Tuesday, May 24, 2011

Sekolah di US

Cuba kita renung sebentar. Renung dalam-dalam. Pergilah menerawang ke mana yang kita suka. Cukup di sekeliling kita atau di mukim kita atau di daerah kita. Bagaimanakah bentuk sekolah kita? Prasarananya. Bangunan kelasnya. Pejabatnya. Kerusi dan mejanya. Saiz bilik darjahnya. Gelanggang permainannya. Padangnya. Kantinnya. Bilik airnya. Ruang-ruang kosong. Perpustakaan. Pagar. Apa yang kita lihat? Mungkin semua orang sinonim antara seorang dengan seorang yang lain. Itulah yang namanya sekolah. Standard. Tiada yang berbeza. Hanya sekolah-sekolah lama sahaja yang lain. Sekolah di bandar yang dibuat British kekal berbeza hingga sekarang. Sekolah itu bukan sahaja aspek fizikalnya yang mesti berbeza. Ada aspek psikologi yang difikirkan. Ada falsafah yang difikirkan. Ada nilai-nilai ekstrinsik dan intrinsik yang difikirkan. Melihat sekolah sebagai sekolah akan menjadikan kita kabur.

Sekolah bukan sekadar bangunan.  Bukan sekadar konkrit. Bukan sekadar tempat yang “memenjarakan” anak-anak kita. Bukan tempat tahanan.  Bukan tempat yang menjadikan anak-anak kita sebagai tebusan. Sekolah adalah lebih dari itu. Di situ anak-anak belajar meniru ahli masyarakatnya. Guru menjadi wakil ibu bapa mereka. Guru sebagai ahli masyrakat memanifestasikan apa yang dihasratkan masyarakat. Sebagai agen perubahan, gurulah yang mengolah caranya. Prosesnya. Strateginya. Tekniknya. Matlamatnya. Untuk itu guru perlukan ruang. Perlukan lapangan. Perlukan pentas. Menghasratkan pendidikan bertaraf dunia bukan pada lip service semata-mata. Ia bukan retorik. Orang kampung tidak mengerti banyak perkataan dan istilah yang diguna. Balik-balik orang kita juga yang kena. Mereka terlalu naïf.

Pendidikan adalah suatu pelaburan besar. Sepatutnya mengatasi agenda yang lain. Warganegara yang terdidik dan berkeupayaan memberi jaminan bahawa hal-hal lain yang dihasratkan akan dicapai negara. Di US pendidikan diberi keutamaan yang luar biasa. Semua orang mengambil tahu. Pada tahun 1986 Challenger yang selepas beberapa saat dilancatkan meletup di udara, berkecai bersamanya seorang guru wanita (McLaughlin jika tidak silap ingatan saya). Seluruh komuniti pendidikan hysteria. Anak-anak sekolah menjadi hilang akal. Psikologi mereka hancur. Sekolah bercuti kerana pelajar-pelajar dan guru-guru mereka sangat terkesan. Terlalu kuat keterikatan mereka dengan teknologi. Dengan program negara. Dengan hal masyarakat. Seluruh negara menangisi kegagalan itu. Program angkasa itu menjadi permata negara. Semua orang mengambi tahu.

Kerajaan Amerika terpanggil untuk memberi bantuan yang terbaik bagi sekolah mereka. Bagi guru mereka. Bagi anak-anak mereka. Ini hal negara. Pendidikan mereka tidak dibenarkan untuk terganggu. Proses pendidikan tidak boleh berhenti. Pendidikan dan mereka yang perlu dididik mesti dipelihara. Untuk itu seluruh orang yang namanya psikoanalisis dihantar ke sekolah. Yang namanya psikologis di hantar ke sekolah. Yang namanya psikiatris dihantar ke sekolah. Pakar motivasi dihantar ke sekolah. Sekolah menjadi agenda negara. Agenda pemimin. Agenda ibu bapa. Agenda  semua orang di sana. Tiada yang terkecuali. Mereka sangat peka bahawa yang berhadapan dengan masalah ialah anak-anak mereka. Benar bukan anak mereka. Tetapi mereka anak-anak negara. Yang nanti melestarikan kesinambungan agenda negara. Bakal pemimpin. Bakal pengendali semua yang akan ditinggalkan kepada mereka. Yang akan diwariskan kepada mereka.

Kerana itu pendidikan menjadi agenda utama. You name it, mereka akan cuba memenuhinya. Sekolah menjadi keutamaan. Lihatlah bangunannya. Dari luar mungkin suram. Hitam. Kelam. Berbalam. Tidak dicat. Tidak berapa dipedulikan. Namun di dalamnya segala keperluan cuba dipenuhi. Diberi keutamaan. Bilik-bilik kelasnya besar-besar belaka. Tinggi di atasnya. Lantainya sentiasa dipolish. Kebanyakannya berlantai kayu. Untuk mengurangkan sejuk barangkali. Lagipun kayu mewah di sana. Murah lagi. Bahagian dalaman sekolah hanya bercat putih. Hanya putih. Bersih. Guru yang mencorakkan hati anak-anak yang didik bersih.  Bilangan pelajar dalam kelas tidak ramai. Individualized learning dilaksanakan. Apa yang saya lihat ialah, bilik setiap kelas adalah besar, tinggi silingnya dan dilihat luas. Dirasa luas. Nikmat luasnya mengesankan.

Dari sekolah anak-anak dididik untuk berada di tempat yang luas. Suasana diperluaskan. Yang besar itu lebih baik. Yang luas itu merangsang pemikiran. Menerawang. Proses muasabah diri menjadi mudah. There is always a place for reflective thinking. Menjana pemikiran yang besar. Di sana umpamanya tiada rumah murah. Semua rumah bersesuaian dengan saiz keluarga. Jika anak mereka tiga maka ada empat bilik. Tiga untuk anak. Satu untuk ibu bapa. Rumah di sana memang murah. Pada tahun 1986 dulu harga sebuah banglo kira-kira USD40,000. Bersamaan RM120,000 sahaja. Oleh itu rumah yang bukan taraf banglo tentulah memang dalam jangkauan sesiapa sahaja. Kecuali mereka memilih untuk tidak memiliki rumah. Memiliki rumah dipermudahkan. Birokrasinya dikurangkan. Cukai-cukai yang menasabah sahaja. Masih untung. Untung itu dikongsi dengan klien. Yang penting di sana ialah yang tidak berada cukup dengan keberadaannya. Masih selesa jika diukur dengan standard kita. Yang berada memertabatkan taraf hidup mereka. Lebih selesa. It bezanya.

Maka di sana sekolah itu besar. Biliknya besar. Ruang-ruang legarnya besar kerana pada musim winter mereka berlegar di dalam sekolah. Tertutup. Lagipun konsep ruang itu serba guna. Bila ada majlis cukup ruang legar itu menjadi tempatnya. Hanya perlu susun meja dan kerusi. Tidak perlu balai. Tidak perlu khemah. Semuanya built-in. Di dalam sekolah lengkap dengan gymnasium. Lengkap  dengan gelanggang bola keranjang. Mungkin ada kolam renang. Gelanggang ais hoki. Dewan makan yang besar. Mereka makan tengahari serentak. Mula sekolah pada pukul 9.00 pagi dan sekolah tamat pada pukul 3.00 petang. Makan tengahari disediakan. Mereka yang kaya membayarnya. Yang miskin percuma. Subsidi dari kerajaan. Dari pembayar cukai. Menu makanan sama untuk semua orang. Yang kaya dan yang miskin makan benda yang sama. Tiada diskriminasi. Kita di sini bagaimana? Seawal darjah satu kita sudah mengajar  mereka diskriminasi. Anak orang miskin makan percuma. Anak orang kaya tidak ada peluang makan. Malangnya ibu bapa mereka yang membayar makanan anak orang miskin. Mereka sendiri anak orang kaya tidak menikmati apa yang dibayar oleh ibu bapa mereka. Itu barangkali bukan signifikan. Yang malang ialah mengapa pada usia sekecil itu mereka sudah didiskriminasikan. Dibeza-bezakan.

Guru-guru di US dapat melaksanakan individualized learning. Pelajar dikelompokkan kepada beberapa kategori. Mereka belajar mengikut keutamaan kumpulan. Bagi yang lebih cerdas kemajuan mereka dibantu. Tiada sekatan. Sistem membenarkan supaya mereka diberi laluan jelas dan lurus. Mereka boleh mengapai setinggi mana sekalipun. Sejauh mana sekalipun. Sebanyak mana sekalipun.

Suatu hari saya ke sekolah anak saya yang di sekolah menengah. Frick Middle School.  Anak saya sedang belajar bahasa Inggeris. Di satu sudut seorang pelajar sedang melukis. Tenang mengadap easel di hadapannya. Di sudut yang lain seorang pelajar sedang menari. Hanya dilihat pergerakan tubuh badannya. Muziknya tidak didengar. Dia memakai headfon. Itu kenyataan. Sistem membenarkan. Itulah saya kata belajar di sana santai, menghibur dan menyeronokkan. Kelas cukup besar untuk aktiviti yang berbagai.

Jika idea itu dibawa ke sini saya pasti ramai yang akan membantah. Malang. Mereka tidak diberi faham perlunya ruang dalam pembinaan anak-anak yang bakal menjadi dewasa cukup denga ruang. Berfikiran terbuka. Boleh menerima keadaan. Hidup mereka yakin dalam jaminan. Ada ruang untuk wriggle through. Mereka buang intimidation. Contraption. Mereka takut terpenjara dalam minda mereka sendiri. Trap in their own mind. Oleh itu sekolah adalah tempat menyemai benih-benih yang bernilai tinggi. Yang hasilnya dijamin kualiti dan kuantitinya. Standardnya sentiasa dijaga. Dikawal rapi.

Mudah-mudahan kita boleh mambuat renungan. Sesuatu perlu diubah. Jika tidak kita mewariskan kepada anak-anak kita warisan British yang kecil, sempit dan menyempitkan. Orang Amerika sudah ratusan tahun membuang warisan British. Mereka cipta suatu kepercayaan baru bahawa mereka lebih baik dari British. Rumah murah di Malaysia masih mewarisi budaya British. Sebuah rumah dengan tiga bilik kecil. Yang menghuni pula kadang-kadang hingga berbelas orang. Ketiadaan ruang itu menghalau pergi anak-anak ke pusat membeli belah. Ada ruang. Ada pendingin hawa. Ada prasarana mencukupi. Banyak gejala sosial barangkali akibat ketidakpekaan kita terhadap ruang. Cuba fikirkan.

Melihat Guru Sekolah di US


Setiap pagi saya menghantar anak ke sekolah. Dua orang yang kecil. Yang ketiga di kindergarten. Nurul Najwa. Umurnya ketika itu 5 tahun. Adiknya berumur 3 tahun di headstart. Nurin naurah. Letaknya di Frick Primary School. Yang bongsu baru setahun setengah. Kekal di rumah bersama ibunya. Pergi dan balik dari sekolah saya melihat banyak yang boleh dipelajari tentang sistem sekolah di US. Bukan sahaja pengendalian dan penyenggaraan bangunan dan prasarananya malahan guru-gurunya juga berperanan dan berperawakan berbeza dengan kita. Cara mereka bekerja berbeza. Pembawaan diri berbeza. Falsafah mereka berbeza. Bagi kita di Malaysia semuanya stereotype. Di manapun sama sahaja. Nanti mungkin ada entry khusus untuk itu.

Guru di US tidak seperti kita di Malaysia. Setiap hari mereka berpakaian santai – casual. Pelajar pula tiada pakaian seragam. Mungkin satu-satunya negara yang sangat demokratik dalam hal berpakaian. Pelajar sekolah rendah tidak banyak karenahnya. Ibu bapa tetap peka tentang etiket berpakaian. Pandai juga menjaga batas-batas yang dibenarkan. Tentang pelajar yang besar, nanti saya ceritakan dalam entry lain. InsyaAllah. Bagi yang kecil ada beberapa ciri berpakaian yang mereka amalkan. Saiz tentulah perkara utama. Mereka nampak kemas. Lagipun ianya baik untuk kesihatan. Terlalu sempit menyiksa tubuh badan. Menyukarkan pergerakan. Terlalu besar kelihatan tidak cantik. Serba tidak kena. Fesyen biasanya yang terkini – up to date. Trendy. The in thing. Warna warni menyegarkan. Jenis kain mengikut musim. Begitu juga dengan tebal dan tipisnya mengikut musim.

Bila kita ke sekolah yang dapat dilihat ialah pelajar yang berwarna warni pakaiannya. Begitu juga fesyennya. Tidak ada satupun keseragaman. Tidak ada identiti sekolah. Tidak ada identiti kelas. Pelajar sekolah tetap pelajar sekolah. Dari sekolah mana tidak penting. Dalam sistem kehidupan rakyatnya tidak ada satu bentukpun yang namanya diskriminasi. Langsung tidak dibenarkan dari segi perundangannya. Dari segi sosial masih berlaku umpamanya di negeri-negeri di selatan. Yang di utara lebih terbuka. Sejarah perhambaan mereka yang panjang. Berhempas pulas Abraham Lincoln menghapuskannya. Hingga terjadi perang saudara. Ramai orang hitam di selatan asalnya hamba abdi. Hingga sekarang penghinaan itu masih berakar. Klu Klax Klan masih mensasarkan orang hitam sebagai mangsa mereka.

Banyak dinyatakan secara eksplisit bahawa apa bentuk diskriminasi sekalipun tidak dibenarkan. Tiada diskriminasi dari segi agama. Dari segi bangsa. Dari segi warna kulit. Dari segi gender. Dari segi umur. Dari segi taraf sosial. Dari segi kekayaan. Dari apa segi sekalipun tidak dibenarkan langsung diskriminasi. Hatta orang asing yang berada di sana tetap dilindungi. Kecuali selepas peristiwa 11 september ada kecurigaan yang ditanamkan kepada pegawai keselamatan mereka. Termasuk imigresen. Itu dasar luar mereka.

Kembali kepada pakaian tadi, anak-anak tidak dikenakan  apa-apa sekatan. Ada yang bergaun. Ada yang berjean. Ada yang berseluar pendek. Ada yang berkemeja-T. Bermacam-macam lagi. Tidak menjemukan. Waktu winter, spring dan fall mereka berbaju tebal. Tetapi di luar sahaja. Overcoat. Windbreaker. Vest. Apa sahaja asalkan tebal. Di hujung spring pakaian mula menipis. Mungkin jarang. Mula singkat. Mula ketat. Mula sendat. Semasa summer kebebasan itu nampak benar. Bukan ada larangan. Di sekolah rendah tidak nampak lagi. Di high school dan di college keadaannya mengerikan. Tetapi biasa bagi mereka. Budaya. Nilainya begitu. Jika hendak menghantar anak ke sana untuk belajar, pastikan mereka sudah matang. Saya bimbang mereka tergoda dengan berbagai-bagai kebiasaan orang di sana.

Guru di sana juga berpakaian santai. Biasa saya lihat mereka memakai jean, berkasut sneaker. Memakai kemeja-T. Proses belajar kepada pelajar adalah sesuatu yang santai. Fun. It is a game. Menyeronokkan. Dibuang bebanan psikologi dari sanubari pelajar. Begitu juga guru-gurunya. Bekerja adalah nikmat. Komitmen mereka tinggi. Kerja serius dalam santai. Anak-anak mereka tetap dibesarkan oleh negara dengan hasrat untuk mengetuai segala-galanya dalam dunia ini.  Warganegara mereka disasarkan menjadi world champion. Kerajaan mereka policing the world. Kesemuanya dilakukan dengan beragenda. Dalam santai itulah minda mereka diorientasi. Dipasak dengan dogma-dogma. Propaganda yang digendang-gendang. Psikologi mereka dibina. Diperkasa. Diperkukuh. Dewasa mereka menjadi yakin. Cekal. Berwawasan. Berhasrat besar. Tiada bertepi cita dan azam mereka.

Guru-guru hanya akan full dress apabila ada function di sekolah. Ketika itu guru mematuhi etika berpakaian rasmi dalam majlis-majlis. Orang Putih jika kita jemput makan malam di rumah kita, mereka datang dengan berpakaian rasmi. Maksud saya memakai baju kemeja berlengan panjang. Tali leher. Kasut dan setokin. Lounge suit. Wanitanya mungkin memakai night gown. Jemputan kecil walaupun untuk makan sudah cukup memerlukan mereka berpakaian rasmi. Mereka cukup menjaga etika berpakaian dalam majlis-majlis rasmi. Pekerja di sektor yang lain berbeza sedikit. Di universiti pensyarah-pensyarahnya berpakaian rasmi. Lounge suit selengkapnya. Imej antarabangsa barangkali. Di sekolah imej setempat. Atau mereka berpakaian separa rasmi. Blazer berwarna lain dengan warna seluar. Tetapi mereka tetap memakai blazer juga. Adat kebiasaan. Pemandu baspun memakai blazer. Bila saya naik bas semua orang saya lihat memakai blazer. Kerja mereka tentulah berbagai peringkat. Di sana eksekutifpun pergi kerja menaiki bas.  Terlau mudah. Jadualnya predictable.

Iktibar yang saya simpulkan ialah nilai-nilai baik harus dibentuk dari kecil. Kebebasan terkawal diajar kepada mereka sejak dari mereka kanak-kanak lagi. Ada etika tertentu yang disebut sebagai social etiquettee. Mereka memahami bila perlu berpakaian rasmi dan bila pula berpakaian santai. Kita masih jauh tertinggal dalam hal ini. Kadang-kadang cara kita berpakaian langsung tidak kena. Janggal. Out of place. Odd.  Kita tidak kenal yang mana perlu dan yang mana sampingan.  Dalam majlis-majlis rasmi masih ramai orang yang “tidak tahu berpakaian”. Kita tidak belajar. Kita tidak dididik. Kita tidak dibiasakan. Kita tidak dibesarkan dalam suasana yang mengikut peraturan sangat. Sekolah hanya memaksakan. Bila anak-anak tamat sekolah semua yang dilakukan semasa di sekolah dibuang ke longkang. Dibakar hingga hangusnya hilang begitu sahaja. Bila saya pandang keliling, saya seperti merasakan bahawa tidak ramai orang yang pergi ke sekolah kerana kesan selama 11 tahun bersekolah tidak lekat sebagai kebiasaan. Sebagai budaya. Sebagai nilai-nilai yang tinggi.

Mungkin kita kena berhenti sejenak. Pandang keliling. Lihat atas dan bawah. Renung jauh ke hadapan. Tinjau kembali yang telah ditinggalkan di belakang. Kita di mana sekarang ini? Apa yang kita lakukan? Apa yang kita rasakan? Apa yang kita jangkakan? Jelaskah wawasan kita? Apakah matlamat kita? Mungkin kita perlu melihat ke dalam. Jauh ke dalam sudut hati kita. Apakah yang kita cari? Apakah yang kita cita-citakan? Kita sudah ada Falsafah Pendidikan. Malangnya falsafah itu disogokkan kepada guru. Dipasakkan kepada guru. Dipaksakan kepada guru. Maaflah, guru bukan penentu segala-galanya. Tugas guru membina seorang warganegara dalam masa 11 tahun tidak memberi kesan kerana di luar sana tidak ada siapa yang menghormati Falsafah Pendidikan yang gah itu. Pendidikan bukan sesuatu usaha yang disegerakkan. Tidak ada pihak lain yang terlibat secara langsung memperkasa dan memperkukuh sistemnya di luar sekolah. Keluar sahaja pintu pagar sekolah, anak-anak terlepas dari kawalan. Mereka kembali seperti orang tidak bersekolah. Hilang tamadun. Hilang adab. Hilang budaya.

Susah benar hendak melatih dan mendidik anak-anak supaya berpakaian cantik. Kemas. Anggun. Mereka ke sekolah secara selekeh. Keluar sahaja melepasi pintu pagar sekolah mereka kembali selekeh. Sekolah sebagai institusi sosial seperti gagal membendung amalan kurang baik yang berlaku di luar sekolah. Bayangkan di luar pagar sekolah pelajar-pelajar menghisap rokok. Sekolah tidak dapat berbuat apa-apa. Guru tidak dapat berbuat apa-apa. Ibu bapa tidak pernah berhenti sebentar untuk memantau anak di sekolah. Dalam perjalanan ke sekolah. Tidak bertanya guru di sekolah. Pulangnya bagaimana. Dengan siapa. Apa mereka buat selepas waktu sekolah. Maaf dan minta maaf, ibu bapa di Malaysia tidak diberi maklum  bahwa mereka perlu memiliki ilmu keibubapaan. Mereka perlu banyak bertanya kepada guru. Banyak minta nasihat pakar kaunseling. Tanya psikologis. Tanya pakar motivasi. Dan jangan lupa tanyalah ustaz. Mereka semua boleh diminta bantuan. Boleh membantu untuk memberikan yang terbaik bagi ibu bapa yang mahu. Yang sudi. Yang inginkan anaknya berjaya. Jika tidak akademik sekalipun mereka berjaya akhlaknya. Akal budinya baik. Jalan fikirnya lurus. Agamanya terjaga. Walhal mereka mejnadi manusia yang berguna dalam kapasiti mereka nanti. Berguna dalam bentuknya yang tersendiri.

InsyaAllah jika ada usaha kea rah itu. Ibu bapa yang memainkan peranan besar untuk membentuk anak yang dihasratkan.

Monday, May 23, 2011

Selera Meragam di US


Bila duduk jauh dari kampung kita selalu teringat hal yang manis-manis. Yang indah-indah. Yang  bila diingat terasa ria di hati. Gembira di jiwa. Seronok dalam ingatan. Membungakan hati. Mengembangkan ingatan. Yang buruk tiada dalam minda. Hanya bila dekat baru kita nampak yang tidak elok. Seperti kita melihat bulan purnama. Bercahaya indah. Syahdu dan menenangkan. Mendamaikan. Jika dilihat dari dekat, bulan itu sama seperti bumi. Berbukit bukau. Ada lurah dan ada gua. Ada gunung. Ada padang pasir. Banyak lagi bentuk fizikal yang bukan cantik dan indah. Ya, dari jauh semuanya memang nampak cantik. Kampung halaman dirindui walaupun kita pergi tidak lama. Ada orang-orang yang ditinggal yang diingat.

Berada di tanah air kita selalu lupa akan kepayahan dan kesulitan. Semuanya boleh diselesaikan. Tangan kita hanya perlu menggapai. Kaki kita hanya perlu melangkah. Telinga kita hanya perlu mendengar. Mulut kita hanya perlu mengungkapkan yang perlu. Hati kita perlu besar. Hasrat kita perlu menggunung. Ramai orang yang sayang. Ramai yang sedia membantu. Hanya bila kampung ditinggalkan jauh baru terasa bahawa  semua yang kita ada ditinggalkan. Kita tangguhkan dahulu untuk berulit dengannya. Kebisaan kita hilang kerana terputus dengan yang biasa-biasa. Ketika itu terasa benar banyak yang kita hilang. Apakan daya. Diri jauh beribu kilometer. Hendak terbang manakan mungkin. Banyak tugas yang menanti untuk diselesaikan. Ilmu di dada belum sampai di paras mana. Terlalu sedikit untuk dibawa pulang.

Setelah beberapa ketika duduk di US, setelah winter berlalu dengan saljunya, setelah spring  meninggalkan kenangan, setelah semua yang berbunga layu dan gugur dan setelah warna warni itu hilang, menjelang pula tibanya musim summer. Kehijauan merata-rata. Bunga yang dahulu berganti buah. Warna warninya juga bertambah. Yang jingga oren. Yang merah epal. Yang ungu anggur. Yang hijau pear. Bergayutan di pepohon menghijau. Kehangatannya memanjang hingga melepasi musin luruh yang disebut fall (autumn di England).  Aduhai! Saya amat rindu pada fall. Kerinduan hati itu mengganggu lidah rupanya. Mulut dan perut. Banyak sungguh makanan kegemaran yang lama tidak dirasa.

Mana ada nasi lemak. Yang lauk pauknya berbagai. Udang, kerang, sotong dan ikan bilis. Telur dadar, goreng dan rebus. Itu belum telur puyuh yang terus ngap di mulut. Mana ada soto dan lontong. Mana pula mi goreng, kue teow goreng. Bihun goreng. Memang tidak dijual nasi goreng yang berbagai namnya. Berbagai rencahnya. Kueh mueh lagilah jangan ditanya. Hari raya pertama di US sasau juga sekejap. Terlalulah rindunya pada kampung nun jauh di Parit Mohamad, Parit Sulong, Batu Pahat, Johor. Kampung yang tidak maju-maju hingga sekarang. Masa malas hendak menidakkan keasliannya. Jika adapun jalanraya kecil bertar yang tidak cukup luas untuk kenderaan berselisihan. Dibekalkan juga air paip yang dikatakan bersih tetapi bagi mereka yang memiliki sistem merawat air dapat menyatakan dengan pasti bahawa air di Batu Pahat tidak cukup bersih. Elektrik sudah jadi kemestian. Banyaklah saudara mara saya yang memiliki Astro. Menjelajahlah mereka ke serata dunia. Alam maya yang hidup seperti ianya benar-benar realiti.

Hari raya pertama di Pittsburgh. Selepas solat hari raya kami berjalan-jalan ke rumah sahabat. Petang itu saya memerap di makmal komputer menyudahkan tugassan mingguan. Alhamdulillah summer ketika itu. Pakaian kami seperti berada di Malaysia. Santai. Anak kedua yang mengambil gambar. 

Di rumah saya. Yang di tengah tu Nor orang Terengganu. Di sebelahnya Sidah anak Dato' Abdul Rashid Ngah, EXCO Kerajaan Terengganu suatu ketika dahulu.


Teman-teman dan keluarga meraka yang bertandang ke rumah. Meriah juga. Mereka antara orang-orang yang awal merasa lemang buatan isteri saya.

Seorang rakan cukup bersedia. Dia membawa beberapa kaset lagu-lagu hari raya. Yang utama tentulah lagu nyanyian Allahyarhamah Saloma. Bertandang ke rumahnya seperti berada di kampung sendiri. Walau bagaimanapun ada yang tetap hilang. Ketupat tidak ada. Terlalu jauh hendak ke Florida untuk mendapatkan daun kelapa muda. Lemang memang tidak mungkin. Di US tidak ada pokok buluh. Sebagai orang Johor selera saya dan keluarga telah menerima nilai tambah. Pengaruh yang kuat ialah masakan Kelantan, Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan. Begitulah kembara kami di semenanjung. Berjiran dan berkawan pula dengan orang dari beberapa negeri. Selera diperkembangkan. Banyak ragaman makanan menjadi kegemaran. Ketupat sangat jarang kami buat. Kami memilih yang lain. Bukan masakan Johor. Maaflah. Selera sudah berubah.

Pada hari raya teringat ketupat dan sayur lodeh. Kegilaan orang Batu Pahat. Suatu kemestian pada setiap hari raya. Kecur air liur jika tidak mendapatnya.  Lodeh yang sama mempelbagaikan pasangan ketupat. Jika sedikit lodehnya, ketupat dimakan seperti nasi. Jika banyak kuahnya jadilah lontong. Bertukar dari jari kepada sudu dan garpu. Selain dari berlaukkan lodeh tentu sahaja dimasak rendang daging atau ayam masak kunyit. Orang Jawa kata ungkep. Sambal kacang menjadi pelengkap. Yang hilang ialah lemang. Rindunya bukan kepalang. Setelah tinggal di Ipoh selama enam tahun, lidah saya sudah ketagih dengannya. Rendang tuk Perak selalu menggamit. Di Ipoh rendang boleh dibeli setiap masa. Sekarang di beberapa perhentian R&R lebuh raya sudah mula dijual rendang. Di sini, di Malaysia, di negeri manapun lemang dan rendang dijual merata. Ada duit semua boleh dirasa.

Mulut teringin benar hendakkan lemang. Lidah terjelir-jelir terasa-rasa. Perut lama menanti untuk diisi. Kami sekeluarga merasakan memang tidak mungkin untuk memakan lemang selama berada di US itu. Nampaknya 18 bulan yang kempunan memanjang. Isteri saya menjadi kratif. Kenapa tidak, katanya. Kenapa tidak dicuba. Kenapa tidak terfikir. Kita cuba dulu. Kalau jadi boleh dibuat lagi. Yes! Cubaan pertama sangat menjadi. Sejak hari itu hinggalah sekarang kami makan lemang yang sama. Sejak kembali dari US setiap hari raya kami memasak lemang hingga lima kilogram banyaknya. Anak buah mencarinya bila datang. Jika tidak membuatnya anak-anak seperti anak ayam kehilangan ibu. Bila ada lemang, ada pula rendang tuk. Mengulang makan seperti tidak kenyang-kenyang.

Lemang apa sebenarnya yang kami buat?   Lemang rebus. Pelik bunyinya. Ya benar. Lemang rebus. Kami ubah tradisi. Itulah kreatif dan inovatif. Saya yakin dan sangat yakin rasanya tidak ubah seperti lemang buluh yang dibakar. Tetapi lemang rebus lebih istimewa. Setelah 26 tahun kami membuatnya setiap hari raya rasanya tidak pernah berubah. Boleh disimpan di peti sejuk berbulan-bulan. Bila nak makan kukus sebentar. Lembut kembali seperti asalnya. Boleh dimakan dengan apa sahaja. Rendang lauk utama. Boleh dengan serunding. Boleh dengan sambal. Boleh ratah begitu sahaja. Yang paling istimewa dimakan sewaktu asap masih berkepul-kepul. Aduh! Lemak. Masin. Nyot, nyot dalam mulut. Memang kecur.

(Maaflah. Lemang buluk ada kekurangannya. Beberapa hari sahaja lemangnya menjadi keras. Kadang-kadang masaknya tidak merata. Sebelah elok sebelah lagi berkerak. Entah, kadang-kadang berminyak sahaja. Lemaknya hilang. Rasanya hilang.)

Suspen bukan? Lemang apa ni? Bila lagi hendak diceritakan cara membuatnya? Apa bahannya? Macam  mana memasaknya? Sabar itu sebahagian dari Iman. Hari ini saya suspenkan sidikit. Kadang-kadang kita kena lindung-lindung sedikit. Rahsia komersil. Sungguh. Saya tidak patenkan lemang saya. Kalau saya tahu impliksinya sudah lama saya patenkan. Jadi hak milik kami sekeluarga. Tak apalah. Makanan. Rezeki Allah. Siapa yang hendak membuatnya, buatlah. Bila sedap ulang buat. Sesiapa yang hendak mengkomersilkannya silakan. Setahu saya Syarikat Adabi sudah membuatnya. Saya belum cuba. Sama atau tidak saya tidak tahu.  Yang saya pasti, lemang isteri saya tiada tandingannya. Tanyalah anak cucu. Tanyalah ibu dan bapa mertua saya. Tanyalah adik beradik dan ipar duai. Tanya anak-anak buah. Tanya jiran dan sahabat yang biasa makan. Perrrh. Memang menjilat jari. Likat melekat. Lazat.

Oklah. Lama sangat suspen. Resepinya:
1                    Pulut (ikut berapa banyak)
2                    Santan kelapa (sekilo santan bagi sekilo pulut)
3                    Garam secukup rasa
4                    Helaian aluminium (alluminium foil)
5                    Daun pisang muda

Proses awal:
1                    Rebus pulut dengan santan hingga separuh masak. Jangan terlebih masak. Nanti melekit sangat dan susah hendak diolah.
2                    Bubuh garam sesedap rasa. Jangan terlalu masin, nanti ada yang tidak boleh makan. Secukup rasa. Ada  rasa masin.

Proses kedua:
1                    Buatkan  kelongsong helaian aluminium seberapa banyak yang diperlukan. Kelongsong itu sekira-kira tiga lapis. Kelongsong hendaklah kejap supaya air tidak masuk ke dalam dan mencairkan santan yang ada pada pulut. Ingat. Pulut baru setengah masak. Santannya belum jadi minyak. Belum menyerap dan melekat. Jika air masuk ke dalam, rasa lemak lemang itu akan hilang.
2                    Besar kelongsong sama seperti kelongsong aluminium foil itu juga. Matikan hujung yang pertama. Bila sudah agak penuh matikan hujung yang kedua.
3                    Masukkan daun pisang muda seperti membuat lemang dengan buluh.
4                    Ambil sudu dan masukkan pulut tadi sedikit demi sedikit. Jangan gopoh. Kesabaran diperlukan.
5                    Masukkan pulut tanpa dihentak-hentak. Jika dihentak akan teralu padat. Lemang jadi keras. Tidak pula terlalu longgar. Nanti terlalu lembik dan sukar dipotong. Buat eksperiman supaya akhirnya dapat yang sukup sukatannya. Pengalaman akan membantu.
6                    Rebus dalam periuk besar atau kuali. Tenggelamkan supaya masaknya merata.
7                    Tukar kedudukan. Yang bawah naikkan ke atas. Dan begitu sebaliknya selepas mendidih beberapa ketika.
8                    Rebuslah kira-kira empat jam. Lebih lama lebih baik tetapi jangan tambah air. Nanti berubah rasanya.
9                    Api jangan terlalu besar. Pastikan air tidak habis untuk selama empat jam itu.

Lauk:
1                    Lauk untuk pasangan lemang bisanya rendang daging.
2                    Apapun tidak mengapa. Yang penting sedap selera.

Proses terakhir:
1                    Setelah cukup masa lemang diangkat dan dituskan.
2                    Bila agak sejuk sedikit bolehlah dipotong-potong. Potong dengan aluminiumnya sekali. Sesudah dipotong baru dibuang pembalutnya.
3                    Hidangkan untuk dinikmati seisi keluarga.

Penstoran:
1                    Simpan di peti sejuk.
2                    Bila hendak makan, kukus beberapa ketika. In sya Allah lembut seperti sediakala.
3                    Boleh juga dipotong-potong dan digoreng. Sedap sebab masin.

Saya dan keluarga biasanya membuat lemang sehari menjelang hari raya. Ketika itu anak cucu semuanya cuba mengambil bahagian memasukkan pulut ke dalam kelongsong. Saya mengawal kualiti dan gred. Kelongsong saya yang buat. Besar dan kecil saya tentukan. Panjang dan pendek saya tentukan. Daun pisang saya yang masukkan.

Padat atau longgar isteri saya tentukan. Masin atau tawar isteri saya sukatkan. Masak ke belum isteri saya jadualkan. Rendang tuk memang hingga kini belum ada anak-anak yang hendak mencuba membuatnya. Mungkin hari raya akan datang ini diturunkan kepada anak-anak. Mana tahu ada yang ingin mengkomersilkannya nanti.

Selamat mencuba. Jika malas silalah datang mampir ke rumah saya hari raya akan datang ini. In sya Allah.


P.S. InsyaAllah hari raya yang akan datang nanti saya rakamkan sebahagian dari proses memasak lemang rebus.


Wednesday, May 18, 2011

Kita Terlalunya Tidak Bersih


 
Suatu ketika dahulu Sungai Thames di London tersangatlah kotornya. Berbagai langkah diambil. Dilaksana. Dijadikan amalan. Diajar penghuni London. Diterjemahkan istilah sayangkan sungai. Bukan cakap sahaja. Bukan retorik. Sewaktu zaman kotornya, sungai Thames menjadi sangat ditakuti. Seperti ada hantu di situ. Busuk. Buruk. Kotor. Cemar. Menjijikkan. Memualkan. Meloyakan. Menghantui sesiapa sahaja yang melihatnya. Kebetulan orang putih mengetahui perlunya bersih. Berbagailah usaha dijalankan. Penyelidikan dijalankan. Ujikaji dijalankan. Penghuni London dituntut menyumbang dengan tidak lagi mencemarkannya.

Suatu ketika dahulu tiada siapa berani masuk ke dalam sungai itu. Tiada siapa berani menyelam. Gila kata orang. Untuk berenangpun sangat menakutkan. Ekologinya yang sangat parah. Indeks pencemaran yang melampau. Tiada hidupan yang berani datang dan menghuni. Ikan jauh sekali. Setelah bertahun-tahun diusahakan keadaan sebaliknya berubah. Sungai itu kembali kepada fitrahnya. Mengalirkan segala yang cantik. Yang bersih. Yang indah. Jadilah permai yang menyemai rasa damai. Menyukakan bagi yang melihatnya. Menikmatinya. Manusia senang di tebingnya. Boleh mendayung di airnya. Barangkali ramai yang berenang dan berani menyelam. Sungai itu bukan lagi menghantui. Sebaliknya menjadi amat menarik. Mereka bersantai di sekitarnya. Ikan dan hidupan yang dahulunya pupus hidup kembali. Yang dahulunya berpindah randah sekarang berkampung semula. Sungai Thames yang mendamaikan.

Itu hanya suatu contoh kecil tetapi bukan terpencil. Di negara sedang membangun seperti Malaysia pemikiran kita tidak sampai ke situ. Kata-kata Muhammad Abduh telah sangat lama saya dengar. Aku pergi ke Barat dan aku melihat Islam tanpa ada orang Islam. Aku kembali ke Mesir aku tidak melihat Islam walaupun penduduknya orang Islam. Begitulah mafhum kata-katanya. Suatu kesimpulan sinis dan kecewa dari seorang pendokong Islam. Pengalaman saya di US membenarkan kata-kata Muhammad Abduh. Persinggahan saya di London juga membenarkannya. Saya ke Canada, saya melihat benarnya kata-kata Muhammad Abduh. Begitu juga di Jepun. Di negara yang lain saya tidak dapat mengesahkannya. Barangkali saya kiaskan begitu. Di negara maju ceritera penting yang mesti mendasari kemajuannya ialah kebersihannya. Konsep yang belum sampai ke minda orang kita. Dari atas hinggalah kepada rakyat jelata. Dari yang pandai hingga ke yang biasa-biasa sahaja. Penterjemahan konsep bersih tidak sampai kepada amali. Praktikal. Amalam. Bagi yang Islam bahawa kebersihan adalah sebahagian dari iman hanya tinggal hadith yang sesekali didengar. Tidak ada prosedur amali yang diambil dari hadith itu. Tidak dimanfaatkan dalam dunia nyata. Tidak berpaksaikan amali. Tidak dilaksanakan. Baik juga jika amalan kebersihan dimasaukkan dalam  kurikulum semua peringkat pengajian dari Tadika hingga IPT. Tanpa kecuali.

Teori mesti dipindahkan dalam bentuk amali. Jadi budaya. Akhirnya jadi darah daging. Diterima sebagai norma. Sebagai sesuatu yang spontan. Dilakukan tanpa banyak fikir. Tanpa banyak dalih. Tanpa perlu dibincang dan dimesyuarat. Jadikan kebersihan sebagai nilai. Sebagai kepercayaan. Bukan hanya sebagai ajaran yang abstrak. Yang tidak berpijak di bumi nyata. Idealism yang kabur dari segi pelaksanaannya. Mulai sekarang kita mesti fikirkan kaedah untuk menukar mindset orang Islam Melayu yang telah lama gagal dalam hal kebersihan ini. Kita perlu kembali semula kepada fitrah. Alam ini asalnya bersih. Kita yang mengotorkannya. Saya ulang, kita yang mengotorkannya. Allah cintakan kebersihan dan kecantikan. Kesucian. Malaikat juga tidak pernah membuat kotor. Jin dan syaitan tidak nampak kotornya kerana alam mereka ghaib. Tidak ada makhluk lain. Kita yang mengotorkannya. Kita, bukan orang lain. Allah telah hadiahkan alam ini dengan fitrah aslinya. Fitrah bersihnya. Fitrahnya untuk dimanfaatkan manusia. Untuk dijaga. Untuk dinikmati. Untuk dimakmurkan tetapi bukan untuk dicemarkan. Bila memikirkan tentang kebersihan, kepala saya jadi berserabut. Yang mana satu hendak dibicarakan. Hendak didahulukan.  Saya cuba. Walau bagaimanapun ini persepsi saya. Hanya saya. Tiada ada kena mengena dengan orang lain.

Lihat rumah kita dahulu. Setakat mana kita menjaga kebersihannya. Bukan sebahagiannya sahaja. Bukan halamannya. Bukan ruang tamunya. Bukan dapurnya. Bahkan semua ruang yang apa sahaja  namanya berkaitan dengan rumah itu. Khususnya bilik air, jamban dan dapur. Kesemuanya hendaklah bersih. Bersih dari sampah sarap. Yang nampak dan yang tidak nampak. Debu selalu diabaikan. Sawang selalu tidak dilihat. Bersih bermakna segala-galanya. Dalam bentuk apa sekalipun bersih itu difahami sebagai bersih. Dilihat bersih. Dirsakan bersih. Diyakini bersih. Sentuh dengan jari. Lihat. Jika ada debu yang melekat, kotorlah namanya. Jangan pandang ringan. Penyakit datang. Semput mungkin kerana banyak debu. Asma begitu juga. Selsema pun sama. Yang kita sedut hari-hari dan setiap masa debu itulah yang tidak kita bersihkan. Jangan disapu. Terbang kesemuanya. Hinggap  di seluluh rumah. Gunakan vakum. Atau lap mana yang perlu. Semua barang yang ada dalam rumah hendaklah dibersihkan. Pakaian, pinggan mangkuk dan apa sahaja yang terdapat dalam rumah. Jika tidak bahaya kepada kesihatan. Orang malas hendak bertandang. Berserabut sahaja pada pandangan mata. Hati nanti berkata-kata. Akhirnya cacat cela. Orang tidak suka. Bila diajak ke rumah mengelak sahaja.

Lokasi yang paling kotor di Malaysia ialah longkang. Longkang besar dan longkang kecil. Di kampung atau di Bandar. Yang paling teruk ialah di bandar. Hairan dan sangat menghairankan. Penduduk bandar selalunya bertempik gegak gempita. Kami orang bandar. Benarkah begitu. Kesian orang kampung. Hina duduk di kampung. Macamlah anak tiri. Tidak ramai orang peduli. Pernahkah kita fikirkan dalam-dalam. Minta maaf banyak-banyak. Ramai orang bandar datang dari kampung. Bila duduk di bandar mereka kehilangan kampung. Berusaha menghilangkan sifat kekampungannya. Namun yang terjadi lebih teruk lagi. Mereka jadikan bandar mereka seperti kampung. Mereka lupa penduduk bandar terlalu padat. Bukan seperti di kampung.

Sewaktu di kampung mereka boleh buang sampah merata-rata. Nisbah sampah dengan keluasan kampung menjadikan sampah sangat tidak signifikan. Tidak terlihat kekotoran. Masih nampak cantik. Mungkin setahun sekali berlaku banjir. Sampah saraf itu hilang dibawa air.  Orang kampung melupuskan sendiri sampah yang mereka buat. Mereka tanam. Mereka bakar. Mereka jadikan baja kompos. Atau mungkin dibiarkan mereput dengan sendiri. Jadi baja kepada pokok-pokok yang ada di sekeliling. Tidak ada siapa yang menyatakan pencemaran berlaku kerana sampah. Kampung masih kekal dengan kekampungannya. Memang penghuninya orang kampung. Jati. Asli.

Bagaimanakah kita yang sudah lenih 50 tahun merdeka tidak tahu erti kebersihan? Tidak tahu menterjemahkan ajaran supaya bersih? Tidak tahu bahawa amali kebersihan itu tuntutan agama? Bila orang bercakap tentang agama dipandang sinis? Sesetengahnya pula dicela. Jangan. Agama adalah segala-galanya. Kunci akhirat dan dunia ada pada agama. Melupakan kunci itu menyekat kita dari memasuki jalan lurus kedua-duanya.  Agama lebih banyak mendidik. Memberikan tunjuk ajar. Pemimpin perlu pula menggubal peraturan dan undang-undang supaya konsep kebersihan itu dilaksanakan dalam bentuk amali. Dinyatakan prosedurnya. Ada kaedahnya yang praktikal. Ditunjuk caranya. Ada iklan. Ada promosi. Ada tunjukcara. Akhirnya mesti ada kekuatan agama. Ada kekuatan kepimpinan. Ada kekuatan politik (political will) untuk melakanakan erti kebersihan. Longkang bukan tong sampah. Parit bukan tong sampah. Sungai bukan tong sampah. Jika tidak dipatuhi larangan itu, tunggulah. Semua orang bandar akan tenggelam kerana sampah yang mereka lontar sesuka hati. Longkang tersumbat. Parit tersumbat. Sungai penuh dengan sampah saraf. Orang Kuala Lumpur memahami hal ini. Namun penghuninya tidak pernah mahu faham caranya.
Setakat ini aya hanya melihat papan tanda ini di Kuantan sahaja. Orang Kuantan masih belum memahaminya.

Longkang paling menjijikkan ialah longkang-longkang di sekeliling medan selera. Namanya menipu pengunjung. Cantik nama selera. Bila duduk yang dihidu ialah segala bau-bauan yang tidak menyenangkan hidung. Tidak  menyenangkan hati. Mengganggu psikologi. Menutup selera. Terbantut selera. Hati menjadi geram. Rasa marah. Kenapa selera ini dipatahkan. Pemilik-pemilik premis perniagaan sudah tersumbat hidungnya. Sudah kabur matanya. Sudah kelam akalnya. Langsung hilang kepekaan terhadap sampah saraf. Sampah yang tidak dipungut syarikat pelulupsan sampah. Syarikat yang tidak memahami erti kebersihan. Keuntungan juga yang difikirkan.

Pihak yang berwajib tidak mengambil berat tentang sampah. Pegawai tingginya tidak turun ke padang. Tidak melihat kejijikan yang melampau. Di mana-mana medan selera saya cadangkan sampah dikutip setiap jam. Bukan setiap hari. Bukan setiap minggu. Jangan benarkan sampah mendap hingga mengeluarkan bau. Sehinggkan mencemarkan padangan. Peliharalah kesemuanya. Alam sekitarnya. Penghuninya. Peniaganya. Pengunjungnya.

Longkang-longkan di Bandar, di taman, di premis-premis perniagaan hendaklah tepat cerunnya. Alir bolah mengalir tanpa kecuali. Diperiksa dan dipantau secara berkala. Berjadual. Jangan tunggu bila ada masalah baru hendak diselesaikan. Hendaklah peka dan berwawasan ke hadapan. Maslahah umum. Untuk negara. Untuk agama. Untyk kesihatan. Untuk kesejahteraan dan kebahagiaan. Setiap pemilik premis perniagaan dipertanggungjawabkan untuk menjaga premis di hadapan dan di belakang. Setiap premis tanpa kecuali. Jika keengkaran berlaku, denda mereka. Paksa mereka membersihkannya atau minta mereka membayar upah untuk orang yang didatangkan untuk membersihkannya.  Satu lagi sumber pekerjaan.

Begitu juga di kawasan perumahan. Semua pemilik rumah bertanggungjawab ke atas longkang dan kawasan di hadapan rumah mereka. Terutamanya yang di hadapan get rumah mereka. Apabila longkang kotor denda mereka. Apabila sampah bertabur-tabur, saman mereka. Apabila rumput memanjang tidak diurus, denda mereka. Sebaliknya. Sebaliknya apabila sampah tidak diangkut syarikat yang diberi kontrak saman pihak yang berwajib. Kena ada timbal balas. Keadailan mestilah telus. Tidak memihak. Tidak menekan. Tidak berat sebelah.

Kebersihan hendaklah dilihat dari sudut agama. Dari sudut sosial. Darisudut politik. Dari sudut pendidikan. Dari sudut kesihatan. Dari sudut alam sekitar. Mata harus melihat dari segala aspek. Segala sudut. Segala kemungkinan. Hanya dengan usaha segerak sahaja erti kebersihan itu dapat direalisasikan bersama. InsyaAllah

Tuesday, May 17, 2011

Kenapa Untuk Berbakti Kepada Ibu Bapa Banyak Sangat Alasannya?


Seorang sahabat telah dengan rela hati bersungguh-sungguh menguruskan pemergian ibunya menunaikan haji. Walaupun ibunya pergi menggunakan wangnya sendiri tetapi sahabat saya tadi bertungkus lumus membereskan segala urusannya. Segala persiapan, kenduri kendara hinggalah terbang si ibu tadi dari Lapanganterbang Senai, Johor Bahru.  Pada kebanyakan orang tugas itu adalah biasa. Kepada Allah semua perbuatan itu sangat besar ganjarannya. Si ibu tadi juga merasakan begitu. Tentu doa si ibu melimpah ruah kepada sahabat saya tadi. Tentu rasa sayangnya bertambah-tambah kerana kasih sayang yang ditunjukkan oleh sahabat saya itu.

Sahabat saya itu tidak mengharapkan apa-apa. Dia hanya menjalankan tanggungjawabnya sahaja. Tidak lebih dari itu. Kebetulan ibunya sudah menjadi balu sejak beberapa tahun ini. Pada anak-anak diharapkan untuk membantu dalam urusan hidupnya. Kebetulan pula sahabat saya berkelapangan untuk membantu. Bukan wang ringgit. Yang dibantu ialah urusan teknikal seperti pemeriksaan perubatan. Pergi dan balik ke Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH). Bukanlah yang besar-besar urusan itu. Masa dan sedikit tenaga sahaja yang diperlukan. Alhamdulillah, semuanya beres. Ibunya selamat terbang ke Mekah.

Apa yang berlaku selepas pemergian ibunya menjadikan sahabat saya termenung panjang. Adiknya yang di Kuala Lumpur menemuinya. Adiknya ingin menjual sebidang tanah miliknya dan meminta sahabat saya untuk menguruskan penjualannya. Si adik meletakkan harga sebanyak RM185,000. Terpulang kepada sahabat saya untuk meletakkan seberapa harga yang dirasakan sesuai. Dengan takdir Allah ada pembeli yang bersetuju dengan harga  RM240,000. Pembelinya datang memandu sebuah Mercedez. Secara bergurau sahabat saya menuding kereta itu sebagai sebahagian daripada sayarat bayaran. Tidak ada bantahan. Berminat benar pembeli itu. Bukan itu sahaja ditawarkan pula sebuah MPV. Dua buah kenderaan kesemuanya. Maknanya sahabat saya mendapat dua buah kereta secara percuma. Adiknya tetap mendapat RM185,000. Memang sahabat saya termenung panjang. Akhirnya dia berserah kepada Allah. Mungkin itu adalah balasanNya kerana keikhlasannya membantu ibunya.

Hendak menjadi cerita yang lebih manis, sewaktu mengadakan kenduri sempena pemergian ibunya ke Mekah, bekas peminat ibunya datang bertandang. Tuan haji itu sudah kematian isteri. Menduda juga. Semasa mudanya dia berminat untuk mengambil ibu sahabat saya sebagai isterinya. Malangnya ada orang lain yang lebih dahulu menyambarnya.  Setelah masing-masing menjadi warga emas cinta datang lagi. Sesudah masing-masing bujang kembali rasa sayang berbunga semula. Ingatan lama itu bertaut kembali. Kasih datang kembali. Bertemu juga antara dua hati yang terpendam lama. Fail lama hanya ditutup sementara. Masih terbuka untuk diolah semula. Hasrat itu dinyatakan kepada sahabat saya. Tuan haji itu berminat untuk menjadikan ibu sahabat saya sebagai isterinya.

Menjadi orang tengahlah sahabat saya. Hati ibunya kembali berbunga. Kekasih lamanya mengimbau semula kenangan lama. Dua kekasih itu dilamun cinta juga jadinya. Anak cucu sudah tidak terkata apa-apa. Cinta tidak mengenal usia. Tidak mengenal kedut kulit di muka. Tidak mengenal gigi rongak sebatang dua. Tidak mengenal paras rupa. Tidak mengenal kedudukan dan taraf hidup. Tidak mengenal susah senang lagi. Hati mengembang. Cinta berbunga. Syahdu juga kata sahabat saya. Kalah orang muda bercinta. Si ibu meminta hantaran RM7,000 dan tujuh dulang hadiah. Kalah anak dara yang calang-calang dari keluarga biasa. Kerana cintanya kepada si balu idaman, semua permintaan itu dipenuhi. Mereka diijab Kabul. Diraikan ala kadar. Berjamu keluarga terdekat di sebuah restoran. Anak-beranak. Beberapa orang cucu.  Kebahagiaan terpancar di wajah si ibu. Orang disayang dalam genggamannya sekarang. Terurai rasa terpendaman yang bersarang berpuluh tahun. Setelah beranak cucu baru hajat kesampaian. Itulah kerja Allah. Subhanallah. Jika jodoh tidak ke mana. Terima redha Allah. Hakikat yang membawa berkat.

Semasa si ibu dalam ikatan pertunangan, sahabat saya dan isterinya diajak ke LUTH. Sampai di sana si ibu mendaftarkan sahabat saya dan isterinya untuk menjadi tetamu Allah. Dibiayai untuk menunaikan haji. Bertambah termenung sahabat saya. Ini kali kedua sesuatu di luar jangkaannya berlaku ke atas dirinya. Sekali lagi Allah memberi balasan kerana khidmatnya kepada ibunya. Dia hanya inginkan kebahagiaan untuk ibunya. Ingin ibunya merasakan nikmat hidup yang lebih lumayan semasa ada hayatnya. Sebagai anak dia hanya ingin membantu. Kasih sayang kepada kedua ibu bapa Allah balas dengan balasan yang tidak disangka-sangka. Datangnya dari segenap penjuru. Tidak diminta dan tidak diduga. Begitulah besarnya balasan Allah ke atas hambaNya yang berbakti kepada kedua orang tuanya. Keikhlasan yang penuh kerana ingin berbakti.

Islam memandang berat tugasan tersebut. Seorang anak dituntut supaya berbakti kepada kedua orang tuanya. Malangnya kita semua terlalu khususk dengan sekularism kita. Kita lupa tanggungjawab besar yang diamanahkan Allah kepada kita. Semasa kecil kita menjadi tanggungjawab kedua ibu bapa. Segala permintaan kita dipenuhi semampunya. Sakit pening kita dibelai dengan penuh kasih sayang. Segala kebajikan kita dijamin. Bila dewasa kita pula bertanggungjawab ke atas kedua ibu bapa kita. Banyak benar kesilapan kita sebagai orang Melayu. Kita meletakkan diri kita sebagai Melayu. Sepatutnya kita menjadi orang Islam yang sebenar. Bukan Melayu. Islam mendahului Melayu. Islam lebih utama dari Melayu. Mengutamakan Islam dari Melayu. Agama tidak mengenal bangsa. Jika kita menggariskan bangsa dalam agama samalah dengan orang Kristian. Akhirnya gerejapun berdasarkan warna kulit. Berdasarkan bangsa. Islam tidak begitu. Yang beriman kepada Allah itu satu. Yang menyembah Allah itu satu. Yang namanya Islam itu satu. Mereka bersaudara sebagai satu. Di sinilah kesilapan orang Melayu. Tuntutan untuk bertanggungjawab kepada kedua orang tua dipandang sepi. Tidak diambilkira dalam perancangan hidup. Tidak memberatkan yang dituntut. Perintah Allah diringan-ringankan.

Bagi mereka yang ramai anak pula, banyak benar iri hatinya. Allah tidak memandang saham secara purata. Berbakti kepada orang tua bukan seperti koperasi. Ada sumber modal yang ditentukan. Ada pembahagian keuntungan yang dijanjikan secara peratusan. Bukan dan bukan. Berbakti kepada orang tua bukan begitu. Sesiapa yang melebihkan orang tuanya dia mendapat balasan yang lebih baik dari Allah. Syaratnya ikhlas dan kerana Allah. Memenuhi perintah Allah. Patuh kepadaNya. Memelihara orang tua bukan pakai jadual. Bukan pakai gilir-gilir. Kesemua anak wajib berlumba-lumba menyukakan hati orang tuanya. Berbuat apa sahaja untuk membahagiakannya. Tanpa dalih. Tanpa alasan untuk mengelak. Sibuk bukan alasan. Tidak ada masa bukan alasan. Tidak sempat bukan alasan. Jauh juga bukan alasan.  Gunakan semua kesempatan yang ada. Bila mereka tiada semua kesempatan itu terputus begitu sahaja. Jangan dinanti saat itu. Tiada gunanya lagi.

Tanggungjawab anak juga untuk mendidik anak-anak mereka supaya melangsungkan urutan bakti itu. Melestarikan tuntutan Allah itu. Islam menggariskan dengan jelas tuntutan berbakti kepada orang tua.    Ibu bapa dituntut mendidik anak dengan kasih sayang. Tetapi tidak ada suatu tuntutanpun yang menyatakan bahawa orang tua harus berbakti kepada anak cucu apabila ibu bapa itu sudah tua.  Itulah kesilapan yang saya lihat. Masyarakat Melayu menyongsang suruhan Allah. Ramai yang melupakan ibu bapa. Mereka melebihkan anak dan cucu. Jangan lupa sunntullah. Jika kita mengubahnya maka balasan Allah akan menjadi azab kepada kita. Mana mungkin ibu bapa berbakti kepada anak. Ada pula berbakti kepada cucu-cucunya. Malah ada yang lebih teruk lagi. Ibu bapa berbakti kepada cicit-cicitnya. Terbalik. Songsang. Terlungkup. Islam tidak pernah mengajar begitu. Tidak ada.

Azab itu sudah semakin membarah. Terlalu ramai anak-anak mengabaikan orang tua masing-masing. Setiap anak mengharap yang lain untuk menguruskan kedua ibu bapa. Bukan berlumba-lumba. Serah kepada seorang, maka adik atau kakak atau abang itulah yang tanggung. Susah payahnya. Makan minumnya. Ubat-ubatannya. Keselesaannya. Pada hakikatnya kedua orang tua itu ternanti-nanti anak-anak yang lain. Ditelefon tidak datang. Ditanya tidak ada jawapan. Sampai ke tua ibu bapa ingatkan anak. Sampai nyanyok ibu bapa ingatkan anak. Sewaktu sakit ibu bapa lagilah ingatkan anak-anaknya. Memutuskan tali itu akan nanti dibalas oleh anak-anak. Allah tidak lupa. Ibu bapa juga tidak lupa. Anak-anak yang selalu lupa. Balasan Allah sangat mengazabkan. Balasan dunia sudah cukup azab. Balasan di akhirat lebihlah lagi gandaan azabnya. Catatan Allah tidak pernah terpadam.

Di sinilah kita melatih anak-anak kita supaya ingatkan induknya. Ingatkan datuk dan nenek mereka. Ziarahi mereka. Tanya keperluan mereka. Beri mereka sedikit kebahagiaan. Bertandang ke rumah datuk dan nenek dijadikan agenda hidup. Kepada kedua orang tua dijadikan rutin. Ditandang mereka suka. Diziarahi mereka bahagia. Menatap muka mereka sama besar pahalanya seperti memandang Kaabah. Bukan kena bayaran. Percuma sahaja. Pahala besar yang dapatnya percuma. Kontan. Jika ke Mekah tentulah terpaksa membayar ribuan ringgit untuk menatap Kaabah. Tidak perlu semua itu. Hari-hari boleh menatap Kaabah dalam rupa dan bentuk kedua ibu dan bapa kita. Saya sangat takut dalam hal ini. Jika kita mengabaikan tuntutan untuk membahagiakan kedua ibu bapa ini diabaikan nanti bila sampai masanya anak cucu kita mengabaikan kita.

Anak-anak belajar dari kita. Mereka lakukan kerana mencontohi kita. Jika sekarang kita melebihkan anak cucu kita maka nanti mereka juga melebihkan anak cucu mereka. Urutan bakti kepada orang tua itu diterbalikkan. Kita yang memulakannya. Anak-anak meneruskan apa yang kita buat. Sekarang mereka melihat. Nanti mereka mengamalkannya. Kita yang merana kerana melawan perintah Allah. Betapa siksanya jiwa ibu bapa yang berada di rumah orang-orang tua. Di pusat jagaan warga emas. Mereka ada anak. Mereka ada cucu dan cicit. Mereka terabai kerana dahulunya mereka mengabaikan tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah.

Marilah sama-sama kita kembali kepada mentaati perintah Allah. Allah tidak menzalimi hamba-hambaNya. Syaratnya patuhi segala perintahnya. Laksanakan apa yang disuruh. Jangan engkar. Jangan mencipta hukum hakam sendiri. Jangan terbawa-bawa dengan sikap Melayu. Islam tidak memandang bangsa. Yang dinilai ialah iman. Yang dilihat ialah taqwa. Yang membantu nanti ialah amal ibadat. Perbetulkan semua kesilapan yang lalu. Selagi masih ada waktu, perbetulkanlah. Jangan memusuhi orang tua. Mereka tidak memihak kepada anak-anak. Jika berlakupun anggap itu kesilapan mereka. Kita tidak boleh melakukan kesilapan yang sama.  Kita mampu mengubahnya dengan izin Allah.

Sunday, May 15, 2011

Hari Guru Untuk Siapa?


Hari ini 16 Mei. Ia datang lagi. Setiap tahun ia datang. Selepas itu ia pergi. Setahun yang akan datang tiada siapa peduli. Hari apa ini? Minggu apa ini? Tahun apa ini? Selama ini hari apa? Sudah 42 kali rasanya saya bersua dengan hari ini. Tidak ada kelainan yang saya rasa. Tiada impak besar yang saya terima. Saya kekal menjadi guru. Darah daging saya. Saya rasa begitu juga rakan-rakan guru yang lain. Yang dalam dirinya hanya ada sifat itu. Walaupun ada  yang terpilih untuk menjadi guru. Walaupun ada yang memang memilih untuk menjadi guru. Ada pula yang terpaksa untuk menjadi guru. Saya kira akhirnya kita semua jatuh cinta dengan profesion ini. Dengan kerjaya ini.

Kita sudah difitrahkan untuk menjadi guru. Banyak yang telah dilalui. Tidak pula minta balasan. Tidak pula mengemis imbuhan. Tidak juga mahukan sanjungan. Kita hanya pelakon-pelakon hidup. Melaksanakan suatu fitrah Allah. Menjalankan sunnatullah. Mengajar adalah tugas mulia. Dituntut sepanjang masa. Suatu lintasan dalam hidup yang ingin terus dimanfaatkan. Di sini hidup dan mati. Untuk Allah. Demi Allah. Kepada Allah diserahkan. Moga-moga redha Allah sahaja yang dipohon.

Pagi-pagi lagi hari ini  sudah berdering sms. Masih ada yang ingat. Saya sendiri tidak pernah beria-ia untuk mengingat. Apalah sangat. Tugas biasa.Di facebook juga begitu. Ramai yang ingat. Seperti dalam lain-lain hal tentu ramai yang tidak perlu ingat. Guru telah bertugas menjadi guru. Itu tanggungjawabnya. Itu kewibawaannya. Tidak perlu dikenang. Tidak perlu diingat. Tidak perlu nostalgia. Tidak perlu diingat sangat. Banyak lagi keutamaan lain. Lagipun guru telah dibayar.  Bukan percuma. Mana ada yang percuma. Masyarakat telah membayar guru kerana tugasnya. Ia profesional yang hidup kerana dibayar tugasnya. Meminta balasan adalah sesuatu yang tidak profesional. Tidak beretika. D luar perjanjian sosial sewaktu menerima watikah sebagai guru. Di institusi tempat latihan juga tidak pernah di sebut pentingnya hari guru. Ia adalah hari-hari biasa bagi seorang guru.

Pagi tadi sewaktu bangkit dari tidur hari yang saya tatap tetap sama. Matahari masih kekal setia patuh kepada perintah Allah. Tetap terbitnya dari timur. Cuma kecondongannya berkisar kerana perubahan antara the soltices ke utara atau ke selatan. Waktu ini bumi berganjak ke utara. Di utara mula panas. Barangkali tahun 2011 ini summernya akan lebih panas. Di Khatulistiwa seperti Malaysia sudah terasa bahangnya. Pencairan di Kutub Utara akan menjadi-jadi. Pemanasan global yang semaki panas. Petang nanti matahari kekal terbenam ke arah barat. Qiblat solat kita kekal antara 80º dan 85º. Bergantung di mana kita berpijak. Di bumi Malaysia juga. Tempat kita menjunjung kasih. Tempat menabur bakti. Tempat membina bangsa. Tempat membina negara. Tempat memartabatkan profesion keguruan.

Apa yang  lainnya? Sekadar memberi ucap selamat sangat biasa bagi saya. Tetapi ada sedikit tinge in my heart. Menerima ucapan bukan untuk sebarang guru. Yang memberi kerana telah menerima sesuatu yang ada nilainya. Format sambutan hari guru tetap sama. Entahlah. Sesuatu yang ironis kerana sambutan hari guru diuruskan oleh guru. Dihadiri oleh guru-guru. Itupun kadang-kadang bukan dengan kerelaannya. Guru lebih senang dan santai berada di kelas. Berhadapan dengan anak-anak didik yang ingin dijadikan manusia. Yang ingin nanti mampu menggantikan guru itu bila tiba masanya.  Guru tidak selesa melakukan yang bukan-bukan. Bukan core business mereka. Apatah lagi yang tiada kaitan dengan tugasnya. Jangan terkejut sambutan hari guru kadang-kadang bukan untuk meraikan guru. Bebrapa tahun yang lalu saya menghadiri sambutan hari guru di sebuah daerah. Perasmi yang datang seorang pemimpin kerajaan.  Saya kira ramai guru yang terkilan. Tersentuh. Terguris lebih tepat.

Ucapannya yang berjela panjang. Pentas itu dijadikan wadah untuk mengecam guru. Harapan untuk diraikan dengan penghargaan berkecai. Punah berderai. Hancur luluh bak kaca ditumbuk lumat. Kerana segelintir perbezaan pendapat seluruh profesion guru dikecam oleh pemimpin itu. Guru-guru dikatakan mereka yang tidak berterima kasih. Yang tidak memahami nikmat hidup. Yang tidak berjiwa kenegaraan. Yang pentingkan diri sendiri. Bayangkan apa yang gurn rasa. Dalamnya tentu menggelegak. Tentu parah. Jiwanya diratah dan dihentak.  Psikologinya direntap-rentap. Perasaannya dicarik-carik. Guru bukan harapkan sesuatu yang muluk-muluk. Cukuplah sekadar tidak mencaci cela. Cukuplah tidak berkata apa-apa. Cukuplan sekadar memberi isenyum dan tawa. Mungkin sedikit angguk kepala. Yang tidak sukakan guru itu bukan guru. Mereka yang profesionnya bukan guru. Yang tidak mahu tahu tugas guru.

Saya sayangkan guru saya. Seingat saya sudah tidak ada lagi guru saya yang di seklah rendah dahulu. Kesemua mereka telah lama meninggalkan saya. Saya tetap bangga menjadi anak didik mereka . Alfatihah untuk mereka. Seperti ajaran agama kita, ilmu yang baik yang mereka tinggalkan saya lestarikan. Saya panjangkan kepada beberapa generasai yang lalu di bawah asuhan saya. Telah memberi banyak manfaat kepada saya. Telah saya manfaatkan masa yang berlalu. Telah memberi manfaat kepada usia saya. Telah memberi manfaat kepada anak-anak saya. Kepada cucu-cucu saya. Apatah lagi telah memberi manfaat kepada anak didik saya yang jumlahnya ribuan di serata tanah air. Dari Sk Permatang Rengas, Batu Pahat. SMK Munshi Ibrahim, Labis, Johor. SMK Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu. SMK Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu. Politeknik Ungku Omar, Ipoh. USM, Ipoh.  SMT Johor Bahru. UTHM, Batu Pahat. Ada yang masih ingat. Ramai yang lupa. Itu bukan isunya. Saya telah menyempurnakan tanggungjawab itu.

Saya jadi megerti kerana guru saya. Mereka mengajar saya erti sesuatu. Melihat dengan mata kasar. Melihat ke dalam dengan mata hati. Memahami yang tersurat. Memahami yang tersirat.  Menjadikan saya orang yang perasa. Yang tahu erti budi. Allah yang memungkinkan kesemuanya. Lantaran bantuan guru saya menjadi seperti saya. Tanpa guru saya bukan saya. Tidak ada orang seperti saya. Saya berguru. Saya mendapat sentuhan ajaib dari guru-guru saya. Saya mendapat suntikan dari mereka. Saya mendapat input-input akademik dan kemanusiaan. Saya mendapat input agama dan beragama. Tanpa guru saya bukan saya. Islam melarang belajar tanpa berguru. Pasti syaitan mengambil peranan itu. Sukar nanti untuk mencari jalan pulang. Sukar menentukan yang mana hak dan yang mana batil. Yang mana benar yang mana salah.

Dari guru saya belajar bertatih. Saya dibimbing tulis baca. Diajar mengira. Saya masih ingat saya cukup berjaya dalam congak. Ujian secara lisan. Mengeja dan mengira. Kecekapan mendengar dan menganalisis menggunakan minda. Ejaan bukan masalah. Mengira bukan susah. Kecekapan itu saya dapat dari guru-guru saya.  Pendidik sekarang memberi kuiz. Soalan pendek. Ujian ringkas. Semuanya bertulis. Banyak variabel yang dinyatakan. Waktu saya dahulu congaklah yang banyak membantu menjadi cekatan untuk berfikir. Semuanya dengan lisan. Dengan perkataan. Dengan ungkapan-ungkapan. Masa yang diberi singkat sahaja. Namun bagi yang terkehadapan congak itu mengukur kemampuannya menggunakan minda. Menangkap apa yang diajar. Yang disampaikan guru. Itulah zaman saya. Zaman yang telah lama berlalu. Tetapi zaman itulah yang membina saya seperti sekarang.  Seperti saya.

Saya ingin bertanya. Siapa yang seharusnya menyambut hari guru? Guru ke? Atau orang lain? Kenapa tidak murid yang menyambut hari guru untuk guru-guru mereka? Bebaskan mereka untuk menyatakan isi hati mereka? Tentulah dengan sedikit kawalan. Ada garis panduan. Ada peraturan. Hadkan masa. Hadkan acara. Hadkan majlis. Hadkan jadual. Hadkan apa yang boleh. Hadkan suasana. Hanya untuk mereka yang ingin merayakan guru-guru mereka. Tidak perlu hadiah. Barangkali ucapan terima kasih sudah cukup menyesakkan dada seorang guru. Sebak. Menggenangkan air mata. Menjadikannya syahdu.

Kenapa tidak ibu bapa yang merayakan guru? Bukankah guru telah mengambil alih tugas mereka? Mereka menyerahkan anak-anak mereka untuk dididik oleh guru. Kenapa tidak luangkan sedikit waktu untuk memandang mata guru. Kunci pandangan empat mata. Mata ibu dan mata guru. Mata bapa dan mata guru. Hulur tangan. Terima kasih cikgu. Jika saya sekalipun saya kira air mata saya ingin menderas turun. Meruntun kasih. (Ketika menulis ayat inpun air mata saya ingin membasahi pipi). Ada sesuatu yang ibu bapa telah hilang.  Kepekaan yang sedikit untuk menghargai guru.

Kenapa tidak pemimpin merayakan guru? Bukankah guru telah menjalankan amanah negara? Memandaikan warganegara yang menjadi harapan? Melahirkan pemimpin-pemimpin yang sedia ada dan yang akan datang? Jengahlah guru. Ucapakan terima kasih kepada mereka. Tidak mungkin dilupakan suatu ketika dahulu gurulah yang membasuhkan kencing dan beraknya? Yang menyeka lelehan hingusnya? Yang membelai tangisnya ketika ditingalkan ibu pada hari pertama? Pada minggu pertama? Yang belum tahu eja baca. Yang belum tahu kira. Yang tidak tahu berbelanja dengan wang yang ada. Proses menjadikan pandai dilakukan oleh guru-guru biasa. Yang sangat biasa-biasa. Yang kelayakannya tidak seberapa. Yang hidupnya sangat sederhana. Persaraannya memberi suka dan bahagia. Matinya dalam hening pusara. Dengan mata terkatup rapat. Puas menjadikan ramai munsia.

Persepsi kita tentang hari guru perlu berubah. Guru tidak perlu hari-hari untuk mengenang mereka. Guru banyak perlukan sokongan daripada mereka di luar sana untuk kesempurnaan pendidikan anak-anak yang bakal menggalas tugas-tugas negara. Jika memimpin, mereka menjadi pemimpin berjiwa besar. Jika menjadi rakyat mereka menyumbang untuk membantu pemimpin. Yang memimpin dan yang dipimpin mestilah segerak. Bak aur dengan tebing. Bak isi dengan kuku. Pasangan yang mesti seiring.

Untukmu guru. Tugasmu adalah tanggungjawabmu. Kau telah pilih profesion ini. Ia mulia. Sungguh mulia. Ia menjanjika syurga. Ada nikmat besar yang Allah janjikan. Teruskanlah usaha menabur bakti. Guru tetap guru. Saya tahu dan kau juga tahu. Jiwa kita sebati. Guru tetap guru. Kembalikan kesemuanya kepada Allah. Moga-moga Allah redha dengan apa yang kita lakukan. InsyaAllah.