Keluarga besar Hajjah Arfah, anak kedua Haji Abas bersama Hajjah Aminah.
Kesabaran Haji Abas banyak kali teruji. Alhamdulillah
Haji Abas dapat melalui kesemuanya dengan tabah. Allah memberinya ganjaran yang
tidak terhingga. Anak kedua Haji Abas dipinang orang. Heboh sekampung kerana
yang meminang ialah wakil rakyat (ADUN) kawasan tersebut. Yang Berhormat (YB)
Haji Othman bin Haji Taib meminang anak gadis Haji Abas untuk anak lelakinya.
YB tinggal di kampung sebelah. Juga seorang berketurunan Banjar. Anaknya
seorang juruteknik. Hidup berseorangan di Parit Yusof, Muar. Risau juga YB
kerana anaknya tidak berteman. Tiada siapa yang menguruskan kehidupannya.
Sebagai bapa, difikirkan bakal menantu yang sesuai untuk anak lelakinya. Anak
gadis kedua Haji Abas menjadi pilihan. Mereka tidak kenal. Tidak juga bercinta.
Mereka ingin disatukan atas urusan orang tua masing-masing.
Bersama anak dan cucu-cucu.
Kepada
Haji Abas peminangan itu memeranjatkan. Darjat antara kedua keluarga itu
terlalu berbeza. Haji Abas arif akan kedudukan diri dan keluarganya yang
miskin. Tentunya tidak setaraf dengan keluarga YB. Itulah jawapan Haji Abas
terhadap pinangan YB. Dengan yakin YB memberi jaminan bahawa kemiskinan itu
bukan soalnya. Tidak perlu dipersoalkan. Tidak perlu diperbesarkan.
Peminangannya ikhlas untuk anak lelakinya. Bersatulah kedua keluarga mereka
atas dasar agama. Atas dasar tanggungjawab ibu dan bapa. Majlis perkahwinan
pada kali kedua tentu lebih terurus kerana sudah ada pengalaman pertama dahulu.
Cuma pada kali ini menantu yang pertama menjadi tukang masak. Satu masalah
kecil timbul. Tanpa diduga langsung.
Rupanya
orang kampung ada yang tidak senang apabila orang luar yang memasak. Pada hal
yang memasak itu adalah menantu pertama Haji Abas sendiri. Ganjil bunyinya.
Benar, orang dahulu sangat tinggi keakuannya. Egonya. Mereka tidak suka orang
luar mengambil alih hal-hal yang biasa mereka lakukan. Seolah-olah gotong
royong yang mereka lakukan terlalu mengikat diri. Memberatkan. Bukan
meringankan. Tidak memberi pilihan. Pada pendapat mereka apabila orang luar
yang memasak, mereka menjadi hina. Alhamdulillah, perasaan sebegitu hilang juga
akhirnya. Sekarang ini ada kebebasan untuk bertindak di luar dari tradisi. Ramai orang kampung
yang memanggil tukang masak pilihan mereka sendiri. Konser gotong royong yang
dipanggil rewang masih berjalan seperti biasa. Siapa yang memasak tidak lagi
penting. Mereka datang membantu seperlunya.
Semuanya
seperti suatu rahmat yang tidak terduga. Seorang yang pernah berpindah-randah
Allah beri ganjaran yang tidak ternilai. Hanya Allah yang menentukan bahawa
menantunya anak YB. Alhamdulillah Allah menggantikan sesuatu yang
mendukacitakan kepada sesuatu yang melapangkan fikiran. Pada waktu itu
kadang-kadang menjadi sukar untuk bersatu jika berlainan darjat. Begitu garapan
allahyarhan Tan Sri P. Ramlee dalam Antara Dua Darjat. Dalam Ibu
Mertuaku. Dalam Penarik Beca. Filem-filem Melayu box-office
waktu itu. Hakikatnya begitulah. Haji Abas bersyukur kerana anaknya dipinang
orang. Bakal menantunya anak YB.
Kenduri
kendara di kampung pada waktu itu menuntut persediaan yang panjang dan rapi.
Kayu api pula menjadi keutamaan. Perlu disediakan dengan segera. Selewat-lewatnya sebulan sebelum majlis
diadakan, kayu api hendaklah disediakan. Dicari pokok getah yang tumbang. Atau
ditebang pokok yang mati atau layu. Digergaji dengan gergaji besar. Disorong
dan ditarik di dua belah hujung. Haji Abas dan anak-anaknya bersilih ganti
memotong kayu. Dari setual menjadi bertual-tual. Dipikul kayu itu setual-setual
ke rumah. Dibelah dan dijemur. Apabila kering disusun dibangsal kayu. Sedia
untuk digunakan. Kayu getah tidak kira saiznya selalu dikumpul untuk dijadikan
bahan pembakar. Zaman belum ada gas. Rumah berjelaga. Prosesnya panjang dan
meletihkan. Tetapi tuntutan keperluan itu dilaksanakan juga. Tiada pilihan
lain.
Dahulu
tiada balai seperti sekarang. Pasang siap sahaja. Bila-bila boleh dipasang.
Pada waktu dahulu balai jamuan dibina menggunakan berbagai kayu atau buluh.
Berbagai saiz dan panjangnya. Dicacak di hadapan rumah. Beratapkan rembia. Lantai tempat duduk
mungkin kayu sebatang-sebatang yang bersaiz kecil. Atau papan jika berkemampuan
untuk membelinya. Meja jamuan sebenarnya meja panjang yang memang memanjang.
Untuk makan sedulang berempat orang. Maknanya meja panjang itu tidak terlalu
lebar supaya hidangan boleh dicapai oleh mereka yang hendak menjamu selera. Untuk
mengangkat hidangan diperlukan ramai ahli kendarat (pramusaji). Berulang-alik
sama ada mengangkat hidangan atau mengangkat dulang kosong untuk dibasuh dan digunakan
semula. Konsep buffet belum ada. Pendek kata memang letih mereka yang
tugasnya mengangkut hidangan. Lebih-lebih lagi apabila hari hujan. Tanah basah
dan becak. Tanah melekat di kasut atau selipar. Ada seorang dua yang mungkin tergelincir.
Bertaburanlah hidangan di atas tanah.
Apabila
dua orang anak gadis Haji Abas berumahtangga, banyak yang melegakan hatinya. Tetapi
Haji Abas kehilangan pembantu-pembantu yang selama ini meringankan beban
tugas mengurus rumahtangga Hajjah Aminah.
Pada masa itu anak gadis yang seorang lagi masih sunti dan masih bersekolah. Beberapa
tahun kemudian barulah dia dapat membantu kerja-kerja rumah selepas tamat SPMnya.
Sehingga dia berumahtangga pada tahn 1971 kerja-kerja rumah dilakukannya. Berlatih
menjadi surirumah yang berketrampilan. Menggarap pertua-petua yang elok dari
Haji Abas dan Hajjah Aminah. Menjelang tahun 1971 di rumah Haji Abas tinggal
empat orang sahaja yang berada di rumah. Dua telah berumahtangga. Dua orang
yang lain bekerja di Johor Bahru. Kehidupan Haji Abas ibarat kapal di tengah
lautan. Sudah banyak timbul dari karamnya. Pelayarannya semakain mudah. Badai kemiskinan
beransur-ansur ditinggalkan. Pelabuhan impian sahaja belum disinggahi.
No comments:
Post a Comment