Friday, November 21, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Kisah Seorang Bapa



Istilah bapa penulis berikan dalam dua konteks sahaja:
1                    Suami kepada ibu. Insan yang dengannya kita dibin atau dibintikan. Nasab keturunan. Darah daging seorang anak.
2                    Seseorang yang dipertanggungjawabkan menjadi pemimpin kelompok, masyarakat, mukim, daerah, negeri dan negara. Kita boleh turun kepada pemimpin taman, ketua kampung, pengerusi masjid dan surau, pemimpin kelab dan persatuan dan pemimpin-pemimpin dalam kapasiti yang lain.

Seorang bapa kandung adalah mutlak. Dia sahaja bapa kandung. Tidak boleh ditukar. Tidak boleh diganti. Tidak boleh diwakili. Tiada sesiapapun yang boleh mengambil alih tugas dan tanggungjawab seorang bapa kandung.
1                    Bertanggungjawab memberi nafkah hidup.
2                    Menyediakan tempat tinggal.
3                    Membelikan pakaian.
4                    Mengurus kesihatan.
5                    Memberi didikan dan pelajaran serta akhlak yang mulia.
6                    Mendidik bermasyarakat.
7                    Mempastikan anak mengamalkan ajaran Islam.
8                    Menjaga kebajikan dan kesejahteraan.
9                    Menjaga keselamatan.
10               Merancangkan masa hadapan anaknya.

Andainya mana-mana tugas yang tersenarai tidak berjaya dilaksanakan maka bapa itu dianggap gagal menyempurnakan tugasnya. Tanggungjawab bapa itu tidak tergalas di bahunya. Dia dianggap seorang bapa yang tidak mampu menjadi bapa yang terbaik. Andainya kesemua tanggungjawab dapat dilaksanakan maka bapa itu berjaya menjadi bapa yang diharapkan. Dalam konteks bapa sebagai ketua keluarga ini sama ada dia berjaya atau gagal dia tetap bapa. Seorang bapa dengan segala kekurangannya. Sekiranya dia telah berusaha, tiada siapa yang dakwa mendakwanya. Jika berjaya, dia menjadi model atau contoh atau mungkin idola kepada orang lain. Pendapatnya dirujuk. Kehidupannya diberi perhatian. Orang lain ingin belajar dari pengalamannya.

Ini tidak terjadi kepada bapa yang menjadi gelaran kepada seseorang pemimpin. Tidak kira besar atau kecil. Tinggi atau rendah. Tanggungjawabnya sama tetapi berskala besar. Untuk kelompok yang lebih besar hingga akhirnya untuk seluruh rakyat negara yang dipimpinnya. Bapa yang baik sentiasa memikirkan yang terbaik kepada anak-anaknya. Yang terbaik dalam konteks positif. Tidak terancam, tiada  kesan negatif, selamat, tiada keraguan, mengambil berat, peka dan sentiasa ingin membantu. Bapa dalam kategori ini bukan mutlak. Mereka dijadikan bapa untuk tujuan tertentu. Untuk jangkamasa tertentu. Cukup masanya bapa ini akan mengundurkan diri. Atau diundurkan. Atau tugasnya diberikan kepada orang lain yang dijangka lebih berupaya menyempurnakan tenggungjawab yang diamanahkan. Tugas dan tanggungjawab seorang bapa ini adalah sangat berat. Tanggungjawabnya luas. Banyak. Rencam. Tiada had kuantiti dan kualitinya. Dia tidak boleh gagal walau sedikitpun kerana natijahnya negatif. Implikasinya besar. Dia perlu menjawab mengapa kegagalan berlaku dalam amanahnya. Dalam sebuah hadith Rasulallah saw bersabda:


كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤُلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
Maksudnya:
Kamu semua adalah pengembala (ketua) dan kamu semua akan   dipertanggungjawabkan terhadap gembalaanmu (orang-orang yang menjadi tanggungan kamu.)


Bagaimanakah kita menilai seorang bapa seperti berikut:
1                    Membunuh anaknya yang tidak sah taraf sedangkan dia adalah bapa yang tidak sah taraf.
2                    Membiarkan anak-anaknya tanpa nafkah hidup yang mencukupi mengikut kadar kemampuannya.
3                    Mendera anak-anaknya sama ada secara fizikal, secara psikologi atau secara mental.
4                    Membiarkan anak-anaknya menguruskan kehidupan mereka sendiri sedangkan bapa mereka sangat berkemampuan.
5                    Bapa yang bermewah-mewah tetapi sangat berkira dengan anak-anak.
6                    Mendenda dan menghukum anak-anak melebihi had. Hilang kasih sayang dalam hati bapa.
7                    Mempermain-mainkan perasaan anak-anak. Mereka pula tidak boleh bersuara. Tidak boleh  memberi pendapat.  Apa-apa suara yang keluar dari mulut anak dianggap sebagai melawan, menghasut dan tidak berterima kasih. Tidak bersyukur.
8                    Apa-apa yang didapati benar dikatakan membuka rahsia.

Ke mana anak-anak harus pergi. Kepada siapa mereka harus mengadu. Apa yang perlu mereka lakukan untuk memperbaiki diri. Siapa yang harus membantu mereka. Memang bapa mereka telah menyediakan berbagai-bagai keperluan untuk mereka. Malangnya mereka perlu pula membayar. Wang saku mereka dipotong setiap masa. Diperlakukan seperti bukan anak kandung. Dilihat orang seperti anak tiri. Kadang-kadang bapa membujuk dengan berbagai helah tetapi yang anak-anak dapat tidak seberapa. Hak mereka sebagai anak dinafikan. Bapa berbelanja untuk hal-hal yang mampu dilihat sahaja oleh anak-anak. Mereka hanya mampu kecur air liur. Hanya mampu berangan-angan. Meminta tetapi tidak dipertimbangkan. Merayu mungkin dapat sebahagian dari yang diperlukan. Hidup anak-anak daif dalam keluarga besar yang sebenarnya mewah. Anak seorang kaya. Berkemampuan untuk menyediakan segala-galanya.

Bapa jenis ini selalu lupa bahawa mereka berada dalam jangka hayat yang terbatas. Duduknya sementara. Keberadaannya sementara. Kerusi empuk itu sementara. Jawatannya sementara. Mereka akan digantikan:
1                    Dengan yang lebih baik.
2                    Yang buah fikirannya lebih bernas.
3                    Yang bicaranya benar tanpa dolak-dalik. Tanpa banyak alasan yang palsu.
4                    Yang usahanya untuk membantu menyenangkan anak-anak.
5                    Yang perihatin tentang keperitan kehidupan anak-anak.
6                    Yang tidak mengugut. Tidak mengancam. Tidak memberi kata dua.
7                    Yang dilihat benar. Tindakannya benar. Bicaranya benar. Janjinya benar.

Bapa kandung adalah darah daging. Tiada peluang untuk menafikan perhubungan yang terjalin. Tiada undang-undang untuk menafikan bahawa dialah bapa kandung. Anak-anak berada di bawah kuasanya sehingga mereka baligh. Namun masih ditanya di akhirat nanti. Bapa yang kedua pula diangkat oleh anak-anak untuk dijadikan bapa. Dipilih untuk menjadi bapa. Dilantik untuk dijadikan bapa. Maka bapa jenis ini boleh diturunkan dengan kuasa yang ada pada anak-anak. Mengikut fitrah alam. Yang baik diangkat. Yang tidak baik diturunkan. Terdapat perbezaan besar antara yang benar dan yang batil. Antara yang baik dengan yang buruk. Sekali pandang malanglah nasib anak-anak diperlakukan dengan tidak sewajarnya oleh seorang bapa yang kurang tanggungjawabnya. Walau bagaimanapun banyak positifnya. Anak-anak boleh memilih bapa lain apabila sampai masanya. Turunkan dan buang bapa yang tidak bertanggungjawab itu. Yang sudah tidak berminat untuk membela anak-anaknya lagi. Bapa yang bersedia mencuci tangannya sendiri. Yang difikirkan ialah dirinya sendiri.


Bapa yang gagal selalu lupa bahawa anak-anaknya adalah warisannya. Mereka yang akan menyambung zuriatnya. Namun apa yang difikirkan oleh bapa tidak sampai ke situ. Yang penting hanya dirinya. Bukan anak-anaknya. Bukan cucu-cicitnya yang akan datang selepasnya. Bahawa kezaliman yang ditanggungkan ke atas kepala anak-anak sebenarnya akan kembali sebagai kezaliman kepada dirinya sendiri. Yang di atas pasti turun. Yang mewah pasti akan papa. Yang senang pasti akan susah. Yang hidup pasti mati. Setiap orang ada had hayatnya. Mungkin esok, lusa, tulat, langkat, tubin ………pekan, tahun. Masa tetap memburu kehadirannya. Masa juga yang akan menamatkan buruan itu. Ketika itu bapa menjadi buruan masa dan keadaan.

Thursday, November 20, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Mencari Di Mana Suri?



Ingat lagu Tiga Kupang nyanyian A Romzie pada zaman pop ye-ye tahun-tahun 1960an dahulu? Antara baitnya:

Suri dalam dapur
Makan roti gula
………
………
Datang burung hitam
Pagut batang hidung.

Di mana suri? Di dapur. Mudah sungguh mencari lokasi seorang suri. Hanya satu tempat sahaja dia berada. Di dapur. Dapur menjadi sinonim kepada suri. Seorang permaisuri yang dikelilingi dengan dayang dan inang pengasuh masih tetap berada di dapur. Apakah sudah ditakdirkan bahawa seorang suri tempatnya hanya di dapur? Jawapannya tidak ada kepastian. Mungkin jawabnya ya dan mungkin juga tidak. Jawapannya pula harus dalam konteks zaman, konteks masa dan konteks suasana. Seorang suri sudah beranjak paradigmanya. Mereka berada di dapur pada jadual yang tertentu. Meninggalkan bahagian tugasnya kepada orang kain pada waktu yang lain. Suri hari ini ke dapur mungkin untuk bertugas pada awal pagi dan lewat petang sahaja. Atau mungkin hanya membuat lawatan dan tinjauan ke dapur sahaja. Bukan untuk bertugas lagi. Bukan untuk berkampung di dapur mengurus apa yang seperlunya. Kehadirannya tidak lagi perlu. Air tangannya yang mengalir ke tubuh suami dan anak-anak bukan lagi dari tangannya. Bukan lagi tumpuan hidup dan matinya. Dapur sudah menjadi sesuatu yang asing. Ada yang menjadi eksklusif.

Siapa suri jika bukan seorang isteri. Bukan calang-calang isteri. Pada zaman dahulu seorang isteri adalah insan penyayang yang lemah lembut tetapi serba boleh. Tulang belakang seorang suami. Dialah teman. Dialah kekasih hati. Dialah pengarang jantung. Dialah intan payung. Dialah menteri. Dialah sumber inspirasi. Dialah ibu kepada anak-anaknya. Dialah guru yang mendidik. Dialah pakar memasak yang enaknya sepanjang zaman. Dialah pakar mengurus rumahtangga. Dialah seorang pakar lanskap terbilang. Pakar hiasan dalaman. Pakar menjahit. Pakar megasuh anak. Namakan apa sahaja. Dialah suri segala suri. Suri hati seorang suami. Sewaktu dirisik bakal ibu mertua banyak yang ditanya. Pandai masaknya. Pandai menjahitnya. Pandai menekatnya. Pandai menyulamnya. Serta ditanya pandai-pandai yang lain. Bakal ibu mertua mencuri pandang jari-jemarinya. Putih kuning kulitnya. Kehalusan tumitnya. Lenggok tubuh badannya. Panjang dan pantas langkahnya. Suapan makannya. Kunyah dan telan sopannya. Juga bicara dari lisan yang antara dengar dengan tidak. Banyak menunduk dari mendongak. Jalannya tidak berbunyi. Dilirik mata sudah mengerti. Dilafaz kata sudah memadai datangnya segala yang diperlukan. Anak emak. Anak gadis idaman. Bukan idaman jejaka tetapi idaman ibu mertua. Yang diyakini menjadi teman terbaik seorang anak lelaki. Yang diyakini mendidik bakal cucu dan cicit keturunan.

Di mana suri? Sangat sukar mencarinya pada zaman ini. 30 tahun dahulu masih ramai bilangan mereka. Sekarang hanya tinggal seorang atau dua. Suri dahulu yang penulis kenal sangat dekat dengan suami dan anak-anak. Paginya untuk suami dan anak-anak. Tengaharinya untuk suami dan anak-anak. Petangnya untuk suami dan anak-anak. Malamnya untuk suami dan anak-anak. Seluruh jiwa dan raganya untuk suami dan anak-anak. Tapak rasminya di dapur. Bak lipas kudung antara dapur dan bilik air. Antara bilik air dan bilik tidur. Antara bilik tidur dan ampaian kain. Antara ampaian dan halaman rumah. Antara halaman dengan lipatan kain. Antara makanan dan hidangan. Antara mandi dan urusan anak menyusu. Waktunya dijaga rapi. Tergelincir masa apabila ada anak-anak yang kesihatannya terganggu. Tawanya di hadapan suami dan anak-anak. Tetapi banyak tangisnya bila sendirian. Sementelahan anak-anak ramai yang masih kecil. Keluarga besar seorang suri.

Mana hendak didahulukan antara banyak tugas harian yang rutinnnya sukar dijangka. Ghalibnya biasa-biasa sahaja. Namun begitu banyak masa yang jadual itu tidak terlaksana tanpa kecekalan hati.

1                   Tidurkan seorang anak atau mandikan anak yang lain.
2                   Beri beberapa anak makan atau menyusukan seorang yang lain.
3                   Bila hendak membasuh.
4                   Memasak mematuhi jadual. Tengahari suami pulang  dari pejabat bersama anak-anak dari sekolah.
5                   Kain di ampaian yang sudah lama keringnya.
6                   Berkejar mendahului hujan yang turunya lebat mencurah.
7                   Anak-anak menangis minta disucikan najisnya.
8                   Itu belum tamu dan saudara mara yang datang bertandang.
9                   Belum jiran tetangga yang lama tidak bersembang.
10              Kesemuanya tidak terlihat apabila seorang suri terkejar-kejar dalam rumahnya sendiri. Menyuap makanan ke mulut anak. Membasuh dengan kudrat empat kerat kerana mesin basuh belum membanyak. Tuisyen untuk anak membaca, menulis dan mengira. Menyusukan anak sambil menidurkan yang lain. Yang mengaji perlu ditunjuk betul dan salahnya. Merawat yang sakit tanpa tidur malamnya.
11              Lihatlah tangan dan kaki suri yang jarang keringnya. Malah kain dan bajunya juga banyak basah dari keringnya. Berulang alik ke bilik air. Berulang alik ke dapur. Berulang alik memasak.

Kadang-kadang suami terlepas pandang betapa gawatnya suri di rumah. Dituntut  pula menyambut suami waktu pulangnya. Seorang suami di pejabat (mungkin di kilang atau di ladang). Kerjanya mengikut jadual rasmi yang diulang-ulang sepanjang hari. Pergi pagi dan petang baliknya. Sampai di rumah tagihnya rumah yang kemas. Makanan yang terhidang. Anak yang terurus. Segala-galanya dalam keadaan selamat sejahtera. Antara mereka pernannya berbeza. Suami bertugas untuk organisasi dan untuk negara secara langsung. Suri pula bertugas untuk keluarga, suami, anak-anak, agama, masyarakat dan negara. Secara tidak langsung kerana namanya tidak disenaraikan sebagai mereka yang bertugas. Tidak diberi gaji. Tiada bonus. Ia hanya setia dengan sesuap makanan. Seteguk minuman. Sepasang pakaian. Seurat rantai emas di leher. Boleh tidur nyenyak di rumah yang serba ada walaupun banyak kekurangannya. Tiada siapa yang lebih penting antara mereka. Kehadiran mereka lengkap-melengkapi. Tidak tumbang kerana mereka sokong menyokong.  Ke bukit sama didaki. Ke lurah sama dituruni.  Sesekali tinjaulah siapa suri tuan. Bila rehatnya. Bila santainya. Bila cutinya. Bila dirinya perlu belaian sayang seorang suami. Lelaki pilihan yang menjadi harapan seumur hidup. Andainya boleh biarlah mati bersama. Tidak terbayang menyendiri setelah lama bersama.

Ketahuilah suri yang dulu sudah tiada. Namun begitu tugas suri perlu diteruskan. Kerana itu suami perlulah juga melakukan anjakan paradigma. Suatu keperluan zaman yang panjang berzaman lagi.

1                   Belajarah memasak untuk membantu. Untuk merehatkan suri tuan. Ibu anak-anak tuan. Bukan dia kekasih dan buah hati pengarang jantung.
2                   Belajarlah mengemas rumah, katil dan halaman rumah. Ketertiban kemas itu mendamaikan segala hati yang ada pada suri.
3                   Bantulah mengurus anak. Bukan melihat dan memerintah sahaja.
4                   Janganlah bermanja tidak kena tempat.
5                   Jangan mengada-mengada hingga tidak langsung membantu.


Biasakan diri membasuh pakaian. Menyidainya. Mengangkat dan melipatnya. Mengasing dan menyimpannya. Bangun pada waktu malam untuk membancuh susu anak. Untuk menukar lampin. Untuk membasuh najis kecil dan besar terutamanya bayi. Rehatkan suri yang telah mengandung dengan payahnya selama sembilan bulan sepuluh hari. Yang telah bertarung nayawa melahirkan zuriat suami. Yang merelakan air susunya membesarkan anak-anakmu. Rehat itu sementara sahaja. Rehat untuk bakal bangkit semula dengan tugasan yang lebih banyak. Lebih mencabar. Lebih pula perlu dihargai. Dimengerti. Dimaklumi kekurangannya. Kedaifannya. Suami perlu sangat berhenti menzalimi surinya. Cukuplah sampai di sini. Bantulah supaya suri itu juga ada masa melayanimu. Ada kekuatan menyanyangimu. Ada stamina bersamamu. Ada tenaga untuk hari-hari esok yang panjang jelangnya. Demi kerukunan rumahtangga yang bersulam rapi dengan cinta serta sayang yang memanjang masa hingga usia bertatahkan emas tempauan. Ada kemanisan di hujung sana. Ada cahaya menerangi hidup bersama. Saat-saat yang berbaki untuk dinikmati.

Wednesday, November 19, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Melapah Gajah Di Selaput Mata



Manusia selalu berperang antara akal dan nafsunya. Beruntunglah mereka yang akalnya panjang. Yang selalu memberi manfaat. Tajam berfikir. Pantas dan pro-aktif. Jarang berada di dalam kotaknya sendiri. Namun begitu terlalu ramai antara kita yang sebaliknya. Nafsunya melindungi akalnya. Akalnya menjadi pendek, beku, jumud dan tidak relevan dengan keadaan sekelilingnya. Apabila nafsu menguasai akal, kita akan selalu menggunakan teleskop besar untuk melihat yang jauh tetapi tidak pula menggunakan teleskop itu untuk melihat yang dekat. Kepada yang arif teleskop memang membesarkan yang jauh dan kecil tetapi dimaklumi bahawa yang dilihat itu sebenarnya memang sangat-sangat kecil. Halus dan seni. Tidak terlihat dengan mata kasar. Mereka juga menjadi pakar menggunakan teleskop. Mempelajarinya dari awal teori sehingga menjadi pakar mengenainya. Sepanjang menggunakan teleskop itu ia maklum tentang apa yang dikalukannya. Kerjanya ialah membesarkan yang kecil. Mengkaji yang kecil kerana yang kecil-kecil itulah namanya bakteria, kuman, virus dan sebagainya. Sains perubatan mengenalpastinya sebagai antara punca penyakit dan kematian.

Pakar-pakar yang sedemikian maklum bahawa kerjanya berakhir dengan mencipta antidote untuk merawat penyakit. Mereka yang pakar selalu menggunakan alat khusus yang dicipta khusus untuk melaksanakan tanggungjawab memberi manfaat kepada manusia dan makhluk lain yang memerlukan. Ia mengambil risiko yang besar dan merbahaya dalam misinya menjayakan penerokaannya. Kadang-kadang kejayaan itu bukan dinikmatinya. Pengganti dan mereka yang selepasnya yang memanfaatkan hasil kerjanya. Bukan sahaja merawat penyakit bahkan membuka ruang-ruang kebaikan yang lain. Penyelidikan lain. Manfaat lain. Benarlah apabila kita melalui sesuatu lorong maka akan ada lorong lain dan simpang lain. Destinasinya berbeza mengikut tahap yang dikehendaki.

Kita sebenarnya memiliki banyak kepakaran lain yang juga menggunakan teleskop dan teropong. Tetapi mereka tidak menggunakan peralatan yang canggih. Malah tidak menggunakan  apa-apa alatpun. Mereka hanya menggunakan mata kasar dan nafsu yang ditaja ghairahnya. Dengan mata kasar mereka juga melihat yang jauh dan yang kecil-kecil. Lalu mereka besar-besarkan. Malangnya mereka tidak maklum bahawa yang mereka lihat sebenarnya pada hakikatnya adalah terlalu kecil. Terlalu seni. Tidak berbahaya seperti kuman atau bakteria atau virus. Ia hanya sesuatu yang kecil milik orang lain yang selalunya tidak memberi mudarat. Tidak merebakkan penyakit. Tidak mencipta wabak. Yang kecil-kecil itu milik orang baik-baik. Mereka yang memberi manfaat. Yang selalu membantu orang lain.

Setiap kali kita melihat cermin, cuba pandang cermin itu lebih lama dari biasa. Apa yang kita lihat dalam cermin itu. Adakah ianya seperti diri kita yang sebenarnya. Perhatikan cermin itu. Adakah ianya kotor, comot, kusam, kelabu atau penuh dengan debu. Lekatan-lekatan itu pastinya mengganggu kebersihan cermin. Maka yang kita lihat ialah diri kita yang kotor, comot, kusam, kelabu dan samar-samar sahaja. Ada bahagian diri kita yang terlindung dari pandangan mata kasar kita. Nah! Kenapa tidak diambil teleskop atau teropong untuk melihat bahagian yang terlindung tersebut. Kita tidak mampu melakukannya selagi gajah besar berekor-ekor banyaknya berada di selaput mata kita. Kita menggunakan belalai gajah untuk melihat yang jauh dan kecil tetapi kita dengan sengaja tidak mahu melihat gajah di selaput mata kita.

Sebuah hadith menyarankan bahawa kita hanya diberi hak untuk iri dalam dua perkara sahaja. Hanya dua perkara sahaja. Iri yang sangat positit bukan negatif.

1                    Iri terhadap  orang lain yang kaya tetapi membelanjakan hartanya ke jalan Allah. Sangat banyak infaqnya. Membayar zakat, memberi derma, menyampaikan sedekah, membantu yang memerlukan. Bukan untuk dirinya tetapi untuk mereka yang berada di sekelilingnya. Untuk Allah yang menciptanya.
2                    Iri terhadap orang lain yang berilmu lalu ilmu itu digunakan untuk memberi manfaatkan kepada orang lain. Menyampaikan ilmunya kepada orang lain. Mengajar, berkongsi ilmu dan berkongsi pengalaman.

Malangnya ramai antara kita yang cermin dirinya kotor, comot, pudar, kusam dan penuh dengan debu. Tidak dapat melihat dirinya sendiri tetapi meninjau-ninjau kotoran orang lain. Comot orang lain. Kusam orang lain. Kumal orang lain. Miskin orang lain. Segala keburukan orang lain dilihat dan dinilai walaupun tiada langsung keperluannya. Selalu kedapatan yang jauh dan kecil itu lebih baik. Lebih bermanfaat. Pada hakikatnya yang dekat di mata hanya bangkai gajah yang sedia berbau. Orang lain menghidu baunya. Ke mana pergi bau itu yang dibawa. Anehnya mereka yang selaput matanya dipenuhi gajah mempunyai sifat-sifat yang dilakonkan sebagai baik.

1                    Apa yang dikatanya tidak, itulah yang dilakukannya.
2                    Apa yang disebut positif tentang dirinya sebenarnya negatif. Kata peribahasa menanam tebu hanya di bibir mulut sahaja.
3                    Keburukan orang lain sebenarnya kebaikan yang dicemburuinya. Keburukan itu adalah dirinya sendiri.
4                    Ia suka mencela orang lain sebagai tidak baik. Celaan itu kembali kepada dirinya sendiri.
5                    Ia menagih penghormatan dari orang lain sedangkan penghormatan bukan diminta tetapi datang sendiri kepada yang berhak mendapatnya. Yang layak sahaja mendapat penghormatan. Tidak boleh dibeli. Tidak boleh diperniagakan.
6                    Pangkat adalah tanggungjawab berat yang wajib disempurnakan bukan untuk dijadikan alat untuk tidak telus, tidak adil dan bukan pula untuk memilih bulu.
7                    Kedudukan hanya sementara. Kesemuanya bukan milik kita tetapi milik Allah secara mutlak. Apabila kedudukan itu ditarik balik yang tinggal ialah diri kita seperti cermin yang tidak bersih. Dilihat sekali tetapi bukan dua kali. Itu pun hanya jika sangat perlu. Orang akan mencari cermin lain yang lebih bersih dan mudah dicari.

Sewaktu kita sihat, beringatlah. Penyakit boleh datang secara tiba-tiba.
Sewaktu kita senang, beringatlah. Kesusahan Allah datangkan sekelip mata.
Sewaktu banyak rezeki, beringatkah. Cukup waktunya Allah tarik.
Sewaktu diri kita baik, beringatlah. Orang lain perlukan kebaikan kita;

Usia kita tidak panjang. Senang kita tidak selama-lamanya. Pandai kita tidak seberapa. Kaya kita tidak juga apa-apa. Pangkat, kedudukan dan status hanya terlalu sementara. Sampai masanya kesemuanya akan hilang sekelip mata. Allah tamatkan pada ketikanya. Ramai orang yang kehilangan banyak perkara tetapi dirinya semakin bernilai. Mereka yang selalu menjaga akhlaknya dihormati hingga bila-bila. Mereka yang berbuat baik, mendapat balasan baik di dunia dan di akhirat. Mereka yang menjalin silaturrahim, diingat orang lain pada masa ia tidak memiliki apa-apa. Hatta setelah usianya tiada. Betapa ada orang yang:

1                    Diingat sewaktu tuanya.
2                    Disebut kebaikannya setelah tiadanya.
3                    Diingat budi baiknya sepanjang zaman.


Alangkah baiknya jika kita buang gajah yang banyak di selaput mata kita. Buang jauh-jauh supaya kita sendiri nampak besarnya gajah yang ada pada diri kita. Yang selama ini kita tidak melihatnya kerana kita sibuk melihat yang jauh dan yang kecil pada diri orang lain. Sebelum melihat jauh, lihat gajah kita dahulu. Lihat besarnya bahawa ianya sangat hampir dengan diri kita. Buang gajah itu supaya pandangan kita jelas. Melihat yang hak. Menikmati yang hak. Selagi gajah di selaput mata selagi itulah kita hanya mencari keburukan orang lain walaupun sebenarnya keburukan itu terlalu kecil berbanding dengan keburukan diri kita yang besar seperti gajah. 

Tuesday, November 18, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Mengapa Lihat Orang Lain?



Kita selalu terperangkap dengan pendapat orang lain. Dengan pandangan orang lain. Takut, apa pula kata orang nanti. Betapa kita kadang-kadang tidak memiliki pendirian kita sendiri. Kita bersandar kepada orang lain. Kenapa tidak berdiri sendiri. Bahawa ini adalah pilihan kita yang terbaik. Adakah bangsa kita tidak memiliki sifat dan sikap mandiri. Perlukan pendapat orang lain. Yang kita lihat begitulah. Yang kita dengar begitulah. Yang kita baca begitulah. Kita seperti ketagih untuk bersandar kepada orang lain. Hampir dalam semua hal kita bersikap begitu. Paling mengecewakan ialah apabila kita melakukan yang hak tetap dipersoalkan. Malah dipersalahkan. Aduhai! Seorang yang solat kerana Allah dipersalahkan kerana tidak solat di ruang yang khusus seperti rumah, surau atau masjid. Solat berjamaah memanglah di tempat sebegitu tetapi apabila solat bersendirian di mana-mana sahaja adalah bumi Allah. Sah solatnya. Mungkin di ruang yang paing sempit sekalipun. Asalkan bersih dari najis. Diyakini suci. Memenuhi syarat dan rukun solat itu sendiri. Heboh seorang artis solat di parkir kereta. Tidak pula orang sibuk dengan mereka yang tidak solat. Bak kata seseorang kenapa yang hak selalu dipersoal. Yang batil dinyahfikir.

Seorang pemimpin mengatakan bahawa harga barang di negara kita masih rendah berbanding dengan harga barang di negara lain. Suatu perbandingan yang simplistik. Kita perlu melihat KNK. Produktiviti. Stok yang ada. Usaha mengurangkan kos. Dan banyak lagi indek ekonomi. Bukan angka semata-mata. Kita mempelajari ekonomi dari negara maju tetapi implimentasinya lebih banyak atas pertimbangan politik dan bukan pertimbangan ilmu dan ekonomi itu sendiri. Pembangunan dan pelaburan apa sahaja sekalipun bukan dengan sengaja untuk membebankan. Bukan pula dikatakan tidak disangka. Pakar-pakar yang terlibat mengerti risiko dan unjuran-unjuran yang terlibat. Jika sesuatu dasar dilaksanakan memang kesemua aspek telah dilihat dengan saksama. Sekiranya beban dan risiko diambil juga maka ilmu dan ilmiahnya telah diketepikan. Manusia menjadi rakus dengan pertimbangannya sendiri.

Penulis pernah di USA pada tahun 1985 dahulu. Suatu ketika sebuah syarkat yang membekalkan telur ingin menaikkan harga telur sebanyak USD 0.01. Satu sen sahaja. Bukan banyakpun. Bukan hingga berpuluh sen. Syarikat tersebut telah membeli center page (dua muka tengah) akhbar untuk menerangkan rasional mengapa harga telur terpaksa dinaikkan. Penulis ulang. Istilahnya terpaksa kerana kenaikan kos yang tidak dapat dihalang. Bukan atas dasar syarikat lain menaikkan harga maka syarkat yang lain turut menaikkan harga. Penulis pernah menulis tentang hal setesen minyak yang berbeza harga minyaknya. Yang membezakan antara mereka ialah usaha mengurgkan kos. Segala-gala kos diakaunkan. Mana-mana kos yang boleh dikurangkan perlu dikurangkan. Pengurangan itu dikembalikan kepada pengguna. Walaupun hanya satu sen. It goes a long way. Bayangkan setesen minyak yang bersebelahan harga minyaknya berbeza sedangkan grednya sama.

Kawalan harga bukan penyelesaian masalah yang utama. Malah ianya menjadi pelindung kepada “kemalasan” industri untuk mengurangkan kos. Untuk menambah kecekapan. Untuk menambah produktiviti. Yang lebih penting ialah pengguna. Mereka yang sewajarnya benar-benar dididik untuk mengerti indek-indek ekonomi. Mengetahui kitarannya. Tahu peranannya. Pengguna di negara membangun hanya menurut apa yang disajikan. Menu yang disediakan. Percaya kepada apa sahaja yang dihidangkan. Tidak di negara maju. Pengguna adalah raja. Supreme. Atau sovereign.

1                   Wang di tangan mereka.
2                   Pilihan pada mereka.
3                   Kuasa beli pada mereka.
4                   Kehendak dan keperluan pada mereka.
5                   Bilangan mereka menenggelamkan usahawan.
6                   Bila-bila masa pengguna dan persatuan pengguna bertindak ke atas sesuatu barang yang dinaikkan harganya boleh melumpuhkan usahawan yang terlibat.

Kita tidak ada kekuatan peribadi. Tidak ada kekuatan persatuan. Teori ekonomi sejagat seperti tidak relevan di Malaysia. Harga sepatutnya ditentukan oleh penawaran dan permintaan tetapi ianya seperti tidak berlaku. Harga yang naik tidak mengurangkan permintaan. Pertimbangannya senang sahaja. Jika tidak dibeli barang itu susahlah kita. Yang ironisnya harga mahal dikatakan menyusahkan. Membeli seolah-olah tiada pilihan. Kerana itu pengguna di Malaysia mudah diancam dan mudah terancam. Akhirnya mereka menurut apa sahaja kehendak pasaran. Ramai orang lain yang perihatin dengan kesusahan orang lain tetapi daya untuk membantu terbatas. Kadang-kadang usahawan dan industrialis di negara kita tidak meningkat dan menunaikan tanggungjawab sosial mereka kecuali yang menguntungkan dengan segera.

Soalnya, mengapa pengguna di negara terlalu malas untuk menjadi perihatin. Bestari dalam ekonomi. Berupaya mendidik usahawan dan industrialis yang terlalu mengejar keuntungan. Mengapa keuntungan itu tidak dikembalikan kepada pengguna. Suatu contoh klasik ialah apabila sebuah korporat yang untung tahunannya berbilion-bilion ringgit masih mengatakan harga perkhidmatannya perlu dinaikkan untuk membiayai pembangunannya. Bukankah keuntungan dipermodalkan semula untuk menjana keuntungan lain yang dirancang dan dijangka. Apabila khalayak tidak arif tentang ekonomi maka usahawan lebih senang mendesak harga melambung ke atas. Apabila khalayak tidak arif tentang mainan hidup bernegara maka mereka terus-terusan dimangsakan. Tiada pembelaan. Tiada pembetulan. Tiada siapa mendengar suara pengguna kerana mereka lemah. Di USA umpamanya pengguna menyokong antara satu sama lain untuk mendapatkan faedah yang sama. Kos diturunkan. Harga diturunkan. Keuntungan syarikat tidak terjejas walau sedikitpun. Masih dalam unjuran yang sama. Bila kita bercakap tentang ekonomi hendaklah dalam konteks yang melingkari teori dan amalan ekonomi. Walaupun politik mempengaruhi ekonomi tetapi bukan penentu sebenar ekonomi dalam negara demokrasi atau laissez-faire economy. Politik menjadi regulator bukan pemain utama.

Samalah apabila simbol penerbangan kita yang menghidangkan minuman terlarang dalam penerbangannya. Yang dihidangkan menikmatinya. Sementara yang tidak memerlukan hidangan didapati telah membayarnya secara percuma. Alasannya cukup dangkal:

1                   Penerbangan ini antarabangsa,
2                   Kita ambil kira penumpang bukan Islam.
3                   Semua penerbangan dasarnaya serupa.

Yang membayar penumpang. Yang rugi penumpang. Rasionalnya tiada. Hanya kerana bersandar kepada amalan orang lain. Ikut trend. Kebiasaan. Sudah sampai masanya kita berdiri atas kapasiti kita sendiri. Membina pendirian sendiri. Untuk itu banyak yang perlu dilakukan. Antaranya:

1                   Rakyat kebanyakan hendaklah meningkatkan diri dari segi pendidikan. Dari segi ilmiah. Dari segi maklumat. Dari segi kepedulian tentang persekitaran mereka. Khususnya tentang agama.
2                   Ilmu peringkat tinggi hendaklah dipelajari supaya  kita dapat berfikir peringkat tinggi. Melihat agama pada paras tinggi. Melihat politik pada tahap tinggi. Berfikir pada aras yang melebihi kebiasaan sahaja. Bukan lagi biasa-biasa sahaja.
3                   Mengambil tahu hal-hal di sekeliling. Memahaminya. Menggarap natijah atau konsekuennya.
4                   Merancang masa hadapan yang lebih efektif dari segi agama, politik, ekonomi, pendidikan, teknologi dan lain-lain yang berkaitan dengan kehidupan pada masa hadapan.


Kita tidak boleh ikut-ikutan terus-terusan dalam persekitaran yang terlalu laju pergerakannya. Setiap dari kita perlu berfikir di luar kotak kehidupan kita sekarang. Di luar kepompong lama yang menjadikan kita terlalu selesa. Semoga ilmu membezakan kita dengan mereka yang terlalu bersandar kepada keadaan. Kita bina harapan melalui ilmu, maklumat dan pemikiran peringkat tinggi. Insyaallah kita akan berjaya dengan izin Allah.