Tuesday, October 14, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Kepimpinan Yang Memimpin



Allah berfirman yang mafhumnya:
Adakah sama mereka yang mengetahui dengan mereka yang tidak mengetahui?


Manusia dibiakkan di muka bumi dengan tugas untuk memakmurkannya. Menjadi khalifah atau ketua yang adil dan saksama. Masing-masing akan ditanya nanti di hadapan Allah akan tanggungjawabnya ke atas orang-orang di bawahnya. Kerana itu menjadi ketua wajib melaksanakan keadilan yang sewajarnya. Keadilan yang tertanggung di atas bahunya. Seperti kata Tuan Guru Nik Aziz, laksanakanlah tanggungjawab sekira-kira dapat dijawab bahawa keadilan itu telah berjaya disempurnakan apabila ditanya Allah di akhirat kelak. Pada akhir zaman ini ramai pemimpin yang selalu dipertikaikan kepimpinannya. Baik pemimpin yang paling tinggi hatta pemimpin yang paling rendah. Pemimpin yang tinggi selalu dilihat orang. Salah dan silapnya mudah dikesan. Yang memantaunya semua rakyat biasa. Tetapi ramai pemimpin kecil di peringkat bawah yang selalu terlepas pandang. Tidak ramai yang mengetahui karenahnya. Ironisnya ramai pula yang menyokong dan bersetuju dengan tindakan-tindakannya yang jelas tidak adil. Membina kroninya sendiri. Pandai bermuka-muka. Tanpa disedari tindakan-tindakannya memecah-belahkan orang-orang di bawahnya.

Kepimpinan yang tidak adil juga tidak telus. Orang-orang di bawahnya dikategorikan kepada beberapa kelompok:

1                   Mereka yang menyokong 100% tanpa soal jawab. Semuaya betul bak burung kakak tua.
2                   Mereka yang menentang dengan berani berprinsipkan berani kerana benar.
3                   Kumpulan yang menentang dalam senyap. Tidak berani bersuara kerana takut disennaraihitamkan.
4                   Kumpulan yang tidak peduli. Ikut arus sahaja. Ke mana hendak dibawa tidak pernah ditanya.

Keempat-empat kumpulan tersebut sentiasa berada dalam sempadan masing-masing. Dalam kotak masing-masing. Kadang-kadang kita menjadi hairan kerana pemimpin kecil yang berkenaan terlalu kecil dalam hairaki kepimpinan institusi apatah lagi dalam kepimpinan negara.  Apa yang berlaku selalunya menyulitkan kerana beliau:

1                   Selalu memilih bulu. Dia dikelilingi oleh orang-orang yang hanya banyak mengangguk, orang-orang yang cantik dan selalu mengikut arahan.
2                   Memberi arahan untuk kepentingannya sendiri dan bukan untuk kepentingan ramai. Malah bukan untuk kepentingan organisasi.
3                   Menggunakan kuasa untuk mengugut, menempelak dan memalukan orang lain di hadapan khalayak ramai.

Pemimpin jenis ini sukar diajar. Sukar dibimbing. Sukar dibantu. Ia merasa bahawa dirinya cukup besar dan tinggi kedudukannya. Egonya sangat tinggi. Ia membina empayarnya sendiri walaupun pada hakikatnya ia bukan siapa-siapa. Jawatannya terlalu rendah berdasarkan kelayakan akademiknya. Situasi yang meletakkanya sebagai pemimpin. Tiada hairaki. Tiada ruang untuk naik pangkat kerana jawatannya pun sementara. Bila-bila boleh diganti oleh orang lain. Kerana mendapat sokongan maka pemimpin jenis ini tidak ubah seperti antagonis dalam filem Tamil atau Hindi. Yang teruk dan jahat itupun ramai penyokongnya. Hanya apabila watak itu ditentang dan dihapuskan baru orang lain sedar bahawa mereka menyokong pemimpin yang salah.

Pemimpin kecil sewajarnya belajar dari mereka yang:

1                   Memiliki kelayakan akademik yang tinggi.
2                    Memiliki pengalaman mengurus pada tahap tinggi.
3                   Terlibat dengan projek besar dan bernilai tinggi.
4                   Memiliki idea kreatif, banyak dan berimpak tinggi.
5                   Sikapnya proaktif dan reaktif. Bukan negatif dan selektif.
6                   Fikirannya terbuka untuk menerima pandangan, cadangan dan input-input baru.
7                   Membina sistem kerja yang telus dan berkembang maju.
8                   Memberi keadilan kepada orang di bawahnya.
9                   Memajukan diri sendiri dan memajukan orang-orang di bawahnya ke tahap yang tertinggi.

Pemimpin kecil jarang muasabah diri. Pada dirinya banyak kekurangan yang perlu ditampung. Dirinya perlu menghimpun ilmu, maklumat dan kesediaan untuk membangun diri. Terlalu ramai pemimpin kecil yang perasan seolah-olahnya dirinya adalah pemimpin besar. Seolah-olah pemimpin penting. Seolah-olah pemimpin hebat. Pengamatan kita selalunya mendapati bahawa pemimpin jenis ini:

1                   Berfikiran jumud. Tidak mahu berkembang.
2                   Tidak melakukan anjakan paradigma untuk menjadi lebih baik. Lebih positif.
3                   Tidak ada idea bernas untuk diketengahkan. Malah suka memplagiat idea orang lain. Memperaku bahawa idea orang lain itu sebagai ideanya.

Malang bagi sesebuah organisasi apabila dianggotai oleh pemimpin kecil yang banyak menjadi kekangan kepada kemajuan organisasi. Sewajarnya pemimpin jenis ini diberikan:

1                   KPI. Key Performanca Index yang sesuai. Sesuai dengan bidangnya.
2         Ada SKT tahunannya. Sasaran kerja tahunan ini menjadi pengukur    akan                 kecekapannya.
3         Ada matlamat jangka panjang di samping matlamat jangka pendek.
4         Diberi kursus supaya bijak mengurus. Supaya berfikiran terbuka. Supaya                       selalu memikirkan yang terbaik untuk orang-orang di bawahnya. Bukan                     dirinya yang penting.     

Pemimpin-pemimpin kecil ini selalu lupa bahawa apabila tamat tempohnya mereka akan kembali kepada masyarakat. Selalu terjadi pemimpin jenis ini tidak dipedulikan orang apabila kedudukan yang ada pada dirinya sudah diambil Allah dan diberikan kepada orang lain. Orang lain bukan membalas dendam tetapi letih kerana semasa memiliki sedikit kuasa ia selalu lupakan siapa dirinya yang asal. Yang asli. Yang hakiki. Kita seharusnya selalu beringat bahawa kedudukan kita hanya sementara. Jangan lupakan diri dan jangan lupakan Allah. Bila-bila masa sahaja Allah mencabut kedudukan yang ada pada dirinya. Kembalilah dia kepada kedudukannya yang asal. Bukan siapa-siapa. Hanya orang biasa seperti orang lain juga. Andainya ia adil dan saksama hidupnya disukai orang. Dihormati dan disegani. Matinyapun tetap diingat orang. Kebaikannya berpanjangan.

Apabila kita bertemu dengan pemimpin seperti ini banyak yang boleh kita lakukan. Antaranya:

1                   Tegur secara berhemah. Minta maaf banyak-banyak. Tunjukkan yang betul dan bimbing dia ke jalan yang lebih baik.
2                   Bercakap selalu kepadanya asalkan yang hak. Dia perlu tahu antara yang hak dan yang batil (salah).
3                   Betulkan kesalahannya seberapa banyak yang boleh.
4                   Beri kefahaman kepada orang lain supaya yang benar disokong dan yang salah dibantah.


Dunia sudah sampai ke akhir zaman.  Ramai mereka yang tidak layak dijadikan pemimpin. Maka banyak kecelaruan dalam kepimpinan hingga menjadikan semua orang dalam keadaaan serba salah. Cakap salah, tak cakap salah. Kebaikan yang didambakan selalu tidak kesampaian. Lebih malang apabila yang benar tidak popular. Ditentang setengah mati. Yang salah pula mendapat sokongan. Hanya kerana hendak menyokong. Hanya kerana takutkan yang sedikit. Sepatutnya yang benar adalah benar dan yang salah adalah salah. Kita pasti kembali kepada Allah. Kita yang akan menjawabnya. Betulkan diri untuk kembali kepada Allah. Kepada ajaran agama. Kepada yang hak.

Bingkisan Dari Kaherah: Sampah, Lembu dan Pelancongan



 
Senerio ini di Matruh, Mesir. Sebuah bandar pelancongan tepi Laut Mediterranean. hal seperti ini adalah biasa bagi masyarakat di sini. Sesuatu yang perlu difikirkan dengan panjang lebar. Ini hanya suatu sampel dari kegagalan umat Islam menangani kebersihan. Teori yang menjadi hukum tetapi tidak dapat direalisasikan dengan sempurna. Tidak semua negara Islam sebegini teruknya. Ada yang berusaha tetapi jumlahnya sangat sedikit. Keindahan Islam itu sendiri tidak terserlah malah dilitupi sampah yang hodoh dipandang mata. Lembu berkongsi sama.



Bingkisan Dari Kaherah: Sampah, Lembu dan Pelancongan

Terkenang kata-kata Mohamad Abduh bahawa dia melihat keindahan Islam di Barat tanpa kehadiran orang Islam. Apabila dia kembali ke negaranya dia mendapati penduduknya Muslim tetapi tidak memiliki keindahan Islam. Baru-baru ini seorang professor sebuah universiti di USA membuat rumusan bahawa negara-negara bukan Islam adalah lebih Islamik dari negara Islam sendiri. Dua tokoh yang berbeza zaman dan berbeza profesion. Berbeza agama. Berbeza budaya. Berbeza pendidikan. Abduh seorang pendakwah sementara professor pula seorang akademia. Namun begitu rumusan mereka menjurus kepada suatu hakikat yang sangat sukar untuk selesa apabila berhadapan dengannya. Seolah-olahnya segala yang negatif berada di negara Islam. Payah hendak mencari negara Islam yang dianggap Islamik. Sementara  itu Turki memilih untuk berada di Eropah dan tidak di Asia walaupun pada peta dunia negara itu terletak di Asia. Hanya sebahaigan kecil negaranya berada di Eropah. Ironis juga mengapa Kamal Atartuk memilih untuk menjadikan Turki bersama Eropah dan tidak Asia. Satu menifestasi bahawa Asia pada masa itu dilihat sebagai bukan sesuatu yang positif kecuali mungkin Jepun, Korea dan maaf, Singapura. Negara Islam penuh dengan kucar-kacir. Tidak terurus dengan baik. Tidak terus belajar dari kejayaan yang disejarahkan sebagai gemilangan pada suat masa dahulu.

Sebuah hadith Rasulallah yang mafhumnya, kebersihan adalah sebahagian dari iman. Bagi sesiapa yang mempelajari hadith ini di negara mereka sendiri (bukan negara Arab) pasti hanya memahaminya sepintas lalu sebagai arahan atau ajaran agama yang menuntut kebersihan. Pemahaman yang sangat tipis bak selaput kulit bawang. Hanya apabila pembaca berada di negara Timur Tengah barulah penulis boleh memahami hadith tersebut dengan jelasnya. Hadith itu berdasarkan realiti sebenar masyarakatnya sejak dari zaman dahulu lagi. Bukan perkara baru. Keadaan yang tepu dan kaku. Tiada ruang untuk berjaya diperbaiki kecuali mungkin dengan perundangan dan anjakan paradigma dan sosial setempat. Terdapat usaha untuk berubah ke arah yang lebih baik namun tanpa penglibatan semua warganegaranya apa pun tidak akan berjaya sepanjang zaman. Sikap dan persepsi tentang sampah dan konotasinya perlu digarap dari rakyatnya semasa mereka masih menjadi pucuk rebung lagi. Dari sekecil-kecilnya. Dari rumah. Dari ibu dan bapa. Sekolah mengemaskan lagi amalan baik yang sudah terbentuk di rumah. Ibu dan bapa yang memulakan pentingnya kebersihan. Pentingnya sifar sampah. Tiada pencemaran dari sampah.

Harapan kadang-kadang tidak menjadi kenyataan. Realiti yang sukar dimanifestasikan. Sama ada ego sesuatu bangsa itu terlalu tinggi atau mungkin kegagalan kepimpinannya yang menjadikan seluruh pemikiran warganya menjadi jumud. Jika kita menelusuri sejarah semua kejayaan dengan izin Allah. Tetapi diusahakan dengan gigih. Dibangunkan sistem. Dibina disiplin. Dibentuk pemikiran positif. Ditanam kepekaan kepada kebaikan. Orang Asia berbeza dengan orang Barat. Kita selalu menganggap ringan apa sahaja yang kita lakukan. Takes things for granted. Kita tidak perrnah rasa cemas menanti perubahan hari, perubahan suhu, perubahan cuaca. Memikirkan yang terbaik untuk diri sendiri, untuk keluarga, untuk jiran tetangga, untuk masyarakat dan untuk negara. Mengharap masa hadapan yang baik tetapi tidak memilih jalan terbaik untuk mencapainya. Kebersihan adalah sesuatu yang asas. Perlukan perhatian khusus. Kealpaan kita mengakibatkan banyak persekitaran kita tercemar dengan sampah. Malaysia memiliki pantai yang cantik berpasir putih tetapi terlalu banyak sampah. Kesemuanya dilakuklan oleh manusia. Oleh warganegara yang tidka maklum akan pentingnya menjaga kebersihan pantai. Akibatnya apabila kita ke pantai, sukar untuk kita mendapatkan ruang yang bersih dan selesa. Lebih parah lagi apabila kita mengambil sikap yang sama. Meninggalkan atau membuang sampah sesuka hati. Bukan sahaja pelancong asing terasa jijik untuk ke pantai kita malah pelancong tempatan sekalipun mengelakkan diri untuk ke pantai. Laut itu cantik. Tetapi tempat untuk menikmati laut itu tidak terlihat cantiknya. Melanggar larangan agama bukan perkara main-main. Hukum itu selayaknya mendorong kita untuk memikirkannya dalam jangka panjang. Untuk difikir panjang-panjang. Bahawa kebersihan adalah sesuatu yang sangat memberi kesan kepada keselesaan, kebahagiaan, keindahan dan ketenangan. Mencipta kedamaiannya yang tersendiri. Hati menjadi tenang. Senang. Hilang kerisauan.

Tidak ramai antara kita yang benar-benar menghayati perlunya kebersihan. Guru-guru umpamanya tidak jemu mendidik di sekolah. Malangnya masyarakat di luar tidak memberikan sokongan yang membina. Tidak membantu mengukuhkan pendidikan rasmi yang dilaksanakan di sekolah. Ramai antara kita berpendidikan tinggi. Berjaya dalam hidup. Namun dalam hal kebersihan kita masih di belakang. Kita kembali ke Turki. Tentang kebersihan Turki seperti negara Eropah yang lain. Bersih dan menggamit rindu. Gambarkan suatu analogi. Mana lebih tenang kembali ke rumah yang bersih dan teratur rapi atau kembali ke rumah yang berserabut seperti tongkang pecah? Masuk ke bilik air yang bersih berkilat, teratur dan kemas atau ke bilik air yang berlumut, penuh dengan kesan klorin, kotor dan bersepah? Masuk ke bilik tidur yang rapi cadar dan bantalnya, wangi baunya atau ke bilik tidur yang hapak, hancing, hangit, berserabut tidak diketahui di mana bantal dan di mana cadar? Membuka almari yang kesemua pakaiannya tersusun rapai atau yang hanya berlonggok-longgok sahaja? Perlu pula diselongkar hanya untuk mencari setokin yang entah di mana pasangannya. Begitu juga masuk ke dapur yang periuk belanganya putih berkilat dan tersusun atau ke dapur yang dengan pinggan mangkuk yang tidak dibasuh dan tidak disusun dengan baik? Makan di meja yang dihidang rapi atau makan di meja yang berminyak, tidak terhidang dengan baik? Halaman rumah yang bersepah atau yang bersih bersapu? Kereta disusun dengan serapinya atau parkir sesuka hati?

Semua ini perlukan disiplin berfikir. Senangkan yang sukar. Cerakinkan yang susah menjadi bahagian-bahagian yang mudah dikendalikan satu persatu. Lakukan dari awal. Dari yang mudah. Dari yang dekat. Perlahan-lahan lakukan yang lebih berat dan sukar. Biasakan dan jadikan amalam. InsyaAllah alah bisa tegal baisa. Selebihnya hanya mengekalkan amalan. Penyenggaraan. Kita perlukan disiplin diri, kawalan diri, dorongan dalaman, menghayati agama dan selalu berkehendak kepada yang lebih baik.





Di sini anjing pula yang berkongsai sampah. 


Ini adalah pantai utama Matruh. Serokan yang menjadi tarikan pengunung untuk mandi-manda. Sampahnya yang begini tentu menjolok mata.


Ini di suatu tempat lain. Tong sampah hanya satu. Sampahnya melimpah dan bersepah. Disapu dan diurus tetapi prasaranannya tidak mencukupi.


Dari arah mana sekalipun sampah itu tetap tidak enak dilihat.



Untuk menjadi bangsa yang hebat kita perlu kritikal walaupun pada perkara yang sekecil-kecilnya. Perkara yang selalunya tidak difikirkan itu kadang-kadang memberi impak yang sangat signifikan jika tidak diambilkira. Secebis sampah yang diabaikan merebak menjadi timbunan sampah yang merumitkan negara. tempat pembuangan sampah menyukarkan penduduk sekelilingnya. Incenarator yang ingin dibina juga menyulitkan penduduk sekelilingnya. Kerana itu setiap seorang dari kita perlu mengurus sampah kita sendiri. Kurangkannya. Lupuskan di tempat yang sesuai. Pertimbangkan suruhan agama. Fikirkan kepentingan masyarakat. Fikirkan secara makro di samping secara maikronya. Buka minda kita supaya berfikiran global. World view kita biarlah melepasi sempadan diri kita sendiri. Jangan terperangkap dalam zon selesa yang yang memebri keselesaan kepada orang lain. 

Sunday, October 12, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Iskandariah Kota Alexander The Great

Perpustakaan Iskandariah ini antara yang terbesar di dunia. Tentunya banyak koleksi kelasik. Koleksi vintage. Koleksi zaman bahari. 



Kembara manusia tidak ada sudahnya selagi hayat dikandung badan.  Ada sahaja tempat yang dapat diziarahi. Dinikmati keberadaannya. Yang pastinya dalam kembara kita menemui banyak yang unik. Kelainan-kelaianan yang seharusnya kita kembalikan kepada Yang Maha Mencipta. Bahawa kesemuanya itu untuk kita akur dengan Yang Maha Besar. Yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Lazimnya kita hanya bermimpi berada di sesuatu tempat yang jauh. Tempat yang pada perkiraan kita tidak mungkin dapat kita jejaki dengan kaki kita sendiri.  Atau mungkin kita hanya berkesempatan menatap gambar atau menonton filem, video dan dokumentari sahaja. Kebanyakan kita berserah dengan ketidakmungkinan untuk menziarahi tempat-tempat yang tidak terjangkau fikiran. Apatah lagi dari segi kemampuan kewangan. Ketidakmampuan masa.

Namun begitu ramai orang yang berkesempatan berada di tempat-tempat yang berbeza. Pada waktu yang berbeza. Pada suasana yang berbeza. Kesempatan kembara mungkin datang tanpa diduga. Tidak dirancangkan dengan pasti. Allah menggerakkan kita untuk berada di sesuatu tempat pada masa dan kesempatan yang tertentu. Dari satu titik masa ke satu titik masa yang berbeza. Dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Maka kembara kita itu semakin panjang. Semakin lama. Tentunya banyak berjalan banyak pemandangan. Banyak pengalaman peribadi yang terhimpun. Ianya bukan koleksi peribadi yang eksklusif. Tetapi koleksi untuk dikongsi dengan orang lain kerana sesuatu yang terpendam tiada manfaatnya. Perkongsian memberikan keindahan penceritaan. Keindahan pengalaman. Keterujaan bagi yang membaca. Bahawa di luar sana banyak yang perlu dilihat. Didengar. Diinsafi kewujudannya. Untuk disyukuri kerana kita diberi kesempatan oleh Allah untuk menyaksikannnya. Secara peribadi. Pengalaman primer dan bukan sekunder.

Sewaktu kecil dahulu penulis banyak membaca novel atau cerita-cerita dari Timur Tengah. Nama-nama bandar di Mesir biasa dibaca. Laut Tengah atau Laut Tenang selalu melewati pembacaan. Dalam subjek Geografi apatah lagi. Laut Mediterranean rupanya dijejak juga akhirnya. Malah orang di Mesir menamakannya laut Putih. Walau apapun namanya laut itu adalah laut yang sama. Melingkari negara-negara yang dahulunya gagah perkasa. Siapa yang tidak kenal Yunani atau Greece sekarang. Antara negara yang awal menunjukkan kegagahannya di sekitar laut Mediterranean. Mereka membina kekuatan di bumi Anbia seperti Jordan, Syria dan Mesir. Dari sejarah mereka wujudnya Alexander the Great. Pahlawan gagah inilah yang dikatakan membuka Iskandariah. Alexanderia dalam bahasa mereka. Ketika itu Alexander dalam perjalanan ke Siwa. Lokasi Iskandariah menarik perhatiannya. Lalu dibangunkan sebuah bandar yang cantik di tepian Laut Mediterranean. Cantiknya memukau hingga sekarang. Diwarnai pula dengan sejarahnya yang tersendiri. Bangsa Rom pernah berada di sini. Semasa Perang Dunia II, Utara Afrika menjadi rebutan antara German, Itali dan tentera bersekutu yang lain.

Rasanya tiada lengkap berada di Mesir tanpa menjejak kaki ke Iskandariah. Terlalu banyak yang perlu dilihat. Perpustakaannya antara yang terbesar di dunia. Makam-makam beberapa orang nabi. Makam-makam sahabat. Makam Lokman al-Hakim yang Allah abadikan dalam al-Quran. Begitu juga para ulamak yang terkenal di Mesir. Iskandariah memang menarik dalam banyak hal. Pantainya memanjang cantik. Laut Mediterranean yang tenang menghembuskan angin yang segar. Dari airnya yang biru terasa damai di jiwa. Yang paling istimewa ialah terasa penuh dan puas dalam hati dapat berada di suatu tempat yang dahulunya cuma dalam ingatan. Dalam pembacaan. Rupanya realitinya Allah izinkan untuk ditatap dengan mata sendiri. Syukur alhamdulillah. Langkah-langkah perjalanan bagai mimpi ini mengizinkan sesuatu yang indah dalam ingatan. Tatapan mata yang selalu menyegar. Andainya, ya andainya boleh kekal abadi di sini. Tentu sahaja ingin bersama berada di setiap tempat yang indahnya bukan buatan manusia. Kita hanya mampu mengusahakan dengan sedikit izin Allah. Yang Maha Berkuasa sahaja yang menganugerahkan segala keindahanNya. Sedikit masa untuk menikmati segalanya. Seharusnya kita menjadi makhluk yang perlu banyak bersyukur.

Sesungguhnya setiap perjalanan memberikan pengajaran. Kita memahami perubahan yang tidak sama dengan yang selalu kita alami di negara sendiri. Perubahan musim yang kitarannya menghambat antara satu sama lain. Sekarang sudah tiba musim luruh (autumn/fall). Baru sahaja ditinggalkan musim panas (summer). Menjelang tiba musim dingin (winter). Nanti akan tiba kemeriahan musim bunga (spring) yang indah. Banyak yang bertukar. Pertukaran dan perubahan itu dinanti. Ada yang diharap. Jika hati kita hidup dan dihidupkan kita akan berada dalam suasana yang selalu mengharap pada Allah. Bersyukur atas nikmatnya. Menjadi hamba yang taat. Menjauhi laranganNya. Sesungguhnya hidup ini pasti mati sudahnya. Nikmati semasa hidup. Semoga mendapat nikmat dariNya sesudah mati. Insyaallah.

Berbulan merancang untuk sampai di sini. 


Apa istimewanya dinding perpustakaan ini? Bagi yang teliti dapat mengamatinya. Setiap tulisan semua bangsa dalam dunia ini terdapat pada bahagian luar dinding perpustakaan ini. 



Di hadapan Universiti Iskandariah. Fakulti Perdagangan.





Sebuah kota di pinggir laut.


Berselfie sebentar. 


Laut dan nelayan terpisah tiada. Bot dan kapal mereka menyatukan seni dan laut.


Sebuah laut luas yang sesungguhnya tenang. Alun dan ombaknya cukup lembut. Biru yang mengasyikkan.


Sesekali menyendiri dalam keriuhan di sekeliling. 


 
Di hadapan Institut Nasional Kajian Laut Mesir.


Sebuah kereta kuda.


Tidak naik kereta kuda. Cukup berdiri di sebelah kuda yang menariknya. Bukan gambar tetapi memang sebuah kereta kuda yang selalu membawa pelancong merasainya seperti orang-orang terdahulu. 


.
Ibu-ibu yang bersama dalam rombongan kami. Seorang sahaja yang masih cik. Yang lain puan-puan atau madam bagi orang Arab.


Di luar makam Abu Dardak. Sahabat Nabi yang disemadikan di Iskandariah. 


Sebuah makam yang istimewa di tengah kota Iskandariah.


Anak-anak yang mengikuti kuliah Perubatan di Universiti Iskandariah ini menjamu kami sebagai jamuan pra Eid al-Adha. Terima kasih banyak-banyak.


Di sebuah jalan lama. Di hadapan bangunan lama. Namun sangat hampir dengan Laut Mediterranean.



Bergambar bersama rakan serombongan. Hajjah Normadiah. Berasal dari Nilai. 



Poster sebuah pementasan teater.


Berselfie lagi.


Di Mesir banyak banyak keledek. Mereka hanya membakarnya seperti dalam gambar ini. Tidak ada yang digoreng atau dibuat pengat. Tidak juga dibuat keria atau inti karipap. Atau dibuat kuih lain. 




Esoknya ialah Eid al-Adha. Seekor lembu ditambat di situ. Lembu itu disembelih di situ juga.



Saiz lembu itu sudah cukup lumayan dagingnya. Mereka menyembelih lembu-lembu yang sihat dan berisi pebuh dengan daging. Jika diagihkan kepada yang berhak memang puas hati. Ramai yang merasa nikmatnya daging ibadah qurban dari lembu bersaiz sebegitu. 



Tuesday, October 7, 2014

Bingkisan Dai Kaherah: Berqurban Apa Sahaja


Di tepi-tepi jalan banyak dijual kambing bebiri atau lembu. Yang paling banyak bilangannya ialah kambing.


Darah haiwan ibadah qurban mengalir di jalanraya. Merah pekat menyala. Ini berlaku di Iskandariah. Di kawasan penempatan lama. Hampir dengan pantai Laut Mediterranean. Mereka menyembelih haiwan tersebut di dalam sebuah kedai.


Malaysia menyambut Eid al-Adha pada hari Ahad. Di Mesir dan di negara Arab yang lain hari raya tersebut disambut pada hari Sabtu. Inilah kali pertama melihat sendiri keghairahan Muslim di negara Arab mengagungkan Eid al-Adha berbanding Eid al-Fitr. Pada pandangan penulis perbezaan ini ialah dari segi persepsi agama dan komersilism. Pada Eid al-Adha kebanyakan urusan bercuti selama seminggu penuh. Sama ada universiti, sekolah, pejabat malah syarikat perniagaan sekalipun. Maknanya 10 Zulhijjah memang cuti. Ditambah pada hari Tasyrik 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Setiap hari selama empat hari ini mereka melaksanakan ibadah qurban. Betul-betul beribadat. Tiada adat dan tiada komersilism. Sedangkan pada Eid al-Fitr mereka hanya solat dan kemudiannya berehat. Suasananya sangat berbeza.

Kita baru hendak pick-up mengagungkan Eid al-Adha. Sudah mula ramai yang melebihkan perayaannya. Ibadah qurban di mana-mana dalam berbagai skala. Di Malaysia ibadah qurban dibuat dalam bentuk jamaah. Diuruskan oleh jamaah surau atau masjid. Jarang orang perseorangan yang melakukannya sesama sendiri. Maknanya apabila ada majlis ibadah qurban seluruh qariah mengetahuinya. Bukan sahaja dagingnya diagihkan bahkan maklumatnya juga tersebar meluas. Di Mesir umpamanya ibadah qurban menjadi urusan peribadi keluarga atau individu yang berqurban. Tidak dibuat di surau atau masjid. Yang dilihat ibadah itu dibuat di ruang rumah masing-masing atau di ruang kedai mereka. Umum tidak mengetahuinya. Jiran-jiran pun tidak tahu. Ada sistem mereka sendiri yang tidak dapat dilihat dengan pasti. Tidak ada riuh-rendah yang dianggap mengganggu jiran. Hanya di kawasan yang penduduknya mesra sahaja ibadah qurban menerima penyaksian dan kerjasama penduduk setempat. Mereka turut meramai dan memeriahkannya.

Kira-kira setengah bulan sebelum datangnya 10 Zulhijjah, suasana mula hangat dengan jualan kambing dna lembu. Di tepi-tepi jalan pemiliknya membawa dan mempamerkan kambing dan lembu mereka untuk dijadikan pilihan. Maka pada tanduk dan badan kambing-kambing itu akan ditanda dengan berbagai warna yang dikenal oleh pembeli dan bakal yang akan menjadikannya ibadah qurban. Ada hijau, biru dan berbagai warna lain. Kambing biasanya dikandang dan dijaga siang dan malam. Ada pengawal khas berhampiran kandangnya. Yang lain datang pagi dan balik sebelum malam. Mereka datang untuk menjual. Mana-mana yang belum terjual dibawa pulang. Esoknya digiring datang semula untuk pembeli yang lain. Suasananya menuju ibadat. Kambing dan lembu diperniagakan untuk tujuan ibadat. Kerana itu tidak kelihatan suasana komersil yang keterlaluan seperti kita menyambut Eid al-Fitr. Unta pula biasanya dibeli terus dari ladangnya. Dihantar ke lokasi yang membelinya. Ditambat untuk beberapa hari sebebelum sampai pada saat untuk ibadah itu dilaksanakan.

Lazimnya mereka yang bukan warga tempatan seperti Malaysia mengadakan ibadah qurban secara terbuka. Di hadapan rumah atau bangunan. Ramai pula yang terlibat. Umpamanya pada tahun ini Rumah Perak mengadakan ibadah Qurban berskala besar. Mereka menyembelih empat ekor unta, seekor lembu dan 45 ekor kambing. Bertan-tan daging yang perlu diagih. Penduduk sekitar Rumah Perak berduyun-duyun menyaksaikannya. Membantu menumbangkan unta dan lembu. Mereka juga mendapat bahagian mereka. Pelajar-pelajar Perak ramai yang mendapat peluang menyembelih kambing ibadah mereka sendiri. Jamuan majis ibadah itu juga meriah. Semua dijemput hadir. Seprti hari raya sebenar layaknya. Ada kari daging lembu. Kurma daging kambing. Rendang tuk daging unta. Memang meriah. Hampir semua rumah negeri-negeri yang lain juga mengadakan ibadah qurban. Skalanya sahaja lebih kecil dari yang dilaksanakan di Rumah Perak. Kemeriahannya tetap sama. Hari raya memang untuk dirayakan.

Suatu pengalaman barangkali membezakan antara kita dengan masyakarat setempat. Oleh kerana kebanyakan masyarakat di sini di bawah paras mampu maka ibadat qurban kadang-kadang menjadi eksklusif kepada yang mampu. Rakyat biasa tidak berpeluang walaupun untuk melihat bagaimana haiwan disembelih. Semuanya dilakukan secara tertutup di rumah atau di kedai. Jika ada rezeki dapatlah daging yang diagihkan. Amalan yang dilakukan oleh rakyat Malaysia mengundang keterujaan penduduk setempat untuk menyaksikan ibadah qurban secara terbuka. Semua orang boleh menyaksikannya. Mereka mendapat agihan dagingnya. Suatu pengalaman baru yang dikongsi bersama masyarakat tempatan. Amalan yang baik diulang dan diterjemahkan dalam bentuk ukhwah islamiyyah. Tahun-tahun mendatang suasananya tentu dinanti-nanti oleh masyarakat setempat. Kemeriahan yang didatangkan dari jauh untuk mereka.

Ada berbagai kaedah dan reaksi yang berbeza ibadah qurban di sini. Lazimnya kita biasa dengan suasana bagaimana lembu disembelih. Diikat kaki. Ditumbangkan beramai-ramai. Sudah digali lubang darah supaya boleh ditimbus dan tidak berbau darah selepas ibadah disempurnakan. Semenara itu ada pula kayu diletakkan antara kaki lembu tersebut. Beramai-ramai kita melakukannya untuk memudahkan proses sembelihannya. Di Mesir berbeza sedikit. Jika dilakukan di kawasan biasa, darah kambing atau lembu mengalir ke atas jalanraya. Dibersihkan mana yang patut. Di kawasan elit, darah itu tidak boleh kelihatan. Tidak boleh riuh-rendah. Menjadi larangan kerana mungkin melihat darah atau sebarang kotoran yang tertinggal selepas majlis ibadah qurban tu. Maknanya dalam suasana seperti itu kita perlulah menghormati mereka kerana kita berada di tempat mereka. Apa yang mereka tidak suka kita hindarkan. Carilah tempat yang sesuai. Sensitivi masyarakat setempat perlu diambil kira dalam semua hal. Kurangkan masalah. Bina ukhwah. Jangan terkejut ada orang menyembelih lembu dalam keadaan lembu itu berdiri. Bukan ditumbangkan. Lembu itu tumbang setelah disembelih. Kambing pula disembelih seperti kita menyembelih ayam. Seorang memegang dan seorang lagi menyembelih. Ada pula menyembelih seorang diri sahaja. Kecekapan dan kemahiran yang berbeza.

Ala kulihal, semoga Allah menerima ibadah qurban yang dilaksanakan. Insyaallah memberkati mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Kambing-kambing ini jinak-jinak belaka. Tidak sukar menggembalanya. Menurut kata. Sebahagiannya sudah dibeli berdasarkan warna pada badan mereka.

Warna dan lambang yang digunakan untuk menandakan bahawa kambing itu sudah dibeli. Beberi lebih digemari berbanding kambing biasa.

Yang ini ditanda pada bahagian mata.


Lembu sedang diperagakan untuk dijual.


Kebanyakan lembu bersaiz seperti di atas. Tiada sungutan apabila lembu sampai untuk disembelih. Memang baka besar dan padat berisi daging. Malah harga lembu di Kaherah lebih mahal dari unta. Mencecah hingga melebihi RM4000. Atau 8000 paun Mesir.


Unta-unta ini untuk dijual.


Bersiap sedia. Unta ini hampir akan disembelih. Begitulah kedudukan kaki hadapannya dan kedudukan lehernya. Bersedia menerima hirisan pisau yang tajam.