Tuesday, May 24, 2011

Melihat Guru Sekolah di US


Setiap pagi saya menghantar anak ke sekolah. Dua orang yang kecil. Yang ketiga di kindergarten. Nurul Najwa. Umurnya ketika itu 5 tahun. Adiknya berumur 3 tahun di headstart. Nurin naurah. Letaknya di Frick Primary School. Yang bongsu baru setahun setengah. Kekal di rumah bersama ibunya. Pergi dan balik dari sekolah saya melihat banyak yang boleh dipelajari tentang sistem sekolah di US. Bukan sahaja pengendalian dan penyenggaraan bangunan dan prasarananya malahan guru-gurunya juga berperanan dan berperawakan berbeza dengan kita. Cara mereka bekerja berbeza. Pembawaan diri berbeza. Falsafah mereka berbeza. Bagi kita di Malaysia semuanya stereotype. Di manapun sama sahaja. Nanti mungkin ada entry khusus untuk itu.

Guru di US tidak seperti kita di Malaysia. Setiap hari mereka berpakaian santai – casual. Pelajar pula tiada pakaian seragam. Mungkin satu-satunya negara yang sangat demokratik dalam hal berpakaian. Pelajar sekolah rendah tidak banyak karenahnya. Ibu bapa tetap peka tentang etiket berpakaian. Pandai juga menjaga batas-batas yang dibenarkan. Tentang pelajar yang besar, nanti saya ceritakan dalam entry lain. InsyaAllah. Bagi yang kecil ada beberapa ciri berpakaian yang mereka amalkan. Saiz tentulah perkara utama. Mereka nampak kemas. Lagipun ianya baik untuk kesihatan. Terlalu sempit menyiksa tubuh badan. Menyukarkan pergerakan. Terlalu besar kelihatan tidak cantik. Serba tidak kena. Fesyen biasanya yang terkini – up to date. Trendy. The in thing. Warna warni menyegarkan. Jenis kain mengikut musim. Begitu juga dengan tebal dan tipisnya mengikut musim.

Bila kita ke sekolah yang dapat dilihat ialah pelajar yang berwarna warni pakaiannya. Begitu juga fesyennya. Tidak ada satupun keseragaman. Tidak ada identiti sekolah. Tidak ada identiti kelas. Pelajar sekolah tetap pelajar sekolah. Dari sekolah mana tidak penting. Dalam sistem kehidupan rakyatnya tidak ada satu bentukpun yang namanya diskriminasi. Langsung tidak dibenarkan dari segi perundangannya. Dari segi sosial masih berlaku umpamanya di negeri-negeri di selatan. Yang di utara lebih terbuka. Sejarah perhambaan mereka yang panjang. Berhempas pulas Abraham Lincoln menghapuskannya. Hingga terjadi perang saudara. Ramai orang hitam di selatan asalnya hamba abdi. Hingga sekarang penghinaan itu masih berakar. Klu Klax Klan masih mensasarkan orang hitam sebagai mangsa mereka.

Banyak dinyatakan secara eksplisit bahawa apa bentuk diskriminasi sekalipun tidak dibenarkan. Tiada diskriminasi dari segi agama. Dari segi bangsa. Dari segi warna kulit. Dari segi gender. Dari segi umur. Dari segi taraf sosial. Dari segi kekayaan. Dari apa segi sekalipun tidak dibenarkan langsung diskriminasi. Hatta orang asing yang berada di sana tetap dilindungi. Kecuali selepas peristiwa 11 september ada kecurigaan yang ditanamkan kepada pegawai keselamatan mereka. Termasuk imigresen. Itu dasar luar mereka.

Kembali kepada pakaian tadi, anak-anak tidak dikenakan  apa-apa sekatan. Ada yang bergaun. Ada yang berjean. Ada yang berseluar pendek. Ada yang berkemeja-T. Bermacam-macam lagi. Tidak menjemukan. Waktu winter, spring dan fall mereka berbaju tebal. Tetapi di luar sahaja. Overcoat. Windbreaker. Vest. Apa sahaja asalkan tebal. Di hujung spring pakaian mula menipis. Mungkin jarang. Mula singkat. Mula ketat. Mula sendat. Semasa summer kebebasan itu nampak benar. Bukan ada larangan. Di sekolah rendah tidak nampak lagi. Di high school dan di college keadaannya mengerikan. Tetapi biasa bagi mereka. Budaya. Nilainya begitu. Jika hendak menghantar anak ke sana untuk belajar, pastikan mereka sudah matang. Saya bimbang mereka tergoda dengan berbagai-bagai kebiasaan orang di sana.

Guru di sana juga berpakaian santai. Biasa saya lihat mereka memakai jean, berkasut sneaker. Memakai kemeja-T. Proses belajar kepada pelajar adalah sesuatu yang santai. Fun. It is a game. Menyeronokkan. Dibuang bebanan psikologi dari sanubari pelajar. Begitu juga guru-gurunya. Bekerja adalah nikmat. Komitmen mereka tinggi. Kerja serius dalam santai. Anak-anak mereka tetap dibesarkan oleh negara dengan hasrat untuk mengetuai segala-galanya dalam dunia ini.  Warganegara mereka disasarkan menjadi world champion. Kerajaan mereka policing the world. Kesemuanya dilakukan dengan beragenda. Dalam santai itulah minda mereka diorientasi. Dipasak dengan dogma-dogma. Propaganda yang digendang-gendang. Psikologi mereka dibina. Diperkasa. Diperkukuh. Dewasa mereka menjadi yakin. Cekal. Berwawasan. Berhasrat besar. Tiada bertepi cita dan azam mereka.

Guru-guru hanya akan full dress apabila ada function di sekolah. Ketika itu guru mematuhi etika berpakaian rasmi dalam majlis-majlis. Orang Putih jika kita jemput makan malam di rumah kita, mereka datang dengan berpakaian rasmi. Maksud saya memakai baju kemeja berlengan panjang. Tali leher. Kasut dan setokin. Lounge suit. Wanitanya mungkin memakai night gown. Jemputan kecil walaupun untuk makan sudah cukup memerlukan mereka berpakaian rasmi. Mereka cukup menjaga etika berpakaian dalam majlis-majlis rasmi. Pekerja di sektor yang lain berbeza sedikit. Di universiti pensyarah-pensyarahnya berpakaian rasmi. Lounge suit selengkapnya. Imej antarabangsa barangkali. Di sekolah imej setempat. Atau mereka berpakaian separa rasmi. Blazer berwarna lain dengan warna seluar. Tetapi mereka tetap memakai blazer juga. Adat kebiasaan. Pemandu baspun memakai blazer. Bila saya naik bas semua orang saya lihat memakai blazer. Kerja mereka tentulah berbagai peringkat. Di sana eksekutifpun pergi kerja menaiki bas.  Terlau mudah. Jadualnya predictable.

Iktibar yang saya simpulkan ialah nilai-nilai baik harus dibentuk dari kecil. Kebebasan terkawal diajar kepada mereka sejak dari mereka kanak-kanak lagi. Ada etika tertentu yang disebut sebagai social etiquettee. Mereka memahami bila perlu berpakaian rasmi dan bila pula berpakaian santai. Kita masih jauh tertinggal dalam hal ini. Kadang-kadang cara kita berpakaian langsung tidak kena. Janggal. Out of place. Odd.  Kita tidak kenal yang mana perlu dan yang mana sampingan.  Dalam majlis-majlis rasmi masih ramai orang yang “tidak tahu berpakaian”. Kita tidak belajar. Kita tidak dididik. Kita tidak dibiasakan. Kita tidak dibesarkan dalam suasana yang mengikut peraturan sangat. Sekolah hanya memaksakan. Bila anak-anak tamat sekolah semua yang dilakukan semasa di sekolah dibuang ke longkang. Dibakar hingga hangusnya hilang begitu sahaja. Bila saya pandang keliling, saya seperti merasakan bahawa tidak ramai orang yang pergi ke sekolah kerana kesan selama 11 tahun bersekolah tidak lekat sebagai kebiasaan. Sebagai budaya. Sebagai nilai-nilai yang tinggi.

Mungkin kita kena berhenti sejenak. Pandang keliling. Lihat atas dan bawah. Renung jauh ke hadapan. Tinjau kembali yang telah ditinggalkan di belakang. Kita di mana sekarang ini? Apa yang kita lakukan? Apa yang kita rasakan? Apa yang kita jangkakan? Jelaskah wawasan kita? Apakah matlamat kita? Mungkin kita perlu melihat ke dalam. Jauh ke dalam sudut hati kita. Apakah yang kita cari? Apakah yang kita cita-citakan? Kita sudah ada Falsafah Pendidikan. Malangnya falsafah itu disogokkan kepada guru. Dipasakkan kepada guru. Dipaksakan kepada guru. Maaflah, guru bukan penentu segala-galanya. Tugas guru membina seorang warganegara dalam masa 11 tahun tidak memberi kesan kerana di luar sana tidak ada siapa yang menghormati Falsafah Pendidikan yang gah itu. Pendidikan bukan sesuatu usaha yang disegerakkan. Tidak ada pihak lain yang terlibat secara langsung memperkasa dan memperkukuh sistemnya di luar sekolah. Keluar sahaja pintu pagar sekolah, anak-anak terlepas dari kawalan. Mereka kembali seperti orang tidak bersekolah. Hilang tamadun. Hilang adab. Hilang budaya.

Susah benar hendak melatih dan mendidik anak-anak supaya berpakaian cantik. Kemas. Anggun. Mereka ke sekolah secara selekeh. Keluar sahaja melepasi pintu pagar sekolah mereka kembali selekeh. Sekolah sebagai institusi sosial seperti gagal membendung amalan kurang baik yang berlaku di luar sekolah. Bayangkan di luar pagar sekolah pelajar-pelajar menghisap rokok. Sekolah tidak dapat berbuat apa-apa. Guru tidak dapat berbuat apa-apa. Ibu bapa tidak pernah berhenti sebentar untuk memantau anak di sekolah. Dalam perjalanan ke sekolah. Tidak bertanya guru di sekolah. Pulangnya bagaimana. Dengan siapa. Apa mereka buat selepas waktu sekolah. Maaf dan minta maaf, ibu bapa di Malaysia tidak diberi maklum  bahwa mereka perlu memiliki ilmu keibubapaan. Mereka perlu banyak bertanya kepada guru. Banyak minta nasihat pakar kaunseling. Tanya psikologis. Tanya pakar motivasi. Dan jangan lupa tanyalah ustaz. Mereka semua boleh diminta bantuan. Boleh membantu untuk memberikan yang terbaik bagi ibu bapa yang mahu. Yang sudi. Yang inginkan anaknya berjaya. Jika tidak akademik sekalipun mereka berjaya akhlaknya. Akal budinya baik. Jalan fikirnya lurus. Agamanya terjaga. Walhal mereka mejnadi manusia yang berguna dalam kapasiti mereka nanti. Berguna dalam bentuknya yang tersendiri.

InsyaAllah jika ada usaha kea rah itu. Ibu bapa yang memainkan peranan besar untuk membentuk anak yang dihasratkan.

No comments:

Post a Comment