Tuesday, April 8, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Cinta Berpasang Indah



Bila kali terakhir kita bercinta? Semasa kegilaan remaja dahulu. Benar. Tetapi mungkinkah selepas itu kita jatuh cinta lagi. Dan lagi. Dan lagi. Jangan lupa bahawa ada orang lain yang tidak pernah bercinta. Tidak ada rasa cinta. Yang ada hanya kasih sayang. Dekatnya tidak dirindui. Jauhnya juga tidak dirindui. Biasa-biasa sahaja. Ada dan tidak ada serupa sahaja. Hidup diterima seadanya. Barangkali situasi sebegitu agak luar biasa. Orang dahulu kala mungkin begitu. Orang sekarang kebanyakannya bercinta. Ada yang bercinta sebelum berumahtangga dan ada pula yang bercinta selepas berumahtangga. Cinta menjadi resepi indah alam remaja sehingga ke jinjang pelamin. Atau sehingga berumahtangga.

Bagi mereka yang sudah berumahtangga, cuba pandang diri masing-masing. Lihat ke atas dan ke bawah. Pandang cermin lama-lama sedikit. Pandang pasangan yang selalu berada di hadapan mata. Masih ada rasa cinta? Bagaimana kadarnya? Semakin bertambah. Atau mendatar. Atau menurun. Atau tenggelam dan timbul ikut suasana. Anda di dalam bahtera yang melalui lautan luas. Tahu tepinya tetapi untuk sampai di tepi itu anda tidak tahu bila dan bagaimana. Atau di mana agaknya. Suami tetap menjaga kemudi. Isteri pula membantu semampunya. Lautan tenang atau bergelora sama sahaja pernannya. Masing-masing sudah ditentukan kedudukan dan natijahnya. Memahami peranan itu satu cerita. Mengerti cerita lain. Empati satu cerita yang lebih lain. Mencipta sinergi antara keduanya tentulah cerita yang lebih besar. Menjana kebahagiaan adalah dambaan keduanya.

Mungkin ramai tertanya-tanya akan cinta ini. Benarkah cinta hanya datang sekali. Yang lain hanya berahi. Semak semula siapa anda. Di kategori mana anda berada. Baik atau tidak baik atau setengah baik dan setengah tidak baik. Atau gabungan kesemuanya. Mengapa? Kita semua manusia biasa. Ada sifat-sifat tersebut. Pendidikan, kedudukan dan pengalaman memahirkan kita membuang yang buruk dan menimbulkan yang baik. Alhamdulillah. Masih jatuh cinta lagi? Alhamdulillah. Cinta itulah yang membuatkan kita hidup. Segar menjalani kehidupan. Masih besar mengharap harapan di hadapan. Kerana cinta kita bersama. Kerana cinta kita berkasih. Kerana cinta kita mendakap bersama. Kehangatan kebahagiaan yang berpanjangan sepanjang masa. Masih jatuh cinta lagi. Kenapa tidak. Kita masih memerlukannya. Kita masih mencarinya. Kita masih ingin dengan keberadaanya.

Terjemahannya berbeza. Realitinya berbeza. Agak luar biasa apabila lelaki tidak pernah bercinta lagi. Usia bukan halangan. Fitrah lelaki memang untuk jatuh cinta dan mencintai. Maaf, ini bukan cerita lelaki yang bersifat keladi. Ini realiti lelaki. Bukan juga cerita wanita yang hilang kewarasannya. Cinta singgah di setiap hati dan perasaan kita. Ia bertahta lama tetapi ada yang singgahsananya hanya sekejap waktu. Dalam hal itu cuba tinjau kembali perasaan kita sendiri. Bila kali terakhir anda jatuh cinta. Tidak mungkin zaman bercinta sudah berlalu. Allahyarham Agus Salim, seorang ulamak Indonesia yang tersohor selain dari HAMKA, masih berpimpin tangan dengan isterinya apabila berjalan. Sehingga hari tuanya. Sehingga saat-saat akhir usianya. Kepadanya ia sentiasa jatuh cinta terhadap isterinya.

Kita wajib jatuh cinta terhadap isteri sendiri. Begitu juga isteri jatuh cinta terhadap suaminya. Usia bukan penamat cinta. Rupa paras bukan dambaan cinta lagi. Sifat-sifat baru yang datang bukan menamatkan fitrah jatuh cinta. Tidak mungkin cinta hanya pada kulit yang gebu. Ketika gigi kuat memecah tulang. Ketika rambut kemas disisir. Ketika kaki kuat menendang, berjalan, mendukung dan berdiri lama kerana berkerja dan beramal. Ketika telinga masih mendengar yang seni. Ketika mata masih terlalu awas. Cinta juga menuntut usia. Tetapi cinta itu sematang usia. Seindah usia. Sebahagia masa yang dilalui bersama. Banyak kali jatuh cinta sesama pasangan adalah resepi yang memanjangkan usia itu sendiri.

Bagaimana boleh luntur rasa cinta. Bagaimana cinta boleh jatuh ke tangan orang lain. Bagaimana orang boleh mencintai orang yang beralih cintanya. Cinta itu datang dengan terpaan yang mengujakan. Ciptakan suasana sebaiknya yang boleh menggamit cinta dari pasangan masing-masing. Sayang yang tidak pernah hilang. Rindu seperti yang tidak kesampaian. Mengulit tidak mahu berpisah. Mencanda seperti memikat. Ada bisikan-bisikan berirama indah menghalwa telinga yang menunggu halusnya bahasa. Pandang matanya yang sayu merayu. Selami hatinya yang indah di dalam. Pandang rasanya cinta yang disimpan jauh di sudut hati. Yang membesar lalu tumpah mekar dalam layan dan kebersamaan. Buanglah sifat Melayu yang terlalu malu walaupun terhadap pasangan masing-masing. Buka bibir dan gerakkan lidah seberapa seringan yang boleh. Aku sayang padamu. Seperti dahulu yang diulang-ulang lagi. Dan lagi. Dan lagi. Tiada pasangan yang puas mendengarnya. Tidak kira berapa kali banyaknya.


Alangkah bahagianya jatuh cinta berulang-ulang kali. Mensyahdukan hati yang rindu. Terungkap indah bait-bait irama cinta itu sendiri. Rosaklah irama dan lagu jika cinta dilontar kepada orang lain. Jatuh kepada bukan yang wajar. Mencari kewajaran sendiri. Ada yang masih setia menunggu untuk dijatuhi cinta. Cinta yang bukan berjarak masa. Bukan berjarak jauh. Cinta, sayang dan rindu yang beriring setiap saat menghela nafas segar. Hidup dan menghidupkan. Semakin lama bersama sewajarnya semakin indah kisah cintanya. Semakin segar kebersamaannya. Lingkaran kasih itu menambat kuat. Melingkari seluruh apa yang ada. Di manapun kita berada cinta itu bertahta selamanya di hati. Dipupuk dan dibelai. Membahagiakan selalu. InsyaAllah. Berpanjangan hendaknya. 

Sunday, April 6, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Budaya, Bangsa dan Agama

Benarlah, banyak berjalan luas pemandangan. Kita keluar dari kotak lama kita untuk melihat kotak-kotak orang lain yang rupanya banyak perbezaan. Kedudukan geografi, iklim, suhu dan gaya hidup menyatu menjadi kebudayaan yang unik bagi setiap negara. Apabila ditemukan maka terbentuklah spektrum warna yang kemilau cantiknya. Menyerlahkan sesuatu yang indah, meriah, mesra dan santai. Sesuatu yang tentunya tidak pernah diduga. Tidak pernah diimpikan sejauh perjalanan penulis dan isteri mengembara mengisi masa berbaki dalam usia yang semakin sedikit. Alhamdulillah yang kami alami di luar jangkaan. Hasrat yang sedikit Allah anugerahkan dengan limpahan nikmat yang terlalu banyak. Berada di bumi anbia rupanya menjanjikan sesuatu yang sangat membahagiaan. Ada sahaja peristiwa yang menambahkan perbendaharaan kenangan. Suatu hari nanti banyak yang boleh diimbau. Yang boleh dijadikan pengajaran. Yang boleh dikongsikan. Kenangan di Bukit Tursina masih terimbau-imbau. Dakian yang membawa ribuan kenangan. Seorang Rasul berada di situ pada suatu ketika. Rasul ulul 'azmi. Kembara di Fayoum menemui menemui jejak seorang lagi Rasul ulul 'azmi iaitu Nabi Yusof. Minggu lalu dipertemuklan pula dengan budaya sesama Islam tetapi berbeza persembahan kehidupan masing-masing. Alhamdulillah. Syukur padamu ya Allah.

Kami ke Mesir untuk belajar Bahasa Arab. Hasrat besar tetapi tidaklah gah seperti untuk mempelajari bidang akademik yang lain. Peringkat sarjana atau kedoktoran. Ruang, kesempatan dan peluang yang Allah lorongkan melebihi dari apa yang kami usahakan. Kerana isteri penulis diperlukan menyediakan persembahan kebudayaan bersama pelajar Malaysia yang lain, rupanya penulis terheret sama terlibat membantu menyediakan material dan bahan-bahan lain yang diperlukan. Kalut juga pada awalnya. Makluman terlalu singkat. Hanya tiga hari sebelum hari jadinya persembahan itu. Ianya dipertandingkan pula. Penyertaan sahaja sudah dikira markahnya. Yang menang akan ditambah markahnya dalam peperiksaan. Persembahan pameran itu dikira sebahagian dari tugasan akademik. Namun begitu ruang pameran yang sempit itu diisi dengan padat. Yang dapat dilihat ialah suatu persembahan kebudayaan antarabangsa yang bergemerlapan. Kemilau dengan pancawarna. Adunan budaya yang berbagai. Citarasa yang berbagai. Gaya hidup yang berbagai. Kesemuanya keturunan Adam dan Hawa belaka. Menyebar dan membentuk budaya yang berbeza kerana berbeza tempat dan suasana. Dalam pameran ini kita seolah-olah berada di negara yang berbagai. Hati seperti diruntun untuk menjelajah lagi. Banyak bumi indah yang belum kita jelajahi.

Kebetulan yang terlibat ialah negara-negara di tengah Benua Asia dan di Timur. Cuba perhatikan betul-betul. Hampir kesemua mereka memiliki ciri wajah yang serupa. Penulis pernah ceritakan tentang tiga orang anak Nabi Nuh selepas redanya banjir besar pada zaman mereka. Sam berada di Timur Tengah dan ke Barat. Ham ke Afrika. Yapith ke Timur dari Turki hingga ke negara-negara Asia yang lain. Bermakna keturunan Yapith yang melaksanakan pameran kebudayaan di Markaz Nil tersebut. Sebab itu ciri-ciri wajah mereka hampir sama. Mungkin pembaca akan mengatakan ramai antara yang tergambar adalah orang Cina. Benar orang Cina adalah keturunan Yapith. Tidak hairan wajah mereka serupa. Memahami sejarah manusia ini memberikan keindahannya yang tersendiri. Kita lebih memahami bahawa kita benar-benar dari ibu dan bapa yang sama. Masa telah memisahlan kita dari segi politik dan ideologi. Barat pula telah mengagendakan supaya kita tidak maju. Sentiasa berpuas hati. Ditekan dari segenap penjuru. Mereka menjadi dajjal yang  berkeliaran. Yang lemah iman pasti terpedaya.  

Di sebalik kemeriahan dan pancaran warna di pameran antarabangsa ini penulis membuat sedikit pengamatan. Kita tidak kurang  dengan keindahannya yang tersendiri. Malangnya apabila kita keluar negara kita lupa khazanah kita. Yang kita bawa hanya diri kita sahaja. Kain baju seadanya dan makanan kegemaran kita.  Budaya kita kita tinggalkan di tanahair. Apabila diperlukan kita tenggelam punca. Rakyat Malaysia kaya dengan budaya dan hasil budayanya. Jika setiap orang berusaha membawa satu sampel budaya rasanya terhimpun suatu koleksi yang besar, gah dan mengkagumkan. Tidak perlu membina muzium tetapi koleksi yang berpadanan sudah mencukupi. Pelajar Malaysia di Mesir belasan ribu ramainya. Kita boleh membina koleksi yang sangat besar dan banyak. Bila-bila sahaja boleh dipamerkan. 

1     Sebagai koleksi.
2     Kajian budaya.
3     Perbandingan budaya.
4     Tarikan pelancongan ke Malaysia.
5     Menambah rasa syukur di hati dapat berkongsi dengan orang lain.

Warga Malaysia yang berada di Mesir, mari kita fikirkan bersama. Tambahkan lagi koleksi yang ada.



Berbanding dengan negara-negara yang lain pelajar Malaysia (rakyat Malaysia di luar negara) tidak banyak memikirkan peranannya sebagai duta negara. Mewakili negara di arena antarabangsa. Banyak hasil seni yang tidak dibawa bersama. Dalam pencarian itu dapat juga dihimpunkan beberapa item seperti songket, batik dan sebagainya. Maka terciptalah dua setanjak yang tidak sepertinya itu. Namun begitu ramai juga yang mencuba dan menyukainya. 

Dalam kedaifannya, berkibarlah juga dengan rasa syukur beberapa Jalur Gemilang sama ada yang besar atau yang kecil. Sempat mencari kompang untuk mengalu-alukan setiap kali pengadil datang pada tiap-tiap hari. Itulah acara sambutan ala Malaysia.

Yang ini gerai orang Turki. Di Kaherah (Mesir) barangan Turki sangat melimpah ruah. Rakyat Turki sangat ramai di sini.

Yang ini ruang dari negara Kazakhtan. Penuh dengan warna warni. Bermacam-macam yang berbagai dari pakaian, perkakas trumah dan makanan. Diserikan dengan cara mereka melayan tetamu.

Bertemulah dua budaya yang berbeza. Setanjak dan topi dari negara Kirghistan.

Bayangkan buai bayi ini dibawa ke Mesir oleh rakyat Turkistan.


Meja hidangan negara Kazakhtan.

Negara Kirghistan

Bidai seperti inipun ada. Dari Turki. Adunan warna mereka sangat menyerlah dan menarik. Suasana menjadi meriah.

Dapat juga mempamerkan bagaimana roti jala dibuat. Yang sedang makan ialah Pengetua Markaz Nil bahagian wanita. 

Kanak-kanak lelaki dalam pakaian tradisional negaranya, Kirghizistan.

Saturday, April 5, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Pengadil Pertandingan Kebudayaan Antarabangsa

Dalam kehidupan kita sehari-hari ada hal-hal yang di luar jangka pemikiran kita. Ia datang menerpa tanpa petunjuk yang jelas. Nanti, esok dan akan datang adalah kerja Allah. Kita sebagai hambanya menerima ketentuan dengan redha. Penuh dengan kesyukuran yang memanjang. Selagi ada nafas dan nyawa selagi itu kit amenerima ketentuan Allah. Menjalankan tanggungjawab dengan ibadat yang berbagai. Allah berfirman, 'Tidak Ku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu". Benarlah menuntut ilmu itu dari buaian hingga ke liang lahad. Dalam perjalanan waktu yang panjang itu banyak yang perlu dipelajari. Yang dijadikan input dalam hidup. Yang mewarnai kehidupan yang selamanya rindukan keindahannya yang tersendiri. Yang mencari kebahagiaan di sebalik sedutan nafas yang dihela panjang kerana nikmat Allah yang tiada hentinya. Pejalanan waktu seharusnya diisi dengan berbagai persediaan. Sebagai pengembara yang berkelana kita perlu banyak menyediakan bekalan yang bentuknya berbagai. Kita tidak hanya membawa jasad dan roh. Dalam roh itu sendiri kita isi dengan berbagai sudut yang berisi dengan berbagai.

Sesungguhnya pendidikan membantu kita mengembara jauh. Pelajaran membawa kita merentasi banyak ruang dan peluang. Ilmu membawa kita ke aras yang lebih tinggi dan lebih tinggi. Namun begitu ianya perlukan suatu garapan yang bijaksana. Kita bukan bersendirian dalam dunia nyata ini. Kita bukan hidup sendiri. Antara satu sama lain perlu memerlukan. Sumbang menyumbang. Bantu membantu. Ada sesuatu yang penulis pelajari dalam hal ini. Kadang-kadang ianya menjadi penentu siapa kita di mata orang ramai. Menjadi faktor yang meletakkan kita pada aras yang menasabah. Bukan tinggi dan bukan rendah. Bukan di tepi atau di tengah. Bukan di luar atau di dalam. Pendidikan, ilmu, pelajaran dan pengalaman menghimpunkan diri seorang individu tercanai dalam wadahnya yang tersendiri. Itulah kita siapa kita dan apa yang diharap oleh orang lain dapat kita lakukan. Bukan sahaja untuk diri kita bahkan juga untuk orang lain sama ada dekat atau jauh. Sama ada kenal atau tidak. 

Mungkin sukar dilihat atau dikenalpasti kesemuanya. Bahawa apabila kita memiliki sesuatu Allah menyediakan lorong dan ruang untuk kita kongsikan dengan orang lain.  Ada sahaja laluan yang mendorong kita ke hadapan untuk  memberikan apa yang ada. Menyampaikan apa yang boleh. Menyumbang apa yang sedikit. Kita tidak mungkin tahu perancangan tentang diri kita untuk hari-hari yang mendatang. Banyak masanya apa yang Allah hadapkan kepada kita menjadi surprise kepada diri kita sendiri. Allah letakkan kita di tempat itu. Dalam suasana itu. Dalam kesempatan itu. Kita berperanan dalam sesuatu kesempatan yang tidak terduga. Tetapi apapun yang datang insyaAllah dapat kita laksanakan kerana Allah selalu datangkan apa sahaja kepada kita dalam lingkungan yang mampu kita laksanakan.  Walaupun secara kasarnya ianya seperti suatu kepayahan namun akal dan pemikiran kita mampu mencari jalan penyelesaiannya. Memberikan kita laluan yang sewajarnya untuk menjayakan sesuatu tugasan manusia dengan izin Allah. 

Begitulah suatu episod dalam diri penulis di perantauan. Walaupun seboleh mungkin penulis cuba menyembunyikan identiti diri, diketahui juga status diri. Mereka tahu juga bahawa diri ini bekas pensyarah. Pernah bertugas di IPT. Secara tiba-tiba isteri penulis memaklumkan bahawa pengetua tempatnya belajar Bahasa Arab menjemput penulis untuk menjadi antara pengadil dalam pertandingan kebudayaan antara beberapa negara pelajar-pelajar tempatnya belajar. Setelah berfikir seketika, penulis terima undangan tersebut. Pada hari Rabu 2 April 2013 penulis dan beberapa tokoh dari Turki yang bertugas di Kaherah mengjadi pengadil dalam pertandingan tersebut. Walaupun persediaannya haya dalam beberapa hari namun kesungguhan menjayakan pertandingan sangat tinggi. Masing-masing ingin memberikan yang terbaik. Peluang dan pengalaman seperti ini kadang-kadang seperti tidak disangka-sangka.  Apabila kita renungi semuanya adalah ketentuan Allah. Kita tidak tahu. Cuma kita diperlukan menjalankan amanahNya dengan sempurna. Beribadat kepadaNya dengan penuh kesyukuran. Alhamdulillah. 

Selalulah bersedia dalam kehidupan ini. Banyak tugas yang diamanahkan manusia ke atas bahu kita. Amanah itu juga amanah Allah. Menyempurnakannya adalah wajib. Siapa kita akan terserlah juga di mana kita berada. Sebab itu kita jadikan diri kita permata yang selalu digilap. Elakkan jadi sabut yang timbul dan tenggelam menunggu pulau hingga terdampar. Jadikan diri kita pulau yang subur untuk ditumbuhi dan dihuni. Bermanfaat kepada semua makhkuk. Kayakanlah diri dengan ilmu, pengalaman dan mengambil kesempatan yang Allah sediakan di hadapan kita. Mudah-mudahan hidup ini lebh banyak warnanya. Lebih indah iramanya. 


Peserta dari Malaysia membuat setanjak yang rupanya digemari oleh mereka yang datang dari negara lain sama ada pengadil, pengunjung atau pelajar-pelajar dari berbagai negara.

Adat pengantin melayan tetamu dalam majlis perkahwinan mereka di negara Kazakhtan.

Penulis mencuba pakaian dari negara Kirghizistan.

Suasana dan warna yang meriah di gerai negara Turki.

Pengadil makan dan minum apa-apa yang disajikan sebagai sampel makanan dan minuman dari berbagai negara. Memang kenyang.

Mendengar taklimat dari setiap gerai. 

Seorang peserta dari Malaysia menghulurkan minuman kepada pengadil.

Pengadil dari Turki ini pandai bermain seremban.

Memang makan betul-betul. Bukan cuba-cuba. 



Thursday, April 3, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Ain Seilin Park


Setiap negara ada kelebihannya. Kadang-kadang unik hanya untuk negara itu sahaja. Setiap ciptaan Allah banyak gunanya. Dalam bentuk apa sekalipun ianya tetap berguna. Apabila sesuatu yang ada itu dimanfaatkan maka kegunaannya bertambah berlipat kali ganda. Fayoum penuh dengan kehijauan. Tanahnya subur. Tanaman menjadi. Sukar untuk mati kelaparan di tempat ini. Pada musim buah berbagai jenis buah dituai dan dihantar ke kawasan lain di Mesir. Kerana kemasyhuran Fayoum maka diadakan suatu tapak agro-pelancongan. Yang menonjol di sini ialah Ain Seilin. Kebetulan terdapat mata air yang dikatakan berkhasiat. Sayangnya sewaktu penulis sampai di sini baru sahaja hampir tamat musim dingin. sekarang musim bunga. Kebanyakan pohon buah sedang berbunga. Pada akhir musim panas nanti barulah buah-buahan memasak. Di Ain Seilin banyak pohon mangga. Mangga Mesir antara yang sedap tetapi agak mahal. Pada musimnya harga sekilogram mangga mungkin masih belasan Junaih. 



Jalan ke Ain Seilin Park. Sesekali bertemu bangunan berwarna-warni.

Kadang-kadang biasa-biasa sahaja

Sama seperti di tempat lain

Melihat banyaknya warna sudah cukup menceriakan hati dan perasaan. Perjalanan yang jauh tidak pula menjemukan. Warna pemecah rasa bosan.

Sukar melihat pemandangan begini di tanah air. Warna kita banyak yang semacam sahaja.

Ia bukan warna hijau atau biru. Warna lapisan filem cermin bas.

Jalan kampung. Pepohon tamar di kejauhan.

Sebuah rumah yang menyerlah warnanya. Kekuningan di padang pasir.

Rekabentuknya dari dekat. Kesenian Arab.

Ada tempat-tempat yang sibuk. Penuh dengan warna.

Menara masjid dalam dua warna. Bahagian atas adalah cermin bas yang berlapis filem warna.

Ini pemandangan biasa sama ada di kampung atau di bandar. Keldai itu terbeban. Penunggangnya lebih besar dari keldai. Menarik pula usungan di belakangnya. Bukan kosong tetapi berisi muatan. Untuk laju keldai ini selalu disebat dengan kuat di punggungnya. Sabarnya sangat tinggi. Tidak pula pendendam. Mengerti fitrah dirinya yang hina. Cukup untuk berbakti kepada tuannya hingga kudratnya berakhir,

Sesuatu yang menggamit kesegaran pemandangan. Warna di celah kehijauan kawasan di Fayoum. Lanskap Fayoum yang tersendiri.

Ada juga premis baru dibangunkan.

Ain Seilin Park. Perkataan Seilin kehilangan S. Pengurusannya sudah kehilangan kesegaran mengurus. Tanda-tanda pelancongan yang merudum.

Sebuah masjid baru dalam pembinaan

Bunga kertas ini banyak di Ipoh, Perak.

Nanti dulu. Tunggu yang lain.

Susun-susun

Sudah bersedia ke belum?

Mari-mari

Santai-santai dahulu

Mari bergambar dengan makcik

Jangan malu

Untuk kenangan

Rapat-rapat sedikit

Terasa sunyi

Seperti di Malaysia. Banyak bunga kertas.

Di belakang sekali ialah mata air yang airnya tidak memancut lagi. Revolusi mengakhiri tugasnya sejak dua tahun yang lalu.

Seronok berjalan di sini sambil menikmati kehijauan yang ada

Lorong ke bahagian hujung 

Dusun

Kali pertama jumpa pokok seperti ini di Petra, Jordan. Jumpa lagi di Mesir.

Pembangunan baru. Menanti pulihnya ekonomi dan pelancongan.

Bila kita tidak ada, yang tinggal hanyalah bayangannya.

Resort ini cantik. Bunga kertas itu cukup menawan. Rimbun, segar dan memerah suasana. Sayangnya resort ini tiada berpenghuni. Pengawalnya pun tiada.

Dari dalam memandang keluar

Refleksi

Hijau dan segar

Sembang-sembang

Ramai pengunjung pada musim buah

Pintu masuk ke Ain Seilin Park

Kosong kerana sekarang sedang musim bunga

Ain Seilin Park. Sebuah agro-pelancongan di Fayoum

Sebuah bangunan baru dalam pembinaan