Sunday, October 26, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Solat Zohor Bak Solat Jumaat






Masjid Kabir di Matruh, Mesir. Terletak di pantai Laut Mediterranean.



Hari Ahad 31 Ogos 2014. Solat fardhu Zohor di Masjid اﻟﻜﺒﻴﺮ (Kabir), Matruh, Mesir. Solat berjamaah adalah lumrah di mana-mana tempat solat diadakan. Lazimnya di masjid. Atau memilih musola atau surau. Rasanya hanya tiga solat berjemaah yang selalunya memenuhi masjid. Atau melimpah keluar. Hari raya Eid al-Adha (dalam konteks negara Arab), solat Eid al-Fitr dan solat Jumaat. Di Malaysia susunan 1 dan 2 mungkin terbalik. Penulis telah berada di beberapa negara dan ke banyak tempat. Mungkin hanya di Masjid al-Haram dan Masjid Nabawiy yang jemaahnya selalu ramai. Lebih ramai dari masjid lain dalam dunia. Kerana kemuliaannya. Kerana kebesarannya. Penulis teruja sangat-sangat apabila solat berjemaah di Masjid Kabir, Matruh. Jamaahnya hampir memenuhi masjid semasa solat Zohor tengahari itu.

Sesuatu yang luar biasa. Apabila terdengar azan kami ke masjid. Mengambil wudhu lalu masuk ke ruang solat. Penulis berada beberapa saf dari hadapan. Berlangsunglah solat sebagaimana selayaknya. Emat rakaat dan diakhiri dengan salam. Setelah tamat solat penulis dapati bahawa jamaah solat Zohor itu hampir memenuhi masjid. Lazimnya di Malaysia solat Zohor mungkin setakat satu atau dua saf sahaja. Apabila penulis mengira dari hadapan penulis berada di saf yang keenam. Terpegun sebentar. Seperti baru kali pertama mengalami hal yang luar biasa itu.

1                 Matruh adalah bandar pelancongan. Mereka terdedah kepada pelancong antarabangsa. Namun jatidiri Muslim kepada masyarakat tempatan tidak terhakis walau sedikitpun.
2                 Kebanyakan penduduk Matruh adalah peniaga dan usahawan. Sekali lagi tarikan dunia tidak menghalang aktiviti untuk akhirat.
3                 Dalam keghairahan melancong, pelancong tidak melupakan tanggungjawab mereka untuk solat.

Ada kelainan solat di masjid di Mesir. Di masjid yang dibina sebagai masjid secara khusus. Untuk solat Jumaat. Untuk makluman, suraupun dipanggil masjid di negara Arab. Di tanahair jarang sangat masjid yang penuh untuk solat berjamaah. Mungkin banyak faktor yang perlu difikirkan.

1                  Kita mungkin tidak terfikir pentingnya muazzin. Suaranya perlu lunak dan menarik. Makhraj dan sifat hurufnya tepat supaya setiap huruf tepat fasohahnya. Laungannya bertajwid dan bertartil. Ia memberi kesan kepada yang mendengarnya. Atau dalam konteks ini mereka yang dipanggil untuk menunaikan solat berjamaah.
2                 Mereka yang hendak berjamaah hendaklah menyediakan diri awal sebelum azan. Yang bekerja umpamanya pastikan waktu solat tidak bertembung dengan waktu makan. Rancang supaya solat dahulu sebelum makan atau makan dahulu sebelum solat.

Masjid di Mesir dan di Jordan umpamanya berbeza dengan bangunan biasa. Dilihat besar, kukuh, gagah dan tersergam. Bila kita memasukinya masjid itu luas, tinggi, berukir dengan seni Islam. Siap dengan lampu gantung (chandellier) yang besar, pendingin atau pemanas hawa dan al-Quran yang banyak di sekeliling dalam masjid. Jarang ada jamaah yang bersembang. Kebanyakannya membaca al-Quran walaupun waktu solat mungkin satu atau dua minit lagi. Mereka capai al-Quran dan membacanya. Mungkin beberapa ayat atau beberapa mukasurat. Maknanya waktu i’tiqaf dimanfaatkan. Solat itu pahala. I’tiqaf adalah pahala. Membaca al-Quran adalah pahala. Bangunan masjid itu dibina sebagai syiar. Lambang kebesaran Islam itu sendiri. Banyak masjid-masjid kita di kampung seperti tidak menepati konsep masjid. Rendah, leper dan suasananya panas kerana bumbungnya rendah. Hanya di pekan dan bandar sahaja masjid dibina dalam konsep masjid.

Bagaimana caranya untuk meramaikan jamaah? Yang ini tepuk dada tanya iman.  Perlu ada dakwah berterusan. Seruan khutbah dari mimbar dibuat secara berkala. Mungkin ada papan untuk setiap waktu setiap hari atau setiap minggu. Contohnya:

Tarikh
Dan hari
Subuh
Zohor
‘Asar
Magh-
Rib

Isya’

Jumlah
Sabtu
18
67
56
79
70
290
Ahad
14
66
47
86
68
281
Isnin
35
120
43
67
78
343
Selasa
37
123
45
56
88
349
Rabu
34
118
53
87
77
369
Khamis
37
126
43
69
92
347
Jumaat
45
450
34
70
68
667
Jumlah
220
1,070
321
514
541
2,646
Jumlah ahli qariah = 980 orang

Papan kenyataan ini dipaparkan ditempat yang mudah dipandang. Mungkin di tangga naik atau di pintu memasuki masjid. Cuba buat papan itu dan sekadar dipaparkan sahaja. Semua jamaah akan membacanya. Setiap jamaah akan aman jika dia termasuk dalam angka yang tertera itu. Mereka yang sedar tidak termasuk dalam angka itu akan resah. Jangan lupa catatkan juga jumlah qariah masjid atau surau. Biar ada perbandingan antara yang solat dengan yang tidak solat di masjid atau surau.

1            Tanpa mereka sedari ada orang yang mengira siapa yang hadir dan siapa yang  tidak hadir. Orang yang mengira sahaja yang mengetahui. Orang lain tidak  tahu.
2            Nama yang hadir dan nama yang tidak hadir tidak dihebahkan. Namun  lazimnya mereka mengetahui siapa yang hadir dan siapa yang tidak hadir.

Setelah beberapa minggu, cuba perhatikan sama ada angka itu bertambah  atau tidak. Jika ada penambahan berilah semangat dengan mendoakan mereka yang hadir. Sediakan doa yang istimewa tentang kesihatan mereka, kesejahteraan mereka, mohon rambah rezeki, tambah keberkatan, tambah iman dan sebagainya. Jangan sentuh mereka yang tidak hadir. Abaikan untuk sementara. Yang biasa hadir berasa diri mereka dihormati dan dihargai. Yang tidak hadir tidak termasuk dalam senarai itu. Mudah-mudahan ada antara mereka teringin mendapat tempias doa tersebut.  Kemudian adakan proses mengenalpasti mereka yang tidak solat berjamaah.

1             Kenalpasti nama dan tempat tinggalnya.
2             Tugaskan seseorang untuk mengajaknya berjamaah dengan lembut, bersahaja  dan tidak ada tanda-tanda memaksa. Sambil lalu sahaja pada peringkat awal.
3             Ziarahi rumahnya untuk bermesra dengannya.
4             Ajak untuk turut serta dalam aktiviti masjid atau surau.
5             Berkongsi apa sahaja pengalaman untu membina perhubungan akrab.
6             Ajak lagi untuk berjamaah.
7             Teruskan perhubungan untuk menambahkan pengukuhan amalan agama  seperti membaca al-Quran, kitab atau apa sahaja yang boleh menambah ilmu  dunia dan akhirat.


Insyaallah jika diizinkan Allah akan ada hasilnya. Kita kena berdakwah dengan bijaksana. Dengan lembut dan dengan berhemah. Dalam dunia yang banyak tarikan lain ini dakwah bukan boleh dengan menyerang. Atau menggempur. Zaman itu berlainan. Sekarang kita kena pujuk. Dunia sudah berbagai cabarannya. Tanda-tanda akhir zaman semakin banyak. Semoga ramai sahabat-sahabat kita kembali kepada kekuatan menambah iman. Kita hanya mencuba sehabis yang terdaya. Hidayah milik Allah. Berdoalah sebanyak-banyaknya semoga masjid dan surau kita lebih ramai jamaahnya. Cuma penulis berharap utamakan masjid dahulu sebelum ke surau. Lebih afdhal.  Semoga Allah membantu kita dalam hal ini.



Di luarnya terdapat ruangan lapang.



Menaranya tinggi



Selfie sebentar



Dari luar pagar




Ukiran seperti ini sangat sinonim di Mesir. Wujud hampir di semua masjid.



Serupa di mana-mana masjid.



Sebuah masjid di Iskandariah. Menaranya cantik.



Sebuah lagi masjid berhampiran.



Di pintu masuk sebuah masjid. Seni ukir Islam menyerlah di sini. Terasa kesyahduannya.



Ruang solat. Luas dan damai.



Pemandangan dalaman.



Ukiran pada kubahnya. Begitu juga pada dindingnya.



Ukiran di siling masjid. Tinggi, cantik, seni hingga merasakan diri ini terlalu kecil.

No comments:

Post a Comment