Monday, June 6, 2011

Lambungan Kos Hidup

Semalam terkejut besar saya. Kejutan paling besar pernah saya hadapi dalam hidup yang mencecah 65 tahun. Bil elektrik saya RM356.00. Bilnya panjang berjela. Selalunya antara 130 hingga 170 sahaja. Kali ini dua kali ganda. Walaupun kadarnya dikatakan bertambah hanya beberapa peratus sahaja tetapi itu dari segi formula. Realitinya saya rasa ramai orang yang terkejut. Selepas ini barang-barang pasti menancap naik dengan gilanya. Giler kata orang sekarang. Sudahlah minyak naik, elektrik pula naik. Hati kecil saya membentak. Cukuplah setakat ini. Enough is enough. Kita bukan perlukan kegilaan. Kita perlukan kehidupan yang lebih selesa. Itupun matlamat kita sewaktu hendak merdeka dahulu. Membebaskan diri dari banyak belenggu. Bukan semakin dibelenggu. Nikmat hidup yang semakin mahal.

Gaji saya yang dikira ribu masih terasa bebannya. Bagaimana dengan mereka yang berpendapatan rendah. Entahlah. Jika masih mendongak ke langit juga buntulah saya memikirkannya. Sampai bila kita terus dilambung dengan gundah gelana. Benarlah firmah Allah yang mafhumnya, jika tidak kita usahakan apa yang kita hendak tentu kita tidak mendapat apa-apa faedahnya. 55 tahun orang Melayu masih tidak mendepani ekonomi. Sekarang beratnya bebanan hidup semakin menghimpit. Terasa ditekan-tekan. Untuk melepaskan diri tentu ada cara lain yang lebih mudah.  Namun, mana mungkin kita tidak menggunakan elektrik. Jika seterika dikatakan paling kuat memakan elektrik, kita tidak berupaya menghentikan kegunaannya. Bagi yang ramai anaknya masih bersekolah tidak mungkin pakaian mereka tidak berseterika. Markah penampilan anak bakal menjunam kerana keterampilan dari segi berpakaian jatuh merudum. Mana mungkin seorang pegawai pakaiannya tidak berseterika. Musnah imej kepegawaiannya. Imej jabatannya. Imej syarikatnya. Imej profesionnya.

Kita memasak menggunakan elektrik. Peti ais. Kipas. Lampu. Mesin basuh. TV. Mengecas telefon. Radio. Pemanas air. Mandian panas di bilik air. Banyak lagi penggunaan elektrik. Kita selalu lupa tentang the game of numbers. Semakin banyak semakin menirus. Semakin kecil. Discounted. Keuntungan diperolehi dengan more numbers. The more the merrier. Di tanah air tercinta  ini keadaan sebaliknya berlaku. Kita didenda kerana menggunakan banyak. Hakikatnya elektrik menjadi suatu kemestian. Keperluan keutamaan. Bukan mainan. Bukan suka-suka. Bukan kemewahan. Taraf hidup yang semakin tinggi memerlukan alat kemudahan yang semakin canggih. Kita sepatutnya berusaha untuk mengurangkan kos. Lagi sekali kita mesti bermain dengan nombor. Semakin banyak semakin murah. Economic of scale. Specialization. Jika semakin banyak semakin mahal tentu kita akan mengundur ke belakang. Less to be consumed means slowing down the economy. It will be the game of balance. Satu naik satu turun. Elektrik naik, ekonomi turun.

Kos hidup bukan lambang kemajuan. Bukan lambang tamadun sudah berkembang. Dari segi ekonomi ianya suatu kegagalan. Mengurangkan kos merupakan usaha paling baik. Di sini penyelidikan diperlukan. Penemuan-penemuan baru yang mesti dihasilkan. Pokoknya penjimatan kos pengeluaran. Kos pentadbiran. Maka teknologi perlu dilihat semula. Dasar digubal semula. Pentadbirannya dilihat semula. Pentadbirnya dilihat semila. Complete overhaul. Change and improvement has to be done. Watching is just too painful. Feeling greatly wretched. Dalam mengurus hal yang besar tentu sahaja kita tidak bermain dengan simple calculation.  Tidak hanya mencampur 2 dengan 2 sahaja. Segala aspek yang perlu being improved mesti dilaksanakan. Upgrading mesti dilakukan. Tetapi bukan untuk menambah kos dengan alasan production bertambah. Jika itu alasannya, usahawan itu akan gagal. Usahanya nanti gagal.

Kadang-kadang saya rindu kembali sewaktu di US dahulu. Suatu ketika telur ayam hendak dinaikkan sebanyak 1 sen sebiji. Mind you one single cent per egg. Syarikat mengiklankan hasratnya itu melalui dua muka surat akhbar tempatan. Center fold. Kanan dan kiri. Berbagai alasan diberikan kepada pengguna. Mereka memohon supaya pengguna merestui tindakan mereka. Jika alasannya menasabah, pengguna memberi restu. Jika tidak pengguna menyatakan bantahan mereka dalam bentuk tindakan. Bukan dengan demontrasi atau piket. Mudah sangat tindakannya. Mereka tidak membeli. Syarikat pasti menanggung kerugian yang berganda-ganda. Telur akan melambak di pasaran. Banyak yang busuk dan dibuang begitu sahaja. Di sana pengguna adalah raja. Bukan pengeluar yang menjadi raja. Usahawan  hanya memberi perkhidmatan. Perniagaan itu pekhidmatan.  Bukan pemerasan. Pemerasan berdosa dari segi Islam. (Sila baca artikel saya sebelum ini mengenai cara orang Amerika berniaga besar – Mengapa Ada Jualan Gudang ).

Mulai sekarang kita kena menstruktur semula kehidupan kita. Kita sudah semakin tidak mampu untuk menikmati affluent living. Baliklah hidup seperti orang kampung zaman saya pada tahun-tahun 60an dahulu. 50 tahun dahulu. Mungkin lebih senang menggunakan pelita minyak tanah. Bilnya sangat minimum. Kos minyak tanah sahaja. Alat perkakas rumah tidak perlu digunakan. Makan makanan segar. Peti ais gunakan untuk menyimpan baju. Pakaian kotor basuh gunakan tangan. Pakaian tidak perlu diseterika. Ikut cara P Ramlee. Letak bawah tilam eloklah dia. Are we backtracking? Sama-sama kita renungkan. The ball is in your feet. It is for you to kick. Saya hanya mampu memandang dari jauh. Dengan hiba yang tersangat-sangat.


Sunday, June 5, 2011

Di Mana Taraf Orang Melayu

Sudah empat kali saya ke hospital swasta ini. Empat kali membawa bapa mertua saya memeriksa telinganya. Al-maklumlah sudah lanjut benar usianya. Pendengarannya sudah terganggu. Banyak peralatan tubuh yang sudah luput usia. Sukar hendak berbicara kecuali seperti orang bertengkar. Terpaksa bercakap kuat sedikit. Itu sahaja yang mampu untuk berkomunikasi. Diusahakan juga supaya bertambah baik pendengarannya. Namun seperti minyak di tangki, sudah hampir kering. Ditambahpun tidak memberi bekas. Namun begitu usaha tetap usaha. Kuasa Allah yang diharapdoakan.

Cuma hari ini Isnin 6 Jun 2011, bapa mertua saya agak kritikal pertanyaannya kepada saya. Dia memerhati keliling. Kenapa hanya ada beberapa orang Melayu yang dilihat. Hampir 99% adalah orang lain. Khususnya orang Cina. Saya hanya mampu memberi isyarat jari bahawa semuanya kerana wang.  Geselan jari saya menunjukkan bahawa semuanya kerana orang Melayu tidak berkemampuan untuk mendapatkan rawatan yang lebih berkualiti tinggi. Yang lebih memberikan perhatian sewajarnya. Tidak pula saya mengatakan bahawa di hospital kerajaan atau di klinik-klinik seluruh negara tidak memberi perhatian. Layanan yang diberi sepadan dengan wang RM1.00 yang dibayar. Ruang hospital dikongsi pula dengan seramai-ramai rakyat jelata. Masa perlu dibahagi-bahagikan seupaya supaya setiap orang mendapat layanan seadanya. Tidak lebih dan tidak kurang. Ramai lagi yang menanti. Bukan seorang pesakit sahaja yang perlukan layanan paling mesra. Doktor sudah  tidak mampu lagi menjadi terlalu personal. Kudratnya sudah sampai ke dasar.  Habis terhakis. Doktor seperti tidak boleh untuk selesa bernafas. Hidupnya hilang seri. Kadang-kadang kemanusiaannya terlempar juga ke lantai tempatnya bekerja.

Senerio di hospital swasta jauh berbeza. Itupun saya kira ramai juga. Terpaksa juga menunggu sejam dua. Bukan seperti laluan ekspress. Penduduk semakin ramai. Yang sakit juga nisbahnya mengikut penduduk. Semakin ramai orang semakin ramai pesakit. Maka di hospital swasta juga ramai. Walau bagaimanapun bilangannya tolerable. Menasabahlah sejam dua. Bukan sehari atau dua hari. Datang tidak dijemput dan perginya tidak dipeduli. Bagi yang memiliki kemampuan elok benar melarikan diri dari institusi kesihatan milik kerajaan. Bukan benci. Kita harus melihatnya dari sudut lain. Sudut yang lebih positif. Bebanan kerajaan dapat dikurangkan. Tekanan kepada kewangan kerajaan dapat diampu sedikit. Sumber kewangan yang selalu berkurangan itu dapat diagihkan kepada keperluan lain.  Memang menasabapun yang kaya membayar. Yang miskin mendapat subsidi atau diberi kebajikan. Jika membayar sekalipun jumlahnya boleh difikirkan menasabah.

Cuma yang mengganggu pemikiran saya ialah ketidakmampuan orang Melayu membiayai kos perubatannya sendiri. Bukan tidak ada orang Melayu yang mampu tetapi bilangannya mengikut statistik tidak signifikan. Tidak dilihat sebagai penting. Tidak lucrative dari segi ekonomi pada keseluruhannya. Mungkin paling tinggi sekadar 10% atau kurang. Soalnya kenapa. Kenapa selepas 55 tahun merdeka orangMelayu masih tidak mampu? Dulu semasa hendak merdeka ada yang menyanggah bahawa orang Melayu belum pandai membuat sebatang jarum, bagaimana nanti untuk mampu memerintah sebuah negara. Persekutuan Tanah Melayu ketika sebelum jadi Malaysia. Hakikatnya pernyataan itu kekal begitu. Memang belum ada orang Melayu yang membuat sebatang jarumpun. Kita kekal menjadi pengguna. Kembali kepada persoalan kita tadi. Kita sudah 55 tahun merdeka. Kehidupan kita bertambah baik tetapi tidak cukup baik untuk menyaingi taraf hidup orang lain yang tinggal di Malaysia juga. Di bumi bertuah ini juga. Di tanah merdeka ini juga.

Berbagai rancangan telah dilaksanakan. Mungkin ada dasar yang tidak mencapai realiti. Siapa orang Melayu sebenarnya. Siapa hakikat yang namanya Melayu. Yang bahasanya Melayu. Yang adat resamnya Melayu. Yang jiwanya Melayu. Saya selalu terusik bila dikatakan bahawa orang Melayu suka mengamuk. Kamus bahasa Inggeris satu dunia memuatkan makna dan erti amock (amuk)  yang dimaktubkan dilakukan oleh orang Melayu. Penjajah British pula melabel orang Melayu sebagai ‘pemalas’. Bila kita baca Hikayat Pelayaran Abdullah Munshi lagilah diserlahkan kelemahan orang Melayu. Sudah hampir 200 tahun buku itu. Sudah dua abad lamanya. Kata-kata Abdullah itu memang menghiris. Namun hakikatnya itulah seperti dikata. Hingga sekarang saki baki sifat dan sikap Melayu seperti yang diamati Abdullah itu masih ada. masa 200 tahun tidak cukup untuk mengubah orang Melayu. 200 tahun bagi orang Amerika sudah mencipta tamadun dunia. Menjadi ikutan semua orang. Duni ini mereka yang punya. Kita pula hampir kehilangan kesemuanya. Yang dikejar keciciran.

Saya membesar sebagai anak merdeka. Sementelahan pula saya menjadi guru. Hati saya bagaikan remuk mendengar ungkapan bapa mertua saya pagi tadi. Sukar melihat orang Melayu yang berkemampuan untuk mendapat rawatan di hospital swasta. Longlai anggota tubuh badan saya bila mengenangkan semua itu. Kita telah lama tidur. Kita telah didodoi terlalu lama. Sejak tahun 1511 orang Melayu menjadi rakyat yang diperintah. Yang dijajah. Yang selalu dibelai. Yang selalu digula-gulakan. Hidupnya dilunakkan. Semangat juang yang wujud sebelum 1511 ditekan dan dipendam oleh penjajah. Portugis meninggalkan bekasnya kepada orang Melayu. Belanda juga meninggalkan bekasnya. Datang Inggeris dengan psikologi santunnya mencairkan semua yang ada berbaki di hati sanubari orang Melayu. Jepun menegakkan semula bulu roma yang tinggal. Tergerak semangat merdeka. Datang British semangat itu tidak padam bahkan mengandakan momentum hingga merdeka pada tahun 1957.

Berbagai raancangan dilaksanakan untuk membangunkan orang Melayu dari segenap segi. Dari fizikal ke material. Dari pemikiran dan psikologi. Pasti ada sesuatu yang tidak kena. Yang selalu elusif. Tidak dilihat oleh pemimpin yang di atas. Siapa sebenarnya orang Melayu. Tanpa mengetahui subjek ini kita banyak mencurah air ke daun keladi. Yang melekat terlalu sedikit. Mungkin, mungkin sahaja banyak pembaziran telah berlaku. Banyak yang dicurahkan tetapi mungkin ada kesilapan dari segi cara mencurahnya. The delivery system need to be overhauled. Reengineered. Sikap lackadaisical yang membarah pada orang Melayu dihakis. Disingkir jauh-jauh. Mereka banyak diberi tetapi tidak diminta komitmen bila diberi segala bantuan yang perlu. Dilepaskan begitu sahaja. Balasan kepda usaha itu tidak dihasilkan. Tidak diusahakanpun. Meminta tanpa berusaha membalas kembali. Selalunya orang yang menerima menyangka bahawa pemberian itu kontan begitu sahaja. Percuma. Tidak. Tidak ada lagi yang percuma sekarang ini. Setiap pemberian mesti ada cara lain untuk dibalaskan. Setiap pemberian adalah hasil pungutan dari orang yang lebih mampu.  Sepatutnya ia seperti rantai. Ia berkait-kait antara satu sama lain. Apapun bantuan tidak sepatutnya berhenti pada seorang penerima sahaja. Ia harus menyampaikannya kepada orang lain. Jika boleh semua orang akan berada dalam kitaran bantuan yang perlu. Bersambung dan bertali arus.

Saya hanya ingin memohon beberapa perkara. Nanti sama-sama kita fikirkan:
1                    Kurangkan pesta-pestaan. Mati jiwa kerananya.
2                    Kurang atau hapuskan hiburan melampau. Menyesatkan kita dari landasan menuju wawasan.
3                    Gandakan ilmu keibubapaan. Banyak belajar lagi. Anak-anak tanggungan kita. Untuk Allah. Untuk negara. Untuk umat. Untuk agama. Untuk saham akhirat kita.
4                    Orang dewasa menjadi model bukan menjadi perosak. Makhluk perosak mesti disekolahkan semula.
5                    Mohon jasa baik pemimpin untuk memimpin rakyat di bawah untuk mendepani realiti. Rakyat hanya memandang kepada pemimpim. Mereka perlukan pimpinan. Bukan gula-gula. Kita inginkan manis yang abadi. Bukan yang sementara.
6                    Pendidikan agama dimartabatkan. Dipandang tinggi. Diberi nilai ekonomi. Nilai sosial.
7                    Motivasi dan psikologi yang lestari dengan kehendak semasa. Ingatlah masa hadapan yang perlukan suluhan cahaya. Bukan usaha memadamkan terang yang ada.

Doa dan harapan saya. Semoga Allah mengkabulkannya.

Thursday, June 2, 2011

Summer Yang Mendebarkan


Apalah ertinya empat musim yang kita tahu. Hanya di negara berhawa sederhana yang mengalaminya. Kitaran musim yang beralih dari winter, spring, summer dan fall/autumn. Tiga bulan setiap satunya. Secara teori begitulah. Namun realitinya tidak begitu. Lebih ke utara winternya lebih awal. Lebih lewat perginya. Summer semakin pendek. Di Kutub Utara enam bulan summer dan enam bulan winter. Summernya juga kekal sejuk. Seorang teman berseloroh apabila ditanya tentang musim di Malaysia. Kita ada empat musim juga. Hot, hotter, wet dan wetter. Gelak rakan di Toronto, Canada mendengarnya. Mereka yang tidak pernah menjejak ke Khatulistiwa tentu tidak memahami iklim dan cuaca di sini. Seperti juga kita yang tidak pernah samapai di negara mereka. Itulah kata peribahasa, jauh berjalan luas peandangan.  Jika berkemampuan untyk melancong, pergilah. Lihatlah alam yang terbentang luas ini. Maklumlah akan tanda-tanda kebesaran Allah.

Summer tentu sinonim dengan panas. Benar panas itu dinanti. Orang di sana menunggu summer seperti menunggu kekasih yang lama menghilang. Dinanti dan dinanti. Tuan hendak tahu? Orang di sana shopping setahun lebih awal dari musim yang dijadualkan tiba. Apabila tamat summer tahun ini, mereka sudah merancang untuk berbelanja bagi summer tahun hadapan. Paling kurang enam bulan dari jangkaan. Waktu winter mereka sudah membeli untuk summer. Begitu juga sebaliknya. Dalam summer mereka menyediakan diri untuk winter. Bila sampai musim yang sebenar orang tidak berbelanja untuk musim itu. Yang mereka beli ialah keperluan untuk musim-musim yang berikutnya. Mendahului waktu. Sebab itu kekalutan kurang berlaku. Persediaan awal sangat penting. Jika ada perubahan, perubahan itu juga terancang lebih awal. Cantik kan? Kematangan kita masih belum sampai ke situ. Kita masih lagi reaktif. Menunggu apa yang akan jadi. Lambat. Menyusahkan. melemaskan. Kekalutan yang bertimpa-timpa.

Bila summer dunia baru menjadi terbuka seluas-luasnya. Pakaian juga selalu dibuka di tempat-tempat awam. Yang ditinggalkan yang secalit dua yang dikira penting. Wanita menjadi dagangan mata dan perasaan lelaki. Murah dan terlalu murah harga maruahnya. Di mana sahaja orang perempuan basking – bermandi cahaya matahari. Mereka berminat untuk getting tanned.  Membakar kulit supaya kelihatan hitam. Buka sahaja tingkap tersidai di bumbung, di laman dan di kawasan-kawasan lapang. Jika terlentang mungkin hanya bertutup tuala tanpa ada apa di dalamnya. Memakai kacamata hitam untuk mengelak silau matahari. Bila tiarap mereka tidak ambil pusing tentang punggung yang terdedah. Yang hadapan sahaja yang ditutup. Bukan malu. Malu dan aib sudah tidak ada. Malu kepada kanak-kanak. Itu sahaja. Sedikit moral yang melucukan.

Di lorong-lorong tepi rumah penuh dengan mereka yang bersidai. Yang menghairankan ialah kebanyakan mereka ialah wanita. Tua atau muda sama sahaja. Yang lelaki tidaklah galak sangat. Entahlah. Budaya agaknya. Sama juga bila ada hal rasmi. Yang lelaki berpakaian menutup penuh aurat mereka. Yang wanita pula memakai night gown. Mendedahkan dada, bahu dan lengan. Yang ditutup hanya bahagian bawah sahaja. Fesyen dan budaya yang tentu sahaja songsang. Yang menghairankan ialah yang songsang itu banyak ditiru orang kita. Kononnya itulah the in thing. Up-to-date. Kekalutan berfikir. Sudah tidak dapat memberi penilaian yang benar. Yang hak. Yang batil dianggap baik. Yang haram dicari alasan untuk menghalalkannya walaupun sememangnya tidak halal. Tidak benar. Pakaian adalah antara racun berbisa yang ditanam Yahudi untuk menghancurkan wanita Islam. Bila wanitanya hancur maka lelakinya turut luluh hancur kerana lelaki sepatutnya menjadi guardian kepada wanita. Tugas itu gagal dilaksanakan lelaki. Siapa yang hendak disalahkan? Pandanglah cermin. Tanya diri sendiri. Itulah kita yang ada dalam cermin itu.

Memang bila summer semuanya menghijau. Dari rerumput hingga setinggi dan sebesar-besar pepokok semuanya berdaun lebat. Hijau dan menghijau. Sumber oksigen yang melimpah-limpah. Fotosintesis pada kemuncaknya. Itulah kehidupan. Perlunya panas dan air. Kesuburan tanah yang meluas terbentang. Namun demikian panasnya tidak seperti di negara kita. Di sini. Di tempat kita. Yang kita rasa selalu. Lekit dan melekat. Rimas dan berpeluh.  Bau peluh menjadi hangit, hamis, memualkan. Di sana semuanya berbeza. Panas tetapi tidak merimaskan. Udara di sana tidak seperti di sini. Udara kita lembab. Di sana udaranya kering. Jarang berpeluh kecuali kita benar-benar exercise. Jia tidak pakaian tidak bermandi peluh. Tidak berbau. Dirasa selesa pakaian yang sama diulang pakai. Hendak mandi juga merasa malas kerana terasa tidak ada apa yang hendak dibersihkan kecuali yang wajib-wajib sahaja. Jangan hairan orang di Timur Tengah yang kurang mandi. Bukan sahaja kerana kurang air tetapi juga kerana udara di sana kering. Pakaian tidak berapa berbau. Minyak wangi pula menjadi penyelamat keadaan. Daki tetap berselupat juga.

Summer adalah  kemuncak segala musim. Semua institusi pengajian ditutup. Semuanya. Sekolah rendah hinggalah ke IPT. Pekerja ramai mengambil cuti. Rehat yang panjang. See the world. Outdoor life. Enriching life.  Maka penuhlah Bandar. Penuhlah tempat-tempat hiburan luar seperti taman tema, zoo, park (kawasan bersantai). Kenderaan di jalanraya seolah-olah bergerak sepanjang hari. Sepanjang malam. Berbulan-bulan. Warganya bergerak. Persekitarannya berubah. Ekonominya terjana. Summer adalah bulan berbelanja dan bulan berniaga. You name it, they do it. If you ask for it, you get it. Pesta-pestaan tidak mengenal waktu. Ada di sana dan ada di sini. Semuanya seperti baru terjaga dari tidur. Ada sahaja keributan yang erlaku. Keributan untuk enjoy dan menghibur diri. Tiada batasan tempat. Tiada batasan waktu.

Bagi warga Malaysia, summer adalah musim pertemuan santai di padang. Di park. Di pusat rekreasi. Atau berjalan-jalan. Summer pertama tahun 1985 saya ke Canada. Tentu lain ceritanya. Perjalanan penuh pengalaman. Di Bukit Seri Cahaya, Shah Alam ada tempat untuk mengalami empat musim. Pergilah untuk mendapat pengalaman simulasi. bukan realiti. tentu realitinya lebih besar impaknya. yang simulasi sekadar mendapat gambaran awal. yang akhirnya tidak akan diperolehi tanpa berada di lokasi yang sebenar. Sebahagian rakaman waktu untuk diulang ingatan.





Bila berkumpul agenda utama ialah makan beramai-ramai. Menambah selera. 


 Macam-macam gaya makan.

Sambil posing untuk ingatan. 


 Ini anak sulung saya, Diana sedang membantu.

Sambil bersembang-sembang.

Ada berita baru.

 Panas. Sebab itu ada yang berkaca hitam.

 Menyeringai anak bongsu saya.

 Emaknya buat apa tu.

 Anak-anak bergambar. Entah di mana mereka sekarang.

 Yang kedua, Dahlia dan yang ketiga, Nurul Najwa.

Gambar lagi.

 Bakar dan bakar. Ayam dan daging.

Banyaknya hidangan.

 Rakan sekelas. Sharifah lebih awal.
Sama-sama merakan kenangan.

 Banyak cerita dikongsi bersama. Santai. Enam bulan sebekumnya kesejukan kerana tiba di Pittsburgh semasa winter.

 Ramai juga orang Malaysia.

 Sudah tiba ke penghujung pertemuan.


Mereka yang bujang-bujang belaka. Yang memakai kep tu Virat. Di belakang membongkok ialah Juliza Adzlizan.

Ini sahaja kenangan lama.

 Orang bujang santai belaka.

 Datin Zabedah. Isteri mantan NC UPSI yang pertama.
Sharifah Fatmah bergaya sakan. Silap-silap macam orang putih. Saya terkena kali pertama bertemu. 

Isteri pelajar tua.

Wednesday, June 1, 2011

Islam Datang Tetapi Telah Dijanjikan Dagang

Malam ini untuk sekian lama menanti saya menonton TV al-Hijrah – TVAH. Berbulan-bulan  saya menanti siarannya melalui ASTRO. Lama sungguh perbincangannya. Perjanjiannya. Hanya hari ini 1 Jun 2011 TVAH ke udara melalui ASTRO. Sesuatu yang meringankan minda saya. Hari ini saya mengetahui bahawa kita ada saluran yang lebih menjurus kepada Islam. Persekitaran Islamiyyah.  Sudah hampir 55 kali kita menyambut kemerdekaan bersejarah kita. Tepat tiga bulan lagi sambutan itu mencecah angka 55. Setelah 55 kali merdeka baru kita dapat TV yang lebih menjurus kepada agama. Kepada Islam. Kepada fitrah.

Waktu saya di US pada tahun 1984-86 dahulu masyarakat Islam di sana sudah ada TV mereka sendiri. Mereka membeli air time selama tiga jam setiap hari semata-mata untuk meletakkan Islam di tempatnya yang sebenar. Rancangan it popular di kalangan orang Islam dan saya jangka bermaklumat kepada sesiapa sahaja yang menontonnya. Itulah yang termampu diusahakan oleh ISNA – Islamic Society of North America. Sayangnya tiga jam tentu tidak cukup untuk cover semua topik. Semua aspek. Semua yang diperlukan untuk diberitahukan tentang Islam. 11 September yang meledakkan World Trade Center di New York seperti manifestasi bahawa suara Islam di US belum cukup kuat. Belum cukup tersebar. Belum cukup memberikan impaknya. Hanya selepas itu Islam diberi perhatian. Dicari maklumat. Ingin diketahui ajarannya. Alhamdulillah sejak itu ramai Americans yang memaluk Islam. Ramai antara mereka adalah celebrities yang gah di sana.

Saya sebenarnya sedikit kelegaan. Menanti sejak tahun 1957 hingga 2011 adalah terlalu lama. Laungan pertama MERDEKA saya dengar sewaktu usia saya  10 tahun. Menunggu selama 55 tahun tentulah terlalu lama. Terlalu, terlalu lama. Lama sangat. Tersangat-sangatlah lama. Lama dan sangat lama. Hanya sebuah saluran TV yang lumrah. Yang siapa sahaja boleh melakukannya jika ada wang. Jika ada keizinan pemerintah. Realitinya tidak seperti yang kita faham. Kita hanya boleh bercakap. Dalam setiap langkah dan perancangan banyak pertimbangan yang perlu dilaksanakan. Namun begitu mengambil masa yang lama cukup menjadikan saya tersangat rindu. Sangat teringin. Sangat menjanjikan.

TVAH menjadi alternatif. Suatu lagi ruang untuk lebih mendalami Islam. Mendalami agama. Natijahnya kita akan mendalami ilmu Allah yang tiada pernah bertepi. Yang tidak pernah termampu untuk mengetahui kesemuanya. Tidak ada kemungkinan untuk itu. Namun begitu TVAH memberi ruang untuk lebih dekat dengan suasana Islam.  Saya sangat rindu persekitaran Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah. Setiap langkah jalan saya diiringi dengan bacaan al-Quran dari kedai-kedai yang menjual CD. Yang menjual al-Quran. Yang menjual kitab. Di jalan mana sekalipun yang didengar ialah al-Quran. Yang saya kesalkan Cuma satu. Sebelum saya berangkat menunaikan haji seorang “ustaz” memohon berkirim sesuatu. Hendak tahu apa yang dipesannya? Dia minta saya belikan ramakan lagu Umi Kalthum. Penyanyi Mesir yang top itu.  Saya jahil ketika itu. “Ustaz” itu lagilah jahilnya. Masakan di Makkah atau di Madinah ada dijual nyanyian penyanyi yang tidak pernah menutup aurat. Yang lagu-lagunya bukan memuji Allah.

Begitulah kedangkalan kita tentang Islam. Kita tidak mendalaminya. Kita enggan mempelajarinya. Kita merasa sudah terlalu Islam. Atau cukup Islam untuk menjalani tuntunnya. Yang nyata kita terlalu naïf tentangnya. Terlalu tidak tahu tentang agama anutan. Agama warisan yang tidak dikesan kesyumulannya. Agama yang cuma dirasa-rasa  tanpa bimbingan. Substance tentang Islam kita abaikan. Yang banyak kita pertahankan ialah ritualnya. Kesilapannya diulang-ulang. Tanpa membetulkan adat ikutan yang diada-adakan. Yang pokok tentang Islam tidak diambil pusing. Yang pokok ditinggal-tinggalkan. Sekadar contoh, ramai orang tidak membaca al-Quran. Tetapi mereka membaca Yasiin. Ramai orang meninggalkan solat Jumaat. Tetapi mereka tidak pernah mengabaikan solat dua ‘aidul.

Bila sudah ada saluran sendiri tentu banyak yang dirancang sebagai pengisiannya. Secara spontan kesemua yang terlibat tentang penyiarannya menutup aurat. Celebrities yang jarang dilihat memakai tudung dilihat santun memakai tudung. Atau selindang lingkup. Suasana dan prsekitaran memadankan dengan keperluan untuk lebih berbusana Islam. Suatu jawapan bahawa persekitaran Islam sangat perlu. Persekitaran itu membentuk pelaku-pelakunya. Membentuk kesantunan warganya. Melestarikan keislaman sejati. Cukuplah sebagai bukti. TVAH menjadi wadah harapan bahawa Islam itu indah. Islam itu cantik.

Harus banyak dipaparkan pengisian yang memperakukan keindahan Islam. Keadilan yang mejadi paksinya. Kesantunan penganutnya. Kepekaan dan wawasan penganutnya. Islam bukan hal dunia semata-mata. Ajarannya berwawasan hingga ke alam barzah dan alam akhirat. Melangkaui masa dan zaman. Waktu-waktu yang infiniti. Jika dalam pendidikan kita ada outcome based learning, dalam Islam outcomenya telah lama diceritakan. Diwar-warkan. Diajar dan dididik. Semua orang Islam telah diamal dan dijadikan nadi kehidupan. Sudah digariskan orang yang ke syurga. Orang yang ke neraka. Yang mendapat rahmat Allah. Yang mendapat murka Allah. Mudah-mudahan TVAH menjadi harapan umat Islam di Malaysia. Di dunia.

Sesuatu yang lama dinanti tentulah diharap tinggi. Diharap memberikan yang terbaik atas nama Islam. Pengisiannya Islamik. Pengacaraannya Islamik. Yang dimuat dalam rancangan-rancangannya adalah Islamik. Moga tidak ada alasan untuk menampilkan indahnya Islam. Serba serbi tentangnya perlu Islamik. Malah jika ada lintas langsung dari luar, yang dipaparkan biarlah Islamik. Temubual dengan siapa sahaja yang Islamik. Buktikan kata-kata Muhammad Abduh supaya di negara Islam kita melihat kesemuanya Islamik. Bukan ritualnya sahaja. Bukan majlisnya sahaja Islamik. Pengisiannya yang perlu lebih Islamik.  Sekarang perlu kepada pendidikan terancang. Pendidikan agama. Mudah-mudahan dari tidak formal menjadi sesuau yang santai tetapi memberi impak besar.

TV adalah media besar dalam zaman yang sudah melampaui teknologi dan siber ini. Munculnya ipod dan ipad memerlukan imbangan pendidikan dan paradigm baru kepada umat Islam. Bahawa belajar tidak pernah berhenti. Mencari hakikat itu benar. Mencari kebenaran itu hak. Yang hak itu milik Allah. Mutlak. Rancangan pertama yang saya tonton ialah tentang burung. Suatu garapan yang menafikan teori The Origin of Species yang diketengahkan oleh Charles Darwin. Teori yang tidak pernah mutlak hingga ke hari ini. Garapan-garapan seperti ini perlu diperbanyakkan. Begitu juga tentang alam kosmos yang perlu diterobos oleh orang Islam. Untuk menyedarkan mereka bahawa Islam itu benar. Islam datang dari suasana dagang. Miskin. Lemah. Suram. Jangan kembalikan suasana dagang itu. Kita yang mesti mempertahankannya. InsyaAllah.

Dirgahayu TVAH.

Tuesday, May 31, 2011

Yang Mana Kedai Makan Pilihan

Banyak juga berjalan sejak akhir-akhir ini. Kebanyakannya atas urusan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda yang DiPertuan Agung. Urusan rasmi universiti. Bila banyak berjalan luaslah pemandangan. Banyak yang dilihat. Dalam pada itu banyak juga yang dilihat. Diperhati. Direnung.  Banyak kekurangan yang dilihit di sekeliling. Di persekitaran. Kadang-kadang tidak banyak berubahnya mentaliti orang kita. Sikapnya terhadap bebrapa perkara masih belum dapat diterima sebagai baik. Jauh dari keunggulan. Payah hendak berubah. Sukar untuk melakukan sesuatu yang baru. Barangkali tidak reaktif. Yang kita minta ialah sensitif. Yang lebih baik ialah proaktif. 55 tahun merdeka tidak banyak merubah sikap.

Bila saya banyak berjalan jauh, makan minum menjadi bebanan berat. Sukar mencari makanan Melayu yang disajikan dengan berkualiti. Yang disediakan dengan kualiti yang tinggi. Yang premisnya berkualiti. Yang persekitaran luarnya berkualiti. Yang layanannya berkualiti. Yang pramusajinya berkualiti.  Yang pilihan menunya berkualiti. Hatta serba serbinya berkualiti. Ada kriteria yang sepatutnya diamalkan. Yang sepatutnya menjadi budaya dan darah daging. Saya menjadi lemas kerana banyak kriteria yang jarang dipatuhi. Kita masih menganggap semuanya lumrah. Itulah kita dan kekitaan kita.  Malas juga menjadi orang yang cerewet. Malas menjadi orang yang banyak karenah. Banyak songel. Nanti kata orang kita sahaja yang betul.

Benar. Sampai juga terasa begitu. Kenapa dalam perniagaan makanan ramai orang yang tidak mengambil faham akan kriteria keperluannya yang wajar. Bahawa makanan bukan sebarang item. Bukan boleh diniagakan sebarangan. Kita bicarakan tentang aspek halal. Aspek suci. Aspek toyyibah. Aspek kesihatan. Aspek keselesaan. Aspek keyakinan. Aspek pahala dan dosa. Aspek ekonomi. Aspek Islam. Aspek darah daging. Aspek akhirat dan dunia. Aspek jati diri Islam. Aspek negara. Aspek bangsa. Dan……… banyak lagi. Senarainya panjang. Itupun jika kita peka dengan kebaikan dan yang positif. Jika kita berkhayal maka senarai itu sangat pendek. Senarai yang telah saya beri itupun sudah terlalu panjang. Berniaga kecil-kecilan apalah yang perlu terlalu serius untuk difikirkan. Itu bezanya antara kita. Pelanggan sekarang sudah semakin canggih. Bagi sesetengah mereka harga bukan isu. Yang lebih penting ialah isu-isu lain. Isu yang menjadi hiasan luaran kepada penyediaan makanan. Pelengkap. Kesempurnaan.

Semua orang Islam mengetahui istilah halal. Cuma barangkali ada orang yang tidak mengetahui sedalam-dalamnya aspek halal. Seorang ‘alim di Negeri Sembilan termuntah-muntah selepas memakan sayur hidangan keluarganya. Bila ditanya, anaknya yang bertugas pada hari itu sengaja tidak menyamak sayur yang dibeli dari pasar. Bayangkan. Sayur yang dibeli dari pasar perlu disamak. Kita mana tahu. Saya tidak tahu. Tuan tidak tahu. Yang kita nampak sayur itu bersih. Yang kita lihat sayur itu halal. Kelihatannya suci. Adakah bajanya halal? Adakah racun serangganya halal? Adakah tangan yang memetik sayur itu halal? Adakah tangan yang menimbang sayur itu halal? Itu belum yang mengikat. Yang mengangkat. Yang memunggah ke atas lori. Yang memunggah turun dari lori. Allahuakbar. Parah kita jika difikirkan. Bayangkan seorang peniaga makanan hanya mencelup sayur yang dibeli dari pasar. Dicencangnya sayur itu lalu ditabur dalam mee di kuali. Dihidangkan kepada kita yang menunggu berjam-jam. Tanggungjawab siapa. Kita yang makan perlu juga tahu. Yang berniaga juga sepatutnya lebih tahu. Pihak yang berwajib perlu juga memberi garis panduan. Prosedur. Senarai semak. Ini soal halal dan haram. Jangan, jangan dianggap ini soal remeh. Ia akan menyangkut hingga ke akhirat. Ini soal darah daging kita. Soal anak dan isteri kita. Ini soal generasi kita. Orang Islam seluruhnya. Sangat mengerikan jika difikirkan. Kita terlalu mengambil mudah. Makanan yang asalnya halal berubah statusnya kerana akal budi manusia yang tidak mengenal batas halal dan haram. Sama-sama kita fikirkan.

Itu baru bahannya. Premis tempat penyediaan makanan jarang yang mencapai taraf A. Banyak kedai hanya mencapai taraf B. Itupun masih boleh dipertikai. Di negara maju saya mungkin lebih yakin dengan pentarafan mereka. Jika A memang first class. Tip top. The best you can go. Di sini banyak kelonggarannya. Kedai makan yang bertaraf B masih banyak cacat celanya. Tandasnya berbau. Tidak bersih sangat. Lubang jambannya comot. Lantai kedainya tidak cantik seperti cermin. Dinding kedainya comot. Iklan ditampal merata-rata. Hanya menyilaukan mata. Pinggan mangkuknya seperti berkarat. Plastik yang menyerap segala warna makanan. Sudu dan garpunya hitam. Cawannya berdaki dari luar hingga ke dalam. Mejanya berminyak. Melekit. Comot. Mengotorkan baju. Bila tersentuh siku terasa melekat. Kerusinya? Fulamak. Ada bekas tapak kaki anak-anak kecil. Orang kita kadang-kadang tidak peka. Cantiklah bawa anak-anak makan. Tetapi janganlah biarkan anak-anak memijak kerusi dengan kaki. Geli pelanggan lain hendak duduk. Samalah di pasaraya, anak-anak duduk dalam troli. Dengan kasut sekali. Kita kenalah peka. Pelanggan menggunakan troli untuk mengisi makanan. Buah, sayur, ikan dan apa sahaja makanan. Satu hal juga. Ibu bapa tidak ada kepekaan yang tinggi untuk sama-sama menjaga kebersihan. Mungkin anak terbuang air kecil. Mungkin ada yang terbuang air besar. Bila difikirkan, ngeri juga hendak menggunakan troli di pasaraya. Geli geleman jadinya.

Pakaian staf kedai makan bagaimana? Ini juga aspek yang selalu terabai. Sepatutnya mereka tidak boleh memakai selipar. Bila mereka berjalan, dari arah tumit akan naik percikan air ketika dia keluar dari tandas. Ketika lantai basah. Ketika hujan. Percikan yang naik ke seluar atau kain tidak nampak jijiknya. Bagaimana jika percikan itu naik sampai ke meja. Ke pinggan. Ke makanan. Pakailah kasut. Pakailah juga sarung kepala. Semua pengendali makanan di negara mana sekalipun mereka memakai tudung kepala. Mungkin topi. Bagi yang Islam tiada kompromi. Pakailah tudung. Wajib. Padankan pula dengan pakaian yang longgar. Makanan halal jika pramusajinya tidak menjaga adab makanan maka konsep halalan toyyibah itu akan terhakis. Hilang nilai Islamnya. Bila keluar masuk tandas basuhlah tangan dengan sabun khusus kerana staf kedai makan itu bertanggungjawab terhadap kebersihan dan kesucian makanan yang disajikan. Aspek kesihatan mesti diutamakan pula. Minta maaf, staf lelaki jangan sekali-kali merokok. Saya ulang jangan sekali-kali merokok. Jangan merokok ketika bertugas. Tangan kotor terkena air liur. Air liur yang toksik kerana rokok dibuktikan mengandungi banyak bahan beracun. Jika hendak mencemarkan diri, hanya untuk diri sendiri. Tolomg jangan cemarkan orang lain. Pelangganpun kenalah cari tempat yang bebas dari rokok. Saya cukup lemas dengan suasana yang penuh dengan asap rokok. Lemas hingga tidak boleh bernafas.  Ibarat kata, janganlah bunuh diri sendiri. Dan janganlah bunuh orang lain yang ada di sekeliling. Apatah lagi mereka adalah orang-orang yang dikasihi kononnya. Tolonglah jangan bunuh mereka. Rasa-rasanya sudah ada pula bukti bahawa rokok mengandungi bahan dari babi. Ya dari babi.  Sekarang ini banyak sangat bahan dari babi yang ditambah ke dalam makanan atau ubat-ubatan. Rokok satu daripadanya.

Paling menyeksakan ialah layanan pramusaji. Lambat mengambil tempahan. Akhlak lemah lembut tidak dijaga. Bekerja seperti terpaksa. Angin selalu tidak baik. Majikan tidak peka dengan keperluan pelanggan. Mereka hendak makan. Tetapi perlu segera. Keperluan pelanggan perlu diutamakan. Keselesaan pelanggan perlu diutamakan. Kesegeraan perlu diutamakan. Dari mula pelanggan memberhentikan kereta atau kenderaan, sudah ada pramusaji yang menunggu untuk member layanan terbaik. Muka manis. Lemah lembut. Senyum. Ucap salam. Terima kasih kerana singgah. Apa khabar? Tarikkan kerusi. Lap meja walaupun meja sudah bersih. Perhatikan kerusi bersih. Jika tidak cukup meja dan kerusi kerana pelaggan ramai cepat-cepat berikhtiar untuk mencantumkan meja. Tambah kerusi dan sebagainya. Layan pelanggan seperti tetamu istimewa. Layanan yang sebegitu menjadi tarikan. Kena bayar lebih sedikitpun tidak menjadi hal. Senangkan hati pelanggan. Nanti cerita kebaikan itu akan tersebar jauh. Mereka kan datang berulang-ulang kerana kebaikan itu.  Jangan biarkan pelanggan termangu-mangu tanpa layanan. Seolah-olahnya apabila mereka sampai, terkam mereka seberapa segera. Penuhi apa sahaja pertanyaan. Pramusaji kena tahu setiap makanan yang disediakan. Jika boleh dengan apa perencahnya sekali. Pelanggan ingin tahu. Ada setengah dari mereka yang alah dengan sesuatu. Walaupun penyediaan makanan standard di kedai itu, tanya pelanggan akan  keperluan-keperluan khusus mereka. Mungkin alah dengan sesuatu makanan.  Semalam saya singgah di sebuah kedai makan. Lebih 10 minit kami menunggu. Pramusaji berulang-alik. Hanya memandang tetapi tidak datang mendekat. Cukup 10 minit saya dan isteri tinggalkan kedai itu. Kami tidak rugi apa-apa. Mereka hilang sekurang-kurangnya RM10. Janji kami ialah, mungkin kami tidak akan menjejak lagi ke kedai itu. Banyak lagi kedai lain.

Pelanggan yang singgah bukan untuk santai-santai. Benar, ada yang begitu. Kebanyakannya tidak. Ramai orang yang sibuk. Banyak urusan yang perlu dibuat. Yang perlu dikejar. Menghambat masa selalu. Mereka ini perlukan layanan segera. Sesudah diambil tempahan, penyediaan makanan perlu pula disegerakan. Secepat yang terdaya. Jangalah ketika itu baru hendak mencari sayur. Baru hendak memotong bawang. Baru hendak membersihkan serai. Baru hendak membeli kicap.  Baru hendak menuang gula. Buka sahaja kedai semua bahan dan ramuan dan segala-gala keperluan disediakan lebih awal. Ambil inisiatif untuk melakukannya. Ingatlah, pelanggan mahu segera. Mahu cepat. Mereka bukan jenis yang menunggu kedai. Meramaikan suasana. Mereka perlu makan segera. Perlu meninggalkan kedai itu segera. Tugas banyak menanti. Oleh itu latihlah staf untuk memberi perhatian kepada pelanggan. Perhatian kelas pertama. Jangan, jangan abaikan walau apapun karenahnya. Mereka sanggup membayar kerana layanan baik. Kerana karenah mereka dipenuhi. Menafikan, bermakna itulah sekali dia datang. Wangnya yang banyak akan diberikan kepada peniaga yang memnuhi kehendak dan keperluan khususnya.

Akhirnnya jangan lupa membersihkan sisa makanan. Jika banyak sisa makanan di meja tolonglah jangan sapu dan buang ke lantai. Itu sisa makanan. Orang ‘alim cukup marah jika kita memijak makanan. Bukan itu sahaja, nanti melekat pula di kasut. Lantai jadi kotor, comot, cemar dan tidak kemas. Tidak cantik. Mungkin juga boleh menjijikkan. Lagipun lalat dan langau akan datang. Menghurung dan mengganggu. Menjijikkan pula. Itu belum semut dan segala yang merayap. Buang sisa makanan dengan mengutipnya ke dalam pinggan bekas makanan pelanggan. Masukkan ke dalam bekas untuk dikumpulkan. Jangan buang ke dalam longkang. Parit dan longkang keliling kedai mesti dibersihkan. Mesti. Sangat perlu dibuat begitu supaya persekitaran bebas dari kotoran. Dari bau-bauan yang menyakitkan hidung. Yang kadang-kadang hingga melemaskan.

Pendek kata berniaga bukan semudah hanya menjual dan membeli. Bukan semudah bertukar wang ringgit. Bukan sekadar masak dan makan. Ambil berat hal-hal yang berkait dengan penyediaan makanan. Ia berkait dengan halalan toyyyibah. Kesuciannya. Aspek kesihatannya. Alam sekitarnya. Begitu juga aspek-aspek kemuliaan makanan. Penyediaannya. Tanggungjawabnya. InsyaAllah jika makanan itu diniagakan kerana Allah, Allah akan memberi balasan yang terbaik. Baik untuk peniaga. Baik untuk pelanggan. Mudah-mudahan begitu.

Monday, May 30, 2011

Muda Belia Untuk Masa Hadapan Agama

Rakyat  Malaysia ramai yang muda. Kira-kira 20% berumur kurang daripada 18 tahun. Ramai bilangannya. Dari 28 juta tentu angkanya mencecah 6 juta orang. Jika konsep belia meliputi mereka yang berusia sehingga 35 tahun maka jumlahnya mungkin melebihi  12 juta orang. Mereka inilah yang diharapkan akan suatu hari nanti membela agama. Saya cuba tidak membicarakannya dari segi bangsa dan negara. Senang sahaja. Dalam agama antara yang dituntut ialah lima perkara yang tidak dapat dielakkan iaitu agama, nyawa, akal, harta dan keturunan. Agama menjadi keutamaan hidup bagi mereka yang beriman. Yang lain-lain menurut di belakang. Agama yang diredhai Allah ialah Islam. Penganut Islam pula tidak mengira dari negara mana. Tidak mengira bangsa apa. Tidak mengira keturunan apa. Allah tidak sekali-kali melihat kesemua itu. Yang penting bagi Allah ialah manusia Islam yang taraf dan tahap taqwanya tinggi. Yang lebih tinggi lebih baik bagi Allah. Sebab itu agama diutamakan. Walaupun yang lain juga penting sebagai pelengkap namun agama terletak di hadapan. Paling atas. Paling penting.

Setiap hari, saban waktu ramai orang yang asal keturunannya bukan Islam tertarik kepada Islam. Mereka kemudiannya menjadi Muslim yang tinggi tahap taqwanya. Jauh mengalahkan Muslim yang secara keturunannya memang Islam. Orang bukan Islam Allah beri hidayah untuk mencari kebenaran. Mereka tidak berhenti sehingga mereka menemui apa yang mereka rindukan. Apa yang mereka inginkan. Apa yang mereka dambakan. Apa yang mereka idam-idamkan. Bila mereka mendapatnya, mereka menemui kebenaran. Mereka menemui cahaya  terang yang memayungi diri mereka. Kerinduan yang terubat. Diterima dengan penuh kesyukuran. Nikmat yang selama ini elusif dari mereka.

Ramai saudara baru ini yang melihat sebaliknya terhadap orang yang sedari asalnya dari keturunan yang zaman-berzaman adalah Islam. Mendapat sesuatu yang mudah melekakan. Tidak memberi rasa syukur. Tidak memberi nikmat. Mewarisi sesuatu yang mudah tidak pernah surut ke belakang memandang jerih perihnya Rasulullah, para sahabat, tabi’in, tabi’-tabi’in, salafulsalih, para solihin, siddiqin, syuhada’, semua pejuang-pejuang Islam terdahulu yang memperjuangkan satu-satunya akidah yang diperakui Allah. Yang Allah perakui bahawa Islam telah sempurna diwahyukan kepada seluruh manusia melalui Rasulullah. Haji wida’ yang sangat signifikan dalam Islam. Khutbah haji yang terakam kekal hingga kini.

Mutakhir ini belia-belia kita diberi pilihan yang terlalu banyak. Kebanyakan pilihan bukan jalan ke arah redha Allah. Kadang-kadang terasa suatu kekesalan di hati saya. Bila saya mendengar radio, diputarkan lagu-lagu artis yang telah lama meninggal dunia. Dipertontonkan filem-filemnya di TV. Tentu sahaja banyak adegan-adegan yang berlaku persentuhan antara lekaki dan wanita. Berpeluk biasalah. Mungkin ada adegan ranjang yang berulang-ulang. Kita yang hidup meraikan pemergiannya. Tetapi caranya tidak pula  dengan mendoakannya. Bukan dengan menghadiahkan bacaan  al-Quran dan dihadiahkan pahalanya kepadanya. Bukan dihadiahkan dengan  tahlil dan tahmid.  Kita tidak pernah terasa peritnya diri di alam barzah. Dipertontonkan kepadanya hal-hal yang jika dia hidup kembali pasti menyesal dan pasti dielakkannya daripada melakukannya.  Keadaan itu berulang-ulang. Kekal selama-lamanya. Di sana, di alam sana, mereka tersiksa. Azab sepanjang masa.

Kita yang masih hidup perlu ingat mengingat.  Kita ingin ke destinasi yang tidak ada pilihan. Hanya syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai yang menyegarkan nikmat yang tidak terhingga. Tiada pernah terfikir di dunia.  Hanya nikmat dan nikmat semata-mata. Namun jalan ke syurga itu banyak jurang dan simpang. Halangan-halangan itu pula disediakan oleh orang Islam sendiri. Sengaja diprogramkan supaya belia kita dicenderungkan ke jalan yang jalannya bukan ke syurga.

Orang-orang muda perlukan wadah indah menuju jalan lurus menuju kebenaran.  Pengisian untuk mereka bukan tempelan-tempelan yang memudaratkan. Yang mencandui mereka dengan hal-hal yang tidak membantu membangunkan mereka dari segi agama, ibadah dan akhlak. Zaman Rasulullah dahulu belia-belia berada di barisan hadapan berjuang menengakkan agama. Memeprtahankan agama. Syahid kerana agama. Segala jiwa dan roh mereka kerana agama. Hidup dan mati mereka kerana agama. Malah ada antara mereka yang menjadi panglima perang memimpin pasukan Islam memerangi yang memusuhi Islam. Tidak mengira mereka Majusi atau Kristian atau Yahudi atau Quraisy. Pengisian hidup mereka hanya untuk agama. Untuk Islam. Untuk Rasulullah. Untuk Allah. Tiada yang lain bagi mereka kecuali untuk kesemua itu. Allah menjanjikan syurga kepada mereka kerana seluruh nafas mereka untuk Allah. Ketika itu ramai ibu bapa yang merelakan anak-anak muda mereka berada di barisan hadapan pasukan Islam.  Mereka bersyukur mensyahidkan anak-anak mereka.  Bukan menghalang.  Bukan menidakkan penglibatan mereka dari kebenaran.

Gangguan kepada remaja dan belia datang bertali arus. Ramai antara mereka yang tewas. Yang hanyut. Yang terdampar entah di mana-mana. Tangan-tangan yang tidak diperlukan memancung mereka dari landasan hak. Mereka dibawa ke laluan batil. Persekitaran sudah tidak lagi kondusif untuk melahirkan belia-belia yang dekat hatinya kepada Allah. Yang hampir jasadnya kepada agama. Hiburan terlampau-lampau disediakan tanpa had.  Hedonism menunjangi kehidupan mereka. Mereka terpenjara di dalamnya. Mereka terkepung dalam lingkungannya. Mereka terperangkap. Jauh mereka dibawa menjauh dari segala fitrah rindukan Allah. Rindukan Rasulullah. Rindukan agama yang mulia.  

Bagaimana kita boleh memulihkan pemikiran untuk kembali ke jalan yang lurus. Yang hak. Yang dituntut. Yang telah digariskan sejak azali. Sejak Nabi Adam. Sejak Islam disempurnakan Allah kepada Rasulullah. Jalan-jalan yang telah digariskan memberi jaminan bahawa kesejahteraan di dunia dan akhirat bergantung kepada jalan lurus yang telah digariskan. Meyimpang dari garisan itu bererti menuju kemusnahan. Tidak ada yang lebih selamat selain dari mematuhi hak-hak yang telah ditentukan Allah. Memilih yang lain selain Allah merupakan kezaliman yang melampau.   Tidak pernah ada kebaikan jika memilih selain dari Allah. Umat terdahulu telah membuktikannya. Umat sekarang tetap merasakan begitu. Islam itu lestari sepanjang zaman. Jaminan Allah bahawa mereka yang beriman kepadaNya dijamin mendapat kesejahteraan anugerahNya.

Tindakan belia kita banyak yang dipengaruhi material. Falsafah materialism barat telah mengabui belia-belia kita. Mereka menyangka bahawa all the glitters are gold. Suatu sangkaan yang sangat meleset. Apabila Aristotle dianggap sebagai ahli falsafah  yang mempelopori penyelesaian secara saintifik, umat Islam terkeliru jika tidak dapat mengharmonikan yang mana benar dan yang mana batil. Islam mengimani banyak hal yang ghaib. Tidak semua boleh dibuktikan secara saintifik. Jika itu premisnya maka banyak pemikiran yang akhirnya menjadi Atheis. Mereka yakin bahawa yang tidak dapat dibuktikan secara saintifik dikira tidak wujud. Tidak konkrit. Tiada jisim. Tiada  fizikal. Hakikatnya logik akal tidak dapat mengatasi ilmu mantik Islam. Kita tidak boleh menggunakan akal semata-mata tanpa panduan. Akal manusia sangat terbatas. Mereka bertanya tentang roh kepada Rasulullah. Allah menempelak orang Quraisy bahawa mereka tidak mungkin mengetahui tentang roh kecuali amat sedikit sekali.

Alam ini terlalu luas. Luas sangat-sangat. Manusia tersangatlah kecil. Sangat kecil. Allah menganugerahkan akal. Manusia yang bersaiz kecil menjadi gagah kerana akalnya yang berimpak tingi. Daya fikirnya sangat besar. Sangat tinggi. Sangat hebat. Tetapi dengan syarat jalan fikir itu bersandarkan Allah. Berpaksikan agama. Menuruti jalan yang diajar Rasulullah. Jika selain daripada itu maka akal manusia menyimpang jauh dari keredhaan Allah.  Yang dituntut ialah kita mengarahkan akal kita kepada memperkukuhkan pengakuan kita terhadap Allah. Menambahkan iman. Mengukuhkan akidah. Memartabatkan ketauhidan kita kepada Yang Khaliq. Bukan menidakkannya. Percaya kepada logik akal barat menjerumuskan pemikiran kepada menafikan Allah. Alam ghaib bukan isu penting kepada orang barat sedangkan kepada Islam alam ghaib itu sebahagian penting dari pertimbangan kehidupan kita.

Akhlak manusia adalah suatu jaminan bahawa mereka akur dengan dasar, prinsip dan segala rukun yang ditentukan Allah. Akhlak manusia adalah menifestasi kepada ketundukan kita kepada keAgungan Allah. Maha Besarnya Allah. Maha Tingginya Allah. Tidak ada yang lain disembah melainkan Allah. Allah itu Sa. Tunggal. Tidak beranak dan tidak diperanakkan. KepadaNya bergantung segala sesuatu. Maka  bergantung kepada manusia semata-mata tidak mungkin menyelesaikan masalah manusia. Mengharap sesama manusia untuk memenuhi segala tuntutan keperluan hidup tentu sahaja tidak selari dengan kejadian munusia itu diciptakan.  Tidak ada yang mungkin boleh mencabar bahawa tidak dijadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadat kepadaNya. Kuasa Allah itu mutlak. Semuanya adalah hak milikNya.

Pendidikan telah merubah manusia Muslim sejak Iqra’ disebut di Gua Hira’. Dari Jibril kepada Rasulullah. Melalui Islam akal manusia dibentuk diruntun. Dibimbing. Diasuh. Disepuh di sana dan di sini. Akhirnya Rasulullah berjaya membawa umat Quraisy yang degil iu ke pangkuan Allah. Subhanallah. Besarnya  anugerah Allah. Manusia diberi kesempatan untuk kembali kepadaNya dalam Islam. Pendidikan memandu manusia mengukuhkan iman yang ada dalam dirinya. Memberikan ketenangan. Kebahagian. Kesejahteraan. Sesungguhnya kita akan dikembalikan kepadaNya. Pasti tanpa keraguan walau sedikit sekalipun.  Pendidikan seharusnya menjadikan manusia mengharmonikan akalnya kepada mengagungkan Allah. Akal adalah kurnia Allah paling hebat kepada manusia. Selayaknya anugerah itu dimanfaatkan untuk Allah. Ia datang dari Allah. Kembalikanlah kepada Allah.

Sebagai manusia beriman kita seharusnya memberi nilai yang betul tentang diri kita. Tentang hidup kita. Tentang segala yang melingkari kediupan kita. Hidup di dunia ini hanya fana. Sementara. Sekajap sangat nisbahnya berbanding alam-alam yang sangat panjang. Alam barzah sudah cukup panjangnya. Alam akhirat tentulah infiniti. Tiada siapa yang dapat membilang lamanya. Tidak ada siapapun yang kisah untuk menghitungnya. Yang dijanjikan Allah ialah nikmat yang tidak pernah terbayang dalam akal manusia. Tidak pernah dimimpikan. Tidak pernah Allah lintaskan keindahannya dalm pemikiran manusia. Hanya mereka yang hak sahaja Allah berikan makluman-makluman tertantu. Beritanya sahaja yang diberi secara kasar. Perincian yang sebenar tidak dapat digambarkan. Tiada kata-kata yang dapat menukilkannya. Suatu motivasi dan tarikan untuk manusia melihat buktinya. Syaratnya tentulah  kepatuhan kepada selulruh perintah Allah tanpa kecuali. Tanpa ragu. Tanpa banyak soal. Iman yang terlalu tinggi. Tanpa diracuni pemikitan Yahudi dan Nasrani.

Anak-anak muda kita banyak gangguannya. Hidup mereka perlukan bimbingan orang dewasa yang ada di sekeliling mereka. Akal mereka mesti dibangunkan supaya Allah menjadi pusat pemikiran mereka. Semuanya dikembalikan kepada Allah. Seluruh hidupnya untuk mendapat keredhaan Allah. Maka apabila mereka dibawa ke arah itu mereka diselamatkan dari gejala dan kehancuran diri. Mereka diselamatkan dari terjerumus ke jurang yang memusnahkan. Iman mereka dicacatkan. Ibadah mereka dikurang-kurangkan. Akhlak mereka bukan lagi akhlak Islamiyyah.

Guru-guru banyak tugasmu. Masih banyak yang perlu dilaksanakan. Dakwah mesti dijalankan. Ibu bapa, kembalilah kepada tugas dan tanggungjawabmu. Ulama’ kembalilah bersuara tegas menegakkkan yang hak. Pemimpin bawalah anak-anak bangsamu supaya mereka menuju jalan yang hak. Nikimat dunia terlalu sedikit berbanding nikmat akhirat yang Allah janjikan. Terlalulah sangat sedikitnya. Kita semua banyak tanggungjawab untuk memelihara agama, nyawa kita supaya matinya Islam, harta kita supaya dipertahankan kesuciannya, akal kita supaya kekal memperakuai kebesaran Allah dan menjaga susur galur keturunan supaya jelas sah tarafnya.

Wahai anak-anak bangsaku kembalilah ke jalan yang benar. Lampu-lampu neon mungkin bukan cahaya yang menerangi. Iman yang menerangi kamu ke jalan akhirat. Nikmat dunia terlalu sedikit. Menggunung nikmat akhirat yang Allah janjikan kepadamu. Ilmu itu penting. Ilmu memandu akalmu supaya memilih yang hak dan meninggalkan yang batil. Kembalilah. Surutlah ke belakang. Musabah diri. Jika terlanjur undurlah. Susun semula langkahmu supaya dapat membetulkan arah. Tujulah jalan lurus yang telah Allah sediakan. Yang telah Rasulullah tunjukkan. Jalan yang telah dilalui para anbia’, syuhada’ dan mereka yang pergi mengadap Allah dalam keampuan dan keredhaanNya. InsyaAllah.

Thursday, May 26, 2011

Hadiah Untuk Anak?


Seorang teman memberitahu bahawa anaknya tidak mempamerkan prestasi yang diharapkan setiap kali keputusan peperiksaan dan ujiannya diterima. Dia tahu anaknya bukan kalah dengan anak orang lain. Ada IQ yang boleh dikembangkan. Dia cuba membangkitkan anaknya dengan menawarkan insentif yang berupa hadiah. Dia member syarat anaknya mesti mencapai standard yang  ditentukan seperti A, bilangan A dan beberapa kriteria lain. Bila ada insentif, anaknya tidak pernah gagal mempamerkan yang terbaik. Jenuh juga di menyediakan hadiah yang dijanjikan. Soalnya, benarkah insentif merupakan suatu jalan yang baik untuk memotivasikan anak-anak? Saya tidak ada jawapan untuk itu. Yang pastinya anak saya sembilan. Saya tidak pernah memberi mereka apa-apa insentif sejak dari darjah satu hinggalah lulus universiti.

Pakar-pakar psikologi menyarankan bahawa motivasi itu perlu. Mereka juga percaya bahawa motivasi dalaman itu lebih besar kesannya berbanding motivasi luaran. Saya dan isteri lebih mementingkan motivasi dalaman. Motivasi luaran kami berikan secara tidak langsung. Mungkin waktu cuti sekolah meronda-ronda. Satu cara pelancongan  murah. Anak beranak. Waktu mereka kecil pergilah ke muzium. Pusat Sains. Planetarium. Kadang-kadang bawa mereka makan sedap. Kepada kanak-kanak selain dari yang dimasak di rumah semuanya dikira sedap. Mungkin juga masak sedap di rumah. Belikan mereka aiskrim. Makan sepuas-puasnya.

Bukan saya tidak sayang anak. Saya belajar juga dari orang lain. Seorang jiran di Kuala Terangganu dahulu memberi tip. ‘Kite ni cikgu, kalu anok mintok pitih jangang bagi selalu. Kate kat dia nanti pok cari.’ Selalunya sengaja dia lambatkan beberapa hari. Isunya bukan dia tidak ada wang. Dia ingin mendidik anak-anaknya bahawa wang bukan sesuatu yang dianggap mudah. Minta sahaja, terus keluar dari poket. Biar anak faham bahawa untuk mendapatkan wang itu, perlu mengeluarkan keringat. Perlukan masa yang agak lama. Perlu membanting tulang. Perlu lenguh tulang. Ia bukan sesuatu yang gugur dari langit. Bukan sebut sahaja dia datang. Minta sangat mudah. Sebut sahaja dengan katup dua bibir dan gerakkan lidah. Tetapi untuk menyediakan wang tentulah perlu melalui bebarapa fasa kerja. Melalui beberapa proses yang tertentu. Beruntung bagi ibu bapa yang kerjanya rutin. Seperti jiran saya itu kerjanya bukan rutin. Ada masanya ke laut.  Atau ke sawah. Atau bertukang rumah. Wang yang diperolehi bukan rutin. Bukan ada jadual. Anak-anaknya dilatih untuk memahami.

Saya tidaklah seketat itu. Cuma kadang-kadang saya jegilkan mata kepada anak-anak saya bila mereka meminta wang pada pukul 10.00 malam. Saya kata minta wang mestilah waktu siang. Saya tidak menyimpan wang di rumah. Dalam poket kadang-kadang ada beberapa puluh ringgit sahaja. Keselamatan. Jika siang sempatlah mengeluarkan wang sambil membuat kerja lain. Itu sahaja. Maksud saya wang boleh diminta mengikut masa dan tempat. Jika tengah malam, permintaan itu tidak dapat dipenuhi. Waktu hendak tidur. Ataupun bila anak-anak meminta wang, banyakkan soal. Untuk apa? Kenapa banyak sangat? Risau juga. Anak-anak kesemuanya tinggal di asrama. Jika diberi wang yang agak banyak, bimbang jika tidak selamat.  Kenalah pesan yang amat sangat. Jaga. Simpan elok-elok. Waspada. Jangan cuai.  Alhamdulillah semuanya selamat.

Mengurus emosi anak bukan satu kerja mudah. Mengurus psikologi mereka juga bukan mudah. Menidakkan sesuatu yang lumrah kepada rakan-rakan mereka juga tidak mudah. Tahun-tahun 80an wang saku anak saya ke sekolah hanya 50 sen. Not more and not less. Cukupkan setakat itu. Tahun 90an kos meningkat. Bajet mereka RM1.00. Bagi yang di asrama RM50.00. Bila ada keperluan saya tambah sedikit. Tahun-tahun 2000 bajet mereka bertambah sedikit. Itupun sekitar RM70.00 atau lebih sedikit sebulan. Yang di universiti lazimnya tidak pernah meminta. Cukup dengan biasiswa atau pinjaman mereka. Bila ada hal-hal luar biasa baru anak-anak meminta bantuan. Itulah didikan saya kepada anak-anak.

Insentif mungkin perlu kepada anak orang lain. Cucu-cucu saya nampaknya perlukan insentif. Mungkin persekiaran berubah. Bayangkan waktu anak-anak di sekolah rendah saya tidak menghantar mereka untuk tiusyen. Yang hujung-hujung ada juga saya hantar. Ala kadar. Ikut trend. Yang pentingnya jadual belajar dipatuhi. Semantara menunggu waktu sekolah agama di sebelah petang, siapkan kerja-kerja rumah. Siapkan sebanyak yang mungkin. Selepas  solat Maghrib sambung buat kerja rumah dan mengulangkaji. Membaca yang seperlunya. Bila hendak periksa isteri saya menjadi special tutor.  Tanya itu dan tanya ini. Buat itu dan buat ini. Keep them on their toes. Gerakkan minda mereka dengan cepat. Berfikir dengan cepat. Semuanya mesti pantas. Sebabnya mudah. Peperiksaan dikawal dengan time limit.  Mesti tamat dalam waktu yang ditentukan. Itu kerangka minda yang mesti diajar kepada anak-anak. Setiap tugas ada time frame. Bukan sesuka hati.

Apa yang saya tanamkan kepada anak-anak ialah. Belajar itu tanggungjawab mereka. Hendak lulus periksa mereka mesti belajar. Hendak berjaya mesti lulus cemerlang. Hendakkan kerjaya yang baik kena cemerlang. Hendak ke asrama penuh kena cemerlang. Hendak mendapat biasiswa hendaklah cemerlang. Kecemerlangan bukan suatu dongengan. Ia menjadi realiti sejak dari anak pertama lagi. Daripada sembilan orang anak, hanya yang kelapan mendapat 4A dalam UPSR. Alhamdulillah dia menebusnya dengan 9A dalam PMR dan 10A dalam SPM. Sekarang di al-Azhar dalam tahun 2 menuju ke tahun 3. Yang keenam mendapat 11A. Anak yang agak pendiam tetapi belajar walaupun tanpa insentif dari saya. Being excellent is always for their own good.

Anak sulung, kedua, kelima dan keenam mendapat biasiswa JPA. Yang ketiga biasiswa Kementerian Pendidikan. Yang keempat pinjaman PETRONAS. Yang ketujuh mendapat pinjaman PTPTN. Yang kelapan biasiswa Rahsia Estate di bawah kelolaan Amanah Raya. Yang ke sembilan belum tahu lagi. Akan ke UIAM pada bulan September ini. Sungguh. Saya hanya membina dalaman mereka. Beri mereka keinsafan bahawa hanya akademik yang boleh membawa mereka jauh ke hadapan. Tanpa belajar sukar untuk mendapat tempat dalam hidup. Berjaya dengan cemerlang menjadi ramuan perlu untuk berjaya.

Apa yang saya lakukan mungkin kes terpencil. Setiap ibu bapa ada kaedah yang tersendiri. Jangan ikut-ikut. Setiap pasangan ibu bapa perlu mengetahui kedudukan anak-anak mereka masing-masing. Tidak ada yang serupa. Tidak ada yang sama. Iras-iras mungkin ada. Yang penting ialah banyak belajar. Banyak bertanya. Banyak melihat. Banyak mengambil iktibar. Kita tidak boleh membina persepsi sendiri jika tidak ada pengalaman. Mereka yang ramai anak dan anak-anak mereka berjaya mungkin boleh dijadikan rujukan. Namun bukan kesemuanya boleh diaplikasikan kepada anak masing-masing. Kena lihat kesesuaiannya.

Insentif atau tidak, perlu dilihat dari berbagai aspek. Insentif itu pula seharusnya boleh merangsang. Tidak pula boleh dijadikan kebiasaan. Hal yan biasa tidak lagi menjadi insentif. Yang perlu diingat ialah insentif hanya pada peringkat permulaan sahaja. Mereka perlu dibangunkan  dari dalam. Kejayaan bukan perkara dari luar. Mesti datang dari dalam. Sendiri, bukan orang lain. Diri, bukan faktor luaran. Nikmat berjaya bukan nikmat mendapat insentif. Kepuasannya berbeza. InsyaAllah kita kongsikan bersama.