Sunday, October 26, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Solat Zohor Bak Solat Jumaat






Masjid Kabir di Matruh, Mesir. Terletak di pantai Laut Mediterranean.



Hari Ahad 31 Ogos 2014. Solat fardhu Zohor di Masjid اﻟﻜﺒﻴﺮ (Kabir), Matruh, Mesir. Solat berjamaah adalah lumrah di mana-mana tempat solat diadakan. Lazimnya di masjid. Atau memilih musola atau surau. Rasanya hanya tiga solat berjemaah yang selalunya memenuhi masjid. Atau melimpah keluar. Hari raya Eid al-Adha (dalam konteks negara Arab), solat Eid al-Fitr dan solat Jumaat. Di Malaysia susunan 1 dan 2 mungkin terbalik. Penulis telah berada di beberapa negara dan ke banyak tempat. Mungkin hanya di Masjid al-Haram dan Masjid Nabawiy yang jemaahnya selalu ramai. Lebih ramai dari masjid lain dalam dunia. Kerana kemuliaannya. Kerana kebesarannya. Penulis teruja sangat-sangat apabila solat berjemaah di Masjid Kabir, Matruh. Jamaahnya hampir memenuhi masjid semasa solat Zohor tengahari itu.

Sesuatu yang luar biasa. Apabila terdengar azan kami ke masjid. Mengambil wudhu lalu masuk ke ruang solat. Penulis berada beberapa saf dari hadapan. Berlangsunglah solat sebagaimana selayaknya. Emat rakaat dan diakhiri dengan salam. Setelah tamat solat penulis dapati bahawa jamaah solat Zohor itu hampir memenuhi masjid. Lazimnya di Malaysia solat Zohor mungkin setakat satu atau dua saf sahaja. Apabila penulis mengira dari hadapan penulis berada di saf yang keenam. Terpegun sebentar. Seperti baru kali pertama mengalami hal yang luar biasa itu.

1                 Matruh adalah bandar pelancongan. Mereka terdedah kepada pelancong antarabangsa. Namun jatidiri Muslim kepada masyarakat tempatan tidak terhakis walau sedikitpun.
2                 Kebanyakan penduduk Matruh adalah peniaga dan usahawan. Sekali lagi tarikan dunia tidak menghalang aktiviti untuk akhirat.
3                 Dalam keghairahan melancong, pelancong tidak melupakan tanggungjawab mereka untuk solat.

Ada kelainan solat di masjid di Mesir. Di masjid yang dibina sebagai masjid secara khusus. Untuk solat Jumaat. Untuk makluman, suraupun dipanggil masjid di negara Arab. Di tanahair jarang sangat masjid yang penuh untuk solat berjamaah. Mungkin banyak faktor yang perlu difikirkan.

1                  Kita mungkin tidak terfikir pentingnya muazzin. Suaranya perlu lunak dan menarik. Makhraj dan sifat hurufnya tepat supaya setiap huruf tepat fasohahnya. Laungannya bertajwid dan bertartil. Ia memberi kesan kepada yang mendengarnya. Atau dalam konteks ini mereka yang dipanggil untuk menunaikan solat berjamaah.
2                 Mereka yang hendak berjamaah hendaklah menyediakan diri awal sebelum azan. Yang bekerja umpamanya pastikan waktu solat tidak bertembung dengan waktu makan. Rancang supaya solat dahulu sebelum makan atau makan dahulu sebelum solat.

Masjid di Mesir dan di Jordan umpamanya berbeza dengan bangunan biasa. Dilihat besar, kukuh, gagah dan tersergam. Bila kita memasukinya masjid itu luas, tinggi, berukir dengan seni Islam. Siap dengan lampu gantung (chandellier) yang besar, pendingin atau pemanas hawa dan al-Quran yang banyak di sekeliling dalam masjid. Jarang ada jamaah yang bersembang. Kebanyakannya membaca al-Quran walaupun waktu solat mungkin satu atau dua minit lagi. Mereka capai al-Quran dan membacanya. Mungkin beberapa ayat atau beberapa mukasurat. Maknanya waktu i’tiqaf dimanfaatkan. Solat itu pahala. I’tiqaf adalah pahala. Membaca al-Quran adalah pahala. Bangunan masjid itu dibina sebagai syiar. Lambang kebesaran Islam itu sendiri. Banyak masjid-masjid kita di kampung seperti tidak menepati konsep masjid. Rendah, leper dan suasananya panas kerana bumbungnya rendah. Hanya di pekan dan bandar sahaja masjid dibina dalam konsep masjid.

Bagaimana caranya untuk meramaikan jamaah? Yang ini tepuk dada tanya iman.  Perlu ada dakwah berterusan. Seruan khutbah dari mimbar dibuat secara berkala. Mungkin ada papan untuk setiap waktu setiap hari atau setiap minggu. Contohnya:

Tarikh
Dan hari
Subuh
Zohor
‘Asar
Magh-
Rib

Isya’

Jumlah
Sabtu
18
67
56
79
70
290
Ahad
14
66
47
86
68
281
Isnin
35
120
43
67
78
343
Selasa
37
123
45
56
88
349
Rabu
34
118
53
87
77
369
Khamis
37
126
43
69
92
347
Jumaat
45
450
34
70
68
667
Jumlah
220
1,070
321
514
541
2,646
Jumlah ahli qariah = 980 orang

Papan kenyataan ini dipaparkan ditempat yang mudah dipandang. Mungkin di tangga naik atau di pintu memasuki masjid. Cuba buat papan itu dan sekadar dipaparkan sahaja. Semua jamaah akan membacanya. Setiap jamaah akan aman jika dia termasuk dalam angka yang tertera itu. Mereka yang sedar tidak termasuk dalam angka itu akan resah. Jangan lupa catatkan juga jumlah qariah masjid atau surau. Biar ada perbandingan antara yang solat dengan yang tidak solat di masjid atau surau.

1            Tanpa mereka sedari ada orang yang mengira siapa yang hadir dan siapa yang  tidak hadir. Orang yang mengira sahaja yang mengetahui. Orang lain tidak  tahu.
2            Nama yang hadir dan nama yang tidak hadir tidak dihebahkan. Namun  lazimnya mereka mengetahui siapa yang hadir dan siapa yang tidak hadir.

Setelah beberapa minggu, cuba perhatikan sama ada angka itu bertambah  atau tidak. Jika ada penambahan berilah semangat dengan mendoakan mereka yang hadir. Sediakan doa yang istimewa tentang kesihatan mereka, kesejahteraan mereka, mohon rambah rezeki, tambah keberkatan, tambah iman dan sebagainya. Jangan sentuh mereka yang tidak hadir. Abaikan untuk sementara. Yang biasa hadir berasa diri mereka dihormati dan dihargai. Yang tidak hadir tidak termasuk dalam senarai itu. Mudah-mudahan ada antara mereka teringin mendapat tempias doa tersebut.  Kemudian adakan proses mengenalpasti mereka yang tidak solat berjamaah.

1             Kenalpasti nama dan tempat tinggalnya.
2             Tugaskan seseorang untuk mengajaknya berjamaah dengan lembut, bersahaja  dan tidak ada tanda-tanda memaksa. Sambil lalu sahaja pada peringkat awal.
3             Ziarahi rumahnya untuk bermesra dengannya.
4             Ajak untuk turut serta dalam aktiviti masjid atau surau.
5             Berkongsi apa sahaja pengalaman untu membina perhubungan akrab.
6             Ajak lagi untuk berjamaah.
7             Teruskan perhubungan untuk menambahkan pengukuhan amalan agama  seperti membaca al-Quran, kitab atau apa sahaja yang boleh menambah ilmu  dunia dan akhirat.


Insyaallah jika diizinkan Allah akan ada hasilnya. Kita kena berdakwah dengan bijaksana. Dengan lembut dan dengan berhemah. Dalam dunia yang banyak tarikan lain ini dakwah bukan boleh dengan menyerang. Atau menggempur. Zaman itu berlainan. Sekarang kita kena pujuk. Dunia sudah berbagai cabarannya. Tanda-tanda akhir zaman semakin banyak. Semoga ramai sahabat-sahabat kita kembali kepada kekuatan menambah iman. Kita hanya mencuba sehabis yang terdaya. Hidayah milik Allah. Berdoalah sebanyak-banyaknya semoga masjid dan surau kita lebih ramai jamaahnya. Cuma penulis berharap utamakan masjid dahulu sebelum ke surau. Lebih afdhal.  Semoga Allah membantu kita dalam hal ini.



Di luarnya terdapat ruangan lapang.



Menaranya tinggi



Selfie sebentar



Dari luar pagar




Ukiran seperti ini sangat sinonim di Mesir. Wujud hampir di semua masjid.



Serupa di mana-mana masjid.



Sebuah masjid di Iskandariah. Menaranya cantik.



Sebuah lagi masjid berhampiran.



Di pintu masuk sebuah masjid. Seni ukir Islam menyerlah di sini. Terasa kesyahduannya.



Ruang solat. Luas dan damai.



Pemandangan dalaman.



Ukiran pada kubahnya. Begitu juga pada dindingnya.



Ukiran di siling masjid. Tinggi, cantik, seni hingga merasakan diri ini terlalu kecil.

Saturday, October 25, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Mendewasa Bersama Orang Dewasa



Orang dewasa adalah sumber pengalaman lampau. Terhimpun dari masa ke semasa. Biasalah dari mereka turun berbagai maklumat kepada generasi yang berbagai selepasnya. Lazimnya pengalaman itu autentik. Benar pada masa dan tempatnya. Pengalaman yang benar adalah pengalaman yang dirasa sendiri melalui pancaindera. Dilihat sendiri. Didengar sendiri. Dihidu sendiri. Disentuh sendiri. Antara banyak pancaindera yang kurang mendapat penghormatan ialah telinga. Berbahagialah bagi mereka yang mendengar dan kemudiannya taat terhadap perintah Allah. Malang pula jika yang didengar bukan hak. Dengar-dengar yang bukan perlu ditaati. Dalam bahasa mudah telinga selalu mendengar maklumat yang salah. Apabila yang mendengar tidak bijaksana membuat tapisan maka telinga menjadi wadah yang sangat malang pendengarannya.

Kita mendengar suara, bunyi getaran dan desiran tanpa paksa. Kadang-kadang tanpa rela sebab telinga kita memang untuk mendengar. Sama juga apabila kita menulis. Audien membaca apa yang tersurat. Tidak ramai membaca apa yang tersirat. Membaca pada face value sahaja sangat merbahaya. Banyak yang tidak benar tercatat sebagai sesuatu yang dianggap benar. Mereka yang sama pengalamannya memahami maksud catatan tetapi mereka yang berlainan zaman mendeduktif dari apa yang tertulis. Ramai yang menganggap perkara itu benar. Kerana itu Islam melarang kita terlajak dalam banyak perkara. Sebelum bercakap semak dahulu isinya. Maklumat atau hal-hal yang menimbulkan keraguan dan masalah komunikasi. Sebelum ditulis semak dahulu implikasinya.

Kita hidup dalam alam yang konsepnya bersama. Berkongsi ruang dan peluang. Maka dalam perkongsian tentulah ada batas dan halangan yang tidak boleh diterobos. Perlu dijaga kerana hormat-menghormati. Perkongsian dalam hal seperti inilah kita selalu terbabas. Menceroboh ruang orang lain. Selalunya kita menjaga sensitivi agama, politik, kaum dan peribadi. Alangkah baiknya akhlak Islam yang selalu menjaga batas-batas murni. Contohnya yang muda menghormati yang tua. Tidak kira siapa tua itu. Mungkin bapa atau datuk. Mungkin bapa mertua. Mungkin bapa saudara. Mungkin orang yang sebaya bapa dan datuk. Asalkan ia lebih tua elok benar dihormati. Bukan kerana pangkatnya. Bukan kerana jawatannya. Bukan kerana kelayakan akademiknya. Bukan kerana kedudukan politiknya. Tua adalah tua kerana usianya lebih banyak dari kita. Lebih dahulu makan garam kata orang tua-tua.

Begitulah yang digariskan oleh agama Islam. Orang tua itu pula tidak kira Islam atau bukan Islam. Ianya akhlak Islam. Ia juga dakwah yang sangat halus untuk memikat hati orang bukan Muslim. Orang tua tidak boleh  dihina. Tidak boleh diperlekeh. Tidak boleh direnah-rendahkan. Tidak boleh dibuat sesuka hati. Kedudukannya hebat dari segi usia. Sahabat-sahabat dahulu sangat menghormati orang tua walaupun mereka bukan Islam.

1                   Bila bercakap tidak boleh meninggikan suara kepada mereka.
2                   Bila berjalan tidak perlu memintas mereka tanpa keperluan yang mendesak.  Itupun dengan izin yang lemah lembut. ‘Tumpang lalu’ atau ‘execuse me’.
3                   Tidak menghalang laluan mereka.
4                   Membantah dengan bahasa yang berkias cantik. Bukan terang-terangan.  Bukan dengan menepuk meja. Bukan dengan menghentak kaki.
5                   Berhujjah dengan berhemah. Bahasa yang halus. Intonasi yang rendah.  Lontaran kata-kata yang lembut.

Kita selalu terpedaya dengan kata-kata bahawa orang tua banyak ragam. Bagaimana jika kita di tempat mereka. Yang pastinya memang akan berlaku bila sampai masanya. Kita bertukar tempat. Mereka yang banyak ragam atau kita yang muda menganggap mereka banyak ragam sedang hakikatnya mereka sudah ada ragam itu sejak dahulu lagi. Sejak kita belum wujud lagi. Antara kelemahan orang muda ialah kurang usaha untuk memahami mereka yang sudah tua.

1                   Mereka sudah kehilangan kekuatan tenaga fizikal.
2                   Kehendak mereka tetap banyak melebihi kekuatan yang ada.
3                   Fikiran mereka tidak berubah kerana tiada janaan fikir baru.

Itulah pentingnya pendidikan, pengalaman dan ilmiah. Apabila kita menjadi tua kita berubah mengikut zaman. Tidak mahir dengan perubahan tetapi mengetahui bahawa perubahan telah berlaku. Mengapa ianya berlaku. Siapa yang melakukannya. Impaknya kepada ekonomi, agama, sosial, politik dan budaya. Jika pendidikan tidak berkesinambungan dalam leluhur keluarga maka akan terputus harmoni yang sewajarnya cantik mengalir. Boleh bercakap dalam bahasa yang sama. Mungkin bahasa teknologi, komputer, matematik, sosiologi, ekonomi, politik dan tidak kurang juga agama. Mengetahui semua perkara tentulah paling baik. Namun begitu ramai antara kita tidak mampu melakukannya. Mengetahui sebanyak mungkin menjadi aset berharga dalam hidup kita. Kita selalu harmoni dengan keadaan sekeliling.

Peribahasa Arab mengatakan belajar itu dari buaian hingga ke liang lahad. Orang Barat menterjemahkannya sebagai life long learning. Pembelajaran sepanjang hayat. Kita masih kekurangan medium untuk belajar hingga ke akhir  hayat. Ceramah dan tazkirah secara santai dan sambilan memang banyak tetapi tidak diilmiahkan. Ada nota. Ada buku rujukan. Ada silibus. Tidak perlu laju dan tidak perlu keras. Sampaikan ilmu dengan mudah supaya difahami oleh semua peringkat kematangan berfikir. Selain dari ilmu agama ada juga peluang mempelajari berbagai ilmu kehidupan untuk kegunaan harian atau untuk tujuan komersil. Kadang-kadang kita tidak nampak jalannya. Tidak nampak signifikannya. Banyak benda yang boleh dibuat sendiri. Banyak dan sangat banyak. Mari kita bertanya.

1                   Di mana hendak belajar membuat tempe?
2                   Di mana hendak belajar membuat tapai ubi atau tapai pulut?
3                   Di mana hendak belajar membuat nasi dagang, nasi kerabu dan segala jenis  nasi yang lain?
4                   Di mana hendak belajar membetulkan kepala paip atau menukar kepala  paip?
5                   Di mana hendak belajar mengecat rumah atau mengecat kereta atau  motorsikal?

Senarainya boleh diperpanjang lagi. Siapa yang boleh menyediakan semua keperluan pendidikan sepanjang hayat tersebut. Sebenarnya tempatnya sudah ada tetapi tidak kita fikirkan. Kolej vokasional boleh melakukannya. Kolej komuniti sewajarnya mendahului dalam perkara ini. Pengalaman penulis berada di USA dan Canada, kolej komuniti mereka menyediakan apa sahaja kehendak masyarakat umum, masyarakat usahawan atau masyarakat pendidikan. Kepada mereka you ask for it we get it for you. Telah ramai keluarga pendidikan teknikal dan vokasional yang pernah melalui proses ini. Hingga kini ramuan-ramuan yang dibawa pulang dari USA, Canada dan United Kingdom belum sampai kepada masyarakat umum. Semua institusi pendidikan berada dalam arus perdana. Akademik sahaja. Community services untuk orang awam belum terlaksana. Input mereka adalah mereka yang lulus akademik tertentu. Lazimnya selepas SPM. The rest of the community is left unattended. Uneducated. Unschooled.
.

Sudah sampai masanya kita belajar dari mereka yang lebih tua. Lebih dewasa. Atau yang sudah memajukan sesuatu untuk diikuti jalan mereka menuju kejayaan yang lebih cemerlang pada masa hadapan tanpa mengorbankan apa-apa. Negara maju lebih tua dari kita. Take up the issue and get going.

Tuesday, October 21, 2014

Siri Tiga Puluh Lima: Suatu Epilog

Pada tahun 2009 Haji Abas menjejak kaki di Universiti Malaya, Kuala Lumpur bersama Hajjah Aminah. Mereka meraikan anak perempuannya Hajjah Maznah menerima Diploma  Eksekutif Pengajian Syariah dan suaminya Haji Md Yusof menerima Diploma Eksekutif Pengajian Usuluddin. Di sebelah Haji Abas ialah sahabat penulis, Prof . Datuk Dr. Mansor bin Mat Isa, ketika itu Pengarah UMCCED (University Malaya Centre for Continuing Education). 


Gambar pada 18 Oktober 2014. Haji Abas bersama anak sulong, anak bongsu dan seorang menantunya.


Bertarikh 18 Oktober 2014. Haji Abas bersama anak saudaranya Harun bin Adul.



Pada akhir tahun 2013 Hajh Abas dan Hajjah Aminah serta cucu dan cicit mereka menghantar pergi Hajjah Maznah dan suaminya Haji Md Yusof ke Mesir dalam misi mereka untuk rehlah ilmu. Kembara mereka ke bumi anbia untuk mempelajari Bahasa Arab dengan restu kedua-duanya.


Perjuangan kecil itulah yang menghimpun perjuangan besar. Jihad insan-insan kerdil yang tidak punya nama. Tidak punya wajah. Dari mereka hadir getaran dan gegaran zaman. Jika kita mencari nama, kita menemui sosok tanpa wajah. Tidak diketahui. Tidak dikenal. Tidak ada aura kemilau seperti mereka yang menggarap segar nama besar di persada negara. Kadang-kadang bukan kelayakan ilmiah yang menggarap jaya. Mereka yang tiada apa-apa masih lagi kebarangkaliannya menemui keindahan perjuangan. Sesungguhnya sesuatu perjuangan itu bukan sesuatu yang banyak balasananya. Kadang-kadang tiada balasan pun yang dapat dipegang dan diramas. Atau digenggam dengan tangan. Segala-galanya ditunaikan dengan hati redha. Terbuka memberi dan bukan menerima. Tidak mengharap sebarang titipan kerana yang penting adalah Bahtera Merdeka telah belayar pulang dari Britain ke tanahair yang bernama Tanah Melayu. Yang sekarang bernama Malaysia.

Perjuangaan Haji Abas adalah himpunan denyut nadi insan kerdil. Denyut itu jauh di luar bandar. Nun jauh dari jalan perhubungan kecuali sungai. Jauh di pedalaman yang ketika itu berita hanya melalui radio. Hidup anak watan seperti Haji Abas hanya cukup makan kebanyakannya. Tidak ada lain kecuali bertani atau menjadi nelayan. Sebelum merdeka itulah senario daif umat Melayu yang kebanyakannya berada di luar bandar. Hidup bahagia dalam kekurangan. Tidak ramai yang menangis kerana dijajah. Tidak ramai yang menangis kerana kekayaan harta negaranya diangkut oleh penjajah. Sangat ironis apabila tokoh sejarah negara mengatakan negara ini tidak pernah dijajah. Kepada mereka British hanya mencari kekayaan di negara ini dengan izin seluruh warganya. Tentulah tidak masuk akal langsung. Namun itulah realiti pemikiran yang bercabang-cabang. Haji Abas tidak mengerti bahawa perjuangan diperlekehkan orang sekarang. Oleh tokoh sejarah negaranya sendiri.

Pada usia 100 Haji Abas sudah tidak seghairah dahulu. Tetapi cerita Allahyarhan Tunku dan sampannya masih segar. Masih selalu mengujakannya. Ia turut berjuang ketika itu. Perjuangan anak kampung yang akhirnya menyumbang kepada kemerdekaan negara. Kepada Haji Abas perjuangan itu tanggungjawabnya. Tanggungjawab anak watan yang digiring untuk menyatakan perasaannya. Untuk mengalirkan keringatnya demi negara tercinta. Tidak pernah untuk dirinya. Tidak pernah untuk perutnya yang dahulu selalu lapar. Tidak pernah untuk memewahkan diri. Ianya semata-mata perjuangan demi perjuangan itu sendiri. Natijahnya perjuangan itu adalah untuk anak-cucu-cicit warisannya. Mereka yang berhak untuk menerimanya. Haji Abas memperjuangkan hak mereka. Dia hanya seorang pelakunya. Bukan pelakon. Watak-watak kecil seorang anak desa.

Haji Abas tidak menanti apa-apa balasan.
Dia tidak menanti pujian dan sanjungan.
Dia tidak menanti lagu jaya berkemundang.
Dia tidak dahaga apa-apa penghormatan.
Dia tidak minta sesiapa pun mengingati perjuangannya itu.

Bahawa perjuangan adalah suatu tanggungjawab. Haji Abas tiada kelayakan akademik berbingkai emas. Tiada gulungan ijazah yang digenggam sewaktu konvokasyen. Cuma ia belajar dari kehidupan. Dari pengalaman. Itulah sekolahnya dari alam ini. Darinya ia berfalsafah. Darinya ia berprinsip. Darinya ia memproses kehidupan keluarganya keluar dari kemiskinan sejak sebelum merdeka dahulu. Pada dirinya tiada ukuran diploma atau ijazah. Jangan sekali ia dilihat rendah kerana kekurangan itu. Ia telah melakukan yang terbaik untuk orang-orang yang dikasihinya. Kekurangan pada dirinya sewajarnya dihargai bukan dihindari. Tentulah tiada The Way Forward pada garapan fikirannya kerana itu bukan agenda dirinya sebagai pejuang kecil. Asas-asas perjuangan itu yang terus melangsungkan kehidupannya hingga sekarang. Selagi darahnya mengalir. Selagi usianya masih berbaki lagi.

Haji Abas tidak pernah terfikir bahawa kemajuan negara yang ada sekarang adalah antara sumbangannya suatu ketika dahulu. Wang, masa dan tenaga yang dicurahkan adalah semata-mata untuk negara. Tidak pernah ada agenda peribadi. Apatah lagi agenda untuk meraih kemewahan. Atau untuk meraih nikmat ekonomi. Semangat Dato' Onn Jaafar sangat kuat bersarang di hati orang Johor seperti Haji Abas. Apabila Dato' Onn mengundur diri, orang Melayu seperti Haji Abas meneruskan perjuangan. Ketika itu perjuangan bukan kerana siapa yang memimpin tetapi apa yang ingin dicapai melalui perjuangan itu. Kita yang hidup senang sekarang mungkin tidak pernah terkenangkan perjuangan itu. Tulisan ini sekadar suatu catatan seorang pejuang kecil dari kampung yang tidak ternama.


Mungkin ramai lagi pejuang sepertinya di luar sana. Ia bukan kes terpencil. Rakan seperjuangannya ada di sana sini. Tetapi untuk sementara ini hanya Haji Abas yang kita ketahui perjuangannya. Salam dirgahayu. Semoga Allah melindung Haji Abas dan Hajjah Aminah. Mudah-mudahan jannah untuk mereka.

Nota:

Penulis adalah menantu kepada Haji Abas dan Hajjah Aminah. Kedua-dua mereka dikenali sejak penulis masih kecil lagi. Banyak maklumat tentang mereka adalah maklumat peribdai yang diketahui secara primer.  Kebetulan kami hidup berjiran. Selain daripada itu banyak maklumat dikutip selama bertahun-tahun penulis menjadi menantu mereka sejak tahun 1971 lagi. 43 tahun lamanya maklumat-maklumat tersebut dikompilasi dan baru ini dapat didukumentasikan untuk tatapan khalayak. 



Kaherah, Mesir.
22 Oktober 2014
8.39 pagi.