18 bulan di US banyak juga mengumpul barang. Sewaktu mula mengumpul barang ada juga suara-suara yang tidak mententeramkan. Menujah-nujah fikiran. Banyak benar yang tidak kena. Nanti mahallah. Mana ada duit untuk membayar kos tambangnya. Bolehkah dihantar. Macamana urusannya. Sukar dimengerti akan hasad dan dengkinya. Sifat irinya. Negatifnya. Mereka bukan calang-calang orang. Buat master dan PhD. Sikap akur payah dijumpa. Sifat membantu payah menjadi. Mereka boleh memberi maklumat untuk meringankan kepayahan. Ramai pelajar Malaysia yang terdahulu melakukan yang sama. Mereka membeli barang juga. Menghantar barang juga. Alangkah baiknya jika sifat dan sikap membantu itu diperkembangkan. Ramai orang yang citarasanya berbeza. Tidak perlu menghalang hasrat orang lain. Bantu seperlunya. Memudahkan urusan orang lain.
Saya tidak tahu bagaimana orang lain pack barang mereka. Pengalaman banyak pindah tempat dan banyak pindah rumah membantu saya merencanakan proes packing itu. Saya suka kotak-kotak yang sederhana besarnya. Mudah diangkat. Tidak berat. Sesuai untuk berbagai peringkat umur. Kotak-kotak sebegitu boleh dibeli. Di US memang banyak kedai yang menjualnya. Di sana ramai orang berpindah tempat dan rumah. Keperluannya sentiasa. Barang-barang yang berbentuk kain tidak merisaukan. Banyak cadar dan comforter yang saya beli. Begitu juga tuala. Berbagai saiz. Tuala mandi. Tuala muka. Tuala lap tangan. Kebetulan anak kelima saya masih memakai lampin pakai buang lagi. Banyaklah saya beli untuknya. Murah berbanding di Malaysia. Sebenarnya sudah saya ceritakan dalam entry yang terdahulu. Yang merisaukan ialah barang-barang ceramik, kaca atau jenis yang mudah calar.
Saya bincang dengan isteri saya. Cari akal untuk menyelamatkan pinggan mangkuk dari pecah. Perjalanan beribu-ribu kilometer jauhnya. Mesti diangkut dengan forklift. Dimasukkan dalam kontena. Disusun dalam kapal. Diangkut dengan lori ke destinasi terakhir. Perjalanan yang renyah. Barang-barang fragile. Jika packingnya tidak sempurna pasti banyak yang pecah. Aduhai! Baiklah bagaimana jika disekeliling dalam kotak dibubuh tuala dan lampin anak kecil saya? Tentu menjadi pengampu kepada isinya. Andainya terhentak kuat sekalipun rasanya tidak sampai pecah. Satu dua mungkin. Tetapi tidak mungkin kesemuanya. Lalu pinggan mangkuk yang kami beli kami susun mengikut kotaknya. Letakkan ditengah-tengah. Di sekelilingnya tuala, cadar, comforter dan lampin anak. Ramai rakan-rakan yang terkejut sebab jumlah kotak kami jauh melebihi kotak-kotak mereka. Bila diangkat kotak-kotak itu ringan sahaja. Timbangannya tidak banyak. Kena juga lebih USD400. Lebih RM1,000. Rasanya berbaloi. Masih ada lagi barang-barang itu. Sesekali keluar bila ada keluaga di rumah. Bila ada tamu. Bila ada majlis di rumah. Jamuan-jamuan kecil. Sebahagian tuala masih ada. Comforter juga ada lagi.
Setiap kali kembali ke Malaysia bukan sebuah keluarga sahaja. Pasti ada keluarga lain yang kembali juga. Lazimnya kami berkongsi syarikat forwarding agent. Lori mereka mengambil kotak-kotak di rumah. Kami ke depoh mereka untuk proses menimbang. Membayar kos tambang dan urusan dokumentasi yang lain. Berjam-jam juga dibuatnya. Barang-baramg itu mengembaralah dari satu lautan ke satu lautan yang lain. Dari sebuah negara ke negara yang lain. Dari satu terusan ke terusan yang lain. Untuk sampai di Malaysia memakan masa hingga tiga bulan juga. Kerana itu barang-barang tersebut kami hantar lebih awal. Mungkin sebulan atau dua bulan lebih awal. Alhamdulillah apa bila saya terima barang-barang saya kesemuanya dalam keadaan selamat sejahtera. Tiada satupun yang cacat. Intact seperti waktu dibungkus dahulu. Bagaimana di US begitulah di Malaysia. Pernah saya ditakut-takutkan bahawa nanti di Malaysia barang-barang itu akan digeledah kastam dan akan dicukai. Realitinya tidak. Metos sahaja. Dongengan yang tidak pernah benar. Maklumat yang selalu mengelirukan.
Apabila sampai di rumah kotak-kotak itu dibuka satu persatu. Tiada yang hilang. Tiada yang cacat cela. Walaupun dimasukkan dalam kotak ianya mesti disendatkan. Dikejapkan. Jangan sekali benarkan goyang atau goncang. Jika ada ruang memang besar kemungkinannya ianya terhendak atau terantuk sesama sendiri. Apabila itu berlaku akan ada yang pecah, sumpik atau retak. Tentu kesal dan rugi. Pengalaman mengajar saya untuk packing yang sempurna. Menjaga barang sendiri. Lagipun menghantar menggunakan kontena menjadi jaminan kurangnya berlaku hentakan atau himpitan kuat dari berbagai arah. Kotak tidak mungkin dicampak, dilempar atau dihempas. Alat yang khusus mengendalikan kontena. Keselamatannya lebih terjamin. Hilang rasa bimbang sewaktu menghantar barang dahulu. Alhamdulillah diterima dalam keadaan seperti sediakala.
Dalam hidup ini banyak perkara yang perlu dipelajari. Banyak yang non-academic dipelajari melalui pengalaman. Melalui pemerhatian. Melalui taakulan. Pengalaman yang digandingkan dengan pengamatan dan taakulan tentulah lebih menyakinkan. Banyak pintu dan tingkap terbuka untuk menjadikan kita inovatif dan kreatif. Hati kita sentiasa berlapang. Minda kita sentiasa terbuka. Belajar untuk menyempurnakan hidup. Kegunaannya setiap masa dan tempat. Akhirnya kita dilengkapi dengan survival kit yang sukar untuk diterangkan. Natijahnya hidup kita banyak dipermudahkan. Ada sahaja jalan penyelesaian yang dapat dicapai. Akademik hanya satu aspek kecil. Dalam profesion kita banyak tindakan yang bukan akademik. Keputusan yang bukan akademik. Menyelesaikan masalah bukan secara akademik. Lebih banyak pengalaman maka lebih banyaklah peluang untuk survive.
Timbalah seberapa banyak pengalaman yang mungkin. Jangan tolak apabila diberi tugas atau task baru. Ia menjadi cabaran kepada keluwesan kita. Mencabar fleksibiliti kita. Memberi ruang mengenengahkan bakat yang terpendam. Kita mungkin tiba-tiba menyukai sesuatu yang disogokkan kepada kita walaupun sebelumnya kita langsung tidak ambil pusing akan hal itu. Pengalaman selalu berguna. Mencuba yang baru memberi pengaaman baru. Gagal melaksanakan adalah kerana belum biasa. Belum mendapat kemahiran yang distandardkan. Jika hati diusap suka maka yang payah menjadi senang. Yang tidak pernah dibuat, dicuba berperingkat-peringkat. Tidak pernah ada ruginya mencuba. Tidak ada ruginya menimba pengalaman. Yang baik tetap ada. Selok beloknya kita ketahui. Prosedurnya kita ingat. Kesemuanya membantu bila diperlukan. Pengalaman memperkayakan diri. Kerana itu orang mencari mereka yang berpengalaman. Sekurang-kurangnya kurang kesalahan. Kurang masa untuk memulakan sesuatu. Orang bukan bermula dari zero. Dari pengalaman itu akan lahir aura. Juga authority. Kepakaran. Tidak kurang menjadi personality. Malah ada yang mencapai taraf celebrity. InsyaAllah sdemuanhya dilakukan kerana Allah. Kita kembali kepadaNya.
No comments:
Post a Comment