Senerio ini di Matruh, Mesir. Sebuah bandar pelancongan tepi Laut Mediterranean. hal seperti ini adalah biasa bagi masyarakat di sini. Sesuatu yang perlu difikirkan dengan panjang lebar. Ini hanya suatu sampel dari kegagalan umat Islam menangani kebersihan. Teori yang menjadi hukum tetapi tidak dapat direalisasikan dengan sempurna. Tidak semua negara Islam sebegini teruknya. Ada yang berusaha tetapi jumlahnya sangat sedikit. Keindahan Islam itu sendiri tidak terserlah malah dilitupi sampah yang hodoh dipandang mata. Lembu berkongsi sama.
Bingkisan Dari Kaherah: Sampah, Lembu dan Pelancongan
Terkenang kata-kata Mohamad Abduh bahawa dia melihat
keindahan Islam di Barat tanpa kehadiran orang Islam. Apabila dia kembali ke
negaranya dia mendapati penduduknya Muslim tetapi tidak memiliki keindahan Islam.
Baru-baru ini seorang professor sebuah universiti di USA membuat rumusan bahawa
negara-negara bukan Islam adalah lebih Islamik dari negara Islam sendiri. Dua
tokoh yang berbeza zaman dan berbeza profesion. Berbeza agama. Berbeza budaya. Berbeza
pendidikan. Abduh seorang pendakwah sementara professor pula seorang akademia.
Namun begitu rumusan mereka menjurus kepada suatu hakikat yang sangat sukar
untuk selesa apabila berhadapan dengannya. Seolah-olahnya segala yang negatif
berada di negara Islam. Payah hendak mencari negara Islam yang dianggap Islamik.
Sementara itu Turki memilih untuk berada
di Eropah dan tidak di Asia walaupun pada peta dunia negara itu terletak di
Asia. Hanya sebahaigan kecil negaranya berada di Eropah. Ironis juga mengapa
Kamal Atartuk memilih untuk menjadikan Turki bersama Eropah dan tidak Asia.
Satu menifestasi bahawa Asia pada masa itu dilihat sebagai bukan sesuatu yang
positif kecuali mungkin Jepun, Korea dan maaf, Singapura. Negara Islam penuh
dengan kucar-kacir. Tidak terurus dengan baik. Tidak terus belajar dari
kejayaan yang disejarahkan sebagai gemilangan pada suat masa dahulu.
Sebuah hadith Rasulallah yang mafhumnya, kebersihan
adalah sebahagian dari iman. Bagi sesiapa yang mempelajari hadith ini di negara
mereka sendiri (bukan negara Arab) pasti hanya memahaminya sepintas lalu
sebagai arahan atau ajaran agama yang menuntut kebersihan. Pemahaman yang
sangat tipis bak selaput kulit bawang. Hanya apabila pembaca berada di negara
Timur Tengah barulah penulis boleh memahami hadith tersebut dengan jelasnya.
Hadith itu berdasarkan realiti sebenar masyarakatnya sejak dari zaman dahulu
lagi. Bukan perkara baru. Keadaan yang tepu dan kaku. Tiada ruang untuk berjaya
diperbaiki kecuali mungkin dengan perundangan dan anjakan paradigma dan sosial
setempat. Terdapat usaha untuk berubah ke arah yang lebih baik namun tanpa
penglibatan semua warganegaranya apa pun tidak akan berjaya sepanjang zaman.
Sikap dan persepsi tentang sampah dan konotasinya perlu digarap dari rakyatnya
semasa mereka masih menjadi pucuk rebung lagi. Dari sekecil-kecilnya. Dari
rumah. Dari ibu dan bapa. Sekolah mengemaskan lagi amalan baik yang sudah
terbentuk di rumah. Ibu dan bapa yang memulakan pentingnya kebersihan.
Pentingnya sifar sampah. Tiada pencemaran dari sampah.
Harapan kadang-kadang tidak menjadi kenyataan. Realiti
yang sukar dimanifestasikan. Sama ada ego sesuatu bangsa itu terlalu tinggi
atau mungkin kegagalan kepimpinannya yang menjadikan seluruh pemikiran warganya
menjadi jumud. Jika kita menelusuri sejarah semua kejayaan dengan izin Allah. Tetapi
diusahakan dengan gigih. Dibangunkan sistem. Dibina disiplin. Dibentuk pemikiran
positif. Ditanam kepekaan kepada kebaikan. Orang Asia berbeza dengan orang
Barat. Kita selalu menganggap ringan apa sahaja yang kita lakukan. Takes
things for granted. Kita tidak perrnah rasa cemas menanti perubahan hari,
perubahan suhu, perubahan cuaca. Memikirkan yang terbaik untuk diri sendiri,
untuk keluarga, untuk jiran tetangga, untuk masyarakat dan untuk negara. Mengharap
masa hadapan yang baik tetapi tidak memilih jalan terbaik untuk mencapainya. Kebersihan
adalah sesuatu yang asas. Perlukan perhatian khusus. Kealpaan kita mengakibatkan
banyak persekitaran kita tercemar dengan sampah. Malaysia memiliki pantai yang
cantik berpasir putih tetapi terlalu banyak sampah. Kesemuanya dilakuklan oleh
manusia. Oleh warganegara yang tidka maklum akan pentingnya menjaga kebersihan
pantai. Akibatnya apabila kita ke pantai, sukar untuk kita mendapatkan ruang
yang bersih dan selesa. Lebih parah lagi apabila kita mengambil sikap yang
sama. Meninggalkan atau membuang sampah sesuka hati. Bukan sahaja pelancong
asing terasa jijik untuk ke pantai kita malah pelancong tempatan sekalipun
mengelakkan diri untuk ke pantai. Laut itu cantik. Tetapi tempat untuk
menikmati laut itu tidak terlihat cantiknya. Melanggar larangan agama bukan
perkara main-main. Hukum itu selayaknya mendorong kita untuk memikirkannya
dalam jangka panjang. Untuk difikir panjang-panjang. Bahawa kebersihan adalah
sesuatu yang sangat memberi kesan kepada keselesaan, kebahagiaan, keindahan dan
ketenangan. Mencipta kedamaiannya yang tersendiri. Hati menjadi tenang. Senang.
Hilang kerisauan.
Tidak ramai antara kita yang benar-benar menghayati
perlunya kebersihan. Guru-guru umpamanya tidak jemu mendidik di sekolah. Malangnya
masyarakat di luar tidak memberikan sokongan yang membina. Tidak membantu
mengukuhkan pendidikan rasmi yang dilaksanakan di sekolah. Ramai antara kita
berpendidikan tinggi. Berjaya dalam hidup. Namun dalam hal kebersihan kita
masih di belakang. Kita kembali ke Turki. Tentang kebersihan Turki seperti
negara Eropah yang lain. Bersih dan menggamit rindu. Gambarkan suatu analogi. Mana
lebih tenang kembali ke rumah yang bersih dan teratur rapi atau kembali ke
rumah yang berserabut seperti tongkang pecah? Masuk ke bilik air yang bersih
berkilat, teratur dan kemas atau ke bilik air yang berlumut, penuh dengan kesan
klorin, kotor dan bersepah? Masuk ke bilik tidur yang rapi cadar dan bantalnya,
wangi baunya atau ke bilik tidur yang hapak, hancing, hangit, berserabut tidak
diketahui di mana bantal dan di mana cadar? Membuka almari yang kesemua
pakaiannya tersusun rapai atau yang hanya berlonggok-longgok sahaja? Perlu pula
diselongkar hanya untuk mencari setokin yang entah di mana pasangannya. Begitu juga
masuk ke dapur yang periuk belanganya putih berkilat dan tersusun atau ke dapur
yang dengan pinggan mangkuk yang tidak dibasuh dan tidak disusun dengan baik? Makan
di meja yang dihidang rapi atau makan di meja yang berminyak, tidak terhidang
dengan baik? Halaman rumah yang bersepah atau yang bersih bersapu? Kereta disusun
dengan serapinya atau parkir sesuka hati?
Semua ini perlukan disiplin berfikir. Senangkan yang
sukar. Cerakinkan yang susah menjadi bahagian-bahagian yang mudah dikendalikan
satu persatu. Lakukan dari awal. Dari yang mudah. Dari yang dekat. Perlahan-lahan
lakukan yang lebih berat dan sukar. Biasakan dan jadikan amalam. InsyaAllah alah
bisa tegal baisa. Selebihnya hanya mengekalkan amalan. Penyenggaraan. Kita
perlukan disiplin diri, kawalan diri, dorongan dalaman, menghayati agama dan
selalu berkehendak kepada yang lebih baik.
Di sini anjing pula yang berkongsai sampah.
Ini adalah pantai utama Matruh. Serokan yang menjadi tarikan pengunung untuk mandi-manda. Sampahnya yang begini tentu menjolok mata.
Ini di suatu tempat lain. Tong sampah hanya satu. Sampahnya melimpah dan bersepah. Disapu dan diurus tetapi prasaranannya tidak mencukupi.
Dari arah mana sekalipun sampah itu tetap tidak enak dilihat.
Untuk menjadi bangsa yang hebat kita perlu kritikal
walaupun pada perkara yang sekecil-kecilnya. Perkara yang selalunya tidak
difikirkan itu kadang-kadang memberi impak yang sangat signifikan jika tidak
diambilkira. Secebis sampah yang diabaikan merebak menjadi timbunan sampah yang
merumitkan negara. tempat pembuangan sampah menyukarkan penduduk sekelilingnya.
Incenarator yang ingin dibina juga menyulitkan penduduk sekelilingnya. Kerana
itu setiap seorang dari kita perlu mengurus sampah kita sendiri. Kurangkannya. Lupuskan
di tempat yang sesuai. Pertimbangkan suruhan agama. Fikirkan kepentingan
masyarakat. Fikirkan secara makro di samping secara maikronya. Buka minda kita supaya
berfikiran global. World view kita biarlah melepasi sempadan diri kita sendiri.
Jangan terperangkap dalam zon selesa yang yang memebri keselesaan kepada orang
lain.
No comments:
Post a Comment