Thursday, March 20, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Nabi Yusof, Fayoum Dan Kemajuan Pertaniannya

Ladang bawang yang luas. Isinya dalam makanan. Daunya untuk sayur. Setiap masa ada di pasar. Harganya pula murah.  


Fayoum jarang kita dengar namanya. Namun begitu nama Nabi Yusof sangat dekat dengan kita. Kembaranya yang menyayat hati dari sebuah perigi buta di bumi Sam (Jordan) hingga ke Mesir. Kisahnya digilai Zulaikha, ibu angkatnya sendiri juga memberikan banyak iktibar. Melalui kisah Nabi Yusof kita dibawa ke Mesir lama yang pemerintahnya tidak zalim seperti Firaun. Bahkan rajanya perihatin terhadap penderitaan rakyatnya. Mimpi raja tentang lembu kurus menelan lembu gemuk diterjemahkan oleh Nabi Yusof sebagai ancaman yang bakal datang ke Mesir. Kemarau selama tujuh tahun akan melanda Mesir selepas zaman mewah selama tujuh tahun sebelumnya.  Nabi Yusof dilantik sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap kesejahteraan Mesir dalam menghadapi bencana yang bakal menimpa Mesir. Mengurus pertanian dan khazanah negara yang berupa bekalan makanan.

Setelah mendapat perintah raja Mesir, Nabi Yusof memulakan kerja-kerja merangka pelan tindakan untuk menyelamatkan Mesir tujuh tahun dari tarikh tersebut. Allah mewahyukan kepada Nabi Yusof supaya membangunkan Fayoum lengkap dengan bandar pentadbiran, kawasan pertanian, sistem taliair, tempat simpanan makanan dan sistem kehidupan yang melaksanakan industri pertanian selengkapnya. Ketika itu dan hingga sekarang Fayoum kekal sebagai nadi pertanian negara Mesir. Di sini masih kekal dengan gandum, jagung, anggur, zaitun, mangga, bawang, kentang dan sayuran-sayuran lainnya. Termasuk juga perternakan dan perikanan. Semasa lawatan penulis,  kawasan ini dilihat sangat luas. Beribu-ribu hektar luasnya. Sedang menghijau segala yang ditanam. Kawasan luas kita-kira tiga jam perjalanan dari Kaherah ini mewah dengan sumber pertaniannya.

Padang pasir yang luas apabila diairi menjadi kawasan pertanian yang sangat subur. Allah memberi kebijaksanaan kepada Nabi Yusof untuk membina kincir air yang dapat dialirkan ke kawsan-kawasan pertanian. Bekalan air yan tidak pernah terputus itu melestarikan bekalan makanan yang juga tidak putus-putus. Gambaran mukjizat yang kekal hingga ke hari ini. Di sinilah kincir air yang paling awal dibina manusia. Air menyuburkan pertanian. Mengenyangkan keperluan perut dan kesihatan. Menyelamatkan bumi Mesir dari ancaman kebuluran dengan izin Allah. Pengajarannya sangat besar. Manusia tidak boleh lari dari pertanian yang berkaitan dengannya. Sumber alam semulajadi yang Allah bekalkan kepada manusia. Bagaimana manusia dididik supaya banyak berusaha. Banyak berfikir. Banyak mengharap rahmat Allah. Mensyukuri nikmatnya. Mensyukuri perlindungannya.

Bahawa jika sesebuah negara itu ingin maju dan terus maju maka sektor pertaniannya hendaklah dibela. Dimajukan. Diberi perhatian yang melebihi kewajaran. Darinya makanan dan sumber kekuatan sesebuah negara. Majulah sehebat mana sekalipun tetapi bidang pertanian tidak boleh diabaikan. Semua negara maju tidak mengabaikan pertanian walaupun kemajuan negara mereka hingga ke angkasa atau ke dasar laut atau ke dalam bumi. Perindustrian perkilangan adalah suatu cabang lain yang berdasarkan teknologi pembuatan. Pertanian juga perlukan teknologi tetapi dasarnya jelas. Memenuhi keperluan fizikal yang tidak ada komprominya. Fayoum memberikan gambaran jelas tentang perlunya membanyakkan sumber makanan. Sama ada untuk keperluan cukup makanan atau untuk eksport atau memenuhi keperluan negara dari segi perhubungan antarabangsa.

Suatu pengajaran besar yang sangat nyata ialah bekalan makanan untuk sesebuah negara perlu mencukupi untuk selama tujuh tahun. Petunjuk jelas ini tidak dipatuhi oleh negara-negara Islam. Rasanya tidak ada negara Islam yang sumber makanannya mencukupi. Hampir kesemuanya diimport. Negara Islam yang makanan ruji rakyatnya adalah beras mengimport beras dari negara bukan Islam. Negara Islam yang makanan ruji rakyatnya adalah gandum mengimport gandum dari negara maju di Barat dan Amerika. Kita dalam bahaya tetapi tiada siapa yang peduli. Sumber pertanian di negara Islam tidak dimanfaatkan untuk mempercukup bekalan dan sumber makanan untuk rakyat. Stok penimbal terlalu sedikit. Itupun tidak diberi perhatian yang serius. Kita mengambil ringan bahawa makanan boleh diimport. Makanan boleh dibeli.


Nabi Yusof telah mengasaskan pertanian yang masih bergungsi hingga ke hari ini. Kita telah maju dengan teknologi pertanian. Malangnya di negara Islam seperti negara kita kawasan pertanian semakin sempit. Semakin kurang. Semakin dibiarkan. Semakin kita biarkan untuk diisi dengan bangunan. Dengan kilang. Kawasan-kawsan baru tidak dibuka. Perancangan besar dan global tidak direncanakan. Hal-hal yang menakutkan sepatutnya mendasari hati kita. Kenapa tidak mencukupkan sumber makanan yang diperlukan. Kenapa tanah yang subur tidak dibangunkan. Kenapa teknologi tidak disemarakkan. Kita perlu maju ke hadapan tetapi dengan membawa agenda lama yang dibangunkan  teknologinya. Kita perlu makan maka sumber makanan perlu diperbanyakkan. Terus banyak dan semakin banyak. 


Di sebatang jalan di Kaherah. Perhatikan van di kanan gambar. Kebanyakan kenderaan kemik di sana sini. Dianggap biasa kepada mereka.

Masih di Kaherah


Sudah berada di kawasan Fayoum


Jalan menuju ke Fayoum

Jalan yang melalui sebuah kampung




Tasik Qarun. Seluruh harta benda Qarun Allah tenggelamkan sehingga kawasan ini menjadi tasik yang luas. Ada tasik lain yang berhampiran. Juga sebahagian dari Tasik Qarun. Keseombongan dan kengkuhan yang tiada manfaatnya. Segala-galanya milik Allah. Kesemuanya kembali kepadaNya. Kembali ke tanah. Tempat asal manusia.

Gandum sedang menghijau. Ditanam semasa musim sejuk. Sejuk mata memandang. Tanpa air kawasan ini adalah padang pasir. Teringat Malaysia dengan padinya. Seperti melalui jelapang padi di Kedah.

Sebuah bangunan yang mengesahkan ami berada di Fayoum

Kawasan pertanian yang menghijau

Laluan di tepi Tasik Qarun

Sebuah masjid di kejauhan. Nampak syahdu.



Bawang di celah-celah pokok zaitun


Bingkisan Dari Kaherah: Kincir Yang Menghidupkan Sebuah Bangsa


Banyak kincir air sepertinya pada zamannya. Di serata tempat di seluruh Fayoum. Teknologi telah mengubah peranannya. Sekaran kincir yang ribuan tahun usianya ini menjadi bahan sejarah. Diperbaiki dan disenggara dari masa ke semasa. Dikekalkan sebagai bukti bahawa al-Quran adalah benar.


70% bumi adalah air atau cecair. Semua yang bernyawa mengandungi 70% air. Maka air adalah sumber kehidupan yang utama. Barulah kita cerita mengenai tanah, api dan udara. Campuran sempurna keempat-empatnya membentuk fizikal insan dan bumi. Air mengawal kehidupan yang diharmonikan dengan pepejal fizikal, kehangatan dan udara untuk pernafasan terutamanya. Allah jadikan bumi kaya dengan tumbuh-tumbuhan. Bersamanya didatangkan haiwan di darat, unggas di udara dan hidupan air di laut. Kesemuanya menjadi manfaat kepada manusia dengan izin Allah. Ada yang memudaratkan. Tetapi kebanyakannya memberi manfaat. Sejak dari dahulu lagi manusia sudah berjinak-jinak dengan pertanian sebagai sumber makanan yang berpanjangan. Makanan ruji terutamanya. Mungkin gandum yang diproses menjadi tepung. Diolah menjadi kuih atau roti atau apa sahaja makanan kegemaran. Di Asia pula makanan rujinya nasi dari beras dan dari padi.

Pertanian dan air adalah gandingan sinonim. Di Mesir kawasan di sepanjang sungai Nil adalah kawasan pertanian yang subur. Di Fayoum yang terletak di selatan Kaherah adalah antara kawasan yang subur dari segi pertaniannya. Nabi Yusof menggerakkan usaha menjadikan pertanian sebagai keutamaan. Darinya datang bekalan makanan. Di Fayoum terlihat begitu luas kawasan pertanian yang menghidupkan berbagai hasil pertanian. Ada gandum, anggur, mangga, bawang, herba dan berbagai lagi sayur-sayuran. Padang pasir adalah kawasan yang kering dan kosong. Hujan di Mesir bukan seprti kita di Malaysia. Pada kebanyakan masa hujan hanyalah rintikan air yang turun setitik demi setitik. Gerimis kecil dan hanya sebentar. Mendungnya lama. Gelap langit. Namun hujannya sangat sedikit. Sangat mengujakan apabila turun hujan lebat.

Begitulah hujan yang dianggap rahmat. Ada air turun dari langit. Dari atas. Membasahi apa sahaja yang ditimpanya. Walaupun sebentar dan sedikit tetapi impaknya pada hati sangat mendalam. Orang di sini berdoa sepanjang-panjang hujan turun. Rahmat Allah diterima dengan doa kesyukuran. Berdoa sekehendak hati. Mudah-mudahan rahmat yang turun disambut dengan doa yang dipanjatkan ke hadrat Ilahi. Ada sesuatu yang unik di Mesir umpamanya. Hujan tidak lebat. Tetapi bekalan air tidak pernah terputus seperti kita di Malaysia. Alhamdulillah Allah membekalkan air yang tidak pernah putus. Sungai Nil sentiasa mengalir airnya sepanjang zaman.

Di Fayoum Nabi Yusof membina kincir air yang masih dapat dilihat hingga kini. Sesudah ribuan tahun masih ada buktinya seperti yang tersebut di dalam al-Quran. Usaha pertanian diteruskan dari generasi ke generasi berikutnya tanpa putus. Hasil pertanian di Mesir murah pula harganya. Semua rakyatnya boleh membelinya. Seikat daun bawang seberat hampit sekilo hanya RM1. Oren yang masak dan manis hanya RM1.50 sekilogram.  Di Malaysia sebiji RM1.50. Di sini hanya RM0.25 sahaja. Keladi RM1, keledek RM1.25, cabai RM1.25 sekilogram. Bunga kobis RM3.50 sebiji yang saiznya lebih besar dari kepala manusia. Pertanian dan pertanian. Terasa kuasa beli sangat tinggi sewaktu berada di bumi anbia ini. Pesara seperti penulis rasa segar berada di Mesir.

Kincir air dan Fayoum sangat harmoni. Air dari sungai dan taliair dialirkan ke kawasan pertanian. Kincir yang digerakkan oleh arus air sentiasa bergerak selama 24 jam sehari, tujuh hari semingu. Setiap detik ianya berpusing.  Menceduk air, menuangnya ke dalam tadahan lalu mengalir ke kawsan yang ada usaha bercuck tanam. Ada sistem yang mengawal air supaya sentiasa mencukupi keperluan sahaja. Tidak lebih dan tidak kurang. Ada takungan air atau petak-petak yang diguakan untuk mengawal aliran air. Sesuatu yang unik dan terancang. Nabi Yusof Allah anugerahkan sebagai jurutera pertanian, jurutera air, menteri pertanian, menteri kewangan dan berbagai lagi yang perlu untuk menggerakan usaha-usaha pertanian.

Pertanian bukan sesuatu yang remeh. Bukan sesuatu yang hina. Ia nadi kehidupan manusia. Nadi kehidupan sesebuah negara. Negara yang kaya dari segi pertanian lazimnya rasa lebih selamat apabila berlaku hal-hal yang menggugat negara. Rakyatnya cukup makan. Cukup tenaga untuk berhadapan dengan berbagai cabaran hidup dan cabaran keselamatan negara. Malang rasanya apabila bandar Alor Setar membesar maka sawah padi menjadi mangsa. Di atas sawah terbina pula rumah mewah, kilang besar dan kecil, rumah kedai dan sebagainya. Senerio yang sama berlaku di Melaka, di Selangor, Negeri Sembilan dan Perak. Penduduk semakin ramai tetapi sumber makanan semakin dikecilkan. Perhatian lebih kepada quick cash dan bukan sustanaible food supply.

Fayoum adalah sejarah besar umat Islam msejak dahulu kala. Industri pertanian sepatutnya lebih maju setelah belakunya Revolusi Pertanian dan Revolusi Perindustrian. Hakikatnya tidak begitu. Manfaat dari kedua-dua revolusi tersebut tidak diambil oleh orang Islam. Kerana itu kita terus menerus bergantung kepada musuh-musuh Islam untuk membekalkan makanan kepada orang Islam. Sehinggalah ada pemimpin yang tersedar dari lenanya. Pertanian akan disegarkan nilainya suatu hari nanti. Tetapi jangan terlalu lama. Umat sentiasa menanti dengan mulut ternganga dan perut yang kelaparan.
Berlatarbelakangkan sejarah Nabi Yusof. Kincir itu besar dan agung manfaatnya kepada rakyat Mesir. Melihat tinggalan sejarah sebegitu memberi keinsafan betapa besarnya usaha Nabi Yusof menyelamatkan Mesir dari kemarau. Tentunya dengan bimbingan Allah dan dengan izinNya.

Disinilah gunanya trigonometri dalam kalkulus. Dulu di sekolah belajar tentang tangen, sain dan kosain. Takungan air akan mula tumpah apabila tangennya mendekati sifar. Air itu mengalir melalui peparit yang dibina antara kincir. Mengalir masuk ke takungan air yang dibina berhampiran. Dari situ dialirkan ke kawasan pertanian yang memerlukan air.


\
Kereta kuda yang cantik masih mengiasi Fayoum. Sebagai tarikan pelancong. Sayang tidak punya masa untuk mencubanya.




Masih banyak yang dapat kami kongsikan bersama.




Di Bandar Fayoum



Sebatang jalanraya arah ke Kaherah. Kami dalam perjalanan pulang. Selamat tinggal Fayoum.


Wednesday, March 19, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Melapangkan Masa Tua



Bila sebenarnya kita merasa tua? Lazimnya apabila kita melepasi usia bersara. Sebelum bersara orang mengatakan kita masih muda. Maksudnya belum bersara. Itu sahaja. Sesudah bersara ada pula pantang larangnya. Jangan dipanggil tua. Ada yang melenting dan melatah. Dalam hati masih terasa muda. Semangat masih membara. Kudrat masih banyak. Begitulah tua dan muda sebenarnya hanya spektrum masa. Antara dua ekstrim yang berbeza. Bergantung di mana kita berada. Di mana pula kita ingin berada. Kita boleh jadi tua dan pada masa yang sama menjadi muda. Tiada siapa yang boleh menafikan bahawa usia kita memang sudah dalam lingkungan dikatakan tua. Erti tua itu sendiri yang selalu menjadi mainan minda.

Pada usia 60 tahun masih ramai antara pesara yang kelihatan lebih muda dari usianya. Tentu ada sesuatu yang menjadi petunjuk antara tua dan muda. Kita ambil suatu analogi. Rumah lama yang diperbaiki dan kemudiannya dicat selayaknya tentu kelihatan baru, segar, ceria dan menarik pandangan. Begitulah manusia. Banyak yang perlu disesuaikan dengan usia. Elok juga penulis kongsikan beberapa pandauan umum. Bukan semestinya sesuai. Lihat pada hati dan perasaan. Ukur pula kepada kemahuan diri.

Pakaian adalah lapis luar tubuh badan. Warna, saiz dan masa pemakaiannya menentukan apa akan jadi kepada orang yang memakainya. Warna yang agak cerah sedikit menampakkan perawakan yang agak lebih muda. Pakaian yang kemas dan rapi menunjukkan orangnya ranggi. Kebersihan dan padanan warna memperlihatkan gaya yang santai dan masih mendebarkan. Diharmonikan pula dengan kekemasan diri, pembawaan diri  dan laku yang terkawal semasa berhadapan dengan orang ramai. Pandai mengawal penampilan diri. Usia memang tua tetapi apabila dirinya dibawa dengan baik kelihatan tokoh yang masih boleh dibawa ke tengah dan ke tepi. Masih ramai yang tidak canggung untuk bersama. Boleh lagi didampingi oleh yang muda.

Hati, psikologi dan perasaan adalah antara unsur diri yang perlu dipelihara kesejahteraanya. Dibangunkan kesegarannya. Berfikir secara positif. Memperlihatkan tenaga yang gagah. Stamina yang berpanjangan. Dijaga kesihatan supaya nampak memang bertenaga. Apabila hati kita cenderung menjadi tua maka secara automatik kita menjadi tua. Hilang seri. Hilang keceriaan. Sifat keanak-anakannya terus lenyap kesemua sekali. Yang tinggal hanya kerangka yang layu. Lesu menanggung perasaan. Tidak ada maya. Tidak ada kesegaran. Kesemuanya kerana hati yang meruntun tidak mahu. Ramai orang yang usianya tua masih sibuk dengan sukan. Sibuk berpersatuan. Sibuk dengan aktiviti fizikal dan lasak. Ketawanya masih banyak didengar. Senyumnya terus menawan. Raut wajahnya terus bercahaya dan ceria. Sesiapa yang melihatnya terkena kimia mesranya.

Tua atau muda datang dari hati. Tenaga juga datang dari hati. Apabila kita jana tenaga dari dalam maka akan keluar keindahan pada raut wajah. Ringankan tubuh badan untuk bergerak. Berjalan dengan meringankan diri. Jangan diberatkan langkah hingga kelihatan terlalu susah membawa diri. Tubuh yang sebenarnya berat sekalipun jika diringankan cara bergerak akan kelihatan ringan. Dunia ini bukan tempat orang yang susah hatinya. Siapa yang tidak susah tetapi kesusahan itu bukan untuk dipamerkan kepada orang lain. Bukan untuk dikongsi. Jauh sekali untuk dipindahkan kepada orang di sekeliling kita. Kita tanggung susah kita sendiri. Santaikah diri supaya susah di hati terhapus sendiri.

Adalah wajar agar kita banyak aktiviti. Masa selama 24 jam jangan benarkan untuk hanya bermenung. Bukan untuk berehat panjang. Bukan untuk banyak tidur. Jika dimanfaatkan tentu tidak banyak masa lapang yang tidak berguna. Bagi yang aktif dengan persatuan tentu banyak yang boleh dibuat. Selain dari bermesyuarat kita ada aktiviti berfikir. Apa aktiviti yang perlu dijalankan oleh persatuan. Membuat lawatan. Membuat kertaskerja. Meninjau pendapat orang lain. Bertemu orang yang berlainan. Berada di tempat yang berlainan. Melakukan aktiviti yang rutin dan yang berkala. Kesemuanya ini menghindar dari sesak nafas kerana tua. Terelak dari tersisih kerana tua. Terbiar kerana tua.

Tiada siapa yang inginkan yang tua. Kita yang tua hendaklah keluar dari kotak pemikiran tua. Biarlah tua kita dilihat dari idea yang bernas. Siri idea yang  tidak pernah putus. Berkongsi pengalaman lalu. Turunkan ilmu yang ada kepada orang lain yang memerlukan. Kita tawarkan diri untuk dimanfaatkan oleh orang lain. Memanglah kadang-kadang seronok menjadi tua sendiri-sendirian. Tiada siapa yang mengganggu. Tetapi itu hanya untuk beberapa ketika sahaja. Hidup kita sebagai insan sosial perlukan ramai teman sosial untuk berbicara, berkongsi fikiran, membina manfaat sosial. Mungkin ada orang yang terus lari ke masjid dan surau. Elok juga. Tiada salahnya. Masa yang berbaki untuk menebus masa lalu yang banyak hilangnya. Namun begitu seorang profesiaonal tidak boleh terus mati ketika tuanya. Mati berfikir. Terus berhenti berfikir.

Banyak yang perlu disumbangkan kepada kejiranan kita. Masyarakat di sekeliling kita. Membuka laman baru untuk dikongsi bersama. Tidak ramai mereka yang bersara terlibat dengan menulis. Bayangkan banyaknya pengalaman peribadi yang terbuang. Biografi yang tersia-sia. Autobiografi yang jarang terungkap. Perkongsian yang tidak menjadi. Perpindahan pengalaman yang selalu tertangguh. Selalu kita dengar ungkapan negatif, ‘Aku dah tua!’ Jika itu yang dizikirkan memang kita terus tua dan hilang manfaatnya. Duduk pula di ceruk dan sudut. Bersama dengan orang yang tua-tua sahaja. Sayang! Ke mana hendak ditumpahkan kuah jika tidak ke nasi. Kepada mereka yang lebih muda. Yang memerlukan bimbingan. Memerlukan pandangan dan nasihat. Memerlukan ada yang mengawasi perjalanan mereka yang sepatutnya benar.


Untuk menjadi tua terlalu mudah. Usia kita adalah kriteria yang paling utama. Memberi erti kepada tua itu yang selalu dilepas  pandang. Bahawa kita hanya tua dari segi usia. Manfaat diri tiada batas usia. Semakin tua semakin banyak manfaatnya. Cuma yang perlu disedari kita perlu membuang miang keladi yang mungkin ada pada diri. Terkawal. Terlindung. Menjadi teladan dan sempadan. InsyaAllah tua bukan sebarang tua. Tua yang banyak tersusun manfaatnya. Tua yang banyak silau kemilau manfaatnya. 

Wednesday, March 12, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Bila Kembali Kepada Fitrah

Manusia mengetahui bahawa hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui. Malah mereka yang tidak beriman kepada Allah masih beranggapan di dalam diri mereka ada apa yang dipanggil God's Spot. Mereka yang menganggap diri mereka Atheis masih mengungkapkan istilah, "Oh my God!" Apabila terkejut. Dalam terkejut mereka masih teringat Allah. Dalam siuman dan waras mereka sengaja melupakan Allah. Setelah lebih 1,400 tahun Rasulallah meninggalkan kita ramai mereka yang mengatakan dirinya beriman terlalu lemah dan berjinak dengan musuh orang beriman iaitu syaitan dan suku sakatnya. Maka landasan Islam dan iman yang diasaskan oleh Rasulallah dirobak rabik menjadi tidak ada rupanya lagi. Kejernihan beragama tercemar kerana andaian yang terlalu memudahkan. Antara paganism dan animism bercampur aduk hingga tidak diketahui yang mana satu antara keduanya. Pun begitu ramai yang masih boleh menerimanya. Masih menganggap ianya dibenarkan kerana ada ungkapan dan mantera yang menyebut nama Allah. Aduhai.

Puluhan tahun dahulu Allahyarham Tan Sri Dr. P Ramlee telah mencipta lawak untuk menghibur. Semata-mata hiburan. Itu yang kita faham ketika itu. Selama ini kita mengulang tonton filem-filem P Ramlee dan tetap mengatakan semuanya sebagai lawak untuk menghibur. Berapa kali sekalipun kita mengulang tonton filem P Ramlee kita tetap ketawa. Tetap gelak kuat kerana lucunya berzaman-zaman. Tiba-tiba tanpa kehadiran P Ramlee lakonan lawaknya diulang lakon. Kita tetap ketawa kerana ianya bukan lawak. Sebaliknya ia adalah lakonan habis lakon yang langsung tidak relevan dengan seriusnya situasi yang kita hadapi. Ramai yang telah mengingatkan bahawa situasi yang genting ini perlu ditangani secara arif beragama. Bermunajat kepada Allah. Prosedurnya jelas. Rukun dan wajibnya jelas. Maka apabila dilakukan sesuatu yang bertentangan ianya bukan di atas landasan Islam. Benarlah sindiran P Ramlee mendahului zamannya. Berpuluh tahun kemudian kita melihat realiti masyarakat kita yang sebenar. Hilang pandai dan malunya.

Dalam media perdana kita selalu disogok dengan cebisan mereka yang alim tentang agama. Apabila seorang juruterbang profesional berbicara tentang kuasa Allah dunia jadi terpegun. Media beranggapan juruterbang profesional yang berpengalaman dengan peralatan canggih tentu bercakap mengenai dunia teknikal. Kita selalu akan terfana apabila mereka yang profesional bercakap mengenai sesuatu beyond sains dan teknologi. Melampaui batas kecanggihan buatan manusia. Dia mengajak kepada yang hak. Kembali kepada fitrah. Kembali kepada Allah. Merendahkan diri terhadapNya. Menyerahkan kembali diri kita kepadaNya. Pertolongan Allah sahaja yang kita perlukan ketika ini. Bukan lagi peralatan canggih. Teknologi sudah diperbatasan. Hanya Allah Yang Maha, dalam segala-galanya. Tidak ada yang lain.

Sesudah lima hari kita masih juga teragak-agak. Masih lagi bergayut dengan teknologi yang sudah diketahui daifnya. Memang kita tahu banyak kelemahannya.  Seperlunya kita menginsafi diri bahawa seluruh dunia menghimpunkan kecanggihannya. Bangsa yang menghuni angkasa berada di sini. Bangsa yang meneroka batas angkasa berada di sini. Segala satelit fokus kepada Malaysia. Segala alat digerakkan. Namun hakikatnya makhluk akan tetap kerdil. Tetap lemah. Itupun kita masih enggan kembali kepada Allah. Masih berkeras bahawa peralatan yang ada cukup canggih untuk menyelesaikan segala misteri. Kenapa tidak dari awal lagi kita menyedari kelemahan kita? Sejarah manusia terdahulu telah Allah paparkan di dalam al-Quran. Hayatilah kisah Namrud. Kisah Firaun. Kisah Jalut. Mereka hidup dalam kesombongan. Sewaktu mereka menerima hakikat bahawa diri mereka lemah semuanya sudah terlambat. Ketika nyawa sudah di kerongkongan.

Kecanggihan sewajarnya mengajar kita untuk lebih menginsafi kelemahan diri. Tidak ada kecanggihan yang bertaraf ultimate. Terlalu luas jurang yang bernama beyond.  Ilmu yang Allah beri kepada kita terlalu sedikit. Terlalu dan terlalu sedikit. Sangat sedikit. Sedikit dan sangat sedikit. Mungkin kita telah tersasar, kembalilah. Kita masih belum jauh dari yang hak.Yang diakui benar. Kita masih kenal iman dan Islam kita. Kembalilah pegang tali Allah yang Rasulallah tinggalkan untuk kita hingga hari Qiamat. Perjalanan kita masih panjang. Sebelum terlanjur lebih jauh kembalilah kepada al-Quran dan al-Sunnah. Itu sahaja petunjuk jalan lurus yang tiada pilihan lain. Kembali ke jalan Allah. Lebih mudah dan lebih jelas benarnya.

Tuesday, March 11, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Datang Dan Pergi Yang Selalu Berulang

Dalam kembara, kita tidak menemui hal yang sama sepanjang masa. Manisnya ialah kita menemui banyak yang baru. Yang lain. Yang bukan biasa-biasa. Nilai tambah untuk memperkaya diri ini disemadikan dalam ingatan. Setiap sesuatu yang baru adalah tambahan kepada yang sedia ada. Apabila kita membuka kotak pemikiran kita, kita nikmati sesuatu yang baru. Melihat yang baru. Mendengar yang baru. Menghidu yang baru. Merasakannya dalam hati dan naluri. Kerana kita melihat maka deria penglihatan kita menjadi tumpul. Begitu juga telinga kita tumpul pendengaran. Hidung kita tumpul hidu. Perasaan kita tumpul rasa. Segala-galanya kita serahkan kepada anggota yang dipaksa berfungsi. Naluri kita patah. Hati kita buntu.

Kita selalu berserah sahaja. Tidak mempertajamkan ingatan. Tidak menghidu dengan deria. Kita menghidu dengan pengalaman sahaja. Kebestarian menghidu tidak diasah secukupnya. Tidak seperti mereka yang hidupnya bersandar dengan deria. Seperti orang Red Indian umpamanya. Melihat bekas tapak kaki sudah diketahui siapa orangnya. Sudah berapa lama jejak itu. Sudah berapa jauh perjalanannya. Kadang-kadang dengan menyentuh bekas tapak kaki itu mereka boleh bercerita dengan panjang lebar siapa pemilik tapak kaki itu. Dengan menekap telinga ke tanah mereka mengetahui berapa jauh mereka berada. Berapa ramai mereka kesemuanya. Arah mana mereka berjalan.

Kita sebenarnya mencari manfaat atau memanfaatkannya. Kita mencipta manfaat atau setakat menggunakannya sahaja. Setiap sesuatu banyak manfaatnya. Bagi mereka yang berfikiran lateral, sesuatu tidak dilihat sebagai objek yang terlalu fizikal. Menjadi terlalu jumud, beku dan kaku. Banyak aspek yang  tersurat atau yang tidak terlihat di sebalik sesuatu yang fizikal. Tentunya suatu pertemuan banyak maknanya. Suatu perkampungan banyak manfaatnya. Suatu titik masa yang dikongsi bersama. Suatu perhentian yang menghimpunkan fikrah dan fitrah suatu pertemuan.

Tidak ada sesuatu yang kekal selamanya kecuali di tempat yang dijanjikan sebagai abadi. Abadan abada. Yang lainnya hanya bersifat terlalu sementara. Mungkin beberapa detik. Atau mungkin beberapa hari. Jika ada kimia dan ada tali silatulrahim pertemuan biasa-biasa boleh berpanjangan yang mengindah hidup untuk jangkamasa yang lama. Apatah lagi jika kita mencipta guna. Mencipta nilai. Mencipta manfaat bersama. Kadang-kadang sesuatu yang dilihat terlalu kecil dan seni memberikan impak kepada diri. Membalut diri untuk selalu ingat. Memayungi diri untuk sentiasa berlindung. Bernaung dengan sesuatu yang manis dan berwarna-warni.

Hidup kita perlu banyak irama indah. Lagu rindu untuk mengepak ke hadapan. Warna berpanca untuk mencantikkan setiap langkah yang maju ke masa tambahan dalam hidup. Warna dan irama yang seiring itu memberikan cahaya untuk memacu diri dengan herga yang lebih bernilai tinggi. Semakin lama semakin sarat. Semakin lama semakin banyak warnanya. Semakin tajam iramanya. Gabungan harmoni antara kesemuanya menjadikan kita dilimpahi aura yang berkilau. Ianya dicipta dengan izin Allah. Tidak datang sendiri tanpa dicari.  Apabila tiba saatnya semua yang terhimpun akan terpisah juga. Ada laluan terasing untuk setiap antara kita. Tidak semua orang jalannya sama. Destinasinya cukup berbeza.

Drebar bas ini membawa kami ke Sinai. Besar peranannya. Setiap seorang ada peranan yang dimainkan supaya hal-hal yang terasing diharmonikan menghasilkan suatu keindahan pengalaman yang terbina dengan sendirinya. Tidak ada yang berjaya sendirian. Kerja berkumpulan perlukan sumbangan. Lebih besar lebih baik. Paling tidak menghargai penat lelah orang lain. Jika kita yang ditugaskan belum pasti kita dapat melaksanakan tugas kita dengan lebih baik. Sebab itu menghargai perana orang lain cukup mendamaikan hati kita sendiri.

Tidak mungkin bas yang sebesar ini untuk kita seorang sahaja. Kita kongsi bersama. Secara individu mungkin kita tidak mungkin sampai di tempat ini. Tentu kita rasa kurang selamat dalam keadaan seperti sekarang. Kebersamaan adalah suatu anugerah Allah. Setelah kembali ke Malaysia nanti pastinya semua ini adalah kenangan indah. Kenangan manis.

Seorang lain pemandu yang memainkan peranannya. Dalam kerja berpasukan setiap ahli ada peranannya yang tersendiri. Kita perlu menghargai peranan orang lain. Bukan skala peranan itu yang dinilai. Cukup sekadar bahawa dia ada peranannya yang tidak terpisah dari peranan orang lain.

Bantu membantu perkara biasa yang digalakkan. Yang membantu ceria. Yang dibantu bersyukur. Yang melihat tumpang seronok.

Sekejap kita berkampung. Sekajap lagi kita berpisah. Adatnya begitu. 

Berkampung dan berpisah adat manusia biasa.

Mungkin 10 atau 2 tahun dari sekarang gambar ini dijengah semula. Flashback itu akan datang. Bahawa kita pernah bersama.

Saat-saat hendak mula berlepas.

Sembang-sembang dahulu sebentar.

Sementara boleh bersama.

Bila lagi dapat bersama begini.

Monday, March 10, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Di Sini Nabi Musa Dan Bani Israel Tiba Dari Seberang Laut Merah


Kami singgah di sini sewaktu sudah Maghrib. Nampak gelap sedikit gambar-gambar yang diambil. Tempat ini juga cukup besar dengan sejarahnya. Di tempat inilah Nabi Musa dan kaumnya berehat setelah berjaya menyeberangi Laut Merah. Cuba kita bayangkan dalam kotak pemikiran kita. Pada suatu ketika suatu kaum yang ramai bilangannya menyeberangi Laut Merah. Mereka berlumba-lumbaan. Berjalan tergesa-gesa. Dalam takut dan debar hati. Cemas yang bersilih ganti. Di belakang mereka Firaun dan tenteranya yang ramai dan lengkap dengan senjata. Sekiranya tentera Firaun berjaya mengejar Nabi Musa dan kaumnya pastinya ramai yang terkorban. Firaun ingin menghapuskan Bani Israel ketika itu.

Ketika sampai di tepi pantai Laut Merah tentulah Bani Israel ketakutan yang amat sangat, Di hadapan mereka air dan laut yang luas. Tidak mungkin termampu menyeberanginya. Seolah-olah maut sudah sampai pada saatnya. Di belakang mereka pula ialah Firaun dan tenteranya. Menanti ketibaan mereka bererti mati juga kemungkinannya jika sudah sampai ajal. Fikiran logik kita tentu merumuskan bahawa  pilihan sudah tidak ada. Ketika dalam keadaan sepert inilah kita selalunya terperangkap dalam permainan syaitan. Kita hilang punca. Hanya berteriak ketakutan sedangkan pertolongan masih ada lagi. Harapan masih ada lagi. Kita masih ada Allah. Seperti kata Rasulallah kepada Abu Bakar: Jangat takut, Allah bersama kita. Dialognya dalam Bahasa Arab lebih menusuk. Intonasi suaranya memujuk. Harapannya memuncak. Itulah dialog Gua Thur. Gua terkenal dalam sejarah penghijrahan Nabi.

Orang yang beriman tidak boleh putus harap. Kita masih ada Allah. Allah sentiasa membantu mereka yang beriman kepadaNya. Nabi Musa diperintahkan memukulkan tongkatnya ke tebinv Laut Merah. Kun fayakun. Terbelahlah Laut Merah. Terjadi laluan yang boleh dilalui. Air memisahkan dirinya seolah-olah dibina tembok menghalangnya dari bercantum. Ada yang mentafsirkan bahawa belahan itu sebanyajk 12 iaitu untuk 12 suku Bani Israel menggunakan setiap satunya secara berasingan. Mengasingkan suku dan pada masa yang sama mempercepatkan larian. Sampailah mereka di seberang Laut Merah. Apabila mereka menoleh ke belakang kuasa Allag terjadi. Air laut yang tadinya terasing bercantum semula. Allah Maha Berkuasa. Lemas Firaun dan bala tenteranya. Janji Allah itu benar. Hingga sekarang jasad Firaun masih boleh dilihat. Manusia biasa yang memiliki sedikit kekuasaan lalu menyombong dan mendakwa dirinya Tuhan. Dunia pinjaman yang tidak kekal selamanya.

Tiba di pantai yang selamat Nabi Musa dan kaumnya berkampung di situ. Lega dari ancaman yang menggerunkan sebentar tadi. Sumber air digali dari beberapa perigi. Dikatakan terdapat lapan perigi di situ. Tiga masih boleh dilihat. Yang lainnya sudah ditelan zaman. Setiap hari tempat ini penuh dengan pelancong dari berbagai bangsa dan dari berbagai agama. Carita Nabi Musa bukan hanya cerita Islam tetapi juga cerita Kristian dan Yahudi. Juga cerita manusia yang menentang kezaliman.


Tempat ini dikenali sebagai Kolam Nabi Musa. 

Mega masih ada lagi. Tetapi sudah gelap. Raman senja yang dingin ketika itu. Musim dingin di penghujungnya.



Ada yang menyampaikan taklimat.

Berlatarbelakangkan Laut Merah. Ufuknya jingga. Persekitarannya kelam menjelang malam.

Kenang-kenangan berdua. Tempat ini sejarah bagi kami. 

Antara kolam yang masih ada. Tiga kesemuanya. Lima yang lain telah luput tempoh gunanya. Mungkin sudah tertimbus.

Sebelum meneruskan perjalanan bergambar dahulu sebagai kenang-kenangan. Bagi penulis dan isteri rasanya tiada kali kedua untuk sampai di tempat ini. Di Selatan Sinai. Awal dan terakhir. Allah izinkan kami berada di sini. Menjejak RasulNya yang bernama Musa. Rasul dalam kumpulan Ulul 'Azmi. 

Bingkisan Dari Kaherah: Sharm El-Sheikh Kali Kedua

Perjalanan hidup kita ini sebenarnya sangat panjang. Sangat sangat panjang. Kita selalu hanya mengira yang sedikit. Yang panjang terlindung dek keasyikan kita dengan dunia. Dengan kealpaan. Dengan nikmat yang fana. Andainya anda berusia 25 tahun maka angka 25 tahun itu terlalu sedikit. Hanya 25. Jika dikira mengikut bulan maka usia anda 300 bulan. Secara mingguan pula 1,300 minggu. Secara hari maka usia anda menjadi 9,125 hari. Dalam jam pula 219,000 jam. Dalam minit 13,140,000 minit. Dalam saat 788,400,000. Pernah terfikir dalam usia 25 tahun anda telah menghabiskan 300 bulan yang bernilai 1,300 minggu yang bernilai 9,125 hari yang bernilai 219,000 jam yang bernilai 13,140,000 minit yang bernilai 788, 400,000 saat.

Kita di negara yang masih maju mundur mengira kesemuanya dengan tahun dan bulan. Angka-angka yang kecil tetapi bernilai besar dibuang jauh-jauh. Tetapi tetapi di negara maju yang dikira bukan lagi minit. Mereka mengambilkira pecahan-pecahan saat. Perseribu atau persejuta. pelumba lari pecut seperti Usain Bolt lariannya dikira hingga perseribu. Seperti angka 9.763 saat. Sebab itu negara maju bercakap mengenai quantum leap. Bukan jump. Mereka melonjak jauh bukan setakat melompat. Kerana kita asyik dengan tahun dan bulan maka kita jauh di belakang. Tertinggal dalam serba banyak perkara. Kita selalu bercakap mengenai paradigm shift tetapi realitrinya masih elusive dari jangkauan pemikiran kita. Kita kekal bergerak ke hadapan sedangkan orang lain melompat dan melompat tinggi dan jauh. Tinggi dan jauh. Semakin tinggi dan semakin jauh.

Terlalu banyak paradox yang sukar dikikis dari ego-centric yang menghantui pemikiran kita. Kita ingin maju tetapi prasarana yang ada menyekat ke arah itu. Facilitation kurang. Semakin ramai anak-anak seperti Adi Putra yang akhirnya menjadi manusia biasa yang nilainya merosot jauh ke bawah. Penulis ingatkan kisah Hang Nadim hanya pengkisahan sejarah ketika orang Melayu sangat terkebelakang pemikirannya. Rupanya Hang Nadim seperti Adi Putera masih berada dalam sejarah semasa. Nasibnya juga tidak baik. Pintu-pintu kotak di sekeliling kita tidka dibuka untuk orang lain keluar atau masuk. Kotak yang ada tidak membenarkan orang lain masuk. Kita pula tidak keluar dari kotak yang sama. Banyak perkara yang perlu difikirkan dalam perjalanan yang jauh dalam membina negara. Membina diri. Membina segala-gala yang kita hasratkan. Fikirkan dalam-dalam.

Perjalanan yang jauh terasa jauh sekiranya dirasa-rasakan jauh. Perjalanan ke Tursina dan kembalinya memberi ruang untuk berfikir. Mengisi ruang-ruang kosong dalam pemikiran. Jika diisi masa dengan hal-hal yang mengasyikkan maka perjalanan itu menjadi tidak terasa. Sebagai pelancong lazimnya kita banyak melihat-lihat. Berhenti di tempat-tempat tertentu. Mungkin juga untuk melepaskan lelah. Perjalanan terus selama 12 jam tentu melenguhkan. kaki tergantung-gantung. Darah pula tersekat perjalanannya. Bila turun dari bas terhuyung-hayang. Jika semasa dalam perjalanan ke Bukit Tursina kami menyusuri pantai bandar Sharm El-Sheikh dalam perjalanan pulang pula kami mengambil jalan di bahagian tengah bandar. Berhenti sebentar untuk menjenguk-jenguk bandar ini. Di kawasan membeli belah.

Sebagai bandar pelancongan yang tersusun dan baru barangan pelancong memang banyak. Berbagai-bagai barang. Seperti juga di Dahab, pelancong di pekan ini juga sangat berkurangan. Kedatangan dan persinggahan kami meramaikan sebentar bandar ini selama sejam. Adalah juga beberapa barang yang dibeli. Paling banyak tentulah makanan dan minuman. Perut sentiasa lapar dan tekak hausnya menjadi-jadi. Pada hakikatnya diri kita sentiasa lapar. Malangnya kita selalu fokus kepada perut sahaja. Banyak kelaparan yang tidak diberi layanan saksama. Kita lapar ilmu. Lapar maklumat. Lapar keindahan berseni dalam bermasyarakat dan bermuamalah. Lapar nilai tinggi banyak perkara dalam membina kehidupan yang bertaraf tinggi. Dengan kos sara hidup yang rendah. Menikmati segala keindahan, kebahagiaan dan kesejahteraan.

Kita banyak santai. Selalunya orang akan santai setelah berpenat lelah kerana bekerja. Penulis telah hampir 13 tahun bersara sejak 23 Julai 2001. Masih sukar untuk mencari ruang santai. Jika tidak mengisi ruang maka ruang yang mengisi kita, Ketika ruang mengisi kita tidak ada apa yang menjadi nilai lagi. Akan ada hanya kekosongan yang mengosongkan. Kulit hanya membalut kekosongan itu.

Seperti ruang kosong ini tanpa makna dan nilai. Bukan peniaga atau usahawan yang memberi nilai dan warnanya. Pelancong yang mengisi ruang ini yang tinggi nilainya. Keberadaan tempat dan ruang ini memberi impak ekonomi. Perhubungan antarabangsa. Nilai tambah dalam membina negara.

Sebagai pelancong kita hanya lalu sebentar. Singgah sebentar. Kita tidak mewarnai selama-lamanya tempat ini. Pemimin dan kepimpinannya yang perlu memikirkan. 

Di negara Arab menara seperti ini terlalu biasa. Yang tinggi dah gah mungkin tidak sebanyak yang kita jangkakan. Namun yang rendah dan kecil banyak di merata tempat. Apabila tiba waktu solat berkemundang azan dari berbagai arah dan celah bangunan. Menunaiukan solat bukan kepayahan. Di tepi-tepi jalan pemandu kenderaan berhenti membentang sejadah lalu solat. Menunaikan tanggungjawab terhadap Allah. Bukan kepada manusia.

Biasalah dalam perjalanan ada juga penantian. Ada yang menghabiskan waktu. Yang lain pula tidak cukup waktu. Ada juga yang waktunya tertunda.

Sebenarnya dalam apa jua keadaan sentiasa ada hikmahnya. Dalam menunggu berkenal-kenalan dengan sahabat baru. Ada cerita baru.

Sentiasa ada perkongsian suasana dan waktu. Dalam keadaaan lain mungkin suasana seperti ini tidak tercipta.

Sebahagian dari serokan di Sharam El-Sheikh.

Bot dan kapal berlabuh. Menunggu pelancong untuk menyelam dan bermain air. Terus menunggu sehingga industri pelancongan dapat dipulihkan.

Sebahagian dari Laut Merah.

Sukar menentukan warna merah yang sebenarnya. Mungkin air kotor yang mewarnai tepian pantai dilihat merah dari kejauhan. Hakikatnya belum lagi diketahui.