Monday, July 12, 2010
Masa Dulu-Dulu: Bahagian Kedua Puluh Sembilan - Bab 6
Oleh kerana saya pulang ke kampung sekali sebulan maka saya tinggalkan bekal untuk cukup sebulan. Namun dalam keadaan tidak kecukupan saya terpaksa berikhtiar lain. Keluarga tidak pernah diberitahu. Tidak pernah diminta bantuan. Tanggung sendiri. Di kampung sebelah (Parit Puasa) ada dua buah kedai runcit. Sebuah kedai Malbari dan sebuah kedai Melayu. Kedai Malbari itu sangat sinonim dengan keluarga saya. Sudah kenal dari arwah datuk saya lagi. Berpuluh tahun keluarga saya mengenalinya. Maka berundinglah saya dengan pemiliknya. Nanti isteri saya mendapatkan keperluan di kedai itu. Cukup bulan saya datang membayarnya. Setiap bulan saya tidak gagal membayarnya walaupun kadang-kadang sedikit lewat. Maka makan dan minumlah isteri dan anak-anak saya bersama arwah ibu saya kerana saya tinggalkan isteri dan anak-anak bersama arwah ibu. (Kedai itu sudah tiada lagi. Peniaga Malbari itu menjualnya kepada peniaga Melayu. Tetapi tidak panjang usianya).
Saya buat juga perjanjian dengan pemilik kedai yang sebuah lagi, pekedai Melayu. Tetapi maaflah bila lambat sedikit banyak omelnya. Bukan bantunya. Sesungguhnya orang Melayu masih jauh tertinggal berbanding dengan budaya orang Arab atau India atau Cina dalam hal membantu keluarga atau bangsanya. Di Batu Pahat umpamanya, tiada orang Arab yang susah atau merempat. Setiap orang ada kerja. Yang berniaga memberi kerja. Yang tidak berniaga membantu memberi tenaga. Hatta yang janda sekalipun anak-anak mereka dibela secukupnya. Jangan dikira belanja persekolahan dan makan minum. Begitu juga pakaian. Lihatlah betapa majunya keluarga Bajrai di Batu Pahat. Mereka ada kedai runcit, karpet, buku, pakaian, kain, farmasi, pelancongan, pemaju perumahan, aktif politik dan sebagainya.
Entahlah, bilakah agaknya orang Melayu tulen akan mencapai keperihatinan sebegitu. Bagi orang Melayu jika kurang meminta, lebih suka pula makan sendiri. Melebihkan untuk diri sendiri. Sifat memberi sangat lambat, kurang dan cuba pula dihindarkan. Barangkali ada kesilapan di mana-mana. Ukhwah Islamiah dan Melayuwiyyah banyak di bibir dan di mulut sahaja. Jarang menusuk ke hati. Selagi tidak dibuang sifat iri yang negatif itu mungkin lambat lagi orang Melayu tulen ini akan maju, menuju ke hadapan, membelah kemajuan, menancap ekonomi, menjunjung agama, menjulang sains dan teknologi dan memakmurkan alam dunianya.
Dalam sebuah hadith Rasulullah, mafhumnya, "Dua jenis iri dibenarkan. Pertama iri kepada orang berilmu yang mengamalkan ilmunya dan mengajar orang lain akan ilmunya. Keduanya, iri kepada orang kaya yang menginfakkan hartanya ke jalan Allah." Malangnya orang Melayu masih sangat iri terhadap perkara-perkara yang bukan hak. Fenomena itu ada di mana-mana. Di bandar, kampung, pejabat, sekolah, pasar, luar negara. Hatta di mana sekalipun. Puas saya mengembara dalam negara dan luar negara, iri orang Melayu ada di mana-mana.
Pada tahun kedua di UM (1976) anak-anak saya sudah mula ke Tadika. Jauh juga dari rumah. Setiap pagi isteri saya menghantar mereka berbasikal. Kedua-duanya dibonceng bersama. Waktu pulangnya juga dengan basikal. Walaupun jalanraya sudah luas terbentang, gambaran pohon getah dengan akar banirnya yang licin, tanahnya yang becak, lekit dan hitam gambut masih tetap terbayang. Laluan isteri dan anak-anak saya itu adalah laluan yang sama. Laluan yang saya rentas setiap hari waktu di sekolah kebangsaan dahulu. Kebetulan tadika itu di sebelah sekolah saya dahulu. Sekolah Kebangsaan Seri maimun, Parit Othman, Parit Sulong, Batu Pahat. Walaupun kepayahan dahulu sudah tidak ada, jalan merentas itu tetap menjadi nostalgik. Pahatan ingatan yang tidak boleh padam. Datang dan pergi di mata.
Waktu menghantar anak-anak sebelah pagi tidaklah terlalu rumit. Cuaca dan suhu di kampung masih sejuk mencengkam pada waktu pagi. Damai, bersih dan nyaman sepanjang jalan. Kenderan dan pencemarannya belum menyesakkan nafas dan rasa. Cuma waktu kembalinya dari tadika itu, keadaan agak panas dan memenatkan. Mengayuh basikal dengan dua orang anak bukan sesuatu yang memudahkan. Hati dan perasaan isteri saya cukup teruja untuk memandaikan anak-anaknya. Mentarbiahkan mereka untuk lari dari kebiasaan yang biasa-biasa. Untuk mengeluarkan anak-anak dari kepayahan kami berdua. Untuk lari dari amalan konservatif yang memomok dan mengongkong diri. Untuk keluar dari kepompong lama yang merimaskan.
Biasalah anak-anak. Matanya liar nampak itu dan ini. Ada sahaja mintanya. Yang kedua selalu mendahului kakaknya bila meminta. Bila melintas kedai ragamnya meninggi. Rela terjun basikal kerana terasa kehendaknya tidak akan tercapai. Atau isteri saya lambat memberi respon. Allah. Manalah hendak membeli. Saya bukan banyak meninggalkan wang untuk isteri dan anak-anak. Jika ada diguna secermat mungkin. Tersangat berpada-pada. Barangkali anda semua boleh bayangkan. Anak itu yang umurnya sekitar tiga tahun terjerit-jerit di tepi jalan kerana hendakkan sesuatu. Sanggup mencangkung dan berbaring. Gamak terguling-guling. Apalah daya seorang ibu jika tidak mengasihi anaknya. Jika tidak mengalah dengan karenahnya. Jika tidak menyempurnakan hajat anaknya. Jika tidak meredakan ragamnya. Anak sekecil itu apalah yang boleh dipengapakan. Akhirnya kasih sayang juga yang megatasi segalanya. Diturut hendak dan ragamnya. (Sebak juga saya pada saat ini). Anak-anak terpaksa menanggung derita dan merasa penanggungan berat tanpa mereka mengerti erti kepayahan ibu dan bapanya.
Mendidik anak bukanlah sesuatu yang santai. Perlu ada rencana. Perlu ada wawasannya. Perlu ada rentasan waktu di hadapanya. Perlu ada hambatan-hambatan rasa, hasrat, cita dan azam. Semuanya harus menyatu untuk mendambakan yang manis-manis dan muluk-muluk belaka. Mengingat kembali semua ini mengingat semula kepayahan masa lalu yang berulang. Kitaran masa yang timbul tenggelam. Mencari dasar dan tapak untuk teguh kejap berpijak nyata. Yang nyatanya masa dulu-dulu itu adalah pencarian untuk membina masa hadapan. Menongkah waktu dan zaman. Mencari pelangi dan spektrumnya. Mencari indah yang dijanjikan kepada yang mencari.
Untungnya saya dan isteri banyak menyama rasa. Kami tidak membeli jajanan di jalan. Tidak banyak membeli apa yang melintas di hadapan rumah. Kami tidak ajar anak-anak suka berbelanja mengikut selera. Kebanyakan masa makanan dibawa ke rumah. Makan di rumah. Berebut di rumah. Kenyang di rumah. Waktu balik kampung yang lazimnya memakan masa 7 hingga 8 jam kami tidak makan di kedai. Isteri saya menyediakan bekalan untuk kami makan dalam perjalanan. Lauk pauk ringkas dan senang tetapi tetap menyelerakan. Bukan sahaja seperti selalu saya katakan isteri saya cukup sedap air tangannya tetapi faktor ramai, penat dan suasana di luar rumah sentiasa membuka selera. Tetap kecur air liur. Makan kami seperti tidak ada kenyangnya. Ada sahaja selera. Payah hendak patah selera. Kecurnya memanjang.
Aduhai mesih mengingat masa lampau. Zaman-zaman itu sudah lama berlalu. Sekarang kami selalu berdua. Anak-anak yang dulunya di keliling pinggang meninggalkan kami seorang demi seorang. Yang berumah tangga, yang sudah bekerja dan yang masih belajar semuanya jauh dari rumah. Sewaktu teringin membina Taj Mahal dahulu kesemua mereka masih ada. Dirancang supaya mereka seronok di rumah yang cukup selesa untuk mereka. Hakikatnya tidak begitu. Ahkirnya mereka hanya kembali mungkin di hujung bulan atau di hari cuti atau pada majlis-majlis tertentu yang diatur atau pada hari raya.
Seri rumah itu bersinar bila mereka kembali. Ada keriuhan anak cucu. Namun bila mereka kembali tiada, kesunyian itu menghambat kembali. Datang lagi meninggalkan kenangan-kenangan dan keriuhan-keriuhan lama. Alhamdulillah kepayahan dulu-dulu itu tersimpan dalam ingatan. Blog ini akan dibaca oleh anak-anak dan cucu cicit selagi masih boleh dibaca. Mudah-mudahan ia memberi keinsafan bahawa induk mereka dahulu datang dari rentasan masa yang sangat suram dan samar. Sekarang ini mereka dalam cahaya yang terang. Doa saya mereka meneruskan obor terang itu merentas zaman-zaman di hadapan mereka.
Saturday, July 10, 2010
Masa Dulu-Dulu: Bahagian Kedua Puluh Sembilan - Bab 5
Tahun pertama di UM banyak onak dan durinya. Dari sekolah menengah yang jauh di selatan, kemudian menjadi guru, terlontar pula di UM tentulah mengundang seribu satu macam cabaran. Budaya belajarnya, budaya sosialnya, budaya akademiknya. Paling gila ialah membeli cetakan fotostat yang dihidangkan oleh pelajar-pelajar seniour. Entah berapa banyak yang saya beli. Harga tidaklah begitu mahal. Sekitar RM10. Tetapi waktu itu 10/400 saya kira banyak juga. Jika hendak membeli buku yang sebenar (yang ori) tentulah lebih tidak berkeupayaan. Aduhai. Inilah masanya pelajar-pelajar seniour mendapat peluang mengumpul sedikit wang saku. Harapkan biasiswa memang tidak mencukupi. Hendak meminta bantuan ibu bapa lagilah gila jadinya. Jika penoreh getah atau nelayan, berapa sen sangat yang dapat untuk membantu anak.
Di USA harga buku teks baru dan harga buku teks terpakai tidak jauh bezanya. Sekitar 5USD sahaja. Yang terpakai pula penuh dengan contengan, coretan, tulisan, calitan dan sebagainya. Harganya tetap mahal. Begitulah mereka menjaga harta intelek. Dengan cara itu mereka masih kekal menjual yang baru. Penulis buku (yang selalunya pensyarah) menikmati hasil intelek mereka tanpa batasan.
Sewaktu belajar di UM dulu, wang memang sangat-sangat menyulitkan. Separuh gaji sekitar RM400 rasanya paras-paras hidung sahaja jika tidak di paras mata. Bayangkanlah iris yang separuh tenggelam. Sukar sungguh menerawang masa depan. Walaupun masa depan apabila turun dari menara gading penuh dijanjikan yang muluk-muluk belaka. Mana ansuran vespa. Mana sewa rumah. Mana makan dan minum anak dan isteri di kampung. Mana makan dan minum sendiri. Mana minyak Vespa. Mana hendak beli buku. Allahu Akbar. Pakaian memang payah hendak berganti.
Paling sukar adalah meninggalkan dua orang anak kecil saya. Yang sulung baru berusia 3 tahun sewaktu saya mula belajar. Yang kedua berumur 1 tahun 10 bulan. Yang sulung sudah mula memahami dirinya yang ditinggalkan. Sewaktu umurnya 3 tahun setengah selalu saya terima suratnya. Pendek dan ringkas. Berkat rajin isteri saya yang mengajar mereka membaca sejak boleh mengenal angka, huruf dan nombor. Aklhamdulillah IQnya tinggi. Suratnya sarat dengan rindukan abahnya yang jauh. Kembali menemui mereka sebulan sekali tidak cukup bagi mereka. Setiap kali menerima surat itu (tentunya sebagai juga proxy isteri saya) bagai hilang separuh dari nyawa saya. Hujung bulan juga saya dapat kembali. Setiap minggu tidak terlarat. Jalan lama dahulu amat lambat sampainya. Lebuh raya PLUS belum diimpikan lagi. Menunggang Vespa nampak glamour tetapi daging punggung bagai hilang, kebas kepenatan. Entah berapa kali terengsut-engsut di atas motorsilkal itu. Berhenti, entah berapa kali. Siksa. Perjalanan yang menyiksakan. Demi perjuangan untuk mencari yang namanya ilmu.
Rindukan anak kedua lebih mencabar lagi. Pernah sekali ia menangis sekuat-kuatnya sewaktu hendak saya tinggalkan untuk kembali ke kampus. Meruntun-runtun jiwa kecil saya. Wahai anakku lepaskanlah abahmu. Abah hendak mencari ilmu. Ilmu yang nanti akan memperbaiki hidup kita. Ilmu yang akan mengeluarkan kita dari paras kepayahan yang masih ada saki bakinya. Sepanjang perjalanan itu hati saya rawan. Allah, kenapa mesti saya berpisah dengan mereka. Mereka perlukan peluk cium saya. Mereka perlukan rindu saya. Mereka perlukan perlindungan dan pembelaan saya. Mereka perlukan abahnya. Mereka hendak bermanja. Berkeletah. Meragam seorang anak.
Ingatan yang menyambar-nyambar minda menyebabkan saya alpa sebentar. Di Sungai Besi, berhampiran dengan kem tentera, Vespa saya terlanggar lubang. Allahu Akbar. Alhamdulillah saya tidak terjatuh. Dapat mengawal keadaan kerana saya tidak memandu laju. Namun roda hadapannya bengkuk juga. Terpaksa mencari kedai motorsikal untuk membetulkannya. Anak kedua saya itu memang manjanya cukup-sulup. Rajuknya juga kur semangat. Kakaknya selalu beralah. Jika makan gula-gula, terpaksa kakaknya luahkan untuk diberikan kepadanya kerana mintanya tidak akan berhenti selagi tidak diberi.
Kehidupan sebagai pelajar banyak cabaran minda dan perasaan. Barangkali meninggalkan anak-anak kecil banyak menderitai jiwa saya kerana saya sayangkan mereka. Waktu kecil itulah sepatutnya saya sentiasa bersama mereka. Apalah daya, keadaan tidak mengizinkan lagi. Banyak liku-liku kehidupan yang kadang-kadang tidak kita ketahui bila datangnya. Allah yang merancangkan untuk kita. Sebagai pelajar banyak episod derita yang saya tanggung. Fizikal, mental, spiritual, psikologikal. Kesemuanya menggabung untuk menguji ketahanan diri. Itulah saya belajar mengenai AQ - Advesary Quotient yang membantu saya mengekalkan stamina untuk belajar dan mencapai kejayaan.
Isteri dan anak-anak saya juga derita di kampung. Saya tinggalkan mereka kerana rasanya tidak kecukupan untuk membawa mereka berhijrah ke Kuala Lumpur yang menakutkan jiwa kecil seperti saya. Makan dan minum mereka jauh dari mencukupi. Tiada siapa yang memahami kekurangan-kekurangan yang mereka alami. Semuanya ditelan begitu sahaja. Mungkin deritanya tidak terlalu menghimpit kerana di keliling rumah arwah ibu dahulu banyak buah pisang, durian, manggis, rambutan dan ciku. Sayur pucuk manis, paku pakis merah, pucuk ubi, pisang muda, umbut, peria dan kacang panjang yang ditanam sendiri. Separuh gaji sebanyak RM400 jauh dari mencukupi. Orang hanya melihat tetapi kami yang menanggungnya. Perit bahu memikulnya. Sekarang ini apabila saya pulang ke rumah, Taj Mahal itu adalah lambang mahalnya pengorbanan dan jerih perih yang kami tanggung dahulu. Isteri saya senang dengannya. Rekabentuknya memenuhi citarasnya. Bebels-belas kali kami ubah di sana sini sebelum benar-benar dibina. Anugerah untuk seorang isteri. Semoga deritamu dahulu terubat sayang.
Yang menjadi masalah sewaktu saya tinggalkan mereka dahulu ialah beras dan lauk pauk. Mana wangnya untuk mencukupkan?
Saturday, July 3, 2010
Masa Dulu-Dulu: Bahagian Kedua Puluh Sembilan - Bab 4
Banyak yang indah-indah di sana. Siapa yang tidak ingat tasiknya. Entah berapa banyak pasangan yang mengikat janji di situ. Entah berapa ramai yang beranak pinak. Seperti lumrahnya entah berapa ikatan yang terlerai di situ. Ada yang datang dan ada yang pergi. Perpustakaan yang sentiasa tersergam, agam dan menggmit pelajar-pelajar yang setia. Dewan Tunku Canselor dan plaza siswa yang ada di belakangnya.
Begitu juga kolej-kolej kediaman yang berada di keliling kampus. Dulu kolej 5 adalah yang paling jauh. Sekarang kolej 5 dijirani kolej 11 dan kolej 12. Ada pula komplek sukan. Mungkin Akademi Islam yang paling jauh ketik ini. Saya hanya berkerkesempatan tinggal di asrama Zaaba selama seminggu dalam masa orientasi. Selepas it mencari tempat tinggal di luar kampus.
Cerita rumah ini banyak episod dukanya. Cerita guru lagi. Waktu tahun 60an dan 70an belajar di UM banyak siksanya. Sekarang ini terlalu ramai mahasiswa dan mahasistua yang berkereta ke kampus. Waktu saya dulu bermotorsikal sudah cukup mewah. Ramai pula yang sedia membonceng. Apa lagi jika Vespa dan Lambretta. Lambang kegilaan dari Itali. Memang ramai guru yang bermotorsikal. Tetapi itu adalah keperluan yang sangat diutamakan. Untuk ke kuliah, ke perpustakaan, ke masjid. Wang di saku memang tipis. Secukupnya sahaja.
Bagaimana ya mahasitua mengurus hidup. Bagi guru yang isterinya bekerja tentulah tiada masalah kewangan. Tetapi bagi yang lain seperti orang berpakaian singkat. Serba tidak kena. Pada era itu walaupun UM itu gah, ramai pelajarnya yang hidup melarat dan merempat semata-mata untuk menjejak segulung ijazah tanpa mengira kualitinya. Tetapi untuk menghabiskan masa selama 3 tahun, banyak keajaiban yang diperlukan. Sebenarnya ramai yang menolak bila mendapat tawaran ke universiti. Suatu keberanian yang luar biasa untuk sampai di IPT. Untuk bercuti dengan separuh gaja memang suatu pengorbanan yang bukan calang-calang. Mana nak beli buku sedangkan hutang rumah perlu dibayar. Mana nak bayar yuran sedangkan hutang kereta perlu ditunaikan. Mana nak berlau sedap sedangkan anak-anak sudah bersekolah. masakan hendak bermewah sedangkan isteri dan anak-anak di kampung cukup mengikat perut. Hanya pesan, "Sabarlah sayang. Tiga tahun nanti hidup kita aka berubah. Doakan abang." Saya menghembus suara. Hanya Allah yang tahu deritanya untuk menghabiskan jangkamasa tiga tahun. Derita itu hanya boleh ditangung sendiri. Tidak perlu dikongsi. Hanya manyayat hati.
Ramai guru yang makan sekali sehari. Mereka berpuasa sepanjang hari. Makan hanya waktu malam sahaja. Seminggu pertama setiap bulan mungkin ada peruntukan untuk makan siang. Itupun cuma seminggu sahaja. Tiga minggu berikutnya mereka mengikat perut. Sukar mencari guru yang gemuk waktu berda dalam kampus. Piggang saya bersaiz 27 sewaktu keluar dari kampus. Sekarang mencecah saiz 35. Manakan tidak, siang berlapar, malam berjaga pula. Sekali dua kita ajak makan, mereka menolak sahaja. Lama kelamaan perasan juga. Kasihan. Rupanya mereka berpuasa. Saya yang makan terasa berdosa pula. Semuanya demi kelangsungan hidup. Suatu perjuangan. Suatu jihad barangkali.
Bagi yang lain mereka ada bajet makan tetapi tidak mampu untuk menyewa rumah atau bilik. Banyak masjid yang mereka huni. Percuma. Ada yang tinggal di masjid Kajang setengahnya. Terutama apabila rakan mereka belajar di UKM. Mereka dalam kelompok ini mungkin kurang makan tetapi masih makan. Kurang lauk tetapi masih berlauk. Kurang banyak tetapi masih berlauk juga. Mungkinyang paling murah tetapi masih berlauk juga. masih ada rasa masin dan manis, masih masam dan kelatnya, yang pahit dan pedas. Cuma tidur mereka ala kadar sahaja. Tidaklah makan berlaukkan daun ubi rebus sahaja. Masih banyak nikmatnya.
Saya hanya boleh bercerita. Namun saya tidak merasa deritanya. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Bagi mereka, mendapat Ijazah Am sudah cukup membahagiakan. Jika mendapat honours memang berganda nikmatnya. Mereka kesemuanya sudah bersara. Derita di kampus sudah lama berlalu. Cuma kadang-kadang melihat kemewahan pada pelajar-pelajar sekarang saya rasa terkilan. Mereka tidak pandai merasa. Amalan berpuasa dalam bulan Ramadhanpun masih tidak mampu mengubah persepsi mereka tentang erti kehidupan. bahawa kemewahan yang mereka kecap adalah penat lelah datuk nenek mereka. Keringat dan air mata entah berapa tempayan yang mengalir. Derita itulah yang membahagiakan anak-anak, melapangkan kehidupan berkeluarga.
Friday, July 2, 2010
Masa Dulu-Dulu: Bahagian Kedua Puluh Sembilan - Bab Tiga
Jika hendak dikira, bukan guru-guru yang menjadi mahasitua sahaja yang perit hidupnya. Anak-anak muda yang memang mahasiswa juga tidak kurang azabnya. Beberapa kisah yang akan saya paparkan mungkin mustahil boleh dilalui lagi oleh mahasiswa masa kini. Tidak mungkin, tidak mungkin. Suatu pengalaman yang hanya boleh dilalui oleh orang dulu-dulu sahaja.
Sekumpulan pelajar selalu sangat meminta garam dari beberapa orang gadis yang menyewa di tingkat atas rumah sewa mereka. Pada mulanya gadis-gadis itu tidak mengesyaki apa-apa. Mereka bersangka baik. Tetapi setelah beberapa lama, mereka tertanya-tanya. Apa sebenarnya yang menyebabkan mereka selalu meminta garam. Pada fikiran mereka garam terlalu murah. Takkan tak mampu beli. Hanya beberapa sen sekilo. Rasa ingin tahu mereka sudah tidak boleh ditahan lagi. Bagai hendak meletup dada mereka untuk bertanyakan hal itu.
Suatu hari, pada saat yang sarat dengan rasa ragu mereka bertanya juga. "Apa sebenarnya guna garam tu." Tanya seorang dari gadis itu. "Kakak bukan tak hendak beri garam tu. Mintaklah bila hendak. Cuma kakak nak tau. Buat apa garam tu. Itu sahaja." Lama palajar itu terdiam. Antara malu dengan jujur. Antara telus dan kabur. Antara terang dan gelap. Antara berterusterang atau diam.
Suspen kakak-kakak tu menanti jawapan. Entah ada jawapannya atau tidak. Lama antara mereka bungkam. Yang bertanya menanti jawapan. Yang ditanya terkulat-kulat hendak menjawab. Terperasan bahawa pelajar itu basah pipinya. "Macam ni kak. Kami selalu minta garam untuk merebus daun ubi." "Daun ubi buat apa?" tanya gadis. "Untuk lauk kami makan." Terurai semua yang terbuku. Terurai kepada yang ingin tahu. Terurai oleh pelajar yang menyimpan rahsia hati.
"Kami tinggal bertiga. Wang kami hanya cukup untuk membayar yuran, sewa rumah, beli beras, beli minyak motor. Kami hanya makan nasi berlaukkan daun ubi rebus." Sebak dada gadis-gadis itu mendengar jawapan. "Kami perlu belajar. Kami perlu tempat tinggal. Kami perlu kenderaan. Motorsikal tupun kami gunakan bergilir-gilir. Untuk kuliah dan ke perpustakaan. Mulanya kami makan sahaja daun ubi hambar tanpa garam tu. Lama kelamaan tak larat nak makan lagi. Tu yang kami mingta garam tu. Maaflah kak. Garampun kami tak mampu nak beli. Benar kak, kami tak mampu." " Mana dapat daun ubi tu? Beli kat mana?" Tanya lagi gadis itu. "Daun ubi kami dapat percuma dari Kampung Abdullah Hukum. Kat tepi rel keretapi tu. Kami kutip bila ada kelapangan. Itulah lauk kesayangan kami." Jawab mereka.
Lama gadis dan pelajar itu terkaku diam. Masing-masing terkedu dan tersendu menahan gelora. Yang gadis gelora kasihan. Yang pelajar gelora nasib diri yang terlalu daif. Terlalu miskin. Terlalu papa sebagai mahasiswa. Yang gah di luar tetapi derita di dalam. Air mata masing-masing deras mengalir. Membasahi derita muda yang harus dilalui sebagai bekal mengembara zaman. Untuk cerita lisan kepada anak cucu.
(Bagi mereka yang muda Kampung Abdullah Hukum mungkin sudah tiada dalam kamus lagi. Sudah hilang ditelan pembangunan kuala Lumpur. Kalau nak tahu, lokasinya antara Jalan Bangsar dan dan Kompleks Mid Valley.)
Itulah satu daripada banyak episod payahnya hendak menjadi graduan sebuah menara gading. Ibu bapa hanya menanti anaknya menjawat jawatan tinggi. Ada yang menanti bakal menantu berjawatan tinggi. Ada rakan iri hati kerana pangkatnya besar dan gajinya lebih tinggi. Ada masyarakat yang menyanjung tinggi. Hakikatnya ialah semua itu bersalut dengan kepayahan, siksa penderitaan, air mata dan keringat. Sakit dan jerih. Perit dan kadang-kadang penuh dengan penghinaan.
Atas nama ilmu. Atas nama cintakan ilmu. Atas nama untuk menjadi pandai. Menjadi intelek. Untuk mengeluarkan diri dan keluarga dari vicious circle kemiskinan tradisi turun temurun. Semua kepayahan itu diharungi. Akan nanti menjadi bekal supaya tidak lupakan diri. Supaya tidak lupakan asal usul. Supaya sentiasa berpijak di bumi nyata. Itulah hakikat. Hakikat sebuah perjuangan. Riwayat hidup mati yang panjang kisahnya. Demi survival dan kelangsungan hidup.
(Antara gadis-gadis dalam episod ini adalah adik ipar saya sendiri).
Tuesday, June 29, 2010
Temuduga: Bertemu dan Diduga
Mereka pula ingin mencari orang-orang yang menyerupai mereka. Calon yang memiliki ciri-ciri klon mereka akan mudah mendapat jawatan yang ditawarkan. Walau bagaimanapun ada masanya mereka banyak menduga calon sehingga ada calon yang lupa bahawa mereka sedang ditemuduga. Ada panel yang sangat friendly. Ada pula yang keras kaku. Ada yang suka bergurau. Bermacam-macam lagi karenah mereka. Sebagai calon anda hendaklah sentiasa menjaga batas-batas diri. Anda sedang ditemuduga. Walaupun suasananya mungkin santai tetapi tidak bermakna anda boleh over semasa ditemuduga. Ketawa mereka, senyum mereka dan lawak mereka hendaklah diikuti dengan rasa berhati-hati dan profesional. Ketawalah secara profesional. Caranya hanya membuka mulut seperti orang ketawa tetapi tidak mengeluarkan suara. Jangan ketawa terlalu lama. Mungkin sesaat atau dua sahaja. Belajar mengawal emosi. Senyumlah seadanya tetapi dengan rasa ikhlas dan pancarkan muka yang santai - relaxed. Lawak mereka untuk menghibur bukan untuk dilayan atau disambung-sambung. Jika ditanya, jawab. Selain daripada pertanyaan seperti melawak, tidak perlu komen. Tidak perlu ada ulasan.
Jika mereka komen, mungkin tidak perlukan jawapan. Jika diminta komen barulah beri komen. Itupun tidak boleh bias, condong kepada mana-mana pihak. Cukup sekadar berkecuali sahaja. Setiap jawapan atau ulasan atau komen beri pro dan konnya. Lepas itu harmonikan pendapat. Buat rumusan. Dalam temuduga panel ingin melihat calon yang agak neutral (berkecuali). Tidak hitam atau putih. Tidak suka atau benci. Tidak ya atau tidak. Mereka mahukan orang yang natural dan profesional. Mereka yang seimbang dari segi personaliti, sahsiah, psikologi, temperament 9perawakan) dan adab sopan, budi bicara serta petah tetapi tidak menegakkan benang basah sahaja.
Pakaian tiada kompromi. Itulah ciri-ciri fizikal yang pertama dilihat dari jauh hingga dekat. Cara berjalan, lenggang tangan, langkah, kedudukan bahu dan cara meletakkan kepala adalah bahagian kedua yang dilihat. Ketiganya raut muka, mimik muka dan hal-hal yang berkaitan dengan muka. Keempat cara membawa beg tangan dan dokumen. Kelima suara. Keenam sopan santun, pemilihan kata-kata, istilah, bentuk ayat yang dibina. Ketujuh cara bersosial. Kelapan cara berhujjah, mengeluarkan pendapat, cara mempertahankan pendapat. Kesembilan pengetahuan am, semasa malah yang futuristik. Kesepuluh cara menamat dan meninggalkan sesi temuduga.
Jika jawatan yang dipohon adalah pegawai, maka selain berbaju kurung selengkapnya, pakailah blazer. Yang lain seperti biasa. Kasut yang menutup tumit dan jari kaki (bukan sandal atau selipar) dan setokin, tudung, beg tangan, kacamata, pen, briefcase, barang kemas dan solekan ala kadar. Bagi lelaki pakailah talileher dan blazer. Panduan berpakaian telah saya sebut dalam entri yang terdahulu.
Ketuk pintu sebelum masuk. Buka dengan perlahan-lahan. Tutup kembali dengan pelahan juga. Beri salam secara umum. Berjalan hendaklah dengan langkah yang tetap, santai dan bersahaja. Kemas tetapi tidak terlalu laju. Nanti dianggap kepoh. Jangan terlalu perlahan. Nanti dianggap lemban atau malas. Slow kata orang. Jangan hentak-hentakkan kaki menunjukkan rasa tidak senang. Santai, santai dan santai. Abaikan apa yang beraku di rumah, di dalam kenderaan, diruang menunggu. Fokus untk temuduga itu. Walaupun semua mata penemuduga memandang setiap langkah anda, abaikan. Anggap mereka sedang mengira langkah anda. Biar mereka penat mengira. Sama ada mereka membuat pandangan sayang atau suka atau profesional, itu bukan masanya untuk membuat penilaian. Hayun tangan selayaknya. Jangan kaku seperti robot. Pastikan bahu rata dan tidak senget. Banyak berlatih di hadapan cermin. Kepala tidak mendongak dan tidak menunduk. Pandang ke hadapan. Pandang penemuduga. Perhatikan berapa ramai, tua atau muda, lelaki atau perempuan, ada atau tidak yang anda kenal.
Berjalanlah dalam keadaan santai. Kendurkan otot di bahagian muka. Lembutkan raut muka. Macam nak senyum tak jadi. Tidak boleh sama sekali menunjukkan muka masam atau kelat atau keras. Sebelum duduk anda sudah dikira gagal. Tidak perlu menghadiri temuduga lagi. Pamerkan muka paling manis. Itulah yang termanis pernah anda lakukan dalam hidup anda. Ini bukan melawak. This is serious stuff. (Semasa mengisi borang tulislah dengan secantik dan sebersihnya. Lekatkan gambar terbaru yang paling bersahaja dan paling manis). Dalam keadaan tertentu tulisan dan gambar itu menentukan sama ada berjaya atau gagal. Tanya diri anda sendiri. Tentu anda tidak suka orang yang tulisannya comot, tidak teratur, tidak boleh dibaca dan langsung tidak ada seninya. Begitu juga anda tidak suka melihat gambar yang tidak cantik dan manis. Biasalah, anda akan mengulang lihat gambar yang cantik dan manis. Penemuduga adalah manusia seperti anda sendiri. Tiada bezanya.
Brief case, beg tangan dan dokumen mungkin anda bawa ke bilik temuduga. Bawa beg brief dengan menjinjingnya dengan tangan kanan atau tangan kiri. Beg tangan di tangan yang sebelah lagi. fail dokumen telah disediakan selengkapnya dari rumah. Muka pertama diisi dengan surat panggilan temuduga dan kad pengenalan. Bahagian kedua diisi dengan kelayakan akademuk yang tertinggi hingga yang paling rendah. Bahagia ketiga masukkan dokumen yang berkaitan dengan testimonial, surat berhenti sekolah atau apa-apa surat penghargaan sekolah serta surat-surat sokongan jika ada. Bahagian keempat isi dengan dokumen-dokumen kokurikulum yang lain. Pegang fail dokumen dengan tangan kanan dan pegang lekat ke dada. Apabila sampai ke meja penemuduga terus serahkan fail domumen kepada penemuduga yang duduk di tengah-tengah kerana dia pengerusinya. Unjukkan fail dengan kedua-dua tangan sambil berkata, "Silakan Tan Sri/Datuk/Tuan."Jangan duduk sehingga dipersilakan duduk. Sebelum duduk ucapkan terima kasih dahulu. Letakkan beirf case dan beg tangan di atas lantai d sebelah kerusi sama ada di kanan atau di kiri serusi. Letakkan tangan di atas paha hampir ke kepala lutut. Seperti pengantin sedang bersanding. Jangan bersilang kaki. Jangan kangkang tetapi rapatkan kaki. Jangan naikkan kaki. Jangan goyang-goyangkan kaki. Bagi calon wanita rapatkan kaki tetapi disengetkan sedikit sama ada ke kanan atau ke kiri. Duduk santai, tegakkan bentuk tubuh, sandarkan ke kerusi, pandang ke hadapan dengan tenang, manis dan sopan. Banyakkan senyum di mulut dan di mata. Pancarkan kekhlasan dan kerbersahajaan. Jangan berpeluk tubuh. Jangan sentuh kepala, muka atau bahagian tubuh yang lain. Jika perlu sekali sekala sahaja. Pada waktu yang lain biarkan rasa merayap atau gatal. Sakit atau sensasi.
Berlatih untuk bercakap dengan intonasi suara yang power. Tidak terlalu tinggi hingga terasa menjerit. Tidak terlalu perlahan hingga tidak boleh didengar. Pastikan kesemua ahli panel mendengar suara anda. Keluarkan butiran suara dan perkataan sebiji, sebiji. Jangan terlalu laju, sukar orang hendak menangkapnya biji butirnya. Jangan pula terlalu perlahan hingga hilang keseronokan temuduga itu. Temuduga itu sepatutnya rancak tetapi terkawal.
Gunakan istilah dan bahasa yang sesuai. Semang terpakai dan semua penemuduga memahaminya. Jika tidak jelas minta ulang lagi. Jangan sekali-kali mengatakan, "hah?" Atau, "apa?" Calon hendaklah mendengar dengan teliti setiap yang diungkapkan oleh penemuduga. Konsentrasi penuh. Kemahiran mendengar juga diperhatikan kerena peranan ketua hendaklah banyak mendengar sungutan dan rungutan orang-orang di bawah. Belajarlah menjadi pendengar aktif.
Orang Melayu tidak menggunakan perkataan "You" dan "I". Jika ada gelaran panggil ikut protokolnya. Mungkin Tan Sri, Datuk, Tuan Haji/Hajjah, tuan/puan, dan sebagainya". Penemuduga tentulah tidak seronok jika tidak diberi penghormatan yang selayaknya. Bahasakan diri sebagai saya dan bukan I.
Sekiranya anda diajukan soalan atau isu yang kontroversil, anda hendaklah membincangkannya secara berkecuali. Walaupun anda tahu dan yakin anda berada di sebelah pihak tertentu, dalam memberikan hujjah anda hendaklah profesional dan berkecuali. Beri ualasan tentang kelebihannya. Berikan pula keburukannya. Rumus dengan mengharmonikan kedua-dua pendapat yang bertentangan itu. Jangan bertegang urat atau bertengkar semasa berhujjah. Jadikan pendapat anda sebagai bahan akademik.
Calon yang ditemuduga di Malaysia selalu sahaja tidak memiliki pengetahuan am yang meluas. Semasa masih mencari kerja, surat khabar hendaklah dibaca setiap perkataan, setiap topik. Setiap mukasurat. Setiap ulasan. Semua ruangan berita dan apa sahaja yang termuat dalam akhbar. Apa sahaja yang melintas di hadapan mata hendaklah dibaca. Berita radio dan TV hendaklah dibiasakan telinga mendengarnya. Berita pagi itu dan akhbar perdana pagi itu hendaklah dibaca.
Aapabila temuduga ditamatkan. Ucapkan terima kasih kepada penemuduga. Tinggalkan kerusi dengan perlahan. Jangan sampai kerusi tumbang. Maju ke hadapan, ambil dengan kedua-dua tangan fail dokumen yang terletak di meja penemuduga. Berhati-hati supaya tidak terambil kertas atau apa-apa dokumen yang terletak di bawah fail anda. Kadang-kadang itu juga merupakan sebagai ujian mengenai ketelitian calon dan cara calon itu mengawal dirinya.
Sebelum menghadiri temuduga, banyakkan minum air suam. Kosongkan perut dan nyahkan masalah perut pada hari temuduga. Banyak berzikir, berdoa. Santaikan diri dengan berbual, melawak atau berbual-bual santai. Jika membawa kenderaan pastikan kupon parkirnya mencukupi dan diletak di tempat yang sepatutnya.
Panduan ini hanya ringkas sahaja. Perlu juga bertanya secara peribadi dengan orang-orang yang mahir tentang protokal dan etiket. Lihat cara-cara orang besar atau peemimpin mempamerkan diri mereka. Berlatih untuk meningkatkan imej diri. Yang lain serahkan kepada Allah. InsyaAllah.
Sunday, June 27, 2010
Talbinah: Makanan Sunnah
Beberapa agamawan (ulamak) telah mengkaji hadith-hadith tersebut. Mereka mendapati bahawa bahan-bahan untuk membuatnya masih ada sekarang ini dan umat Islam masih boleh menikmatinya sebagai makanan kesihatan yang dianjurkan oleh Rasulullah. Bahan asasnya ialah sejenis bijirin yang dipanggil shaeer. Bahan campurannya pula termasuklah madu yang dimaklumi sebagai antara penawar penyakit yang besar manfaatnya. Dalam sebuah hadith Rasulullah bersabda bahawa Talbinah menenangkan hati dan menghapuskan kemurungan.
Campuran bahan-bahan tersebut diproses dan dijadikan sebagai serbuk yang mudah larut apabila dibancuh dengan air panas. Warnanya menjadi seperti susu walaupun bukan dicampur dengan bahan dari susu. Susu dalam bahasa Arab adalah laban. Mengambil sempena warna susu itulah terbentuknya nama Talbinah. Nama Talbinah bukanlah suatu istilah baru tetapi telah dinamakan begitu oleh Rasulullah s.a.w. sendiri.
InsyaAllah banyak penyakit yang sembuh setelah mengamalkan pengambilan Talbinah secara teratur. Antaranya mengurangkan kolestrol, darah tinggi, kandungan gula, kencing manis, sedih dan kemurungan, melambatkan penuaan, imsonia (sukar tidur malam), parkinson, fikiran tidak tenang, menguatkan ingatan dan hafalan, menambah selera makan, mengurangkan sembelit dan gangguan penghadhaman.
Setiap paket mengandungi 15 sachet dan harga pasarannya ialah RM30. Bagi pengedar pula harganya boleh dirunding dengan stokis. Bagi mereka yang berminat dan tinggal berhampiran dengan Batu Pahat bolehlah hubungi saya menggunakan no 012-7677976 atau no isteri saya Hajjah Maznah 012-7539120.
Syarikat pengeluarnya memiliki tiga buah kilang di tiga buah bandar: Johor Bahru, Kuantan dan Kota Bahru. Syarikat ini termasuk pendokong kuatnya bekas orang kuat Malaysia Dato' Malek Noor. Yang lain adalah usahawan-usahawan termasuk penguam. Di belakang syarikat ini adalah penasihat-penasihat yang pakar tentang hadith, syariah dan fiqh. Alhamdulillah pengeluaran dan pemasarannya mengikut garis-garis Islam dan memang Islamik. Semuanya mengikut urutan halal, suci, bersih dan toyyibah. InsyaAllah banyak manfaatnya.
Untuk orang dewasa telah dinyatakan seperti di atas tadi. Bagi mereka yang masih berminat menghafal Al-Quran, masih belajar, masih menuntut dan sebagainya, Talbinah insyaAllah boleh membantu. Sangat baik untuk anak-anak yang sedang membesar. Selain dari mengulangkaji, selain dari tuisyen, insyaAllah Talbinah menguatkan hafalan dan ingatan mereka. Bagi yang UPSR hanya tinggal 2 bulan lagi. Bagi yang PMR mungkin 3 bulan lagi. Bagi yang SPM dan STPM ada 4 bulan lagi. Ayuh ibu dan bapa, mulakan untuk anak-anak kesayangan. Kakak dan abang mulakan untuk adik-adik. Bagi yang masih ada ibu dan bapa, ayuh mulakan untuk ibu bapa sendiri.
InsyaAllah - dengan izin Allah - Talbinah akan menjadi penawar kepada penyakit. Bantulah diri kita sendiri sebelum kita membantu orang lain.
Produk ini akan dilancarkan secara besar-besaran tidak lama lagi. InsyaAllah pada masa itu Talbinah akan menjadi makanan sunnah yang ulung di Malaysia. Rebutlah peluang ini untuk kesihatan diri, keluarga, orang-orang yang kita sayang, orang-orang yang dekat dengan kita, orang-orang yang ada hubungannya dengan kita. Di samping itu dapat pula mengambil bahagian dalam aktiviti ekonomi yang Islamik. Mudah-mudahan Allah memberkati usaha-usaha ini. InsyaAllah. Sila hubungi kami sekarang juga. Peluang sedang membuka jalannya.
Wednesday, June 23, 2010
Masa Dulu-Dulau - Bahagain Kedua Puluh Sembilan: Bab Dua
Pengajaran dan pembelajaran di UM jauh berbeza dengan pengalaman di sekolah maupun di Institut Bahasa dahulu. Segala-galanya berubah. Saya hanya tahu subjek yang diambil, nama pensyarah, hari dan waktu diadakan kuliah dan tutorial serta tempat kuliah dan tutorial. Segala-galanya berdikari. Perlu selalu berjumpa pensyarah atau tutor. Tidak lupa untuk berbincang dengan rakan sekelas dan bertanya dengan senior yang sudah berpengalaman. kebetulan ramai senior yang dulu rakan di sekolah menengah. Ada juga rakan di Institut Bahasa dahulu.
Apabila saya jejak kaki di Fakulti Ekonomi. Terasa kembang dada dan hati. Manakan tidak, bangunan dewan kuliahnya berbentuk bulat, berbeza dengan bangunan-bangunan lain di UM. Di situ ada beberapa dewan kuliah dan bilik-bilik seminar. Antara pensyarahnya yang terkenal tentulah Prof DiRaja Ungku Aziz. Datuk Dr Fong Chan Onn (mantan menteri Kementerian Sumber Manusia). Datuk Ghani Othman (MB Johor). Datuk Rafidah Aziz (mantan menteri Perusahaan dan Perdagangan Antarabangsa).
Dari dewan kuliah untuk ke pejabat dan bilik-bilik tutorial terdapat tangga yang lebar dan entah berapa anak tangganya. Empat tahun saya di situ tidak tergerak untuk mengiranya. Take for granted ia kekal ada di situ. Yang pastinya anak tangga itu banyak. Memang lenguh apabila mendaki dan menuruni tangga itu. Kepada yang OKU, mengandung dan uzur saya cukup simpati. Hendak empatipun tak larat. Yang sihat kepayahan naik dan turun. Bagi mereka tentulah bagai siksa dunia.
Namun begitu tangga itu sangat dekat di hati saya. Di situ saya selalu berehat menunggu kuliah. Saya santai bersama rakan. Tangga itu sangat lebar hingga tidak tergganggu bagi yang naik atau turun. Yang terasa payahnya ialah kuliah dan tutorial berselang waktu. Pukul 8.00 pagi hingga 9.00 pagi ada tutorial. Pukul 9.00 hingga 11.00 ada kuliah. Pukul 11.00 hingga 12.00 ada tutorial lagi. Dua kali naik tangga seperti hendak tercabut kepala lutut. Mungkin saya silap tetapi saya rasa ada lebih 60 anak tangga. Yang lebih malang lagi, bangunan tambahan untuk kelas tutorial dibina di bahagian yang lebih tinggi. Maka banyak lagi anak tangga yang terpaksa didaki dan dituruni. Walau bagaimanapun rasa nikmat itu masih kekal. Dari bangunan-bangunan Fakulti Ekonomi itu, bila saya pandang keluar, sungguh indah. Very commanding view. Nampak semua persekitaran kampus.
Dua bangunan lain yang nostalgik ialah perpustakaan dan Dewan Tunku Canselor (DTC). Masih gagah hingga sekarang. Begitulah keadaannya. Sudah 31 tahun saya tinggalkan keduanya. Masih gagah, masih agam, masih menggamit ilmuan dan kembaranya. Penantian yang tidak pernah diungkapkan. Tetapi itulah hakikat kepada mereka yang pernah di sana. Zaman indah seorang pelajar yang gah digelar mahasiswa. tahun 2003 saya jejaki kembali UM dengan mengikuti kursus Sijil Pengajian Al-Quran (SPAQ) dan pada tahun 2005 saya teruskan dengan Diploma Eksekutif pengajian Usuluddin. Konvo kedua pada tahun 2009 sangat mengujakan. Sementelahan pula isteri saya konvo bersama. Setelah beranak pinak, bermenantyu dan bercucu, saya masih ada selera lagi untuk belajar.
Menjejak UM adalah suatu keajaiban bagi saya. Banyak budayanya tidak terdapat di luar kampus. Hanya terbentuk di situ juga. Entah dari mana mereka datang tetapi bila berada di UM mereka belajar dari apa yang mereka lihat dan dengar. Bila di kantin atau kafe pandai sendiri mereka beratur. Tiada siapa yang mengatur. Tiada siapa yang menyuruh. Tiada siapa yang menasihat. Tiada siapa yang mengajar. Tiada siapa yang memantau. Masing-masing tahu, masing-masing beratur. Mungkin bila sudah berada di situ kesedaran dalaman timbul. Tempat itu menara gading. Penghuninya harus mempamerkan culture baru sebagai golongan intelek. Imej UM terjaga dengan sendiri. Pelajar-pelajar senior dan budaya yang telah dibiasakan memupuk mahasiswa yang terpelajar.
Cuma ada satu budaya pelajar Melayu yang membingungkan saya. Waktu mula-mula belajar menghadiri kuliah, saya turut sama bersesak-sesak di pintu dewan. Bila kelas yang terdahulu ditamatkan maka berlakulah kesesakan di pintu dewan. Yang di dalam belum keluar. Yang di luar mengasak masuk. Saya menjangkakan tentulah pelajar yang masuk berebut tempat. Saya juga seperti mereka merebut tempat yang strategik. Tidak terlalu tinggi. Pasti di bahagian tengah, setentang dengan pentas dewan kuliah. Jelas nampak pensyarahnya dan jelas tulisannya di papan tulis.
Saya tertoleh-toleh dan tercari-cari. Di mana mereka yang bersesak bersama saya tadi. Mata saya melihat bahawa mereka duduk di kerusi-kerusi di bahagian belakang. Mereka terlambat juga merebut tempat di hadapan. Itu rumusan saya kali pertama. Bersangka baik. Setelah beberapa minggu berlalu persepsi saya berubah. Fahamlah saya bahawa mereka bersesak di pintu kuliah bukan untuk merebut tempat-tempat strategik. Sebaliknya mereka merebut tempat paling belakang. Mereka sanggup mencari kerusi tambahan semata-mata untuk duduk di bahagian belakang. Bila kuliah berjalan mereka menjalankan aktiviti yang tidak sepatutnya. Mereka tidur. Mereka makan dan minum. Mereka keluar awal. Bila pensyarah memandang atau menulis di papan tulis, mereka mencuri keluar seorang demi seorang. Pada akhir kuliah dua jam mungkin 1/5 daripada pelajar sudah meninggalkan dewan. Sedih juga melihat keadaan begitu. Ketika itu tiada peraturan mencatat kehadiran seperti sekarang.
Sedihnya saya rasa kerana mereka adalah pelajar-pelajar Melayu lelaki. Bukan mahasitua tetapi pelajar-pelajar fresh dari STPM. Saya seorang guru. Tentulah pedih berhadapan dengan keadaan begitu. Sifat guru itu meresahkan saya. Pernah saya merisik pendapat dan memberi motivasi. Jawapan mereka amat mudah. Dapat General Degree (DG) atau Kelas Ketiga tanpa Honours (kepujian) pada mereka sudah mencukupi. Tidak perlu bersusah payah untuk belajar bersungguh-sungguh. Pada pendapat mereka kerja banyak menanti. Pada masa itu mereka take for granted bahawa kerja menanti mereka. Mereka perlu lulus sahaja. Saya tidak kisah jika mereka lulus setelah berusaha. Tetapi lulus dengan usaha yang kecil amat menyiksakan saya yang melihatnya. Ada perbezaan gaji permulaan antara graduan yang mendapat honours dengan graduan yang lulus DG sahaja. Itupun tidak menjadi sumber motivasi. Perbezan kira-kira RM120 sebulan, setiap bulan hingga besara tentulah banyak. Mereka tidak mengiranya dan tidak ambil pusing. Budaya pusahati yang merosakkan. Akhlak belajar hilang begitu sahaja.
Seorang pelajar Cina dari Pulau Pinang lain pula ceritanya. Orangnya cantik tetapi fokus dengan pelajarannya. Setiap pagi dia sudah menanti pintu perpustakaan dibuka. Seawal 7.45 pagi. Ada meja dan kerusi yang menjadi spotnya. Bila ada kuliah dan tutorial dia meninggalkan barang-barangnya di meja itu. Tamat kuliah dia kembali ke meja yang sama. Dia meninggalkan kampus kira-kira pukul 6.00 petang. Begitulah rutinnya setiap hari dari hari Isnin hingga hari Sabtu. Hidupnya seperti terlalu boring. Very robotic. Tetapi dia tetap berhibur. Setiap malam Ahad dia melepaskan dirinya dari pelajaran. She let herself out. Dia mengosongkan mindanya. Dia berhibur. Hari Ahad dia kembali siuman untuk menyediakan diri menghadapi hari Isnin. Dia lulus dengan Kelas Kedua Rendah (Honours). Maknanya jika dia tidak gila belajar tentulah barangkal dia tidak mencapai honours itu. Begitulah senario belajar di UM pada tahun-tahun 70an. Suasana itu begitu mengagumkan. Ada masanya mengujakan. Pada masa yang lain ianya sangat-angat menggerunkan.
Peperiksaan pula adalah saat-saat yang menakutkan. Sangat mencemaskan. Sangat membimbangkan. Pelajar tidak boleh gagal. Tidak ada peperiksaan ulangan. Tidak ada konsep carry forward. Jika gagal maka gagallah jawabnya. Jika terlalu rendah markahnya, balik kampunglah tanam kacang. Tiada maaf bagi mereka. Mengulang tahun pengajian adalah satu respite. Masih selamat untuk meneruskan pengajian. Peluang kedua.
DTC (Dewan Tunku Canselor) sangat menggerunkan pada waktu-waktu peperiksaan. Sewaktu Konvo pula dewan itulah yang paling manis untuk dikenang. Tempat yang sama tetapi memberikan makna yang berbeza. Sukar untuk difahami bagaimana peperiksaan menjadi sangat intimidating. Ada pelajar yang tidak tidur semalaman kerana cemas dengan peperiksaan pada esok harinya. Ada pelajar sudah tidak mampu mengurus diri. Sudahlah berambut panjang, misai dan janggut meliar di sana sini. Pakaian asalkan boleh sahaja. Kotor dan berbau bukan menjadi isu lagi. Peperiksaan menggilakan pelajar. Tekanan perasaan tidak dapat dibayangkan tingginya. Kadang-kadang mereka menjadi zombie di musim-musim peperiksaan.
DTC menyaksikan bahawa setiap peperiksaan mesti ada jururawat, air kopi panas, panadol, stretcher dan kerusi rehat. Ada pelajar yang minum kopi dulu sebelum menjawab soalan. Ada masa untuk secawan kopi. Ada yang menjerit bila membaca soalan. Tidak kurang yang pitam dan pengsan. Ada pula yang membawa jam loceng. Berbunyi pula sebelum tamat peperiksaan. Gawat jadinya. Yang tertidur waktu periksa ramai juga. Ya, peperiksaan di UM pada masa itu adalah seperti medan perang. Berbagai senjata digunakan. Berbagai alat bantuan digunakan. Berbagai pertahanan diri digunakan. Namun meniru tidak sekali. Di setiap penjuru DTC itu, di tingkat atas, terdapat seorang pemerhati. Meniru sangat tinggi risiko dan padahnya!
Semenjak sistem penggal ditukar menjadi sistem semester, saya tidak lagi melihat medan perang itu. Masa menghadapi kertas peperiksaan sudah tidak lagi mencemaskan. Ramai pelajar yang datang lewat. Masih senyum dan ketawa. Masih boleh bergurau. Mungkin tekanan itu sudah disingkirkan. Mereka serius tetapi tanpa tekanan. Zaman sudah berubah. Kegilaan belajar pada zaman saya tidak lagi akan berulang. Masa telah merubah banyak hal. Ingatan sahaja yang tinggal. Sejarah yang ditinggalkan.