Wednesday, March 4, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Senarai Klon Ady Putera



Mereka yang setaraf Ady Putera Abd Ghani telah ramai lahir di Malaysia. Atau mereka adalah anak Malaysia. Ada yang berada di dalam negara dan ada yang berada di luar negara. Asasnya anak Malaysia. Mungkin ibunya warganegara Malaysia atau bapanya atau kedua-duanya warganegara Malaysia tulen. Kita belum mendapat kepastian bahawa anak-anak pintar ini dilestarikan kepintarannya. Mereka dijadikan bakal pemenang Nobel Prize. Berada di pentas di Sweden. Mencipta nama besar dalam bidang-bidang yang selalunya mengkagumkan ahli akademik walaupun belum tentu sampai ke minda orang biasa. Di mana silapnya sukar difahami. Penulis pernah menyentuh hal ini. Cerita Hang Nadim di Singapura dahulu belum juga habis-habisnya. Orang dewasa yang mengendalikan sistem bernegara masih belum berubah sejak dari dahulu. Sistem feudal yang tidak sukakan rakyatnya pandai. Hingga sekarang persepsi ke arah perkara itu belum berjaya mengubah paradigma. Sindrom takut orang pandai masih kuat.

1                   Anak-anak yang pandai tiada tempatnya yang wajar.
2                   Pendidik semua peringkat tidak dilatih untuk memberi laluan kepada anak pintar.
3                   Sistem kita untuk orang biasa-biasa sahaja. Sama ada average atau under average. Mereka yang above average seperti diasingkan. Menjadi alien.
4                   Kita lebih suka anak-anak tercicir tanpa remedi.

Menelusuri kisah anak-anak pintar menemukan kita kepada kisah-kisah duka lara. Mereka dilihat seperti:

1                   Out of place. Mereka tiada tempat dalam sistem.
2                   Terpinggir kerana kepintaran dianggap penyakit yang perlu dihindar.
3                   Sistem tidak menyokong kepintaran mereka.
4                   Seperti tidak ada yang memberi sokongan. Tiada sistem dan tiada dana.

Kita terikat dengan sistem yang statik. Tiada fleksibiliti langsung. Dalam sistem kita:

1                   Semua kanak-kanak diwajibkan mengikuti sisitem yang ada sama ada mereka pintar atau tidak.
2                   Usia menjadi penentu untuk anak-anak berada pada peringkat-peringkat tertentu.
3                   Walau bagaimana pintar seseorang kanak-kanak, selagi dia kanak-kanak maka dia diwajibkan berada di sekolah kebangsaan atau di sekolah menengah. Tidak pada pagar yang boleh dibuka untuk memberi laluan pantas untuk kanak-kanak berada pada tahap IQnya. Yang selalu dilihat ialah usianya. Nilai kognitifnya tidak difikirkan dan tidak diberi pengiktirafan.

Kita kehilangan Safiah Yusof. Kita kehilangan Nur Amalina Che Bakri,  Mohd Shukri Hadafi, Chiang Ti Meng dan Chan Yao Ban. Safiah hilang dari kecemerlangan akademik. Nur Amalina tenggelam kerana kejutan budaya. Mohd Shukri menjadi mangsa keadaan. Chiang Ti Meng hilang begitu sahaja. Chan Yao Ban yang setakat ini menyerlah di Melbourne, Australia. Sudah memiliki Ph.D. Sayangnya dia tiada tempat di negara sendiri. Kita masih juga meminggirkan mereka yang pandai. Bukan setakat Chan, ramai lagi yang bertugas di luar negara kerana mereka diberi tempat. Diberi kebebasan berkreatif. Diberi kebebasan membuat penyelidikan. Dana disediakan. Makmal disediakan. Negara tumpang itulah yang memanfaatkan kebijaksanaan mereka. Yang mereka dapat ialah kepuasan dan pendapatan lumayan. Negara asal mereka kerugian berganda-ganda.

Ady Putera masih aktif walaupun menjadi mangsa sistem. Pandai yang tidak diiktiraf. Dianggap tidak sesuai diberi sebarang nilaian kertas kerana usianya yang terlalu muda. Jika dia berada di luar negara tentunya dia sudah memiliki ijazah pertama (Bachelor atau baccalaureate). Mungkin telah tamat peringkat sarjana (Masters). Pada usia 16 tahun tidak mustahil dia mengikuti pelajaran peringkat Ph.D. Di negara Barat kanak-kanak pintar dipelihara kepintarannya. Dijaga dan dibangunkan supaya mereka menjadi aset negara yang menyumbang besar ke arah pembangunan negara tersebut. Hanya negara maju sahaja yang memiliki wawasan ke arah itu. kanak-kanak pintar adalah batu gemala yang berharga. Jauhari sahaja yang mengenal manikam. Memetik kata-katanya, Ady Putera memerlukan dana untuk ke Monash University di Australia. Tidak adakah mereka yang arif membuat pelaburan berharga kepadanya? Jika tidak negara mungkin individu yang berkemampuan. Kita ramai billionaire. Millionaire lagilah ramai. Tidak perlu mereka. Hanya dermawan yang mulia hatinya sudah memadai.

Ramai orang pintar di Barat kerana mereka menyediakan laluan yang luas kepada mereka. Di USA umpamanya falsafah mereka sangat mudah. You ask for it, you get it. Budaya yang sama sudah menular ke Canada 25 tahun yang lalu sewaktu penulis berada di sana. Mereka mesra penyelidik. Mereka mesra kepada orang pintar. Semua keperluan mereka disediakan. Orang pintar suka mencipta. Mereka kreatif. Hasilnya menjadi milik negara. kerana itu warganegara Malaysia yang pintar berada di Australia, USA, Britain dan negara-negara Commonwealth yang lain. Di USA umpamanya tiada siapapun yang terlepas pandang. Orang pintar dicari, diberi kemudahan untuk meneroka bidang baru. Bill Gates adalah antara contoh itu. Di Canada pula apa sahaja yang diperlukan oleh rakyatnya cuba dipenuhi oleh kerajaan Canada. Mereka mencari siapa sahaja pakar yang bersedia berkhidmat untuk memandaikan rakyat Canada.

Kita selalu bercakap tentang peluang tetapi kita tidak memanfaatkan peluang. Di IPTA Malaysia ramai rakyat asing. Kita tidak memanfaatkan mereka. Contohnya bahasa. Di USA mereka belajar apa sahaja bahasa yang dimiliki oleh pelajar-pelajar asing. Universiti membayar mereka untuk mengajar bahasa ibunda mereka. Hampir semua bahasa dalam dunia dipelajari di USA. Pengajarnya pelajar asing yang mengikuti program Ph.D. Malah isteri-isteri pelajar asing diberi peluang yang sama untuk mempelajari bahasa pilihan mereka. Selalunya bahasa Inggeris. Jika di Malaysia kita dapat melakukannya tentu ramai rakyat Malaysia yang petah dalam berbagai bahasa asing. Isteri atau suami pelajar asing pula petah berbahasa Melayu untuk dibawa pulang ke negara mereka. Kehadiran mereka dimanfaatkan.

Begitulah andainya kita ingin memanfaatkan peluang. Anak-anak pintar yang selalu terpinggir mungkin boleh diselamatkan jika kita membuat beberapa perubahan dalam sistem pendidikan kita. Kita perlukan pakar dalam bidang specially gifted child. Kita perlukannya di tadika, di sekolah kebangsaan dan di sekolah menengah. Di IPTA mereka mengikuti kursus-kursus pilihan mereka. Usia jangan dijadikan penghalang. Jangan diikat dengan peraturan yang tidak boleh diubahsuai. Kita muasabah sistem kita. Mana-mana yang boleh diubahsuai buatlah apa yang perlu demi membangunkan modal insan yang bijaksana. Sudah sampai masanya kita melatih pendidik yang bakal memiliki kemahiran istimewa untuk mendidik anak-anak pintar. Kerana itu:

1                   Falsafah pendidikan kita perlukan anjakan paradigma. Menghargai kelainan.
2                   Topik psikologi yang memberi tumpuan kepada anak-anak pintar.
3                   Kaunseling untuk anak-anak pintar.
4                   Membina sistem individualised learning.
5                   Menyediakan bajet yang fleksibel untuk mereka.


Minda kita perlu berubah untuk menerima kehadiran anak-anak pintar. Membangunkan mereka. Mengekalkan mereka dalam negara. Berkhidmat untuk negara. Menyumbang untuk negara. Menjadi aset yang tidak ternilai. Jika tidak mereka akan diambil orang lain. Anak kita tetapi memberi manfaat kepada orang lain. Mereka mendapat hasilnya. Kita hanya bangga dengan namanya. Tetapi nama kosong yang tidak memberi apa-apa pulangan. Kos untuk membangunkan anak pintar memang tinggi. Namun dalam jangka panjang ianya memberikan pulangan yang ekonomikal. 

No comments:

Post a Comment