Thursday, July 3, 2014

Siri Lapan Belas: Membalas Berbaik Balas

Haji Abas di bazaar Ramadhan 1435/2014 anak saudaranya di Parit Sulung. Pada bulan Ramadhan lazimnya Haji Abas memeli sahaja lauk-pauk dan juadah berbuka puasa.  Hajjah Aminah akan hanya memasak apa-apa makanan yang perlu dimasak sendiri mengikut selera mereka berdua.  



Haji Abas memiliki keistimewaan yang sukar ditandingi oleh orang lain. Kemahiran perhubungan awamnya sangat tinggi. Dia boleh berkomunikasi dengan sesiapa sahaja. Berinteraksi dengan sesiapa sahaja. Boleh berkawan dengan sesiapa sahaja. Yang cantiknya dia hanya menggunakan Bahasa Melayu sahaja. Mungkin sedikit bahasa pasar. Atau lebih dikenali bahasa komunikasi harian. Sifat mudah mesranya merentas budaya. Merentas agama. Merentas etnik keturunan. Merentas usia. Tidak hairan jika ramai antara rakannya adalah orang Cina dan India. Orang Melayu tidak terbilang ramainya. Dari muda hingga ke usianya sekarang ramai orang di Parit Sulung, tempat tinggalnya sekarang yang mengenalinya. Dari pemilik kedai makan ke klinik swsta, tukang emas dan kedai-kedai lainnya.

Di Parit Sulung terdapat sebuah keluarga India Muslim. Nama ketua keluarganya Ismail. Sudah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu. Haji Abas mengenali kesemua anak allahyarham Ismail. Di Parit Sulung ada beberapa kedai makan milik anak-anak allahyarham Ismail. Antaranya Latif dan Putih. Hampir setiap hari Haji Abas ke kedai Latif. Ia akan makan sekeping roti canai dan segelas teh susu. Roti canai dimakan dengan kuah kari daging. Biasanya Latif memasukkan seketul dua daging. Teh susunya mesti istimewa. Manis dengan susu sahaja tanpa sedikitpun gula. Jika kurang manis ia akan menagih supaya ditambah susu. Seorang yang berusia 100 tahun, Haji Abas kuat makan dan minum makanan yang manis-manis. Alhamdulillah dia tidak mengidap sebarang kompliksi penyakit. Tidak juga kencing manis. Latif antara mereka yang sangat rapat dengan Haji Abas. Pada hari-hari Haji Abas tidak berkesempatan untuk makan di kedai, Latif menghantar beberapa keping roti canai ke rumah Haji Abas. Malah kadang-kadang pada tengahari Latif juga menghantar lauk-pauk untuk mereka berdua suami isteri.

Jika Haji Abas hendak memakan buah maka banyak kedai atau gerai buah yang boleh dikunjunginya di Pekan Parit Sulung. Dia pasti membayar dengan harga yang lebih murah. Haji Abas dianggap palanggan istimewa. Kebetulan Haji Abas gemar memakan buah. Hampir kesemua jenis buah digemarinya. Paling istimewa tentulah buah durian. Makannya tidak banyak. Mungkin seulas atau dua. Pada musim buah-buahan dia gemar memakannya setiap hari. Di dalam peti aisnya pasti ada sahaja buah-buahan sama ada buah tempatan atau buah import. Selain dari membeli sendiri kerana minatnya memakan buah Haji Abas banyak menerima buah tangan dari mereka yang berkunjung ke rumahnya. Sayur dan buah menjadi dua bahan makanan yang pastinya ada setiap masa. Sementelahan pula di Pekan Parit Sulung diadakan pasar mingguan pada hari Sabtu. Banyak sayur segar dari kampung di sekitarnya. Haji Abas puas membeli pada setiap hari Sabtu. Ramai antara peniaga di pasar itu yang mengenali Haji Abas.

Orang Melayu memang gemarkan barangan kemas terutamanya yang diperbuat daripada emas. Di Pekan Parit Sulung terdapat beberapa kedai emas atau kadang-kadang disebut tukang emas. Seorang daripadanya Kedai Emas Sri Sulung. Haji Abas sangat mengenalinya. Dikenalinya sejak dari muda lagi. Malah sekarang ini anak tukang emas tersebut yang mengendalikan perniagaan keluarganya. Layanannya masih tetap sama. Hampir kesemua anak-anak perempuan dan menantu Haji Abas membeli emas dari kedai emas ini. Lazimnya dikenakan harga istimewa. Upah dikecualikan terlebih dahulu. Tukang emas ini mengenali kesemua anak-anak Haji Abas. Sekiranya ingin mencuci emas biasanya percuma sahaja. Mungkin hal ini satu keistimewaan  untuk keluarga Haji Abas sahaja. Apabila menjelang hari raya Hai Abas menghantar juadah hari raya kepada tukang tersebut. Sekiranya anak-anak Haji Abas mengadakan kenduri menikahkan anak, pastinya tukang itu mendapat juadah dari kenduri tersebut. Pada hari raya eid al-fitr atau pada perayaan Tahun Baru Cina Haji Abas mendapat berbagai hadiah makanan halal dari tukang emas tersebut. Budi antara mereka berbalas membalas.

Ada lagi yang lebih istimewa. Di Pekan Parit Sulung terdapat sebuah klinik swasta yang namanya Klinik Jaya. Dimiliki oleh seorang doktor berketurunan India dari Muar. Tiada siapa yang mengetahui bila mulanya doktor klinik tersebut menjadi doktor peribadi Haji Abas dan Hajjah Aminah. Malah anak-anak dan cucu-cucu Haji Abas tiada yang mengetahui akan bagaimana mulanya Dr. Jaya menjadi doktor peribadi mereka berdua. Sedangkan tiada seorangpun dari anak-anak Haji Abas yang memiliki doktor peribadi. Lazimnya pemimpin atau orang kaya atau ekspatriat membayar dengan harga yang mahal kepada doktor peribadi mereka. Rawatan untuk mereka diutamakan. Waktu bukan penghalang. Siang atau alam sama sahaja keperluannya. Namun bagi Haji Abas dan Hajjah Aminah doktor peribadinya memberikan perkhidmatan percuma. Ya, percuma. Pemeriksaan percuma. Ubat-ubatannya juga percuma. Jika dipanggil ke rumah sekalipun Dr. Jaya enggan menerima bayaran. Doktor tersebut menganggap Haji Abas dan Hajjah Aminah seperti ibu dan bapanya sendiri. Mungkin itu adalah khidmat sosialnya. Tanpa bayaran. Ia marah jika Haji Abas berbuat begitu. Seperti tukang emas, pada hari raya Dr. Jaya pasti menerima juadah hari raya Haji Abas. Dihantar sendiri secara peribadi. With love.  Anak-anaknya hanya menghantar sehingga di luar klinik sahaja. 

Benarlah prinsip hidup Haji Abas. Mulut mahu manis, hati mahu baik. Kebaikan yang selalu dilaburnya dibalas dengan kebaikan juga. Seperti sukar untuk percaya bahawa seorang doktor swasta menjadi doktor peribadinya. Dengan percuma pula. Sudah bertahun-tahun Haji Abas menerima khidmat Dr. Jaya. Kadang-kadang Haji Abas terasa segan kerana menerima perkhidmatan percuma. Haji Abas mengerti bahawa doktor itu berniaga. Perkhidmatan yang diberikannya perlu dibayar kerana itu pendapatannya. Ubatnya juga perlu dibayar. Percuma untuk kedua-duanya adalah keberuntungan yang tidak disangka-sangka oleh Haji Abas. Keikhlasannya melayani orang lain berbalas dengan kebaikan yang bukan kepalang banyaknya. Suatu ketika dahulu semasa Haji Abas masih terdaya memetik buah manggisnya. Buah itu dijual atau dihadiahkan kepada doktor peribadinya dan tukang emas sahabatnya. Buah manggis yang dipetik sendiri dengan alat yang apabila dipetik buah manggis itu tidak jatuh ke tanah. Dipilih yang paling baik sahaja. Masaknya cantik dan tidak ada yang beku getahnya. Jika dijual sekalipun tidak ada yang menolaknya apabila ditawarkan kerana jaminan kualitinya.


Begitulah budi pasti berbalas. Pada ketika-ketikanya Haji Abas membelikan durian yang paling baik untuk doktor peribadinya. Pada ketika yang lain dibelikan pula nasi beryani berlaukkan ayam. Berbuat kebaikan bukan untuk minta dibalas, kata Haji Abas. Penerima budi terasa nikmat yang harus dibalas. Benarlah Islam itu cantik. Berbuat baik pasti dibalas dengan kebaikan dengan syarat kebaikan yang diberi adalah dalam keadaan ikhlas. Tidak perlu ditagih balasannya daripada orang yang menerima budi kita. Masalah besar apabila budi diungkit-ungkit minta dibalas. Allah akan buka hati-hati mereka untuk memberikan kebaikan di samping menerimanya. Maknanya budia itu ketentuan dari Allah balasannya. Ada masanya kita menerima balasan budi kita dari orang lain yang Allah gerakan hatinya. Begitulah kehidupan. Kita perlu belajar selalu mengenai hal tersebut. Haji Abas dan Hajjah Aminah berada dalam kedua-dua kebaikan itu. Alhamdulillah. 

Wednesday, July 2, 2014

Siri Tujuh Belas: Menunaikan Haji

Haji Abas di TV Alhijrah.  Menonton rancangan siaran langsung Wanita Solehah. Menjelang usia 100 tahun dapat juga Haji Abas menikmati kenangan manis menonton siaran langsung sebegitu. Semasa negara merdeka dahulu TV belum ada lagi.  Semasa mudanya tidak ada pula kesempatan mengunjungi mana-mana stesen TV.


Ada sesuatu yang dapat dipelajari dari pengalaman Haji Abas. Senerio yang dipaparkan setakat ini adalah kemiskinan dan kesusahannya. Bagaimana dia selalu bernafas dalam lumpur. Bernafaspun dalam kesukaran. Namun kegigihannya untuk terus menikmati kehidupan beragama tiada tandingannya. Bagi kebanyakan keluarga Melayu-Islam di kampung terdapat dua perkara besar yang harus ditangani dengan bijaksana. Pertamanya, anak-anak berkahwin dan dicarikan kebahagiaan bersama pasangan masing-masing. Keduanya menunaikan fardhu haji sesegera yang mungkin dengan mengumpul wang berdikit-dikit.  Warga di luar bandar bukan banyak pendapatannya. Tetapi dalam kesempitan hidup yang begitu rupa mereka berdisiplin menyimpan. Menabung. Mengisi dana peribadi dan keluarga. Di mana mereka menyimpan dan bagaimana mereka menyimpan adalah soalan yang terlalu teknikal. Kaedah mereka terlalu tradisional. Walaupun Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) telah ada, urusan berulang-alik ke pekan atau bandar bukan option yang terbaik. Memenat dan menyulitkan urusan. Itu belum lagi protokol, prosedur dan birokrasinya.

Simpanlah di mana-mana yang difikirkan selamat. Apabila cukup amaunnya Haji Abas mendaftarkan dirinya dan Hajjah Aminah untuk menunaikan fardhu haji pada tahun berikutnya. Pada zaman itu urusan pergi haji sangat memudahkan. Daftar dengan wang yang cukup maka giliran ditentukan dengan segera. Tidak ada masa menunggu hingga bertahun-tahun seperti sekarang.  Masa menunggunya hingga berpuluh tahun. Sebenarnya pergi haji atau tidak bukan lagi dalam kuasa mereka yang berhajat. Bukan juga kuasa pemerintah. Banyak faktor antarabangsa dan keselamatan yang perlu dipertimbangkan. Begitu juga ukhwah antara Muslim di berbagai negara dalam dunia ini. Hak bukan ditentukan siapa cepat dia dapat. Kuota memainkan peranan untuk menjaga kepentingan ummat Islam pada keseluruhannya. Semua warganegara dari berbagai negara berpeluang mengikut giliran masing-masing. Yang penting ialah jemputan dari Allah. Allah yang menjemput bakal haji. Allah yang mengkehendaki siapa yang awal dan siapa yang lewat. Berdoalah sebanyak-banyaknya supaya diperkenankan Allah dengan jemputannya.

Apabila telah mendaftar maknanya sudah ada niat. Halangan masa tidak menjejaskan niat tersebut. Andainya seseorang itu meninggal dunia sebelum dapat menunaikan haji, insyaAllah pahalanya sudah dicatatkan Allah sebagai pahala kebajikan. Begitulah orang kampung seperti Haji Abas tidak diketahui bila ia menyimpan. Di mana dia menyimpan. Dari mana wang yang disimpan itu. Sampai masanya ia dan isterinya pergi menunaikan haji. Lambaian Kaabah sangat kuat di hati setiap Muslim. Bagi mereka yang pernah menjejakkan kakinya di Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawarrah pasti selalu rindu. Banyak berdoa sebelum kembali ke tanah air untuk datang kembali secepat yang diizinkan oleh Allah. Berdoa juga untuk ziarah lagi ke tanah haram. Alangkah bahagianya mereka yang bersemadi d Makam Baqi’ di Madinah al-Munawarrah. Sentiasa bersama jasad Rasulallah sehingga hari Qiamat.

Suatu prinsip yang perlu dipelajari dari Haji Abas ialah tabiat atau azam menyimpan. Kita selalu berfikir bahawa menyimpan jika ada lebihan dari keperluan yang terlalu banyak. Pendapatan yang ada selalu dikira tidak mencukupi. Pada Haji Abas kemiskinan tidak menghalangnya dari menyimpan. Untuk meyimpan sebanyak kira-kira RM17,000 untuk dua orang tentulah memerlukan masa yang agak lama. Tidak mungkin dalam setahun atau dua. Maknanya menyimpan bagi Haji Abas merupakan disiplin yang diwajibkan ke atas dirinya. Dia tidak bergantung kepada lebihan. Tidak bergantung kepada pendapatan yang banyak. Ianya bukan tanpa perancangan. Kekuatan azam dan cekal diri memerlukan disiplin yang kuat. Dalam kesempitan yang bagaimana sekalipun simpanan tetap ditambah. Tidak diambil sesuka hati walaupun kerana keperluan yang sangat mendesak.

Menunaikan haji adalah suatu keindahannya yang tersendiri. Setiap Muslim seperti mengidam untuk melakukannya pada kali pertama. Pada kali yang berikutnya perasaan yang bersarang di hati tidak sama. Darjahnya menurun. Hukumnya bagi kali kedua dan berikutnya juga berkurangan. Jika yang pertama kali adalah wajib tetapi yang berikutnya hanya sunat sahaja. Yang punya diri dapat merasakan perbezaan keterujaan pada kali pertama dan pada kali yang berikutnya. Begitulah terujanya Haji Abas dan Hajjah Aminah menunaikan haji. Dengan wang simpanannya sendiri. Yang dititip ke dalam tabungnya sedikit demi sedikit. Kita yang berpendapatan melebihi dari cukup selalu tidak memiliki tabungan yang menasabah. Nafsu selalu mengatasi akal.

Lazimnya apabila menunaikan haji terdapat mereka yang tinggal berhampiran. Mungkin dari kampung yang sama atau kampung yang berlainan. Ada antaranya saudara-mara sendiri atau sahabat handai. Apabila sampai di Makkah bertemulah dengan mereka yang mungkin sudah terlalu lama tidak berjumpa. Bertautlah semula persahabatan. Sama-sama ke masjid. Sama-sama makan. Sama-sama membeli-belah. Sama-sama berziarah. Begitu juga Haji Abas dan Hajjah Aminah. Bertemu dengan saudara sendiri dari mukim yang sama. Berlainan kampung. Adalah teman berbicara. Sama-sama bantu-membantu. Memerhatikan keselamatan antara satu sama lain. Merawat semasa sakit dan pening. Mereka yang berpengalaman pasti dapat mengimbau semula keberadaan di Makkah dan Madinah. Enaknya air zamzam. Umrah berulang kali dari Tana’im atau Ja’ranah. Qiamil lail di masjid. Tawaf berulang kali. Mendapat peluang mengucup Hajr al-Aswad. Mungkin menyentuh Kaabah. Atau Kiswah yang tergantung. Solat di Hijr Ismail.

Sayunya di Arafah. Saujana mata memandang. Tempat pertemuan Adam dan Hawa di Jabal Rahmah. Alangkah nikmatnya jika mendapat haji akbar. Pada hari Jumaat yang mulia. Penghulu segala hari. Khutbahnya menyentuh hati. Ke Muzdalifah dan ke Mina. Melontar jamrah pada hari Tasyriq. Kembali ke Makkah. Tawaf ifadah. Tahlul al-thani. Mudah-mudahan mendapat haji yang mabrur. Al-haj maqbulah. Besarnya hati Haji Abas dan Hajjah Aminah berada di sana. Kembali dengan rasa puas yang teramat sangat. Sempurna rukun Islam yang lima.

Monday, June 30, 2014

Siri Enam Belas: Menantu dan Bemenantu

Photo: Pn Hajjah Rugayah Hj Abas leisure time at BP Mall
Haji Abas dan Hajjah Aminah bersama anak sulung mereka, Hajjah Rugayah.


Sampailah masanya Haji Abas dan Hajjah Aminah ditinggalkan oleh anak-anaknya seorang demi seorang, demi seorang. Yang lelaki merantau kerana berkerjaya. Begitu juga yang perempuan. Berkerjaya atau berumahtangga. Kebetulan pula menantu Haji Abas warga Batu Pahat kesemuanya kecuali menantu sulungnya (isteri anak dari isteri yang kedua) berasal dari Muar. Ada antaranya berlainan mukim. Ada yang selang berselang kampung. Malah ada yang bernikah dengan jiran sekampung. Kriteria menantu Haji Abas tidak rumit. Bakal kesemua menantu sewajarnya mempunyai asas agama yang kuat. Seboleh-bolehnya yang lelaki bukan yang merokok, tidak berjudi dan tidak melakukan maksiat  lain seperti perempuan serta arak. Bakal menantu perempuan pula diberikan kriteria tambahan. Orangnya perlu pembersih dan sukakan kebersihan. Pandai mengurus rumahtangga.  Satu lagi kriteria umum ialah menantunya bukan orang yang dikategorikan pemalas. Kesemua menantunya diharapkan ringan tulang di mana sekalipun mereka berada. Prinsip dan disiplin ini seeloknya diambil oleh semua generasi keturunan Haji Abas. Banyak manfaatnya dalam mendidik anak cucu sendiri.


Sebahagian dari cucu-cucu dan cicit-cicit Haji Abas dari anak keempatnya.

Antara kegemaran Haji Abas apabila bertandang ke rumah sesiapapun ialah memerhatikan suasana dalam rumah dan luar rumah. Jika matanya sedap memandang dia akan mengangguk setuju. Dia akan duduk tenang. Sehingga akhir tahun 1980an kesemua anak Haji Abas telah berumahtangga. Cucu dan cicit Haji Abas seharusnya menghargai prinsip urusan rumahtangga Haji Abas ini. Pada dasarnya semua orang sukakan keteraturan. Ramai yang sukakan kekemasan. Tidak mungkin ada orang yang tidak sukakan kebersihan. Didikan Haji Abas terhadap anak-anaknya sangat mengesankan. Sehingga usianya 100 tahun inipun Haji Abas belum lagi mengabaikan prinsip yang didokongnya sejak dari muda lagi. InsyaAllah dalam entry yang lain nanti akan ada ceritanya yang lebih terperinci. Terlalu banyak petua dan prinsip yang boleh dipelajari dan diamalkan.



Bertemu sekali-sekala menceriakan keadaan. Hanya dalam majlis-majlis seprti ini adik-beradik dan anak buah dapat bersama.

Kembali kepada kisah anak-anak Haji Abas. Allahyarham Ismail, anak pertama Haji Abas bersama isteri keduanya menentap di Parit Jawa, Parit Sulung hingga akhir hayatnya setelah puas merantau hingga ke Brunei dan Sabah.  Ditaqdirkan allahyarham Ismail tidak meninggalkan zuriat. Anak sulung Haji Abas bersama Hajjah Aminah kekal di Solok Wan Moh, Batu Pahat. Sekarang menjadi guru al-Quran. Bersama allahyarham suaminya dia dikurniakan dengan lapan orang anak. Anak kedua Haji Abas hingga sekarang menetap di Taman Koperasi Bahagia, Batu Pahat. Suaminya telah meninggal dunia. Bersama allahyarham dia kurnaiakan 11 orang anak. Anak ketiga Haji Abas bersama Hajjah Aminah bernikah dengan penduduk Parit Jawa, Parit Sulung. Mereka menetap di Johor Bahru sebelum berhijrah ke Batu Pahat dan bersara di situ. Seorang pesara Jabatan Pengairan dan Saliran. Juga seorang pesara penghulu. Mereka dikurniakan dengan empat orang anak. Anak keempat pula bernikah dengan jiran sekampung Parit Mohamad. Seorang guru sekolah menengah pada awalnya. Bertugas di beberapa tempat dan di beberapa negeri. Akhirnya menetap di Batu Pahat dan bersara sebagai pensyarah di Universiti Tun Hussein Onn, Batu Pahat. Mereka mendapat sembilan orang anak. Yang kelima bernikah dengan penduduk Parit Separap. Menetap dan bersara di Johor Bahru. Seorang pesara Jabatan Kastam dan Eksais DiRaja Malaysia. Dikurniakan pula dengan tiga orang anak. Anak keenam bernikah dengan orang Parit Bengkok, Bagan, Batu Pahat. Bertugas di Kuala Lumpur sehingga bersara di sana. Seorang pesara kerajaan dari Kementerian Kebajikan dan Pembangunan Wanita. Menetap di Kuala Lumpur bersama tiga orang anaknya. Yang ketujuh berkahwin dengan orang Air Hitam, Batu Pahat. Menetap di Johor Bahru bersama dengan lima orang anaknya. Dia bekerja sendiri. Sementara itu yang bongsu berkahwin dengan orang Solok Wan Moh, Batu Pahat. Menjadi guru al-Quran dan mahir membuat mini popia dan kuih makmur secara bermusim. Hari raya khususnya. Suaminya bekerja di Telekom Malaysia dan menentap di tempat yang sama bersama empat orang anak mereka.


Ini bukan cucu Haji Abas beristeri dua tetapi tiga sepupu dari anak ketiga, kelima dan bongsu

Anak-anak Haji Abas berada di tiga tempat yang berasingan: Batu Pahat, Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Enam orang di Batu Pahat. Dua orang di Johor Bahru dan seorang di Kuala Lumpur. Seorang pernah berada di Terengganu dan Ipoh.  Cucu bongsu Haji Abas bersama Hajjah Aimah lahir menjelang alaf baru tahun 2000. Hanya beberapa orang yang masih berada di sekolah menengah. Beberapa orang juga masih berada di IPT. Sekarang ini generasi cicit pula sedang menyungsung ibu dan bapa saudara sepupu masing-masing. Apabila sampai ke generasi kelima ini kejelikitan berkeluarga sudah mula agak renggang. Tinggal di tempat yang berjauhan dan berlainan. Kesempatan untuk bersua muka terlalu terhad. Cuti masing-masing tidak bertembung. Hari raya mungkin bersua sekali sekala. Antara bertemu dengan tidak. Kadang-kadang perlu pula membuat temujanji.

Suatu masa dahulu. Anak kelima Haji Abas bersama Hajjah Aminah bergambar dengan anak sulungnya.

Kesusahan Haji Abas adalah pada era pra-merdeka dan beberapa tahun pasca-merdeka. Allah menentukan segala-galanya. Ditaqdirkan dua orang menantunya meninggal dunia lebih awal. Suami Hajjah Rugayah, allahyarham Masro meninggal lebih awal dari suami Hajjah Arfah, allahyarham Md Nor. Kisah Hajjah Rugayah telah dinukilkan sebelum ini. Begitu juga rupanya yang menimpa Hajjah Arfah. Allahyarham Md Nor tenang orangnya. pelembut dan tidak banyak ragamnya. Sakit batuknya agak berlarutan. Namun ditanggungnya dengan senyuman. Semoga Allah menerima rohnya dengan redha. Menjadi ibu tunggal dengan 11 orang anak tentu merumitkan Hajjah Arfah. Cumanya ada anaknya yang sudah berumahtangga. Yang masih bersekolah ramai bilangannya. Dari sekolah kebangsaan hinggalah ke sekolah menengah. Wang pencan allahyarham suaminya dicukupkan untuk menyara segala keperluan anak-anak yang masih bersekolah. Yang sudah bekerja membantu sedikit sebanyak. Certita kesusahan Haji Abas cerita sekitar Malaysia merdeka tetapi cerita kesusahan cucu-cucu Haji Abas adalah cerita jauh selepas merdeka. 

Antara cucu dan suami kepada cucu Haji Abas.

Kemerdekaan adalah suatu titik masa yang sepatutnya berganjak maju. Namun negara muda yang baru bangkit dari tidur lamanya menghadapi kesukaran untuk memberi nafas kemerdekaan itu kepada warganya. Cerita Haji Abas menjadi suatu analogi susahnya Malaysia bangkit dari kemiskinan. Meminjam bukan kepalang banyaknya. Dari Amerika Syarikat serta dari Jepun. Termasuk juga dari Britain dan negara-negara Eropah. Malaysia bukan sahaja miskin malah tidak cukup makan. Malangnya kita berada dalam zon selesa. Kekal berterusan di zon itu. Hingga sekarang kita terus-terusan mengimport makanan ruji kita. Untuk memajukan negara kita terus-terusan berhutang. Hingga sekarang setelah 57 tahun merdeka Malaysia masih kekal berhutang. Amaunnya pula semakin meningkat. Alhamdulillah Haji Abas dan anak-anaknya terlepas dari hutang kemiskinan yang dahulu. Walau bagaimanapun cucu dan cicit Haji Abas tidak terlepas dari ikatan hutang negara. Kemerdekaan Haj Abas dari belenggu hutang tidak dapat diwarisi oleh cucu dan cicitnya. Haji Abas tentu tidak maklum bahawa kemerdekaan yang menjanjikan kemakmuran rupanya membebankan generasinya. 


Bersama anak keenam,  ketujuh dan anak kelapan. Dengan pasangan masing-masing.


57 tahun kemerdekaan Malaysia bukanlah suatu jangakmasa yang sangat panjang. Namun dalam jangkawaktu itu generasi Haji Abas telah berkembang menjadi ratusan orang. Masing-masing menjalani hidup dalam negara yang merdeka ini. Jika dahulu menantu-menantu Haji Abas hanya orang Batu Pahat, sekarang ini cucu-cucu Haji Abas menerima pasangan dari negeri-negeri yang berlainan. Tinggal pula di negeri-negeri yang berlainan. Hampir di setiap negeri ada generasi Haji Abas dan Hajjah Aminah. Mudah-mudahan cicit-cicitnya nanti datang dari negara yang berlainan tetapi Muslim sejagat. Anak-anak keturunan Adam yang utuh Islamnya. Laungan merdeka Haji Abas di Padang Merbuk, Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956 adalah laungan semangat perjuangan untuk seluruh generasinya hingga ke akhir zaman. Rentasan waktu selama 57 tahun yang selalu dilupakan. Mudah-mudahan generasi Haji Abas dan Hajjah Aminah tidak melupakan perjuangan hidup yang serba payah semasa pra-merdeka dan beberapa tahun pasca-merdeka.



Anak keenam Haji Abas dan Hajjah Aminah bersama anak bongsunya.


Memang kita tidak pernah ingin kembali ke zaman serba susah itu. Tetapi sekadar mengimbau selalu bahawa Haji Abas dan Hajjah Aminah datang dari suatu sudut masa yang sempit dan menyempitkan. Satu demi satu kekangan hidup ditempuhi dengan seadanya. Dengan sedikit keazaman untuk keluar darinya. Allah memberikan laluan yang bukan senang. Tetapi memudahkan hati dan perasaan. Banyak yang dapat dipelajari dari pengalaman Haji Abas dan Hajjah Aminah. Episod ceritera mengenainya masih banyak lagi secara berturutan. Untuk sampai ke noktah sekarang bukan semudah melompat jauh. Ceritanya perlu digali dan dinukil. Penulis yakin banyak pengajaran darinya. Sesiapapun dapat menerapkan pengalaman ini kepada keluarga lain di luar sana. Mereka yang sebaya Haji Abas rasanya boleh dibilang dengan jari. Ramai yang sudah tiada. Jika ditanya, penulis pasti ceritanya hampir sama. Mungkin bersamaan dalam banyak hal.

Maaf yang ini bukan Datuk David Arumugam. Anak ketujuh Haji Abas dan Hajjah Aminah. Bergambar bersama kakak  dan suami kakaknyanya ,Haji Yunos (duduk) serta anak sulung dan cucu mereka. 

Pada diri Haji Abas terkandung banyak sejarah lampau. Masa selama 100 tahun terlalu banyak yang dilihat. Terlalu banyak yang dialami. Tidak semua antara kita yang berani hidup selama itu. Menyaksikan paparan masa yang berlalu pantas. Meninggalkan kesemua yang lama. Kenangan sahaja yang tinggal. Lukisan zaman yang kadang-kadang timbul kerana usikan zaman itu sendiri. Namun kaki kita tetap melangkah jauh ke hadapan kerana destinasi kita bukan di belakang.  Masa hadapan setia menanti kita dalam wajah yang tiada siapa dapat menduganya. Kepada Allah berserah. InsyaAllah Allah memelihara semua zuriat Haji Abas dan Hajjah Aminah. 


Keluarga anak bongsu Haji Abas dan Hajjah Aminah.

Saturday, June 28, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Ramadhan Tanpa Buffet



Apa sebenarnya yang kita maklum tentang Ramadhan. Hari rayanya atau buffetnya. Atau lapar dan dahaganya. Yang lain seperti kita abaikan. Ramadhan yang menjadi penghulu segala bulan tidak dinanti seperti selayaknya. Lailatulqadar yang agung di sisi Allah tidak kita fahami signifikannya. Kita bukan menunggu Ramadhan tetapi sebaliknya kita lebih banyak fokus kepada bulan selepas Ramadhan. Satu Syawal yang sepatutnya diraikan hanya sehari sahaja kita raikan selama lebih sebulan. Kadang-kadang berlarutan hingga tiga bulan. Seolah-olahnya dikira berdosa jika tidak mengadakan majlis hari raya. Mari kita nilai semula Ramadhan tahun ini.

Bulan yang padanya diturunkan al-Quran.
Bulan yang di dalamnya diturunkan lalatulqadar.
Bulan yang pahala kebajikannya berlipat kali ganda.
Bulan yang ganjarannya Allah yang menentukannya.
Bulan yang syaitan dirantai.
Bulan yang pintu-pintu syurga dibuka.
Bulan yang qiamil lail menjadi kebiasaan.
Bulan yang padanya ramai orang membaca al-Quran.
Bulan ramai orang memberi makan kepada mereka yang berpuasa.
Bulan orang membayar zakat.
Bulan ramai orang bersedekah.
Bulan orang menginfaqkan hartanya ke jalan kebajikan.

Setahun yang lalu penulis berada di Kaherah. Setelah setahun berlalu Ramadhan datang lagi. Banyak benar bezanya Muslim di sini menyambut kedatangan bulan penuh barakah ini dengan cara Mulism di Malaysia menyambutnya. Berbulan-bulan sebelum ini ramai orang Malaysia yang sudah menyediakan baju raya. Itupun tukang jahit ramai yang menolak tempahan. Ramai yang keluh- kesah kerana bakal tidak makan pada waktu siang. Ada juga yang mencari alasan untuk dikecualikan dari berpuasa. Daifnya kita berhadapan tuntutan Islam dan iman. Bulan ini adalah bulan Allah memberi peluang yang seluas-luasnya kita menambahkan kebaikan kepada diri kita melalui berbagai aktiviti ibadat yang nilainya tiada tolok bandingnya di sisi Allah. Bulan yang kita dianggap berniaga dengan Allah. Kita menjual dan Allah membeli.  Perniagaan yang tidak pernah memungkin kerugian. Allah sentiasa membeli ibadat kita dengan harga yang berlipat kali ganda dari yang dapat kita fikirkan. Keuntungannya di dunia dan di akhirat. Yang di akhirat itulah yang selalunya tidak dapat difahami dengan saksama.

Pada bulan Syabaan adalah bulan yang bermula dengan kalut di Kaherah. Mungkin juga di seleuruh negara Arab adalah begitu keadaannya. Kedai-kedai mula menambahkan stok barang makanan. Berlori-lori diangkut. Menimbun-nimbun di kedai. Di luar kedai. Khemah didirikan untuk menyimpan stok tersebut. Pada malamnya pembantu kedai tidur di atas stok makanan tersebut. Menjadi pengawal sementara stok masih ada. Kesemua keluarga mula membeli barang keperluan sebanyak mungkin. Kesemua ini dilakukan kerana menyambut Ramadhan. Ya, untuk menyambut Ramadhan. Hanya Ramadhan tiada yang lain kecuali Ramadhan. Tidak ada walau sepatah perkataanpun yang menyebut Hari Raya. Eid al-fitr. Tidak ada. Muslim di sini berhadapan dengan Ramadhan. Menanti Ramadhan. Rindukan hadirnya Ramadhan. Ramadhan karim. Ramadhan yang diredhai Allah. Bulan yang mendapat pengampunan Allah. Bulan yang sangat mulia.

Yang utama kepada Muslim di sini ialah berbuat kebajikan sebanyak mungkin. Selain dari ibadat khusus seperti solat, membaca al-Quran, hadir ke kuliah-kuliah Subuh dan Asar, mereka berusaha menjamu mereka yang berpuasa dengan  meyediakan jamuan berbuka puasa. Masjid dan surau melimpah ruah dengan makanan. Mereka yang berada menyediakan makanan untuk sesiapa sahaja yang difikirkan perlu menikmatinya. Mereka berhabisan kerana Ramadhan. Kerana Allah memuliakan Ramadahan. Kesempatan itu diambil untuk sama-sama mendapat meghfirah dan redha Allah. Keuntungan yang tiada nilai dunia. Suasananya memperlihatkan bahawa ukhwah antara yang di atas dengan yang di bawah sangat dekat. Sangat rapat antara yang berada dengan yang tidak berada. Bagi pelajar umpamanya, mereka kenyang dalam bulan ini. Pergilah ke mana-mana masjid pastinya berbuka puasa dengan sekenyang-kenyangnya. Kenyang hingga sahur.

Ramadhan tahun ini pada musim panas. Siangnya panjang dan malamnya pendek. Berbuka antara pukul 7.00 pada awal Ramadhan dan pada pukul 7.30 pada akhir Ramadhan. Solat tarawih mungkin hingga pukul 11.00 malam. Sahur pada kira-kira pukul 2.00 pagi. Fajar menjelang pada kira-kira pukul 3.00 pagi. Ramadhan adalah bulan yang sangat sibuk (hectic). Kepada Muslim di sini kesibukan itu bukan ibadat khusus semata-mata. Antara waktu-waktu tertentu mereka membaca al-Quran atau berwirid. Beriktiqaf di masjid. Memikirkan untuk menambah kebajikan. Selepas tarawaih ada juga yang kunjung-berkunjung ke rumah ibu dan bapa dan ke rumah saudara-mara. Pada masa tersebutlah mereka memakai pakaian baru. Pakaian menghormati meriahknya kehadiran Ramadahan. Berbagai juadah disediakan untuk tetamu.

Bukankah kegembiraan mereka yang berpuasa ialah apabila mereka berbuka puasa? Benarlah mereka di sini merayakan puasa mereka selepas berbuka. Setiap hari dirayakan tetapi dalam bulan Ramadhan sahaja. Bukan seperti kita yang berhari raya selepas tamat Ramadhan dan melepaskan geram semahu-mahunya. Muslim di sini meningkatkan ibadat mereka sesama Muslim di siang hari dan sebahagian malam. Pada sebahagian waktu yang lain mereka meningkatkan ukhwan sesama ahli mereka. Keluarga dan saudara-mara. Hubungan dengan Allah diperbanyakkan. Hubungan dengan manusia ditingkatkan. Kebanyakan rumah terang benderang. Menanti dan meraikan tetamu seperti dituntut agama. Menanti juga datangnya laitulqadar. Penantian yang disediakan berbulan-bulan lamanya.

Tentu berbeza antara menanti datangnya hari lebaran. Hari raya selepas tamat Ramadhan. Kita menangis tidak dapat bersama ibu dan bapa. Tidak dapat bersama keluarga. Tidak dapat bersama saudara-mara atau sahabat-handai. Kita menangis selepas hilangnya Ramadhan. Tidak ramai yang menangis kerana perginya Ramadhan. Tidak ramai yang memikirkan bahawa Ramadhan kali ini adalah Ramadhannya yang terakhir. Di negara Arab mereka teruja menantikan Ramadhan. Berbuat kebajikan sebanyak-banyaknya. Bertemu ibu dan bapa sekerap mungkin. Menziarahi saudara-mara serta ahli keluarga dan sahabat yang lain. Menjamu selera tetamu yang bertandang ziarah. Meriahnya Ramadhan. Bukan meriahnya hari raya. Mereka merayakan puasa mereka dalam Ramadhan. Mereka menangis bersama Ramadhan. Mereka gembira bersama Ramadhan. Mereka teruja berada dalam bulan Ramadhan.


Di negara kita agama dikomersilkan. Mereka yang bukan Islam membaca herotan konsep agama yang kita amalkan. Kerana itu hari raya menjadi fokus dan bukannya Ramadhan. Ramadhan diramaikan dengan jualan Ramadhan. Dengan bazaar Ramadhan. Dengan pameran Ramadhan. Dengan buffet Ramadhan. Soalnya, mengapa dan kenapa? Kita berhabis tetapi tidak berniaga dengan Allah. Kita berhabis tetapi tidak mendapat keuntungan yang Allah janjikan. Paling kita takut ialah bulan Ramadhan tidak menjadi bulan maghfirah kepada kita. Tidak juga menjadi bulan yang Allah meredhai kesemua perbuatan kita. Oleh itu makanlah di rumah. Masaklah seberapa banyak. Hulurkan kepada jiran. Gembirakan mereka dengan ibadat yang kita lakukan. Mudah-mudahan terhindar dari keraguan antara halal dan haram. Antara bersih dengan tidak. Antara suci dengan tidak. Antara Allah redha dengan tidak. Bukan sahaja di hotel kira menyimpan keraguan malah makanan yang dijual di bazaar Ramadhan belum tentu dipelihara kesuciannya. Maaf. Lazimnya penjual makanan di bazaar Ramadhan terlepas solat Asar. Malah ada yang terlepas solat Maghrib. Bagaimana kedudukan kita yang membeli makanan mereka? Sama-sama kita renungkan.

Thursday, June 26, 2014

Siri Lima Belas: Kesabaran Yang Bertbalas

Keluarga besar Hajjah Arfah, anak kedua Haji Abas bersama Hajjah Aminah.


Kesabaran Haji Abas banyak kali teruji. Alhamdulillah Haji Abas dapat melalui kesemuanya dengan tabah. Allah memberinya ganjaran yang tidak terhingga. Anak kedua Haji Abas dipinang orang. Heboh sekampung kerana yang meminang ialah wakil rakyat (ADUN) kawasan tersebut. Yang Berhormat (YB) Haji Othman bin Haji Taib meminang anak gadis Haji Abas untuk anak lelakinya. YB tinggal di kampung sebelah. Juga seorang berketurunan Banjar. Anaknya seorang juruteknik. Hidup berseorangan di Parit Yusof, Muar. Risau juga YB kerana anaknya tidak berteman. Tiada siapa yang menguruskan kehidupannya. Sebagai bapa, difikirkan bakal menantu yang sesuai untuk anak lelakinya. Anak gadis kedua Haji Abas menjadi pilihan. Mereka tidak kenal. Tidak juga bercinta. Mereka ingin disatukan atas urusan orang tua masing-masing.

Bersama anak dan cucu-cucu.

Kepada Haji Abas peminangan itu memeranjatkan. Darjat antara kedua keluarga itu terlalu berbeza. Haji Abas arif akan kedudukan diri dan keluarganya yang miskin. Tentunya tidak setaraf dengan keluarga YB. Itulah jawapan Haji Abas terhadap pinangan YB. Dengan yakin YB memberi jaminan bahawa kemiskinan itu bukan soalnya. Tidak perlu dipersoalkan. Tidak perlu diperbesarkan. Peminangannya ikhlas untuk anak lelakinya. Bersatulah kedua keluarga mereka atas dasar agama. Atas dasar tanggungjawab ibu dan bapa. Majlis perkahwinan pada kali kedua tentu lebih terurus kerana sudah ada pengalaman pertama dahulu. Cuma pada kali ini menantu yang pertama menjadi tukang masak. Satu masalah kecil timbul. Tanpa diduga langsung.

Rupanya orang kampung ada yang tidak senang apabila orang luar yang memasak. Pada hal yang memasak itu adalah menantu pertama Haji Abas sendiri. Ganjil bunyinya. Benar, orang dahulu sangat tinggi keakuannya. Egonya. Mereka tidak suka orang luar mengambil alih hal-hal yang biasa mereka lakukan. Seolah-olah gotong royong yang mereka lakukan terlalu mengikat diri. Memberatkan. Bukan meringankan. Tidak memberi pilihan. Pada pendapat mereka apabila orang luar yang memasak, mereka menjadi hina. Alhamdulillah, perasaan sebegitu hilang juga akhirnya. Sekarang ini ada kebebasan untuk bertindak  di luar dari tradisi. Ramai orang kampung yang memanggil tukang masak pilihan mereka sendiri. Konser gotong royong yang dipanggil rewang masih berjalan seperti biasa. Siapa yang memasak tidak lagi penting. Mereka datang membantu seperlunya.

Semuanya seperti suatu rahmat yang tidak terduga. Seorang yang pernah berpindah-randah Allah beri ganjaran yang tidak ternilai. Hanya Allah yang menentukan bahawa menantunya anak YB. Alhamdulillah Allah menggantikan sesuatu yang mendukacitakan kepada sesuatu yang melapangkan fikiran. Pada waktu itu kadang-kadang menjadi sukar untuk bersatu jika berlainan darjat. Begitu garapan allahyarhan Tan Sri P. Ramlee dalam Antara Dua Darjat. Dalam Ibu Mertuaku. Dalam Penarik Beca. Filem-filem Melayu box-office waktu itu. Hakikatnya begitulah. Haji Abas bersyukur kerana anaknya dipinang orang. Bakal menantunya anak YB.

Kenduri kendara di kampung pada waktu itu menuntut persediaan yang panjang dan rapi. Kayu api pula menjadi keutamaan. Perlu disediakan dengan segera. Selewat-lewatnya sebulan sebelum majlis diadakan, kayu api hendaklah disediakan. Dicari pokok getah yang tumbang. Atau ditebang pokok yang mati atau layu. Digergaji dengan gergaji besar. Disorong dan ditarik di dua belah hujung. Haji Abas dan anak-anaknya bersilih ganti memotong kayu. Dari setual menjadi bertual-tual. Dipikul kayu itu setual-setual ke rumah. Dibelah dan dijemur. Apabila kering disusun dibangsal kayu. Sedia untuk digunakan. Kayu getah tidak kira saiznya selalu dikumpul untuk dijadikan bahan pembakar. Zaman belum ada gas. Rumah berjelaga. Prosesnya panjang dan meletihkan. Tetapi tuntutan keperluan itu dilaksanakan juga. Tiada pilihan lain.


Dahulu tiada balai seperti sekarang. Pasang siap sahaja. Bila-bila boleh dipasang. Pada waktu dahulu balai jamuan dibina menggunakan berbagai kayu atau buluh. Berbagai saiz dan panjangnya. Dicacak di hadapan rumah.  Beratapkan rembia. Lantai tempat duduk mungkin kayu sebatang-sebatang yang bersaiz kecil. Atau papan jika berkemampuan untuk membelinya. Meja jamuan sebenarnya meja panjang yang memang memanjang. Untuk makan sedulang berempat orang. Maknanya meja panjang itu tidak terlalu lebar supaya hidangan boleh dicapai oleh mereka yang hendak menjamu selera. Untuk mengangkat hidangan diperlukan ramai ahli kendarat (pramusaji). Berulang-alik sama ada mengangkat hidangan atau mengangkat dulang kosong untuk dibasuh dan digunakan semula. Konsep buffet belum ada. Pendek kata memang letih mereka yang tugasnya mengangkut hidangan. Lebih-lebih lagi apabila hari hujan. Tanah basah dan becak. Tanah melekat di kasut atau selipar. Ada seorang dua yang mungkin tergelincir. Bertaburanlah hidangan di atas tanah. 


Apabila dua orang anak gadis Haji Abas berumahtangga, banyak yang melegakan hatinya. Tetapi Haji Abas kehilangan pembantu-pembantu yang selama ini meringankan beban tugas  mengurus rumahtangga Hajjah Aminah. Pada masa itu anak gadis yang seorang lagi masih sunti dan masih bersekolah. Beberapa tahun kemudian barulah dia dapat membantu kerja-kerja rumah selepas tamat SPMnya. Sehingga dia berumahtangga pada tahn 1971 kerja-kerja rumah dilakukannya. Berlatih menjadi surirumah yang berketrampilan. Menggarap pertua-petua yang elok dari Haji Abas dan Hajjah Aminah. Menjelang tahun 1971 di rumah Haji Abas tinggal empat orang sahaja yang berada di rumah. Dua telah berumahtangga. Dua orang yang lain bekerja di Johor Bahru. Kehidupan Haji Abas ibarat kapal di tengah lautan. Sudah banyak timbul dari karamnya. Pelayarannya semakain mudah. Badai kemiskinan beransur-ansur ditinggalkan. Pelabuhan impian sahaja belum disinggahi. 

Haji Abas bersama Haji Abdullah. Anak saudara iaitu anak sepupunya.

Wednesday, June 25, 2014

Siri Empat Belas: Rakannya Yang Berpolitik


Gambar yang diambil pada 1 September 1957 di Pekan Parit Sulung ini masih dijaga rapi oleh Haji Abas. Sehari sebelumnya laungan merdeka berkumandang di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Ketika itu usia Haji Abas sekitar 43 tahun. Masih segak bergaya dengan pakaian sedondon putih. Keras berkanji. Beliau berdiri di belakang tokoh-tokoh yang duduk antara kerusi nombor tujuh dan nombor lapan dari arah kiri.  Duduk di kanannya ialah allahyarham Dato' Dr. Sulaiman Dato' Abdul Rahman (bekas MP Muar Selatan) sementara duduk di kirinya pula allahyarham Haji Othman Haji Taib (bekas ADUN Simpang kiri), besan Haji Abas. Duduk di kiri sekali ialah allahyarham Wak Sunu, sekampung dengan Haji Abas. Di kirinya allahyarham Kamisan Haji Ashari (bekas ADUN Seri Medan). 


Haji Abas hanya berkeupayaan menjadi penyokong tegar UMNO dan Perikatan sejak dari tarikh penubuhannya. Kemuncak penglibatannya ialah laungan merdeka di Padang Merbuk, Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956.  Selepas itu dia hanya menjadi penyokong senyap. Dia tidak mampu menghabiskan masa hidupnya untuk berpolitik. Politik keluarganya lebih besar dari politik negara. Dia memilih untuk berada di samping isteri dan keluarga kerana itu menjadi keutamaannya. Pada zaman itu hanya yang berada sahaja mampu berpolitik. Dana parti belum melimpah ruah seperti sekarang. Tanpa wang, ahli politik tidak dapat pergi jauh. Sebagai warga kampung yang jauh di pedalaman, cukuplah setakat itu penglibatan aktifnya. Mengimbas kembali akan perjalanan waktu mungkin penglibatannya terhadap politik natijah dari gerakan Malayan Union 1946. Orang Melayu bersatu atas objektif yang sama. British perlu keluar dari tanah tercinta ini. Tiada wadah politik yang lain. Hanya satu tujuan sahaja.

Mereka yang kuat dalam UMNO dari kampungnya juga mengelak dari terus terlibat dalam parti. Nama-nama besar seperti Wak Sunu dan Turin yang terkenal semasa berperang dengan MPAJA terus mendasar dalam kampung. Turin akhirnya menjadi Ketua Kampung Parit Mohamad atas sokongan penghulu Salleh ketika itu. Di Parit Othman umpamanya, Haji Tamyiz cukup terkenal pada tahun 1955. Namun ia juga hilang dari lanskap politik di kawasan Parit Sulung. Yang terus menyinar ialah allahyarham Haji Othman bin Haji Taib dan  allahyarham Kamisan bin Haji Ashari. Allahyarham Haji Othman menjadi ADUN selama dua penggal diikuti oleh allahyarhan Kamisan pula. Pada zaman mereka politik benar-benar kerana politik. Kedua-dua mereka meninggalkan nama baik. Bukan harta menimbun. Bukan rumah sebeasr istana. Bukan kenderaan berderet di garaj.

Mereka sangat merendah diri. Tiada perubahan fizikal yang memperlihatkan mereka mengambil apa-apa peluang untuk kepentingan diri dan keluarga. Hal-hal berkaitan kroni jauh sekali. Mungkin pada zaman itu rakyat bawahan tidak banyak tahunya. Tidak banyak mintanya. Tidak banyak karenahnya. Mereka menerima apa sahaja ketentuan. Pandai-pandailah melaksanakan yang terbaik untuk mereka. Kedua-dua mereka berpijak di bumi nyata. Allahyarham YB Kamisan umpamanya sangat rapat dengan orang kampung. Apabila diundang ke majlis perkahwinan dia tidak meminta untuk dilayan. Tidak makan di meja yang disediakan. Tidak makan seperti yang telah dihidangkan. Dia akan menemui tukang masak dan pembantu-pembantunya di bangsal memasak di belakang rumah. Kadang-kadang menceduk makanan sendiri dan makan di bangsal memasak. Orang kampung menjadi dekat kepadanya. Kemenangan dalam pilihanraya sentiasa dalam sakunya.

Kawasan Parit Sulung pancawarna juga politiknya. Wakil rakyat pertama ialah allahyarham Tan Sri Sulaiman Nainam Shah. Disusuli pula oleh allahyarham Dato’ Sulaiman bin Dato’ Abd. Rahman. Kemudiannya seorang Cina sebelum diwakili oleh Allahyarham Haji Othman bin Haji Taib. Kemudiannya allahyarham Kamisan pula. Haji Othman dan Kamisan adalah kenalan rapat Haji Abas. Haji Othman di Parit Puasa sementara Kamisan di Parit Othman. Selang sekampung sahaja. Allahyarham Haji Othman menjadi besan Haji Abas. Anak lelaki Haji Othman berkahwin dengan anak perempuan Haji Abas. Allahyarham Kamisan pula kekal menjadi sahabat Haji Abas hingga akhir hayatnya.

Allahyarham haji Othman dan allahyarham Kamisan membawa politik Melayu yang rapat antara satu sama lain. Tiada perebutan kuasa di peringkat bahagian. Tidak banyak kocak dan riaknya. Mereka dekat dengan rakyat. Jiwa mereka benar-benar jiwa Melayu. Jiwa rakyat jelata yang setia menyokong parti. Semasa hayatnya allahyarham Haji Othman sempat ke Ekspo Tokyo pada tahun 1960. Pengalaman pertamanya berada di luar negara. Di negara matahari terbit pula. Jepun sudah mula melangkah maju walaupan 15 tahun sebelumnya mereka kalah dalam Perang Dunia II. Hanya dalam masa 15 tahun mereka seudah semaju itu. Sebuah bangsa yang jatuh tetapi maruahnya dibangunkan hingga terkenal ke seluruh dunia.

Sehingga akhir hayatnya allahyarham Haji Othman tidak mengubahsuai rumahnya. Rumah kayu yang dibina lama sebelum menjadi YB kekal hingga dia meninggal dunia. Allahyarham Tan Sri Haji Othman Saat (mantan MB Negeri Johor) terpegun melihat rumah tersebut. Seolah-olah tidk percaya bahawa rumah YBnya sedaif itu. Begitulah mereka yang seangkatan dengan Haji Othman berpolitik bukan untuk kepentingan diri. Bukan untuk kaya dan bukan untuk hidup senang. Diri mereka untuk rakyat. Untuk membina negara muda yang baru sahaja merdeka. Yang perlu dibangun untuk sejajar dengan negara lain. Perjuangan orang dahulu yang mungkin dianggap tidak relevan lagi pada masa sekarang.


Pada tahun-tahun 90an muncul seorang ahli politik muda. Datuk Ruhanie Ahmad namanya. Berasal dari Parit Separap. Haji Abas kenal benar dengannya. Kawan rapat anak lelakinya. Juga kawan rapat seorang dari menantu lelakinya. Mereka sama-sama bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Batu Pahat dan Sekolah Menengah Kabangsaan Dato’ Bentara Luar. Semasa remajanya kerap ke rumah Haji Abas. Kadang-kadang membawa beberapa biji kelapa untuk Haji Abas dan keluarganya. Kebetulan kebun di rumah YB Datuk Ruhanie dipenuhi dengan tanaman pokok kelapa. Begitulah wakil ADUN dan Ahli Parlimen silih berganti. Sekarang ini YB kawasan Seri Medan ialah Datuk Zolkarnain. Anak kepada alllahyarhan Kamisan. Ayahnya rakan Haji Abas. Mungkin YB Datuk Zolkarnain tidak mengetahui hubungan antara Haji Abas dengan allahyarham ayahnya yang telah terjalin sejak sebelum merdeka lagi. Politik masih diteruskan lagi. Agenda masih banyak yang belum dilaksanakan. 

Tuesday, June 24, 2014

Siri Tiga Belas: Bermenantukan Orang Jawa


Hajjah Rugayah (kanan) bersama adiknya Hajjah Arfah (di kanan Hajjah Rugayah). Semasa masih gadis puas juga pedas telinga. Sekarang masing-masing sudah bercicit. Sudah melampaui zaman untuk dikenang. Barang yang lepas tidak lagi selalu dikenang. Tinggal bekasnya di hati.


Pada tahun 1960 anak gadis Haji Abas dipinang orang. Orang kampung sebelah. Parit Maimun. Kampung yang pernah didudukinya suatu ketika dahulu. Dari keluarga yang sangat dikenali oleh Haji Abas. Keluarga mereka mesra sejak dahulu. Haji Abas memiliki kemahiran sosial yang tinggi. Dia boleh berkawan dengan sesiapa sahaja. Merentasi etnik. Merentasi keturunan. Merentasi agama. Parit Maimun dihuni oleh ramai orang Jawa. Anak antara mereka yang meminang anak gadis Haji Abas. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan. Tanpa banyak berkira, pinangan itu diterima. Bermulalah suatu lagi episod dalam kehidupan Haji Abas. Dia bakal menerima menantu. Seorang Jawa sedangkan dia berketurunan Banjar. Tidak ada masalah kepada keluarganya. Sementelahan pula sudah ada antara saudara Haji Abas dan Hajjah Aminah yang berkahwin dengan orang Jawa dan dengan etnik Melayu.

Hajjah Rugayah bersama cicit pertamanya.


Mungkin anak gadis dahulu berbeza dengan anak gadis sekarang. Perkahwinan diatur oleh keluarga. Anak gadis dahulu tidak gedik. Tidak senyum dan gelak. Anak gadis Haji Abas malah banyak menangis. Memasak menangis. Tidur malam menangis. Basah bantal dan lengan baju. Tentu orang sekarang sukar mengerti. Orang sekarang menangis kerana rindu yang amat sangat. Terlalu lama rasanya untuk bersama. Tidak untuk anak gadis  Haji Abas. Bersarang banyak serabut dalam fikirannya. Ada perasaan takut yang bukan-bukan. Takut bersuami. Seorang lelaki yang entah siapa-siapa. Tidak dikenalinya. Entah bagaimana rupanya. Entah dan banyak entahnya seperti yang difikirkan dalam benaknya.


Di sebelah kanan Hajjah Rugayah adalah dua orang adik iparnya. Di kirinya pula tiga orang adiknya. Seorang dari adik perempuannya dan seorang dari ipar perempuannya  tiada dalam gambar.

Ada lagi yang menghambat tangis anak gadis Haji Abas. Apabila berkahwin nanti tentunya ia akan dibawa pergi oleh suaminya. Ya, dibawa pergi oleh suami. Dia tidak tergamak meninggalkan ibu dan ayahnya. Meninggalkan adik-adiknya. Meninggalkan rumah yang membesarkannya. Dia juga tidak tahu bagaimana kehidupannya dengan bakal suaminya nanti. Ketidakpastian yang selalu bermain dalam fikirannya. Takut dan serba takut. Ada suara nakal yang mengusik. Kononnya orang Jawa kuat makan belacan. Lucu bunyinya. Hal sekecil itu merimaskan anak gadis Haji Abas. Kepada Haji Abas dan Hajjah Aminah peminangan itu sesuatu yang melegakan. Orang dahulu serba tidak kena. Jika ada anak gadis membesar, banyak mata yang menjeling. Banyak mulut yang berkata. Ada sahaja yang tidak kena. Paling besar rasanya ialah usia anak gadis orang. Melebihi usia 15 tahun sudah dikira tidak laku. Zaman yang pendidikan bagi orang kampung masih bukan keutamaan.

Hajjah Rugayah bersama keluarga anak sulungnya, Haji Yusof, berdiri nombor dua di sebelah kanan. Gambar ini di hadapan rumahnya sekarang.

Pertunangan itu tidak terlalu lama. Berkahwin juga anak gadis Haji Abas. Bermenantu juga Haji Abas. Perkahwinan yang diatur keluarga itu bukan kerana kekayaan. Bukan kerana harta benda. Bukan kerana wang ringgit. Sudah jodohnya. Sudah sampai masanya. Tertutup sebentar mata dan jelingan orang. Terkunci sebentar mulut orang. Tidak ada lagi suami yang dicemburukan. Tidak ada menantu yang dicemburukan. Tidak ada bujang yang dicemburukan. Pemergian anak Haji Abas dan menantunya diiringi dengan doa dan harapan. Semoga mereka bahagia. Tinggallah mereka di bandar. Di Bandar Penggaram. Menantu Haji Abas bekerja di bandar. Dari mereka lahirlah cucu pertama Haji Abas. Cicit pertama dan piut pertama. Allah menyayangi menantu Haji Abas yang pertama. Sewaktu anaknya berjumlah lapan orang, Allah menjemputnya. Tinggallah keluarganya membesar di bawah jagaan ibu mereka, anak Haji Abas. Susah juga hidupnya menjadi ibu tunggal. Seolah-olah kepayahan Haji Abas membesarkan anak-anaknya berulang semula. Alhamdulillah cucu-cucu Haji Abas menjadi. Jauh meninggalkan kemiskinan Haji Abas. Jauh meninggalkan kepayahan ibu bapa mereka membesarkan mereka dahulu.

Menantu Haji Abas istimewa orangnya. Sudah lebih dewasa dari isterinya. Pernah berumahtangga dan mempunyai seorang anak. Banyak membantu Haji Abas dalam banyak hal. Oleh kerana dia memiliki sebuah motorsikal, banyak kali Haji Abas meminta tolong bantu mana yang perlu. Bersamanyalah Haji Abas ke rumah saudaranya untuk meminjam wang bagi menjelaskan yuran peperiksaan MCE - Malaysia Certificate of Education (SPM)anaknya. Dalam suasana banjir, motor meredah jalan yang menyulitkan kerana desakan hidup. Dalam susah payah itulah didengar dentuman cadangan yang mengecewakan. Haji Abas diminta memberhentikan anaknya dari bersekolah. Menoreh getah lebih baik pada pendapat mereka. Mungkin benar dalam jangka pendek. Tetapi pada kenyataannya bersekolah dan berpendidikan lebih tinggi adalah lebih baik. Jika dahulu menoreh boleh menjamin hidup tetapi sekarang pekebun kecil getah ramai yang menjerit kerana harga getah agak murah sedangkan harga barang-barang keperluan melambung tinggi. Dalam hal ini pertimbangan Haji Abas lebih wajar. Aalhamdulillah.

Sebagai menantu pertama banyak yang dilakukannya. Apabila balik ke kampung ada sahaja buah tangan yang dibawa. Mungkin gula barang sekati (600 gram). Atau Milo sepaket. Atau tepung sebungkus. Sesuatu yang merubah kehidupan Haji Abas dan keluarganya. Apabila bertandang ke rumah menantu, diberi pula makan secukupnya. Pulangnya ada wang saku sedikit sebanyak. Walaupun menantunya bukan orang berada tetapi perihatin menjaga hati dan kebahagiaan Haji Abas. Sesuatu yang membahagiakan. Anaknya berada dalam tangan lelaki yang boleh diharap. Yang melindungi anaknya. Yang membahagiakan anaknya. Membahagiakan juga Haji Abas dan Hajjah Aminah. 

Dua orang anak Haji Abas menumpang hidup di rumah anak dan menantunya ketika bersekolah di bandar. Banyak jasa pasangan ini kepada adik-adiknya. Yang bersekolah di bandar diurus makan dan minumnya. Diurus pakaiannya. Dijaga keselamatannya. Pada hal hidupnya bukan sesenang seperti yang dijangka. Kesemuanya dilakukan demi tanggungjawab terhadap adik-adik. Meringankan beban ayah dan ibu mertua. Dia tidak pernah mengeluh. Senyuman, yang dipamerkan apabila pulang dari kerja. Tidak memperlihatkan rasa penat kepada isteri dan adik-adik. Untuk meringankan sarahidup, diusahakan sebuah tanah kerajaan di sebuah tempat yang dinamakan Kaki Bukit. Berhampiran dengan Taman Perdana sekarang. Dicucuk tanam dengan keledek, jagung dan sayur-sayuran. Kesemuanya untuk keperluan sendiri. Tidak ada yang dijual. Begitulah aktivitinya selepas waktu kerja.  Mungkin adik-adik yang lain tidak mengetahui. Dua orang adik yang tinggal bersamanya kadang-kadang turut membantu pada waktu lapang. 

Sayang kerana tidak berkeupayaan untuk membayar wang primium, tanah itu menjadi milik orang lain. Sekarang menjadi penempatan Melayu di Bandar Penggaram. Allah menggantikan usahanya yang tidak berjaya memiliki tanah di Kaki Bukit. Dibeli sebidang tanah di Solok Wan Moh dengan menjual rantai emas isterinya. Itulah sahaja yang sangat berharga. Tanah itu bermandikan airmata isterinya. Di situlah mereka menetap. Dia meninggal di situ. Anak-anaknya dibesarkan di situ. Isterinya (anak Haji Abas) meneruskan hidup dengan banyak usaha. Menual kuih setiap pagi. Mengambll upah menjahit pakaian. Pada bulan Ramadhan sibuk berniaga di bazar Ramadhan. Berkat usahanya, dia adalah antara anak-nak Haji Abas yang awal menunaikan fardhu haji pada tahun 1999. Setelah menunaikan fardhu haji, hidupnya semakin tenang. Kesemua anak-anaknya berkerjaya. Sekarang ini kawasan itu menjadi kawasan yang sangat kommersil. Dibangunkan sebuah mall dan premis perniagaan yang lain. Nilai tanah kawasan itu melambung naik. 

Menantu Haji Abas bertambah selepas itu. Enam daripadanya berketurunan Jawa. Dua pula berketurunan Banjar. Seorang berketurunan orang Muar. Cucu dan cicit Haji Abas sudah tidak lagi dikenali mengikut etnik. Pada darah mereka mengalir semangat Haji Abas. Anak-anak Malaysia pasca merdeka.