran itu. Bukan lama. Lima tahun. 10 tahun. Mungkin tidak terlalu lama.

Kita jarang insaf akan kelemahan kita. Muda kita hanya sementara. Tua kita juga sementara. Ikatan rasa dan warisan bukan semudahnya dipisahkan. Darah dan daging tidak dapat dipisahkan. Tetapi kita membuat perhitungan sendiri. Kita lari dari yang lama. Kita hindari mereka. Kita lari juga dari yang tua. Hanya harta dan wang ringgit mereka barangkali yang masih mengikat kita kepada mereka. . Mengharapkan pesaka yang tidak seberapa. Kita lupa walaupun yang sudah pergi tidak perlukan harta dunia, kitalah warisannya yang menjadikan harta pesaka mereka berguna di alam barzah. Membantu mereka. Doa dan menyayangi apa yang dahulunya mereka sayangi.


Apakah tua kita nanti seperti mereka sudahnya?

Wednesday, January 13, 2016

Mana Ada Yang Hilang Berganti



Kadang-kadang pepatah hanya penyedap hati. Yang patah akan tumbuh. Yang hilang akan berganti. Kepada yang mengalaminya, pasti menafikan kebenaran pepatah tersebut. Mana mungkin yang hilang ada penggantinya. Mungkin sama tetapi tidak serupa. Mungkin serupa tetapi tidak sekali-kali sama. Hati sahaja yang cuba menenangkan keadaan. Bahu yng memikul sahaja yang merasa beratnya. Apabila kehilangan berlaku hanya lompang rasa yang terhidang. Hilang dari mata. Tinggal kenangan yang entah hingga bila akan sama-samar juga jadinya.

Itu cerita orang bercinta. Bunga bukan sekumtun dan kumbang bukan seekor. Malangnya hati selalu tertipu. Bunga yang satu itu juga yang ingin direbut-rebut. Pilihan lain yang lebih baik dipinggirkan. Diabaikan. Mengikut kata hati dan bukan kata akal. Kumbang seekor itu juga yang dikejar-kejar. Entah ke mana terbangnya masih diintai-intai. Banyak pun celanya tetapi kata hati juga yang diturut. Hati menafikan bahawa ada ganti yang lebih baik. Tetap dikata tidak sama. Tidak serupa.

Cerita keluarga jarang menjadi topik berakhir. Apabila ibu atau ayah meninggalkan kita, jarang kita sibuk kerana kehilangannya. Sedangkan kehilangannya tiada pengganti. Tiada siapa yang boleh mengganti. Tiada seorang manusia pun yang berani menggantikannya. Apabila mereka pergi, pergilah yang tiada pernah akan kembali lagi. Kita kehilangan dan terus kehilangannya. Maka tualah kita menggantikan tempatnya. Sampai masanya kita pula yang akan hilang di mata anak-anak dan cucu-cucu kita sendiri.

Ibu dan ayah jarang dilihat sebagai permata. Tidak disayangi seperti emas tempawan. Tidak juga seperti harta dan wang ringgit. Malah semasa hidupnya kita lebih utamakan kesibukan kita. Kita sibuk dengan masa dan kerja. Dengan rakan dan taulan. Ziarah kita menatap ibu dan ayah terlalu singkat berbanding kita melancong ke luar negara yang memakan berhari-hari lamanya. Andainya kita melancong selama lapan hari ke Andalusia, cuba kira dalam minit dan jam.
8 hari x 24 jam               = 192 jam
192 jam x 60 minit        = 11,520 minit

Mungkin pada hari raya kita ziarahi ibu dan ayah kita. Berapa lama? Dua jam? Tiga jam? Kita sibuk hendak beransur pergi. Hendak menziarahi saudara mara yang lain. Tan sri, datuk dan mereka yang berpangkat. Sahabat handai yang kita utamakan. Berapa kali lagi kita ziarahi ibu dan ayah kita dalam setahun. Berapa lama kita duduk menatap mereka. Andaikan:
Setahun 8 kali
Setiap kali satu jam
Bermakna setahun 8 jam. 10 jam campur hari raya selama dua jam.

Kita melancong pula 192 jam setahun. Maka kita melancong menatap ibu dan ayah hanya 10/192. Kira-kira 5% sahaja dari waktu kita melancong. Kita ziarahi ibu dan ayah kita sebanyak 20 kali baru sama dengan kita melancong sekali sahaja. Hampir tiga tahun lamanya baru sama dengan sekali melancong. Siapa yang zalim. Kita menzalimi diri kita sendiri atau kita menzalimi ibu dan ayah kita.

Aduhai malangnya anak. Malangnya cucu kerana mereka lagilah jarang menjengah datuk dan nenek mereka. Kepada mereka datuk dan nenek adalah tanggungjawab anak-anak datuk dan nenek mereka kecuali emak dan bapa mereka. Kecuali ibu dan ayah mereka sendiri. Pak cik dan mak cik yang lain kan ada. Ibu dan ayah mereka seboleh-bolehnya perlu dikecualikan. Begitulah turutan dan kitaran keluarga. Datuk dan nenek akan selalu dilupakan. Maka jangan terpana apabila kita tua maka nanti tiada siapa yang pedulikan kita. Ketika kita memerlukan bantuan tiada siapa yang sudi meluangkan masa. Tiada sudi meluangkan tenanga. Tiada siapa yang sudi meluangkan harta dan wang ringgit mereka.

Dalam kitaran manusia mereka lupa bahawa ibu dan ayah mereka dikandung oleh nenek. Dilahirkan oleh nenek. Dibesarkan oleh nenek. Dijadikan manusia oleh nenek. Datuk pula mencukupkan nafkah untuk hidup walaupun seadanya bagi kebanyakan kita. Ukurannya berbeza mengikut kemampuan. Datuk dan nenek memberi yang terbaik kepada ibu dan ayah kita. Semampu kudrat yang ada. Semampu peluang yang ada. Begitulah selalu terjadi datuk dan nenek terpisah apabila cucu menjadi dewasa. Ibu dan ayah menjadi hijab kepada datuk dan nenek mereka yang memulakan keluarga. Ibu dan ayah menjadi fokus sehingga datuk dan nenek menjadi mereka yang di luar kotak pemikiran. Orang asing di luar kotak perbincangan.

Tidak bagi Allah. Redha Allah bergantung kepada redha ibu dan ayah. Cucu oleh ibu dan ayahnya. Ibu dan ayah kepada cucu itu oleh datuk dan neneknya. Usia tidak dijadikan kayu ukurannya. Anak yang tua sekalipun diwajibkan bertanggungjawab terhadap ibu dan ayah mereka yang lanjut usia. Mungkin tidak masuk akal untuk anak-anak yang sudah tua-tua terpaksa merawat ibu dan ayah mereka yang lanjut usia. Sudah tidak ada keuyapaan lagi. Ketika inilah tanggungjawab cucu meringkan beban dan tanggungjawab ibu dan ayah mereka untuk merawat datuk dan nenek yang lanjut usia.

Semasa kecil tanggungjawab ibu dan ayah untuk membesar dan menjadikan anak-anak manusia berguna. Apabila anak-anak menjadi dewasa kitarannya terbalik. Mereka bertanggungjawab menjaga ibu dan ayah serta datuk dan nenek. Gantilah diri kepada ibu dan ayah yang sudah tidak berupaya. Allah perintahkan kita menjaga mereka yang di atas kita. Yang lebih tua dari kita. Sesungguhnya apa yang kita berikan kepada mereka, anak cucu kita yang akan membalasnya. Pengalaman menunjukkan bahawa anak cucu yang peka dalam hal ini maka Allah akan membalas kebaikanya ketika mereka tua dan lanjut usia nanti.

Ingatlah ibu dan ayah sangat tinggi nilainya kepada kita. Berbaktilah semasa hayatnya. Layan karenahnya. Ikuti kehendaknya asalkan tidak mengakibatkan syirik. Berbakti kepada mereka bukan selamanya. Mungkin kita yang pergi dahulu. Mungkin mereka memerlukan kesabaran kita. Sesungguhnya bakti terakhir anak dan cucu besar nilainya di sisi Allah. Sangat besar hingga ada mereka yang beruntung dijanjikan Allah dengan syurga. Bacalah Uwais al-Qorni dan khidmatnya kepada ibunya tiada tolok bandingnya. Diiktiraf oleh Rasulallah. Doanya menembusi langit. Jenazahnya diuruskan dan diiringi malaikat. Tidak dikenal di bumi tetapi menjadi sebutan penduduk langit.

Bila lagi hendak sibuk melayan ibu dan ayah. Melayan makan dan minumnya. Mendengar cerita dan celotehnya. Cerita lama yang terlalu kerap kita dengar. Bukan susah meminjamkan telinga untuk mendengar suaranya. Apabila Allah tarik suaranya kita penasaran kerana tidak memahami apa yang diminta. Apa yang dicakap. Apa yang mahunya. Ibu dan ayah yang sakit meninggikan suara kerana marah yang tidak dapat diungkapkan. Ketika itu kita hanya mampu mencari jawapan yang tidak pasti. Kita yang telah lama malas hendak mendengar celoteh yang tiada maknanya kepada kita. Riwayat terakhir dari ibu dan ayah; datuk dan nenek itu tidak mahu kita dengar.

Akhirnya kesemuanya terhenti. Ajal datang menjemput ibu dan ayah yang lanjut usia. Mungkin yang sekadar tua. Jangan lupa ada ibu dan ayah yang matinya ketika muda. Kita belum sempat berbakti. Beruntunglah Allah memberi peluang untuk kita berbakti kepada ibu dan ayah yang lanjut usia. Malangnya kita selalu melalaikan peluang tersebut. Kita berharap anak dan cucu lain yang melakukannya. Kita tetap leka dengan khayalan hidup kita sendiri.

Berhentilah sejenak untuk merenung masa hadapan kita sendiri. Bayangkan yang tua itu kita sendiri. Anak-anak sibuk dengan cucu-cucu mereka. Tiada yang melapangkan masa. Yang menghadiahkan tenaga. Apatah lagi tiada yang meringankan kehidupan kita. Kita terlonta secara fizikal dan emosi kerana anak-anak dan cucu sibuk dengan dunia mereka. Benarkah begitu? Pasti begitu. Masanya terlalu dekat. 10 tahun, 20 tahun atau 30 tahun. Anak-anak dan cucu yang sibuk itu akan tua dan lanjut usia. Lihat kembali situasi sekarang. Apa yang kita lihat itulah yang akan orang lihat pada diri kita.


Jawapannya mudah sebenarnya. Didiklah anak-anak supaya menyayangi yang lebih tua. Didiklah cucu-cucu supaya menyayangi yang lebih tua. Didiklah cicit-cicit supaya menyayangi yang lebih tua. In sya Allah kitaran itu akan memberikan kebaikan kepada warisan dan kerurunan kita. Jika kitaran ini terputus kita yang akan tua yang akan menerima akibatnya. Impaknya sangat besar.

Sunday, November 22, 2015

Antara Hasrat Dunia dan Akhirat



Ada antara kita inginkan sesuatu yang belum kita miliki tetapi ada pada orang lain. Yang lain inginkan sesuatu yang sangat sukar diperolehi. Yang lain bersusah-payah kerana ingin mendapatkan sesuatu yang diidamkan. Ada yang berputus asa kerana merasa sukar dalam usahanya. Ada yang terus-menerus berusaha walaupun ganjarannya seperti tiada. Sementara yang lain berusaha dan berusaha untuk mendapat redha Allah. Kepada mereka Allah adalah sebaik-baik tempat berharap. Dalam senario lain ada orang berjaya kerana keluarganya sudah berjaya. Ia dilahirkan dalam kejayaan. Yang lain berjaya kerana usaha yang tidak pernah mengenal lelah. Ada pula yang menerima dengan penuh kesyukuran apa sahaja yang datangnya dari Allah. Sebagai hamba ia hanya berupaya berusaha dan berusaha, berdoa dan berdoa, memohon dan bermunajat, akhirnya bertawakal menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Jika berjaya disyukuri. Jika beluam berjaya diteruskan usahanya.

Dalam keadaan apa sekalipun perjalanan kita tetap menuju akhirat. Segala yang kita utamakan di dunia akan berakhir. Akan kita tinggalkan. Kita pesakakan kepada waris. Kita serahkan kepada yang berhak untuk mengambilalihnya. Kita pergi yang tidak kembali. Pengakhiran yang mudah-mudahkan husnul khotimah. Pengakhiran yang diterima Allah. Diredhai Allah. Dirahmati Allah. Mendapat ihsan Allah. Dalam hal ini terlalu banyak cerita dan ceritera yang dikisahkan dari dahulu hingga sekarang.

Hadith: Rumah yang tidak dibacakan al-Quran di dalamnya ibarat sebuah kuburan yang gelap gelita dan sunyi sepi.
Pesakit kritikal yang nazak: Permintaan terakhir mereka ialah ingin memegang al-Quran walaupun tidak tahu membacanya.
Pesakit lain: Ingin pengakhiran dirinya dengan mendengar bacaan al-Quran. Ditalqinkan dengan ayat-ayat al-Quran.
Pesakit tenat: Dibacakan al-Quran. Surah Yasiin atau surah-surah yang lain.
Pesakit: Didoakan dengan bacaan ayat-ayat al-Quran.

Antara sifat al-Quran ialah penyembuh. Sama ada penyakit fizikal atau penyakit rohani. Penyakit hati. Penyakit dalaman yang mengganggu ketenangan, kerungsingan, ketegangan fikiran dan ketidaktenteraman jiwa.

Sebagai Muslim kita telah dididik dengan al-Quran sejak kecil lagi. Malah ada ibu dan bapa yang mendidik janinnya yang masih dalam kandungan lagi. Janin itu tenang mendengar ayat-ayat suci al-Quran. Semoga lahirnya hanya hidup seperti saranan al-Quran. Menjadi anak yang soleh dan solehah. Mengasihi Allah, RasulNya, kedua ibu dan bapanya, guru-gurunya dan semua Muslimin yang menjadi saudaranya. Apabila dilahirkan anak itu diazan dan iqamahkan. Apabila sudah pandai bertutur kata diajar pula dengan ayat-ayat al-Quran. Membesarlah ia di rumah dan di sekolah dengan belajar al-Quran. Namun begitu sifat kita berubah sedikit demi sedikit. Kebanyakan kita menjauhkan dari dari al-Quran sehinggakan kita tidak mahu lagi berjinak-jinak dengannya untuk:
1                    Lebih dekat lagi dengannya.
2                    Memahirkan bacaan seperti yang dituntut.
3                    Mendalami ilmu berkaitan dengannya.
4                    Memperbaiki kelamahan-kelemahan yang ada pada diri kita dari segi bacaan, kefahaman dan memanfaatkan al-Quran itu sendiri.

Uthman bin Affan telah berkata bahawa sebaik-baik antara kamu ialah mereka yang mempelajari al-Quran dan kemudian mengajarkannya kepada orang lain. Sesungguhnya ilmu yang disampaikan kepada orang lain adalah antara amal jariah yang tiada tolok bandingnya. Ilmu al-Quran pastinya diajarkan kepada generasi yang berikutnya dari satu generasi hingga generasi selepasnya. Mudah-mudahan mereka yang terlibat dengan pengajaran dan pembelajaran al-Quran mendapat saham yang sentiasa menumpuk sehingga datangnya hari pembalasan. Walaupun al-Quran disampaikan secara mutawatirah namun pada hakikatnya, masih ramai antara kita yang belum mencapai tahap mahir dalam membaca al-Quran. Kerap kali ramai yang menolak untuk menjadi imam sewaktu solat berjemaah sama ada di masjid, surau atau di tempat-tempat ramai. Kita menjadi tidak yakin dengan ilmu al-Quran yang kita miliki.

Kita boleh jadi siapa sahaja dalam alam pekerjaan. Dalam kerjaya. Dalam akademik. Dalam politik. Dalam ekonomi. Ketika kita diperlukan untuk menjadi imam dalam solat, kita surut ke belakang. Kita tunduk takut jika ditunjuk oleh jemaah yang lain. Kita berdiri di belakang supaya tiada yang menolak kita ke hadapan. Kita berdiri melekatkan diri di dinding atau tiang masjid. Kita boleh membaca al-Quran walau bagaimana sekalipun tahap kemahirannya. Tetapi apabila keadaan memerlukan kita menjadi imam kita jadi tergamam. Jadi tidak keruan. Andainya boleh, kita ingin berada jauh dari jemaah yang lain. Selepas kedengaran takbir imam barulah kita berdiri, berjalan mendekati mana-mana saf yang di belakang. Kenapa jadi begitu? Ini cerita kaum lelaki. Bukan cerita budak-budak. Bukan cerita wanita. Bukan cerita anak gadis. Bukan cerita sebarang cerita. Cerita bakat menyanyi diketengahkan dari kanak-kanak kecil sehingga mereka yang berusai emas. Cerita mengenai al-Quran hanya peratusan kecil Muslimin yang terlibat.

Banyak paradox dalam cerita al-Quran:
1                    “Malulah nak baca sebab aku tak pandai.”
2                    “Malulah nak belajar sebab aku tak pandai.”
3                    “Aku tak boleh jadi imam sebab bacaan aku tak elok.”
4                    “Malulah solat di belakang imam. Takut-takut imam terbatal. Aku pulak kena ganti jadi imam.”

Kadang-kadang sehingga terjadi sesuatu yang luar biasa:
1                    Imam ditunggu juga walaupun waktu solat semakin ke penghujungnya.
2                    Ditunggu pula jika ada orang yang boleh menjadi imam. Kemungkinannya musafir yang singgah di masjid dan surau itu.
3                    Malah ada masanya solat berjemaah tidak dapat didirikan dan masing-masing solat bersendirian. Hanya kerana ketiadaan mereka yang diiktiraf boleh menjadi imam.
Malangnya keadaan apabila terjadi seperti situasi di atas. Sewajarnya kesemua lelaki Muslim yang sudah melepasi usia baligh boleh menjadi imam. Tidak mengira tempat dan tanpa mengira waktu.

Senario terkini. Ramai guru al-Quran di sekeliling kita. Kita diberi peruntukan masa selama 24 jam sehari semalam. Kesemua antara kita tidak diberi pengecualian dari segi peruntukan masa tersebut. Sama. 24 jam setiap orang. Kita boleh bekerja melebihi lapan jam. Kerja lebih masa. Masa lambor. Membuat dua kerja. Satu rasmi dan satu lagi mencari rezeki tambahan. Mesyuarat tiada mengira masa. Lawatan ke banyak tempat. Ziarah panjang senarainya. Bengkel, forum, seminar dan banyak lagi selagi kita berkerjaya rasmi. Untuk dunia atau untuk akhirat? Sampai ketikanya dunia melambai-lambaikan tangannya dengan gerakan semakin lemah. Akhirat pula menggamit kita semakin giat. Kaki kita sudah mula meninggalkan dunia. Langkah kita menuju akhirat. Pilihan kita ialah kekal dalam dunia yang fana bak mataforgana atau tunduk sayu bahawa akhirat sudah terlalu dekat. Terlalu dekat hingga sudah tidak perlu difikirkan lagi. Sisa usia yang ada perlu terus ditambah manfaatnya. Bekal ke akhirat yang abadi.

Ayuhlah kuatkan tekad untuk lebih bersemangat:
1                    Mempelajari al-Quran sebanyak-banyaknya. Semakin sukar mempelajarinya semakin banyak pahala yang Allah janjikan. Berdosa jika enggan belajar. Berdosa lagi apabila tidak pandai membacanya.
2                    Mencari guru al-Quran yang sesuai dengan selera kita. Sesuai personalitinya dengan kita.
3                    Berjinak-jinak dengan guru yang mampu mengajar kita.
4                    Cari lagi guru yang lebih tinggi kemahirannya.
5                    Berhjrah mencari guru yang lebih baik dan lebih baik.
6                    Mungkin ke luar negara untuk mendengar al-Quran yang diajar dan dibaca oleh guru-guru berbangsa Arab. Membaca al-Quran dengan berlahjah Arab adalah suatu tuntutan.


Jika kita tidak pandai membaca al-Quran maka kita perlu belajar dari mereka yang lebih pandai dari kita. Jika kita kurang pandai dalam bacaan al-Quran maka cari guru yang lebih hebat untuk kita belajar darinya. Jika kita rasa kita sudah pandai, cari lagi guru lain supaya kelemahan-kelemahan yang masih ada pada diri kita dapat diperbaiki. Dan apabila kita memiliki sedikit ilmu, ajarlah orang lain supaya dapat menikmati ilmu itu. Jika banyak maka banyaklah yang kita curahkan kepada orang lain. Ilmu tidak pernah habis apabila dikongsikan kepada orang lain. Malah ianya semakin berkembang kepadatan dan kedalamannya. Lebih ramai yang terlibat maka lebih ramai yang memanfaatkannya. Sesungguhnya majlis-majlis ilmu adalah raudatul jannah. Taman-taman syurga. Mudah-mudahan ilmu yang kita pelajari dan kita ajarinya kepada orang lain membawa kita ke syurga. In sya Allah. Buanglah sifat malu belajar sehingga kekal dalam kejahilan. Malu bertanya sesat jalan. Kita ingin berjalan lurus berpandaukan kepada ilmu yang kita miliki.

Friday, November 13, 2015

Suara dan Kata Yang Membuka Rahsia Diri



Tak kenal maka tak cinta. Benarkah begitu? Seperti cerita mengenai yang mana dahulu antara telur dan ayam. Tetapi bagaimana kita mengenali seseorang yang sebelumnya tidak kita kenali. Rasanya kita semua maklum bahawa di dalam dunia ini insan yang paling istimewa ialah diri kita sendiri. Sebab itu kadang-kadang kita sukar untuk bersama orang lain. Kita rasa canggung. Tidak serasi. Kata orang putih clash of personality. Banyak yang tidak selari. Jauh berbeza. Nama seseorang tidak menggambarkan apa-apa. Tubuh badan secara fizikal juga hanya sebahagian dari trait yang cuma dapat dilihat. Tetapi pandang pertama jika tidak diteliti dengan betul hanya ilusi sahaja. Ada dua perkara yang selalu terjadi:
1                    Kita mengenali seseorang apabila ia mula membuka mulutnya untuk berkata-kata.
2                    Suaranya menjadi indikator mengenai dirinya.
3                    Intonisasi suaranya memberi impak positif atau negatif.
4                    Bahasa dan gayanya yang menunjukkan tahap pendidikan, latar belakang hidupnya dan pengalamannya berinteraksi dengan orang lain.

Dalam banyak hal suara dinisbahkan kepada bangun fizikal seseorang. Ada masanya kita terfana dengan suara seseorang yang bertenaga, cukup kuatnya dan memiliki daya tarik yang kuat. Berkarisma mungkin. Pada skala yang lain suara seseorang mengakibatkan kita merasa kurang enak. Contohnya:
1                    Terlalu kuat.
2                    Terlalu laju.
3                    Sebutan kurang jelas.
4                    Mendatar atau tiada intonasi.
5                    Terlalu besar sedangkan tubuhnya terlalu kecil.
6                    Terlalu halus sedangkan tubuhnya besar dan agam.
7                    Terlalu serius atau terlalu nostalgik dalam situasi yang santai.
8                    Terlalu syahdu dalam suasana yang meriah dan ceria.

Kitta kadang-kadang bersua dengan mereka yang istimewa suaranya:
1                    Lemah lembut berbahasa,
2                    Bertenaga (powerful) pada ketika-ketikanya.
3                    Intonasi usranya memiliki rima yang menarik.
4                    Susunan bahasanya yang harmoni dengan majlis yang diadakan.
5                    Perbualannya tidak berlebihan sehingga terlalu peribadi dan tidak pula di luar konteks. Tidak di luar kotak.
6                    Tidak bertingkah atau meningkah suara orang lain.
7                    Mengambil peluang berbicara dan pada masa yang sama memberi peluang orang lain berbicara sama.
8                    Melibatkan orang lain dengan cara bertanya pendapat.
9                    Tidak menilai pendapat orang lain dengan memberikan fakta kontradik umpamanya. Boleh mencemarkan imej seseorang. Boleh dilakukan secara peribadi.

Bukankah bahasa menunjukkan bangsa? Bukan bangsa yang bermaksud nationality. Bangsa bermaksud keluarga, asuhan mereka dan amalan berbahasa dalam keluarga. Keluarga baik-baik lazimnya:
1                    Melahirkan anak-anak yang baik budi bahasanya.
2                    Lembut bila berbicara.
3                    Suaranya cukup kuat untuk didengar audien di hadapannya. Jika ramai kuat sedikit. Jika beberapa orang sahaja maka diperlahankan suaranya.
4                    Menggunakan perkataan, istilah, ungkapan dan ayat yang manis didengar. Mengesankan kepada yang mendengarnya.

Kejayaan dalam perbicaraan merupakan kejayaan dalam berkomunikasi. Berinteraksi antara insan bukan hanya berbalas kata-kata sahaja. Banyak yang perlu dilihat terutamanya suara. Berbisik-bisik pula menimbulkan prasangka atau sangkaan-sangkaan lain. Mungkin boleh menimbulkan fitnah. Kerana itu setiap kali kita membuka mulut harus beringat.
1                    Kata-kata yang tajam maksudnya mungkin menghiris dalam hati pendengar yang selalu rapuh.
2                    Apa salahnya marah dalam senyuman atau dalam tawa yang ringan.
3                    Rajuknya bersahaja.
4                    Sukanya tidak terduga.
5                    Tatap mata sewaktu berkomunikasi dengan orang lain.
6                    Berbicara dalam jarak yang tidak terlalu jauh tetapi tidak pula terlalu dekat.
7                    Selalu menjaga jarak. Terlalu dekat seolah-olah mengganggu privacy orang lain. Atau mungkin menjadi terlalu peribadi.
8                    Terlalu jauh pula seperti tidak mesra.

Selalu beringat tentang apa yang hendak kita ungkapkan. Apa yang hendak kita suarakan. Kata-kata yang bersahaja di kalangan kelompok kita mungkin tidak sesuai dengan kelompok yang lain. Kita mungkin bercakap bersahaja tetapi didengar kasar. Atau meninggi. Jangan sekali-kali apabila kita bercakap dianggap kurang adab pada persepsi orang di sekeliling. Alangkah manisnya:
1                    Walaupun mengetahui sesuatu maklumat, berlakon seolah-olah belum pernah mendengar maklumat itu.
2                    Sentiasa bersedia mendengar apa sahaja yang ingin dibicarakan oleh orang lain. Kepada orang lain kemungkinannya itulah peluang mereka untuk menyampaikannya .  
3                    Jangan suka menyampuk atau membuat kenyataan yang menilai perkataan atau bualan seseorang. Raikan perbezaan walaupun pendapat mereka tidak wajar. Kita ingin berinteraksi dan bermasyarakat. Penilaian peribadi selalunya mengganggu hubungan mesra yang baru hendak dibina.

Kita perlukan latihan yang banyak dan bertubi-tubi. Berkomunikasi perlukan kemahiran tertentu. Banyak buat persediaan peribadi.
1                    Banyak membaca.
2                    Liputi judul yang berbagai.
3                    Beranikan diri dengan yakin.
4                    Hadapi audien seolah-oleh mereka orang yang statusnya setaraf dengan kita.
5                    Berlatih menghilang rasa gugup diri.
6                    Berlatih mengembangkan sesuatu tajuk yang kecil dan tidak signifikan menjadi sesuatu yang besar dan signifikan. Expounding an idea.

Berinteraksi dan berkomunikasi perlukan sikap terbuka yang luas. Kita tidak tahu siapa audien kita.
1                    Tahap pendidikan akademiknya.
2                    Kerjayanya.
3                    Pangkatnya.
4                    Pengalamannya.
5                    Status sosialnya.
6                    Peribadinya.

Masuk mencelah dalam sesuatu sesi perbualan dengan memohon izin terlebih dahulu. Meninggalkan mereka juga dengan izin. Jangan salah topik dalam perbualan. Ada antara mereka yang sensitif mengenai keluarga, kerjaya, gaji, kesihatan dan banyak perkara lainnya. Sewaku kita bertanya hal keluarga mungkin dia belum berumahtangga. Atau baru kehilangan pasangan masing-masing. Atau belum memiliki anak walapun sudah lama berumahtangga. Hal-hal yang sensitif tersangat banyak.  Yang mana topik yang dianggap selamat? Mungkin
1                      Cuaca.
2                      Pertanian.
3                      Dan sebagainya.

Paling baik tentu sahaja bergantung kepada siapa orang itu. Melalui lontaran bahasanya kita mengetahui latar belakang kehidupannya. Tahap pendidikannya. Status sosialnya. Dari situ kita perlu bijak untuk mengetahui hal-hal yang menjadi minatnya. Kadang-kadang kita perlu bijak menjadi exetrovert yang tidak terlalu banyak bercakap. Rasanya tidak ramai orang yang suka mendengar orang yang:
1                    Banyak cakap.
2                    Memonolopi suasana.
3                    Suara terlalu kuat atau terlalu perlahan.
4                    Tidak sesuai dengan tema majlis atau tujuannya.
5                    Apabila bercakap seolah-olah tahu semua perkara atau tergambar ego dirinya. Ada rasa bangga atau sombongan yang dilihat oleh orang lain.
6                    Tidak menatap wajah audien.
7                    Mencipta suasana tegang. Tidak dirasa mesra.
8                    Menunjuk kebijaksanaan yang tidak kena pada tempatnya.

Apaila ada orang lain bertanya, jawablah dengan sopan. Apabila ada yang tidak tahu, berilah pencerahan. Jangan sekali-kali berkata-kata yang kedengaran negatif.
1                    Awak tak tahu! Tugas kita memberitahu. Memaklumkan kedudukan perkara.
2                    Awak tak faham! Berilah orang lain memahaminya sama. Tugas kita memberikan kefahaman yang sewajarnya.
3                    Awak ni susahlah! Senangkan orang itu. Kita bukan hidup sendirian. Orang di sekeliling kita itulah sumber kehidupan kita dan sumber kita bermasyarakat.
4                    Awak ni lainlah! Raikan perbezaan. Manusia memang banyak kelainannya.


Pada kesempatan lain apabila kita berinteraksi dengan orang lain banyaklah fikir dan pertimbangkan dalam hati tentang impak apa yang akan kita ungkapkan. Pertimbangkan positif danb negatifnya. Baik dan buruknya. Membina persahabatan kadang-kadang sangat sukar tetapi meruntuh dan memusnahkan sesebuah persahabatan hanya dengan sepatah perkataan sahaja. Malah kadang-kadang kerana bahasa tubuh yang salah persahabatan hilang serinya. Sama-sama kita jadikan persekitaran persaudaraan dan persahabatan dalam suasana yang santai, damai yang membahagiakan. In sya Allah banyak manfaatnya.