Saturday, December 17, 2011

Isu Besar Perkara Kecil


Perbalahan selalu berlaku kerana ada sebab musababnya. Konflik selalu berlaku kerana hal-hal yang sukar diselesaikan. Apabila kita berhenti sejenak, kita lihat kembali ke dalam perkara, kita mungkin mendapati sebenarnya dalam banyak konflik penyebabnya terlalu remeh. Terlalu kecil. Terlalulah rendah nilainya. Dua buah negara berperang kerana ego kepala negaranya. Dua kumpulan berkelahi kerana ingin dominan ke atas kumpulan yang lain. Dua orang lelaki bergaduh hanya kerana seorang wanita. Dua orang wanita bercakaran kerana seorang lelaki. Pilihan kita banyak. Alternatifnya sangat boleh dipilih. Jika tiada keinsafan tentang kekerdilan diri maka manusia merasa dirinya besar. Jika tiada kesedaran untuk membina ukhwah maka manusia terlerai dari ikatan yang syumul. Keindahan berharmoni dengan siapa sahaja makhluk yang Allah ciptakan.
Hati kita selalu sukar didamaikan. Kalah dengan akal yang selalunya baik. Yang selalunya mencari kebaikan. Orang yang bijak pandai selalu memikirkan  apa yang lebih baik. Apa yang lebih membahagiakan. Apa yang merangsang keindahan untuk hidup bersaudara. Hidup berjiran. Hidup bermasyarakat. Selalu orang kata no man is an island. Tidak ada yang hidup sendirian. Cukup dengan beersendirian. Damai dengan dirinya sahaja. Monolog sepanjang hidup. Cukup dengan apa yang dia ada. Tiada perkongsian. Tiada berhubungan. Tidak mungkin begitu. Terlalu banyak yang kita perlukan dari orang lain. Keperluan peribadi kita tidak mungkin kita penuhi sendiri. Makan minum mungkin dapat diusahakan sendiri. Itupun bagi yang berbudi dengan tanah. Berusaha dalam air. Orang lain langsung tidak dapat melakukannya. Perlukan sangat bantuan. Bantuan manusia lain yang selalu didambakan.

Malangnya kita selalu lupa pertolomng orang. Pertolongan besar pertolongan kecil. Kita selalu sepelekan hadiah sumbangan dalam bentuk apapun. Fikirkan sejenak. Mungkin benar nilai sesuatu bantuan itu sangat, sangat kecil. Tetapi, tetapi ketika bantuan itu datang kita sangat memerlukannya. Boleh bayangkan satu situasi di sebuah pondok tol. Kita kekurangan 5 sen untuk membayar tol. Kad kredit beribu ringgit. Mana ada tol menerima kad kredit. Kad bank juga empat atau lima. Mana ada tol menerima charge card. Kerana lambat pemandu di belakang datang membantu. Menghulurkan 5 sen. Ala 5 sen. Bukan besar kereta lembu. Kata orang dahulu. Namun jika kita menoleh ke belakang, deretan kereta mungkin sudah memanjang melebihi biasa. Ada yang kurang sabar mula membunyikan hon. Bayangkan jika pemandu di belakang tidak sudi menghulur 5 sen itu. Bukankah kita berada dalam situasi yang sangat gawat. Sangat memalukan. Sangat mengaibkan. Sangat memberatkan harga diri. Runtuh sebuah diri yang ego. Yang besar. Yang agung. Yang hebat. Hanya kerana 5 sen. Sebuah pondok tol yang menghalang kelancaran sebuah laluan. Ingat tadi di lebuhraya. Kita yang paling laju. Kita potong kenderaan lain sesuka hati. Serius untuk sampai ke destinasi. Seolah-olah orang lain tidak pergi ke mana. Mereka semua tidak sibuk seperti kita. Tetapi akhirnya kita tewas hanya kerana 5 sen. 5 sen yang selalu dibuang oleh kanak-kanak sekarang.
Mungkin kita tidak sempat untuk mengucapkan terima kasih kepada yang menolong 5 sen. Entah siapa namanya. Entah dari mana. Entah banyak mana wangnya. Ketika menerima bantuan itu kita mungkin tidak sedar. Menggelabah kerana malu. Kerana aib. Kerana terkesima sendiri. Pertolongan sudah tidak dilihat lagi. Selepas keluar dari tol kita berlepas diri. Ala 5 sen. No big deal.  Terlalu cepat lupa tentang hal besar yang mencemar diri sebentar tadi. Kita tidak merasa suatu bantuan. Suatu pertolongan. Suatu situasi yang diselamatkan. Begitulah kita dengan mansia lain. Ada sahaja yang berkaitan. Tidak pernah terpencil. Apa yang kita perlukan  ada pada orang lain. Besar atau kecil bukan isu. Tinggi atau rendah nilainya bukan isu. Orang lain melengkapkan diri kita. Cebisan-cebisan kecil yang selalunya membina sebuah jigsaw puzzle.
Perbalahan bukan sesuatu yang kita perlukan. Kita perlukan sahabat. Teman. Rakan. Kawan. Pembantu. Penasihat. Penunjuk segala kebaikan. Dalam setiap perkara ada rukun dan syaratnya. Bila rukun maka ada yang perlu pasti dilakukan. Jika tidak disempurnakan rukun maka sesuatu hal itu bukan yang hak. Makan tanpa makanan bukan makan namanya. Memandu tanpa kenderaan tentulah bukan memandu. Maka dalam setiap hal ada yang wajib. Ada yang sunat. Ada yang harus. Ada yang makruh. Ada yang haram. Untuk kebaikan utamakan yang wajib. Untuk menambah kebaikan lalukan yang sunat. Yang ada rukun-rukun sahihnya. Yang dilarang beratkan yang haram kerana jelasnya. Tetapi yang makruh usahakan juga untuk dijauhi kerana itu lebih baik. Tiada subhah langsung. Terhindar dari ragu-ragu. Hilang waham. Terhindar dari syak wasangka.
Namun dalam banyak perbalahan orang tidak melihat keutamaan. Dalam perselisihan pendapat tiada rukun yang diikut. Dalam memberi pendapat orang lupa yang mana hak. Seperkara lagi kita cepat melenting menerima berita. Menerima perkhabaran. Maka mulut cepat membidas walaupun belum tahu benar atau salahnya. Kita tidak bertanya rasionalnya. Tiada kewarasan langsung tentang berita itu. Tiada isu langsung. Kita banyak terpengaruh dengan hal-hal yang sangat kecil. Tersangat kecil. Malang sungguh kita tidak pandai memberi pertimbangan yang wajar. Saya teringat rakyat Amerika. Ada tiga kemahiran yang ditanam kepada mereka sejak sedari mereka kecil lagi. Sewaktu mereka di seklah rendah. Mereka dididik untuk memiliki tiga kemahiran kritikal. Thinking, reasoning and research skill. Percayalah jika kita amalkan ketiga-tiganya kita menjadi lebih rasional. Lebih waras. Bercakap ada bukti nyata. Signifikan. Penting. Ada kewajarannya. Bukan emosi. Isu yang selalu mesti diketepikan. Dihindar. Emosi tiada tempat dalam perbincangan. Dalam apa-apa perbezaan pendapat. Malah kadang-kadang bercinta hingga terlaku emosi juga menghalang kewarasan berfikir.
Alangkah indahnya jika manusia menjadi appreciative. Selalu mengenang yang baik. Teringat yang  positif. Bila agaknya kita boleh menjadi rendah diri. Memandang orang lain juga mulia di sisi Allah. Kita menjadi rasional supaya tidak membebankan akal dan situasi. Tidak semua kita yang suka berbalah. Yang suka bertengkar. Yang suka menyindir. Yang suka sinis. Yang suka mendera perasaan orang lain. Yang suka membesar-besarkan perkara kecil yang tidak perlu menjadi isu. Tiada isupun. Tiada langsung. Mungkin itu keindahan berhubungan dengan manusia. Melayani kaernah yang tidak kita sukai. Wajib dihadapi. Jika kita selamat daripadanya kita mencapai kepuasan diri yang lebih tinggi. Martabat kita semakin bertambah. Darjat kita semakin besar. Kita tidak akan pernah rugi. Pada zahirnya mungkin terasa rendah di dunia. Di akhirat insyaAllah ada ganjarannya. Syaratnya pastilah ada. Untuk sesuatu yang pasti mesti ada syarat. Redha. Ikhlas. Tulus. Serahkan segalanya kepada Allah. Ketika sunyi Allahlah teman kita. Ketika kita ketandusan kasih manusia Allahlah kekasih kita. Serahkan kepadaNya. Minta pertolonganNya. Minta kebaikan dariNya. InsyaAllah doa yang ikhlas akan dimakbulkan Allah. Berdoalah kerana Allah sangat suka memenuhi doa hamba-hambanya. Ingatlah juga bahawa Allah sangat, sangat dekat dengan kita.

Ilmu Adalah Masa Yang Berlalu


Masa terlalu sedikit bagi yang tidak dapat menghargainya. Masa itu berlalu begitu sahaja. Lalu di depan mata. Lalu memanjatkan usia. Lalu membawa semua yang kita ada. Akhirnya masa membawa pergi gigi kita. Membawa pergi cerah mata kita. Membawa pendengaran kita. Membawa rambut kita. Membawa ingatan kita. Membawa kegebuan kulit kita. Membawa kelangsingan tubuh badan kita. Tiada nilainya. Pernahkah kita melihat ke dalam sedalam-dalamnya. Ke dalam lubuk hati kita. Mungkinkah ada kekosongan yang tidak pernah terisi. Terlopong di sana terlopong di sini. Ruang-ruang dalaman yang sunyi dan sepi. Rohani yang selalu meminta. Namun kita mengabaikannya. Kita biarkan ia terus kosong. Mengurungkannya untuk hari tua. Kita selalu take for granted yang kita in akan tua. Ajal adalah milik Allah secara mutlak.  Kita tidak dibenarkan menipu diri sendiri. Tidak layak berkhayal. Bersangka untuk membujuk diri. Takut-takut tertipu dengan dengan yang tidak pasti.

Masa yang tidak diisi tentu payah mengisinya. Kebanyakan masa kita terpedaya denganya. Kita hanya bersangka yang kita memenuhi masa. Realitinya tidak begitu. Ada masanya kita hanya menipu diri sendiri. Cuba muasabah diri. Cuba lihat sejarah diri yang berlalu. Lihat kembali lembaran itu satu persatu. Mungkin akan ditemui sesuatu yang sukar dimengerti. Kita mungkin hanya melepak dan berhenti dari membuat sesuatu yang bermanfaat. Tanyalah siapapun. Bila diajak berbuat sesuatu yang baik jawapanya sama. Bila-bilapun sama. Mana ada masa. Sibuklah. Tak sempat. Banyak kerja lain. Ada komitmen. Buatlah dahulu. Nanti saya menyusul. Demi masa manusia berada dalam kerugian. Itulah wahyu yang selalu mengingatkan kita tentang pentingnya masa. Terlalu penting hingga kita terlalai untuk mengharainya. Tidak meletakkannya di tempat yang tinggi. Masa yang memungkinkan kita hidup. Masa yang memungkinkan kita tamat hayat. Antara hidup dan tamat hayat itu masa yang mengizinkan kita menikmati apa sahaja yang diizinkan Allah. Pastinya bermanfaat jika kita mengerti keutamaannya. Masa adalah untuk dimanfaatkan. Bukan untuk dibiarkan berlalu tanpa mengambil manfaatnya. Orfang yang bijaksana menggunakan masa. Gterlalu banyak masa untuk mereka. Hasil kerja mereka melebihi jangkawaktu hidup mereka. Terlalu melambak-lambak. Membuak-buak dilimpahkan kepada generasi yang terkemudian.

Saya ingin kongsikan apa yang saya dan isteri saya lalui untuk mengisi usia tua kami. Tahun 2003 saya jejaki semula Universiti Malaya. Saya tinggalkanya pada tahun 1979.  24 tahun kemudian saya kembali. Ruangnya sama. Maksudnya berlainan. Dulu saya di sana kerana membina jambatan kerjaya. Inginkan ekonomi yang lebih baik. Yang memberi peluang untuk mengecap nikmat hidup yang lebih sedikit. Sedikit yang Allah izinkan untuk saya. Saya datang kembali kerana ingin menjejak kembali jalan lurus mencari agama sendiri. Mencari makna dan sebab.  Belajar bukan perkara asing. Apa yang kita pelajari mungkin asing. Kita selalu menjadi lebih sekular bebanding seperlunya. Sesudah bersara datang peluang untuk membaiki diri. Kembali menjejak untuk membetulkan haluan. Bukankah saya Islam. Maaf. Banyak tentang agama yang saya tidak tahu. Masih ada luang waktu yang Allah sediakan. Peluang untuk membetulkan arah diri. Menggarap erti agama yang diperlukan. Yang telah kita tinggalkan.

Sewaktu hampir bersara saya cuba bersedia untuk menghadapinya. Selalunya kita sibuk dengan kerjaya semasa masih bekerja. Tidak kenal siang atau malam. Tidak kenal hari kerja dengan hari minggu. Dari pagi hingga ke petang dengan kerja. Tambah mesyuarat. Tokok pula dengan lawatan keluar. Menerima tetamu. Itu belum lagi tuntutan dari orang-orang di bawah. Hal-hal agama hanya solat dan puasa. Zakat dan mungkin haji bagi yang mampu. Bagaimana yang lain-lain? Kita selalu terlalai tentang akidah dan tauhid. Kita lupa tentamg usuluddin. Asal usul agama. Banyak hal agama yang kita tidak pandai. Kita biarkan selalu diri kita bertaqlid sahaja. Ikut apa orang kata. Ikut orang buat. Kita tidak tahu asal usulnya ibadat itu. Kita tidak tahu hukum hakamnya. Malangnya diri kerana tidak banyak memahami Islam agamanya sendiri.

Kita selalu hanya selesa menjadi makmum. Menjadi pengikut. Biarlah jemaah yang lain membuatnya. Biarlah mereka lebih tahu. Kita beranggapan yang selalu salah. Sebagai lelaki kita adalah imam. Imam kepada isteri. Imam kepada anak dan menantu. Imam kepada cucu cicit. Imam kepada sanak saudara. Imam kepada jiran tetangga. Imam kepda orang-orang bawahan kita. Imam kepada masyarakat amnya. Di mana yang kita bukan imam? Larilah ke mana sekalipun kita tetap imam. Selagi kita lelaki selagi itulah kita adalah imam. Maka kita hendaklah menjadi imam. Belajar menjadi imam. Cari pengalaman untuk menjadi imam. Ingatlah, tiada nilainya jika kita hanya menjadi orang biasa-biasa sahaja. Orang yang bernama makmum. Hanya menjadi pengikut dalam semua hal. Nilai kita rendah jika kita hanya menjadi orang awam selama-lamanya. Orang awam yang awam pengetahuannya. Kemahirannya. Kita kena bangkit untuk menjadi orang yang lebih baik dari orang awam. Lebih tinggi dari orang awam. Mendarjatkan diri. Memartabatkan diri.

Semakin tua kita bukan semakin tidak berguna. Hanya pepatah lama yang usang mengatakan bahawa orang tua adalah Quran buruk. Hina benar. Al-Quran yang begitu tinggi darjatnya menjadi buruk. Disimpan tidak dibaca. Tidak disentuh. Tidak dilihat. Tidak lagi ada manfaatnya. Bukan Al-Quran itu yang bermasalah. Al-Quran tidak ada isu buruk. Tidak ada isu lusuh. Tidak ada isu koyak. Tidak dan tidak. Kita yang bermasalah. Jika kita menghafaz Al-Quran tiada isu langsung. Yang koyak hanyalah kertas yang bercetak ayat-ayat Al-Quran. Isinya tetap boleh dibaca. Boleh dihafal. Boleh dilaungkan. Boleh dimanfaatkan. Begitulah orang tua yang bernama warga emas. Jika tidak digilap pudarlah emasnya. Kelam dan suram. Hilang auranya. Hilang cerahnya. Apabila warga emas mengundur diri hilang segala autoriti yang ada padanya. Hilang seri wajahnya. Hilang namanya. Terlipat dalam sejarah yang terbuang. Mungkin, mugkin ada seorang dua yang cuba membuka fail-fail sejarah itu. Menemui semula emas tempauan yang hilang. Jika tidak ianya kembali tertanam menjadi harta karun yang sukar ditemui.  


Itulah tekad saya sebelum bersara. Saya cuba alihkan diri saya ke landasan yang lebih lestari. Tidak tenggelam dalam longgokan persaraan. Tidak usang dalam kesamaran emas yamg dilupakan. Cuba memberi lagi yang terbaik untuk persekitaran saya. Khidmat masyarakat. Khidmat ini selalu ditanam kepada penjawat awam. 5% dari nilaian prestasi tahunan mereka adalah hasil dari khidmat awam. Jika khidmat itu yang besar-besar, kekal begitu selepas bersara banyak nikmat yang akan dinikmati orang-orang di sekeliling. Kadang-kadang kita hanya mampu melakukan yang paling asas. Untuk orang-orang yang paling dekat dengan kita. Jiran tetangga. Sahabat handai. Saudara-mara terdekat. Kadang-kadang itu lebih bermakna kerana kemampuan yang terbatas. Pergerakan yana terbatas. Kemampuan kewangan yang terbatas. Namun hal-hal yang kecil itu kadang-kadang lebih besar manfaatnya. Mencelikkan yang buta. Memberi dengar bagi yang tuli. Membuka segala yang terkatup


Untuk memberi kita kena banyak menerima. Bukan simpati. Bukan empati. Bukan sedekah. Bukan zakat. Bukan bantuan. Bukan tajaan. Kita kena banyak belajar untuk menyediakan diri supaya lebih versatile. Lebih flexible. Lebih viable. Lebih lestari. Perolehi kepelbagaian untuk menangani hal-hal yang lebih rencam. Lebih volatile. Lebih banyak kekangannya. Lebih banyak cabarannya. Tiada jalan pintas. Kita sudah ada pengalaman. Maka sebagai pelengkap hari tua, kita cari lagi ilmu bermanfaat untuk mencapahkan kemahiran diri. Ilmu yang berbagai. Hidup ini terlalu dinamik. Semakin lama kedinamikannya semakin membesar. Tanpa persediaan diri kita tercicir. Tanpa persediaan mental kita tertinggal. Kita menjadi penumpang yang akan dipintas oleh orang-orang yang terlalu laju meninggalkan kita.  Percayalah kita akan tua. Tetapi ada sesuatu pada orang tua yang tidak dapat direnggut oleh orang lain. Pengalaman berharga yang sudah bertahun-tahun dibuktikan benar. Memudahkan kerjaya. Menyelesaikan banyak masalah. Bersedia dengan segala macam perubahan. Bertahun-tahun bertahan menerima segala yang baru. Anjakan-anjakan paradigma yang tidak lagi terkira. Buka minda dan buka hati. Terima perubahan kerana perubahan tidak dapat dinafikan. Tidak dapat ditahan-tahan.


Tahun-tahun 2003 hingga awal tahun 2011 adalah suatu jangkamasa yang panjang. Namum masa yang berlalu tidak pula terasa sangat. Setiap pagi hari Sabtu saya ke KL. Kembali ke Batu Pahat pada malam Ahad. Pukul 4.30 pagi hari Sabtu kami berdua bertolak dari rumah. Solat Subuh biasanya di Bukit Kangkar, Tangkak atau di R&R Ayer Keruh. Pukul 8.00 pagi kelas pertama bermula di UM. Tamat pada pukul 5.00 petang. Seperti peluru saya bergerak ke Taman Samudera di Gombak. Di sebelah Giant Batu Caves. Di UM saya mengikuti kelas Diploma Usuluddin. Isteri saya Diploma Syariah. Di Gombak saya dan isteri belajar Qiraat Nafi’. Sebelum Maghrib proses talaqi itu tamat. Kami bergegas ke UIAM untuk belajar Qiraat Asyara dari pukul 8.00 hingga pukul 10.00 malam. Esoknya hari Ahad kelas bermula semula di UM  dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 5.00 petang. Kami kena sampai di Batu Pahat sebelum pukul 9.00 malam kerana isteri saya mengajar Al-Quran di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Temenggung Ibrahim. Dia akan tamat kelas pada pukul 10.30 malam.


Saya pula terus kembali ke rumah untuk membasuh pakaian. Mungkin memasak jika malas makan di kedai. Lauk ala kadar. Mana yang tercapai tangan. Mana yang terlintas dalam fikiran. Ada masanya hanya telur goreng mata kerbau. Renjis kicap. Pecahkan lada. Bubuh bawang merah atau besar sebagai penyelera. Makanan orang sibuk. Jika rajin mungkin masak sayur. Masak air. Hiris bawang, bubuh garam. Kuah untuk membasah tekak. Menghindar dari tercekik. Bila sudah melepasi zaman kerjaya kita kena mengubah gaya hidup. Santaikan diri. Mudahkan perjalanan hidup. Rasmi-rasmian hanya sekali-sekala. Bila ada majlis. Bila ada tamu. Bila ada aktiviti. Bila ada undangan yang datang sesekali. Menjenguk teman lama. Bertemu kenalan.


Persaraan bukan berhenti dari segala-galanya. Bukan melarikan diri dari kesibukan. Persaraan mengundang lebih banyak kesibukan. Itupun jika kita mahukan hidup yang lebih bererti. Mengisi kekosongan-kekosongan yang masih banyak terluang. Minda kita mesti banyak diguna. Fikiran kita dijana. Jangan biarkan masa berlalu. Isi dengan segala yang boleh mengisi. Semakin tua semakin berisi. Sibuk itu mainan hidup. Terapi hari tua. Penghilang sunyi. Tidak sempat memikir diri. Sesunggunhya hidup ini terlalu singkat untuk berdiam diri. Terlalu banyak yang boleh dilakukan untuk membahagia diri. Cukuplah memberi. Menerima simpati bukan lagi masanya. Mana ada masa untuk menyesali diri. Semua yang berlalu banya kebaikan. Hanya kit ayang kadang-kadang tidak dapat memanfaatkannya. Menerima hanya sesuatu yang  akan dimanfaatkan semula. Untuk disinambungkan kepada orang lain yang ada di sekeiling kita. Bukan untuk self consumption semata-mata. Mudah-mudahan ada manfaatnya. Kongsikanlah dengan orang lain. Berbahagia sesama dengan orang lain.

Friday, December 16, 2011

Seminar Qiraat Peringkat Kebangsaan 2011, UIAM, 19-20 Nov 2011

Bergambar bersama tokoh Al-Quran Malaysia yang tidak asing lagi. Tan Seri Datuk Haji Hassan bin Haji Azhari.

Seminar yang berjaya menghimpunkan 600 orang peserta yang mencintai al-Quran.


PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN QIRAAT:
PENGALAMAN DI UIAM

Md Yusof bin Jamar @ Jamil
mdyusofjamar@yahoo.com



ABSTRAK

Manfaat mempelajari qiraat tidak banyak diketahui oleh khalayak umum kerana qiraat tidak dipelajari secara meluas. Hanya institusi khusus seperti UIAM sahaja yang menawarkan kursus qiraat secara akademik. Kertas kerja ini cuba menghuraikan manfaat yang diperolehi dengan mempelajari qiraat. 22 orang responden telah dipilih untuk mendapatkan respon yang diperlukan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa qiraat banyak membantu dalam mendalami ilmu al-Quran. Bukan sahaja dari segi pembacaan bahkan ilmu-ilmu lain seperti tajwid, wakaf dan iftida’ serta khilaf-khilaf yang berlaku antara imam-imam qurra’. Adalah dicadangkam supaya qiraat diperluaskan kepada khalayak Islam di Malaysia supaya keindahan al-Quran benar-benar meresap ke dalam kehidupan ummah.





1.0              PENDAHULUAN


1.1              LATARBELAKANG

Pengajian al-Quran ibarat laut tidak bertepi. Terlalu luas dan sangat menakjubkan. Semakin dipelajari semakin banyak lagi yang perlu dipelajari. Antara bidang al-Quran yang baru hendak dimajukan di Malaysia ialah Qiraat. Sejarahnya sudah lama sejak dari Rasulullah lagi namun di Malaysia belum lagi menjadi bidang yang diutamakan. Walaupun ada kelas mengenainya dijalankan oleh guru-guru yang pakar tetapi ianya tidak diadakan secara formal. Bagi mereka yang ingin mempelajarinya selalu tertanya-tanya dan tercari-cari sekiranya ada kelas dijalankan di mana-mana yang berdekatan dengan tempat kediaman mereka. Malangnya pakar-pakar qiraat tidak ramai. Mereka tidak berada di banyak tempat. Paling ramai mereka berada di Lembah Kelang, khususnya di Kuala Lumpur. Antara sebabnya ialah kerana bayak institusi yang memperkembangkan pengajian qiraat sama ada secara individu, swasta  atau organisasi besar. Ramai yang mencari akan adanya kelas-kelas qiraat. Alhamdulillah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah mengambil inisiatif untuk memulakannya secara akademik. Sejak tahun  2003 lulusan yang telah dihasilkan melebihi 50 orang.

Qiraat adalah sebahagian penting dari pengajian al-Quran. Bagi mufasirin, penguasaan tentang qiraat adalah syarat penting. Tanpa qiraat pentafsiran al-Quran tidak dianggap lengkap. Mengenai qiraat ini, ramai yang biasa dengan Qiraat Sab’a (Qiraat tujuh). Di UIAM Qiraat ‘Asara (Qiraat sepuluh) yang diberi tumpuan. Kebanyakan responden yang mengikuti kursus ini datang dari mereka yang tinggal di Lembah Kelang. Walau bagaimanapun ramai juga yang datang dari luar kawasan. Kesemua yang datang dari jauh ini adalah orang dewasa yang sudah berjawatan dan berpendapatan. Bukan itu sahaja ramai juga yang sudah bersara. Maka perbincangan ini tidak lagi meliputi isu mengenai pedagogi tetapi andragogi. Orang-orang dewasa mempunyai minat dan selera yang berbeza dengan anak-anak sekolah. Dorongan intrinsik mereka yang menjana usaha untuk menambahkan ilmu mengenai al-Quran khsusunya qiraat.  Mereka memiliki inisiatif yang tinggi untuk mempelajari qiraat.

Kertaskerja ini mengkaji 22 orang responden yang masih mengikuti kursus qiraat di UIAM. Maklumat yang terhimpun memperjelas bukan sahaja keupayaan mereka mengikuti kelas qiraat bahkan memberikan gambaran positif tentang perkembangan  pengajian qiraat di Malaysia khsusunya di UIAM.
           


1.2              PERMASALAHAN

Pengajian qiraat telah agak lama diperkatakan di Malaysia. Yang selalu menjadi kesukaran ialah mencari kelas-kelas yang menganjurkannya. Selain daripada itu kaedah mempelajarinya juga menjadi topik perbincangan kerana mempelajari qiraat memerlukan masa yang panjang. Untuk  mempelajarinya  memerlukan ketekunan dan intelek yang berbeza berbanding dengan mempelajari al-Quran mengikut riwayat Hafs ‘an ‘Aasim toriq Syatibiyyah kerana kita sudah terlalu biasa dengannya. Oleh itu kertaskerja ini akan membincangkan mengenai hal-hal yang berkaitan.


1.3              OBJEKTIF

i           Untuk mengenalpasti qiraat yang dipelajari di Malaysia.
ii          Untuk mengenalpasti responden-responden yang mengikuti pengajian qiraat.
iii         Untuk mengenalpasti kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan dalam kelas qiraat di UIAM.
iv         Untuk mengenalpasti manfaat mempelajari qiraat.

2.0              QIRAAT ‘ASARA

Pengajian qiraat di UIAM adalah berdasarkan Qiraat ‘Asara. (Mohd Rahim Jusoh, 2001 dan Abu Mardhiah, 2007). Nama-nama imam qurra’ yang sepuluh dan perawinya adalah seperti di bawah:

Bil       Imam Qurra’   Perawinya

1          Nafi’                Qalun
                                    Warsy

2          Ibn Kathir        Al-Bazzi
                                    Qunbul

3          Abu Amr          Ad-Duriy
                                    As-Susi

4          Ibn ‘Aamir       Hisham
                                    Ibn Zakuan

5          ‘Aasim             Syu’bah
Hafs

6          Hamzah            Khalaf
Khalad

7          Al-Kisaie         Abu Al-Harith
                                    Ad-Duriy

8          Abu Jaafar       Ibn Wardan
                                    Ibn Jammaz

9          Ya ‘qub            Ruuh
                                    Ruwais

10        Khallad            Ishaq
                                    Idris



Senarai di atas menunjukkan imam-imam qurra’ yang sepuluh. Daripada jadual itu imam Nafi’ adalah pada kedudukan pertama dan yang terakhir ialah imam Khallad. Imam ‘Aasim ialah pada kedudukan kelima. Namun demikian qiraat ‘Aasim adalah yang paling popular. Lebih 60% penduduk dunia membaca qiraat ‘Aasim. Al-Quran yang bertulisan Rasm Uthmani boleh digunakan untuk membaca kesemua qiraat.


3.0              TOPIK-TOPIK PENGAJIAN QIRAAT

Pengajian qiraat memerlukan kekuatan mental. Pemikiran yang tinggi juga diperlukan. Banyak yang perlu dipelajari, diingat dan dihafal. Usul qiraat menyenaraikan topik-topik yang berikut:

3.1              Lafaz berkaitan huruf sod
3.2              Idgham kabir
3.3              Ha kinayah
3.4              Mad dan qasar
3.5              Dua hamzah dalam satu kalimah (hamzahtain min kalimah)
3.6              Dua hamzah dalam dua kalimah (hamzahtain min kalimatain)
3.7              Hamzah mufrad
3.8              Naql hamzah pada huruf sebelumnya
3.9              Saktah sebelum hamzah
3.10          Idham soghir
3.11          Idgham mutaqorabain
3.12          Nun yang mati atau tanwin
3.13          Fatah dan imalah huruf-huruf ro’
3.14          Huruf-huruf lam
3.15          Raum dan isymam
3.16          Ya’idhofah
3.17          Tambahan huruf ya’ pada kalimah
3.18          Ifrad dan jama’ pada bacaan

Banyak lagi sebenarnya yang dipelajari tetapi tidak dapat disenaraikan secara terperinci lagi. Antaranya ialah hal-hal yang berkaitan dengan taghliz, taqlil dan lain-lain yang berkaitan.


4.0              KURSUS QIRAAT: PENGALAMAN DI UIAM

4.1              Responden

            Kebanyakan responden yang mengikuti kursus Qiraat di UIAM terdiri dari orang dewasa. Lebih      
            khusus lagi mereka adalah orang-orang yang bekerja atau yang telah bersara. Walau bagaimanapun 
            terdapat juga sebilangan pelajar yang mengikutinya. Jadual  di bawah menunjukkan bahawa
            responden lelaki adalah seramai 13 orang iaitu 59.10%. responden wanita pula seramai 9 orang atau
           40.90%.

   Lelaki       %      Wanita         %      
Jantina        13        59.10        9          40.90
Jumlah        13        59.10        9          40.90


4.2              Usia responden
Umur      Lela-             Wani-               
(tahun )   ki         %       ta        %       Jum        %

20-30       4      18.20   3        13.60     7        31.80
31-40       3      13.60   2         9.10      5        22.70
41-50       1      4.50     0         0.00      1          4.50
Lebih 50   5      22.70   4       18.20      9        40.90
Jumlah   13      59.10   9       40.90     22     100.00

            Jadual di atas memberikan gambaran tentang kelompok usia responden. 9 daripada responden  
            atau    40.90% adalah mereka yang berusia melebihi 50 tahun. Kelompok usia paling muda  
            adalah seramai 7 orang (31.80%).

           
4.3              Peringkat kelayakan akademik responden

Kelayakan       Lela-           Wani-                  
Kelayakan       ki       %      ta          %      Jum        %

Sarjana            3      13.60    0       0.00      3        13.60
Sarjana Muda  2        9.10    4      18.20     6        27.30
Diploma           3      13.60    1       4.50      4        18.20
STPM/STAM  1        4.50    1       4.50      2          9.10
Matrikulasi       0        0.00    2       9.10      2          9.10
SPM/MCE      3      13.60    0       0.00      3        13.60
Lain-lain           1        4.50    1       4.50      2          9.10
Jumlah           13     59.10    9     40.90     22     100.00

Jadual di atas menunjukkan ramai antara perserta memiliki pendidikan peringkat pengajian tinggi. 13 orang atau 59.10% memiliki diploma, sarjana muda dan sarjana. Kelayakan akademik paling rendah tidak dinyatakan responden.


4.4              Pekerjaan/bidang pekerjaan responden

Pekerjaan/          Lela-           Wani-               
Bidang                ki        %      ta        %      Jum        %

Pelajar                 4      18.20  2       9.20     6         27.30
Pesara                 3      13.60  3     13.60     6         27.30
Guru                    2        9.10  0       0.00     2           9.10
Suri Rumah          0        0.00  2       9.10     2           9.10
Guru Agama        1        4.50  0       0.00     1           4.50
Eksekutif              0        0.00  1       4.50     1           4.50
Jururunding IT      1        4.50  0       0.00     1           4.50
Editor                   0        0.00  1       4.50     1           4.50
CEO Syarikat      1        4.50  0       0.00     1            4.50           
Pegawai Tentera  1         4.50 0        0.00    1            4.50
 Jumlah              13     59.10  9      40.90    22     100.00    

        Jadual di atas menunjukkan bahawa 16 orang atau 72.70% responden adalah mereka yang sedang  
           bekerja dan yang  sudah bersara. Jumlah pesara adalah seramai 6 orang atau 27.30%. Agak 
           menarik daripada 16 orang responden hanya seorang sahaja adalah guru agama. Yang lain 
           memegang berbagai jawatan seperti eksekutif, jururunding IT, editor, CEO dan pegawai tentera. Ini 
           menunjukkan bahawa pengajian qiraat juga menjadi tarikan kepada mereka yang bukan dari bidang
           agama.

                       
4.5              Negeri tempat tinggal responden

                                                Wani- 
Negeri             Lelaki     %         ta            %       Jum        %

Selangor          5          22.70      4          18.20     9          40.90
Pahang             2            9.10     2            9.10     4          18.20
Johor               1            4.50      1            4.50     2            9.10
Kedah             2            9.10      0            0.00     2            9.10
Perak               1            4.50     0            0.00     1            4.50
Perlis               0             0.00     1            4.50     1            4.50
Jumlah           13         59.10     9          40.90    22       100.00

Dalam jadual di atas terdapat 12 orang responden atau 54.50% yang datangnya dari Selangor dan Wilayah Persekutuan. Yang lain datang dari Pahang (18.20%), Johor (9.10%), Kedah (9.10%) dan Perlis (4.5%).


4.6              Jarak perjalanan perserta

Jarak
Perjalanan        Lela-                Wani- 
(km)                ki          %         ta            %      Jum         %

Kurang 50        7       31.80       7          31.80   14         63.60
51-100             1         4.50       1            4.50     2           9.10
101-150           1         4.50       1            4.50     2           9.10
151-200           1         4.50       0            0.00     1           4.50
201-250           0         0.00       0            0.00     0           0.00
251-300           0         0.00       0            0.00     0           0.00
Lebih 300         2         9.10       1            4.50     3         13.60
Jumlah           13       59.10      9          40.90    22       100.00

Dalam jadual di atas16 orang responden (72.70%) datang dalam lingkungan 100 kilometer dari UIAM. Namun demikian  6 daripada responden datang dari jauh yang jaraknya hingga melebihi 300 kilometer.  

                                                                           
            4.7       Mod pengangkutan responden

            Mod                Lela-                Wani-
            Pengangkutan  ki          %         ta          %      Jum         %

            Kereta sendiri   9        40.90   6          27.30   15        68.20
            Bas ekspress    2          9.10   0            0.00   2            9.10
            Berjalan kaki    2          9.10   2            9.10   4          18.20
            Teksi                0         0.00    1            4.50   1            4.50
            Jumlah            13      59.10   9          40.90   22      100.00  


Walaupun ramai responden yang tinggal dalam lingkungan 100 kilometer memandu kereta sendiri tetapi sebenarnya ramai juga mereka yang datang dari luar UIAM adalah memandu sendiri. Selain daripada itu terdapat 2 orang responden (9.10%) datang dengan menaiki bas ekspress seperti ditunjukkan dalam Jadual di atas.


4.7              Objektif pembelajaran responden
                                              Kekera-
Bil       Respon                                    pan                    %    

1                    Berminat mendalami                  12                26.10
al-Quran
2                    Mengetahui cara-cara                11               23.10
bacaan dari imam qiraat
selain qiraat Hafs
3                    Mendalami ilmu agama dari         5               10.90
al-Quran
4                    Menyempurnakan fardhu             3                 6.50
Kifayah
5                    Untuk mengetahui nilai                 3                 6.50
sebenar qiraat
            6          Memartabatkan ilmu qiraat          2                 4.30
            7          Untuk memantapkan lagi             2                 4.30
bacaan al-Quran
            8          Untuk menyebarkan ilmu             2                 4.30
al-Quran
            9          Mencari ilmu yang diredhai          1                 2.20
Allah
            10        Untuk mengaplikaasi IT               1                2.20
dalam pembelajaran qiraat
            11        Untuk mendapat keberkatan       1                 2.20
Allah
            12        Untuk menyedarkan                   1                  2.20
Masyarakat
            13        Menguasai bidang yang               1                 2.20
jarang dikuasai oleh orang
awam
            14        Untuk mendalami ilmu tafsir        1                 2.20
            Jumlah                                                46             100.00



Terdapat sebanyak 46 respon seperti ditunjukkan dalam jadual di atas. Respon yang paling tinggi kekerapannya ialah responden ingin mendalami al-Quran (26.10%). Terdapat pula 23.90% responden yang mempelajari qiraat kerana minat mereka untuk mengetahui lain-lain qiraat selain Hafs. Selain daripada itu banyak fokus responden mengenai pembelajaran qiraat selain yang disebut di atas.


            4.9       Teknik pengajaran dan pembelajaran yang digunakan pada persepsi pelajar

                                                                                    Kekera-
            Bil       Respon                                                 pan             %

            1          Perbincangan dan pembentangan            11          21.60
            2          Bertalaqi secara individu                           9          17.60
            3          Guru mendengar bacaan responden          7          13.70
dan membetulkan kesilapan
            4          Guru membaca secara jama’ dan             7          13.70
diikuti oleh responden mengikut
kaedah di Mesir
            5          Membaca usul qiraat                               7           13.70
            6          Ujian bertulis dan hafazan                        4             7.80
            7          Guru membuat tunjuk cara                      2             3.90
            8          Talaqi secara beramai-ramai                    2            3.90
            9          Kerja kumpulan                                      1             2.00
            10        Soal jawab                                             1             2.00
Jumlah                                                             51        100.00


Jadual dii atas adalah respon daripada responden berdasarkan persepsi mereka. Mereka mendapati bahawa kaedah yang paling kerap digunakan ialah perbincangan dan pembentangan mengenai topik-topik qiraat (21 ;60%). Responden juga positif mengenai proses talaqi (17.60%), pembetulan dalam pembacaan (13.70%), membaca secara jama’ (13.70) dan membaca usul  qiraat (13.70%).


            4.10     Kebaikan teknik yang digunakan mengikut persepsi responden

            Bil       Respon                                             Kekera- 
                                                                                pan            %

            1          Memudahkan kefahaman                    7            21.20
2          Meningkatkan kefahaman                   4            12.10
3          Kesilapan bacaan dibetulkan               4            12.10
semasa bertalaqi 
            4          Berkesan                                           3              9.10
            5          Mengetahui sanad bacaan hingga        2              6.10
Rasulullah SAW
            6          Memudahkan pelaksanaan amali        2              6.10
Bacaan
            7          Pembentangan dalam kelas                 1              3.00
memantapkan kefahaman mengenai
qiraat
            8          Ujian syafawi (membaca)                   1              3.00
menggalakkan hafazan 
9          Ujian tulisan menggalakkan                1              3.00
Pembelajaran
            10        Boleh diikuti                                      1              3.00
11        Meningkatkan interaksi antara guru    1              3.00
dan pelajar
12        Mudah diadaptasi                              1              3.00
13        Sama kaedahnya seperti di Mesir       1              3.00
14        Sesama ahli kumpulan membantu       1              3.00
membetulkan kesalahan
15        Mengetahui usul qiraat setiap imam     1             3.00
16        Mengetahui bacaan secara jama’                    3.00
17        Rujukan membantu                            1              3.00
            Jumlah                                            33         100.00


                                   
Teknik pengajaran dan pembelajaran yang digunakan di dalam kelas seperti di atas memberikan impak kepada pelajar. 21.20% responden berpendapat bahawa teknik-teknik yang digunakan memudahkan kefahaman mereka. 12.10% mengatakan tekniknya meningkatkan kefahaman. 12.20% juga mengatakan kesilapan semasa membaca dapat dibetulkan sertamerta. 


            4.11     Faedah mempelajari qiraat

            Bil       Respon                                                 Kekera- 
Pan              %

            1          Mengetahui pelbagai wajah qiraat         9               24.30
            2          Menambahkan kefahaman ilmu             6               16.20
tajwid
3          Meningkatkan mutu bacaan                  5               13.50
            4          Menambahkan keyakinan membaca     3                 8.10
qiraat lain       
            5          Mengetahui cara bacaan qiraat yang     3                 8.10
Betul
            6          Membantu menguasai bacaan               2                5.40
riwayat Hafs ‘an ‘Aasim
            7          Lebih yakin melaksanaan bacaan          2                5.40
mengikut Rasm Uthmani
            8          Mengetahui usul qiraat setiap imam       2                5.40
            9          Dapat mengenalpasti kesalahan            1                2.70
bacaan
            10        Melaksanakan bacaan qiraat dalam      1                2.70
Solat
            11        Mempelajari qiraat lain selain                1                2.70
daripada Hafs ‘an ‘Aasim
            12        Boleh melaksanakan qiraat                   1                2.70
mengikut kemampuan diri sendiri
            13        Kefahaman tentang farasy bacaan         1                2.70
                        Jumlah                                               37           100.00


Jadual di atas menunjukkan bahawa 24.30% responden positif kerana mereka dapat mempelajari pelbagai qiraat. Selain daripada itu penglibatan mereka menambahbaik kemahiran mereka tentang al-Quran khususnya qiraat.


            4.12     Masalah yang dihadapi berkaitan pengajian qiraat
 
            Bil        Respon                                             Kekera-  
                                                                                 pan             %

1                    Kurang rujukan mengenai qiraat          6              27.30
dalam bahasa Melayu
2                    Kurang pengusaan bahasa Arab          5              22.70
menyukarkan membuay rujukan
            3          Masa belajar tidak mencukupi            4               18.20
            4          Perlukan masa yang lama untuk           2                9.10
membaca qiraat dengan betul                                    
5          Masyarakat tidak peka tentang ilmu     1                4.50
qiraat                                                                          
6          Perlukan masa yang lama untuk           1                4.50
memahami cara bacaan qiraat
            7          Perlukan guru tuisyen talaqi                 1                4.50
            8          Banyak gangguan kerja dan rutin         1                4.50
harian
            9          Kurang guru yang berkelayakan          1                4.50
mengajar qiraat
                                   Jumlah                                   22           100.00                                                                                                       

Jadual dii atas menghuraikan masalah paling besar dalam mempelajari qiraat ialah kurangnya buku rujukan dalam bahasa Melayu (27.30%). Masalah besar yang kedua ialah mengenai penguasaan bahasa Arab yang terlalu rendah (22.70%). Ada juga yang mengatakan bahwa masa untuk mempelajari qiraat tidak mencukupi (18.20%).

           
            4.13     Cadangan untuk memperbaiki pengajaran dan pembelajaran qiraat
           
            Bil        Respon                                               Kekera-
pan          %

            1          Tambahkan masa belajar                       4        22.22  
            2          Banyakkan ulangkaji kendiri                  2        11.11
            3          Qiraat perlu dimulakan dari awal            1          5.55
dengan memasukkannya dalam                   
silibus sekolah
            4          Catatan dari pengajaran dan                  1          5.55
pembelajaran dibukukan untuk
rujukan  
            5          Adakan gerakkerja berkumpulan          1            5.55
            6          Banyak mendengar MP3 mengenai       1            5.55
bacaan qiraat
            7          Selalu bermusyafahah dengan guru        1            5.55
            8          Kembangkan teknik mengingat uslul      1            5.55
dan farasy huruf
            9          Bantu membantu antara guru dan          1            5.55
responden dalam pengajaran dan
pembelajaran
            10        Banyakkan rujukan dalam bahasa         1            5.55
Melayu
            11        Pelajari qiraat berperingkat-peringkat   1            5.55
            12        Setiap qiraat diajar secara berasingan              5.55
supaya lebih mantap
            13        Membaca jama’ bila sudah mantap       1            5.55
            14        Perluaskan pendedahan mengenai         1            5.55
qiraat
            Jumlah                                                            18     100.00

Jadual di atas menunjukkan responden memberikan banyak cadangan mengikut situasi mereka masing-masing. Terdapat 22.22% responden mencadangkan agar pengajian qiraat ini dipanjangkan masanya.


5.0              ANDRAGOGI

Orang dewasa tidak perlukan gesaan dan desakan untuk belajar. Segala-galanya perlu diatur dengan sengaja. Banyak usaha dan rangsangan datangnya dari dalam diri. Secara lumrahnya orang dewasa yang belajar bukan kerana disuruharah. Apabila mereka menetapkan hati untuk belajar bermakna mereka mendapat dorongan dari dalam. Pengalaman memainkan peranan dalam proses orang dewasa untuk bersekolah semula. Pada akhir proses sesuatu pembelajaran, orang dewasa inginkan nilai tambah sama ada dari segi kemahiran ataupun teori.



6.0              SUATU HARAPAN

Bagi mereka yang mempelajari qiraat mereka mendapat kemanisan ilmu. Qiraat bukan sahaja membuka dimensi baru dalam mempelajari al-Quran malah memantapkan lagi kemahiran al-Quran yang sedia ada. Banyak harapan untuk masa hadapan bidang qiraat. Jika ada usaha untuk menyebarluaskannya tentu qiraat akan mendapat tempat di hati penggemar-penggemar al-Quran secara khusus dan kepada semua umat Islam pada umumnya. Adalah dicadangkan bahawa qiraat perlu dipelajari sejak dari kecil lagi. Memasukkannya dalam silibus sekolah (rendah dan menengah) akan membuka ruang baru dalam pengajian qiraat. Penggemblingan pakar-pakar qiraat diperlukan untuk memperbanyakkan rujukan mengenai qiraat dalam bahasa Melayu. Selain daripada itu media elektronik perlu memainkan peranannya dalam memperkembangkan pengajian qiraat kepada khalayak umum. Aspek mengenai bahasa Arab pula tidak boleh diabaikan. Pengajian qiraat memerlukan penguasaan bahasa Arab. Oleh itu pembelajaran mengenai bahasa Arab perlu digandakan supaya lebih ramai orang yang menguasainya.


RUJUKAN

Abu Mardhiyah (2010). Panduan Penulisan Al-Quran (Rasm Othmani) Riwayat Hafs ‘An  'Aasim.
           Gombak : Al-Jenderaki Enterprise.

Abu Mardhiyah (2007). Tajwid Al-Quran Qiraat ‘Aasim – Riwayat Hafs Toriq Al-Syatibi.            
           Gombak : Al-Jenderaki Enterprise.

Mohd. Azhar Abdul Hamid et.al. (2004). Andragogi – Mengajar Orang Dewasa Belajar           
           Bentong : PTS Publications & Distributions Sdn. Bhd.

Mohd Rahim Jusoh (2001). Pengenalan Ilmu Qiraat. Batu Caves : Mahsuri Timur Sdn. Bhd.