Tuesday, October 14, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Kepimpinan Yang Memimpin



Allah berfirman yang mafhumnya:
Adakah sama mereka yang mengetahui dengan mereka yang tidak mengetahui?


Manusia dibiakkan di muka bumi dengan tugas untuk memakmurkannya. Menjadi khalifah atau ketua yang adil dan saksama. Masing-masing akan ditanya nanti di hadapan Allah akan tanggungjawabnya ke atas orang-orang di bawahnya. Kerana itu menjadi ketua wajib melaksanakan keadilan yang sewajarnya. Keadilan yang tertanggung di atas bahunya. Seperti kata Tuan Guru Nik Aziz, laksanakanlah tanggungjawab sekira-kira dapat dijawab bahawa keadilan itu telah berjaya disempurnakan apabila ditanya Allah di akhirat kelak. Pada akhir zaman ini ramai pemimpin yang selalu dipertikaikan kepimpinannya. Baik pemimpin yang paling tinggi hatta pemimpin yang paling rendah. Pemimpin yang tinggi selalu dilihat orang. Salah dan silapnya mudah dikesan. Yang memantaunya semua rakyat biasa. Tetapi ramai pemimpin kecil di peringkat bawah yang selalu terlepas pandang. Tidak ramai yang mengetahui karenahnya. Ironisnya ramai pula yang menyokong dan bersetuju dengan tindakan-tindakannya yang jelas tidak adil. Membina kroninya sendiri. Pandai bermuka-muka. Tanpa disedari tindakan-tindakannya memecah-belahkan orang-orang di bawahnya.

Kepimpinan yang tidak adil juga tidak telus. Orang-orang di bawahnya dikategorikan kepada beberapa kelompok:

1                   Mereka yang menyokong 100% tanpa soal jawab. Semuaya betul bak burung kakak tua.
2                   Mereka yang menentang dengan berani berprinsipkan berani kerana benar.
3                   Kumpulan yang menentang dalam senyap. Tidak berani bersuara kerana takut disennaraihitamkan.
4                   Kumpulan yang tidak peduli. Ikut arus sahaja. Ke mana hendak dibawa tidak pernah ditanya.

Keempat-empat kumpulan tersebut sentiasa berada dalam sempadan masing-masing. Dalam kotak masing-masing. Kadang-kadang kita menjadi hairan kerana pemimpin kecil yang berkenaan terlalu kecil dalam hairaki kepimpinan institusi apatah lagi dalam kepimpinan negara.  Apa yang berlaku selalunya menyulitkan kerana beliau:

1                   Selalu memilih bulu. Dia dikelilingi oleh orang-orang yang hanya banyak mengangguk, orang-orang yang cantik dan selalu mengikut arahan.
2                   Memberi arahan untuk kepentingannya sendiri dan bukan untuk kepentingan ramai. Malah bukan untuk kepentingan organisasi.
3                   Menggunakan kuasa untuk mengugut, menempelak dan memalukan orang lain di hadapan khalayak ramai.

Pemimpin jenis ini sukar diajar. Sukar dibimbing. Sukar dibantu. Ia merasa bahawa dirinya cukup besar dan tinggi kedudukannya. Egonya sangat tinggi. Ia membina empayarnya sendiri walaupun pada hakikatnya ia bukan siapa-siapa. Jawatannya terlalu rendah berdasarkan kelayakan akademiknya. Situasi yang meletakkanya sebagai pemimpin. Tiada hairaki. Tiada ruang untuk naik pangkat kerana jawatannya pun sementara. Bila-bila boleh diganti oleh orang lain. Kerana mendapat sokongan maka pemimpin jenis ini tidak ubah seperti antagonis dalam filem Tamil atau Hindi. Yang teruk dan jahat itupun ramai penyokongnya. Hanya apabila watak itu ditentang dan dihapuskan baru orang lain sedar bahawa mereka menyokong pemimpin yang salah.

Pemimpin kecil sewajarnya belajar dari mereka yang:

1                   Memiliki kelayakan akademik yang tinggi.
2                    Memiliki pengalaman mengurus pada tahap tinggi.
3                   Terlibat dengan projek besar dan bernilai tinggi.
4                   Memiliki idea kreatif, banyak dan berimpak tinggi.
5                   Sikapnya proaktif dan reaktif. Bukan negatif dan selektif.
6                   Fikirannya terbuka untuk menerima pandangan, cadangan dan input-input baru.
7                   Membina sistem kerja yang telus dan berkembang maju.
8                   Memberi keadilan kepada orang di bawahnya.
9                   Memajukan diri sendiri dan memajukan orang-orang di bawahnya ke tahap yang tertinggi.

Pemimpin kecil jarang muasabah diri. Pada dirinya banyak kekurangan yang perlu ditampung. Dirinya perlu menghimpun ilmu, maklumat dan kesediaan untuk membangun diri. Terlalu ramai pemimpin kecil yang perasan seolah-olahnya dirinya adalah pemimpin besar. Seolah-olah pemimpin penting. Seolah-olah pemimpin hebat. Pengamatan kita selalunya mendapati bahawa pemimpin jenis ini:

1                   Berfikiran jumud. Tidak mahu berkembang.
2                   Tidak melakukan anjakan paradigma untuk menjadi lebih baik. Lebih positif.
3                   Tidak ada idea bernas untuk diketengahkan. Malah suka memplagiat idea orang lain. Memperaku bahawa idea orang lain itu sebagai ideanya.

Malang bagi sesebuah organisasi apabila dianggotai oleh pemimpin kecil yang banyak menjadi kekangan kepada kemajuan organisasi. Sewajarnya pemimpin jenis ini diberikan:

1                   KPI. Key Performanca Index yang sesuai. Sesuai dengan bidangnya.
2         Ada SKT tahunannya. Sasaran kerja tahunan ini menjadi pengukur    akan                 kecekapannya.
3         Ada matlamat jangka panjang di samping matlamat jangka pendek.
4         Diberi kursus supaya bijak mengurus. Supaya berfikiran terbuka. Supaya                       selalu memikirkan yang terbaik untuk orang-orang di bawahnya. Bukan                     dirinya yang penting.     

Pemimpin-pemimpin kecil ini selalu lupa bahawa apabila tamat tempohnya mereka akan kembali kepada masyarakat. Selalu terjadi pemimpin jenis ini tidak dipedulikan orang apabila kedudukan yang ada pada dirinya sudah diambil Allah dan diberikan kepada orang lain. Orang lain bukan membalas dendam tetapi letih kerana semasa memiliki sedikit kuasa ia selalu lupakan siapa dirinya yang asal. Yang asli. Yang hakiki. Kita seharusnya selalu beringat bahawa kedudukan kita hanya sementara. Jangan lupakan diri dan jangan lupakan Allah. Bila-bila masa sahaja Allah mencabut kedudukan yang ada pada dirinya. Kembalilah dia kepada kedudukannya yang asal. Bukan siapa-siapa. Hanya orang biasa seperti orang lain juga. Andainya ia adil dan saksama hidupnya disukai orang. Dihormati dan disegani. Matinyapun tetap diingat orang. Kebaikannya berpanjangan.

Apabila kita bertemu dengan pemimpin seperti ini banyak yang boleh kita lakukan. Antaranya:

1                   Tegur secara berhemah. Minta maaf banyak-banyak. Tunjukkan yang betul dan bimbing dia ke jalan yang lebih baik.
2                   Bercakap selalu kepadanya asalkan yang hak. Dia perlu tahu antara yang hak dan yang batil (salah).
3                   Betulkan kesalahannya seberapa banyak yang boleh.
4                   Beri kefahaman kepada orang lain supaya yang benar disokong dan yang salah dibantah.


Dunia sudah sampai ke akhir zaman.  Ramai mereka yang tidak layak dijadikan pemimpin. Maka banyak kecelaruan dalam kepimpinan hingga menjadikan semua orang dalam keadaaan serba salah. Cakap salah, tak cakap salah. Kebaikan yang didambakan selalu tidak kesampaian. Lebih malang apabila yang benar tidak popular. Ditentang setengah mati. Yang salah pula mendapat sokongan. Hanya kerana hendak menyokong. Hanya kerana takutkan yang sedikit. Sepatutnya yang benar adalah benar dan yang salah adalah salah. Kita pasti kembali kepada Allah. Kita yang akan menjawabnya. Betulkan diri untuk kembali kepada Allah. Kepada ajaran agama. Kepada yang hak.

No comments:

Post a Comment