Saturday, April 3, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Dua

Pelita minyak tanah. Siapa lagi yang boleh ingat. Itulah pelita. Itulah lampu. Itulah cahaya yang menerangi hidup kecil dan remaja saya. Bila malam terpaksa diletakkan di tempat yang tidak mudah tumbang, tidak mudah tumpah minyaknya. Jika tidak alamat terbakarlah rumah. Tidak mungkin pelita itu tumbang dan tumpah sendiri. Kalau berlaku, pesalahnya ialah kucing atau tikus atau angin yang menerjah masuk dari rekahan dinding kulit kayu dan pelepah sagu. Itulah rumah dahulu yang terlalu daif, jauh dari segala kesempurnaan.

Bila melihat Taj Mahal saya, saya tidak dapat bayangkan bagaimana hidup saya dalulu boleh saya lalui dengan tanpa sebarang sungutan. Tanpa sebarang rungutan. Itulah fasa-fasa yang dilalui dalam hidup ini. Saya melalui zaman-zaman yang tidak menentu, yang tidak pernah menjanjikan apa-apa, yang hanya menjanjikan hidup tanpa berkira untuk apa hidup ini sebenarnya. Mana ada perancangan. Mana ada strategi. Terima sahaja ketentuan yang ada. Allah yang tentukan.

Dalam keadaan seperti itu apalah yang hendak disebut-sebut. Tidak ada unsur motivasi. Tidak ada contoh teladan yang harus diterap. Tidak ada lambang-lambang kejayaan yang boleh ditarbiahkan diri. Hidup seadanya. Hidup hanya kerana hidup sebab orang lain hidup, sebab Allah menghidupkan.

Hidup adalah perjalanan yang tidak dapat dijangka dan diramal di mana destinasinya, di mana arah tujunya dan di mana noktahnya. Makanya, banyak yang dilihat hanyalah fatamorgana. Ilusinya tidak ada kerana diri saya tidak pernah mengimpikan sesuatu yang tidak pernah wujud dalam minda. Mimpi-mimpi indah hanya untuk mereka yang tahu. Bagi yang naif seperti saya tidurnya tidak bermimpi. Jaganya memang jauh dari disapa mimpi. Mengigau jauh sekali. Bayangan masa hadapan tidak pernah dijamah.

Pelita minyak tanah yang menerangi malam saya dulu tidak pernah memberikan harapan. Saya tidak kenal apa itu harapan. Waktu saya tidak berkasut dahulu, kaki saya tidak pernah mengimpikan bahawa suatu waktu nanti saya akan menjelajah dunia. Waktu saya berjalan kaki saya tidak pernah bermimpi untuk terbang di angkasa merentas bumi. Waktu saya makan nasi sejuk yang berlaukkan sambal dan belacan goreng dahulu, saya tidak pernah mimpikan makan dihotel lima bintang. Waktu saya tidur di atas lantai batang pinang dahulu, saya tidak pernah mimpikan tilam empuk dan katil cantik bersama comforter gebu. Semuanya tidak ada dalam kosa kata saya.

Mana pernah mimpikan kapalterbang. Mana beefsteak dan lamb chopnya. Mana comforternya yang gebu di atas katil. Mana kenderaan yang digerak sesuka hati. Mana pakaian cantik yang diperaga untuk penampilan segak. Mana rumah besar untuk santai dan damai.

Rupanya pelita minyak tanah menjadi penyuluh masa hadapan saya yang menjauhi saat-saat payah yang saya lalui. Terangnya tidak seberapa. Bila ditiup angin kencang, malap dan mungkin mati. Jenuh juga menggesek macis kerana angin tidak mengizinkan nyalanya. Itu belum dikira jelaga yang menghitamkan atap, dinding dan segala. Malah telinga dan hidung juga hitam dek jelaga. Manalah anak-anak sekarang boleh melihat kembali susah payahnya zaman-zaman itu. Tiada rakaman waktu. Barangkali filem-filem Melayu tahun-tahun 50an dan 60an masih dapat memberikan gambaran daif itu. Kembalilah ke zaman susah payah orang tuamu. Mereka dulunya orang-orang yang tiada harapan.

Pelita minyak tanah berbagai-bagai fungsinya. Jika yang tinggi dinyalakan untuk menerangi rumah. Yang berdinding mungkum untuk tujuan penyuluh jalan bila berjalan malam. Yang berperisai untuk menyuluh pokok getah apabila menoreh malam. Menyuluh kata orang kampung saya. Bila menjelang Hari Raya terutamanya malam tujuh likur, pelita panjut pula dipasang. Entahlah apa yang diterangi. Mungkin menggembirakan perasaan. Kerdipan pelita-pelita itu hanya sekali dalam setahun. Menyediakannya suatu nikmat anak-anak seperti saya. Cuma bila tiba zaman remaja kebiasaan itu ditinggalkan, ada rasa kemalasan, ada rasa mahu meninggalkan kebiasaan. Sampai masanya lampu-lampu elektrik penggantinya. Hilanglah sesuatu yang menjadi milik, yang dimiliki, yang miliknya hanya kita sahaja. Walaupun masih ada di mana-mana tetapi keghairahannya sudah jauh menurun. Ia bukan lagi sesuatu yang mesti. Nostalgia sahaja.

Waktu di sekolah rendah dahulu saya tidak pernah berjaga malam. Sewaktu hendak mengambil peperiksaan memasuki sekolah menengah dahulu, seingat saya adalah sedikit-sedikit menjenguk buku. Yang lainnya hanyalah berserah kepada kecerdasan minda. Tidak ada tuisyen, tidak ada motivasi, tidak ada bimbingan, tidak ada kaunseling, tidak ada, tidak ada, tidak ada. Belajar mengikut arus. Ketika itu benarlah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Tidak terbayang bahawa besi boleh terapung, besi boleh terbang. Tidak masuk akal yang gambar dan suara dibawa angin. Semuanya menjadi sesuatu yang sukar digambarkan oleh orang-orang sekarang. Hingga tahun-tahun 80an teknologi bukan secanggih sekarang. Orang tua seperti saya hanya mampu menjadi penonton. Tidak mungkin untuk mengikuti. Mengertipun sudah cukup membanggakan.

Sebab itulah kita harus menjalani fasa-fasa kehidupan dari bawah, dari tidak tahu, dari asas, dari daif, dari susah menyusah, dari pengalaman-pengalaman payah. Perlahan-lahan kita keluar dari kepompong diri yang terbelenggu masa dan keadaan. Kita keluar melihat besar dan fananya alam yang terbentang. Lalu kita menggarap seadanya apa yang dapat membahagiakan diri. Yang dapat membawa kita ke suatu aras dan arah yang punya rencana. Kita lalui hidup ini dengan penuh yakin bahawa di sana ada destinasi-destinasinya yang tersendiri. Kendatipun setesen-setesen di sepanjang perjalanan hidup kita tetap dihenti. Barangkali kita perlu menghimpun nafas semula sebelum meneruskan perjalanan yang entah bila hentinya.

Melalui perjalanan ini kita ingin membawa orang-orang yang kita kasihi berkongsi rasa, berkongsi bahagia. Membahagi nikmat dan keindahan hidup yang penuh kebersamaan dan keberadaan. No man is an island. Tiada siapa yang boleh hidup sendiri. Lalu semuanya mesti dikongsi, dikongsi supaya nikmatnya berganda. Perkongsian itulah yang melestarikan kehidupan. Kesinamnbungan hidup membina makmur yang selalu mengujakan. Harapan dan janji-janji indah kehidupan itu sendiri.

Cahaya pelita yang terangnya tidak seberapa mestilah dikongsi dengan persekitaran kita. Pelita itu memanglah membakar dirinya dan menerangi yang lain. Pendidikan dan teknologi telah mengubah paradigma itu. Kita tidak lagi mengambil kata-kata itu sebagai dogma. Bukan juga suatu prophecy. Kita keluar dari label itu untuk mencipta paradigma baru.

Sebagai guru, saya tidak mahu membakar diri walaupun ada niat suci dan syahdu untuk menerangi orang dan yang lain. Saya perlu menerangi diri saya dahulu, menjadi terang lalu saya berupaya menerangi orang lain dengan cahaya itu. Saya tidak perlu membakar diri. Saya tidak mahu menjadi sumbu yang dibakar dan terbakar. Saya adalah elemen lain yang tidak perlu dibakar. Saya sudah terbakar cukup lama. Masih terbakar dan masih ingin membakar lebih kuat diri ini. Ingin pula membakar semua orang yang ada di sekeliling saya. Yang dekat akan terasa terbakar. Yang jauh akan terasa bahangnya walaupun jauh dari api yang membakar. Yang tahu terkesima dengan panas dan yang tidak tahu tercari-cari cahaya yang membakar.

Sewaktu mengambil LCE (SRP sekarang) dan OSC (Oversea School Certificate: SPM sekaranag) dan MCE (Malaysian Certificate of Education: SPM juga bentuknya tetapi diambil serentak dengan OSC) pelita minyak tanah itulah yang setia menemani saya untuk nmenyuluh minda saya. Suatu rahmat besar apabila lulus dalam kedua-dua fasa pendidikan saya itu. Sebelum di tingkatan lima, belajar saya di atas lantai. Duduk, tertiarap dan tertungging beralaskan bantal. Allahu Akbar. Mana ada meja. Mana ada kerusi. Di lantai itulah saya terangi diri saya. Pelita itulah yang menyinari studi saya. Apalah daya kerana semuanya dalam serba kepayahan.

Saya teringat senikata lagu Allahyarham Sudirman:

Malam ku suram
Siang ku kelam
Ku kegelisahan
Mencari-mencari
Ke mana pergi
Harga diri ini

Derita Sudirman banyak bersebab mungkin kegagalan cintanya dan rumahtangganya. Derita saya kerana kemiskinan dan kepayahan yang diwarisi. Yang memang itu keadaannya. Tetapi bukan pula diminta atau dinanti. Ianya semulajadi. Lumrah zaman itu. Bukan fitrah. Barangkali pelita minyak tanah tidak cukup kuat untuk menerangi alam keliling yang lebih luas skopnya. Ia menerangi ruang lingkup yang kecil dan sempit. Pandangan kita jadi dekat dan juga sempit.

Tidak dapat dibayangkan lagi waktu payahnya saya berada di tingkatan lima. Tahun yang mendambakan kejayaan peperiksaan. Sekali lagi, mana ada tuisyen, mana ada motivasi, mana ada bimbingan, mana ada kaunseling. Jika guru boleh memberikan gambaran tentang light at the end of the tunnel sudah dikira sangat bagus. Nampaklah cahaya yang bersinar harapan, lebih terang dari pelita minyak tanah saya.

Akal bergerak. Mahu juga seperti orang lain. Entah melihat di mana. Entah belajar di mana. Entah pandai siapa. Saya cari kayu dan papan. Bagai orang buta, melukis di minda. Saya potong dan cantum sebuah meja berkaki empat dan panjangnya sekira dua meter. Bangunnya tidak kuat, papannya jarang dan tinggi rendah. Kerusinya juga goyang tidak menentu. Lalu duduklah saya setahun itu. Belajar menggunakan meja. Terasa dada tidak sesak dihimpit bantal. Terasa badan tidak sakit berlaga lantai. Bahu tidak tertekan kerana menongkat. Namun pelita minyak tanah tidak berubah. Tempatnya berubah. Dulunya pelita itu dilantai. Kini ia naik ke tahap tinggi. Duduknya di atas meja bersama saya. Lebih menerangi di tempat yang lebih tinggi. Naik sedikit statusnya.

Hingga saya sudah bekerja, masih saya abadikan meja itu. Saya kira sehingga arwah ibu saya meninggal pada tahun 2001, meja itu masih ada. Waktu saya bercinta, saya abadikan coretan MAZAYU - Maznah dan Yusof. Alhamdulillah kami abadi hingga sekarang. Coretan itu saya abadikan juga pada loket isteri saya. Saya ingat, dia juga ingat. Itu ingatan kami.

Pelita oh pelita. Zamanmu sudah lama berlalu. Terangmu sudah tidak diperlu kerana ada yang lebih terang. Setiamu sudah lama dilupakan. Liang liukmu yang dulunya merisaukan sudah tidak menggamit rasa lagi. Padammu yang mencipta kegelapan tidak lagi mengimbau bimbang. Terangmu yang sedikit itu rupanya berkekalan dalam minda. Ia membekalkan cahaya dan sinergi kehidupan yang terus diteroka. Dari zaman berzaman, pelita itu akan terus menyala dalam minda dan qalbu. Bukan lagi untuk membakar diri tetapi untuk menerang dan memberi terang. Namun bahayamu tetap ada. Kau menerang dan kau juga membakar. Jauhari jua yang mengerti akan erti terangmu.

Thursday, April 1, 2010

Secara Kebelulan - Terima Kasih Banyak-Banyak

Dalam kehidupan kita ini, kita selalu bersua dengan hal-hal yang kebetulan. Perancangan Allah. Kita dipertemukan dan dipisahkan. Mudah-mudahan dalam lindungan Allah jua. Sudah tentu dalam banyak keadaan kita selalu bertemu dengan orang yang baik-baik. Yang menyenangkan. Yang mendamaikan perasaan. Melaluinya kita membina ukhwah, persahabatan, kemesraan dan hubungan kemanusiaan yang merentas usia, pangkat, agama, bangsa dan negara. Antara orang yang baik-baik itu ada pula yang lebih baik lagi.

Begitulah penilaian kita bila berhadapan dengan situasi-situasi tertentu. Secara psikologi kita tidak lepas dari membuat penilaian. Minda kita, perasaan kita, mata hati kita memberikan pertimbangan. Impaknya terkesan dalam ingatan. Walaupun ianya mungkin a simple genture. Ianya tetap kenangan yang abadi dalam ingatan.

Bagaimana tidak diingat kerana kedatangan saya ke Alor Setar memang ditunggu. Selamat datangnya disampaikan melalui facebook. Macam manalah orang-orangnya. Saya belum kenal mereka secara peribadi. Rasanya bukan pelajar-pelajar yang pernah berada di kelas-kelas saya. Mereka sudah membina satu hubungan yang agak peribadi dengan saya. Hanya pada hari Ahad 28 Mac 2010 saya bertemu pelatih-pelatih yang bernama Mohamad Haswandi, Mohamad Akmal, Sazwani, Siti Sufur, Nur Fahriz, Siti Azyyati, Nur Adila, Sharliati dan Siti Najhan.

Cepat sungguh mereka mesra. Macamlah saya pernah menjadi pensyarah peribadi mereka. Mereka tidak kekok dan tidak membina tembok. Tembok itu mereka runtuhkan apabila bertemu saya. Saya berikan taklimat ringkas dan mempastikan jadual mereka memang akan dapat dilaksanakan. Biasalah begitu supaya saya diberi kemudahan merancangkan masa dan tempat yang bersesuaian. Saya takut kadang-kadang bila hendak diselia mereka mengadakan aktiviti yang sukar diselia seperti mengadakan kuiz, ujian atau aktiviti lain.

Yang agak memeranjatkan saya ialah di akhir taklimat itu mereka bukan bertanya hal yang berkaitan dengan praktikum mereka. Tetapi sebaliknya bertanya bila saya lapang. Mereka hendak menjamu saya. Allahu Akbar. Bila mereka merancang semua ini. Mereka bukan sahaja menjadi pelatih-pelatih yang dipuji melambung oleh Pengetua, Penolong Kanan dan Pembimbing mereka, rupanya mereka juga mencipta kejutan-kejutan lain kepada orang-orang di sekeliling mereka. Pihak sekolah memberi kebebasan dan kelonggaran kepada mereka untuk melakukan apa sahaja atas nama akademik dan demi kebaikan pelajar-pelajarnya. Kesemua mereka tinggal di asrama walaupun ramai sebenarnya berasal dari sekeliling Alor Setar. Malah yang rumahnya di Jitrapun memilih untuk tinggal di asrama.



Saya tidak lupa sapa mereka, hormat mereka, ambil tahu mereka. Sudah tentu tidak akan lupa jamuan yang diberi. Ada pula bekal ikan pekasam. Terima kasih Sazwani dan Siti Najhan.



Dalam merancangkan jadual, walaupun yang secara kejutan itu lebih baik, tetapi jadual sekolah tidak 100% dipatuhi. Ada sahaja aktiviti sekolah yang mengganggu jadual akademik. Universiti mempunyai jadualnya sendiri. Bila sampai di sekolah, ada pula cuti negeri, aktiviti sukan, ujian, peperiksaan selain dari aktiviti-aktiviti yang tiada dalam jadual rasmi. Jika tidak ada usaha untuk mengharmonikan kekalutan jadual tersebut tentulah sukar hendak menyelia pelatih-pelatih. Duduk memantau agak meletihkan tetapi menyusun jadual kadang-kadang lebih meletihkan. Bayangkan, jadual sudah di tentukan. Tiba-tiba pelatih menghantar mesej, esok dia ditugaskan mewakili sekolah untuk mengiringi pelajar. Jika kita berkira sangat dengan pihak sekolah ada juga implikasinya pada masa hadapan. Hendak tak hendak kenalah berkompromi. Jadual terpaksa dirombak, diatur semula, disesuaikan dengan keadaan yang baru.



Di SMT Alor Setar nampaknya pelatih-pelatih ini diberikan sepenuh kepercayaan mendendalikan banyak aktiviti, khususnya di asrama. Terima kasih kepada Pengetua dan stafnya kerana bersedia memberikan pengalaman yang terbaik untuk pelatih-pelatih UTHM. Seperti saya nyatakan kepada Pengetua, laporan positif ini amat melegakan saya. InsyaAllah tahun hadapan tidak ada masalah untuk menghantar kumpulan-kumpulan pelajar yang akan datang. Jawapan Pengetua amat mengesankan kepada saya. Katanya, jika kedua-dua pihak rasa seronok barulah hubungan itu dapat dipanjangkan. Terima kasih banyak-banyak. Terima kasih daun keladi. InsyaAllah tahun hadapan kami hantar lagi.



Haswandi, Akmal, Sazwani, Sufur, Azyyati, Adila, Fahriz, Sharliati dan Najhan, terima kasih atas budi baikmu. Hazwin, Majorie dan Tan, terima kasih sudi menemani saya makan malam walaupun selalu saya kesunyian makan sendirian setiap hari. Kepada yang lain mungkin lain kali.


Haswandi, Akmal, Sazwani, Sufur, Azyyati, Adila, Fahriz, Sharliati dan Najhan, imej dan paparan berikut adalah rakaman terima kasih saya kepada anda semua. Semoga berjaya dan bertemu lagi. Jika tidakpun melalui blog saya. Kita akan dekat selalu.
















Fahriz, Azyyati dan Sufur. Sufur orang Kelantan yang selesa di Alor Setar. Orang Parit Raja kata 'kerasan'.














Siapa sangka Akmal ni pelatih UTHM.















Tekun Adila dengan udang dan sotong bersalut tepung. Enak dan rangup.















Saya terhibur seketika.
















Sazwani dan Sharliati.















Yang baju pink di hujung tu adik Najhan. Minat menjadi guru sebab itu suka bersama guru.















Haswandi selepas membaca doa makan.















Posing di luar Langkasuka. Fahriz, Sufur, Sazwani, Haswandi, Adila, Sharliati, Najhan, Azyyati dan Akmal.



























































Hanya seminggu lagi. Selepas itu tamatlah gelaran pelajar. Genggamlah ijazahmu untuk keluar berbakti. Bayarlah hutangmu kepada negara. Ibu Pertiwi menanti baktimu.

Bon Voyage - Selamat Tinggal Alor Setar

Saya jejakkan kaki ke Menara Alor Setar. Lengang. Jam kira-kira pukul 12.00 tengahari. Tercari-cari di mana kaunter. Tiada tanda yang jelas yang mana satu kaunter. Ternampak seorang gadis. Di belakangnya ada senarai harga tiket. Boleh naik, tanya saya. Boleh, jawabnya. Tiket berapa ringit. RM6.00. Sorang? Ya saya seorang. Tiba-tiba tanyanya, dah lebih 50 tahun? Terkejut sekejap. Muda sangatkah saya ni. Kalau jawab belum, kena, bayar RM6.00. Payah pula menelan air liur di kerongkong. Kalau jawab ya, bayar RM4.00. Jimat RM2.00. Lalu saya jawab umur saya 64 tahun. Dia senyum saja. Entah apa dalam hatinya. Tidak pula meminta melihat kad pengenalan.

Naiklah saya ke menara. Perjalanan beberapa saat sahaja. Tiba di atas saya seorang sahaja yang menjadi raja menguasai menara itu. Hanya ada seorang penjaga gerai di atas. Saya berputar beberapa kali sambil merakamkan imej-imej yang saya lihat dari menara ini. Dari semua arah, timur dan barat, utara dan selatan. Tiba-tiba saya terpempan. Tidak semua yang saya lihat, saya kenal. Banyak yang tidak saya ketahui. Ada yang samar. Ada yang berbalam. Ada yang kaku begitu.

Rupanya saya gayat. Ya gayat. Bukan gayat kerana ketinggiannya. Saya gayat kerana pengalaman yang cetek. Bila kita tiba-tiba berada di tempat yang tinggi, berpangkat tinggi, tiba-tiba kaya, baru berjaya, baru gembira, baru naik pangkat, baru perasaan, kita sebenarnya gayat. Dari atas kita hilang arah, hilang pandangan, hilang pertimbangan, hilang kewarasan. Kita hanya mabuk dengan ketinggian kita sahaja. Begitulah apabila kita tidak memiliki pengalaman. Kita akan mabuk dan gila dengan apa yang kita ada, sedangkan kita belum pandai mengendalikan keadaan, belum pandai menari di lantai yang tinggi rendah. Masih tercari-cari tapak untuk berpijak.

Bila kita belum cukup pengalaman dan kita belum mabuk, kita mengalami banyak kekeliruan dan sesat pula. Waktu kita di bawah, kita perlu banyak belajar. Jika tidak pandangan kita dihalang bangunan, dihalang tembok, dihalang semak dan pokok, dihalang kabus, dihalang silau. Kita tidak akan dapat melihat apa di sebalik semua halangan-halangan itu kecuali kita meneroka semua yang perlu diketahui. Barulah kita dapat melihat dan menjangka apa yang di sebalik bangunan, di sebalik tembok, di sebalik semak dan pokok, di sebalik kabus, di sebalik silau. Bila sudah ada pengalaman itu, naiklah seberapa tinggi. Dari atas kita kenal dan dapat mengecam apa sahaja yang kita lihat. Barulah kita tidak gayat, tidak mabuk, tidak keliru dan tidak gila.

Bagi yang muda ambillah pengajaran itu. Himpunkan dulu segala pengalaman yang perlu sebelum berani naik ke atas dan memandang ke bawah. Susah kalau gayat tak menentu. Anak-anak angkatku, tanamkan ini dalam dadamu. Kelulusan akademik hanya baru satu fasa awal, lesen untuk memburu jawatan. Yang lainnya harus dihimpunkan lagi melalui pandangan, pendengaran, pemikiran, deria rasa, dan deria sentuhmu. Apatah lagi deria sentuhan rasa hatimu yang semestinya seni, halus dan murni.

Imej-imej Alor Setar ini saya dedikasikan kepada semua peminat blog saya. Esok, Jumaat 2 April 2010 insyaAllah saya akan tinggalkan Alor Setar. Saya datang dengan rasa teruja. Saya pulang juga dengan rasa teruja. Saya datang teruja kerana harapan menemui hal-hal yang baru. Saya kembali teruja kerana menemui semula diri saya yang jauh dari keluarga tercinta. Sayangku, tunggulah kepulanganku. Aku rindu padamu.

Bon Voyage - selamat tinggal Alor Setar. Saya datang dalam cuaca panas. Hari ini saya pulang dalam Alor Setar masih basah dengan air hujan semalam.



















Nama yang menggamit rasa.





















Tinggimu menjulang angkasa.
















Dari dataran ini saya menerjah mercunya.
















Pintu air yang saya lihat itu.





















Gamitan Masjid Zahir yang tidak pernah surut.
















Panorama yang berpusat di masjid Zahir juga.
















Vantage point yang dulu-dulu.
















Binaan-binaan tinggi lambang kemajuannya.
















Aliran sungai lesu di kejauhan.
















Lambang-lambang kemajuan yang terpencil.
















Yang jauh berbalam-balam sahaja.
















Jalanraya bak liku hidup yang tidak pernah lurus.
















Gunung Keriang dari jauh. Di situ Muzium Padi.






















Jalan itu menuju ke Jitra, Kayu Hitam, Kangar.


















Bahagian Alor Setar yang lebih pesat membangun.

















Arah yang sama.

















Arah lain.

















Masjid Al-Bohari dan Souq Al-Bohari.
















Berbalam bila jauh. Kabus yang dilihat.
















Bangunan tersergam.
















Bangunan-bangunan lain.
















Sebuah hotel.















Pusat bandar.
















Mengarah ke Sekolah Menengah Vokaisonal.
















Gunung Keriang dizoom.
















Arah yang sama.


Imej-imej inilah yang saya bawa pulang. Saya kembalikan selainnya kepada warga Alor Setar. Terima kasih kerana mengizinkan saya singgah dan santai di sini. Pasti ada kenangannya. Jika ada rahsia di balik cerita, itu hal peribadi. Saya simpan sendiri. Hingga bertemu kembali.

Wednesday, March 31, 2010

Muzium Padi

Seseorang bertanya kepada saya sewaktu berada di Alor Setar Mall. Dari mana saya datang. Batu Pahat kata saya. Ke mana tempat yang boleh dilawati di Alor Setar, balas tanya saya. Antara cadangannya ialah Muzium Padi. Gambar-gambarnya menarik. Lalu ke sanalah arah saya. Melihat pada peta tidak ada masalah mencari arahnya. Sedikit cemas, rupanya muzium itu jauh juga dari persimpangan jalan bersebelahan Istana Anak Bukit. Tidak ada pula petunjuk yang jelas tentang jauhnya dari persimpangan jalan.

Di mana-manapun di Malaysia, saya selalu mengalami kesukaran mencari arah tempat. Papan tanda memang dipasang tetapi tidak ada petunjuk tentang jauhnya. Di sebuah selekoh, tiba-tiba ditunjuk arah Muzium Padi. Walaupun kereta tidak berapa laju dipandu, macam nak gila saya pulas stereng. Tidak mengapalah, melalui kepayahan itu, saya menemui juga Muzium Padi. Saksikanlah paparan-paparan ini. Nikmat juga kepuasan yang menempa.
















Dari luar bangunan ini tidak nampak unik atau hebat. Nanti bila sudah sampai di dalam, kita akan mengembara merentas masa. Masa yang sudah berlalu. Kenangan yang terakam dalam muzium ini.
















Tercengang-cengang di hadapan muzium. Buka atau tutup? Tiada apa-apa tanda.
















Tangga utama di hadapan dihalang. Tiada sesiapa yang boleh ditanya.
















Mengimbau semula zaman kerbau membajak sawah. Berpuluh tahun dahulu. Semasa berlegar-legar di hadapan muzuim ini seorang pengawal bermotorsikal datang memberitahu bahawa muzium dibuka di bahagian belakang. Alangkah mudahnya jika dipasang papan kenyataan. Senang bagi semua orang.




















Masuk ke dalam tidak banyak yang perlu dilihat. Ruang legar yang kosong. Gambar di dinding-dinding besar. Tarikannya menaiki tangga ini. Ibarat replika Gunung Keriang, menara muzium dilengkapi gambar-gambar berkeliling yang memaparkan putaran proses penanaman padi di Kedah. Jelapang padi Malaysia. Tinggi memanjatnya. Sesuai untuk yang muda. Escalator mungkin lebih baik. Yang tua bolehlah turut sama menikmatinya.




















Tangga ini seolah-olah dalam sebuah gua yang besar dan tinggi.
















Ini adalah gambar Gunung Keriang.

















Di kaki gunung ini terdapat perkampungan petani.
















Di kejauhan kelihatan bandar Alor Setar. Berbalam-balam.

















Sekawan kerbau di sebuah kampung.
















Petani-petani di sawah. Sedang berderau agaknya.
















Nampak menguning dan melaut saujana mata memandang. Realitinya, semua sawah di Kedah kering kontang. Di luar musim. Air baru mula dialirkan masuk.
















Sebuah perkampungan.

















Proses penenaman padi bermula di sini. Anak padi mula ditanam.
















Musim hujan yang ditunggu. Sawah akan dipenuhi air. Padi akan membesar.





















Pelangi yang selalu indah. At the end of the rainbow, there's a pot of gold. Senikata sebuah lagu lama. Oldies.
















Pelangi oh pelangi.

















Menugal pagi.
















Sebuah rumah ditepi sawah.
















Sebuah kilang padi.

















Terubat kerinduan kepada kehijauan sawah padi. Di luar sana bukan musimnya sekarang.
















Sebuah keluarga mengadakan kenduri kahwin. Meriah. Seluruh penghuni kampung ada di sini. Menikmati hasil padi yang baru dituai.
















Kalau di Johor dua orang kakak ini membawa berkat. Atau bontrot. Bahasa Jawa.




















Naik tangga satu cabaran. Rupanya menurun tangga lebih tinggi cabarannya. Sebab itu ramai orang ingin naik. Tetapi untuk turun tidak ramai orang mampu menghadapinya.Naik banyak payahnya. Turun banyak gelincirnya.



















Petani membanting padi di sini.




















Pandang orang-orang ini, teringat cerita Musang Berjanggut. Datuk nikah kahwin mencium orang-orang.
















Orang tua sahaja yang faham tentang guna alat-alat ini.
















Lagi unik.
















Alat ini mungkin sudah tiada.















Dulu padi ditumbuk untuk dapat beras, emping dan sebagainya.
















Basikal besar seperti ini yang mengakibatkan saya jatuh dalam parit. Zaman kanak-kanak yang sangat lama ditinggalkan. Tinggi dan berat. Memberat rasa hati.
















Kereta Lembu, mode pengangkutan masa itu.
















Di teratak seperti ini, petani berihat. Makan dan solat.
















Gemal-gemal padi. Nanti akan ditugal di tengah sawah yang sudah sedia untuk ditanam.
















Proses meanam padi menggunakan kuku kambing. Lambat dan tentu sekali memenatkan.
















Inilah kuku kambing.
















Ini terendak. Tudung kepala.















Contoh-contoh padi.















Beras komersil.






























Kincir air untuk mengairi sawah.



















Inilah jelapang yang sebenarnya. Tempat menyimpan padi. Sumber bekalan dari musim ke musim.















Alat-alat menangkap ikan. Di sawah dan di sungai yang berhampiran banyak sepat, keli dan haruan.















Dacing seperti ini sahaja yang memudahkan pada masa dulu. Sekarang dah digital.




















Alat timbang ini masih ada lagi.















Jala.















Alat-alat kecil daripada buluh atau rotan. Mungkin juga buluh.














Serkup ayam, burung, ikan. Kanak-kanak yang nakal menyerkap antara mereka.



















Gambar peralatan bertani.














Tempat membanting padi di sawah untuk meleraikan buah dari tangkainya.
















Peralatan rumahtangga dan dapur rumah dulu-dulu.















Kandil lama yang menggunakan minyak tanah.
















Gemal padi yang dibawa ke tengah sawah untuk ditanam.
















Gunung Keriang yang menjadi 'pulau' di bendang di kelilingnya. Bukit inilah yang mengilhamkan binaan muzium padi di Kedah ini. Jelapang ini penting dipelihara. Rakyat Malaysia perlu meningkatkan produktivitinya supaya ianya menjadi seperti Thailand, Vietnam. Makanan ruji adalah beras. Jelapang padi di Kedah ini tidak cukup menampung makan warga negara ini yang semakin ramai.