Malam ini untuk sekian lama menanti saya menonton TV al-Hijrah – TVAH. Berbulan-bulan saya menanti siarannya melalui ASTRO. Lama sungguh perbincangannya. Perjanjiannya. Hanya hari ini 1 Jun 2011 TVAH ke udara melalui ASTRO. Sesuatu yang meringankan minda saya. Hari ini saya mengetahui bahawa kita ada saluran yang lebih menjurus kepada Islam. Persekitaran Islamiyyah. Sudah hampir 55 kali kita menyambut kemerdekaan bersejarah kita. Tepat tiga bulan lagi sambutan itu mencecah angka 55. Setelah 55 kali merdeka baru kita dapat TV yang lebih menjurus kepada agama. Kepada Islam. Kepada fitrah.
Waktu saya di US pada tahun 1984-86 dahulu masyarakat Islam di sana sudah ada TV mereka sendiri. Mereka membeli air time selama tiga jam setiap hari semata-mata untuk meletakkan Islam di tempatnya yang sebenar. Rancangan it popular di kalangan orang Islam dan saya jangka bermaklumat kepada sesiapa sahaja yang menontonnya. Itulah yang termampu diusahakan oleh ISNA – Islamic Society of North America. Sayangnya tiga jam tentu tidak cukup untuk cover semua topik. Semua aspek. Semua yang diperlukan untuk diberitahukan tentang Islam. 11 September yang meledakkan World Trade Center di New York seperti manifestasi bahawa suara Islam di US belum cukup kuat. Belum cukup tersebar. Belum cukup memberikan impaknya. Hanya selepas itu Islam diberi perhatian. Dicari maklumat. Ingin diketahui ajarannya. Alhamdulillah sejak itu ramai Americans yang memaluk Islam. Ramai antara mereka adalah celebrities yang gah di sana.
Saya sebenarnya sedikit kelegaan. Menanti sejak tahun 1957 hingga 2011 adalah terlalu lama. Laungan pertama MERDEKA saya dengar sewaktu usia saya 10 tahun. Menunggu selama 55 tahun tentulah terlalu lama. Terlalu, terlalu lama. Lama sangat. Tersangat-sangatlah lama. Lama dan sangat lama. Hanya sebuah saluran TV yang lumrah. Yang siapa sahaja boleh melakukannya jika ada wang. Jika ada keizinan pemerintah. Realitinya tidak seperti yang kita faham. Kita hanya boleh bercakap. Dalam setiap langkah dan perancangan banyak pertimbangan yang perlu dilaksanakan. Namun begitu mengambil masa yang lama cukup menjadikan saya tersangat rindu. Sangat teringin. Sangat menjanjikan.
TVAH menjadi alternatif. Suatu lagi ruang untuk lebih mendalami Islam. Mendalami agama. Natijahnya kita akan mendalami ilmu Allah yang tiada pernah bertepi. Yang tidak pernah termampu untuk mengetahui kesemuanya. Tidak ada kemungkinan untuk itu. Namun begitu TVAH memberi ruang untuk lebih dekat dengan suasana Islam. Saya sangat rindu persekitaran Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah. Setiap langkah jalan saya diiringi dengan bacaan al-Quran dari kedai-kedai yang menjual CD. Yang menjual al-Quran. Yang menjual kitab. Di jalan mana sekalipun yang didengar ialah al-Quran. Yang saya kesalkan Cuma satu. Sebelum saya berangkat menunaikan haji seorang “ustaz” memohon berkirim sesuatu. Hendak tahu apa yang dipesannya? Dia minta saya belikan ramakan lagu Umi Kalthum. Penyanyi Mesir yang top itu. Saya jahil ketika itu. “Ustaz” itu lagilah jahilnya. Masakan di Makkah atau di Madinah ada dijual nyanyian penyanyi yang tidak pernah menutup aurat. Yang lagu-lagunya bukan memuji Allah.
Begitulah kedangkalan kita tentang Islam. Kita tidak mendalaminya. Kita enggan mempelajarinya. Kita merasa sudah terlalu Islam. Atau cukup Islam untuk menjalani tuntunnya. Yang nyata kita terlalu naïf tentangnya. Terlalu tidak tahu tentang agama anutan. Agama warisan yang tidak dikesan kesyumulannya. Agama yang cuma dirasa-rasa tanpa bimbingan. Substance tentang Islam kita abaikan. Yang banyak kita pertahankan ialah ritualnya. Kesilapannya diulang-ulang. Tanpa membetulkan adat ikutan yang diada-adakan. Yang pokok tentang Islam tidak diambil pusing. Yang pokok ditinggal-tinggalkan. Sekadar contoh, ramai orang tidak membaca al-Quran. Tetapi mereka membaca Yasiin. Ramai orang meninggalkan solat Jumaat. Tetapi mereka tidak pernah mengabaikan solat dua ‘aidul.
Bila sudah ada saluran sendiri tentu banyak yang dirancang sebagai pengisiannya. Secara spontan kesemua yang terlibat tentang penyiarannya menutup aurat. Celebrities yang jarang dilihat memakai tudung dilihat santun memakai tudung. Atau selindang lingkup. Suasana dan prsekitaran memadankan dengan keperluan untuk lebih berbusana Islam. Suatu jawapan bahawa persekitaran Islam sangat perlu. Persekitaran itu membentuk pelaku-pelakunya. Membentuk kesantunan warganya. Melestarikan keislaman sejati. Cukuplah sebagai bukti. TVAH menjadi wadah harapan bahawa Islam itu indah. Islam itu cantik.
Harus banyak dipaparkan pengisian yang memperakukan keindahan Islam. Keadilan yang mejadi paksinya. Kesantunan penganutnya. Kepekaan dan wawasan penganutnya. Islam bukan hal dunia semata-mata. Ajarannya berwawasan hingga ke alam barzah dan alam akhirat. Melangkaui masa dan zaman. Waktu-waktu yang infiniti. Jika dalam pendidikan kita ada outcome based learning, dalam Islam outcomenya telah lama diceritakan. Diwar-warkan. Diajar dan dididik. Semua orang Islam telah diamal dan dijadikan nadi kehidupan. Sudah digariskan orang yang ke syurga. Orang yang ke neraka. Yang mendapat rahmat Allah. Yang mendapat murka Allah. Mudah-mudahan TVAH menjadi harapan umat Islam di Malaysia. Di dunia.
Sesuatu yang lama dinanti tentulah diharap tinggi. Diharap memberikan yang terbaik atas nama Islam. Pengisiannya Islamik. Pengacaraannya Islamik. Yang dimuat dalam rancangan-rancangannya adalah Islamik. Moga tidak ada alasan untuk menampilkan indahnya Islam. Serba serbi tentangnya perlu Islamik. Malah jika ada lintas langsung dari luar, yang dipaparkan biarlah Islamik. Temubual dengan siapa sahaja yang Islamik. Buktikan kata-kata Muhammad Abduh supaya di negara Islam kita melihat kesemuanya Islamik. Bukan ritualnya sahaja. Bukan majlisnya sahaja Islamik. Pengisiannya yang perlu lebih Islamik. Sekarang perlu kepada pendidikan terancang. Pendidikan agama. Mudah-mudahan dari tidak formal menjadi sesuau yang santai tetapi memberi impak besar.
TV adalah media besar dalam zaman yang sudah melampaui teknologi dan siber ini. Munculnya ipod dan ipad memerlukan imbangan pendidikan dan paradigm baru kepada umat Islam. Bahawa belajar tidak pernah berhenti. Mencari hakikat itu benar. Mencari kebenaran itu hak. Yang hak itu milik Allah. Mutlak. Rancangan pertama yang saya tonton ialah tentang burung. Suatu garapan yang menafikan teori The Origin of Species yang diketengahkan oleh Charles Darwin. Teori yang tidak pernah mutlak hingga ke hari ini. Garapan-garapan seperti ini perlu diperbanyakkan. Begitu juga tentang alam kosmos yang perlu diterobos oleh orang Islam. Untuk menyedarkan mereka bahawa Islam itu benar. Islam datang dari suasana dagang. Miskin. Lemah. Suram. Jangan kembalikan suasana dagang itu. Kita yang mesti mempertahankannya. InsyaAllah.
Dirgahayu TVAH.
No comments:
Post a Comment