Tuesday, March 20, 2012

Rezeki Anak-Anak Dalam Perantauan

Saya ke US membawa lima orang anak. Rasanya seperti ramai. Ada keseronokan dan ada juga permasalahannya. Walau bagaimanapun semuanya terurus secara pentadbiran. Bukan masalah besar. Memang secara logiknya agak sukar membawa lima orang anak. Sementelahan pula tiga yang kecil baru berusia lima, tiga dan setahun. Yang sulung ketika itu 12 tahun dan yang kedua 11 tahun. Yang besar boleh diharap membawa diri. Cuma bila sampai di US ada suara sumbang yang tidak enak didengar. Kononnya anak yang lebih 12 tahun akan dikenakan tambang sendiri. Saya pasrah. Jika kena tambang, bayarlah. Pengalaman seumur hidup untuk anak-anak. Sesekali keluar belanja berbaloi juga. Pengalaman yang hanya sekali itu tentu mahal harganya. Nilainya melebihi wang ringgit. Bukan mudah mendapat rezeki anugerah Allah sebegitu. Biasiswa yang meliputi tanggungan untuk isteri dan anak-anak. Cukup untuk sewa rumah dan makan minum. Belajar dibayar. Perjalanan dibayar. Ada elaun-elaun tambahan. Alhamdulillah.

Saya merisik-risik. Dengar perbualan rakan-rakan. Untuk kembali ke Malaysia ada dua alternatif. Pertama mengundur semula mengikut perjalanan sewaktu datang dahulu. Ke Honululu, Tokyo, Taipei, Hong Kong, mungkin Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur. Keduanya pulang melalui London, Frankfurt, Dubai dan Malaysia. Perjalanan itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia. Wow! Ikut manapun percuma. Sebahagian dari biasiswa kerana keluar negara. Maka beranganlah saya singgah di London. Kota yang gah saya dengar sejak dari zaman kanak-kanak dahulu. Sejak tahu membaca. Sejak diceritakan orang Melayu bahawa dulu bosnya Mat Saleh. Dari London. Orang putih yang cakapnya banyak s. Ada sahaja di hujungnya yang berbunyi s. Ramai orang Melayu yang mengajuk snya sahaja. Butir perkataannya tidak diketahui. Jadilah mengajuk sana mengajuk sini. Yes no alright thank you. Itupun sudah dikira tahu cakap orang putih. London, kota tuan-tuan penjajah dahulu. Tidak lagi tergambar apa yang ada di sana. Maklumlah anak kampung yang baru terbang mengepak sayap. Entah di mana hinggapnya.

Saya hubungi Malaysian Students Department (MSD) di Kedutaan Malaysia di Washington. Saya nyatakan hasrat saya. Tiada masalah bagi mereka. Semua butiran diri saya ada pada mereka. Tentukan tarikh perjalanan sahaja. Nyatakan berapa hari hendak berada di London. Itu sahaja. Tidak ada lain. Tidak ada. Senang sangat. Ini yang selalu memeningkan kepala. Sukar mendapat maklumat yang benar dari rakan-rakan pelajar. Hatta dari yang senior sekalipun. Selalu sangat mendapat maklumat sekerat-kerat. Banyak yang salah pula. Sebenarnya saya banyak belajar. Untuk mengetahui maklumat yang sebenar hendaklah mendapatkanya dari sumbernya yang sahih. Dari puncanya. Dari tempat asal maklumat itu boleh diperolehi. Jika ditanya dari sumber lain maka selalu maklumatnya tidak tepat. Banyak perbezaan yang menyulitkan jika tidak diperbetulkan.

Begitulah saya mendidik pelajar saya. Kadang-kadang mereka mendapat maklumat dari rakan-rakan mereka. Sebagai pensyarah saya tahu maklumat itu tidak benar. Mungkin tarikhnya tidak menasabah. Mungkin bunyinya melanggar dasar. Melanggar AUKU. Akta Universiti dan Kolej Universiti. Mungkin memang tidak ada dalam perancangan. Malangnya berita dan maklumat seperti itulah yang pelajar selalu dengar dan dipercayai. Dalam pengurusan selalu disebut sebagai grapevine. Begitulah besarnya tanggungjawab pendidik untuk membangunkan kognitif, afektif dan psikomotor pelajar. Ramai orang yang pandai apabila dilihat sekilas padang. Yang selalu ditemui sebenarnya ialah orang-orang yang kurang rasional kerana tidak mendidik kognitifnya. Jalan fikir yang tidak tersusun. Tiada urutan. Hilang sekuen. Tidak selari. Akhirya celaru. Besar tanggungjawab pendidik untuk membangunkan modal insan yang berwibawa pada masa hadapan. Didik mereka supaya memiliki daya fikir yang melampaui masa. Melampaui kekuatan yang ada. Jangkauan yang jauh merentasi masa hadapan yang tiada kepastian. Merancang dengan izin Allah.  

Rezeki anak-anak barangkali saya dan keluarga dapat nantinya melihat London. Angan-angan yang boleh menjadi kenyataan. Saya teringat kata orang tua-tua. Penuhkan ilmu di dada. Ke mana pergi akan selamat. Pasti, asalkan ilmu itu berguna dan memberi impak positif. Jika sebaliknya pasti juga tidak selamat. Saya kembali teringat sewaktu kecil di kampung dahulu. Rumah limas orang Jawa yang dibina almarhum datuk saya waktu itu. Rumah beratapkan rembia yang selalu diterbangkan angin. Yang selalu koyak. Yang cepat buruk. Yang menitiskan air hujan kerana tirisnya. Rumah tinggi untuk mengelak banjir. Berdindingkan kulit kayu yang banyak lubangnya. Tidur lena di lantai batang pinang yang banyak berbenjol-benjol. Berjalur-jalur belakang badan bila bangun dari tidur. Anak kampung yang tidak pernah mimpi untuk mengelilingi dunia. Merentas benua dan lautan luas yang megufuk jauh. Zaman itu bersekolah kebangsaan hanya untuk tahu tulis baca. Mana ada gambaran masa hadapan yang dirancang. Beruntunglah orang-orang yang duduk di bandar-bandar besar. Banyak yang mereka lihat. Yang mereka baca. Yang mereka dengar.

Maaflah. Guru-guru di sekolah luar bandar ketika itu tiada juga jauh ke hadapan world viewnya. Ramai hanya mahukan anak-anak didiknya menjadi guru sekolah Melayu. Tamat darjah enam jadi guru normal. Belajar di hujung minggu selama beberapa tahun. Kembali mengajar di pedalaman. Dalam kesukaran yang melampaui keadaan. Berbasikal jauh. Lecak dan lopak sudah lali diredah. Pengorbanan yang sukar dibilang nilainya. Jalanraya tidak ada. Jalan-jalan kampung dan denai yang tidak mempunyai rupa. Kotor, becak dan sukar dilalui. Tanyalah guru-guru sepertinya yang masih hidup. Tanyalah air mata yang banyak mengalir kerana pengorbanan itu. Yang mengajar di kampung benar-benar menginsafi kampung itu. Sebulan sekali ke bandar mengambil gaji yang tidak seberapa. Dapat tunai dari pejabat kerana bank bukan lagi budaya. Dengan tunai yang sedikit itulah ringgit dihulur kepada orang tua. Menghidupkan diri dan keluarga. Lingkungan keadaan yang memaksa begitu. Sesudah merdekapun saki bakinya masih banyak dirasa. Sukar membuang kebiasaan. Membuang amalan. Tinggallah anak-anak kampung dalam “kegelapan ilmu”. Kegelapan dunia.

Anak-anak bandar berlumba-lumba menggapai awan. Anak kampung seperti saya hanya parit dan sungai yang diredah. Hanya semak dan belukar untuk memikat burung. Hanya pokok dan pohon untuk memetik buah. Makan hanya ikan masin kering dan sayur dari sekeliling rumah. Seluruh kampung adalah kebun sayur-sayuran. Tumbuh sendiri. Rezeki dari Allah. Bila hendak memasak pusing keliling. Pilih yang mana hendak. Jantung pisang. Pucuk ubi. Pucuk manis. Pucuk pakis merah. Pucuk pakis perak. Batang keladi. Sulur keladi selatah. Umbut. Cendawan busut selepas hujan. Cendawan krikit di batang pokok getah tumbang. Begitu juga pisang kapas muda. Daun labu dan buahnya. Kadang-kadang keledek. Meranti juga banyak di belukar di hujung kampung. (Pada tahun 60an kampung saya masih banyak hutan). Kacang panjang dan peria yang ditanam bersama petola. Semuanya segar. Segera dari pokoknya. Baru dipetik. Tiada racun serangga. Tada racun perosak. Tiada kebimbangan walau sedikitpun bahawa sayur-sayur itu memberi mudarat. Sebaliknya enak dan selamat.  

Ikan masin menjadi makanan ruji bersama nasi. Bagi yang rajin banyak lauk dari alam anugerah Allah yang boleh dicari. Mengail bukan perlu pesta joran seperti sekarang. Orang memancaing ikan besar dan berat untuk mendapat habuan yang besar dan mahal. Zaman dahulu itu orang memancing untuk makan. Untuk mengisi perut. Untuk kelangsungan hidup. Untuk menghidupkan generasi. Dengan kail buatan sendiri. Kayu dan ranting buluh. Dengan tajur dan lukah. Temburu yang membujur. Sauk dan jala. Ikan dan udang di parit kampung saya cukup banyak. Keli dan baung ada. Tapah dan haruan banyak. Udang galah galak bermata merah waktu malam. Begitu juga ikan lais, seluang dan keli. Bila air pasang banyak ikan dari sungai mudik ke parit. Bila musim hujan maka baung dan tapah mudah didapat. Tajur selalu mengena. Lukah selalu berisi. Temburu sarat dengan ikan dan udang.

Makanlah ikan dan udang itu. Goreng, gulai, sambal, pecal atau masak apa sahaja ramuan mengikut selera. Udang pula selalu tidak banyak ditangkap. Tidak cukup untuk dimakan seorang seekor. Selalunya kami buat botok-botok. Tumbuk udang hingga lumat. Gaul dengan kelapa parut bercampur bawang, garam dan cekur. Kencur kata orang Jawa. Pada zaman itu semuanya enak belaka. Teringat juga saya akan udang hitang tanah gambut. Oleh kerana air gambut itu hitam maka udangnya hitam juga. Banyak sebesar ibu jari. Bila digoreng merah juga seperti udang yang berkulit putih. Seperti udang galah juga masaknya. Begitulah simplenya kehidupan masa itu. Masa yang telah lama berlalu. Yang meninggalkan hanya kenangan dari lipatan masa. Dari imbauan minda. Dari celah-celah kehidupan kampung.

Dari celah-celah kemiskinan itu saya berada di USA. Membawa isteri dan anak-anak. Dari kedaifan itu saya keluar meneroka dunia. Sesuatu yang sukar dihurai dengan kata. Dengan cerita. Menunggu untuk berada di tengah-tengah kota London seperti terlalu lama. Anak saya yang sulung sudah berusia melebihi 13 tahun. Tambangnya untuk pulang percuma sebagai sebahagian dari biasiswa saya. Bila seorang suami mendapat nikmat akan tertumpah nikmat itu kepada isterinya. Bila seorang bapa mendapat nikmat maka tertumpahlah nikmat itu ke atas anak-anaknya. Begitulah seharusnya apabila seorang anak mendapat nikmat, nikmat itu tertumpah di hati ibu dan bapanya. Lumrah alam. Kitaran masa dan peristiwa. Saya kira nikmat itu juga kerana saya berkursus dalam perkhidmatan. In-service course. Pergi belajar sebagai pegawai. Sebagai penjawat awam. Ada kebajikan yang dijaga majikan. Menerima nikmat kerana telah berkhidmat memenuhi piawaian. Melaksanakan tanggungjawab seperlunya. Itu dahulu sewaktu saya menikmatinya. Alhamdulillah.

Monday, March 19, 2012

Meredah Winter Terakhir

Pada pertengahan bulan April 1986 rasanya saya sudah menghantar pulang barang-barang yang dibeli. Kebanyakannya barang-barang untuk kegunaan sendiri. Tetapi biasalah apabila kita keluar negara atau ke mana sahaja kita pergi kita teringat orang-orang yang ditinggalkan. Ibu bapa, adik beradik dan mungkin rakan taulan. Kerana itu dicuba juga menggagahi untuk menyediakan seadanya sebagai cenderahati kerana ingatan yang lekat di hati. Ingatan yang selalu mendamaikan. Teringat sewaktu bersama. Perpisahan selama 18 bulan bukannya lama tetapi terasa lama. Pada ketika-ketika tertentu ingatan selalu melayang juga kembali ke negara sendiri. Tanah tempat tumpah darah. Tampat bermain. Tempat dilatih menjadi manusia. Tempat jatuh lagi dikenang. Pada waktu yang lain terasa pula alangkah indahnya berada di negara orang.  Bukan semua orang berpeluang seperti itu. Namun sirih pulang ke gagang juga akhirnya. Belut puang ke lumpur. Bangau pulang ke belakang kerbau. ;pinang pulang ke tamput. Di situ asal saya. Ke situ kembalinya. Kembali kepada fitrahnya.

            Barang yang dihantar sudah berkotak-kotak. Yang di dalam beg berbagai bentuknya. Tetapi sale di supermarket masih tetap rancak.  Dalam banyak iklan terdapat jualan teko corelle. Berkejar saya dan isteri ke supermarket itu. Maaf, lupa pila namanya. Berhampiran dengan Three-River Stadium. Stadium yang selalu digamatkan dengan The Pirates (baseball) dan Pittsburgh Steelers (American Football). Kami pergi sudah agak petang. Jangkanya sebelum Maghrib kami akan pulang ke rumah. Malangnya kami tidak melihat ramalan cuaca petang dan malam itu. Pada bulan April kadang-kadang saki baki winter masih ada walaupun sudah berada dalam spring. Memang kami membeli teko itu. Ingin diagihkan kepada adik beradik. Saya tidak tahu sama ada mereka masih menyimpannya atau tidak.  Untuk simpanan kami masih ada hingga sekarang. Sesudah 26 tahun. Sesudah 13 orang cucu.


Teko ini saya beli pada tahun 1985. Masih cantik seperti dalam gambar  itu. Harganya USD25. yang saya pada winter terakhir ialah teko yang sama tetapi tanpa bunganya. Putih melepak. Diskaun 80%. Tinggal USD5 sahaja. Sekarang coraknya sudah berbagai. Di Malaysia tidak larat hendak membeli. Mahalnya bukan setakat tukaran wang. Banyak plusnya. Markupnya. Mampu pandang dan belek sahaja.


Pada waktu itu Maghrib kira-kita pukul 5.00 petang. Kami di supermarket itu hingga pukul 8.00 malam. Bila kami keluar snow turun pula dengan lebatnya. Kami sudah tidak tahu arah mana bas yang harus kami ambil. Oleh kerana sejuk kami naik satu bas. Rupanya salah bas. Kami berhenti di suatu persimpangan untuk mengambil bas lain yang ke downtown Pittsburgh. Alhamdulillah kami sampai juga di jalan-jalan yang kami biasa. Kira-kira pukul 10.00 malam kami sampai di rumah. Sejuk, letih, lapar tetapi gembira kerana dapat membeli sesuatu yang kami kira banyak membahagiakan saudara mara yang lain. Saya tidak pasti sama ada mereka mengetahui nilai sebenar teko itu. Di Malaysia pasti harganya tidak kurang RM100.00. Di sana ketika kami beli harganya hanya USD5.00 sahaja dari kira-kira RM50.00 harga juala biasa. Malam-malam yang sejuk begitu seeloknya kami berada di rumah. Namun kerana teringatkan sanak saudara di kampung teringin pula menggembirakan mereka. Hari ini Ahad 18.3.2012 saya singgah di rumah seorang adik ipar saya di KL. Dia menghidangkan air menggunakan teko Corelle yang saya beli dengan meredah snow winter awal tahun 1986. Masih elok lagi. Warnanya putih. Cuma tidak berbunga. Tiada bercorak. Just plain white. Cantik pula dipandang.

Amerika Syarikat disifatkan sebagai land of plenty. So bountiful. Negara mewah. Banyak barangnya yang menjadi kegilaan di seluruh dunia. Antaranya ialah barangan ceramic. Corelle hanya satu jenama. Sebenarnya syarikat Corning di New York State mengeluarkan banyak barangan ceramic yang digemari di Malaysia seperti Visions. Pada awal tahun 1986 itu saya dan seorang teman berkereta ke Corning Inc untuk membeli beberapa set barangan ceramic dari jualan gudangnya. Suasana sejuk yang menggembirakan. Puas dapat membeli dari sumbernya. Ketika di ruang pemerannya terlalu banyak pilihan. Yang tersekat hanya wang di poket. Tidak semuanya dibeli. Dirancang yang perlu sahaja. Set-set barangan yang cukup untuk keperluan jamuan-jamuan kecil di rumah seperti rakan-rakan rapat dan kenduri kendara yang mungkin diadakan di rumah. Tidak perlu dipinjam dari orang lain. Jika disewa sekalipun belum tentu memenuhi selera hati. Mungkin tidak kena dengan tema atau suasana yang hendak dicipta.

Berada di luar negara banyak pengalaman baru. Saya rasa ramai pelajar Malaysia yang rasa begitu. Pegawai-pegawai Malaysia yang bertugas di luar negara lagilah lebih tinggi ghairahnya. Itu belum lagi mereka yang mewah apabila berada di luar negara. Terlalu banyak yang menjadi idaman. Setengahnya menjadi kegilaan yang luar biasa. Jika kita berpeluang bertandang ke rumah pegawai-pegawai yang bertugas di luar negara penuh rumahnya dengan barangan idaman. Tidak semestinya yang berupa barangan mewah. Seperti dalam cerita saya tentang jualan gudang di US banyak barangan yang menjadi murah kerana diskaun dan sale yang agak gila-gila. Jika yang mengidam ceramic dari Britain rumahnya berlambak dengan Royal Doulton atau Royal Albert. Coraknya sangat menarik. Pelbagai pula jenis dan bentuknya. Dari set meja hinggalah aksesori hiasan dinding dan almari.

Itu belum yang sangat gemarkan barangan kristal. Pilihannya mungkin barangan dari Germany. Aduhai! Terlalu banyak yang memukau. Sekali lagi bajet sahaja yang memisahkan. Lazimnya barangan kristal adalah berupa gelas tinggi, mangkuk, pinggan atau jag air. Banyak lagi sebenarnya. Terlalu banyak. Itu belum barangan ceramic dari France. Di Malaysiapun banyak.  Ramai yang membeli berset-set. Penuh rumah. untuk digunakan bila perlu. Selalu juga yang mengujakan ialah barangan ceramic dari Jepun. Antaranya ialah jenama Noritake. Di Malaysia beribu-ribu harganya. Yang pendapatannya berlebih-lebih sahaja yang mampu membelinya. Orang seperti kita hanya layak mencuci mata di tempat shopping yang besar-besar sahaja. SOGO barangkali. Melihat harganya sudah cukup menakutkan. Rasanya jika dibeli takut pula untuk menggunakannya. Takut sumpik. Takut retak. Takut pecah. Itu belum takut dicuri. Barangan mahal tentu banyak risikonya. Banyak halangannya. Banyak yang merisaukan.

Sewaktu di US dahulu mana-mana yang teringatkan barangan ceramic kegilaan mereka mudah sahaja mendapat penyelesaiannya. Jualan udang biasanya menawarkan jenama tertentu. Tetapi bilangannya sangat terhad. Bila pintu gudang dibuka sahaja maka menyerbulah masing-masing ke arah tujuan khsusus yang telah dirancang sebelum datang. Hanya barang itu sahaja yang diingini. Barang lain tidak perlu difikirkan. Itu sahaja yang mampu diangkut dengan tangan kosong. Apatah lagi jika menaiki bas. Sangat terhad barang yang dapat dibeli. Yang ringan barangkali. Yang berat seperti pinggan mangkuk terpaksa dipujuk hati supaya tidak terlalu ghairah. Bagi yang membawa kereta sendiri banyaklah yang boleh dibeli dan dibawa pulang. Masing-masing ada agenda yang tersendiri. Mengurus rumahtangga sendiri. Ada perancangan untuk rumahtangga di Malaysia. Suatu pengalaman yangg sukar dimengerti. Mungkin ada manfaatnya. Belajar dari kehidupan yang bebagai.

Sunday, March 11, 2012

Rakyat Biasa Amerika Yang Tidak Tahu


Ramai orang terpesona dengan kegahan Amerika Syarikat. Sebut USA ramai orang terpana. Sebut The States tergambar segala yang indah. Ada benarnya dan ada tidak. Itu adalah usaha mereka untuk positioning negara mereka supaya sentiasa berada di atas. Di hadapan. Diberi keutamaan. Dalam senarai mesti yang pertama. Dalam apa bidang sekalipun ianya diberi keutamaan. You name it, its there for your picking. Dalam menterjemahkan semua itu moto mereka ialah, you ask for it, you get it. Dalam aspek itu memang sukar menandingi mereka. Dalam aspek material mereka memang unggul. Namun begitu apa yang mereka portray kadang-kadang menyembunyikan realiti. Banyak aspek kehidupan mereka yang pincang. Sistem pendidikan mereka direkabentuk supaya dapat menggapai semua yang dapat digapai. Tetapi seperti manusia biasa di tempat lain bukan kesemua rakyatnya seperti yang digambarkan. Ramai yang buta huruf. Ramai yang tidak memiliki rumah. Ramai yang menganggur. Ramai yang gelandangan. Peminta sedekah ada di mana-mana.  Tersembunyi dalam balutan coat dan tie.

Hanya segelintir kecil sahaja rakyat Amerika yang mengetahui dunia luar. Mereka dibesarkan dalam lingkungan mereka sahaja. Self sufficient. Mereka dididik dengan kehebatan teknologi mereka sendiri. Mereka tidak perlu makanan yang diimport dari luar. Malah mereka mengeksport dalam kuantiti yang sanat besar. Kualiti Amerika yang dijamin. Produk mereka melambak di seluruh muka bumi. Coca-Cola dalam minda anak-anak. Hollywood di depan mata setiap saat. Begitulah Kentucky Fried Chicken, Pizza Hut, Kenny Rogers, Dunkin Donut, dan banyak lagi. Minda manusia dari kutub ke kutub, timur dan barat kesemuanya banyak ruang untuk Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun tidak begitu bagi rakyatnya. Sistem pendidikan mereka menekankan kecintaan kepada negara mereka sendiri sahaja. Yang ditekankan ialah we’re Americans. We’re the best in the world.

Itu yang kita nampak. Itu yang dipaskkan ke dalam minda kita. Itulah propaganda mereka. Indoktrinasi yang mereka lakukan. Mereka lakukannya terus menerus. Mereka eksport segala ilmu yang menguntungkan mereka. Research mereka on-going. Kesemuanya diusahakan untuk mengungguli kesemua yang ada. Dalam pendidikan akademik kita banyak menyedut ilmu mereka. Kita gunakan sistem mereka. Lalu kita dikawal oleh buku teks mereka. Jurnal mereka. Motiavator mereka. Sekarang ini kita jadi keliru yang mana British English dan yang mana American English. Tunggang langgang tulisan English kita. Kadang-kadang tutur kata English kita juga bercampur baur antara slang British dengan slang American. Anak-anak dan remaja yang menggilai lagu dan muzik lagilah tidak tahu yang mana antara keduanya. Nyanilah sekehendak hati. Semuanya terjun dengan labu-labunya. Sebahagiannya trying to be American. Yang lain pula trying to be British. Oang-orang lama juga yang geleng kepala.

Itulah yang terjadi kepada rakyat bawahan Amerika. Mereka banyak tidak tahu negara orang. Tidak tahu sejarah. Tidak tahu geografi. Tidak tahu perkembangan apapun kerana dunia mereka tertutup dan ditutup. Sistem pendidikan mereka hanya dalam lingkungan Amerika Utara sahaja. Di selatan Mexico. Di utara Canada.  Mungkin negara maju yang lain seperti Eropah, Russia, Cina, Korea Selatan, Jepun dan Australia serta New Zealand. Negara yang lain tidak layak untuk diberitakan kepada rakyatnya. Jika ada yang negatif sahaja. Yang buruk. Yang lemah. Yang tidak hebat. Yang tidak perlu difikirkan. Berita kebuluran.  Berita negara lain dilanda ribut, banjir, gempa bumi dan segala kelemahan yang lain. Asia, Afrika dan Amerika Selatan tidak memberi impak kepada mereka.

Sewaktu menghantar barang melalui forwarding agent dahulu, seorang rakan saya bertanya kepada kerani yang bertugas, “What do you think about Reagan bombing Libya?” Beberapa hari sebelumnya Predisen Ronald Reagan telah mengarahkan Libya dibom kerana geramkan Muammar Ghadafi (al-marhum). Yang diucapkan Reagan ialah, “You can run but you cannot hide!”. Ungkapan yang selalu di bibir cowboy yang di negara Arab disebut hanya sekadar gembala sahaja. Lama kerani itu mencari jawapan. Akhirnya, ‘Well I guess Reagan is right! He is our President.’ Tulus jawapannya. Kenapa? Mereka tidak tahu apa-apa. Apa yang disogok oleh pemimpin mereka dianggap benar. Dalam sebuah negara maju yang hebat itu realiti rakyatnya. Yang agung demokrasinya tetapintidak memberi banyak alternatif kepada rakyatnya. Masih ramai rakyatnya yang daif dari segi maklumat. Tiada kekuatan berfikir. Tiada inisiatif untuk memahami keadaan. Tidak mampu berbuat begitu. Minda mereka tidak dapat menggapai faham. Begitulah rendahnya manusia lain di mata mereka. Selain daripada orang putih yang kedua ialah orang hitam. Yang lain tiada kelas kepada mereka. Unknown species. Alient.

Bagi yang merentas benua, yang merentas laut dan udara pasti terpegun bahawa di luar negara mereka ramai orang yang sama taraf dengan mereka. Yang boleh berbahasa English dengan baik. British English atau American English. Malah Australian English. Mereka tidak tahu bahawa sarung tangan yang mereka pakai kebanykannya dari Malaysia. Maaf, condom yang mereka salahguna itu juga dari Malaysia. Tanya mereka tentang Malaysia pasti terlalu ramai yang  tidak tahu. Dunia luar tidak wujud kepada mereka. Begitulah jika kita hendak menarik mereka melancong ke negara ini. Maklumat dasar hendaklah disampaikan. Ianya penting supaya mereka tidak membawa budaya mereka. Supaya mereka memahami the dos and the don’ts di negara yang mereka lawati.  Jika tidak parah kita dibuatnya. Mereka yang kaya agak tinggi etikanya. Yang ditakuti ialah mereka dari kelas yang lebih rendah. Yang suka buat onar. Yang suka dedah sana dedah sini. Sensiviti orang tempatan tidak diambilkira. Kepada mereka semuanya hendak diimposed ke atas orang lain. Mereka rasa berada di atas walaupun kadang-kadang budaya mereka bukan yang terbaik kecuali di mata mereka.

Berbanding dengan kita di Malaysia sistem hidup kita dan pendidikan kita memberi ruang yang sangat banyak. Sangat luas. Kita tahu banyak perkara. Maklumat kita merentas dunia. Orang Amerika tidak tahu kita menonton bak gila filem mereka. Menyanyikan lagu mereka. Menonton football mereka. American football. Wrestling mereka. Baseball mereka. Baketball mereka. Ice hockey mereka. Boxing mereka. Sementara mereka tidak tahu apa-apa tentang  kita. Ingat seorang yang bernama Eskay? Pernah dipanggil kembali untuk berkhidmat dengan Kementerian Belia dan Sukan suatu ketika dahulu. Dia orang Sabah. Pandai mengurut. Lalu menjadi phisiotherapist pasukan bolakeranjang Amerika Syarikat. Kalau saya tidak silap untuk sukan olimpik 88 di Korea Selatan.  Ada orang kita yang bertugas dalam kru filem arahan Stephen Spielberg. Malah ada yang bertugas di NASA. Yang melancarkan roket ke angkasa. Yang memantau cakerawala, bintang dan segala yang ada di angkasa.

Ada yang kadang-kadang mengusik minda saya. Orang kita bukan tidak pandai. Namun ada kecondongan untuk tidak berfikir. Selalu menghindar untuk memberatkan berfikir. Yang dijaga ialah ketenangan. Tidak suka melakukan perubahan. Marah jika perubahan dilakukan ke atas mereka. Suka pula ikut kata orang. Suka bersandar apa kata orang. Kekal kerana orang kain tidak membuatnya. Tidak ramai antara kita yang dare to be different. Asalkan menjaga batas agama, masyarakat dan ketatanegaraan. Sebab itu ilmu adalah perlu. Memahami banyak perkara membantu kita membina jalan fikir yang lurus. Yang benar. Yang hak. Akan banyak terhindar syak dan waham. Keraguan yang menjadi mainan syaitan. Ilmu menjana segala kemungkinan dengan izin Allah. Jangan percaya kata orang lain tanpa ilmu. Tanpa maklumat. Tanpa fakta. Belajarlah kerana itu sahaja ubat segala macam kejahilan.

Thursday, March 8, 2012

Gerangan Apakah Orang Tua Kehilangan Seri?

Pokok bermula dari tiada kepada ada. Lazimnya terjadi dari biji benih. Biji benih yang tertimbus dalam tanah mula menjalarkan akarnya. Mencari air dan mineral untuk melestarikan hidupnya. Apabila akar itu menjalar ke bawah barulah tunasnya bermula. Akar itulah yang memulakan kehidupan. Membesar dan menyubur pokok itu. Mendahan dan meranting. Di hujung-hujung ranting itu dedaun menghijau. Musim berganti musim keluarlah bunga yang memutik dan menjadi buah. Manusia dan haiwan menikmati buah itu. Manis dan segar. Nikmat dan lazat. Bukan sekadar keluarga dan saudara mara malah dieksport ke negara yang jauh. Bukan pokok itu sahaja yang hidup bahkan ianya menghidupkan  generasi demi generaasi. Tetapi malangnya yang dilihat ialah buahnya. Itupun yang masak. Yang boleh dimakan. Dihadiahkan kepada orang lain. Dijual. Sumber kemewahan dan keselesaan. Mungkin darinya ekonomi negara berkembang maju.

Semua orang mendongak. Yang dilihat ialah buahnya yang masak. Yang dipandang ialah hasilnya yang menimbunkan untung. Yang dinanti ialah musim buahnya. Lebih ramai orang yang mengira kenyang perutnya. Yang penuh poketnya. Tidak ramai orang yang berhenti sejenak berteduh kerana pohon itu memang rendang. Tidak ramai yang menghirup udara segar yang penuh oksigen kerana itulah kerja pepohon. Tidak ramai yang menunduk sebentar melihat dedaun dan ranting kering yang mereput hancur. Yang menyatu dengan tanah menjadi baja kompos. Yang mebajai tanah perdu pepohon. Meneruskan kesuburan tanah. Meneruskan kehidupan. Meneruskan generasi.  Barangkali tidak ramai yang melihat kehijauan dedaun kerana terlalu lumrahnya. Sementelahan pula dedaun itu jauh di atas. Terlalu tinggi.

Begitulah kitaran hidup pepohon segar bayang rendang berbunga. Berbuah lebat. Memberi nikmat besar kepada manusia di sekelilingnya. Untuk suatu jangkamasa yang lama ianya setia dengan fitrahnya. Namun yang baqa’ hanya Allah. Makhluk seperti pokok tetap akan ada tamat usianya. Sebelumnya, ia pasti menjadi tua. Dedaunnya semakin jarang. Rerantingnya semakin mengering. Dedahannya semakin mengurang ranting. Batangnya semakin dicemari berbagai makhluk perosak. Maka bunga dan putiknya tidak lagi berapa menjadi. Buahnya semakin melawas. Menjarang dan sangat kurang jadinya. Tuanya semakin tua. Kurangnya semakin kurang. Lemahnya semakin lemah. Tinggallah pokok tua itu kering, kurus dan buahnya tidak menjadi. Manusia yang bertukar tawar dan masam. Besar yang bertukar menjadi kecil dan tidak menentu saiz. Masak yang tidak menentu rasa. Hilang seri mudanya. Hilang subur mewah buahnya. Yang tinggl hanyalah sebatang pokok tua. Bukan sahaja dedaunnya yang tidak dilihat orang. Akarnya tidak pernah diimpi lagi wujudnya. Hanya akar dan tunjang terpacak dalam kukuh mengenang kekuatan keturunan dan generasi.

Apalah yang pada pokok tua yang tidak dipandang lagi. Bila menyemak mungkin ditebang. Ditutuh dan dicantas sudah sangat biasa. Ada masa mungkin diracun dan dibakar. Alangkah hidup ini yang seperti tiada adilnya. Tiada sempurnanya. Tiada unggulnya. Masa menentukan perubahan dan pergantian rupa dan keadaan. Sesuatu yang indah tidak pernah kekal lama. Akan sampai masanya tamat suatu episod kehidupan yang tidak dapat ditentukan bentuknya. Mungkin sahaja ada keindahan dalam perjalanan masa yang entah panjanag yang entah singkat. Persekitaran juga memainkan peranan dan memberi sumbangan. Tanpa persekitaran pepohon tidak dapat hidup sendirian. Ia perlukan tanah subur yang dipelihara kesuburannya. Ia perlukan udara dan angin untuk proses pernafasan dan pendebungan. Ia perlukan panas yang pada kitarannya membuahkan hujan. Air yang turun memberi basah. Memberi laluan akar rerambut menjalar. Mengukuhkan bekalan sumber hidup seterusnya. 

Apakah kita dapat mengerti analogi ini? Itulah bak kehidupan seorang manusia. Yang akhirnya tua dan tidak berguna. Janganlah disamakan mereka dengan al-Quran buruk kerana Quran tetap dibaca tulisannya walaupun tua, buruk dan kelam tulisanya. Masih ramai yang menghafal setiap kalimah dan hurufnya. Mata hanya membaca yang tertulis. Mulut masih tetap dapat menghafal yang tersimpan abadi di minda dan hati. Ia mendarah daging. Quran tua  bukan perbandingan untuk orang tua. Malangnya kita terlalu tidak belajar. Bahawa kita kerana ada ayah dan ibu. Ayah dan ibu kita ada sebab ada datuk dan nenek kita. Begitu seterusnya susur galur kita yang terdahulu. Bagaimana kita selalu melupakan akar dan tunjang pokok keluarga. Keturunan kita.  Ramai antara kita melihat ke bawah. Perihatin dengan anak dan cucu. Bukankah kita telah memberi pendidikan. Telah mengasuh dan membimbing. Telah memanusiakan mereka. Telah membolehkan mereka berdikari. Menjadi manusia yang mandiri.

Agama mengajar kita untuk terus berbakti kepada kedua ibu bapa tanpa sempadan. Tanpa had. Tanpa batas waktu. Tanpa ada syarat. Tugasnya berpanjangan tanpa berbelah bagi. Tanpa soal jawab. Tanpa dalih dan alasan. Apabila anak-anak telah mendewasa mereka pula yang mengambil giliran untuk mendongak ke atas. Melihat kembali orang tua yang sudah tua. Yang staminanya sudah lama hanyut. Yang kekuatannya sudah berzaman luntur. Yang tidak lagi ada keupayaan untuk mandiri. Lihatlah mereka yang semakin bergantung harap. Hidup ini penuh dengan syariat. Kita ada panduan agama. Bila ada pilihan, agama hendaklah didahulukan. Syariat diutamakan. Allah Yang Maha Besar. Tiada langsung kompromi yang menjadi saingan. Dosa dan pahala di bawah tapak kaki ibu. Syurga itu bergantung kepada redha ibu dan bapa. Tua, uzur, sakit yang mengharap adalah faktor-faktor yang menyumbang pahala kepada anak. Sumber ganjaran Allah yang tidak terhingga. Ingatlah redha Allah bergantung kepada redha ibu dan bapa. Memanglah anak dan cucu adalah tanggungjawab tetapi yang sangat terhad keutamaannya. Tanggungjawab kepada ibu bapa tiada langsung hadnya. Hinggalah mereka tiada. Sesudahnyapun kita masih ada tanggungjawab jika ingin menjadi anak soleh dan solehah. Doa anak soleh dan solehah yang selalu dinanti ibu dan ayah di alam barzah. Doa yang meringankan di sana. Doa anak soleh dan solehah.

Tangisilah mereka semasa tuanya. Semasa lemahnya. Semasa sakitnya. Semasa terlalu semakin  banyak kekurangannya. Inilah persimpangan suka duka seorang tua. Banyak sangat harapnya. Banyak benar mintanya. Banyak benar melambak bantu peliharanya. Banyak olahnya. Banyak ragamnya. Banyak yang tidak kena dengan rasa dan selesanya. Ketika inilah anak harus sangat bersabar. Tingkatkan kecekalan. Banyak mendengar dan bukan menjawab. Bukan mengkritik. Jauh sekali menghina dan mencerca. Jangan palingkan muka. Jangan jeling. Jangan masam muka. Benar, anak banyak meriahnya. Tetapi anak-anak banyak tanggungjawabnya sendiri. Melebihi tugas yang pernah kita sandang. Tinggallah orang tua yang sudah kehilangan dirinya. Ingatannya. Dengarnya. Sedapnya. Kepalanya sudah tidak berambut. Matanya kabur hanya kelabu. Giginya entah dibuang ke mana. Yang tinggal gusi semata-mata. Lutut bergetar tidak lagi ada diamnya. Tulang temulangnya mereput semua. Ototnya longgar tidak lagi nampak kejap dan gagahnya.

Hilanglah seri seorang manusia. Seorang insan berguna waktu mudanya. Waktu puncak produktivitinya. Sepi tanpa ada yang memandang. Tanpa ada yang bertanya. Tanpa ada yang ingin bersua. Payah hendak ambil tahu. Janganlah jadi pokok  yang besar dan tinggi tetapi hasilnya tidak lagi dapat diharap. Buahnya setakat boleh dimakan tetapi sayangnya sudah hilang nilai komersilnya. Manusia tentu tidak begitu. Tua yang banyak pengalamannya. Yang banyak skillnya. Yang telah merantau jauh. Yang telah merentas zaman berzaman. Malangnya orang kita banyak diam dari bercerita. Memendam dan bukan berkongsi rasa. Masuk ke dalam diri dan tidak membuka ruang untuk berada dalam arus perdana. Alasan sudah tua bukan alasan sebenarnya. Alangkah jika orang tua-tua bukan tua usianya. Yang tua ialah semua yang menyaluti dirinya. Dalam dirinya masih ada anak-anak yang lincah dan nakal keletahnya.

Bagi yang muda, ilmu dan harta selalu beriringan. Akal mestilah selalu dihidupkan dengan berfikir. Dengan mencari ikhtiar. Dengan mencanai otak supaya darinya keluar berbagai idea. Berbagai rancangan dan gagasan. Membina landasan untuk hari tua. Ilmu yang banyak dan berat tidak pernah sia-sia kecuali tidak mahu dimanfaatkan. Daif jika itu terjadi. Jumud benar cara berfikir. Ilmu menjadi pelita menerangi kegelapan. Mencerahkan peribadi. Meluaskan rezeki. Hidup pasti lebih bermakna. Bila tua ada harta sedikit sebanyak untuk menyara hingga usia tiada. Tidak perlu terlalu bergantung kepada orang lain. Hatta tidak lagi perlu menyulitkan anak-anak. Ilmu dan harta insyaAllah beriringan menjaga dan merawat kita pada usia tua.

Kongsikanlah pengalaman. Ada manfaatnya bagi yang muda. Banyak yang dapat dipelajari. Yang ditimba berturutan. Walaupun zamannya bersama tetap ada samanya. Banyak rutin yang diulang-ulang. Mungkin teknologi mengganti atau merubahnya menajdi lebih produktif. Kenapa tiada menulis. Kenapa tiada bercerita. Bersahut-sahutan dari zaman ke zaman. Suara orang tua yang dahulunya muda. Bak perdu pepohon, datangilah ia. Berteduhlah diperdunya. Nanti akan dikibarkan dedaunnya supaya melindungi anak cucu. Tua yang tetap ada manfaatnya. Tolong jangan abaikan yang tua. Dari dia kita datang. Talian darah dari ibu atau bapa mengalir kuat darinya. DNA kita pasti darinya. Lalu jangan lupakan dia. Ziarah dan berkampung selalu. Hatinya berbunga senyum. Banyak tawanya. Lihat makannya bertambah sesenduk dua. Anak cucu menjana selera. Tua-tua yang tegap susur galurnya. Jangan ia bersendirian memendam rasa. Rindunya pada anak-anak tetap tersemat di hatinya. Itu yang selalu hilang dari hadirnya.  

Monday, February 27, 2012

Menjadikan Sakit Itu Ibadah


Seminggu ini saya berulang-alik ke Hospital Batu Pahat. Mulai 22 Februari yang lalu. Bapa mertua saya di hospital itu. Lutut kanannya bengkak dan disahkan bisul. Setelah tidak ada pilihan maka lututnya dibedah. Dibersihkan nanah dan darah kotor yang ada. Sekarang sedang menunggu, dipantau untuk memulihkan keadaan lututnya itu. Bekas belahannya agak besar juga. Membujur dari atas ke bawah. Ternganga kerana tidak dijahit. Panjangnya kira-kira 10 cm dan lebarnya 5 cm. Alhamdulillah setelah beberapa hari kelihatan tidak ada lagi nanah dan cairan yang keluar. Nampak mulai kering. Daging yang ada di sekelilingnya sudah mulai hidup kembali. Tulang kepala lutut yang dahulu nampak putihnya sekarang mulai diselaputi daging halus. InsyaAllah akan bercantum semula seperti sediakala. Biasalah bagi orang yang sudah tua (97 tahun) tentu sel-sel kulitnya lambat menyubur. Hadnya sudah tepu. Kena banyak bersabar menunggu untuk pulih sepenuhnya.

Itu satu hal tentang penyakit fizikal. Nampak dan jelas. Buruk dan baiknya memang dapat dikesan, dipantau, dirawat dan dipulihkan. Dalam pemerhatian saya ada penyakit yang jauh lebih parah. Tidak terasa sakit. Dipandang tidak mengerikan. Kepada kebanyakan orang ianya dianggap biasa. Tiada yang pelik. Dianggap santai sahaja. Seolah-olah semua orang menganggapnya begitu. Persepsi yang biasa. Bukan luarbiasa. Penyakit yang saya maksudkan ialah penyakit takut beridabat. Malu beribadat. Segan beribadat. Beribadat memilih tempat. Rasanya tidak mungkin ada orang Islam yang tidak tahu bersolat. Rasanya semua orang tahu bahawa solat itu wajib. Tiang agama. Jika tidak tegak maka rosaklah agamanya. Fardhu ‘ain. Sendiri wajib. Ramaipun wajib. Tiada yang terkecuali.  Jika ada kecuali hanya untuk orang tertentu seperti hilang ingatan, tertidur atau lupa. Mabuk pula dalam kategori lain.  Solat adalah tiang agama. Tiang yang tertegak sepanjang masa. Lima kali sehari semalam. Waktu yang digunakan sangatlah sedikit. Pantas dilaksanakan. Boleh dilakukan secara berdiri (keutamaan). Boleh sahaja duduk atau baring atau dalam keadaan apa sahaja asalkan solat.

Banyak rukshah mengenai solat. Ada sahaja kemudahan yang diberikan agama untuk melaksanakannya. Dari berdiri hingga terlantar. Dari menggerakkan anggota besar seperti kaki dan tangan hingga hanya mengelipkan mata sahaja sebagai isyarat perpindahan rukun. Dari satu rukun ke rukun yang lain. Kelonggaran kaedah melaksanakannya terlalu banyak. Tetapi tidak ada kelonggaran untuk tidak melakukannya kecuali uzur syarie’seperti wanita yang bersalin atau kedatangan haid. Bagi pesakit lelaki di hospital tiada seorangpun yang dianggap uzur syarie’. Hanya yang wanita barangkali benar. Itupun bagi yang belum menopause. Bagi yang sudah melampaui zaman menopause itu tiada alasan langsung tentang untuk mengelak dari kewajipan untuk menunaikan solat fardhu. Di mana silapnya agaknya. Suatu kejahilan atau kurangnya pendidikan. Atau dalam masyarakat Melayu Muslin kemahiran beribadah ini tidak diformulakan. Tidak diberi nafas segar. Tidak diberi panduan praktikalnya. Anggapan kita selalunya solat hanya di rumah atau di musalla atau di masjid. Kita terlalu daif dalam memikirkan hal solat.

Saya biasa berhenti di banyak Hentian Sebelah di sepanjang lebuhraya utara selatan. Di pondok atau wakaf yang ada terdapat notis yang menyatakan bahawa pondok itu tidak sesuai untuk tempat solat. Itu notis dari pihak berwajib lebuhraya itu. Dahulu banyak sejadah disediakan. Sekarang sejadahnya hilang, tanda arah qiblatnya turut hilang. Malah ada pula notis tidak menggalakkan umat Islam menunaikan solat di pondok itu. Malang sekali kerana persepsi kita tentang solat sangat naif dan daif. Di negara Islam yang lain orang menunaikan solat di mana sahaja asalkan masuk waktu. Tepi jalan, di tengah ladang, di kebun buah-buahan, di padang ragut, dalam bangunan hatta di mana sahaja asalkan memenuhi beberapa syarat seperti bersih, suci dan masuk waktu. Ramai orang barat tertarik kepada Islam kerana konsep simplenya. Ibadat bukan rasmi-rasmian. Ia kewajipan. Di hospital perkara itu tidak berlaku sewajarnya. Ramai yang buat selamba sahaja.

Kita rasa kasihan melihat hal ini. Solat adalah wajib. Semua orang tiada terkecuali. Wajib yang sewajibnya. Tiada pilihan bagi yang beriman. Yang mengaku dirinya Muslim. Mengapa agaknya ramai yang mengabaikannya. Yang tidak mengutamakannya. Yang tidak menanti dan mendahulukannya. Syurga bukan percuma. Hanya yang berusaha sahaja yang diberi anugerah itu. Asasnya ibadah utama. Solat yang utama. Tiangnya. Tanpanya roboh yang lain. Hancur harapan. Cita-cita tentu tidak kesampaian. Habuan dunia mudah kita dapat. Yang lebih oenting ialah habuan akhirat. Tiada tolok bandingnya. Allahuakbar! Dunia di sekeliling kita sudah terlalu sempit. Kita seperti kehilangan ruang untuk berfikir. Untuk mengkoreksi diri. Untuk membetulkan arah yang menuju jalan lurus yang selalu dianjurkan agama.
  
Yang sakit memang terlantar sahaja. Situasi yang selalu didoakan supaya Allah menghindarkannya. Takut tergendala untuk beribadat. Itulah ingatan Rasulullah. Lima perkara yang selalu perlu diambil kesempatannya. Peluangnya. Senang sebelum susah. Hidup sebelum mati. Kaya sebelum miskin. Sihat sebelum sakit. Lapang sebelum sempit. Jika semasa positif banyak perkara diabaikan maka semasa negatif banyak perkara menjadi semakin sukar. Itu cerita yang sakit, bagaimana pula bagi yang menjaga pesakit. Mungkin isteri, adik atau kakak, abang atau adik. Saudara terdekat. Rata-ratanya tidak berapa aktif untuk solat. Pembesar suara mengumumkan waktu telah masuk. Pesakit terus terlantar. Yang menjaga terus duduk. Yang ziarah hanya mendengar kosong. Mungkin kurikulum pengajian Islam perlu diperbaki. Pengajian Islam di surau dan masjid diperbaiki lagi. Tekankan aspek perlaksanaan. Bukan teori yang berulang-ulang. Faham teorinya tetapi tidak memahami tuntutan melaksanakannya dengan sempurna mengikut waktu. Suatu gerakan atau kempen besar-besaran perlu dibuat supaya konsep ibadah ini diterjemahkan dengan sewajarnya. Di mana sahaja tempat lapang yang bersih dan suci boleh dijadikan tempat solat. Dengan sendrinya kita menerapkan amalan wajib bersih. Wajib suci. Wajib menjadikan persekitaran kita bebas dari sampah dan kotoran. Dari najis dan kumbahan kotor. Barulah amal ibadat menjadi subur. Jaga dan pelihara dari hal-hal yang tidak suci dan tidak menyucikan.

Saya teringat sewaktu menunaikan haji pada tahun 1999 dahulu. Sebelum masuk waktu Maghrib saya dan beberapa sahabat berjalan menuju tempat melontar. Kira-kira 4 km dari Mina. Di tempat yang bernama Mu’asim. Apabila terdengar azan kami teruskan perjalanan. Bila kami dengar iqamah kamipun membentangkan sejadah di atas pasir. Di atas pasir Arafah. Di waktu Maghrib yang lapang, suram dan tenang. Kami berjemaah. Di hujung rakaat pertama itu datang dua orang pemuda. Ruang solat sangat sempit. Saf pertama jemaah lelaki. Saf kedua jemaah wanita. Di hujung saf lelaki tiada ruang. Maka pemuda-pemuda tadi mencari kertas, kotak rasanya, lalu dibentangkan di kanan dan kiri imam. Setengah tapak di belakang imam. Di hadapan jemaah saf pertama. Solatlah kami hingga tamat. Kepada mereka solat bukan masalah.  Bukan isu. Bukan perlu difikirkan banyak-banyak. Bukan untuk dirasakan malu. Tidak perlu segan. Cukup syarat wajib, silakan. Tertunai kewajipan terhadap Allah.

Orang sakit bukan dihalang untuk solat. Tiada yang menghalangnya. Langsung tiada. Kecuali ilmu dan kebiasaan akan menjadikanj mereka mengerti pentingnya solat. Perlu juga bimbingan dari orang yang menjaga. Yang menjaganya perlu mahir tentang selok belok solat. Bukan jaga fizikalnya sahaja. Jaga rohaninya sekali. Itu lebih penting. Yang berkuasa di hospital besar juga peranannya. Tanggungjawsabnya. Dari doktor hinggalah  ke jururawat. Mereka yang sentiasa berhadapan dengan situasi itu. Hal yang paling dirisaukan ialah wuduk. Bagaimana isteri hendak mewudukkan suami. Atau suami hendak mewudukkan isteri. Malah yang bukan mahram bagaimana pula. Rasanya itu bukan isu. Bukankah banyak dijual sarung tangan.  Gunakan sarung tangan untuk meratakan air ke anggota yang perlu. Yang wajib seperti muka, tangan dan kaki. Kita bermazhab Syafie’. Kita boleh menggunakan air dalam jumlah yang sedikit. Yang pentingnya meratakan air itu tanpa mengangkat tangan. Takut jadi air musta’mal pula. Ambil beberapa titik, mulakan anggota kanan dahulu, ratakan ke anggota itu. Ratakan ke sekeliling dan sepanjang anggota yang berkenaan. Dari hjung jari hingga ke siku atau ke buku lali. Seluruh muka. Bagi yang tidak boleh kena air, lagilah mudah. Tayamum sahaja. Debu tayamum boleh dibeli. Di farmasi Islam ada. Ramai yang menjualnya. Atau buat sendiri. Atau di dinding hospital banyak debu itu. Asalkan suci. Kotor tetapi suci. Bukan najis. Orang yang mengerjakan sawah boleh solat dalam keadaan berselaput dengan lumpur. Lumpur tidak najis. Ia dianggap kotor tetapi bukan najis. Is suci.

Satu lagi yang dipersoalkan bagaimana hendak mengadap qiblat.  Sebenarnya dalam keadaan seperti pesakit yang terlentang, terlantar, yang patah riuk di kebanyakan anggota besar, hadap sahaja ke manapun. InsyaAllah ibadatnya diterima. Itu kelonggarannya. Rukshahnya. Sukar rasanya jika semua hodpital pesakitnya mengadap qiblat. Bangunannya juga sukar dibina. Kecualilah ada kekuatan politik dan pentadbiran yang ingin melaksanakan hukum Allah sepenuhnya dengan sesempurnanya. Dalam keadaan sekarang kita berserah dengan yang ada dahulu. Dalam jangka panjang mungkin ianya boleh diusahakan. Yang penting solat ditunaikan walau dalam keadaan apa sekalipun. Kembalilah ke halaqah kita. Pelajari kembali ibadat solat. Mahirkan hingga ibadat solat itu menjadi sangat mudah. Tiada yang menyusahkan. InsyaAllah kita semua boleh melakukannya.

Seni Ukir Yang Mengukir

Di Negeri Johor sukar mencari rumah yang bercirikan Melayu. Berukir dan seni. Rumah-rumah lama yang ada sudah menjadi warisan buruk ditelan zaman. Tiada yang menghargai. Anak cucu hanya berebut tanah pesaka. Rumah berukir dan seni jarang jadi rebutan. Mungkin yang memandang sebelah matapun sudah tiada. Ada yang memandang tetapi pandangannya kosong tiada erti. Seni dan ukir bukan lagi nilai yang perlu difikir. Bukan juga untuk dibicara. Bukan untuk diperdebat signifikannya dalam membina bangsa. Arah kita sudah lama tersasar. Bangsa luar yang menjajah menamakan dua aspek yang saling membantu menukar paradigma lama kepada paradigma keluar dari budaya dan tradisi kita. Mereka meminggirkan seni kita. Sebagai gantinya mereka menonjolkan seni mereka. Seni yang katanya semasa. Moden. Kita selalu terpedaya dengan kemodenan. Perkataan moden sudah terlalu lama. Sudah tidak relevan lagi. Orang Barat menggunakan perkataan moden pada kurun yang ke-15 dahulu barangkali. Sudah 600 tahun dahulu. Terlalu lama.

Pada tahun 2004 berlaku banjir besar di Johor. Banyak daerah yang ditenggelami air. Banyak rumah yang tenggelam hingga hilang bumbung. Yang hanyut rosak tidak terkira di Kota Tinggi. Di Batu Pahat tempat yang selalu berlaku banjir is Seri Medan. Kawasan lembah yang suatu ketika dahulu ada sawah padi di suatu tempat yang namanya Perupuk. Arwah datuk saya pernah bersawah di situ. Sekarang hanya kelapa sawit sahaja. Tahan air. Banjir tiada masalah. Dahulunya pokok getah. Malangnya bila banjir ianya tumbang. Bila kemarau terbakar pula. Seri Medan  didiami ramai orang Jawa dan Banjar. Berlaku banyak kahwin campur. Lelucon sesama mereka perkahwinan itu melahirkan anak-anak yang dipanggil Banjawak. Banjar campur Jawak (sebutan orang banjar). Oleh kerana kawasan itu selalu banjir maka rumah-rumah mereka bertiang tinggi. Beralas ompak batu. Tiangnya sangat tinggi. Rumah limas orang dahulu tinggi dan besar. Tingginya lebih tinggi dari ketinggian orang dewasa lelaki. Maaflah ramai orang perempuan lebih rendah dari lelaki.

Apabila banjir melanda tiada siapa yang pindah. Air  bukan mendesah seperti sekarang. Datangnya deras dan menghanyutkan apa yang berada di laluannya.  Dahulu air naik cepat. Namun tiada yang pindah. Rumah mereka tidak pernah ditenggelami air lantainya. Sewaktu dibina ketinggiannya disukat supaya lantainya berada di atas paras air banjir.  Selamatlah rumah itu dari dirempuh air. Seingat saya banjir kerap berlaku pada tahun-tahun selepas merdeka. Sejak tahun-tahun 70an hingga melewati alaf baru banjir jarang berlaku. Jika ada tidak tinggi. Tidak membahayakan seperti dahului. Kerana itu ramai orang Seri Medan lupa sejarah orang tua-tua mereka. Lupa sejarah kenapa rumah-rumah dahulu tinggi-tinggi tiangnya. Pendidikan dan kemajuan menghentikan jalan fikir yang rasional. Fitrah alam yang dikawal Allah tidak lagi berada dalam perkiraan. Maka rumah tinggi dahulu dirobohkan. Rumah limas dahulu dikonkritkan. Rumah batu berceracak di kampung-kampung di Seri Medan. Ukiran dan seni datuk moyang dahulu hilang begitu sahaja. Rumah kayu bukan pilihan. Bukan keutamaan.

Banjir besar pada tahun 2004 mengubah paradigma berfikir. Sepatutnya semangat rumah lama dahulu dikekalkan. Pendekatannya diubahsuai. Bentuknya direkabentuk semula. Bahannya diolah lagi. Tingginya biar kekal. Biarlah rumah batu. Bahagian bawahnya untuk parkir dan untuk santai-santaian. Jika banjir rumah tidak tenggelam dalam keadaan biasa. Bila banjir boleh kekal di bahagian atas rumah. Pindah bila perlu sahaja. Yang penting stok makanan banyak dan mencukupi. Ubat-ubatan ada dalam simpanan. Begitulah rumah seorang dari ibu saudara saya. Betul-betul di tepi sungai. Bila banjir terasa-rasa ada buaya lalu di bawah rumah. Terasa tergesel tiang rumah. Rumahnya memang tinggi. Bawah rumah kosong kecuali untuk meletak sampan. Atau basikal sebagai mod pengangkutan darat di kampung-kampung. Selain itu bawah rumah yang lapang dan kemas adalah tempat berehat. Tempat anak cucu bermain. Terlindung dari panas dan hujan. Serbaguna jadinya.

Pada awal tahun 2012 saya ke sebuah kampung di Rengit, Batu Pahat. Seoramg sahabat mengadakan majlis kenduri kahwin. Di hadapan rumahnya tersergam sebuah rumah kayu yang cantik berukir. Sebuah rumah homestay. Pemiliknya dari Johor Bahru. Saya amat tertarik kerana itu menjadi minat saya. Rumah saya ada semangat itu. Dari get dan pagar hingglah ke pintu dan tingkap. Termasuk tiang dan kerawang di sekeliling rumah. Kayu semuanya. Kayu adalah lebih mahal dari batu. Kayu sudah menjadi komoditi yang langka. Scarce resources. Sesiapa yang membina rumah kayu pastinya berkemampuan. Bukan calang-calang orang. Memang mahal tetapi jika tahu sumbernya harganya jauh lebih murah berbanding di Batu Pahat umpamanya. Seni dan ukirnya menyejukkan mata yang memandang. Menyejukkan hati yang menghayati keindahannya. Sayang! Tradisi yang semakin pupus. Di Kelantan dan Terengganu masih banyak diminati. Di negari-negeri lain sudah payah dicari. Bila bertemu terpegun memandangnya. Sesuatu yang tidak rugi diidamkan. Hatta diimpikan.

Hanya jika kita dapat menghargai seni ukir kita sendiri. Nilainya tinggi.

Dari jauh saya berkenan dengan rumah ini. Rumah sahabat saya di hadapan rumah ini. Saya parkir di tepi rumah ini.


Pondok di penjuru kawasan rumah.


Get daripada kayu.


Porch di hadapan rumah


Bumbung rumah berlapis-lapis. Atap genting. Cucur atap kayu berukir.


Cucur atap yang cukup seri cantiknya. Berjurai ke bawah.


Pagar rumah juga daripada kayu.

Kekisi kayu di teres rumah.


Pintu rumah tersergam. Kayunya dimerahkan. 


Isteri saya tidak bergerak kagum terpegun dengan banyak ukiran rumah ini.


Laluan ke teres rumah.



Plak di sisi rumah.


Tangga naik ke atas


Sebuah replika sampan di teres rumah


Teringat sewaktu selalu bermain sampan di sungai pada tahun-tahun 50an dan 60an dahulu


Selain dari kayu berukir banyak pula kerawang di sana sini


Menyerlah warna kayunya


Pemegang pintu ini diperbuat daripada kayu juga. Seperti tetupai.


Kayu bersilang-silang pada pintu tangga rumah.


Siapa yang tidak akan tertarik dengan seni dan ukiran-ukiran ini. Pemiliknya tentu istimewa orangnya. 


Tiang ini seperti di atas ompak yang bersalut kayu berukir


Sebuah ukiran di dinding luar


Ruang di bahagian belakang rumah.


Di hujung perabung rumah. Tertancap menegak ke atas. Aduh cantiknya.


Rumah kayu yang berukir memang unik. Tidak banyak di luar Kelantan dan Terengganu. Bila ditemui secara terpencil seperti di atas ianya sangat memukau. Ia hidup pada mata. Pada hati. Pada perasaan. Semoga kesenian seperti ini menjadi warisan terus turun temurun. Khazanah kita, kita yang perlu jaga. Mudah-mudahan seni itu tersemat di hati kita semua.

Friday, February 24, 2012

Menghantar Barang


18 bulan di US banyak juga mengumpul  barang. Sewaktu mula mengumpul barang ada juga suara-suara yang tidak mententeramkan. Menujah-nujah fikiran. Banyak benar yang tidak kena. Nanti mahallah. Mana ada duit untuk membayar kos tambangnya. Bolehkah dihantar. Macamana urusannya. Sukar dimengerti akan hasad dan dengkinya. Sifat irinya. Negatifnya. Mereka bukan calang-calang orang. Buat master dan PhD.  Sikap akur payah dijumpa. Sifat membantu payah menjadi. Mereka boleh memberi maklumat untuk meringankan kepayahan. Ramai pelajar Malaysia yang terdahulu melakukan yang sama. Mereka membeli barang juga. Menghantar barang juga. Alangkah baiknya jika sifat dan sikap membantu itu diperkembangkan. Ramai orang yang citarasanya berbeza. Tidak perlu menghalang hasrat orang lain. Bantu seperlunya. Memudahkan urusan orang lain.

Saya tidak tahu bagaimana orang lain pack barang mereka. Pengalaman banyak pindah tempat dan banyak pindah rumah membantu saya merencanakan proes packing itu. Saya suka kotak-kotak yang sederhana besarnya. Mudah diangkat. Tidak berat. Sesuai untuk berbagai peringkat umur. Kotak-kotak sebegitu boleh dibeli. Di US memang banyak kedai yang menjualnya. Di sana ramai orang berpindah tempat dan rumah. Keperluannya sentiasa. Barang-barang yang berbentuk kain tidak merisaukan. Banyak cadar dan comforter yang saya beli. Begitu juga tuala. Berbagai saiz. Tuala mandi. Tuala muka. Tuala lap tangan. Kebetulan anak kelima saya masih memakai lampin pakai buang lagi. Banyaklah saya beli untuknya. Murah berbanding di Malaysia. Sebenarnya sudah saya ceritakan dalam entry yang terdahulu. Yang merisaukan ialah barang-barang ceramik, kaca atau jenis yang mudah calar.

Saya bincang dengan isteri saya. Cari akal untuk menyelamatkan pinggan mangkuk dari pecah. Perjalanan beribu-ribu kilometer jauhnya. Mesti diangkut dengan forklift. Dimasukkan dalam kontena. Disusun dalam kapal. Diangkut dengan lori ke destinasi terakhir. Perjalanan yang renyah. Barang-barang fragile. Jika packingnya tidak sempurna pasti banyak yang pecah. Aduhai! Baiklah bagaimana jika disekeliling dalam kotak dibubuh tuala dan lampin anak kecil saya? Tentu menjadi pengampu kepada isinya. Andainya terhentak kuat sekalipun rasanya tidak sampai pecah. Satu dua mungkin. Tetapi tidak mungkin kesemuanya. Lalu pinggan mangkuk yang kami beli kami susun mengikut kotaknya. Letakkan ditengah-tengah. Di sekelilingnya tuala, cadar, comforter dan lampin anak. Ramai rakan-rakan yang terkejut sebab jumlah kotak kami jauh melebihi kotak-kotak mereka. Bila diangkat kotak-kotak itu ringan sahaja. Timbangannya tidak banyak. Kena juga lebih USD400. Lebih RM1,000. Rasanya berbaloi. Masih ada lagi barang-barang itu. Sesekali keluar bila ada keluaga di rumah. Bila ada tamu. Bila ada majlis di rumah. Jamuan-jamuan kecil. Sebahagian tuala masih ada. Comforter juga ada lagi.

Setiap kali kembali ke Malaysia bukan sebuah keluarga sahaja. Pasti ada keluarga lain yang kembali juga. Lazimnya kami berkongsi syarikat forwarding agent. Lori mereka mengambil kotak-kotak di rumah. Kami ke depoh mereka untuk proses menimbang. Membayar kos tambang dan urusan dokumentasi yang lain. Berjam-jam juga dibuatnya. Barang-baramg itu mengembaralah dari satu lautan ke satu lautan yang lain. Dari sebuah negara ke negara yang lain. Dari satu terusan ke terusan yang lain. Untuk sampai di Malaysia memakan masa hingga tiga bulan juga. Kerana itu barang-barang tersebut kami hantar lebih awal. Mungkin sebulan atau dua bulan lebih awal. Alhamdulillah apa bila saya terima barang-barang saya kesemuanya dalam keadaan selamat sejahtera. Tiada satupun yang cacat. Intact seperti waktu dibungkus dahulu. Bagaimana di US begitulah di Malaysia. Pernah saya ditakut-takutkan bahawa nanti di Malaysia barang-barang itu akan digeledah kastam dan akan dicukai. Realitinya tidak. Metos sahaja. Dongengan yang tidak pernah benar. Maklumat yang selalu mengelirukan.

Apabila sampai di rumah kotak-kotak itu dibuka satu persatu. Tiada yang hilang. Tiada yang cacat cela. Walaupun dimasukkan dalam kotak ianya mesti disendatkan. Dikejapkan. Jangan sekali benarkan goyang atau goncang. Jika ada ruang memang besar kemungkinannya ianya terhendak atau terantuk sesama sendiri. Apabila itu berlaku akan ada yang pecah, sumpik atau retak. Tentu kesal dan rugi. Pengalaman mengajar saya untuk packing yang sempurna. Menjaga barang sendiri. Lagipun menghantar menggunakan kontena menjadi jaminan kurangnya berlaku hentakan atau himpitan kuat dari berbagai arah. Kotak tidak mungkin dicampak, dilempar atau dihempas. Alat yang khusus mengendalikan kontena. Keselamatannya lebih terjamin. Hilang rasa bimbang sewaktu menghantar barang dahulu. Alhamdulillah diterima dalam keadaan seperti sediakala.

Dalam hidup ini banyak perkara yang perlu dipelajari. Banyak yang non-academic dipelajari melalui pengalaman. Melalui pemerhatian. Melalui taakulan. Pengalaman yang digandingkan dengan pengamatan dan taakulan tentulah lebih menyakinkan. Banyak pintu dan tingkap terbuka untuk menjadikan kita inovatif dan kreatif. Hati kita sentiasa berlapang. Minda kita sentiasa terbuka. Belajar untuk menyempurnakan hidup. Kegunaannya setiap masa dan tempat. Akhirnya kita dilengkapi dengan survival kit yang sukar untuk diterangkan. Natijahnya hidup kita banyak dipermudahkan. Ada sahaja jalan penyelesaian yang dapat dicapai. Akademik hanya satu aspek kecil. Dalam profesion kita banyak tindakan yang bukan akademik. Keputusan yang bukan akademik. Menyelesaikan masalah bukan secara akademik. Lebih banyak pengalaman maka lebih banyaklah peluang untuk survive.

Timbalah seberapa banyak pengalaman yang mungkin. Jangan tolak apabila diberi tugas atau task baru. Ia menjadi  cabaran kepada keluwesan kita. Mencabar fleksibiliti kita. Memberi ruang mengenengahkan bakat yang terpendam. Kita mungkin tiba-tiba menyukai sesuatu yang disogokkan kepada kita walaupun sebelumnya kita langsung tidak ambil pusing akan hal itu. Pengalaman selalu berguna. Mencuba yang baru memberi pengaaman baru. Gagal melaksanakan adalah kerana belum biasa. Belum mendapat kemahiran yang distandardkan. Jika hati diusap suka maka yang payah menjadi senang. Yang tidak pernah dibuat, dicuba berperingkat-peringkat. Tidak pernah ada ruginya mencuba. Tidak ada ruginya menimba pengalaman. Yang baik tetap ada. Selok beloknya kita ketahui. Prosedurnya kita ingat. Kesemuanya membantu bila diperlukan. Pengalaman memperkayakan diri. Kerana itu orang mencari mereka yang berpengalaman. Sekurang-kurangnya kurang kesalahan. Kurang masa untuk memulakan sesuatu. Orang bukan bermula dari zero. Dari pengalaman itu akan lahir aura. Juga authority. Kepakaran. Tidak kurang menjadi personality. Malah ada yang mencapai taraf celebrity. InsyaAllah sdemuanhya dilakukan kerana Allah. Kita kembali kepadaNya.