Orang dewasa adalah sumber pengalaman lampau.
Terhimpun dari masa ke semasa. Biasalah dari mereka turun berbagai maklumat
kepada generasi yang berbagai selepasnya. Lazimnya pengalaman itu autentik.
Benar pada masa dan tempatnya. Pengalaman yang benar adalah pengalaman yang
dirasa sendiri melalui pancaindera. Dilihat sendiri. Didengar sendiri. Dihidu
sendiri. Disentuh sendiri. Antara banyak pancaindera yang kurang mendapat
penghormatan ialah telinga. Berbahagialah bagi mereka yang mendengar dan
kemudiannya taat terhadap perintah Allah. Malang pula jika yang didengar bukan
hak. Dengar-dengar yang bukan perlu ditaati. Dalam bahasa mudah telinga selalu
mendengar maklumat yang salah. Apabila yang mendengar tidak bijaksana membuat
tapisan maka telinga menjadi wadah yang sangat malang pendengarannya.
Kita mendengar suara, bunyi getaran dan desiran tanpa
paksa. Kadang-kadang tanpa rela sebab telinga kita memang untuk mendengar. Sama
juga apabila kita menulis. Audien membaca apa yang tersurat. Tidak ramai
membaca apa yang tersirat. Membaca pada face value sahaja sangat
merbahaya. Banyak yang tidak benar tercatat sebagai sesuatu yang dianggap
benar. Mereka yang sama pengalamannya memahami maksud catatan tetapi mereka
yang berlainan zaman mendeduktif dari apa yang tertulis. Ramai yang menganggap
perkara itu benar. Kerana itu Islam melarang kita terlajak dalam banyak
perkara. Sebelum bercakap semak dahulu isinya. Maklumat atau hal-hal yang
menimbulkan keraguan dan masalah komunikasi. Sebelum ditulis semak dahulu
implikasinya.
Kita hidup dalam alam yang konsepnya bersama.
Berkongsi ruang dan peluang. Maka dalam perkongsian tentulah ada batas dan
halangan yang tidak boleh diterobos. Perlu dijaga kerana hormat-menghormati.
Perkongsian dalam hal seperti inilah kita selalu terbabas. Menceroboh ruang
orang lain. Selalunya kita menjaga sensitivi agama, politik, kaum dan peribadi.
Alangkah baiknya akhlak Islam yang selalu menjaga batas-batas murni. Contohnya
yang muda menghormati yang tua. Tidak kira siapa tua itu. Mungkin bapa atau datuk.
Mungkin bapa mertua. Mungkin bapa saudara. Mungkin orang yang sebaya bapa dan
datuk. Asalkan ia lebih tua elok benar dihormati. Bukan kerana pangkatnya.
Bukan kerana jawatannya. Bukan kerana kelayakan akademiknya. Bukan kerana
kedudukan politiknya. Tua adalah tua kerana usianya lebih banyak dari kita.
Lebih dahulu makan garam kata orang tua-tua.
Begitulah yang digariskan oleh agama Islam. Orang tua
itu pula tidak kira Islam atau bukan Islam. Ianya akhlak Islam. Ia juga dakwah
yang sangat halus untuk memikat hati orang bukan Muslim. Orang tua tidak boleh dihina. Tidak boleh diperlekeh. Tidak boleh
direnah-rendahkan. Tidak boleh dibuat sesuka hati. Kedudukannya hebat dari segi
usia. Sahabat-sahabat dahulu sangat menghormati orang tua walaupun mereka bukan
Islam.
1
Bila bercakap tidak boleh meninggikan suara kepada
mereka.
2
Bila berjalan tidak perlu memintas mereka tanpa
keperluan yang mendesak. Itupun dengan izin yang lemah lembut. ‘Tumpang lalu’
atau ‘execuse me’.
3
Tidak menghalang laluan mereka.
4
Membantah dengan bahasa yang berkias cantik. Bukan terang-terangan. Bukan dengan menepuk meja. Bukan dengan menghentak kaki.
5
Berhujjah dengan berhemah. Bahasa yang halus. Intonasi
yang rendah. Lontaran kata-kata yang lembut.
Kita selalu terpedaya dengan kata-kata bahawa orang
tua banyak ragam. Bagaimana jika kita di tempat mereka. Yang pastinya memang
akan berlaku bila sampai masanya. Kita bertukar tempat. Mereka yang banyak
ragam atau kita yang muda menganggap mereka banyak ragam sedang hakikatnya
mereka sudah ada ragam itu sejak dahulu lagi. Sejak kita belum wujud lagi. Antara
kelemahan orang muda ialah kurang usaha untuk memahami mereka yang sudah tua.
1
Mereka sudah kehilangan kekuatan tenaga fizikal.
2
Kehendak mereka tetap banyak melebihi kekuatan yang
ada.
3
Fikiran mereka tidak berubah kerana tiada janaan fikir
baru.
Itulah pentingnya pendidikan, pengalaman dan ilmiah. Apabila
kita menjadi tua kita berubah mengikut zaman. Tidak mahir dengan perubahan
tetapi mengetahui bahawa perubahan telah berlaku. Mengapa ianya berlaku. Siapa yang
melakukannya. Impaknya kepada ekonomi, agama, sosial, politik dan budaya. Jika pendidikan
tidak berkesinambungan dalam leluhur keluarga maka akan terputus harmoni yang
sewajarnya cantik mengalir. Boleh bercakap dalam bahasa yang sama. Mungkin bahasa
teknologi, komputer, matematik, sosiologi, ekonomi, politik dan tidak kurang
juga agama. Mengetahui semua perkara tentulah paling baik. Namun begitu ramai
antara kita tidak mampu melakukannya. Mengetahui sebanyak mungkin menjadi aset
berharga dalam hidup kita. Kita selalu harmoni dengan keadaan sekeliling.
Peribahasa Arab mengatakan belajar itu dari buaian
hingga ke liang lahad. Orang Barat menterjemahkannya sebagai life long learning.
Pembelajaran sepanjang hayat. Kita masih kekurangan medium untuk belajar
hingga ke akhir hayat. Ceramah dan
tazkirah secara santai dan sambilan memang banyak tetapi tidak diilmiahkan. Ada
nota. Ada buku rujukan. Ada silibus. Tidak perlu laju dan tidak perlu keras. Sampaikan
ilmu dengan mudah supaya difahami oleh semua peringkat kematangan berfikir. Selain
dari ilmu agama ada juga peluang mempelajari berbagai ilmu kehidupan untuk
kegunaan harian atau untuk tujuan komersil. Kadang-kadang kita tidak nampak
jalannya. Tidak nampak signifikannya. Banyak benda yang boleh dibuat sendiri. Banyak
dan sangat banyak. Mari kita bertanya.
1
Di mana hendak belajar membuat tempe?
2
Di mana hendak belajar membuat tapai ubi atau tapai
pulut?
3
Di mana hendak belajar membuat nasi dagang, nasi
kerabu dan segala jenis nasi yang lain?
4
Di mana hendak belajar membetulkan kepala paip atau
menukar kepala paip?
5
Di mana hendak belajar mengecat rumah atau mengecat
kereta atau motorsikal?
Senarainya boleh diperpanjang lagi. Siapa yang boleh
menyediakan semua keperluan pendidikan sepanjang hayat tersebut. Sebenarnya tempatnya
sudah ada tetapi tidak kita fikirkan. Kolej vokasional boleh melakukannya. Kolej
komuniti sewajarnya mendahului dalam perkara ini. Pengalaman penulis berada di
USA dan Canada, kolej komuniti mereka menyediakan apa sahaja kehendak
masyarakat umum, masyarakat usahawan atau masyarakat pendidikan. Kepada mereka you
ask for it we get it for you. Telah ramai keluarga pendidikan teknikal dan
vokasional yang pernah melalui proses ini. Hingga kini ramuan-ramuan yang
dibawa pulang dari USA, Canada dan United Kingdom belum sampai kepada
masyarakat umum. Semua institusi pendidikan berada dalam arus perdana. Akademik
sahaja. Community services untuk orang awam belum terlaksana. Input mereka
adalah mereka yang lulus akademik tertentu. Lazimnya selepas SPM. The rest
of the community is left unattended. Uneducated. Unschooled.
.
Sudah sampai masanya kita belajar dari mereka yang
lebih tua. Lebih dewasa. Atau yang sudah memajukan sesuatu untuk diikuti jalan
mereka menuju kejayaan yang lebih cemerlang pada masa hadapan tanpa
mengorbankan apa-apa. Negara maju lebih tua dari kita. Take up the issue and
get going.
No comments:
Post a Comment