Wednesday, June 23, 2010

Masa Dulu-Dulau - Bahagain Kedua Puluh Sembilan: Bab Dua

Tahun pertama di UM banyak menguji kesabaran. Tercampak dalam suasana asing pengajian IPT menjadikan saya sangat kehilangan diri. Dari sekolah kampung yang terpencil dan jauh dari laluan utama negeri dan negara, saya ke bandar Batu Pahat. Sekolah menengah dan sekolah rendah banyak mengajar erti kepayahan dan keperitan. Setelah merantau jauh ke Terengganu dan setelah menjadi guru selama enam tahun, saya ke menara gading. Sebuah institusi yang dirasakan terlalu jauh untuk digapai. Terlalu tinggi menggunung cita dan harap untuk memiliki ijazah. Untuk menjadi guru yang lebih berwibawa. Yang lebih terjamin ekonominya. Yang jauh untuk keluar dari kepompong kemiskinan dan kepayahan.



Pengajaran dan pembelajaran di UM jauh berbeza dengan pengalaman di sekolah maupun di Institut Bahasa dahulu. Segala-galanya berubah. Saya hanya tahu subjek yang diambil, nama pensyarah, hari dan waktu diadakan kuliah dan tutorial serta tempat kuliah dan tutorial. Segala-galanya berdikari. Perlu selalu berjumpa pensyarah atau tutor. Tidak lupa untuk berbincang dengan rakan sekelas dan bertanya dengan senior yang sudah berpengalaman. kebetulan ramai senior yang dulu rakan di sekolah menengah. Ada juga rakan di Institut Bahasa dahulu.



Apabila saya jejak kaki di Fakulti Ekonomi. Terasa kembang dada dan hati. Manakan tidak, bangunan dewan kuliahnya berbentuk bulat, berbeza dengan bangunan-bangunan lain di UM. Di situ ada beberapa dewan kuliah dan bilik-bilik seminar. Antara pensyarahnya yang terkenal tentulah Prof DiRaja Ungku Aziz. Datuk Dr Fong Chan Onn (mantan menteri Kementerian Sumber Manusia). Datuk Ghani Othman (MB Johor). Datuk Rafidah Aziz (mantan menteri Perusahaan dan Perdagangan Antarabangsa).



Dari dewan kuliah untuk ke pejabat dan bilik-bilik tutorial terdapat tangga yang lebar dan entah berapa anak tangganya. Empat tahun saya di situ tidak tergerak untuk mengiranya. Take for granted ia kekal ada di situ. Yang pastinya anak tangga itu banyak. Memang lenguh apabila mendaki dan menuruni tangga itu. Kepada yang OKU, mengandung dan uzur saya cukup simpati. Hendak empatipun tak larat. Yang sihat kepayahan naik dan turun. Bagi mereka tentulah bagai siksa dunia.



Namun begitu tangga itu sangat dekat di hati saya. Di situ saya selalu berehat menunggu kuliah. Saya santai bersama rakan. Tangga itu sangat lebar hingga tidak tergganggu bagi yang naik atau turun. Yang terasa payahnya ialah kuliah dan tutorial berselang waktu. Pukul 8.00 pagi hingga 9.00 pagi ada tutorial. Pukul 9.00 hingga 11.00 ada kuliah. Pukul 11.00 hingga 12.00 ada tutorial lagi. Dua kali naik tangga seperti hendak tercabut kepala lutut. Mungkin saya silap tetapi saya rasa ada lebih 60 anak tangga. Yang lebih malang lagi, bangunan tambahan untuk kelas tutorial dibina di bahagian yang lebih tinggi. Maka banyak lagi anak tangga yang terpaksa didaki dan dituruni. Walau bagaimanapun rasa nikmat itu masih kekal. Dari bangunan-bangunan Fakulti Ekonomi itu, bila saya pandang keluar, sungguh indah. Very commanding view. Nampak semua persekitaran kampus.

Dua bangunan lain yang nostalgik ialah perpustakaan dan Dewan Tunku Canselor (DTC). Masih gagah hingga sekarang. Begitulah keadaannya. Sudah 31 tahun saya tinggalkan keduanya. Masih gagah, masih agam, masih menggamit ilmuan dan kembaranya. Penantian yang tidak pernah diungkapkan. Tetapi itulah hakikat kepada mereka yang pernah di sana. Zaman indah seorang pelajar yang gah digelar mahasiswa. tahun 2003 saya jejaki kembali UM dengan mengikuti kursus Sijil Pengajian Al-Quran (SPAQ) dan pada tahun 2005 saya teruskan dengan Diploma Eksekutif pengajian Usuluddin. Konvo kedua pada tahun 2009 sangat mengujakan. Sementelahan pula isteri saya konvo bersama. Setelah beranak pinak, bermenantyu dan bercucu, saya masih ada selera lagi untuk belajar.



Menjejak UM adalah suatu keajaiban bagi saya. Banyak budayanya tidak terdapat di luar kampus. Hanya terbentuk di situ juga. Entah dari mana mereka datang tetapi bila berada di UM mereka belajar dari apa yang mereka lihat dan dengar. Bila di kantin atau kafe pandai sendiri mereka beratur. Tiada siapa yang mengatur. Tiada siapa yang menyuruh. Tiada siapa yang menasihat. Tiada siapa yang mengajar. Tiada siapa yang memantau. Masing-masing tahu, masing-masing beratur. Mungkin bila sudah berada di situ kesedaran dalaman timbul. Tempat itu menara gading. Penghuninya harus mempamerkan culture baru sebagai golongan intelek. Imej UM terjaga dengan sendiri. Pelajar-pelajar senior dan budaya yang telah dibiasakan memupuk mahasiswa yang terpelajar.



Cuma ada satu budaya pelajar Melayu yang membingungkan saya. Waktu mula-mula belajar menghadiri kuliah, saya turut sama bersesak-sesak di pintu dewan. Bila kelas yang terdahulu ditamatkan maka berlakulah kesesakan di pintu dewan. Yang di dalam belum keluar. Yang di luar mengasak masuk. Saya menjangkakan tentulah pelajar yang masuk berebut tempat. Saya juga seperti mereka merebut tempat yang strategik. Tidak terlalu tinggi. Pasti di bahagian tengah, setentang dengan pentas dewan kuliah. Jelas nampak pensyarahnya dan jelas tulisannya di papan tulis.



Saya tertoleh-toleh dan tercari-cari. Di mana mereka yang bersesak bersama saya tadi. Mata saya melihat bahawa mereka duduk di kerusi-kerusi di bahagian belakang. Mereka terlambat juga merebut tempat di hadapan. Itu rumusan saya kali pertama. Bersangka baik. Setelah beberapa minggu berlalu persepsi saya berubah. Fahamlah saya bahawa mereka bersesak di pintu kuliah bukan untuk merebut tempat-tempat strategik. Sebaliknya mereka merebut tempat paling belakang. Mereka sanggup mencari kerusi tambahan semata-mata untuk duduk di bahagian belakang. Bila kuliah berjalan mereka menjalankan aktiviti yang tidak sepatutnya. Mereka tidur. Mereka makan dan minum. Mereka keluar awal. Bila pensyarah memandang atau menulis di papan tulis, mereka mencuri keluar seorang demi seorang. Pada akhir kuliah dua jam mungkin 1/5 daripada pelajar sudah meninggalkan dewan. Sedih juga melihat keadaan begitu. Ketika itu tiada peraturan mencatat kehadiran seperti sekarang.



Sedihnya saya rasa kerana mereka adalah pelajar-pelajar Melayu lelaki. Bukan mahasitua tetapi pelajar-pelajar fresh dari STPM. Saya seorang guru. Tentulah pedih berhadapan dengan keadaan begitu. Sifat guru itu meresahkan saya. Pernah saya merisik pendapat dan memberi motivasi. Jawapan mereka amat mudah. Dapat General Degree (DG) atau Kelas Ketiga tanpa Honours (kepujian) pada mereka sudah mencukupi. Tidak perlu bersusah payah untuk belajar bersungguh-sungguh. Pada pendapat mereka kerja banyak menanti. Pada masa itu mereka take for granted bahawa kerja menanti mereka. Mereka perlu lulus sahaja. Saya tidak kisah jika mereka lulus setelah berusaha. Tetapi lulus dengan usaha yang kecil amat menyiksakan saya yang melihatnya. Ada perbezaan gaji permulaan antara graduan yang mendapat honours dengan graduan yang lulus DG sahaja. Itupun tidak menjadi sumber motivasi. Perbezan kira-kira RM120 sebulan, setiap bulan hingga besara tentulah banyak. Mereka tidak mengiranya dan tidak ambil pusing. Budaya pusahati yang merosakkan. Akhlak belajar hilang begitu sahaja.

Seorang pelajar Cina dari Pulau Pinang lain pula ceritanya. Orangnya cantik tetapi fokus dengan pelajarannya. Setiap pagi dia sudah menanti pintu perpustakaan dibuka. Seawal 7.45 pagi. Ada meja dan kerusi yang menjadi spotnya. Bila ada kuliah dan tutorial dia meninggalkan barang-barangnya di meja itu. Tamat kuliah dia kembali ke meja yang sama. Dia meninggalkan kampus kira-kira pukul 6.00 petang. Begitulah rutinnya setiap hari dari hari Isnin hingga hari Sabtu. Hidupnya seperti terlalu boring. Very robotic. Tetapi dia tetap berhibur. Setiap malam Ahad dia melepaskan dirinya dari pelajaran. She let herself out. Dia mengosongkan mindanya. Dia berhibur. Hari Ahad dia kembali siuman untuk menyediakan diri menghadapi hari Isnin. Dia lulus dengan Kelas Kedua Rendah (Honours). Maknanya jika dia tidak gila belajar tentulah barangkal dia tidak mencapai honours itu. Begitulah senario belajar di UM pada tahun-tahun 70an. Suasana itu begitu mengagumkan. Ada masanya mengujakan. Pada masa yang lain ianya sangat-angat menggerunkan.

Peperiksaan pula adalah saat-saat yang menakutkan. Sangat mencemaskan. Sangat membimbangkan. Pelajar tidak boleh gagal. Tidak ada peperiksaan ulangan. Tidak ada konsep carry forward. Jika gagal maka gagallah jawabnya. Jika terlalu rendah markahnya, balik kampunglah tanam kacang. Tiada maaf bagi mereka. Mengulang tahun pengajian adalah satu respite. Masih selamat untuk meneruskan pengajian. Peluang kedua.

DTC (Dewan Tunku Canselor) sangat menggerunkan pada waktu-waktu peperiksaan. Sewaktu Konvo pula dewan itulah yang paling manis untuk dikenang. Tempat yang sama tetapi memberikan makna yang berbeza. Sukar untuk difahami bagaimana peperiksaan menjadi sangat intimidating. Ada pelajar yang tidak tidur semalaman kerana cemas dengan peperiksaan pada esok harinya. Ada pelajar sudah tidak mampu mengurus diri. Sudahlah berambut panjang, misai dan janggut meliar di sana sini. Pakaian asalkan boleh sahaja. Kotor dan berbau bukan menjadi isu lagi. Peperiksaan menggilakan pelajar. Tekanan perasaan tidak dapat dibayangkan tingginya. Kadang-kadang mereka menjadi zombie di musim-musim peperiksaan.

DTC menyaksikan bahawa setiap peperiksaan mesti ada jururawat, air kopi panas, panadol, stretcher dan kerusi rehat. Ada pelajar yang minum kopi dulu sebelum menjawab soalan. Ada masa untuk secawan kopi. Ada yang menjerit bila membaca soalan. Tidak kurang yang pitam dan pengsan. Ada pula yang membawa jam loceng. Berbunyi pula sebelum tamat peperiksaan. Gawat jadinya. Yang tertidur waktu periksa ramai juga. Ya, peperiksaan di UM pada masa itu adalah seperti medan perang. Berbagai senjata digunakan. Berbagai alat bantuan digunakan. Berbagai pertahanan diri digunakan. Namun meniru tidak sekali. Di setiap penjuru DTC itu, di tingkat atas, terdapat seorang pemerhati. Meniru sangat tinggi risiko dan padahnya!

Semenjak sistem penggal ditukar menjadi sistem semester, saya tidak lagi melihat medan perang itu. Masa menghadapi kertas peperiksaan sudah tidak lagi mencemaskan. Ramai pelajar yang datang lewat. Masih senyum dan ketawa. Masih boleh bergurau. Mungkin tekanan itu sudah disingkirkan. Mereka serius tetapi tanpa tekanan. Zaman sudah berubah. Kegilaan belajar pada zaman saya tidak lagi akan berulang. Masa telah merubah banyak hal. Ingatan sahaja yang tinggal. Sejarah yang ditinggalkan.

No comments:

Post a Comment