Thursday, May 26, 2011

Hadiah Untuk Anak?


Seorang teman memberitahu bahawa anaknya tidak mempamerkan prestasi yang diharapkan setiap kali keputusan peperiksaan dan ujiannya diterima. Dia tahu anaknya bukan kalah dengan anak orang lain. Ada IQ yang boleh dikembangkan. Dia cuba membangkitkan anaknya dengan menawarkan insentif yang berupa hadiah. Dia member syarat anaknya mesti mencapai standard yang  ditentukan seperti A, bilangan A dan beberapa kriteria lain. Bila ada insentif, anaknya tidak pernah gagal mempamerkan yang terbaik. Jenuh juga di menyediakan hadiah yang dijanjikan. Soalnya, benarkah insentif merupakan suatu jalan yang baik untuk memotivasikan anak-anak? Saya tidak ada jawapan untuk itu. Yang pastinya anak saya sembilan. Saya tidak pernah memberi mereka apa-apa insentif sejak dari darjah satu hinggalah lulus universiti.

Pakar-pakar psikologi menyarankan bahawa motivasi itu perlu. Mereka juga percaya bahawa motivasi dalaman itu lebih besar kesannya berbanding motivasi luaran. Saya dan isteri lebih mementingkan motivasi dalaman. Motivasi luaran kami berikan secara tidak langsung. Mungkin waktu cuti sekolah meronda-ronda. Satu cara pelancongan  murah. Anak beranak. Waktu mereka kecil pergilah ke muzium. Pusat Sains. Planetarium. Kadang-kadang bawa mereka makan sedap. Kepada kanak-kanak selain dari yang dimasak di rumah semuanya dikira sedap. Mungkin juga masak sedap di rumah. Belikan mereka aiskrim. Makan sepuas-puasnya.

Bukan saya tidak sayang anak. Saya belajar juga dari orang lain. Seorang jiran di Kuala Terangganu dahulu memberi tip. ‘Kite ni cikgu, kalu anok mintok pitih jangang bagi selalu. Kate kat dia nanti pok cari.’ Selalunya sengaja dia lambatkan beberapa hari. Isunya bukan dia tidak ada wang. Dia ingin mendidik anak-anaknya bahawa wang bukan sesuatu yang dianggap mudah. Minta sahaja, terus keluar dari poket. Biar anak faham bahawa untuk mendapatkan wang itu, perlu mengeluarkan keringat. Perlukan masa yang agak lama. Perlu membanting tulang. Perlu lenguh tulang. Ia bukan sesuatu yang gugur dari langit. Bukan sebut sahaja dia datang. Minta sangat mudah. Sebut sahaja dengan katup dua bibir dan gerakkan lidah. Tetapi untuk menyediakan wang tentulah perlu melalui bebarapa fasa kerja. Melalui beberapa proses yang tertentu. Beruntung bagi ibu bapa yang kerjanya rutin. Seperti jiran saya itu kerjanya bukan rutin. Ada masanya ke laut.  Atau ke sawah. Atau bertukang rumah. Wang yang diperolehi bukan rutin. Bukan ada jadual. Anak-anaknya dilatih untuk memahami.

Saya tidaklah seketat itu. Cuma kadang-kadang saya jegilkan mata kepada anak-anak saya bila mereka meminta wang pada pukul 10.00 malam. Saya kata minta wang mestilah waktu siang. Saya tidak menyimpan wang di rumah. Dalam poket kadang-kadang ada beberapa puluh ringgit sahaja. Keselamatan. Jika siang sempatlah mengeluarkan wang sambil membuat kerja lain. Itu sahaja. Maksud saya wang boleh diminta mengikut masa dan tempat. Jika tengah malam, permintaan itu tidak dapat dipenuhi. Waktu hendak tidur. Ataupun bila anak-anak meminta wang, banyakkan soal. Untuk apa? Kenapa banyak sangat? Risau juga. Anak-anak kesemuanya tinggal di asrama. Jika diberi wang yang agak banyak, bimbang jika tidak selamat.  Kenalah pesan yang amat sangat. Jaga. Simpan elok-elok. Waspada. Jangan cuai.  Alhamdulillah semuanya selamat.

Mengurus emosi anak bukan satu kerja mudah. Mengurus psikologi mereka juga bukan mudah. Menidakkan sesuatu yang lumrah kepada rakan-rakan mereka juga tidak mudah. Tahun-tahun 80an wang saku anak saya ke sekolah hanya 50 sen. Not more and not less. Cukupkan setakat itu. Tahun 90an kos meningkat. Bajet mereka RM1.00. Bagi yang di asrama RM50.00. Bila ada keperluan saya tambah sedikit. Tahun-tahun 2000 bajet mereka bertambah sedikit. Itupun sekitar RM70.00 atau lebih sedikit sebulan. Yang di universiti lazimnya tidak pernah meminta. Cukup dengan biasiswa atau pinjaman mereka. Bila ada hal-hal luar biasa baru anak-anak meminta bantuan. Itulah didikan saya kepada anak-anak.

Insentif mungkin perlu kepada anak orang lain. Cucu-cucu saya nampaknya perlukan insentif. Mungkin persekiaran berubah. Bayangkan waktu anak-anak di sekolah rendah saya tidak menghantar mereka untuk tiusyen. Yang hujung-hujung ada juga saya hantar. Ala kadar. Ikut trend. Yang pentingnya jadual belajar dipatuhi. Semantara menunggu waktu sekolah agama di sebelah petang, siapkan kerja-kerja rumah. Siapkan sebanyak yang mungkin. Selepas  solat Maghrib sambung buat kerja rumah dan mengulangkaji. Membaca yang seperlunya. Bila hendak periksa isteri saya menjadi special tutor.  Tanya itu dan tanya ini. Buat itu dan buat ini. Keep them on their toes. Gerakkan minda mereka dengan cepat. Berfikir dengan cepat. Semuanya mesti pantas. Sebabnya mudah. Peperiksaan dikawal dengan time limit.  Mesti tamat dalam waktu yang ditentukan. Itu kerangka minda yang mesti diajar kepada anak-anak. Setiap tugas ada time frame. Bukan sesuka hati.

Apa yang saya tanamkan kepada anak-anak ialah. Belajar itu tanggungjawab mereka. Hendak lulus periksa mereka mesti belajar. Hendak berjaya mesti lulus cemerlang. Hendakkan kerjaya yang baik kena cemerlang. Hendak ke asrama penuh kena cemerlang. Hendak mendapat biasiswa hendaklah cemerlang. Kecemerlangan bukan suatu dongengan. Ia menjadi realiti sejak dari anak pertama lagi. Daripada sembilan orang anak, hanya yang kelapan mendapat 4A dalam UPSR. Alhamdulillah dia menebusnya dengan 9A dalam PMR dan 10A dalam SPM. Sekarang di al-Azhar dalam tahun 2 menuju ke tahun 3. Yang keenam mendapat 11A. Anak yang agak pendiam tetapi belajar walaupun tanpa insentif dari saya. Being excellent is always for their own good.

Anak sulung, kedua, kelima dan keenam mendapat biasiswa JPA. Yang ketiga biasiswa Kementerian Pendidikan. Yang keempat pinjaman PETRONAS. Yang ketujuh mendapat pinjaman PTPTN. Yang kelapan biasiswa Rahsia Estate di bawah kelolaan Amanah Raya. Yang ke sembilan belum tahu lagi. Akan ke UIAM pada bulan September ini. Sungguh. Saya hanya membina dalaman mereka. Beri mereka keinsafan bahawa hanya akademik yang boleh membawa mereka jauh ke hadapan. Tanpa belajar sukar untuk mendapat tempat dalam hidup. Berjaya dengan cemerlang menjadi ramuan perlu untuk berjaya.

Apa yang saya lakukan mungkin kes terpencil. Setiap ibu bapa ada kaedah yang tersendiri. Jangan ikut-ikut. Setiap pasangan ibu bapa perlu mengetahui kedudukan anak-anak mereka masing-masing. Tidak ada yang serupa. Tidak ada yang sama. Iras-iras mungkin ada. Yang penting ialah banyak belajar. Banyak bertanya. Banyak melihat. Banyak mengambil iktibar. Kita tidak boleh membina persepsi sendiri jika tidak ada pengalaman. Mereka yang ramai anak dan anak-anak mereka berjaya mungkin boleh dijadikan rujukan. Namun bukan kesemuanya boleh diaplikasikan kepada anak masing-masing. Kena lihat kesesuaiannya.

Insentif atau tidak, perlu dilihat dari berbagai aspek. Insentif itu pula seharusnya boleh merangsang. Tidak pula boleh dijadikan kebiasaan. Hal yan biasa tidak lagi menjadi insentif. Yang perlu diingat ialah insentif hanya pada peringkat permulaan sahaja. Mereka perlu dibangunkan  dari dalam. Kejayaan bukan perkara dari luar. Mesti datang dari dalam. Sendiri, bukan orang lain. Diri, bukan faktor luaran. Nikmat berjaya bukan nikmat mendapat insentif. Kepuasannya berbeza. InsyaAllah kita kongsikan bersama.

No comments:

Post a Comment