Sunday, March 8, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Telusnya Berfikir



Kisah 1:
Seorang mahasiswi baru sebuah IPTA. Berkenal seminggu melalui telefon keluar bersama lelaki tidak dikenali.

Kisah 2:
Dikatakan beraspirasi menjadi pelajar IPT dixxxxx  berkali-kali tanpa ragu.

Adakah mahasiswa dan mahasiswi insan istimewa. Berfikiran berbeza. Tingkah lakunya berbeza. Akhlaknya berbeza. Jawapannya ia dan tidak. Mereka adalah insan biasa tetapi dianggap berbeza kerana:

1                    Lulus peperiksaan SPM dengan cemerlang. Dikaitkan dengan IQ mereka yang lebih tinggi dari rakan mereka yang sebaya.
2                    Berpeluang berada di IPT. Institusi yang melatih bakal graduan yang akan memegang jawatan penting dalam negara atau swasta. Membangunkan kerjaya yang menjulang nama. Pendapatan besar. Pangkat tinggi. Kedudukan elit.
3                    Dilatih oleh profesor, pemegang Ph.D. Paling kurang pensyarah mereka memiliki ijazah Sarjana (Masters).
4                    Mereka didedahkan dengan kecerdasan emosi, falsafah, berfikir aras tinggi untuk meneroka, menyelidik dan membangunkan teori dan produk baru atau inovatif.

Pengalaman penulis mengendalikan hal ehwal pelajar menunjukkan bahawa andaian di atas tidak semuanya benar. Ramai pelajar yang sedar akan pentingnya diri mereka dibangunkan selari dengan cita-cita negara. Selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang inginkan warganegara yang terbina IQnya, emosinya, jasmaninya dan rohaninya. Namun begitu ada juga antara mereka yang lurus bendul. Maksudnya tidak memahami tipu muslihat persekitaran mereka. Tidak tahu bahawa dunia penuh dengan mereka yang ingin mengambil kesempatan. Lebih-lebih lagi mereka yang baru mendaftar di IPT. Mereka belum:

1                    Memahami bahasa dan gerak-geri di sekeliling mereka.
2                    Tidak peka dengan bahaya dan risiko.
3                    Mudah terpedaya dengan pujukan. Dengan propaganda. Dengan tipu muslihat.
4                    Mudah terperangkap dengan keadaaan sekeliling. Tidak dapat membuat tafsiran yang jelas untuk memilih yang hak dan benar.
5                    Mereka yang datang dari sekolah menengah dianggap sangat mentah. Terlau putih. Tidak lagi mengenal sepak terajang manusia di luar lingkungan mereka.

Dalam kes pertama seorang pelajar wanita yang baru seminggu mendaftar berani keluar dengan seorang pemuda yang bukan warga kampus. Orang luar yang dikenali melalui telefon. Pemuda itu rakan kepada rakannya. Dia dijemput di rumah sewanya dan dibawa keluar dengan menunggang motorsikal. Pulangnya pula lewat malam. Mereka dikatakan hanya keluar untuk sembang-sembang. Apabila dipanggil ke pejabat HEP dia tidak berasa bersalah. Tidak memperlihatkan apa-apa reaksi. Kepadanya hal seperti yang dilakukannya dianggap sebagai perkara biasa. Bukan masalah dan bukan suatu kesalahan. Dia tidak takut langsung sewaktu dibawa keluar dengan motorsikal. Tidak terlintas langsung di mindanya bahawa berbagai perkara boleh berlaku sewaktu ia dibawa keluar oleh lelaki. Dia baru sampai di daerah itu. Dia tidak mengetahui selok belok tempat itu. Hari pula malam. Terpaksalah penulis memberikan senerio tragis kepadanya. Demi untuk menyedarkan akan bahaya yang dihadapinya pada malam tersebut. Dia seorang diri pula. Berbagai-bagai perkara boleh berlaku.

1                    Bagaimana jika dia diperkosa pada malam itu?
2                    Bagaimana jika selepas kejadian itu dia dibunuh untuk menghilangkan jejak saksi?
3                    Dia tidak mempunyai saksi yang jelas. Rakannya tidak tahu dengan siapa dia keluar.

Setelah aspek keselamatan seperti itu didedahkan kepadanya barulah ada rasa gentar pada dirinya. Baru dia tunduk berfikir. Merenung lantai yang memang rata. Terkuis-kuis kakinya kerana mungkin banyak debu. Rasanya ini bukan kes terpencil. Ramai mahasiswi IPT yang terjebak dengan hal-hal yang sepertinya. Pengaruh rakan-rakan senior yang mahir sosial membawa mereka ke arah yang tidak wajar. Akhirnya ada antara mereka yang terjebak dengan maksiat. Seks terlarang. Penyalahgunaan dadah. Mengandung luar nikah. Lepasan SPM umpamanya masih terlalu naif dari segi berfikir. Mereka terlalu lurus. Tidak dapat menilai dengan telus mata mana yang boleh dan mana yang tidak boleh. Jika ramai pelajar IPT yang cemerlang masih ada juga antara mereka yang gagal dan tercicir dalam berfikir aras tinggi. Yang peka dengan masalah di sekeliling mereka.

Dalam kes kedua pula ianya mungkin sesuatu yang amat aneh. Mungkinkah dia ditakdirkan begitu. Entahlah. Tetapi jika sesuatu perlakuan yang dipaksakan ke atasnya berlaku berulang kali. Hingga berkali-kali pula tentulah ianya mengundang keganjilan. Luarbiasa. Sekali lagi pertanyaan dilontarkan. Apakah anak muda juga terlalu lurus bendul akal budinya. Tidak dapat menolak atau melarikan diri atau melawan atau bertindak agresif. Tenaga mudanya masih segar. Kadang-kadang kita tidak dapat habis memikirkannya. Kenapa dan mengapa berulang kali ditanyakan. Siapa yang boleh menjawabnya. Akal waras tidak dapat menerima. Perasaan lagilah menolaknya. Lazimnya remaja wanita mungkin lebih mudah dipujuk. Mudah longlai dengan kata-kata manis. Tidak mungkin remaja lelaki sangat lemah jalan fikirnya. Membiarkan dirinya diperlakukan dengan sewenang-wenangnya. Walaupun kemudiannya dia bangkit cuba membetulkan keadaan namun apa yang diperkatakan telah berlaku di luar fikiran biasa untuk memahaminya.

Mungkinkan menyerah diri kepada keadaan dan takdir menjadi pilihan yang mudah. Tentu sesuatu yang merisaukan pendidik dan ibu-bapa apabila anak-anak tidak dapat berfikir dengan jelas dan telus. Tidak mampu berfikir dua kali. Atau selalu gagal memikirkan alternatif yang sentiasa ada. Setiap kemelut ada jalan keluarnya. Tetapi tidak sekali-kali menjerumuskan diri kepada risiko. Kepada masalah. Mungkinkah:

1                    Anak-anak kita pendek akalnya. Di sekolah mereka hanya pandai dengan teori. Menghafal rumus. Mengulang apa yang perlu diulang. Mereka mahir dengan hal-hal yang rutin. Apa-apa yang di luar lingkungan sekolah tiada dalam minda mereka. Lintasan bahaya hanya sedikit sahaja.
2                    Mereka malas berfikir panjang. Tidak mahu berhelah. Tidak pandai berdalih. Malas beralasan dalam hal-hal yang membawa keburukan. Yang mejerumus kepada maksiat.
3                    Lemah akal budi. Anak-anak muda selalunya hanyut dalam lingkungan mereka. Apabila kumpulan mereka hanyut dengan hedonism maka mereka turut sama. Andai kumpulan mereka beramal soleh maka mereka ikut serta.


Beruntung sebenarnya anak-anak yang dibesarkan dengan amalan agama yang baik. Dirinya terkawal. Dia mengawal keadaan dan bukan keadaan yang mengawal dirinya. Ramai anak-anak kita terpedaya dengan rakan taulan mereka sendiri. Ada sesuatu yang ibu-bapa perlu beringat. Anak-anak selalunya taksub dengan rakan mereka jika dibiarkan mereka menjadi terlalu rapat. Pastikan anak-anak kita berkawan di sekolah. Bersama rakan kerana mengulangkaji. Kerana berbuat kebaikan. Berada di tempat-tempat yang menjamin akhlak dan perlakuan baik. Dalam segala hal ibu-bapa bertanggungjawab mempastikan anak-anak berada di landasan yang betul. Dari kecilnya. Dari kanak-kanaknya. Dari remajanya. Jika ketiga-tiga peringkat ini terkawal insyaallah dewasanya dalam keadaan terkawal. Ingatlah bahawa segala-galanya bermula dari rumah. Ibu dan bapalah yang mengurus puncanya. Mengharmonikan apa-apa kecelaruan atau divergen yang berlaku. Semoga Allah memelihara kita dan keturuna  kita.

Friday, March 6, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Suami Tidak Melihat Rupa Wajah Isteri



Tidak ramai suami yang melihat isterinya dengan telus hati. Siapa sebenarnya isterinya. Bagaimanakah wajah sebenarnya. Watak dan ciri mereka. Semasa memikat dahulu yang dilihat yang berkenan di hati. Pada mata lelaki wanita itu cantik. Cantik itu bukan mutlak tetapi relatif. Jangan buat perbandingan. Ianya suatu proses yang sia-sia. Pilihan lelaki adalah pilihannya. Mungkin begitu juga pilihan wanita adalah lekaki itu. Lelaki yang satu itu. Yang padanya paling memikat hatinya. Siapa boleh menafikan bahawa lelaki dan wanita adalah sangatvberbeza dalam banyak hal. Bak kata John Gray, Man AreFfrom Mars dan Women Are From Venus. Ramai pasangan yang telah berumahtangga beranggapan mereka memahami antara satu sama lain. Understanding kata mereka. Satu metafora yang mungkin benar dan mungkin juga salah. Tetapi psikologis tidak pernah mengatakan bahawa dua manusia yang berlainan jantina memahami antara satu sama lain. Pada zahirnya pasangan-pasangan tersebut membuat persepsi sendiri. Di dalam dan pada bathinnya mereka tetap berbeza. Lelaki selalunya beranggapan bahawa diri mereka superior. Menjadikan mereka egoistik pada pandangan wanita atau isteri. Terlalu banyak privacy yang dijaga sendiri. Tidak dapat dijengah oleh isterinya. Sukar difahami.

Menjelajahi senario rumahtangga, kita selalu beranggapan bahawa tugas isteri dan suami adalah stereotype. Sama sahaja dari dahulu hingga sekarang. Yang kita lihat dari moyang, datuk, ibu dan bapa kita itulah kita anggap sebagai peranan lelaki. Persekitaran adalah dinamik. Keadaan sudah berubah. Pada kebanyakan masa kita yang lelaki gagal melihat secara hakiki. Kerana itu kita tidak membuat sebarang anjakan paradigma. Kita kekal sebagai lelaki yang lelaki itu. Yang dipilih oleh seorang isteri yang kita lihat itulah peranannya. Cuba lihat senario berikut:

1                   Isteri yang terlalu lanjut usia masih juga memasak. Suami masih mengharapkan isteri memasak makanan kesukaannya.
2                   Isteri yang hilang penglihatan. Ia melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak, mengemas, mengurus anak. Suaminya beranggapan itulah kerja seorang isteri.
3                   Isteri yang dalam pantang masih membasuh, memasak dan mengemas rumah. Suami tidak membantu kerana menganggap itulah tugas isteri.
4                   Isteri demam dan sakit. Masih juga memasak walaupun mungkin tidak membuat kerja-kerja rumahtangga yang lain.
5                   Isteri letih berkerjaya. Pulangnya lewat dan dalam letih lesu. Masih juga memasak, mengurus anak, membasuh, mengemas rumah. Ada suami malah membuat pesanan minuman dari siteri yang kalut. Membaca akhbar harian walaupun di pejabat sudah membacanya. Malah meonton TV dan berehat.

Apakah kita lelaki dan suami harus dilabel:

1                   Tidak menghargai isteri.
2                   Tidak menghargai perhubungan suami-isteri yang janjinya dipadu dahulu untuk bantu-membantu.
3                   Tidak mengerti simpati, empati dan tidak mengambil erti.
4                   Dianggap zalim kerana mendera isteri.
5                   Tidak mengambil tanggungjawab bersama. Sama-sama meringankan tugas masing-masing.
6                   Apakah seorang isteri layaknya hanya mengorbankan segala-galanya untuk suami tanpa ada imbal balas dari suami.

Kadang-kadang kita yang menjadi suami sangat kering hatinya. Cuba pasang CCTV di rumah. Lihat apa yang isteri buat sama ada di hadapan kita atau semasa ketiadaan kita.

1                   Menyediakan makan dan minum untuk kita suaminya dan anak-anak. Kadang-kadang ibu dan bapa sendiri atau ibu dan bapa mertua. Ada masanya adik-beradik yang tinggal bersama.
2                   Mengemas dapur selepas memasak. Selepas makanan. Membasuh pinggan mangkuk. Menyusunnya di rak dan kabinet.
3                   Membasuh pakaian keluarga yang berulang-ulang dengan mesin basuh. Menyidainya. Mengangkat apabila kering. Melipat dan menyimpannya.
4                   Mengemas rumah dari bilik tidur utama dan anak-anak. Bilik air dan setor. Dapur dan segala perkakasnya.  
5                   Mengemas dan menghias rumah untuk menghibur hatinya.
6                   Mengemas bahagian luar rumah. Halaman rumah.
7                   Menghias rumah dengan pokok bunga. Mencantikkannya. Menikmati kecantikan itu.
8                   Mengurus anak dari menyusukan mereka, membasuh najisnya, memandikan, memakaikan pakaian, membedak dan menyikat rambut, menyuap makanan. Mungkin mengajar tulis baca atau mengaji.
9                   Membawa anak-anak bersiar-siar untuk mendapat udara bersih. Mengecas tenaga dirinya.

Jarang benar isteri yang merungut melakukan semua itu. Jarang dan jarang. Ia masih senyum dan tawa walaupun tugasnya hampir 24 jam sehari semalam. Kita sebagai suami jarang pula memberi pujian. Menghadiahkan senyuman. Ketawa bersamanya. Memberikannya kata semangat. Mengucapkan terima kasih. Menghargai kehadirannya. Menghargai keberadaanya. Tidak menganggapnya sebagai pelita hati yang menerangi seluruh keluarga. Menghidupkan cinta kita. Memberikan sayangnya tanpa syarat. Menghadiahkan cintanya tanpa terma. Menyimpulkan kasihnya tanpa boleh diurai. Menganugerahkan kesetiaan yang kemilau dipandang mata. Di mana yang kita lihat. Ke mana mata kita melihat sebagai suami. Wujudkah hijab antara kita dan isteri.

Siapalah suami tanpa isteri. Memang isteri banyak mulutnya. Banyak bebelnya. Banyak omelnya. Banyak bisingnya. Semuanya kerana kepelbagaian tugas yang perlu dilakukannya. Sewaktu suami sudah tidur isteri masih bangun malam untuk menyusukan anak. Melayan anak-anak yang kepenatan bermain sepanjang hari. Mendamaikan rengek anak. Itu belum menyuluh nyamuk. Membetulkan selimut dan bantal anak. Di mana suami dalam hidup isteri. Tidak mungkin hanya di hati. Lelaki perlu keluar dari hati isterinya. Melihat isterinya dari luar kotak. Senaraikan tugas isteri. Oleh kerana suami tidak boleh mengandung, bersalin serta menyusukan anak maka lelaki sebagai suami boleh membantu melakukan banyak tugas lain yang selalunya dilakukan isteri.

1                   Belajar memasak. Mula-mula bantu isteri dengan memayang bawang, membuang tahi ikan bilis, menyiang sayur, menjerang air, menanak nasi, menyiang ikan, mengasah pisau, membasuh pinggan dan mangkuk dan banyak tugas lain di dapur. Sama berkerjaya dan sama-sama membuat kerja rumah.
2                   Atau semasa isteri memasak, mandikan anak-anak, basuhkan najis mereka, pakaikan baju, bedak dan sikat rambut mereka.
3                   Lipat kain dan sususn dalam almari.
4                   Kemas bahagian rumah yang disepahkan oleh anak-anak.

Suami perlu pandai memasak walaupun bukan semua jenis makanan. Buat persediaan diri kerana dalam rumahtangga kerap berlaku darurat. Isteri sakit atau bersalin atau dalam pantang atau isteri mungkin berkursus selama beberapa minggu dan beberapa bulan atau isteri ada tugas luar. Boleh makan di kedai tetapi hendaklah selau beringat untuk melihat kebersihannya, kesuciannya, khasiatnya, halal dan haramnya dan ketepatan selera keluarga. Itu belum dibincangkan masalah jemu. Makan di kedai cepat jemu. Membeli lauk-pauk di luar hanya apabila terpaksa. Jarang makanan dari luar rumah yang memenuhi selera keluarga. Mungkin hanya pembaziran jika rupa dan rasanya sangat berbeza. Masinnya yang terlampau. Manisnya yang terlebih. Masam yang hanya masam. Belajarlah memasak supaya selera dan kesihatan keluarga terus terjamin walaupun isteri tidak berkeupayaan untuk melakukannya. Suami yang mengambil alih tugas itu untuk isteri dan anak-anak.

Banyak lagi tugas suami yang perlu suami lakukan. Banyak dan banyak. Buat kerja sama-sama. Berehat sama-sama. Ada yang lebih baik lagi perlu dilakukan oleh suami dan isteri. Apabila anak-anak mula mengerti didiklah mereka untuk melakukan tugas yang senang.

1                   Didik mereka untuk mengemas katil mereka sendiri. Kekemasan akan dipelajari hingga akhirnya mereka menjadi mahir.
2                   Membasuh pakaian mereka sendiri. Menyidainya. Mengangkatmya apabila kering. Melipatnya. Menggosoknya. Menyusunnya dalam almari pakaian mereka.
3                   Mengemas bilik dan ruang tamu yang mereka sepahkan. Beri pandauan supaya selepas bermain hendaklah dikemas. Kembalikan buku di raknya. Kembalikan barang mainan ke tempatnya.
4                   Menghidangkan makanan di meja.
5                   Membasuh pinggan dan gelas yang mereka gunakan.
6                   Membantu di dapur dengan berkemas. Mengembalikan kerusi di bawah meja. Mengelap pinggan dan mangkuk yang basah.
7                   Membuang sampah ke luar rumah.


Seorang suami hendaklah mendidik diri mereka sendiri. Lihat isteri dan lakukan apa yang boleh membantu isteri. Didik anak-anak untuk melakukan tugas-tugas yang boleh mereka lakukan. Insyaallah isteri akan lega. Suami akan lebih lega. Hilang rasa bersalah kerana membebankan isteri. Anak-anak berdikari. Mereka boleh tinggal di asrama tanpa masalah. Di IPT tanpa masalah. Bekerja tanpa masalah. Sesungguhnya hal-hal kecil dari rumahtangga ini adalah besar sumbangannya kepada negara. Kita melahirkan anak-anak yang bakal menjadi warganegara yang bertangunggjawab. 

Wednesday, March 4, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Senarai Klon Ady Putera



Mereka yang setaraf Ady Putera Abd Ghani telah ramai lahir di Malaysia. Atau mereka adalah anak Malaysia. Ada yang berada di dalam negara dan ada yang berada di luar negara. Asasnya anak Malaysia. Mungkin ibunya warganegara Malaysia atau bapanya atau kedua-duanya warganegara Malaysia tulen. Kita belum mendapat kepastian bahawa anak-anak pintar ini dilestarikan kepintarannya. Mereka dijadikan bakal pemenang Nobel Prize. Berada di pentas di Sweden. Mencipta nama besar dalam bidang-bidang yang selalunya mengkagumkan ahli akademik walaupun belum tentu sampai ke minda orang biasa. Di mana silapnya sukar difahami. Penulis pernah menyentuh hal ini. Cerita Hang Nadim di Singapura dahulu belum juga habis-habisnya. Orang dewasa yang mengendalikan sistem bernegara masih belum berubah sejak dari dahulu. Sistem feudal yang tidak sukakan rakyatnya pandai. Hingga sekarang persepsi ke arah perkara itu belum berjaya mengubah paradigma. Sindrom takut orang pandai masih kuat.

1                   Anak-anak yang pandai tiada tempatnya yang wajar.
2                   Pendidik semua peringkat tidak dilatih untuk memberi laluan kepada anak pintar.
3                   Sistem kita untuk orang biasa-biasa sahaja. Sama ada average atau under average. Mereka yang above average seperti diasingkan. Menjadi alien.
4                   Kita lebih suka anak-anak tercicir tanpa remedi.

Menelusuri kisah anak-anak pintar menemukan kita kepada kisah-kisah duka lara. Mereka dilihat seperti:

1                   Out of place. Mereka tiada tempat dalam sistem.
2                   Terpinggir kerana kepintaran dianggap penyakit yang perlu dihindar.
3                   Sistem tidak menyokong kepintaran mereka.
4                   Seperti tidak ada yang memberi sokongan. Tiada sistem dan tiada dana.

Kita terikat dengan sistem yang statik. Tiada fleksibiliti langsung. Dalam sistem kita:

1                   Semua kanak-kanak diwajibkan mengikuti sisitem yang ada sama ada mereka pintar atau tidak.
2                   Usia menjadi penentu untuk anak-anak berada pada peringkat-peringkat tertentu.
3                   Walau bagaimana pintar seseorang kanak-kanak, selagi dia kanak-kanak maka dia diwajibkan berada di sekolah kebangsaan atau di sekolah menengah. Tidak pada pagar yang boleh dibuka untuk memberi laluan pantas untuk kanak-kanak berada pada tahap IQnya. Yang selalu dilihat ialah usianya. Nilai kognitifnya tidak difikirkan dan tidak diberi pengiktirafan.

Kita kehilangan Safiah Yusof. Kita kehilangan Nur Amalina Che Bakri,  Mohd Shukri Hadafi, Chiang Ti Meng dan Chan Yao Ban. Safiah hilang dari kecemerlangan akademik. Nur Amalina tenggelam kerana kejutan budaya. Mohd Shukri menjadi mangsa keadaan. Chiang Ti Meng hilang begitu sahaja. Chan Yao Ban yang setakat ini menyerlah di Melbourne, Australia. Sudah memiliki Ph.D. Sayangnya dia tiada tempat di negara sendiri. Kita masih juga meminggirkan mereka yang pandai. Bukan setakat Chan, ramai lagi yang bertugas di luar negara kerana mereka diberi tempat. Diberi kebebasan berkreatif. Diberi kebebasan membuat penyelidikan. Dana disediakan. Makmal disediakan. Negara tumpang itulah yang memanfaatkan kebijaksanaan mereka. Yang mereka dapat ialah kepuasan dan pendapatan lumayan. Negara asal mereka kerugian berganda-ganda.

Ady Putera masih aktif walaupun menjadi mangsa sistem. Pandai yang tidak diiktiraf. Dianggap tidak sesuai diberi sebarang nilaian kertas kerana usianya yang terlalu muda. Jika dia berada di luar negara tentunya dia sudah memiliki ijazah pertama (Bachelor atau baccalaureate). Mungkin telah tamat peringkat sarjana (Masters). Pada usia 16 tahun tidak mustahil dia mengikuti pelajaran peringkat Ph.D. Di negara Barat kanak-kanak pintar dipelihara kepintarannya. Dijaga dan dibangunkan supaya mereka menjadi aset negara yang menyumbang besar ke arah pembangunan negara tersebut. Hanya negara maju sahaja yang memiliki wawasan ke arah itu. kanak-kanak pintar adalah batu gemala yang berharga. Jauhari sahaja yang mengenal manikam. Memetik kata-katanya, Ady Putera memerlukan dana untuk ke Monash University di Australia. Tidak adakah mereka yang arif membuat pelaburan berharga kepadanya? Jika tidak negara mungkin individu yang berkemampuan. Kita ramai billionaire. Millionaire lagilah ramai. Tidak perlu mereka. Hanya dermawan yang mulia hatinya sudah memadai.

Ramai orang pintar di Barat kerana mereka menyediakan laluan yang luas kepada mereka. Di USA umpamanya falsafah mereka sangat mudah. You ask for it, you get it. Budaya yang sama sudah menular ke Canada 25 tahun yang lalu sewaktu penulis berada di sana. Mereka mesra penyelidik. Mereka mesra kepada orang pintar. Semua keperluan mereka disediakan. Orang pintar suka mencipta. Mereka kreatif. Hasilnya menjadi milik negara. kerana itu warganegara Malaysia yang pintar berada di Australia, USA, Britain dan negara-negara Commonwealth yang lain. Di USA umpamanya tiada siapapun yang terlepas pandang. Orang pintar dicari, diberi kemudahan untuk meneroka bidang baru. Bill Gates adalah antara contoh itu. Di Canada pula apa sahaja yang diperlukan oleh rakyatnya cuba dipenuhi oleh kerajaan Canada. Mereka mencari siapa sahaja pakar yang bersedia berkhidmat untuk memandaikan rakyat Canada.

Kita selalu bercakap tentang peluang tetapi kita tidak memanfaatkan peluang. Di IPTA Malaysia ramai rakyat asing. Kita tidak memanfaatkan mereka. Contohnya bahasa. Di USA mereka belajar apa sahaja bahasa yang dimiliki oleh pelajar-pelajar asing. Universiti membayar mereka untuk mengajar bahasa ibunda mereka. Hampir semua bahasa dalam dunia dipelajari di USA. Pengajarnya pelajar asing yang mengikuti program Ph.D. Malah isteri-isteri pelajar asing diberi peluang yang sama untuk mempelajari bahasa pilihan mereka. Selalunya bahasa Inggeris. Jika di Malaysia kita dapat melakukannya tentu ramai rakyat Malaysia yang petah dalam berbagai bahasa asing. Isteri atau suami pelajar asing pula petah berbahasa Melayu untuk dibawa pulang ke negara mereka. Kehadiran mereka dimanfaatkan.

Begitulah andainya kita ingin memanfaatkan peluang. Anak-anak pintar yang selalu terpinggir mungkin boleh diselamatkan jika kita membuat beberapa perubahan dalam sistem pendidikan kita. Kita perlukan pakar dalam bidang specially gifted child. Kita perlukannya di tadika, di sekolah kebangsaan dan di sekolah menengah. Di IPTA mereka mengikuti kursus-kursus pilihan mereka. Usia jangan dijadikan penghalang. Jangan diikat dengan peraturan yang tidak boleh diubahsuai. Kita muasabah sistem kita. Mana-mana yang boleh diubahsuai buatlah apa yang perlu demi membangunkan modal insan yang bijaksana. Sudah sampai masanya kita melatih pendidik yang bakal memiliki kemahiran istimewa untuk mendidik anak-anak pintar. Kerana itu:

1                   Falsafah pendidikan kita perlukan anjakan paradigma. Menghargai kelainan.
2                   Topik psikologi yang memberi tumpuan kepada anak-anak pintar.
3                   Kaunseling untuk anak-anak pintar.
4                   Membina sistem individualised learning.
5                   Menyediakan bajet yang fleksibel untuk mereka.


Minda kita perlu berubah untuk menerima kehadiran anak-anak pintar. Membangunkan mereka. Mengekalkan mereka dalam negara. Berkhidmat untuk negara. Menyumbang untuk negara. Menjadi aset yang tidak ternilai. Jika tidak mereka akan diambil orang lain. Anak kita tetapi memberi manfaat kepada orang lain. Mereka mendapat hasilnya. Kita hanya bangga dengan namanya. Tetapi nama kosong yang tidak memberi apa-apa pulangan. Kos untuk membangunkan anak pintar memang tinggi. Namun dalam jangka panjang ianya memberikan pulangan yang ekonomikal. 

Bingkisan Dari Kaherah: Sejuk Bermusim



Apakah persepsi sejuk di negara-negara yang hampir dengan Kutub Utara dan Selatan? Apakah pula persepsi panas di gurun? Kita akan terkejut di negara-negara berhampiran dengan Kutub Utara dan Selatan mungkin panas dan tidak sejuk. Di Norway umpamanya musim panasnya selama enam bulan. Matahari sentiasa memancar di langit. Musim sejuknya pula selama enam bulan juga. Namun mereka hidup seperti biasa. Tidur dan jaga. Bekerja, makan dan minum, beriadah dan berehat. Begitu juga di gurun suhunya sangat rendah. Sejuk mencengkam. Di negara-negara di hemispiar utara dan selatan banyak terdapat gurun. Di negara-negara Arab, Cina, India, Pakistan, Australia, Chile dan di Amerika Syarikat. Tanpa pengalaman sebenar kita hanya membuat persepsi. Tanpa maklumat tambahan dan tanpa pengalaman persepsi itu kekal di minda kita. Walhal persepsi itu perlukan pembetulan yang besar (major).

Beranggapan sahaja adalah persepsi yang sangat salah. Apatah lagi tanpa bukti empirikal. Semua negara di luar garisan 23° utara dan selatan adalah negara-negara empat musim. Padang pasir memang panas pada musim panas. Panas pada waktu siang. Pada musim dingin maka dinginlah ia kerana suhunya rendah. Tidak benar bahawa padang pasir panas sepanjang masa seolah-olah tiada sejuknya. Malah dalam silibus matapelajaran Geografi ada topik luluhawa atau hakisan (wheathering). Panas dan sejuk yang silih berganti menjadikan batu pecah dan hancur hingga menjadi pasir dan tanah dalam proses yang lama. Begitulah di negara-negara yang hampir dengan Kutub Utara dan Kutub Selatan. Bukan selama-lamanya sejuk dan tiada panasnya. Pada musim panas, panaslah dan suhu meningkat sehingga segala tumbuh-tumbuhan dan haiwan membiak selama enam bulan.

Dalam kehidupan kita ini kita perlu memahami teori dan realiti. Antara keduanya ada jeda yang perlu difahami. Teori cuba menggambarkan realiti. Tetapi pada kebanyakan masa teori tidak dapat digambarkan dengan kata-kata atau rajah atau video sekalipun. Pada musim sejuk kita bercakap mengeluarkan wap seperti asap. Bernafas mengeluarkan wap. Bersin mengeluarkan wap. Jika kita buang air kecil di luar rumah pastinya wap berterbangan. Apa yang berlaku? Suasana sejuk atau suhu tubuh badan kita panas? Panas dan sejuk bertembung. Keluarlah wap. Semudah itu? Tanpa berada di negara yang mengalami musim sejuk kita tidak mendapat gambaran yang sebenar. Yang real. Yang hakiki.

Padang pasir yang panas atau kutub yang sejuk menjadi lumrah dalam kedudukan bumi dengan paksinya. Apabila peredaran musim berlaku maka berubahlah suhu, cuaca dan keadaan. Manusia yang aktif dan dinamik sifatnya berfikir untuk memanfaatkan keadaan. Musim panas bukan untuk berlindung. Musim sejuk bukan untuk berselimut tebal sahaja. Setiap kejadian Allah tiada satupun yang sia-sia. Kita dirangsang untuk berfikir secara bijaksana. Menjadi mereka yang ulul al-bab. Memanfaatkan keadaan. Malah mereka yang tinggal di negara-negara empat musim kehidupan mereka sangat dinamik. Peredaran musim menjadikan mereka sentiasa berfikir jauh di hadapan. Itupun jika mereka mahu berfikir. Di USA umpamanya manusia berfikir dalam jangkauan setahun lebih awal. Atau paling kurang enam bulan lebih awal. Pada musim sejuk tahun ini mereka sudah merancang untuk musim sejuk tahun hadapan. Pada musim panas tahun ini mereka sudah merancang untuk musim panas tahun hadapan. Sebagai contoh, sukar untuk membeli baju sejuk pada musim sejuk kerana rakyat mereka telah membelinya pada musim panas. Enam bulan sebelum musim sejuk itu tiba. Malah dalam musim sejuk mereka menjual pakaian untuk musim panas.

Begitulah advancednya acara mereka berfikir. Di Mesir penulis dapati keadaannya berbeza. Pada musim sejuk mereka menjual pakaian sejuk. Pada musim panas mereka menjual pakaian musim panas. Logik tetapi ketinggalan. Tidak advanced. Itu sudah menunjukkan perbezaan budaya dan perbezaan falsafah hidup. Mereka di USA atau Canada memikirkan masa hadapan. Jangkaan dan ramalan yang tinggi kepastiannya. Bahawa musim sejuk akan tiba. Bahawa musim panas akan tiba. Mereka berfikir aras tinggi. Kita yang belum advanced  ini selalu berfikir secara reaktif. Bertindak balas apabila keadaan mendesak. Tidak memikirkannya sebelum keadaan itu tiba. Bagi orang Barat hanya dijangka sahaja sudah dirancang untuk menyambut ketibaannya. Kerana itu tidak hairan bagaimana di negara kita Malaysia, perniagaan bundle sangat lumrah. Orang Barat mengganti pakaian mengikut musim. Mereka sentiasa membeli pakaian baru. Yang lama dijual ke negara-negara miskin dan belum maju seperti kita. Impak peredaran musim. Empat musim.

Dunia dibahagikan kepada hemispiar utara dan hemispiar selatan. Di utara garisan Khatulistiwa dinamakan hemispiar utara sementara yang di selatan dinamakan hemispiar selatan. Negara-negara dalam kawasan antara 23° utara dan 23° selatan berada dalam kategori negara-negara yang mengalami iklim panas. Impak empat musim tidak begitu ketara. Negara-negara di luar 23° utara dan 23° selatan mengalami iklim empat musim. Semakin ke utara atau semakin ke selatan semakin signifikan impak empat musim itu.

1                    Pada musim panasnya waktu siang mungkin antara 14 jam sehari hingga 20 jam. Malah yang lebih utara atau selatan enam bulan musim panas dan enam bulan musim sejuk.
2                    Dalam musim panas siangnya panjang dan malamnya pendek.
3                    Dalam musim sejuk siangnya pendek dan malamnya panjang.


Di bawah ini dipaparkan beberapa keping gambar yang diambil di Norway. Gambar-gambar dari Wilkipedia ini sangat jelas mengenai midnight sun. Antara negara yang hampir dengan Kutub Utara.  Matahari dilihat sepanjang hari selama 24 jam dan selama enam bulan. siang dan malam matahari itu dilihat beredar mengikut paksinya.


 


Image result for the midnight sun


Image result for the midnight sun


Image result for the midnight sun


Image result for the midnight sun


Image result for the midnight sun


Image result for the midnight sun

Image result for the midnight sun


Image result for the midnight sun




Minggu ini umpamanya berlaku Equinox. Matahari menyeberangi garisan lintang u23° utara. Sekarang di hemispiar Utara bermula musim bunga. Segala jenis bunga akan memercup untuk mencantikkan dunia. Maha adilnya Allah. Setelah sejuk mencengkam, hati manusia dihiburkan dengan keindahan musim bunga yang sangat cantik. Mereka yang di utara akan ramai yang bernikah kahwin. Musim mereka mengikat tali perkahwinan. Saat-saat yang menggembirakan.  Peralihan musim ini sendiri memberikan erti yang berbeza. Khatulistiwa yang tiada musimnya kadang-kadang tidak difahami oleh mereka yang tidak pernah ke negara-negara panas seperti kita. Mungkin matapelajaran Geografi tidak seperti yang anak-anak kita pelajari. Kita mengetahui walaupun tidak secara hakiki.


Berikut adalah gambar-gambar salji yang turun di negara-negara Arab pada bulan Februari 2015. Sesuatu yang mengujakan bagi mereka yang belum pernah merasakan kewujudan salji itu. Mungkinkah padang pasir akan menerima salji setiap tahun? Untuk renungan kita bersama. Dunia sudah sangat tua.

Image result for images of snow in the desert of middle east
Salji di Timur Tengah.

Salji di Tabuk,  Arab Saudi. Tempat yang tersebut dalam hadith akan kembali subur dengan tanaman dan pepohonan.

Bedouin shepherds made snowman
Siapa sangka mereka dapat bermain salji dan membina snowman.

Image result for images of snow in the desert of middle east
Memang teruja sangat. Seumur hidup dilanda salji.

Image result for images of snow in the desert of middle east
Baitul Maqdis diselaputi salji.

Image result for images of snow in the desert of middle east
Salji dan unta sama putihnya.


Image result for images of snow in the desert of middle east
Salji di Syria.

Pengalaman berada di berbagai tempat yang berbeza membina realiti tentang kehidupan. Tentang kebesaran Allah Yang Maha Berkuasa mengadakan segala-galanya untuk kita makhluknya. Apabila Nabi Adam hendak dijadikan khalifah untuk memakmjurkan dunia Allah menyediakan segala-galanya yang sesuai dengan manusia. Empat musim adalah satu antaranya. Ianya menginsafi diri bahawa kita di dunia ini hanya pemgembara masa. Laluan kita antara alam jasad  ke alam roh. Bukan lama. Hanya kira-kira 60 tahun. Tidak ramai yang melebihi 60 dan tidak ramai juga yang kurang darinya. Angka 60 dikira sempadan. Memaklumi dan mengerti adalah sesuatu yang penting untuk kita menyediakan diri ke arah kebaikan.

Kita mengetahui panasnya Malaysia. Kita di Khatulistiwa menerima hakikat kepanasan itu. Apabila menjelang akhir zaman maka panas dan hujan tidak menentu jadualnya. Walau bagaimanapun al-Quran dan hadith telah memberikan gambaran keadaan pada akhir zaman. Dunia semakin panas. Hanya yang dekat dengan Allah tidak merasa apa-apa. Panas dan sejuk hanya sesuatu yang relatif. Apabila hati sangat khususk panas dan sejuk itu tidak diambilkira lagi. Segala-galanya adalah nikmat yang banyak. Selagi hayat masih ada.


Sila rujuk Di Mana Aku? Siri dari USA.